Novel : Kampung Girl 6

26 April 2011  
Kategori: Novel

21,589 bacaan 12 ulasan

Oleh : Umi Kalsom

WAJAH Ashraf dipandang dengan renungan yang maha tajam. Gara-gara si cokodok basi ini dia sudah ketinggalan untuk mengejar basnya. Akhirnya, tersadailah dia di sini duduk menghadap wajah lelaki itu yang masih menyepi dari tadi. Trauma kot. Desis Ainnur sendiri. Tanpa sedar ketawanya sudah lepas.

“Yang kau gelak ni kenapa?” cepat saja Ashraf menyambut. Ainnur ketawa lagi. Mana boleh tak gelak untuk benda-benda macam ni. Lebih-lebih lagi mangsa kejadian, Encik Ashraf Khairi, maka makin menariklah jadinya.

“Kau baik diam sebelum aku sumbat bungkus nasi lemak ni dalam mulut kau,” marah Ashraf lagi. Rasa seakan tercalar maruahnya bila diketawakan sakan oleh gadis itu. Tapi, dalam diam dia sebenarnya bersyukur sangat ada juga Ainnur tadi untuk menyelamatkannya dari genggaman ‘gadis ayu’ yang dilanggarnya.

Seakan terimbas kembali kejadian yang berlaku setengah jam yang lalu.

Wajahnya Ashraf langsung berubah menjadi pucat apabila ‘gadis ayu’ yang memandangnya mula bertindak sedikit ‘agresif’. Kalau dia gadis betul, aku bolehlah nak handle juga, tapi ini… bikin wa geli saja! Eeeiii…

Nak membayangkan semula adegan tadi pun rasa macam nak termuntah.

“It’s okay bang… laki kacak macam abang ni, sengaja langgar pun I sudi terima,” Ashraf yang terkedu seketika dengan ucapan itu terus saja terkejut bila encik ‘gadis ayu’ itu melarikan jemari dan bersentuhan dengan kulitnya.

“Bang… you free malam ni, boleh kita hang out sama-sama,” ucapan dari bibir yang merah dicalit lipstick itu membuatkan Ashraf disapa rasa gelisah. Dia hendak melarikan diri dalam masa yang sama hendak mencari Ainnur juga. Dicubanya tarik tangan yang dipegang-pegang oleh orang itu, namun tidak berjaya. Makin kukuh pula simpulannya.

“Bang… you kenapa nak lari dari I? I tak scary pun tau… you cuba try test satu malam,” dengan suara yang sudah kedengaran sengau di telinga Ashraf, ‘gadis ayu’ menyampaikan hasratnya.

“Eh… sorry, you’re not my type!” balas Ashraf yang akhirnya sudah mula menjauh sedikit. Aku bukan peminat golongan sejenis. Tambahnya dalam hati. Baru dia nak atur langkah untuk berlari, sekali lagi tangannya direntap dari belakang.

“Bang… you ni kenapa? Nampak takut saja dengan I… I tak pernah makan orang la… tapi I rasa nak makan you saja… bibir you seksi!” Ashraf terlopong lagi. Peluh dah mula merintik di dahi. Apa nasib badan hari ini! Nak buat scene hindi dengan ‘heroin’ sekali yang muncul err… nak kategorikan sebagai apa ni?

“Bang…,” sekali lagi ‘gadis ayu’ membuka mulutnya.

“Abang Ash!” Ashraf terus berpaling. Ainnur! Alhamdulillah.

“Maaflah bang… isteri saya dah sampai!” spontan saja ayat itu terkeluar dari bibir Ashraf. Dengan rentapan yang kuat, dia meloloskan diri dari tangan kasar yang mencengkam jarinya sedari tadi. Ashraf dapat juga menangkap pandangan tidak puas hati yang terlayar di wajah ‘gadis ayu’ tapi dia sudah tidak mahu berpaling walaupun sayup kedengaran panggilan abang dari bibir lelaki separa wanita itu.

Selamba sambil mengatur langkah, Ashraf sudah mencapai lengan Ainnur untuk berjalan bersama dengannya.

“Pak cik! Lepas tangan Ainlah!” bentak Ainnur.

“Diamlah!” Ashraf marah semula. Dikukuhkan lagi simpulan pada jemari Ainnur sehingga mereka agak jauh dari ‘pemangsa’ tadi. Sebaik saja wajah lelaki itu tidak kelihatan, Ashraf segera melepaskan lengan Ainnur. Wajah gadis itu yang nyata bengang dengan tindakannya hanya dibalas dengan riak wajah yang selamba.

“Suka hati dia saja nak pegang-pegang tangan orang!” marah Ainnur.

“Alah… bukan luak mana pun!” Ashraf tak nak kalah.

“Tak luak mana? Pak cik… tangan ni untuk suami Ain tau! Suami!!! Bukan untuk orang lain pegang sesuka hati!”

“Aku pegang sekejap saja kan? Itu pun nak bising ke…” suara Ashraf tiba-tiba saja berubah tinggi. Ainnur mendengus kasar.

“Bang… ada masalah ke?” suara itu kedengaran kembali. Ashraf kembali gelabah. Dia sudah tidak mampu berfikir dengan waras. Lantas ditariknya Ainnur yang sudah mempamerkan wajah berapi. Ainnur terus tersentak. Ini melampau gila!

“Ain… tolong jangan marah-marah sampai mak nyah tu pergi jauh sikit dari sini!” Ainnur terkedu. Ashraf dengan suara yang lembut sekali meminta. Ditambah dengan posisi yang begitu erat antara mereka, err… habislah! Habis semuanya! Lelaki ini pula yang rasmi dulu sebelum jadi suami yang sah.

“Mak nyah tu dah pergi!” ucap Ainnur dengan suara yang hampir tersekat di kerongkong. Tetapi Ashraf macam tak dengar pula. Tangannya masih lagi melingkar di pinggang Ainnur.

Ainnur mengetap bibir. Sesedap aiskrim strawberry saja dia peluk-peluk aku dekat tempat awam macam ni. Nafasnya sudah turun naik, diiringi dengan debaran hati yang tidak sudah-sudah memalu irama yang tidak dia ketahui. Dia berdebar-debar. Tanpa menunggu lama, tangannya sudah menolak dada Ashraf untuk menjarakkan diri mereka.

Wajah Ashraf yang tertunduk dipandangnya lama. Ini kenapa? Gaya macam kena sampuk pun ada.

“Kenapa ni abang Ash?” soal Ainnur pelik. Dia nak malu lebih-lebih sebab pelukan tadi pun sudah tidak jadi bila Ashraf pula yang terlebih kedu.

“Nyah tu ajak aku tidur satu malam!” mulut Ainnur terlopong terus. Mak aih! Dahsyat betul. Tapi kenapa dia ajak Ashraf? Wahai nyah, ketahuilah kau bahawa lelaki ini adalah seorang yang tak ada sense dengan homo sapiens yang sejenis dengan dia.

Ainnur pada mulanya diam saja memandang wajah Ashraf yang kelihatan sangat terkejut itu, akhirnya main lepas gelak. Gelak punya gelak, sampai bas dah bergerak pun tak sedar. Padan muka!

Kini, duduklah mereka berdua di gerai makan sambil berpandangan sesama sendiri. Ashraf menggenggam tangan. Pandangan ditala ke wajah Ainnur yang sudah menghentikan tawanya. Ainnur pula menongkat dagu dan membalas pandangan Ashraf.

“Aku pesan jangan balikkan! Kenapa tak dengar cakap?” tanpa mukadimah bibir Ashraf sudah berdesup mengajukan soalan. Ainnur tersentak, tidak bersedia menerima soalan sebenarnya. Wajahnya terkulat-kulat memandang Ashraf. Cepat sungguh pak cik ini meredakan mood kena sampuk dengan nyah dan sudah kembali bersemangat untuk memarahinya. Ainnur, nak tengok saja ke kena marah? Oh, mana mungkin!

“Kalau abang Ash pesan, Ain kena dengarlah! Sebab apa?” Ainnur membalas senada dengan Ashraf.

“Sebab aku abang!” Ainnur mencebik. Dah tak ada modal dan alasan lain agaknya untuk pastikan orang lain dengar cakap dia!

“Abang Ash nak jumpa sebab apa?” soal Ainnur dengan malas.

“Sekarang baru nak fikir nak jumpa sebab apa? Kalau tadi sebelum datang ke sini kau fikir, boleh jimat masa dan tenaga aku… tak adalah aku kena gangguan seksual dengan mak nyah!” luah Ashraf tidak puas hati. Ainnur mengecilkan biji mata.

“Kalau macam tu, abang Ash pun dikira buat gangguan seksual pada Ain,” balas Ainnur selamba.

“Hei!!!” Ashraf menjadi tidak senang. “Aku sentuh kau bukan dengan keinginan seks tau! Aku cuma nak selamatkan diri. Betulkan balik ayat kau tu…,” tegur Ashraf apabila hatinya sudah dipalit rasa tidak enak. Gangguan seksual ke apa yang dia lakukan pada Ainnur?

Dia mula berfikir semula, tindakan spontan yang tak mampu dia kawal. Rasanya masih terasa lagi tangannya melingkari pinggang gadis itu dan kedudukan mereka sangat rapat. Tapi masa dia peluk tadi, mindanya lebih fokus fikirkan mak nyah yang tengah tunggu peluang di belakang. Memang sungguh, dia tak rasa apa-apa masa terpeluk Ainnur. Jadi, bukan gangguan seksual namanya! Tegasnya dalam hati.

“Kau jangan nak pandai-pandai tuduh aku buat gangguan seksual dengan kau ya! Aku tak pernah pun buat macam tu dengan orang!” sambung Ashraf lagi. Dilihatnya Ainnur mencebik seakan tidak percaya dengan kata-katanya.

“Lelaki… tahu nak ambil kesempatan saja!” Ashraf mendengus marah.

“Aku cakap bukan gangguan seksual kan! Yang kau ni tak puas hati kenapa?”

“Abang Ash peluk Ain… tercemar hak suami Ain!” balas Ainnur dengan nada yang serupa Ashraf. Pandangannya tajam.

“Eh… bukan kau nak kahwin dengan aku ke?” soal Ashraf sinis. Keningnya dijungkitkan beberapa kali. Ainnur mencebik. ‘Kalau iya pun nak kahwin, takkan semua yang haram boleh dihalalkan’ desisnya tidak puas hati.

Wajah Ainnur yang berapi ditatapnya lama. Tanpa dipinta, matanya mula meratah ke segenap sudut wajah gadis itu. Keadaan yang cerah dan kedudukan di depan mata, membuatkan wajah Ainnur lebih jelas di depan Ashraf.

Keadaan yang sepi apabila Ainnur tidak membalas jawapannya, membuatkan Ashraf makin leka. Mata Ainnur yang terkelip-kelip seketika menyerlahkan bulu matanya yang melentik. Anak mata yang berwarna hitam pekat itu sedikit besar dan kelihatan bersinar. Ashraf menjadi lemas dengan pandangannya sendiri. Wajah yang pernah disamakan dengan nenek kebayan kini menarik-narik pandangan matanya untuk terus terpaku di situ.

‘She’s beautiful!’ bisikan hati bergema kembali. Kali ini dia tidak mampu menyangkal apa yang bermain dalam hati. Budak kampung ini sudah makin cantik lebih daripada biasa.

Ainnur yang perasan akan renungan itu sedari tadi mula mengetap bibir. Tolonglah pak cik Ashraf ini! Boleh pula dia main-main tenung aku tengah-tengah alam ni sampai macam tu sekali. Lantas Ainnur mencapai botol air yang terselit dalam begnya. Nak kena dah pak cik ni! Desisnya.

Ashraf masih lagi statik dengan posisinya. Mata juga masih statik pada wajah Ainnur. Nampak macam sedang berkhayal pun ada. Apa sajalah Ashraf ini. Kalau ikutkan hati Ainnur, dia nak baling botol ini terus ke muka Ashraf, tapi ikutkan akal yang normal, air dituangkan sedikit pada tapak tangannya dan dipercikkan pada wajah Ashraf. Lelaki itu tersentak kuat. Amboi! Memang jauh betul dia mengelamun. Desis Ainnur lagi.

“Kenapa baling air?” marah Ashraf sambil mengelap wajahnya yang basah sedikit dengan percikan air. Ainnur tersenyum sinis.

“Gangguan seksual!” membulat biji mata Ashraf mendengar balasan dari Ainnur. Mana ada gangguan seksual! Takkan tengok pun tak boleh?

“Tolonglah… tak ada selera aku nak buat gangguan seksual dengan kau!” balas Ashraf dengan bongkak. Ainnur mencebik. Kalau bercakap, mesti dia saja yang nak menang kan?

“Snobbish!” ucap Ainnur perlahan saja. Namun Ashraf sudah memandangnya pelik. Ainnur sudah menelan liur. Kenapa? Takkan dia dengar juga perkataan yang aku sebut dengan perlahan?

“Kenapa kau nak kahwin dengan aku?” fuhh!!! Ainnur menghembuskan nafas lega. Ingatkan kenapa, rupanya nak tanya soalan saja. Kenapa aku nak kahwin dengan dia. Buta ke apa dia ini. Tak nampak ke, aku punya sayangkan dia dari dulu lagi! Perlu ke aku announce dekat gerai ini? Tak perlulah Ainnur , kau hanya akan memalukan diri sendiri.

“Sebab Ain rasa tak ada orang lain yang akan kahwin dengan abang Ash, melainkan Ain seorang!” ucapan itu lembut saja lahir di bibir Ainnur namun bisanya kuat sekali menyerang Ashraf. Pedih beb! Pedih! Nampak sangat tak ada siapa pun yang nak dengan dia walaupun dia punya pakej yang lengkap sebagai seorang hero Malaya. Eceh! Ashraf… pandai kau, masuk lif tekan sendiri.

“Kau tak payah nak susah-susah berkahwin dengan aku. Aku tak nak!”

“Ain nak!”

“Tak faham bahasa ke?” soal Ashraf dengan berang. Ainnur terus tersenyum tayang gigi. Kaedah untuk membakar hati yang sudah sedia terbakar di depannya.

“Abang Ash lagilah wajib kahwin dengan Ain!”

“Sebab?” Ashraf menjadi pelik. Suka-suka dia saja meletakkan hukum wajib supaya aku berkahwin dengan dia. Kenapa pula? Dia ingat aku tak ada kerja lain agaknya daripada nak cari calon dan berkahwin.

“Sebab abang Ash dah sentuh Ain secara melampau tadi!” Ashraf terkedu. Mana ada secara melampau! Bentak Ashraf dalam hati.

‘Iya ke tak melampau Ash?’ hatinya menyindir sendiri.

‘Peluk rapat gila, tak melampau ke Ash?’ timbul suara dalam mindanya pula.

“Tapi takkan sampai aku kena kahwin dengan kau! Kau ni suka cakap tak logik kan!” Ashraf yang masih lagi dengan kenyataan menang sendiri.

Ainnur sudah mencebik berkali-kali. “Kau… kau… dia tau nak melembukan aku saja. Cuba panggil aku Ain… selera sikit telinga aku nak dengar,” gumam Ainnur dengan pandangan yang menyampah.

“Kau tak payahlah kahwin dengan aku! Cari saja budak dalam kampung yang sesuai untuk kau… jangan nak berangan tinggi sangat nak datang duduk Bandar,” ucap Ashraf dengan selamba badak.

Ainnur sudah menggenggam kuat botol mineral di tangannya. Gaya bahasa encik seorang ini bercakap, macam aku ini anak dara tak laku. Eh, pak cik… tolonglah sedar, I’m thousand miles better than you! Ada juga orang yang berkenan dengan aku, cuma aku saja yang tak nak. Masih lagi nak terhegeh belakang mu!

Ainnur cuba menenangkan jiwanya yang sedang membara. Ini tak boleh jadi! Ashraf sudah menaikkan suhu di hatinya. Menggelegak bagai nak gila. Aku pun kena panaskan dia semula, baru dikatakan adil dan saksama. Kalau orang putih kata, fair and square.

“Abang Ash ni… sibuk-sibuk tolak Ain, ada ke perempuan yang nak menikah dengan abang? Ada ke abang Ash?” dengan nada yang paling sinis Ain mengajukan soalan. Tanpa menunggu sesaat, riak wajah cekodok di depan dah berubah menjadi basi. Cekodok basi!

“Kenapa tak ada pula? Mestilah ada!” balas Ashraf dengan riak bangga. Sedangkan dalam hati sudah tercalar maruah. Memanglah tak ada siapa yang akan kahwin dengan dia, sebab tiada siapa pun yang dapat memikat hatinya dengan begitu mudah.

‘Silap tu Ash!’ bisik hatinya. ‘Kau tu yang tak mampu nak memikat mana-mana hati gadis muda. Ini baru betul!’ sindiran dari suara hati.

“Jangan berlagak sangat abang Ash. Ain ni… jenis sepupu yang maklum semua hal sepupu yang lain… macam Ain tak tahu saja gaya hidup abang Ash macam mana… boleh kerat jarilah, kalau abang cari calon sendiri. Siapa yang nak dengan abang? Siapa pun tak nak!!!” kutuk Ainnur dengan penuh semangat. Makin bertambah teruk riak wajah Ashraf.

‘Kurang asam punya budak kampung! Bagi peluang duduk semeja untuk bincang, dikutuknya aku main sedap mulut dia saja. Dia tak tahu… aku pun boleh cari calon dengan mudah!’ ucapnya dalam hati.

‘Kau tak payah beranganlah Ash! Betullah cakap Ain tu… siapa yang nak dengan kau? Rasanya baru seminit nak berdating, dah kena baling kasut. Kelancangan mulut tak mampu di control’ sindir separuh hati.

Mata Ashraf kembali menatap wajah Ainnur yang begitu asyik sekali dengan senyuman sinisnya. Argh!!! Aku tak boleh kalah dengan budak kampung ni! Tak mungkin!!!

[Bersambung] :)




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

12 ulasan untuk “Novel : Kampung Girl 6”
  1. Alia says:

    Adoii,,Maknyah rupanya,,hahaha,

  2. Aiyedah says:

    Kelakar dua orng tu,same2 nk menang muaha

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"