
Novel : Kau Ditakdirkan Untukku 21, 22
Oleh : geemus @ gee muszisya
21
Majlis ulangtahun rumah anak yatim Ar Raudhah disambut sederhana namun tetap meriah. Masing-masing sibuk dengan tugasan yang telah diberikan. Puan Mariam dari tadi sibuk menyambut tetamu yang hadir. Kanak-kanak yang terlibat dengan persembahan, sudah bersedia di belakang pentas. Manakala Anis, sejak tadi menguruskan meja makan untuk tetamu jemputan. Lincah tangan Anis meletakkan pinggan di atas meja, sehingga tidak sedar seseorang datang menghampirinya.
“Assalamualaikum.” Tersentak Anis mendengar sapaan salam dari arah belakangnya. Pantas menoleh. Anis terpana. Akmal segak bergaya dengan kemeja batik hitam. Terserlah kulitnya yang cerah. Kacak sekali. Renungan dan lirikan senyuman Akmal sering mengundang debaran di dada. Walau dibuang jauh-jauh, namun debaran itu tetap hadir. Mengapa dia berperasaan begini?
Salam dijawab perlahan bersama segaris senyuman di bibir.
“Datuk dengan Datin mana?” Tanya Anis cuba menepis rasa tidak keruan yang bertandang di hati.
“Kat sana.” Jawab Akmal. Kepala ditala ke arah tempat duduk di hadapan pentas. Anis turut menoleh. Kelihatan Puan Mariam dan Datin Kamariah begitu mesra berbual. Manakala Datuk Mansor sudah duduk di tempat yang disediakan untuk para tetamu jemputan. Namun, tidak pula dia nampak kelibat anak perempuan bongsu mereka.
“Isya tak datang sekali ke?” tanya Anis.
“Isya ada hal, tak dapat datang. Dia kirim salam.” Beritahu Akmal.
Dengan senyuman di wajah, Anis menyambut salam itu. “Bos pergi duduk dulu. Nanti majlis dah nak mula.”
“Ada apa-apa yang boleh saya tolong?” tanya Akmal mempelawa diri.
Amboi rajin pulak bos aku ni nak menolong. Takkan tetamu nak buat kerja kat belakang ni. Mahu berleter panjang ibu kat aku nanti. Dah la Datuk dengan Datin ada. Lagi cari nahas.
“Bos pergilah duduk kat depan sana. Semua dah siap. Tinggal sikit aje lagi.” Saran Anis. Tidak betah dia kalau Akmal ada di sini, melambatkan kerja dia lagi nanti. Kerjanya perlu segera dibereskan sebelum majlis bermula.
Mata Akmal liar memandang meja makan. Hampir sempurna persiapannya. Memang tidak ada apa yang boleh dia bantu. Akmal hanya menarik kerusi yang berhampiran lalu duduk.
“Kenapa bos duduk kat sini?”
“Dah tak ada apa nak buat, duduk aje lah.”
“Saya bukan suruh bos duduk kat sini, tapi kat sana.” Kepala di tala ke arah depan pentas yang sudah tersedia kerusi untuk para tetamu jemputan.
“Sana ke, sini ke, sama aje, duduk jugak. Duduk kat sana pun nak buat apa, kalau kat sini boleh jugak cuci mata.” Kata Akmal selamba mengusik.
Mencebik Anis. Apa kena pulak nak cuci-cuci mata ni? Ingat kedai dobi ke?
“Owhhh… orang lelaki ni memang suka cuci-cuci mata ni kan?” sindir Anis sambil meneruskan kerjanya yang terhenti tadi.
“Lelaki Anis, biasa la… kadang-kadang kena jugak cuci mata.” Bersahaja Akmal membalas.
Amboi dah pandai menjawab. Anis hanya diam, malas melayan. Tak siap kerjanya nanti kalau layan bos yang bermacam kerenah ni. Lebih baik aku diam. Dari ekor mata dia tahu Akmal sedang memerhatikannya. Tetapi dia sengaja buat tidak endah dan meneruskan kerja yang perlu disiapkan segera.
Melihat tiada balasan daripada Anis membuatkan Akmal tersenyum sendiri. Selalu macam murai tercabut ekor. Ada saja nak melawan. Hari ni dah kering modal ke? Bosan hanya duduk tanpa berbuat apa-apa. Tangannya mencapai sudu di dalam bakul berhampiran. Mengetuk-ngetuk meja mengikut irama yang bermain diminda.
“Hello… pemerhati terhormat. Sudu tu bukan kayu drum nak main ketuk-ketuk.” Tegur Anis. Main hentam dia aje nak ambik. Ngomel Anis.
Tersentak Akmal. Terhenti ketukan di meja mendengar teguran Anis itu.
“Dari bos duduk saja, baik tolong saya, ada jugak faedah. Tu, ambik sudu garpu dalam bakul tu, tolong susun atas meja,” arah Anis berbaur arahan.
“Amboi, nak minta tolong pun bukan main garang,” perli Akmal pula.
Tanpa berlengah Akmal mengambil bakul itu lalu mencapai sudu dan garpu.
Mula melakukan tugas yang diberikan. Akmal meletakkan sudu di sebelah kanan, manakala garpu di sebelah kiri di sisi pinggan.
“Letak betul-betul tau, jangan senget-senget.” Tiba-tiba Anis bersuara mengusik.
“Faham Cik!” Sambut Akmal membalas usikan Anis.
Anis menguntum senyum dalam diam. Macam dia pula bos, dah terbalik ni. Tapi sekali sekala apa salahnya kan. Asyik dia aje buli aku, hari ni aku buli dia pulak.
“Senget tu.” Tegur Anis.
“Senget sikit pun tak boleh.” Jawab Akmal tak puas hati.
“Tak boleh!” Balas Anis tegas.
Akmal membetulkan kedudukan sudu garpu yang ditegur Anis itu. “Awak ni jenis cerewet juga ye.”
“Tengok keadaan jugak bos. Saya ni sempoi aje orangnya.”
“Kalau nak pilih calon suami pun cerewet jugak ke?” Berkerut dahi Anis mendengar soalan bosnya itu.
“Mesti lah memilih jugak bos, takkan nak tangkap muat aje. Soal teman hidup mesti nak ada keserasian dengan kita. Kalau bos sendiri pun, mesti nak pilih perempuan yang memahami hati bos jugak kan. Betul tak!”
Akmal diam seketika sebelum menyambung bicara.”Tetapi orang perempuan suka pandang negatif pada lelaki. Kalau lelaki tu perpangkat tinggi, ada rupa, selalu dikatakan kaki perempuan. Tak semua macam tu. Bukankah kelebihan dalam diri seseorang tu anugerah dari Allah. Mesti awak pun ingat saya lelaki macam tu jugak kan Anis.”
Huh! Mana lah aku tahu. Ye laa kut, sampai perempuan sanggup merayu segalanya. Anis melirik senyum bila teringatkan kejadian di bilik Akmal beberapa hari yang lalu.
“Kenapa awak senyum?” Serius raut wajah Akmal bertanya.
“Eh! Tak ada apa-apa…” Gelabah Anis menjawab. Terkantoi!
“Awak kutuk saya ya?”
Terkedu Anis. Macam tau-tau pulak bos aku ni.
“Ala bos…biasa la tu…masyarakat hanya melihat dengan mata kasar, apa yang mereka nampak itulah yang mereka nilai. Memang betul tak semua macam tu. Tetapi orang lelaki ni…suka ambil kesempatan. Pantang jumpa dahi lincin sikit… mulalah bermadah pujangga. Suka sangat pasang jerat banyak-banyak…bila dah dapat jerat baru… yang lama ditinggalkan. Jenis ni yang pompuan menyampah.”
Akmal tergelak.
“Mungkin saya ni bukan jenis pandai bermadah pujangga. Itu sebab kena ditinggalkan ku,” kata Akmal perlahan seolah mengadu sahaja gayanya.
Riak keruh wajah Akmal menarik perhatian Anis. Seperti memendam rasa sahaja.
“Hhmm… macam bos ni tak payah risau, sekali petik jari bersusun kat belakang.” Ujar Anis cuba menceriakan keadaan sambil memetik jarinya di hadapan Akmal.
Akmal tersenyum kecil mendengar kata berbaur gurauan itu.
“Itu kata awak Anis. Tapi dengan seorang perempuan ni, berkali-kali saya petik jari tak ada pun terjerat. Apatah lagi nak terpikat.”
“Ye ke, kalau macam tu bos kena mengayat lebih sikit…biar power sikit ayat tu. Baru terlentok dia dengar. Satu lagi, muka bos tu jangan serius sangat. Seriau perempuan tengok tau.” Di hatinya terdetik sesuatu. Siapakah gerangan gadis yang ingin dipikat bosnya itu.
“Pandai lah awak Anis nak mengajar saya.” Dia tak tahu, perempuan yang aku nak pikat tu sebenarnya dia.
“Betul laa apa yang saya cakap, tapi mungkin juga perempuan tu nak duga sejauh mana keikhlasan bos kat dia. Mana kita tahu kan. Tak apa bos, usaha tangga kejayaan. Kalau bos ikhlas sukakan perempuan tu. Insya-Allah satu hari nanti pasti dia akan terpikat dengan bos.”
Tergelak Akmal. Beria-ia benar Anis memberi kata semangat kepadanya.
“Anis!”
Serentak mereka menoleh ke belakang. Kelihatan Datin Kamariah dan Puan Mariam melangkah menghampiri mereka.
“Kenapa biar Akmal buat kerja kat sini. Sepatutnya Anis tunjukkan tempat duduk untuk Akmal kat depan sana,” tegur Puan Mariam. Sepatutnya Anis membawa Akmal ke tempat tetamu jemputan yang telah disediakan.
Namun begitu, dihati kecil Puan Mariam senang melihat Anis dan Akmal melakukan kerja bersama. Nampak sepadan sekali pada pandangan matanya. Apatah lagi bila Kamariah menyuarakan hajat untuk bermenantukan Anis. Tetapi biarlah dia bertanya dengan tuan punya badan dahulu sebelum memberi keputusan.
Cuak Anis bila ditegur Puan Mariam. Lebih-lebih lagi Datin Kamariah juga ada di sisi. Namun, lirikan senyuman Datin Kamariah meredakan rasa dihati. Anis meletakkan pinggan di atas meja. Tangan Datin Kamariah dikucup lembut. Mekar senyuman di bibir Datin Kamariah melihat tingkah sopan Anis itu.
“Tadi Anis dah suruh ibu, Encik Akmal yang tak nak. Anis tengok encik Akmal macam bosan aje, itu yang minta tolong susunkan sudu garpu tu,” beritahu Anis kepada Puan Mariam.
“Tak apa ibu. Memang saya nak tolong pun,” pintas Akmal.
Erk!Ibu! Sejak bila pula jadi anak angkat ibu aku ni? Gumam hatinya.
Menggeleng Puan Mariam memerhati Anis yang tunduk tersipu bila terpandang renungannya. Ada gaya jugak nak membuli orang Anis ni.
“Tak apa lah Yam, belajar-belajar la tolong menolong ni. Nanti-nanti senang sikit,” ujar Datin Kamariah terselit maksud tersirat. Melirik senyuman Puan Mariam mendengar kata-kata Datin Kamariah. Akmal dan Anis hanya berpandangan termangu.
“Akmal, marilah ke depan, majlis dah nak mula. Biar Anis sudahkan kerja tu,” ajak Puan Mariam.
Akmal menyerahkan bakul kepada Anis sambil tersengih sahaja.
“Tolong sambung ye cik Anis,” ujar Akmal sambil menghulurkan bakul kepada Anis.
Mencebik Anis. Tak pasal-pasal aku yang kena. Anis menyambut bakul yang dihulurkan oleh Akmal. Sebelum berlalu, Akmal sempat mengenyitkan mata kepada Anis dengan senyuman yang cukup menawan membuatkan Anis terkaku di situ.
——————–
22
Jauh lamunan Anis merenung ke luar restoran. Gelas air berisi fresh orange hanya dikacau-kacau dengan penyedut air. Jauh fikiran melayang melayan perasaan sendiri. Gelisah hatinya sejak ibu memberitahu hajat Datin Kamariah kepadanya. Serba salah dibuatnya umpama diluah mati mak ditelan mati bapak.
“Anis tak boleh terima ibu.” Perlahan tutur kata Anis.
“Kenapa? Anis dah ada pilihan sendiri ke?” soal Puan Mariam.
“Bukan macam tu ibu,” jawab Anis. Buntu fikirannya. Tidak tahu bagaimana cara untuk menjelaskan kepada Puan Mariam. Dia tidak boleh memaksa diri untuk menerima orang yang dia belum kenal hati budinya. Macam mana nak hidup bersama kalau tak ada langsung perasaan sayang.
“Habis tu, kenapa? Anis tak suka dengan Akmal tu ke? Hari tu ibu tengok mesra aje Anis dengan Akmal.”
“Anis layan Encik Akmal tu sebab dia majikan Anis aje ibu, tak lebih dari tu.” Takkan kerana layanan baiknya, senang-senang dia nak terima. Tidak sangka kemesraan antara dia dan Akmal telah disalahertikan.
“Cuba Anis beritahu ibu, apa sebab Anis tak boleh terima Akmal?” Lembut bicara Puan Mariam menyoal. Tangan menggenggam kedua tangan Anis. Memberi sedikit kekuatan dan kepercayaan untuk Anis berterus terang.
“Anis tak kenal dia ibu. Hati budinya macam mana. Anis tak boleh hidup bersama dengan lelaki yang belum Anis faham perangainya. Macam mana kalau nanti kami tak ada persefahaman. Ini soal masa depan Anis ibu,” rintih Anis mengharapkan pengertian Puan Mariam.
“Tak semestinya kita tak kenal hati budi seseorang kita tak boleh bahagia Anis. Ibu tengok Akmal tu baik aje perilaku. Hormat orang tua lagi.”
Anis hanya membisu. Sesak dadanya bila alasan yang diberi ditepis sahaja.
“Percayalah Anis… bercinta selepas kahwin jauh lebih indah. Mata orang tua mampu menilai yang terbaik untuk anak-anaknya Anis,” sambung Puan Mariam lagi.
“Tapi Anis tetap tak boleh ibu,” sebak dada Anis. Air mata mula bertakung di kelopak mata. Berat hati untuk menerima. Pertengkaran Akmal dengan perempuan itu tempoh hari menguatkan naluri Anis untuk menolak Akmal. Namun biarlah ia tersimpan rapi di hatinya. Tidak mahu memberatkan keadaan, khuatir akan timbul masalah jika sampai ke telinga Datin Kamariah.
Berat hembusan nafas Puan Mariam. Wajah keruh Anis direnung. Tidak menyangka apa yang dirancang berlaku sebaliknya. Namun dia sedar tidak boleh memaksa Anis menerima Akmal. Tapi harapan sahabatnya terlalu menggunung.
“Ibu pun tak tahu macam mana nak beritahu Datin Kamariah. Tak sampai hati nak menghampakan perasaannya. Berkenan benar dia dengan Anis. Tinggi harapan Datin Kamariah nak bermenantukan Anis.”
Anis hanya membisu. Meruntum jiwanya. Serba salah bila mengenangkan Datuk dan Datin yang begitu baik terhadapnya selama ini. Apatah lagi hubungan sahabat yang terputus sekian lama bercamtum kembali. Tapi takkan dia harus mempertaruhkan masa depannya untuk kepuasan orang lain.
“Macam ni lah. Apa kata Anis berbincang dengan Akmal elok-elok. Berterus terang tentang perasaan Anis. Mungkin Akmal boleh tolong Anis terangkan pada Datuk dan Datin.” Cadang Puan Mariam.
Usul Puan Mariam membawa Anis ke sini. Bertemu serampang dua mata dengan Akmal untuk menjelaskan segala yang terbuku dihati.
Makin menjauh lamunan Anis bila melihat Akmal melangkah masuk ke dalam restoran. Dari jauh Akmal sudah melemparkan senyuman kepadanya. Segak berseluar jean dengan t’shirt hitam berkolar. Tetap terserlah kekacakannya walaupun dalam gaya kasual. Beberapa pasang mata melirik ke arahnya. Apatah lagi bila melihat lirikan senyuman Akmal yang memikat. Namun bukan itu yang dipandang, bukan caranya memilih paras rupa tetapi hati budi seseorang menjadi pilihan utama.
“Sorry… lambat sikit,” kata Akmal sambil melabuhkan punggung di kerusi di hadapan Anis. Ceria wajahnya.
Manakala Anis hanya melirik senyum nipis membalas. Senyumannya pun tidak semanis selalu rasanya. Perasaan resah makin terasa bila berhadapan Akmal.
“Bos nak order apa-apa?” Tanya Anis meredakan gelodak jiwa.
“Boleh jugak.” Tanpa dipanggil seorang pelayan telah menghampiri meja mereka terlebih dahulu.
“Bagi saya carrot susu satu.”
“Makan.” Tanya pelayan itu.
“Tak nak, terima kasih.”
Setelah pelayan itu berlalu pergi. Bebola mata Akmal terarah pada Anis. Riak gusar di raut wajah Anis mencuri perhatiannya.
“Ada apa awak nak jumpa saya?” Soal Akmal.
“Saya sebenarnya ada hal nak cakap dengan bos.” Ujar Anis memberanikan diri memulakan bicara. Hal ini mesti segera diselesaikan. Semakin ditangguh semakin membebankan dirinya.
“Boleh tak awak jangan panggil saya bos. Kat luar pun awak nak panggil bos. Tak sedap la kalau orang dengar.”
“Habis tu nak panggil apa?”
“Terpulang pada awak… janji jangan bos atau encik.”
“Mana boleh… bos kan bos saya, mana boleh suka-suka hati panggil apa pun.”
“Ala… panggil aje Akmal atau Mal… kalau nak manja lagi, panggil abang… lagi saya suka,” usik Akmal sambil tersenyum nakal.
Membuntang mata Anis. Adehh… naik berloya tekak aku dengar. Kenapa dengan bos aku ni sejak dua menjak ni? Makin menjadi-jadi pulak miangnya. Hati aku yang tengah gundah gulana ni dia tak tahu. Nak bermanja-manja pulak.
“Apa-apa aje lah. Nak panggil Akmal ke, Mal ke, abang ke, itu perkara kedua. Ada perkara yang lebih penting saya nak bincangkan dengan bos ni.” Balas Anis sudah malas melayan.
Tergelak Akmal. Keletah Anis sering kali mencuit hatinya.
“Okay, apa dia?”
Anis terdiam sejenak. Renungan Akmal kembali meresahkan jiwa. Ligat memerah otak menyusun kata.
“Ini pasal hal merisik tu.”
Akmal sudah mengagak dari awal. Tentu perkara itu membawa Anis berjumpa dengannya. Perkhabaran mama ingin merisik Anis disambut baik tanpa bantahan. Apatah lagi gadis yang ingin disunting adalah Anis. Gadis yang berjaya memikat hatinya dalam diam. Tapi bagaimana dengan Anis? Setujukah dia?
“Kenapa?” soal Akmal.
“Sebenarnya saya nak minta tolong.”
“Tolong… tolong apa?” Berkerut dahi Akmal. Pelik! Berdebar menunggu Anis meneruskan bicara.
“Sebenarnya…” Terhenti bicara Anis bila pelayan menghantar minuman. Tika itu Anis menarik nafas panjang meredakan sesak menghimpit dada.
“Sebenarnya..” sebut Akmal sebaik pelayan itu berlalu pergi supaya Anis menyambung bicara yang terhenti tadi.
“Sebenarnya…” Anis diam sejenak. “Sebenarnya saya nak minta tolong bos beritahu pada Datuk dan Datin yang bos tak setuju dengan rancangan nak masuk meminang saya.” Sekali nafas Anis melontarkan kata. Kemudian dia melepaskan nafas lega.
Tersentap Akmal. Berubah riak wajahnya. Kecerian tadi mula hilang serinya. Hati bagai dihiris sembilu. Perasaan kecewa mula menyelubungi hati. Bertepuk sebelah tangan rupanya dia selama ini. Apa kurangnya dia sehingga terang-terangan Anis menolak dirinya?
“Kenapa pulak saya yang kena beritahu? Awak beritahu lah sendiri. Lagipun ini bukan rancangan saya. Semua ni hanya rancangan orang tua saya semata-mata. Saya tak nak masuk campur.” Tekan Akmal. Geram. Perasaan ego mula menguasai diri. Meluap rasa kecewa bila dirinya ditolak mentah-mentah. Umpama hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.
Terkedu Anis. Menyirap darahnya. Ada rasa terguris dilubuk hatinya yang dalam. Sepatutnya aku merasa lega kalau dia juga tidak setuju. Lebih mudah nak diterangkan kepada keluarganya nanti. Tapi kenapa perasaan kecewa pula yang ku rasa. Namun, dia cuba membuang jauh perasaan itu.
“Kalau bos pun tak setuju, lagi senang. Apa kata kita sama-sama beritahu yang kita tak setuju dengan rancangan ni,” cadang Anis. Raut wajahnya cuba beralun ceria walau di hati terguris luka.
“Saya tak nak masuk campur. Awak beritahu sendiri.” Tegas Akmal.
“Mana aci macam ni. Saya seorang yang kena tanggung. Bos pun terlibat jugak,” kata Anis mula tidak berpuas hati dengan sikap Akmal.
“Siapa yang bagi cadangan ni. Awak kan. So pandai-pandai la.” Balas Akmal tetap berdegil.
“Hello… rancangan meminang ni, kita berdua pengantinnya tau. So sama-sama lah beritahu,” kata Anis sambil menuding jari ke arah dia dan Akmal bersilih ganti. Rasa marah mula meluap-luap. Geram bila Akmal bersikap lepas tangan.
“Baik! Kalau itu kemahuan awak, sekarang jugak saya bawa awak jumpa my parent. Kita jelaskan segalanya. ” Akmal pantas berdiri dan berlalu ke kaunter pembayaran.
Termangu Anis sendirian. Gerun rasa di hati melihat wajah Akmal. Marahkah dia? Tetapi mengapa mesti marah kalau dia juga tidak bersetuju. Tak boleh ke cakap baik-baik, tak payah nak tinggi-tinggikan suara.
“Tunggu apa lagi… cepat lah, kereta awak tinggalkan kat sini, naik kereta saya aje.” Akmal terus berlalu pergi tidak menoleh lagi.
Gusar Anis dengan sikap Akmal. Apatah lagi hendak berjumpa dengan Datuk dan Datin. Seram sejuk terasa seluruh tubuhnya. Apa yang dia nak cakap nanti? Apa pula perasaan mereka bila dapat tahu perkara sebenar? Tapi kalau keduanya tidak bersetuju, rancangan ini tidak boleh diteruskan. Tawakal aje lah Anis. Apa nak jadi, jadilah.
Perlahan Anis bangun mengekori Akmal yang telah jauh di hadapan. Di dalam hati menitipkan doa semoga diberi kekuatan dalam diri untuk berdepan dengan keluarga Akmal nanti.













rindu lak kat Akmal & Anis nie…huhuhuuuhuhu
cepat la smbng cite ni..best sgt…
biler nak sambung,tak sabar nie….sweetnyer…
menarik bila keluar dalam bentuk buku
ceritanya best, saya ingit memilik novel ini….dengar2 akan terbit dalam bulan Julai ini….tarikhnya……?…..
dah kuar novel pun….. terbitan karya seni…. jom pergi cari ramai2
tak sabar nak dapatkan novel ni di pasaran…anis n akmal..memang best..