Novel : KLIK! 4

1 March 2011  
Kategori: Novel

10,294 bacaan 31 ulasan

Oleh : Permaisuri / Suri Ryana

4

Pelik bin ajaib betul aku dengan kelakuan semua orang malam ini. Selesai sahaja menjamu selera, umi dan Auntie Maria terus meminta diri untuk ke dapur. Kemudian, Uncle Johan pula bertanya tentang barang-barang antik kepunyaan abah. Sememangnya abah yang menggemari barangan antik itu mempunyai banyak koleksi barangan tersebut yang disimpan rapi di dalam sebuah almari. Abah kemudian mengajak Uncle Johan naik ke atas untuk melihat barang-barang kesayangannya itu. Sebelum bangun dari sofa, sempat lagi Uncle Johan membuat isyarat mata kepada Irham yang aku sendiri tidak memahaminya. Pelik betul mereka ini. Orang lain bercakap menggunakan bahasa, mereka pula menggunakan mata.

“Lailaaaaaaaa…”

Suara umi jelas kedengaran dari dapur melaungkan nama Laila. Kuatnya seperti menggunakan pembesar suara.

“Ada apa umiiiiiiiii??” Laila pula yang memang mewarisi suara ibuku itu kemudian menjerit membuatkan aku menutup telinga dengan kedua-dua belah tangan. Irham hanya tersengih seperti kerang busuk ke arah Laila yang sedang bangun dari sofa. Sebaik sahaja Laila berlalu, Irham mulalah tersengih-sengih ke arahku. Aku hanya menjeling dan mencebikkan bibir.

Gelegak di dalam hati tidak dapat kutahan lagi apabila melihat sengihan lelaki itu yang bertambah lebar. Aku bingkas bangun dan terus berlalu keluar. Bukan apa, malas betul hendak berhadapan dengan lelaki lembik lagi sewel itu. Eleh, aku tahu sangat strategi umi, abah, Uncle Johan dan Auntie Maria yang mahu meninggalkan aku berdua dengan Irham di ruang tamu. Kononnya supaya kami dapat berbual mesra dan berkenalan dengan lebih rapat lagi. Citt, podah!

Kalau suruh bersembang-sembang dengan lelaki itu memang awal-awal lagi aku angkat bendera putih dan menyerah kalah, memang tak berminat. Tapi, kalau suruh aku bergaduh dengannya, kecil tapak tangan, nyiru aku tadahkan. Boleh aku memberikan tumbukan sakti tepat pada mulutnya yang lancang itu. Sakit betul hatiku apabila si sewel memanggil aku “kekaseh” di hadapan semua orang tadi. Kemudian, diberitahu pula yang aku ada berjumpanya semalam. Ah, pasti semua orang dah salah sangka!

Punggung kulabuhkan di atas buaian sambil memandang kosong ke arah taman yang hanya diterangi sinaran lampu dari bahagian dalam rumah.

“Hai Kaseh..tak baik kau tinggal tetamu sorang-sorang tau.” Aku terus menoleh ke belakang. Lelaki itu kulihat sedang menyarungkan kasut dan berjalan ke arahku. Memang nak kena mamat ni.

“Eh..lu ni kenapa ha? Dah hilang akal? Yang lu beritahu diorang kita berjumpa semalam tu kenapa?” Laju sahaja aku menengking lelaki yang sedang tersenyum sinis di hadapanku ini. Sebelah tangannya memegang tiang pada buaian.

“Apa salahnya? Memang betul kita ada jumpa pun, kan? Aku tak suka menipu. Wahai umat Muhammad, kau tahu apa hukumnya menipu?Apa kau tak takut dengan siksa kubur?” Nada suaranya sebiji seperti seorang ustaz. Hati yang bengkak kini sudah mula berdarah melihat makhluk di hadapanku ini. Geramnya tidak dapat kutahan lagi.

“Eeee…lu ni kan..” Belum sempat aku menghabiskan ayat dia sudah pun memotong.

“Kalau kau bayar duit aku semalam, mungkin kejadian tadi tak berlaku. Hm..sekarang kan dah menyesal! Well, it’s not like I didn’t warn you, Kaseh.” Ujarnya yang kemudian melabuhkan punggung di sebelahku. Aku pula terus mengesot menjauhi lelaki itu. Tak ingin nak duduk rapat-rapat dengan dia ni.

Baru aku teringat kata-katanya semalam yang aku akan menyesal. Mata kujegilkan sebesar-besarnya ke arah lelaki itu. Benci betul aku dengan si Irham ni. Tak pernah aku membenci orang seperti ini sepanjang aku bernafas.

“Aku tahu la aku kacak. Tapi tak perlulah kau nak pandang aku macam tu. Dah macam pontianak aku tengok wajah kau ni. Eh, lupa pulak aku, kau mana boleh jadi pontianak sebab pontianak tu perempuan. Kau ni kan dua alam..” Irham nampaknya masih mahu terus-terusan menyakitkan hatiku. Rasa marah tidak dapat kubendung lagi apabila dia menggelarku makhluk dua alam. Ingat aku ni katak atau ketam batu ke, nak dipanggilnya dua alam? Kurang asam betul.

“Hoi! Baik lu blah dari sini sebelum wa patah-patahkan tulang lu. Blahhhhhh!” Jerkahku yang menendang dengan kuat kaki lelaki itu. Puas hati aku! Rasakan! Lelaki itu terus bangun dan menjauhiku sedikit.

“Auchh!” Kerutan di wajah Irham membuahkan kepuasan di dalam diriku. Lagi sakit lelaki itu, lagi puas hatiku sekarang. Aku sedar aku bukannya perempuan sempurna tetapi itu tak bermakna dia boleh terus-menerus menyakitkan hatiku.

“Ganas betul la kau ni Kaseh. Macam mana la mama aku boleh berkenan dengan perempuan tak cukup sifat macam kau ni?” Ujar lelaki itu yang mengusap-usap betisnya.

“Wa nak lu cakap dengan mama lu, yang lu tak berkenan dengan wa.” Sepotong ayat yang berbentuk arahan kututurkan kepadanya berserta jelingan tajam.

“Kenapa pula aku kena cakap dengan mama aku macam tu?” Soalan yang tidak berapa cerdik daripada lelaki itu membuatkanku bertambah geram dengannya.

“Sebab wa tak suka lu. Lu pun tak suka wa, betul tak? Lagipun lu kan dah ada girlfriend.” Tengkingku. Kemudian, aku terus menoleh ke arah pintu rumah yang terbuka. Takut juga kalau suaraku ini didengari mereka yang berada di dalam.

“Itu semalam. Kami dah break pun. So, status aku sekarang single and available! Mesti kau happy kan sebab ada peluang untuk kau tackle aku. ” Ujar lelaki itu berserta sengihan panjang di bibir. Hai, dia ni nak kena tendangan sakti kedua dariku agaknya!

Aku terus menggelengkan kepala. Tidak sangka yang lelaki ini sangat perasan orangnya. Tapi, selamba sahaja kulihat reaksinya ketika ini. Tidak menggelabah langsung dengan rancangan mama dan papanya. Adakah dia bersetuju untuk dijodohkan denganku?

“Kepala hotak lu! Eee..lelaki macam lu ni yang wa nak minat? Mintak simpang malaikat 44! Tak logik langsung. Sudahla muka macam pondok buruk tak siap, sewel pulak tu. Sorry la, lu bukan taste wa.”

“What? Kau cakap muka aku macam pondok tak siap?” Aku terus mengangguk ke arah lelaki yang sudah mula kelihatan berang itu.

“Memang! Kenapa? Lu tak puas hati?”

“Mulut kau memang tak ada insurans. Aku akan pastikan kau menyesal.” Ujarnya sambil menundingkan jari ke wajahku. Nasib baik tak tercucuk ke dalam mata. Aku mengetap bibir dan memandang tajam ke arahnya. Isk, memang dah berasap kepalaku kerana terlalu panas dengan si sewel ini.

“Lagi-lagi menyesal. Hey, wa tak kisah la. Kalau setakat lu nak buat cerita macam tadi tu. Go on! Lu ingat wa takut sangat ke bila lu gertak-gertak gitu? Sorry, salah orang la.”

“By the way, wa nak tanya sikit…lu memang tak setuju dengan rancangan mak ayah kita tu kan?” Soalku yang memandang tepat ke wajahnya.

“Well, itu aku kena fikir dulu. Sementara nak dapat awek baru, okay jugak kalau aku couple dengan kau. Peneman di kala bosan. ” Jawabnya sambil membelek telefon bimbit di tangan. Sah lelaki ini hendak main-main denganku. Buang masa betul!

“Isk..wa kesian betul la dengan mama dan papa lu sebab dapat anak mereng macam ni.” Ujarku geram dan terus bangun dari buaian. Langkah kaki kuhayun laju masuk ke dalam rumah. Aku tidak kisah langsung dengan jawapan lelaki itu tadi kerana aku yakin dia memang tidak akan bersetuju juga nanti dengan cadangan mama dan papanya. Setelah aku berjumpa dengan bekas teman wanitanya semalam, aku tahu sangat citarasa lelaki itu bagaimana.

“Ah, Kaseh, kau tak perlu bimbang la!” Ujarku kepada diri sendiri.

***

Seleraku untuk menjamah makanan pagi ini terbantut seketika apabila melihat senyuman pada wajah umi, abah dan Laila. Aku tetap juga berlagak selamba sambil mencedok nasi lemak ke dalam pinggan. Kemudian, sedikit sambal sotong pula kucedok. Kenapa agaknya semua orang tersenyum begitu kepadaku?

“Kenapa kakak tak cakap yang kakak dah jumpa dengan Irham? Siap berlagak tak suka pulak tu padahal dalam hati dah siap bina taman.” Laila bersuara membuatkan aku menghentikan kunyahan seketika. Nasib baik aku tak tersedak mendengar kata-katanya itu.

“Ehem..Laila..makan. Jangan nak merepek pagi-pagi ni.” Abah pula menegur Laila sebelum sempat aku bersuara. Adikku itu tersenyum kelat dan terus menyuapkan nasik ke dalam mulut.

“Umi, abah, Kay ada perkara nak cakap ni..” Sudu dan garfu kuletakkan di dalam pinggan.

“Tak apa Kaseh. Kami dah tahu apa yang Kaseh nak cakap.” Ujar umi yang menghulurkan mangkuk berisi ikan bilis goreng kepadaku.

Aku hanya mengambil sedikit sahaja ikan bilis tersebut. Nafsu makan sudah semakin berkurangan sebaik sahaja mendengar kata-kata umi itu. Aik, belum aku cakap mereka dah tahu?Ajaib, ajaib! Aduh, sah mereka semua sudah salah anggap hubungan aku dengan Irham.

“Umi dan abah jangan salah anggap hubungan Kay dengan Irham. Kay dengan Irham tu……” Aku cuba untuk menerangkan segala-galanya kepada mereka tetapi belum sempat aku menyambung ayat seterusnya umi sudah pun bersuara.

“Sayang, Irham dah ceritakan segala-galanya kepada abah semalam.” Jawab umi lembut. Sayang? Aik, rasa-rasanya umi hanya memanggil kami sayang apabila kami menurut kata-katanya. Ah, memang ada yang tak kena ni. Apa agaknya yang malaun tu ceritakan dekat abah semalam? Irham, lu memang nak makan penampar wa, nampaknya! Siap lu!

“Ha? Apa yang dah Irham ceritakan dekat abah ni?” Aku yang memang terkejut terus memandang wajah abah untuk meminta penjelasan. Bapaku hanya tersenyum dan menghirup sedikit kopi sebelum bersuara.

“Segala-galanya.” Jawab abah sambil tersenyum lagi. Memang hari ini aku isytiharkan hari senyum sedunia kerana semua orang suka sangat tersenyum.

“Hah?” Terlopong seketika diriku ini

“Ye la..tapi apa yang Irham cakap dengan abah?”

“Katanya kamu pernah merempuh bahagian belakang keretanya. Kemudian, dari situ la kamu berdua dapat tahu yang kamu saling mengenali sejak kecil lagi. Kamu berdua kemudiannya keluar minum beberapa kali sebelum dia datang ke rumah kita semalam.” Semakin besar mulutku membentuk huruf ‘O’ apabila mendengar kata-kata abah itu. Sah, lelaki itu hendak cari fasal denganku. Boleh pula dia menipu! Kurang asam!

“Abah..” Aku cuba untuk memberitahu hal sebenarnya tetapi umi terlebih dahulu memotong.

“Tak mengapa Kaseh. Kami tak kecil hati pun kalau kamu nak sembunyikan perkara ni. Umi faham Kaseh malu untuk berterus-terang kan? Yang pastinya, umi gembira sangat dengan perkembangan dalam hubungan kamu dan Irham. Terima kasih, sayang. Umi tahu Kaseh tak akan menghampakan umi.” Kata-kata umi berserta senyuman di bibirnya membuatkanku kelu seribu bahasa. Nampaknya semua orang gembira dengan cerita rekaan Irham itu. Terasa sakit kepalaku sekarang.

“Umi, macam ni..” Aku cuba juga untuk memberitahu hal sebenarnya tetapi melihat wajah gembira umi dan abah, kata-kata yang ingin kuucapkan tersekat di kerongkong sahaja.

“Sudah, habiskan makanan tu.” Ujar umi.

“Betul tu Kaseh. Dah pukul 8 15 dah ni. Nanti lewat pula kamu ke pejabat. Seorang bos perlu menujukkan tauladan yang baik pada anak buah. Masih ingat lagi pesan abah?”

“Ingat abah.” Jawabku perlahan.

“Good. That’s my daughter.” Ujar abah.

“That’s my daughter too!” Umi pula bersuara sambil memberikan senyuman paling manis untukku. Aku pula memaksa diri untuk tersenyum. Perkara sebenar harus juga kuceritakan kepada mereka tetapi bukan hari ini. Tak sanggup pula rasanya untuk merosakkan “mood” gembira umi dan abah. Bukan selalu kulihat mereka segembira ini.
Tanganku mencapai telefon bimbit dan satu sms kuhantar kepada Irham :

“Hoi sewel! Lu memang dah lebih! Ada lori ada bas, ada hari wa pasti balas. Lu tunggu!”

***

Beg sandang belakang kukeluarkan daripada kereta dan terus melangkah ke arah bangunan putih yang terletak berhadapan denganku. Kebas tanganku mendail nombor Irham tetapi lelaki itu tidak juga menjawab panggilanku. Orang kalau dah buat salah memang begitulah lagaknya. Tapi, takutkah dia dengan aku? Melihat gayanya yang sewel itu, rasa tak logik pula kalau lelaki itu gerun denganku. Aku terus melangkah masuk ke dalam pejabat dengan wajah yang kelat.

“Good morning bos.” Sam menegurku sambil tersenyum. Kemudian, pandangan dihalakan kembali kepada lelaki yang sedang duduk di hadapannya. Awalnya dah ada pelanggan. Rezeki, rezeki!

“Okay, Encik Adam boleh bincang dengan bos saya tu.” Kata Sam kepada lelaki itu. Aku merenung ke arahnya yang menoleh kebelakang untuk melihatku. Oh, lelaki robot ni rupanya. Lelaki yang datang jumaat lepas bersama bakal tunangnya, Lilia yang cerewet tu. Kenapa pula dia berada di sini? Hendak batalkan “booking” ke? Wajah Irham yang memenuhi ruang fikiranku kini hilang entah ke mana.

“Hai, selamat pagi. Kejap ye.” Ujarku sambil tersenyum. Lelaki yang segak berkemeja lengan panjang biru muda berjalur putih itu kulihat hanya menganggukkan kepalanya.

“Sam, tolong tengok tengok barang-barang kat stor. Catit kalau barang-barang atau peralatan yang perlu dibeli . Nah kunci!” Aku terus membalingkan kunci kepada lelaki itu yang berjaya menyambut gugusan kunci berwarna “silver” itu. Kemudian, “cap” yang berada di kepala kubetulkan dan seterusnya mengambil tempat di atas kerusi yang letaknya berhadapan dengan Adam. Lelaki itu kulihat hanya memerhati gelagatku dan apabila aku tersenyum ke arahnya, senyuman tawar diberikan kepadaku. Bukanlah hendak mengata, tetapi lelaki ini memang tidak mesra alam.
- Hide quoted text -

“Ehem, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Soalku kepadanya.

“Ermm busy tak hari ni?” Soalannya membuatkanku tersentak. Hai, soalan tu macam nak ajak aku dating pulak. Rasanya semalam sahaja aku berpenampilan seperti seorang wanita. Hari ni seperti selalu, aku hanya berkemeja lengan panjang yang dipadankan dengan jeans lusuh.

“Kenapa?” Soalku. Wajahnya yang boleh dikategorikan dalam golongan kacak itu ketenung tajam.

“Saya ada job untuk awak.” Lega apabila mendengar jawapannya itu.

“Oh..erm..job apa ye?”

“Fotografi la. Takkan job menyanyi atau berkompang pulak.” Jawapannya membuatkanku terdiam seketika.

Lelaki ini rasanya seorang yang pendiam tetapi apabila dia bercakap, pedas betul ayat-ayat yang keluar dari mulutnya. “Sabar Kay. Ingat, customer is always right…” Aku mengingatkan diriku.

“Maksud saya job ni untuk function apa?” Soalku sambil mencapai “organiser”.

“Ambil gambar untuk syarikat saya.” Jawabnya. Aku hanya menganggukkan kepala. Untung betul, muda-muda lagi dah ada syarikat. “Eleh, syarikat bapak dia kot.” Sempat lagi aku membuat kesimpulan di dalam hati. Tapi, lelaki ini memang beruntung. Muda-muda lagi dah berjaya.

“Gambar apa?”

“Gambar tapak projek.” Selamba sahaja dia berkata begitu.

“Gambar tapak projek?” Sumpah sepanjang aku terlibat di dalam bidang ini, tidak pernah aku mengambil gambar sebegitu.

“Err..untuk apa ye?” Seperti orang bodoh aku bertanya soalan itu.

“Penting ke untuk awak tahu?” Aku pula terus menggeleng. Sabar, sabar! Kenapalah semua lelaki yang aku kenal sengal-sengal belaka? Memang tak boleh pakai langsung!

“Oh..boleh..bila tu?” Soalku lagi.

“Now.” Sekali lagi aku tersentak.

“What?! Now?” Terkejut beruk aku mendengar jawapannya tadi.

“Saya bayar double.” Aku membuka “cap” di kepala. Double? Dua kali ganda? Wah, banyak tu. Bukan harga yang menjadi masalahnya tetapi aku perlu semak dulu jadual yang ada hari ini.

“Bro, bukan harga yang jadi masalah tapi..” Gusar sungguh hatiku ini kerana takut tidak mampu memberikan yang terbaik. Fikiran pula cuba membayangkan keadaan di tapak projek.

“Triple!! Take it or leave it.” Dengan pantas aku membuka “organiser” untuk menyemak jadual aku, Niza dan Sam untuk hari ini. Nampaknya Sam dan Niza memang ada “job” sekejap lagi. Nasib baik aku “free”. “Tiga kali ganda tu..Yehoooooooo!” Hatiku berkata-kata dengan gembira. Baru sahaja aku ingin membuka mulut, lelaki yang kurang sabar di hadapanku ini terus bersuara.

“Maaf, saya tak ada masa nak bertandang lama-lama kat sini. It’s okay, saya boleh cari orang lain.” Ujar lelaki itu yang sudah pun bangun. Memang tidak sabar insan yang bernama Adam ini.

“Err..Encik Adam. Di mana tapak projek tu?” Cepat-cepat aku berkata begitu tanda aku bersetuju untuk menerima tawarannya. Teruja juga kerana sepanjang studio ini beroperasi tidak pernah aku mendapat durian runtuh yang sebegini.

“Di Seremban.” Jawabnya yang kulihat menghembuskan cermin pada kaca mata hitam di tangannya.

“What?!” Sekali lagi aku terkejut. Mati-mati aku ingat tapak projek itu di sekitar Kuala Lumpur sahaja. Ah, tapi bayaran yang akan diberikan adalah tiga kali ganda. Aku sanggup!

“Er..tentang harga saya perlu…” Aku berkata begitu tetapi pantas dipotong oleh lelaki itu.

“I don’t care about the price. Ni depositnya. Cukup?” Ujarnya yang memberikanku 20 keping duit RM 100. Mataku tertancap pada duit kertas di tangan. Wah, dua ribu semuanya! Masih bau bank lagi pulak tu.

“C..cukup..” Ujarku sambil mengangguk berkali-kali. Dah macam burung belatuk diriku saat ini.

“Jom.” Ujarnya. Aku hanya mengangkat kening. Jom?

“Bro, saya boleh pergi sendiri.” Ujarku.

“Susah. Bukan saya tak tahu perempuan bawa kereta macam mana.” Selamba sahaja dia berkata begitu sambil mecebikkan bibir. Aku? Perempuan yang tidak tahu bawa kereta? Memang dah lebih! Rasanya selain abah, lelaki inilah orang pertama yang menganggapku sebagai perempuan.

Aku juga ada kenderaan la, bro! Aku boleh pergi sendiri. Aku bukannya perempuan yang memerlukan bantuan lelaki untuk ke sana sini. Entah kenapa, kata-kata itu tidak terkeluar dari bibirku yang selalunya lancang ini. Sudahnya aku hanya mengangguk.

“Eh..kejap. Saya nak pack peralatan yang perlu dibawa dulu. It’s okay, Encik Adam. Boleh tunggu kat luar. Saya akan sampai secepat mungkin.” Ujarku.. Lelaki itu kulihat terus keluar tanpa berkata apa-apa. Angguk pun tidak, apa pun tidak. Ah, biarlah dia tu. Asalkan aku dibayar tiga kali ganda. Duit deposit yang masih berada di tangan kucium.

“Yehoooooo!” Jeritku sebaik sahaja lelaki itu hilang dari pandangan.

“Okay, korang boleh keluar dari tempat persembunyian. Kenapa sembunyi? Macam la mamat tu makan orang.” Ujarku kepada Sam dan Niza yang kulihat menjengukkan kepala sedikit daripada dalam studio. Bukan aku tak perasan yang mereka berdua itu berada di sebalik dinding dan memasang telinga mendengar perbualan aku dan Adam daripada tadi lagi.

“Uishh…kerek kan dia tu. Kau okay tak untuk job ni? If not, kita boleh tukar. Kau pergi ambil gambar potrait family Tan Sri Azlan je at 11 am nanti. Adam tu biar aku uruskan. Tukar nak?” Niza menawarkan diri tetapi pantas aku menggeleng. Ini Kay la..takkan la nak serahkan job ni kepada Niza pulak.

“It’s okay, babe. Thanks. Aku boleh handle. Kalau tak disebabkan dia bayar kita triple, tak de nye aku nak susah-susah ambil job ni. Ni pun nasib baik aku free.” Ujarku sambil memasukkan peralatan yang diperlukan ke dalam beg hitam di hadapanku.

“Bro, tolong check apa lagi yang aku perlukan ni. Bukan apa, aku takut ada yang tertinggal pula.” Ujarku kepada Sam.

“Reflector ada, flash ada, speedlight pun ada. semua lens yang kau perlukan pun ada, memory card..hurmm..you are good to go. Jangan lupa tripod tu.” Ujar Sam yang kulihat sedang memasukkan body camera ke dalam beg hitam tersebut.

“Thanks. Okay semua, aku cau dulu.” Ujarku yang mencapai beg dan terus bergerak keluar dari pejabat. Di dalam kepala hanya fikirkan tentang kerja yang harus kuselesaikan sebaik mungkin ini sahaja. Tidak, mana mungkin aku lupa tentang si Irham yang sewel tu. Nantilah, siap sahaja kerja aku, akan aku teruskan dengan rancanganku untuk membalas dendam terhadapnya. Jaga kau Irham!

***

Bersambung :D




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

31 ulasan untuk “Novel : KLIK! 4”
  1. Syawani bt Idris says:

    best…bila nak sambung sempat baca klik bab 12 jew..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"