Novel : Suami Aku Ustaz?! 14, 15

3 March 2011  
Kategori: Novel

62,348 bacaan 75 ulasan

Oleh : aku_dia

Belum sempat kedua-dua belah kaki jejak ke tanah, Abang Hafiz dah ada dekat sebelah aku dengan payung ditangan. Aku keluar daripada kereta tanpa mengeluarkan sepatah kata. Baru hendak mula berjalan, aku terasa nak tersungkur bila kaki kiri tak boleh langsung nak tampung berat badan. Laju aku berpaut dekat Abang Hafiz. Tak lama lepas tu, aku terasa ada tangan dekat pinggang. Spontan terasa darah menyerbu dekat muka. Cis! Ambil kesempatan betul! Sebaik sahaja aku mengangkat muka, mata aku bertentangan dengan mata Joe. Aku rasa dada aku dah berdebar menggila. Ya Allah, permudahkanlah urusan aku, ya Allah.

“Tak sangka ya, ustaz boleh duduk berdua, serumah dengan adik sepupu,” sinis Cikgu Liana bersuara.
Aku pandang Abang Hafiz yang statik berdiri sebelah aku. Dia tersenyum.

“Jemput masuk dulu, cikgu?” tenang Abang Hafiz bersuara.
Aku dah mula rasa tak sedap hati. Ini kalau ajak masuk, memang satu je penyelesaian dia.

“Tak perlulah, ustaz. Saya tak nak bersubahat dengan orang-orang yang macam ni. Lagi-lagi dengan ustaz yang sepatutnya lebih tinggi ilmu agama daripada saya. Bukan begitu Ustaz Hafiz?”
Aku dapat rasa part ustaz tu, punyalah Cikgu Liana tekan gila. Aku boleh dengar Abang Hafiz beristighfar perlahan dekat sebelah aku.

“Masuk dulu, cikgu. Kita berbual. Saya tak nak nanti makin banyak salah faham.”

Aiyaark! Nak menghuraikan salah faham ke ustaz? Aku dah rasa tak tentu arah. Rasa nak je terus masuk rumah, kunci pintu. Tidur dan bangun balik esok pagi macam tak pernah ada apa-apa yang berlaku petang ni. Alahai… Kenapalah boleh pulak aku terjatuh motor tadi? Kalau tak, tak adalah aku kena berdepan dengan semua ni.

Cikgu Liana terdiam. Abang Hafiz membantu aku berjalan sehingga ke dalam rumah. Tapi masa dekat garaj, aku tengok Joe pandang aku macam nak makan.

“Masuk dulu, Johan.” Abang Hafiz mengarah.

Akhirnya, Cikgu Liana dengan Joe melangkah jugak masuk ke dalam rumah ni. Aku berjalan terhincut-hincut menuju ke sofa. Baru nak duduk dekat sofa single, Abang Hafiz dah tarik tangan aku suruh duduk dekat sebelah dia. Abang Hafiz kemudian bangun dan duduk dekat atas lantai, berdepan dengan aku. Kaki kiri aku dia pegang. Dia gosok-gosok sikit lepas tu dia pusing macam mana entah sampai keluar bunyi.

“Aww!” Nak menangis aku dibuatnya. Janganlah patah pulak! Aku cuba goyang-goyangkan kaki. Eh! Dah tak sakit sangatlah!

“Terkehel ni.” Abang Hafiz bangun. Sempat dia gosok kepala aku. Sebelum kembali duduk dekat tempat dia tadi. Hish dia ini lah…

Cikgu Liana dengan Joe masing-masing mengambil tempat. Aku dapat rasa mata Joe tajam je pandang aku dengan Abang Hafiz. Aku dah tak mampu nak mengangkat muka untuk pandang Joe. Rasa serba salah pun ada sebab tak pernah langsung beritahu dekat sesiapa hatta kawan baik aku pasal aku dengan Abang Hafiz.

“Macam mana boleh terjatuh?” Abang Hafiz bertanya. Dia membelek-belek pulak siku aku yang luka sedikit. Ni nasib baik aku pakai dua lapis baju tadi. Baju hujan dengan baju kurung sekolah. Jadi, lukanya tak adalah teruk mana aku rasa.

“Jalan licin.” Itu je jawapan yang keluar daripada mulut aku.

“Demam lagi ke?” Tangan dia dah melekap pula ke dahi dan tengkuk. Aku menggeleng. Dalam hati dah rasa serba salah bila Abang Hafiz terlebih ‘caring’. Terus aku berdehem bila terperasankan muka Cikgu Liana dah berkerut semacam. Ustaz, ada oranglah dekat depan! Lagi mahu tunjuk baik. Isk!

“Minta maaflah, Cikgu Liana. Pagi tadi Alisa demam. Risau juga saya kalau demam dia tak kebah lagi,” kata Abang Hafiz. Agaknya baru teringat ada orang tengah tunggu dekat depan ni.

“Tak kisahlah apa pun, ustaz. Saya rasa lagi bagus ustaz terangkan apa yang ustaz kata saya salah faham tadi. Saya pun tak boleh nak lama-lama dekat sini.” Gaya Cikgu Liana sedikit memaksa.
Abang Hafiz mengangguk faham.

“Beginilah. Saya tahu, cikgu banyak fikir yang bukan-bukan tentang saya. Dan saya juga tahu cara layanan saya pada Alisa boleh mengundang banyak fitnah.”
Aku dah mula tak senang duduk.

“Jadi sebelum apa-apa perkara yang saya tak nak terjadi, sebab itulah saya minta cikgu dengan Johan masuk dulu.”
Kami bertiga diam mendengar Abang Hafiz bersuara.

“Saya sayang Alisa. Mungkin sebab tu layanan saya pada dia lain sikit.”
Muka aku panas. Mata sempat memandang Joe dengan kening yang terangkat bila mendengarkan ayat penyata yang keluar daripada mulut Abang Hafiz.

“Saya sayang Alisa lebih daripada seorang adik sepupu. Saya tahu perasaan sayang tu tak bermakna saya boleh buat yang bukan-bukan. Tapi memandangkan Alisa isteri saya, saya rasa benda tu tak salah.”

Aku dah menelan air liur. Waahh! Aku rasa nak jadi halimunan je sekarang. Fokus aku hanya pada Joe. Cikgu Liana aku dah tak hiraukan. Yang aku nampak muka Joe berubah terus. Aku tahu dia terkejut. Macam mana penerimaan dia agaknya ya?

“Saya… tak salah dengar kan?” Teragak-agak Cikgu Liana bersuara.

Abang Hafiz menggeleng. “Tak… Cikgu tak salah dengar. Kami dah menikah. Sebelum mak dengan ayah mentua saya ke Mekah.”
Cikgu Liana terdiam. Tiba-tiba aku macam terdengar bunyi hati terhempas pecah berderai. Oh Cikgu Liana, maafkan saya!

Abang Hafiz menyambung lagi. “Kat sekolah hanya ada dua orang yang tahu hal ini. Pengetua dengan guru kelas Alisa, Cikgu Kamariah. Sengaja saya rahsiakan perkara ni. Saya tak nak Alisa terbeban dengan hal-hal macam ni sebelum masanya. Saya harap cikgu faham.”

Kali ni aku pulak yang terpinga-pinga. Pengetua dengan Cikgu Kamariah tahu? Aku ingat tak ada sesiapa yang tahu!

“Macam mana ustaz dengan Alisa boleh terkahwin?” Akhirnya Cikgu Liana menyoal bila sejak tadi hanya Abang Hafiz yang bercerita.

“Bukan ter, cikgu. Ada orang fikir bukan-bukan bila dengar perkataan ter dekat situ.”
Abang Hafiz memandang aku. Aku buat selamba. Perlu ke nak beritahu semua orang mak dengan ayah suruh dia jaga aku? Sangat tak logik ya disitu.

“Hrm… Panjang ceritanya.” Abang Hafiz mengambil langkah mudah. “Insya Allah, nanti kami akan jemput semua ke majlis kami. Jadi buat masa sekarang biarlah orang tak tahu dulu.” Topik bertukar.
Kini masing-masing terdiam. Tak lama lepas tu Joe memberi signal ke arah Cikgu Liana. Ingin meminta diri bila mengingatkan motor dia masih di tepi jalan tadi, tak berkunci. Cikgu Liana turut bangun.

“Joe!” Lepas bersalam dengan Cikgu Liana, aku memanggil Joe.
Joe buat tak dengar. Aku dah mula rasa tak sedap hati.

“Saya balik dulu, ustaz!” Joe bersalam dengan Abang Hafiz.
Abang Hafiz mengangguk. “Terima kasih, Johan sebab tolong Alisa.”
Aku tengok Joe senyum nak tak nak. Lepas tu dia terus keluar. Ah sudah! Dia… terasa yang amat ke?

***

“Mana datang huruf ‘wau’ dekat situ, Lisa?”
Aku terhenti membaca Al-Quran. Sebenarnya fikiran aku dah melayang memikirkan Joe yang langsung tak angkat call dan balas mesej aku tadi. Sampai huruf yang tak sepatutnya ada pun aku tertambah.

“Ulang sekali lagi.”

Aku menggeleng bila Abang Hafiz menyuruh. “Kita stop dekat sini, boleh?”
Tak tunggu pun jawapan Abang Hafiz, aku dah menutup Al-Quran. Doa dibaca sebelum Al-Quran aku ambil dan aku letakkan ke rak.

“Kenapa ni? Dua tiga hari Lisa baca dah ok, kenapa hari ni berterabur balik?” Abang Hafiz menegur bila dia dah berdiri dekat sebelah aku.
Aku hanya menggeleng tanpa memberi jawapan. Takkan nak cakap, Lisa sibuk fikirkan pasal Johan masa tengah mengaji? Sungguh tak senonoh sekali buat perangai macam tu.

“Lisa risau ya sebab hal siang tadi?” duga Abang Hafiz.

“Nak risaukan apa? Tak ada apa nak dirisaukan.” Elok lepas lipat telekung, aku terus melangkah keluar bilik dengan kaki yang baru nak ok. Tak ada apa nak dirisaukan, Alisa? Menipulah tu. Walhal sekarang ni aku tengah risau fikirkan Joe.

Lepas makan, seperti biasa aku menyiapkan kerja sekolah. Abang Hafiz pun temankan aku. Tapi dia buat kerja dialah. Sekarang ni tengah sibuk sediakan soalan untuk test nanti. Nasib baiklah dia buat soalan budak tingkatan 3. Kalau untuk batch aku, memang aku dah curi-curi tengok soalan tu.

“Lisa?”
Aku tersentak. Mata yang tadi leka melihat tangan Abang Hafiz menulis, kembali memandang buku teks Matematik Tambahan di tangan. Soalan yang separuh jalan dibaca aku baca sekali lagi.

“Lisa, kenapa ni?”

“Kenapa apanya?” Bosan pulak aku rasa bila dua tiga kali kena tanya soalan yang sama sejak dari dalam bilik tadi.

“You look depressed.Why?”
Aku mengetap bibir. Terasa sabar aku dah nak menghilang. “Lisa ok…”

“No, you’re not!”
Aku angkat muka. “Bila Lisa cakap Lisa ok, maknanya Lisa oklah!” marahku.

Bila dah berkali-kali kena soal dengan soalan yang sama, siapa boleh tahan? Buku aku tutup. Lepas tu terus aku masuk bilik walaupun jam baru pukul 9.30 malam. Aku dah cukup risau bila mengingatkan Joe. Ini kena soal bertalu-talu pulak dengan ustaz ni. Argh! Tensionnya aku dengan ustaz ni!

—————————–

Aku melangkah masuk ke dalam kelas lebih awal daripada hari-hari biasa. Sampai awal pun sebab bergerak sekali dengan Ustaz tu. Dia yang berkeras sangat nak hantar dan ambil aku dari sekolah. Mujurlah sampai sekolah tadi, tak ada yang perasan aku naik kereta dengan Ustaz. Itu pun aku yang beriya-iya memujuk dia suruh turunkan jauh sedikit daripada perkarangan sekolah. Huh! Kalau aku naik motor, tak adanya aku nak kena jalan kaki yang lagi jauh daripada biasa tahu?

Baru menaiki anak tangga yang kelima, aku ternampak Joe yang baru sampai dengan motorsikal dia. Terasa jantung aku macam nak melompat keluar. Malam tadi lepas aku telefon dan mesej berulang kali, akhirnya Joe terus menutup handset dia. Aku perasan pun sebab bila aku cuba telefon dia, terus masuk ke ‘voicemail’. Nak kata bateri habis, macam tak logik sebab Joe lah orang yang selalu bising dekat aku kalau aku malas nak caskan bateri.

Aku memandang kelas yang masih gelap. Peliknya? Takkan tak ada seorang pun yang dah sampai? Dan macam pelik kalau aku yang menjadi orang pertama sebab ramai je lagi budak kelas yang yang tinggal lagi jauh daripada aku. Sambil menaiki tangga, aku memandang keluar. Mata menangkap susuk tubuh Joe yang sedang berjalan menuju ke arah tangga. Laju aku berkejar menaiki tangga untuk mengelakkan daripada berselisih dengan Joe. Aduh! Kaki sudahlah masih terasa lagi sengalnya. Ini pun nasib baik aku pakai bandage. Mengada-ngada kan? Kaki terkehel sedikit, terus nak pakai bandage bagai.

Sebaik sahaja tiba di kelas, aku menuju ke tempat duduk aku. Debaran dekat dada semakin menggila. Aduh…! Macam mana aku nak berdepan dengan Joe ni? Apa ayat aku nak cakap dekat dia? Perlu ke aku minta maaf dan ceritakan je semuanya? Tengah aku leka memikirkan pasal Joe, Joe dan melangkah masuk ke dalam kelas. Aku menelan air liur. Ah! Macam mana ni?

“Joe!” Laju aku memanggil Joe bila terpandangkan dia sudah bersedia nak keluar dari kelas. Joe mengangkat muka. Sebaik sahaja dia terpandangkan aku, riak wajahnya nyata berubah.

“Joe!!” Buat kali kedua aku memanggil dia.
Joe buat tak dengar. Dia dah berjalan keluar dari kelas. Aku menggigit bibir. Terasa nak menangis bila kawan baik buat aku macam ni.

“Johan!”
Akhirnya Joe menoleh. Nampak sangat dia tengah marahkan aku. “Apa dia?!”

“Pasal semalam…” aku terhenti bersuara. “Joe, aku nak mintak maaf. Sebenarnya, aku…”

“Huh!” Cara dia pandang aku, macam nak tak nak je. “Agaknya, kalau aku tak ada semalam, mesti sampai sekarang aku tak tahu kan?” keras dia bersuara.
Aku terdiam. Nafas aku tarik dalam-dalam. “Joe, takkan sebab benda ni kau terus buat aku macam ni?”

“Buat kau macam mana?” sinis dia menyoal.
Aku diam.

“Lepas apa semua yang aku tahu, kau nak aku treat kau tak ada apa-apa yang berlaku?!” Joe meraup muka dia dengan tapak tangan. “Aku minta maaf, Lisa. Perkara yang aku tahu ni buatkan aku tak boleh treat kau macam selalu.”

Aku memejamkan mata rapat-rapat. Ini baru Joe. Baru Joe. Baru Joe seorang… belum lagi Wati belum Pa’an lagi. Baru Joe seorang pun, penerimaan dia dah macam ni.
“Takkan sebab benda kecil ni kau terus nak sisihkan aku? At least, bagilah aku peluang untuk explain.”
Aku nampak Joe tersenyum sinis.

“Peluang? Explain?”
Aku memandang Joe tanpa sepatah kata.

“Kau dah lama sia-siakan peluang tu, Lisa. Let me guess, aku rasa aku orang pertama yang tahu kan?”
Aku terdiam.

“Hah! Baguslah, tu! Kau mengaku dekat semua orang, kitorang kawan baik kau. Bestfriend forever kononnya. Tapi benda besar macam ni, kitorang seorang pun tak tahu. Ini yang kau cakap bestfriend? Pergi matilah dengan BFF kau tu!”

Joe… kasarnya! Terasa mata dah mula bergenang dengan air mata. Ah! Kenapa tiba-tiba mood aku jadi sentimental sangat ni?

“Joe…” Aku cuba untuk memanggil dia.
Joe memusingkan badan dia membelakangkan aku. “Sudahlah Lisa. Aku frust sangat dengan apa yang kau buat. Pada aku kalau kau sendiri yang cerita awal-awal, aku masih boleh terima. Tapi dengan apa yang dah berlaku semalam, aku kecewa gila dengan kau.” Dia dah berjalan perlahan-lahan untuk keluar.

“Kau ingat aku suka sangat ke?” perlahan aku bersuara.
Joe terhenti melangkah. Kemudian dia menoleh ke arah aku.

“Kau ingat aku suka sangat ke bila kena paksa macam ni? Kalau tak kerana mak dengan ayah aku, tak ada maknanya aku nak sia-siakan hidup aku tau! Kau pernah tahu apa yang aku rasa? Kau pernah terfikir apa yang jadi pada aku kalau satu sekolah tahu? Apa pandangan diorang bila dengar cerita ni? Semua benda ni mengarut, kau tahu tak? Kau tak pernah berada dekat tempat aku, jadi tak adil kalau kau nak judge aku macam ni je. Kau ingat aku nak sangat ke hidup dengan dia? Kau ingat aku suka sangat ke dekat dia? Aku langsung tak terfikir semua benda ni tahu?” Laju aku menuturkan kata.
Aku lihat Joe bagaikan hendak bersuara. Baru dia hendak membuka mulut, matanya menjeling ke arah seseorang diluar.

Aku menarik nafas dalam. Ada orang datang, ke? Tanpa sepatah kata, Joe meninggalkan aku di dalam kelas seorang diri. Aku memberanikan untuk menoleh ke kiri. Mencari-cari siapa gerangan yang dah mendengar semuanya. Berubah terus muka aku bila terpandangkan Abang Hafiz tengah berdiri elok di pintu belakang. Damn it! Satu masalah tak selesai, dah timbul masalah lain.

“Err…”
Sekarang ni aku sudah tak tahu nak panggil dia abang ataupun Ustaz. Lidah aku terkelu bila aku lihat muka dia serius semacam. Abang Hafiz mengambil satu langkah ke hadapan. Tangannya meletakkan sesuatu yang berwarna hitam ke atas meja yang paling dekat dengan dia.

“You left this in the car,” dia berkata tanpa memandang aku. Sebaik sahaja meletakkan benda yang aku tertinggalkan itu, Abang Hafiz terus melangkah pergi tanpa bertanyakan apa-apa.
Aku mengigit bibir. Objek hitam itu aku perhatikan. Entah bila masa pula purse ni tercicir? Dan kenapa mesti hari ni yang purse tu nak tercicir? Ah! Aku cuba untuk mencari-cari bayang Abang Hafiz. Dia dah menghilang. Dia dengar? Dia dengar ke semuanya? Kalau dia tak dengar, dia tak akan menjadi pelik macam tadi! Aku ligat berfikir, mengingatkan kembali apa yang aku dah cakapkan sepanjang Joe ada dekat dalam kelas tadi. Ya Allah, Alisa… apa kau dah buat ni?

***

“Kau dengan Joe gaduh ke?” Wati bertanya apabila pelik melihat aku dengan Joe tak seperti selalu.

Aku hanya mendiamkan diri. Kalau aku mengaku, memang sah-sah Wati akan mengorek sampai dia dapat tahu apa yang membuatkan aku dengan Joe tak bertegur sapa. Ok, bukannya aku yang tak menegur Joe. Tapi Joe yang langsung buat aku tak wujud dekat depan dia.

“Tak adalah.” Akhirnya itu je jawapan yang aku dapat berikan. Bukan setakat dengan Joe je macam ni. Dengan Ustaz tu belum kira lagi. Aduh! Malang bertimpa-timpa betul aku hari ni. Kalaulah tadi aku tak ikutkan sangat perasaan aku.

“Iya ke?”
Aku mengangguk.

“Suka hati kaulah, Lisa. Kalau aku tanya banyak kali pun belum tentu kau nak cerita dekat aku.”
Bagaikan merajuk sahaja Wati bersuara. Aku buat tak faham.

“Wati…”
Wati menoleh. Aku teragak-agak mahu bercerita. Perlu atau tidak? Cerita atau diamkan sahaja?

“Ada apa?” Wati bertanya bila aku tidak mengeluarkan suara.
Aku menggeleng. Belum lagi… belum masanya. “Tak ada apalah!”

Tajam mata Wati memandang aku. Aku dah mula rasa serba tak kena.”Aku tahu kau ada sorok benda daripada aku.”
Aku buat-buat terbatuk bila Wati berkata seperti itu. Setelah berdehem dua-tiga kali kononnya, aku bersuara. “Err… kalaulah aku memang ada sorokkan something daripada kau, apa kau buat?”
Wati memusingkan badannya. Kali ini, dia sudah duduk berhadapan dengan aku. Tangan kanan dia memegang tangan kiri aku. Gaya aku dah macam orang kena tahan je. Tak bagi pergi mana-mana.

“Cerita.” Dia mengarah.
Aku menarik nafas dalam-dalam.

“Aku cakap kalau. Bukannya aku ada rahsiakan apa-apa pun,” kataku cuba untuk mencari ruang untuk menyelamatkan diri.
Wati mengeluh. “Suka hati engkaulah, Lisa. Kalau kau nak rahsiakan sampai bila-bila pun, rahsiakanlah. Tapi kalau kau rasa aku ni kawan baik kau, kau ceritalah. Aku tak nak memaksa.”
Aku rasa macam kena penampar dua kali daripada Wati. Kawan baik, huh? Sebab perkataan kawan baik itulah aku dengan Joe jadi macam ni. ‘… tapi kalau kau rasa aku ni kawan baik kau, kau ceritalah…’ Aku menggosok-gosok tengkuk yang terasa sedikit lenguh. Bukan aku tak anggap kau orang semua kawan baik aku, cuma aku yang tak bersedia nak berkongsi benda ni dengan kawan baik aku.

***

Seharian di sekolah hari ini tidak seceria seperti hari-hari sebelumnya. Joe dengan sikap dingin dia, Wati yang tak berapa banyak berbual dan Pa’an pula yang mengambil langkah untuk tidak mahu mengambil tahu. Entah kenapa, aku dapat rasa yang Wati macam dah tahu semua benda. Takkanlah Joe dah cerita semuanya? Pelik juga kalau Joe yang bercerita sebab dia tu bukan jenis yang suka bawa mulut.

Aku duduk di perhentian bas sementara menunggu Abang Hafiz datang jemput. Jam dipergelangan aku jeling sekilas. 6.00 petang. Pelajar tingkatan lima kebanyakannya sudah pulang ke rumah masing-masing. Aku masih menunggu Abang Hafiz yang tak kunjung tiba. Lambat pula lah dia ni. Aku dah naik penat duduk dekat perhentian bas ni, tak buat apa-apa. Tak lama kemudian, kereta Abang Hafiz berhenti betul-betul di hadapan aku. Erk! Tiba-tiba aku terasa takut nak masuk ke dalam kereta bila teringatkan insiden pagi tadi. Harap-haraplah hati Abang Hafiz dah ok.

Aku bangun daripada duduk. Buku teks di sebelah aku capai. Sebelum masuk ke dalam kereta, aku menjeling sekali lalu ke arah tempat yang aku duduk tadi. Takut-takut ada barang tertinggal.

“Assalamualaikum…” Aku memberi salam buat dia yang berada di dalam.
Dia hanya mendiamkan diri. Aku rasa je lah salam aku dia jawab dalam hati. Suasana dalam kereta hanya sunyi sepi. Aku dah pening memikirkan idea untuk ajak berbual. Berbual? Aku rasa selama ni Abang Hafiz yang banyak bersuara daripada aku.

“Abang.” Aku memanggil.
Abang Hafiz tak memberikan apa-apa reaksi.

“Abang?”
Akhirnya dia menyahut.

“Err…” Aduh! Sekarang aku pula yang terkial-kial nak mencari topik untuk bercakap.

“Esok Lisa nak pergi rumah Afrina ye? Ada kenduri. Boleh?”

“Hrm…” Itu je jawapan dia? Kalau sebelum ni, mesti ada saja yang dia akan tambah. Aduh! Mak! Menantu mak merajuk betul ni. Macam mana Lisa nak handle ni mak?




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

75 ulasan untuk “Novel : Suami Aku Ustaz?! 14, 15”
  1. kasturi17 says:

    sgt2 terhibur n best

  2. linazalina says:

    Saya suka cara penyampaian penulis ni? Ada kat pasaran x buku ni. rasa x sabar nak tgu next nya…kalo ada buku, nak g beli ler….siapa penulis yer…

  3. Siti Soleha Yahaya says:

    baru tau cam ner ustaz merajuk plak…hehehehe

  4. ita says:

    best2….dh sy keje di kalangan ust2..hehehehe

  5. ila says:

    akhir skali dia dengan ustaz tu kan

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"