Novel : Kampung Girl 4

12 April 2011  
Kategori: Novel

21,128 bacaan 27 ulasan

Oleh : Umi Kalsom

“ARGH!!!” jeritan Ashraf memenuhi ruang bilik itu.

“Tahanlah sikit! Mummy baru nak letak ubat, belum kena pun lagi dekat kulit,” bebel Puan Mazlin. Ashraf ini jeritnya mengalahkan budak perempuan saja. Nasib Puan Mazlin boleh tahan dengan jeritan itu. Kalau tak, ikutkan hati ini hendak ditolak saja kepala anaknya ke tepi.

Darah di atas kepala sudah pun dibersihkan. Perlahan-lahan Puan Mazlin menyapukan ubat ke atas luka tersebut. Kini dia seakan meragui, hormon apa sebenarnya yang terkandung dalam badan anak lelakinya. Takut bukan main. Tengok wajah Ainnur yang bertempek bedak sejuk pun boleh pengsan. Sampaikan terluka kepala kerana terlanggar bucu meja di sebelah pintu. Nasib baik lukanya tidak dalam. Kalau tak memang kena jahit dengan doktorlah!

“Kamu ni buat mummy hairanlah Ash…,” Ashraf tidak memberi respon, sekadar menanti saja sambungan kata dari bibir Puan Mazlin. “Kamu ni anak lelaki mummy ke, anak perempuan? Boleh pula takut sampai pengsan… buat malu saja!”

Ashraf diam sambil memanjangkan muncung di mulut. Dia bukan berada dalam mood yang baik untuk mengulas kejadian yang memalukan dirinya tadi. Paling malu daripada kejadian memalukan dirinya itu adalah, di depan siapa yang dia termalu! Aduh! Kalau diberi pilihan, aku akan melangkah ke ruang TV tadi daripada kena kejutan jantung dekat depan bilik ini.

Pengsan depan budak kampung itu, hanya mencalarkan maruah Ashraf saja. Hantu kampung tu pun satu, boleh pula kan dia bertempek bedak sampai tebal berinci. Aku yang melihatnya pun tak dapat nak bezakan, dia itu sebenarnya manusia atau keturunan spesies Han.

“Dia buat apa dekat sini mummy? Nak ambil jadi orang gaji ke?” sinis Ashraf menyoal. Puan Mazlin mengetap bibir. Hantu punya anak! Dibawa pulang bakal isteri untuknya, dikata orang gaji pula. Nasib saja Ainnur tak ada dekat sini, kalau tidak kecil hati nanti dengan kata-kata dari mulut Ashraf yang tak berinsurans ini.

“Elok jugak jadi orang gaji dekat sini… mummy tak payah bayar gaji dia, sebab kita kan bersaudara. Aduh!!!” kuat Ashraf mengaduh. Tangan Puan Mazlin mengetuknya tepat di atas kawasan luka. Sakit sangat!

“Mummy kenapa?” rengeknya sambil mengusap kepala yang terasa berdenyut.

“Mulut Ash tu… langsung tak ada adab! Ada ke cakap dengan tetamu nak bagi jadi orang gaji rumah… ingat si Ain tu tak ada kerja lain ke selain nak jadi orang gaji dalam rumah ni,” marah Puan Mazlin sambil bercekak pinggang. Rasa macam nak cilikan saja mulut Ashraf sampai telinga dia berasap. Bercakapnya entah apa-apa saja. Tak fikir perasaan orang langsung. Sungguhlah anak aku yang ini tak dikurniakan dengan perasaan yang normal. Rungut Puan Mazlin dalam hati.

“Budak kampung tu ada kerja apa sangat mummy… dekat kampung tu, habis kuat yang dia boleh buat, turun ke bendang, tak pun jaga anak ayam depan rumah…,” sindir Ashraf lagi tanpa perasaan.

Tak perlu menunggu lama, sekali lagi kepalanya diketuk dengan kuat. Oleh siapa lagi kalau bukan Puan Mazlin. Ashraf mengaduh kuat kerana sakit. Berkerut-kerut dahinya. Wajah Puan Mazlin yang kemerahan jelas sekali menahan marah. Tapi dia tak kisah, asalkan mulutnya dapat berkata apa saja tentang budak kampung yang tak disuka itu.

“Ash ni… bila bercakap, ikut sedap mulut dia saja kan! Kamu bukannya tahu yang si Ain tu…,” baru saja Puan Mazlin nak buka hikayat pendidikan Ainnur yang tidak pernah Ashraf ketahui.

“Aunty,” suara Ainnur sudah memanggil dari luar. Terhenti terus percakapan Puan Mazlin. Sempat dia menghadiahkan jelingan tajam buat Ashraf sebelum melangkah keluar dari bilik itu. Buat hati tuanya terasa panas membahang saja. Memang dah melampau sangat Ashraf Khairi ini.

Sementara itu, Ainnur yang tersembunyi di balik dinding bilik Ashraf sudah mengurut dada. Lagi sikit saja nak terlepas. Fuhhh!!! Nasib baik. Aunty Maz macam terlupa pula tentang perancangan untuk mengenakan si pak cik yang berlagak ini. Walaupun hatinya terasa sakit mendengar ucapan Ashraf yang nyata seperti orang yang tak ada perasaan langsung tapi ditahankan saja rasa itu. Biarlah dia nak cakap apa pun yang menyedapkan hati dia, aku akan pastikan dia akan menarik balik semua yang dia pernah ucapkan pada aku. Tekad Ainnur.

Dia bukanlah hendak membalas dendam cuma hendak memberi sedikit pengajaran buat si jejaka idaman hati, Encik Ashraf Khairi, bahawasanya, jangan terlalu celupar sangat mulut itu dalam menilai orang. Sungguhpun dia hanya seorang budak kampung, membesar di kampung, belajar di sekolah kampung tapi tidak semestinya dia tidak mampu berjaya setanding dengan budak Bandar macam Encik di dalam bilik itu.

Sistem pendidikan di Malaysia sudah makin maju ke depan, takkan itu pun si Ashraf ini tidak tahu. Nama saja ahli perniagaan berjaya, pengetahuan am tentang pendidikan negara pun tak terbaca. Berjaya apa kalau macam tu!

“Ain,” terus saja Ainnur tersentak mendengar panggilan itu. Puan Mazlin memandangnya dengan renungan yang pelik sekali.

“Aunty tak terlepas apa-apa kan?” soal Puan Mazlin separuh berbisik.

“Hampir… tapi terselamat!” Puan Mazlin sudah menekup mulutnya.

“Maaflah… malam-malam macam ni, rasa mamai saja. Nasib baik Ain datang, kalau tak habis semua aunty nanti cerita dengan dia,” Ainnur sudah tertawa kecil. Sungguhlah gelabah bakal mertua aku ini. Amboi Ain! Bakal suami dalam bilik itu nampaknya dengan keras takkan bersetuju, tapi aku dah bersemangat pula nak mengangkat Aunty Maz jadi bakal mentua aku. Haruslah kan, sebab Aunty Maz pun dah beribu kali panggil aku menantu. Ainnur tersenyum terus.

MATA Ashraf dipejam celikkan. Langkahnya seolah tergam, tak dapat nak bergerak. ‘Dei! Apa sudah jadi?’ soal hatinya.

“Terpegun!” eh! Suara siapakah itu. Laju Ashraf memusingkan wajahnya dan terus saja matanya bersabung dengan wajah Puan Mazlin. Ashraf diam tidak menjawab namun otaknya tidak berhenti memikirkan logik. Boleh jadi sampai tahap ini ke? Direnungnya kembali pada ‘objek’ yang sedang bergerak ke keluar dan masuk dari dapur.

Sebenarnya, dia tak nak tergam di posisi kedudukannya ini, tetapi dia tidak mampu hendak menggerakkan kakinya. Disebabkan mindanya tertanya-tanya refleksi menjadikan kakinya tidak mampu melangkah. Matanya juga seakan tidak jemu meratah ke segenap inci wajah itu. Siapa dia? Bukan ke semalam mummy cakap budak kampung itu ada di sini, tapi ini siapa pula?

“Siapa tu mummy?” soalnya apabila Puan Mazlin sudah hendak melangkah ke meja makan.

Puan Mazlin mengerutkan dahi. Aik! Hentakan dekat kepala semalam kuat sangat ke sampai dah tak ingat tentang budak kampung dia. Tiba-tiba saja Puan Mazlin menarik senyuman. Ada peluang terbuka luas untuk mengenakan Ashraf. Lantas tangan Ashraf ditariknya mendekati meja makan dan terus didudukkan pada kerusi kosong di situ.

Apabila wajah Ainnur muncul kembali dari dalam dapur dengan menatang sedulang air, Puan Mazlin melebarkan senyumannya. Kenapa yang Ashraf boleh tak kenal dengan Ainnur? Rasanya dia sudah dapat meneka sebabnya. Ainnur kelihatan sangat berlainan dengan sepasang blouse hijau pucuk pisang yang dipadankan dengan skirt labuh berwarna hitam. Nampak cantik dan moden. Hilang gaya kampung yang sering dibawanya dengan pemakaian kain batik itu. Patutlah Ashraf tak dapat nak kenal pasti dengan mudah.

“Jemput makan Aunty,” pelawa Ainnur pada Puan Mazlin. Ashraf yang ada di depan mata, tidak dipelawa langsung. Tangannya terus saja menuangkan minuman ke dalam cawan. Pinggan dicapai lalu disendukkan nasi goreng ke dalamnya.

“Sedap bau ni… Ain masak ke?” soal Puan Mazlin sambil menyudu nasi goreng ke dalam mulutnya. Sementara itu, lagi seorang insan bernyawa di atas meja makan itu seakan terkaku mendengar nama yang diutarakan oleh bibir Puan Mazlin. Budak yang datang dari Utara? Ini budak kampung yang aku tak suka?

“Ain masak biasa-biasa saja Aunty…,” balas Ainnur merendah diri. Matanya dilarikan ke sana sini. Renungan si Ashraf nampaknya belum sudah lagi. Ainnur menjadi tidak betah berlama di situ. Terus saja dia melangkah masuk ke dapur. Susah juga nak berhadapan dengan orang kita suka dalam keadaan dua hati tidak mencapai rasa yang satu.

Ainnur terus saja bergerak ke singki, membasuh apa-apa yang berbaki. Bibik sudah memulakan kerja-kerja mengemas rumahnya, jadi Ainnur dengan senang hati melakukan kerja dalam dapur ini.

“Kau buat apa dekat sini?” tersirap darah Ainnur apabila suara itu kedengaran begitu dekat dengannya.

“Dekat kampung kau tu dah pupus populasi lelaki ke sampai kau kena ke Bandar nak cari calon suami?” sinis saja soalan Ashraf. Ainnur mengetap bibir. Mangkuk seorang ini kalau bercakap, langsung tak pernah fikirkan perasaan aku kan. Kalau iya pun tak nak fikir apa yang aku rasa, sekurang-kurangnya fikirlah yang aku ini manusia! Takkan itu pun susah.

Ainnur diam tidak mahu jawab. Biar teruji kesabaran pak cik yang sedang setia berdiri di belakangnya itu. Biar kematu kaki dia berdiri dekat belakang aku. Desisnya.

“Makin cantik ya kau sekarang!” luah Ashraf tanpa sedar. Dia seakan tidak perasan apa yang dikatakannya. Sedangkan Ainnur… muahaha! Dipuji sebagai cantik… rasanya lelaki ini sememangnya bukan berada dalam kondisi yang waras. Boleh pula dia puji ‘nenek kebayan’ jadi cantik kan? Sekurang-kurangnya mulut itu sudah menarik salah satu fakta daripada menjadi label dirinya.

Dikalihkan wajahnya menghadap Ashraf. Senyuman diukirkan di bibir lalu terpamer susunan giginya yang tidak begitu rapi. Namun itu bukanlah satu kekurangan untuk diri kerana senyumannya mampu saja memukau pandangan yang melihatnya. Dapat dilihat dengan jelas wajah Ashraf yang berubah warna. Eh! Aku senyum, dia pula yang malu. Tak rasa macam scene lakonan diterbalikkan ke? Selalunya perempuan yang kena malu-malu… ini tidak.

Tanpa kata, Ashraf berlalu ke ruang makan. Ainnur tersenyum menang. Tiga hari dia akan berada di bawah satu bumbung dengan Ashraf. Hari pertama mata bertemu, Ashraf jatuh pengsan. Kejadian lawak sepanjang zaman. Rupanya penakut juga budak Bandar ini. Muka saja nampak gagah, tapi dalaman pengecut. Sungguh memalukan untuk menjadi suami aku.

Hari kedua, seawal pagi begini Ashraf sudah menghadiahkan pujian buat dirinya. Perkara ikhlas atau tidak, kita tolak tepi dahulu. Apa yang pentingnya, ia lahir dari bibir berlagak milik lelaki itu. Rasa macam nak bersorak riang saja untuk kemenangan kecil yang berjaya diperolehi tanpa sebarang paksaan ini. Tunggu sekejap lagi, ada kejutan besar yang bakal dilagukan buat pendengaran lelaki itu. Entah bagaimana pula responnya hari ini. Pengsan sudah, malu pun sudah… tinggal reaksi apa lagi yang belum sudah?

KERETA Toyota Vios yang memasuki pintu pagar seolah melahirkan sinar harapan dalam dirinya. Alhamdulillah! Sambutnya dalam hati. Dengan kehadiran abang Adam, bolehlah dia nak suruh brainwash minda mummy yang dah kena virus demam budak kampung itu. Sungguhlah menyusahkan diri aku saja.

Ashraf sudah bangun berdiri dari buaian yang didudukinya. Wajah Aiman yang lincah sudah keluar dari perut kereta. Laju saja si kecil itu menerpa ke dalam pelukannya. Ciuman kasih terus saja terpahat di pipi Ashraf. Adam dan Latifah tersenyum saja melihat keakraban Aiman dengan Papa Ash.

“Papa Ash… mama cakap, Aiman tidur sini banyak-banyak hari!” ucap bibir comel itu dengan petah.

“Banyak-banyak hari! Aiman tidur dengan papa Ash okey,” Ashraf seronok saja melayan si kecil itu. Mama dan papa Aiman sudah selamat masuk ke dalam rumah. Ditinggalkan saja anak mereka dengannya di luar rumah.

“Tak nak!” Aiman menggeleng kepala. Kening Ashraf berkerut.

“Kenapa tak nak tidur dengan papa Ash?”

“Sebab mama cakap… mama Ain datang sini. Aiman nak main dengan mama Ain!” Ashraf terus saja mengetap bibir. Chait! Sanggup Aiman menduakan kasihnya semata-mata untuk budak kampung itu. Ini teramatlah tidak adil.

“Aiman… mama Ain tu garang! Tak payah main dengan dia…,” Ashraf tersenyum dalam hati. Bukan susah nak kelentong budak-budak. Tapi dilihatnya Aiman seakan tidak mendengar butiran dari bibirnya. Mata si kecil itu sudah tertumpu ke arah lain.

“Mama Ain!!!” nyaring sekali suara Aiman pecah. Ashraf tidak sempat hendak menahan, Aiman kini sudah berada dalam pelukan budak kampung itu. Ashraf mendengus marah! Dilihat betapa mesranya Aiman dengan Ainnur. Huh! Dia menjadi menyampah. Kenapa? Sebab Aiman itu anak buahnya, bukan si Ainnur!

Tetapi tidak pula dia bergerak menghampiri Ainnur untuk mengambil Aiman. Lama matanya mendarat pada wajah gadis kampung itu. Kenapa lain sangat dia sekarang ini? Desis Ashraf. Matanya masih tidak lepas menjamah ke segenap wajah Ainnur. Dulu macam nenek kebayan. Sekarang…

“Papa Ash, apa tengok mama Ain macam tu!” teguran si kecil membuatkan Ashraf mengetap bibir. Untuk menutup rasa malu di hati, dia terus mendengus kasar. Terus saja tanpa kata dia berlalu masuk ke dalam rumah.

“Papa Ash kenapa mama Ain?” soal Aiman pelik apabila Ashraf terus menonong saja masuk ke dalam rumah. Ainnur tersenyum saja mendengar soalan Aiman. Papa Ash bukan apa… dia terkedu tengok mama Ain yang tak serupa nenek kebayan dah! Ucap hatinya sendiri.

‘Makin cantik ya kau sekarang!’ muahaha! Takkan aku lupa ucapan lelaki berlagak itu. Ingatkan Ashraf buta dalam menilai kecantikan wanita, rupanya tak juga. Tapi, macam bahaya! Aku yang dia tak suka pun, dia boleh puji cantik. Kalau perempuan yang dia suka? Eh… ada ke perempuan sukakan lelaki macam dia melainkan kau Ainnur? Rasanya… entahlah.

“ABANG!!! Seriously this is not funny. Stop laughing!!!” marah Ashraf apabila ketawa Adam tidak henti-henti dari tadi apabila dia mengkhabarkan tentang perancangan mummy untuk menyatukan dirinya dengan budak kampung itu. Ini soal hidup mati aku, boleh pula abang aku gelak macam orang gila!

“Why?” Adam masih tidak henti dengan ketawanya. Jelas kelihatan wajah Ashraf yang sudah memerah macam cili api. Marah sangat nampaknya.

“I don’t like it! I rather be a bachelor than marrying that kampung girl…,” balas Ashraf angkuh. Adam yang sedang galak ketawa terus mematikan tawanya. Pandangan mencerun ke arah Ashraf.

“Watch your words! Berlagak sangat ni kenapa? Kampung girl kalau, tak boleh kahwin? Kau tu… tak reti-reti nak cari calon sendiri, mummy risau tau. Bukan nak cakap terima kasih pada mummy carikan perempuan macam Ainnur tu… tapi berlagak lebih pulak dia!” selamba saja Adam menghadiahkan libasan di belakang badan Ashraf. Memang dasar tak reti bersyukur. Mulut pula, langsung tak berinsurans.

“Abang cakap senanglah!” Ashraf tidak mahu mengalah. “Bukan abang yang kena paksa!” sambungnya lagi.

“Abang tak nak tolong Ash kan? Tak apa… siapa cakap pun, Ash tak nak kahwin dengan budak kampung tu!” bentak Ashraf. Bosan rasanya bila tiada sesiapa yang sudi menyokong dirinya. Semuanya asyik berpihak pada parti si budak kampung itu saja. Nampaknya… Ainnur sudah mendapat majoriti suara. Ashraf sudah semakin tidak senang.

“Sikit punya untung mummy pilih Ainnur untuk kau… apa yang tak kenanya dengan dia?” soal Adam yang langsung tidak senang dengan kata-kata Ashraf. Selamba biadap! Ini betul adik aku kan? Kenapa tak macam manusia normal yang lain.

“Tak nak budak kampung tu. Tak sekufu!” muka Ashraf angkuh saja memberi jawapan. Adam mengerutkan dahi tanda dia tidak memahami kenapa si Ashraf begitu kuat membangkang calon pilihan mummy. Ainnur! Okay what! Bukan setakat okey tetapi okey sangat. Budak kampung pun, bukannya dia tak ada pelajaran. Kalau ini yang sering Ashraf pertikaikan, berkenaan taraf pendidikan. Ainnur student TESL produk oversea. Siap dah jadi cikgu pun di sekolah menengah. Apa lagi yang pak cik pelik ini hendak? Tak cukup sekufu ke?

“Aku pelik betullah dengan kau ni… Ain tu kau kata tak sekufu! Kau nak yang sekufu macam mana lagi… abang rasa dia yang paling sesuai untuk kau,” sesuailah sangat Ashraf dikahwinkan dengan cikgu Ainnur, biar cikgu ‘mengajar’ dia sikit. Banyak betul songehnya.

“Abang,” Adam terus berpaling apabila kelibat Latifah muncul di situ. Dengan menggunakan isyarat tangan, dia dipanggil. Sempat Adam mencapai bantal dan membalingnya laju ke muka Ashraf. Puas hati!

“Kenapa?” soal Adam sebaik saja mendapatkan Latifah di muka pintu. Tanpa kata, dia sudah ditarik ke bilik sebelah.

“Ash tak tahu… Ain tu cikgu. Dia tak tahu apa pun pasal Ain…,” terang Latifah tentang info yang dikhabarkan oleh Ainnur padanya. “Ain tak nak bagitahu pada Ashraf pasal tu semua,” tambah Latifah lagi. Jelas kelihatan kerutan di dahi Adam.

“Are you guys nuts?!” spontan saja wajah Adam berubah serius. Wajah Latifah berubah kelat. Apa dia pula yang kena nuts!

“Gila ke apa!” kena lagi.

“Out of sense!” dan lagi.

“Ridiculous!” dan lagi. Mulut Adam terus tanpa henti menghadiahkan perkataan yang sangat menyenangkan telinga. Dia baru saja hendak menambahkan kosa kata untuk pendengaran Latifah, namun isterinya lebih pantas menekup mulutnya.

“Enough! Don’t spit all the words in front of me as I am the mastermind for this planning!” Adam terkedu. Wajah isterinya sudah memerah, menahan rasa.

“Okay… okay… sorry! Tak dapat nak tahan. Tapi siapa punya plan ni?”

“Mummy and Ain”.

“Untuk?”

“Nak bagi pengajaran sikit untuk adik abang yang menurut kata Ain tak ada sensitiviti dengan manusia sekeliling dia”.

Adam diam. Tak mampu nak membalas sebab benarlah dengan fakta yang Ainnur berikan itu. Ashraf boleh dikategorikan sebagai manusia yang tak ada perasaan sangat. Tapi kalau nak ikut pandangan Adam, kalau dengan Ainnur saja perangai itu terserlah dengan dos yang berlebihan. Itu menunjukkan yang Ashraf benar-benar tidak suka. Sebab? Budak kampung? Tak masuk akal juga alasan adiknya itu.

MALAM itu meriah sekali di meja makan. Semuanya berada di situ. Dah seperti satu keluarga lengkap saja. Puan Mazlin yang melihatnya sedari tadi asyik tersenyum saja. Entah orang lain perasan atau tidak, tapi dia sudah awal lagi perasan. Ashraf dengan Ainnur sedang elok duduk sebelah-menyebelah. Nampak elok saja. Sejuk hatinya memandang gandingan mereka.

“Abang, Maz seronok hari ni bang,” ucap Puan Mazlin yang sudah berkalih memandang suaminya.

“Semua anak menantu kita ada sekali,” sambung Puan Mazlin lagi. Tanpa menunggu sesaat pun sudah ada yang tersedak keras. Siapa lagi kalau bukan yang si bongsu.

“Uhuk! Uhuk!” Ashraf terbatuk-batuk sambil mencari-cari air. Terlihat ada tangan dari sebelah menghulurkan secawan air padanya. Tanpa memandang, dia sudah mencapai gelas tersebut. Sambil minum dan kepalanya dialih untuk pandang ke sebelah hendak mengucapkan terima kasih. Saat itu…

“Pufffhhh!!!” keadaan menjadi sepi terus di antara mereka. Wajah Ainnur yang basah dan wajah Ashraf yang jelas menunjukkan dia tidak sengaja. Dek kerana terkejut sangat melihat Ainnur duduk di sebelahnya, sampai tersembur air ke muka gadis itu. Habis muka Ainnur sudah berlumur dengan air sisa dari mulutnya. Macam mana dia boleh tak perasan yang dia sedang sedap membantai makanan di sebelah budak kampung ini.

“Ash!!!” suara Puan Mazlin membuatkan masing-masing tersentak. “Lapkan muka Ain, hisy! Boleh pulak tersembur dekat muka budak tu…,” suara Puan Mazlin tidak diendahkan. Mata Ashraf dan Ainnur saling bersabung, berkomunikasi melalui mata. Entah apa yang mereka sedang berkata-kata tiada siapa pun yang dapat meneka.

“Ash… ambil tisu, lap muka Ain,” ucap Tuan Shahir pula bila keduanya buat drama statik di meja makan. Ashraf tersedar. Pantas saja dia menjuihkan bibir.

“Nak lap muka budak kampung ni… no way! Lap sendiri!” balasnya berlagak. Terbang sudah semua rasa bersalah. Ainnur masih diam tidak berkutik. Pandangannya tajam menikam wajah Ashraf yang sudah kembali menghadap nasi. Hatinya terasa terbakar. Rasanya tak susah kalau mulut itu boleh mengucapkan, maaf! Empat perkataan saja pun. M-A-A-F. Itu pun berkira sangat kan?

Ainnur sudah tidak mampu menahan rasa. Selama ini dia diam saja, tidak pernah membalas. Jadi sekarang…

“Wei!!!” suara Ashraf yang nyaring pecah di meja makan. Mana tidaknya, sedap saja air disimbah ke mukanya saat sedang menghayati kelazatan lauk pauk malam yang disediakan khas pada malam ini. Yang lain pun ikut tergamam. Tidak menjangka tindakan Ainnur.

“Kalau awak berbudi, saya akan berbahasa… kalau awak mengeji, inilah balasnya!” dengan sebaris ayat, Ainnur sudah mengatur langkah ke dapur. Ashraf tergamam!

“Do you know anything about manner Ash? You’re being so rude to her!” tegur Tuan Shahir tidak senang. Puan Mazlin sudah berlalu untuk mendapatkan Ainnur di belakang.

“What? Bukan salah Ash okey… Ash terkejut saja!” Ashraf membela dirinya sendiri. Tangannya sudah mencapai tisu di meja dan mengelap wajahnya. Saat itu mata-mata yang berbaki di meja makan itu semua merenung tajam ke arahnya termasuk dengan si kecil Aiman. Apakah? Semua dah takkan berpihak padanya.

“Bukan salah Ash, true… tapi tak boleh ke mulut kau tu cakap dengan sopan. Mulut macam kena simbah air longkang saja… cakap tak fikir perasaan orang!” Adam turut masuk untuk mengambil bahagian dalam sesi, memarahi Ashraf. Ashraf mencebikkan bibir. Cakaplah apa pun, kalau dalam kes budak kampung ini, pasti saja bukan salahnya. Tak mungkin dia akan bersalah.

“Ash… you really need to learn how to respect others,” kakak ipar pun tak nak ketinggalan untuk mengkuliahkan si adik ipar yang seorang itu.

“Papa Ash… tak baik tau buat dengan mama Ain macam tu… say sorry to mama Ain,” Ashraf dah melopong. Amboi! Dengan yang paling kecik ini pun nak suruh aku mengalah dengan budak kampung itu. Sorry! There’s no way that thing will happen.

“Why should I be nice to her?” soal Ashraf dengan berlagak. Menyampah gila bila semuanya tidak fikirkan dirinya sebaliknya memikirkan Ainnur, si budak kampung yang baru sampai semalam dalam rumah ini.

“Because, she’s your future wife!” suara Puan Mazlin muncul dari belakang. Ainnur yang sudah membersihkan wajahnya turut berada di sebelah.

“Mummy… Ash tak nak!” bantah Ashraf. Wajah Ainnur yang kelihatan sedikit tegang direnungnya. “Mummy cuba tanya budak kampung ni… dia nak ke kahwin dengan Ash, lepas Ash dah sembur air dekat muka dia? Dia pun mesti tak nak la mummy,” sambung Ashraf dengan angkuh lagi.

“Budak kampung tu ada nama… and it is Ainnur! Can you stop calling her with that label?” kena sound lagi dengan Adam. Ashraf diam, malas nak layan perintah yang dia tak suka. Macam mana pun, dia akan tetap memanggil orang itu dengan gelaran budak kampung juga.

“Aunty… Ain nak balik esok!” suara Ainnur timbul juga akhirnya. Puan Mazlin tersentak. Sempat dia menghadiahkan jelingan buat Ashraf yang sudah tersenyum bangga. Memang betul, cokodok basilah anak aku ni!

Ainnur sudah melangkah menghampiri diri Ashraf yang masih dengan senyumannya. Renungan Ainnur tajam sekali seolah hendak menikam wajah Ashraf. Mereka yang lain sudah memandang Ainnur dengan wajah yang penuh suspen.

“Ain akan kahwin dengan abang Ash!” cukup ayat itu untuk mematikan senyuman lebar di bibir Ashraf. What!!! Jeritan bergema dalam hatinya.

[Bersambung :) ]




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

27 ulasan untuk “Novel : Kampung Girl 4”
  1. cempaka sania says:

    best2 sngt….xsbr nk bce smbngan ni….hope cpt2 tlis ek….

  2. Zhelda says:

    suka juga. cepat sambung ya…

  3. one says:

    best..best..best..sgt2 best..cpt la smbung ye..

  4. Amy Fasliena says:

    best…sangat best…aku suka, berlagak je mamat tukan cam bdk kampung langsung takde class, geramnya aku…

  5. Hahaha lawak la time kene sembur ngn air tu… Aiman yg kecik pon pandai marah..

  6. Alia says:

    Eeee grm plk dgn si Ash ni,,sombong!!!

  7. Christie says:

    Wow.. Amazing.. Saya sukalah cerita nie.. Tpi Ash tu sombong sangat.. Panas hati saya baca..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"