Novel : Suami Aku Ustaz?! 7, 8

2 February 2011  
Kategori: Novel

63,966 bacaan 49 ulasan

Oleh : aku_dia

“Abang, hujung minggu ni tak nak pergi mana-mana ke?” Aku buat baik je bila nak tanya tang berjalan.

“Balik rumah Umi lah. Kan, Isnin ni raya Haji? Boleh tolong apa yang patut dekat sana. Kalau tak silap, Umi cakap Abang Ipin dengan Kak Suraya pun balik sini raya ni,” jawab Abang Hafiz tanpa mengangkat muka.

Aku menghela nafas perlahan. Rasa nak je ajak dia ni pergi ronda JB. Bukannya nak cari apa pun. Saja cuci mata. Tapi, nak cakap apa lagi? Keputusan di tangan dia.

“Kenapa?” Tanya dia bila aku diam. Dia ni macam boleh baca fikiran aku je.

“Nope! Tak ada apa.” Aku pandang balik kertas soalan dekat depan. Tapi fikiran masih melayang di bawa angin.
Abang Hafiz meletakkan pen ke atas meha. Dia mengalih pandang ke arah aku. “Ni mesti ada apa-apa ni. Kalau tak mesti tak tanya sebab Lisa patut tahu yang kita akan balik rumah Umi. Kan?”
Aku sengih. “Tak ada apalah…” nak tak nak je aku jawab.

“Nur Alisa…” Aish… Aku buat muka. Dah macam dekat kelas je dah bila dia panggil nama penuh aku. Meleret pulak tu.

“Tak de… Lisa rasa nak berjalan. Boringlah duduk rumah…” ‘Kalau Lisa keluar dengan member, nanti abang bising pulak!’ nak je aku sambung ayat macam tu. Tapi nasib baiklah aku ni baik sikit.

“Boring? Hai? Dah ada abang pun boring lagi ke?” kata Abang Hafiz. Aku assume ajelah dia buat lawak terus aku buat-buat gelak walaupun dia tak gelak.

“Nak jalan ke mana? Selama ni kalau abang ajak pergi bandar ke… minimart ke beli groceries Lisa tak nak? Takut orang jumpalah, itulah, inilah.” Sempat pulak dia membebel.

“Minimart nak buat apa…” Tapi memang betul pun yang aku malas. Takut terjumpa orang yang aku kenal.
Dengar nada aku macam orang sedih agaknya, Abang Hafiz senyum. “Hrm… dah agak dah nak ajak berjalan. Lisa nak pergi mana? Ada barang ke Lisa nak cari?”

Wahhh… Kenapa aku rasa suara dia ni lembut semacam ni. Muka aku rasa panas tiba-tiba. Cis! Apahal ni? “Kita pergi JB nak?”

“JB?” Dahi dia dah berkerut. “Nak pergi mana?”

“Jusco?” cadang aku sambil mematah-matahkan jari.

“Jusco mana? Tebrau?” dia tanya lagi.

Aku menggeleng. “Permas Jaya best jugak!” Ceh, cakap ajelah kan nak pergi Jusco Permas Jaya nun. Lagi mahu berkias-kias cakap bestlah itulah, inilah.
Abang Hafiz memanggung kepala dengan tangan kanan dia sambil tengok aku. “Ada nak cari apa-apa ke?” soalan yang sama tadi dia tanya lagi.

Aku dah mula nak angin. “Banyak tanyalah abang ni.” Aku merungut. “Kalau tak nak, tak payah.” Tiba-tiba rasa nak merajuk. Sedihnya! Bila ada ustaz seorang dalam hidup aku, nak pergi mana-mana pun dah tak boleh! Terus aku sambung balik belajar.
Aku nampak Abang Hafiz senyum dari hujung mata.

“Alah… merajuk pulak!” usik dia. Aku diam.

“Ok, kita pergi. Pagi eh? Lepas tu terus balik rumah Umi.”
Aku dah sengih sampai ke telinga.

***

“Kenapa tak pergi Jusco yang dekat je? Taman U kan ada?” Abang Hafiz menyoal masa kami dalam kereta.

“Tak naklah! Dekat sangat. Nanti jumpa orang yang kenal, nak cakap apa?” Mata aku leka tengok kereta dekat depan.

“Cakap ajelah yang betul. Bukannya berdosa pun!” selamba je dia bagi idea.
Aku mencebik je dengar Abang Hafiz punya idea yang tak bernas tu. “Abang cakap senanglah!” Aku ni? Ingat orang boleh terima ke kahwin masa belajar? Kalau dekat univeristi tu logiklah jugak. Ni SPM pun tak lepas lagi. Lepas tu nanti dekat sekolah pun budak-budak pandang aku lain je. Isk!

“Lisa, satu hari nanti orang pun tahulah pasal kita. Lagi-lagi kita duduk serumah.”

“Ha’ah kan. Betul jugak cakap abang.” Abang Hafiz dah toleh dekat aku bila dengar ayat yang keluar dari mulut ni. Bibirnya menguntum senyuman. Ceh! Berharap nak kitorang declare dekat semualah tu.

“Kalau macam tulah kan, bang. Kita tunggu ajelah satu hari tu. Yang penting bukan sekarang!”
Senyuman dia mati. “Iyalah… iyalah!” Dia mengalah. Aku tersengih menang.

Sampai di Jaya Jusco, tempat parking kereta dah mula nak penuh. Hujung minggu, memang selalu ramai orang kut. Aku sendiri jarang ke sini. Kadang-kadang je datang sini dengan mak ayah. Wah! First time dalam sejarah ni datang sini dengan ustaz aku ni! Boleh aku pow dia macam-macam. Hahaha… aku dah gelak jahat dalam hati.

Kedai pertama aku masuk kedai buku yang ada dekat pintu masuk. Abang Hafiz ikut je mana aku pergi. Aku membelek-belek novel yang berlambak dekat rak. Wahhh! Ada novel baru! Tapi, nak shopping novel macam malas dulu sebab tak sempat nak baca punya. Next week kitorang dah start gerak gempur, lagilah tak ada masa. Abang Hafiz duk leka membelek buku-buku agama yang dekat atas rak lain. Malas nak berlama-lama dekat situ, aku mencuit bahu Abang Hafiz dari belakang.

“Dah ke? Sekejapnya?” Dia tengok dekat tangan aku kut-kut ada barang nak beli.

“Tak ada apa nak cari.”

“Hai? Sikit punya banyak novel dekat situ? Takkan tak ada satu pun yang berkenan?” Abang Hafiz membuang pandang dekat rak novel yang aku tengok tadi.

“Ada. Tapi nantilah!”

“Lah… Baru ingat nak belanja. Tapi tak jadi pulak. Bagus jugak tu!” dia dah gelak. Macam gelak aku bila kenakan dia je bunyinya.

Sebelum kitorang pergi ke tempat lain, sempat Abang Hafiz mencapai buku yang dibeleknya tadi. Kemudian aku kena tunggu dia pulak nak bayar dekat kaunter. Lepas keluar kedai buku, kitorang melangkah pulak ke kedai menjual kamera. Abang Hafiz yang duk ralit tengok kamera display dekat dalam almari kaca tu. Aku? Mata melilau ke tempat lain. Hahaha. Bukannya minat sangat dengan kamera-kamera ni.

“Lisa, jaga mata…” tiba-tiba Abang Hafiz tegur. Tapi mata dia masih melekat dekat kamera dalam almari tu. Macam tahu-tahu je aku tengah leka mengusha budak lelaki yang tengah melayan adik dia. Comel je! Aku pandang dekat Abang Hafiz. Bibir menguntum senyum. Menutup kesalahan diri. Agaknya dia nampak dari cermin ni kut.

“Nak beli ke?”
Abang Hafiz menggeleng. “Tak perlu lagi,” kata dia. Aku malas nak fikir bila yang dia rasa dia perlukan kamera tu. Tunggu duit berkepuk dalam bank agaknya.

“Nak pergi mana-mana lagi?” Abang Hafiz tanya macam kitorang dah habis ronda dekat Jaya Jusco ni.

“Mestilah!” Aku buat muka. Baru 2 kedai masuk. Itupun kalau kira betul-betul 1 je sebab kedai kamera ni kitorang berdiri dekat luar je. Boring sungguh berjalan dengan dia nilah. Kalau aku keluar dengan Wati ke… Joe dengan Pa’an ke… mesti tak cukup sejam. Walhal lepak dekat bandar Pontian tu je pun.

“Ok. Nak pergi mana lagi?” Mata dia melilau melihat ke kedai-kedai lain.

“Masuk JJ kejaplah. Manalah tahu ada benda best ke yang boleh beli. Lagipun, bank bergerak Lisa tengah ada ni.”
Abang Hafiz tiba-tiba berhenti berjalan. “Bunyi tak sedap tu. Abang balik dululah.” Dia mengacah aku dengan berpatah balik.
Aku tarik tangan dia. “Sengallah dia ni,” marahku. Abang Hafiz gelak je. Dia ni, kalau serius, macam ustaz. Kalau datang main-main dia, dah macam perangai dia masa jadi abang sepupu aku. Eh, sekarang pun abang sepupu jugak kan?

“Eh? Ustaz Hafiz?” suara perempuan yang menegur tu macam biasa aku dengar dekat kelas. Aku dah cuak. Duh! Siapa pulak yang gatal sangat nak berjalan kat Jaya Jusco ni masa aku dekat sini?

“Eh? Cikgu!” relaks je Abang Hafiz membalas sapaan cikgu tersebut.
Aku memanjangkan kepala, nak melihat siapakah gerangannya di sana. Terpandangkan muka Cikgu Liana, berderu-deru darah turun dari muka.

“Alisa? Awak buat apa dekat sini?” Cikgu Liana memandang muka aku. Kemudian pandangan dia jatuh dekat tangan aku yang elok pegang tangan Abang Hafiz. Nampak dia tengok aku pelik, spontan tangan Abang Hafis aku lepaskan.

Caught red handed. Selalunya idiom ni aku guna kalau buat essay Bahasa Inggeris. Kali ni aku nak guna untuk diri aku sendiri boleh tak? Sebab dah kena tangkap dengan Cikgu Liana masa pegang tangan ustaz aku. Walaupun dia suami aku, bukannya orang tahu. Alahai… macam ada jodoh pulak ye cikgu Liana sampai kita jumpa sejauh ni. Tapi, jodoh dengan aku ke Abang Hafiz? Erk! Dah dah. Aku tak nak fikir bukan-bukan.

“Saya cari barang sikit.” Ringkas aku menjawab.

Cara Cikgu Liana pandang aku nampak sangat dia tak puas hati. “Dengan Ustaz Hafiz?” jengkel je bunyi dia bertanya.
Abang Hafiz tersenyum. “Erm! Kitorang berdua je.” Dia baik hati tolong jawabkan.

Riak wajah Cikgu Liana berubah dengar ayat penyata yang keluar dari mulut Abang Hafiz. Tiba-tiba aku rasa macam tengah shooting drama Korea pulak dekat sini. Kekasih hati berjalan dengan anak murid?

“Alisa ni sebenarnya…”

“Adik sepupu!” laju aku pintas. Buatnya ustaz seorang ni mengaku aku bini dia, mahu mati terkejut Cikgu Liana dekat tengah-tengah alam ni. Abang Hafiz tak bagi apa-apa komen. Nasib baik!
Kening Cikgu Liana bertaut. Duh! Kenapalah dia ni lambat sangat? “Ustaz Hafiz abang sepupu saya. Saya ajak dia teman ni nak cari barang. Mak ayah saya pergi Mekah.” Terpaksa aku terangkan lagi sekali.

“Oh!” Cikgu Liana mengalih pandang ke arah Abang Hafiz. “Pelik juga saya bila fikirkan ustaz keluar dengan anak murid,” kata dia dalam ketawa. Pelik ke cumburu? Usikku nakal dalam hati.
Abang Hafiz hanya senyum nipis. Kemudian dia mengalih pandang ke tempat lain.

“Cikgu seorang je?” Terpaksa pulak aku buat-buat ramah bila Abang Hafiz buat tak tahu je dengan Cikgu Liana ni.

“Eh, tak… saya dengan family. Saja berjalan hujung minggu,” katanya. “Adik yang kecik nak balik U. Dia nak cari barang sikit,” tambah dia lagi.
Aku hanya mengangguk tanda faham. Tak sampai seminit lepas tu, masing-masing meminta diri.

***

“Cikgu Liana tu ok jugakkan, bang?” sengaja aku uji Abang Hafiz dengan soalan macam tu.
Abang Hafiz senyum je.

“Abang tengok dia macam mana?” soal aku lagi.

“Macam tu lah.” Malas je dia menjawab. Pandangannya fokus ke arah jalanraya.
Balik dari Jaya Jusco tadi ada jugaklah barang aku dapat. 2-3 helai baju yang ditanggung sepenuhnya oleh Ustaz Hafiz. Itu pun dia yang pilih ikut citarasa dia. Nasib baik kena jugak dengan selera aku.

“Erm… Abang tahu tak dia minat abang?” straight to the point je aku tanya. Tadi berkias-kias dia macam tak ada respon je.

“Tahu!”
Jawapan daripada Abang Hafiz buatkan aku rasa jantung aku macam dah nak gugur. “Serius? Mana tahu?” ingatkan aku dengan budak kelas aku je yang perasan.

“Biasalah kalau dekat bilik guru tu. Ada je yang menyakat.”
Cerita daripada Abang Hafiz buat aku serba tak kena.

“Habis tu, abang macam mana pulak?”
Abang Hafiz toleh dekat aku. “Macam mana apa?”

“Abang tak suka dekat dia?” Berdebar rasa dada aku tunggu jawapan Abang Hafiz.
Abang Hafiz tergelak. “Kenapa? Lisa cemburu eh?”

Suka betul dia tengok aku serba tak kena. Tapi, nampak sangat ke? Hrm… cemburu? Isk! Cemburu tu tandanya sayang. Aku rasa tak adalah aku sayang mana dekat ustaz seorang ni. Hrm… Iya ke Lisa? Aku diam je tak jawab soalan Abang Hafiz.

“Perasaan dia Lisa. Biarkanlah. Abang buat tak faham je. Kalau dia nak minat abang pun, bukannya abang boleh paksa berhenti pun. ” Abang Hafiz memberikan signal kereta untuk ke kiri.

“Dan kalau orang tak suka kita, bukannya kita boleh paksa dia suka pun. Kalau boleh paksa, memang abang dah lama buat dah…” Dia buat ayat tergantung serentak masa kereta berhenti.
Eii dia ni! Cubalah belajar cakap habis-habis. Buat apa?

“Tak nak keluar ke? Kita minum kejap?” Abang Hafiz menyoal bila aku statik dekat tempat duduk. “Lisa?”
Abang Hafiz dah ketuk cermin tingkap.Laju aku membuka tali pinggang keledar. Tapi dalam hati merungut-rungut tak puas hati. Nak bertanya segan pulak. Ingatkan nak tunggu dia yang habiskan. Hrm… kalau macam ni, memang sampai esok belum tentu dia nak sambung.

——————————————-

Bergerak jam 10 pagi ke JB tadi, kami tiba di rumah Umi jam satu petang. Halaman rumah Umi masih lagi kosong tiada kereta. Maknanya, Abang Ipin dengan Kak Suraya tak sampai lagilah tu. Abang Hafiz ni anak ketiga dari tiga beradik. Senang cakap, anak bongsulah. Tapi dia seorang je yang dah kahwin. Aku tak tahulah macam mana anak bongsu ni nak hidup dengan anak tunggal yang macam aku ni.

Satu perkara yang bagusnya dekat Abang Hafiz ni, walaupun dia ni anak bongsu, aku rasa dia nampak matured. Mungkin sebab pergaulan dia masa belajar. Kalau tak pun, sebab dia ni lagi tua dari aku. Haha! Bunyi cermin tingkap aku yang diketuk dari luar mengejutkan aku. Abang Hafiz memanggil aku suruh turun. Ceh! Tak romantik langsung! Paling koman pun, bukakkan lah pintu untuk aku.

“Lisa masuk dulu. Abang ambil barang sekejap” Dia cakap dekat aku lepas aku keluar dari kereta.

Aku tersenyum dalam hati sambil mata melihat Abang Hafiz yang dah berjalan ke belakang kereta. Lupa sekejap yang aku merungut pasal dia tadi. Bagus Abang Hafiz ni! Ada ciri-ciri suami mithali. Bekerjasama dengan isteri. Hahaha, aku ni pulak? Ada ciri isteri mithali ke tak?

Abang Hafiz membuka boot kereta untuk mengambil barang yang aku beli tadi. Aku beli, Abang Hafiz yang bayar. Betullah ayat aku kan? Barangnya sebenarnya tak adalah banyak mana. T-shirt 2 helai, seluar slack perempuan warna hitam 2 helai, track suit sehelai. Seluar slack tu pun Abang Hafiz yang ambil. Mulanya aku nak ambil jeans je yang macam aku selalu pakai. Tapi bila dia nampak, selamba je dia ambil dan letak balik dekat rak seluar tu.

“Perempuan tak elok pakai jeans.” Tu je yang dia cakap.

“Kenapa?” Bila aku tanya dia diam pulak. Tak faham aku. Lain kali tu, cakap ajelah terang-terang.

“Selama ni Lisa selalu je pakai?” Kata aku lagi bila dia diam je tadi.

“Lepas ni jangan pakai lagi. Sekalipun lelaki punya. Abang tak suka tengok.” Dia dah bagi kata putus.
Tanpa penjelasan pulak tu! Aku mencebik. Kali ni kuasa veto suami pulak yang keluar.

“Mencebik, mencebik. Tak menjawab dia buat muka pulak eh? Orang cakap benda yang betul…” tegur Abang Hafiz. Lepas tu aku tinggalkan je dia, jalan pergi tempat lain.

***

Aku memberi salam sebelum masuk ke dalam rumah. Ruang tamu tak ada orang. Umi dekat dapur agaknya. Walid pun tak ada pun. Lepas letak sandal dekat rak, aku melangkah masuk ke dalam rumah. Ringkas je hiasan dalam rumah Umi ni. Tak serabut mata tengok. Langkah aku hayun ke dapur. Bau asam pedas Umi membuatkan aku tersenyum. Asam pedas Umi dengan Abang Hafiz lebih kurang je rasanya. Sedap! Abang Hafiz menuntut daripada Umi kut.

“Umi?” aku menyapa Umi perlahan.

Umi menoleh dengan bibir tersenyum. “Dah sampai?” soalnya.
Aku menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Banyak ke shopping barang?”
Aku gelak je dengar soalan Umi. “Tak adalah shopping mana Umi. Saja je berjalan cuci mata.”

“Hrm… Umi dengar sangatlah cakap dia tu. Saja berjalan konon. Hari ni je dekat dua ratus duit Hafiz habis. Lepas ni sebulan sekali ajelah pun kalau nak bawak dia berjalan.”

Entah bila entah Abang Hafiz masuk ke dapur dia terus menyampuk. Abang Hafiz bersalam dengan Umi. Aku tengok je dia geram. Kalau boleh, aku picit-picit je ustaz seorang ni. Buat keropok lekor. Tapi bila dengar nak bawak aku berjalan sebulan sekali, rasa tak jadi nak buat macam tu. Tiap-tiap bulanlah aku beli baju, seluar baru. Walaupun duit mak dengan ayah bagi ada… tapi, buat apa susah-susah nak beli guna duit sendiri kalau ada orang nak sponsor kan?

“Siapa yang offer diri nak belanja dulu? Lisa tak paksa…” Aku menjawab. “Orang dah offer kan Umi? Kita ambil ajelah kan barang kita berkenan. Rezeki jangan ditolak. Betul tak, Umi?”
Umi tergelak je dengar jawapan aku. Abang Hafiz menggeleng je dah. Kemudian dia mengintai dalam periuk lauk yang Umi masak. “Wah! Lauk sedap!” sempat dia memuji. Mesti kuat bodek Umi dia ni.

“Bila Abang Ipin dengan Kak Su sampai, Umi?” Abang Hafiz bertanyakan soalan yang tadi ada dekat fikiran aku.

“Malam ni sampailah diorang. Ipin, hari ni ada kerja. Dia gerak dari KL lepas habis kerja dia cakap. Jumpa Su dekat Seremban.”

Abang Hafiz mengangguk faham. Aku pulak, dengar ajelah. Tadah telinga. Lepas tu aku keluar pergi belakang rumah. Umi ada bela kucing. Comel pulak tu. Siap ada sangkar lagi.

“Hafiz ok je?” Sambil berjalan telinga aku terdengar perbualan Umi dengan Abang Hafiz. Entah kepana, aku rasa tak sedap hati dengan soalan tu. Ada kena mengena dengan aku kah?

“Ok je Umi.”
Aku buat-buat tak dengar je diorang berbual. Abang Hafiz sakit ke? Tapi takkanlah? Aku tengok dia sihat binti afiat je dekat rumah tu. Tak adalah pulak nampak dia makan ubat ke apa. Ke Umi tanya dia ok ke kena kahwin dengan aku?

Aku berhenti mengelamun bila terpandangkan Jojo, kucing yang berbulu coklat cair tu tengah baring sambil menyusukan anak dia. Wah! Laju aku bukak sangkar Jojo, aku curik anak dia seekor. Jojo ni jenis jinak dan baik. Kalau tak, mahu aku kena cakar dengan dia ni.

“Lisa?” Abang Hafiz dah keluar dari rumah cari aku. Eh? Baru aku hilang sekejap dah rindu ke? Hahaha. Tak adanya aku nak cakap macam tu dekat ustaz ni.

“Ye?” aku jawab sambil tangan sakan bermain dengan anak Jojo. Cutenya! Kalaulah aku boleh bela seekor kat rumah ni.
Abang Hafiz geleng kepala tengok aku cium anak Jojo. “Macam main dengan baby!” tegurnya.
Aku sengih. “Ni baby apa. Baby kitten.”
Abang Hafiz diam. Dia tengok je aku. Tiba-tiba aku jadi segan.

“Kenapa cari orang ni?” aku tanya bila teringat yang tadi tiba-tiba dia keluar cari aku.
Abang Hafiz tersentak. “Apa dia?”

Aku buat muka. “Berangan je!”

Dia senyum je dengar aku merungut. “Jom solat? Dah dekat satu setengah dah ni,” dia mengajak.

Aku tengok jam dekat pergelangan. Tak sedar masa berjalan pantas. Lepas masukkan anak Jojo ke dalam sangkar balik, aku pergi dekat dengan Ustaz Hafiz. Nampaknya Zohor hari ni berimamkan dia.

“Agaknya kalau ada baby sendiri nanti macam manalah pulak ye?” gaya dia cakap macam cakap dekat diri sendiri.
Aku buat-buat tak dengar walaupun masa tu dia dekat sebelah aku. Spontan kepala aku rasa panas.

“Hah? Abang cakap apa-apa ke?” aku bertanya.
Abang Hafiz menggeleng. “Tak ada apa. Dah, pergi siap.”

Nasib baik dia tak explain balik ayat dia tadi. Kalau tak, memang aku pelangkung dia depan-depan Umi ni. Isk! Dia ni merepeklah. Cukuplah aku kena buat benda yang merepek dalam hidup aku masa aku kena kahwin dengan dia. Ni dia cakap pasal baby-baby pulak. Sudahlah perancangan hidup aku untuk sepuluh tahun jadi tunggang langgang.

Dulu, ceh, tak adalah dulu mana pun. Masa awal tahun nak naik form 5, aku siap buat mind map lagi. Perkara-perkara yang aku nak capai dalam tempoh sepuluh tahun. Dapat straight A untuk SPM, cari penaja, masuk IPTS, lepas habis belajar nak kerja. Kalau bab kahwin ni aku cadang umur 25 tahun sebab masa tu dah sesuai aku rasa. Ni, tiba-tiba dah jadi masa umur 17 tahun. Cukuplah perkara tu je yang dibawa ke depan. Bab baby tu biarlah lambat sikit ye ustaz! Ceh, agaknya ustaz tak fikir apa pun. Aku yang lebih-lebih. Itulah, banyak sangat tengok cerita Korea! Eh, ada kena mengena ke?

***

“Lisa, cuba baca Al-Fatihah? Abang nak dengar.” Dia menyuruh aku elok lepas kitorang habis berdoa.
Aku blur kejap. Apahal tiba-tiba ni? “Kenapa?”

“Banyak tanyalah Lisa ni. Baca ajelah…” Aku pulak yang kena. Ceh!
Aku membaca daripada ayat pertama sehingga ayat ke tujuh surah Al-Fatihah. Dia mengangguk-angguk sahaja mendengarkan bacaan aku.

“Ok. Elok dah tu.” Itu sahaja komen dia.
Aku sengih melebar je dengar dia puji. “Thank you!”

“Puji sikit dah sengih melebar!” sempat dia mengenakan aku.

“Eh, dah orang puji? Kita berterima kasihlah kan? Nanti kalau tak orang cakap sombong pulak!” “Hish. Orang cakap sikit, dia punya menjawab…. Lepas ni, pastikan bila solat baca macam ni jugak. Jangan depan abang baca ok, depan Allah baca tunggang langgang.”

Macam tahu-tahu je aku baca sikit punya cover tadi. Adoi! Terkena lagi. Al-Fatihah dengan surah-surah pendek bolehlah aku baca ok. Aku rasa kalau baca Al-Quran tu, mungkin tunggang langgang sikit. Bila Abang Hafiz bangkit, aku turut mengikut. Telekung aku bukak lalu aku lipat dan sangkut dekat rak. Sejadah, Abang Hafiz yang angkat dan tolong lipatkan.

“Lisa?”
Aku menoleh.

“Nanti, lepas maghrib jangan lupa ye?”
Aku pandang Abang Hafiz kosong. Apahalnya pulak dengan lepas maghrib ni? Ada dekat 5 jam lagi nak maghrib.

“Kenapa? Nak ajak pergi Angsana pulak ke?” saja je aku bertanya.
Abang Hafiz pandang aku geram. “Bulan depan pulak kalau nak! Lepas maghrib abang nak dengar Lisa mengaji.”

“Alah. Bang, kat rumah nantilah! Seganlah kalau Umi dengan Walid dengar. Lisa baca bukannya sedap pun sampai boleh cairkan hati diorang,” aku mengelak. Segan oh mengaji depan-depan orang ni. Walhal kat dalam bilik je.

“Ada pulak niat mengaji nak cairkan hati orang lain?” sempat aku kena marah. “Kalau bertangguh bila nak mula?”

“Iyalah… iyalah!” Malas nak menjawab lagi. Nanti aku yang kena. Baik aku duduk bawah, berbual dengan Umi.

Umi tengak duduk melipat baju sambil mata melekat dekat kaca televisyen. Aku duduk di sebelah dia sambil mencapai beberapa helai kain untuk dilipat. Umi senyum je tengok aku. Nak ambil hati mak mentua beb! Aku bukannya tahu kalau-kalau Umi tak suka dekat aku ni.

“Pak Long err.. Walid mana Umi?” aku bertanya sekadar tidak terlalu sunyi duduk sebelah Umi.

“Pergi ke kebun. Biasalah dia, hujung minggu.”

“Oh… Umi tak pergi pulak?” relaks je aku tengok Umi dekat rumah.

“Kalau Umi pergi, siapa nak masak? Hafiz tu, bukannya jenis makan dekat luar.”
Kata-kata Umi memberi input baru pada aku. Oh! Abang Hafiz ni suka makan dekat rumah rupanya. Kesiannya dia, bila duduk dengan aku banyak kena makan beli kalau weekdays.

“Lisa dekat rumah selalu masak ke?”
Aku menggeleng. “Tak sempatlah Umi. Ni belum start kelas tambahan apa semua,” keluhku. “Kalau dekat rumah Abang Hafiz yang selalu masak,” tambahku.
Umi senyum je dengar aku mengeluh. “Biasalah, Lisa. Umi ada pesan jugak dekat Hafiz jangan suruh Lisa sibuk buat kerja rumah pulak.” Ayat yang keluar dari mulut Umi buat aku terasa disayangi pulak tiba-tiba.

“Lisa belajar ok je?” Umi bertanya bila tengok aku diam.

“Oh. Ok je…”

Dia mengangguk. “Baguslah. Belajar ajelah elok-elok. Jangan fikirkan sangat benda lain,” nasihat Umi lembut. Ah! Tiba-tiba aku rindukan mak. Dengar tu Abang Hafiz. Umi suruh orang belajar je tau. Jangan fikir benda lain! Hahaha. Walhal fikiran aku yang banyak sangat merewang fikir bukan bukan!




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

49 ulasan untuk “Novel : Suami Aku Ustaz?! 7, 8”
  1. mai migilor says:

    eh ble nk smbngn die ni. bestlarh ~ tk sbar ~ ;-) hehe ~

  2. zara says:

    cerita yg menarik…xsabar nk tggu sambungan nyer.. ;-) ;-)

  3. Siti Soleha Yahaya says:

    ;-) ;-) ;-)

  4. mawar says:

    best baca cite ni..santai jeee..sempoi..hehhe

  5. Nurul Nadiah says:

    sweeetnya cerita nie.. sapa la penulisnya ye.. nice n sweet story

  6. Nana Cute says:

    dlm byk2 novel yg pernah sye baca nilah yg paling sempoi n santai skali…

  7. suaida aini says:

    tolong betulkan ejaan peha, bukan meha..tq.

  8. sakura says:

    aq setuju ngan nana cute

  9. cdzxxxxxxxx says:

    sssaaaaaaaadsszSSSSSSSSXXXxd,czx.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"