Novel : Love You Mr. Arrogant! 10, 11

7 April 2011  
Kategori: Novel

79,353 bacaan 36 ulasan

Oleh : Aliesha Kirana

Bab 10

Malam itu rumah Haji Zaidi penuh dengan sanak-saudara, persiapan perkahwinan sedang sibuk dijalankan. Mujurlah keluarga Irham banyak membantu membuat persiapan, kalau nak diharapkan keluarga haji Zaidi sendiri nak buat persiapan dalam waktu dua minggu saja dari tarikh bertunang, memang mustahil.

Disebabkan keluarga Irham sendiri yang minta majlis berlansung segera, maka merekalah yang bertanggungjawab menyiapkan segalanya termasuk kos persiapan. Biarpun Haji Zaidi enggan menerima begitu banyak wang yang dihulurkan bakal besannya, namun Tan Sri Zahir berkeras ingin memberi. Nak tak nak, terpaksa juga mereka terima memandangkan majlis harus dilaksana dengan segera dan lengkap segalanya. Nak harapkan duit pencennya sebagai guru besar sekolah rendah, memang Haji Zaidi tak mampu nak sedia semuanya dengan segera.

Zaara duduk di satu penjuru, sedang asyik meletakkan inai pada jarinya. Esok adalah hari yang dinanti setiap gadis di dalam hidup mereka, namun Zaara tidak merasa teruja dengan semua ini, sebaliknya hatinya sedikit berduka, kerna bakal mengakhiri zaman gadisnya dengan jejaka yang tiba-tiba saja muncul dalam hidupnya, entah dari mana, Zafriel Irham.

“Zaara, ok tak ni?” Hajah Amina yang sedari tadi memerhati kelibat anaknya, segera menghampiri Zaara yang termenung sambil sebelah tangannya sudah bersalut inai.

“Eh ibu…” Zaara tersedar dari lamunan. Duduknya dibetulkan untuk memberi peluang pada ibunya duduk di sisi.

“Meh sini ibu letakkan inai tu. Buat sendiri kang comot nanti.” Segera Hajah Amina mengambil sedikit inai dari mangkuk yang tersedia, lantas ditekap pada jari anaknya, perlahan dan lembut.

“Ibu tengok Zaara termenung aja dari tadi, Zaara fikir apa?”

Zaara terpempan. Wajah ibunya yang sedang asyik meletakkan inai pada jari jemari Zaara segera direnung, sayu. Manakan bisa dia berterus terang bahawa perkahwinan ini cuma satu paksaan? Tidak sanggup Zaara melihat ibunya sedih.

“Zaara tak apa-apa bu. Cuma penat dengan semua persiapan ni.”

Hajah Amina mendongak, memandang wajah mulus anaknya semula. Wajah itu ditatap penuh kasih sayang. Anak yang dikandung sembilan bulan sepuluh hari dan dijaga selama dua puluh enam tahun, kini bakal menjadi milik orang lain. Alangkah cepat masa berlalu. Hatinya dipagut sayu, namun cuba ditahan agar air matanya tak menitis.

“Ibu tahu semua ni secara tiba-tiba, tapi… mungkin sudah tertulis, jodoh Zaara sudah sampai. Ibu pun tak sedar Zaara bercinta selama ni, kalau tak, mungkin perkahwinan ini akan terjadi lebih awal.”

Zaara mengetap bibir. Sedih hatinya pabila melihat ibunya percaya dengan muslihat Irham, namun apa lagi dayanya, nasi sudah menjadi bubur. Janji harus dikotakan walau dia disalah erti.

“Cuma satu ibu nak pesan pada Zaara, bila dah jadi isteri orang nanti, jaga maruah keluarga kita, jaga maruah suami. Pada mereka yang taat pada suaminya, Allah janjikan syurga. InsyaAllah. Kita dengar macam mudah ja perempuan nak masuk syurga, tapi hakikatnya, lagi ramai perempuan yang masuk neraka, sebab apa? Sebabkan hal yang kecik ni pun mereka tak mahu jaga. Jadi ingat pesan ibu, jaga suami kamu elok-elok, dialah imam kamu di dunia ni. Jangan pernah sakiti hati dia, cintai dia setulusnya kerana Allah. Ingat pesan ibu ya.”

Zaara mengangguk perlahan. Air matanya sudah bergenang, nasihat ibunya dirasakan terlalu indah pada halwa telinganya. ‘Mungkin ini nasihat ibu buat yang terakhir kalinya sebelum aku menjadi tanggungjawab orang lain.’

Hajah Amina segera menarik anak perempuan tunggalnya itu dalam pelukan. Anak yang dimanja dan ditatang bagai minyak yang penuh itu kini bakal menjadi milik insan lain. Hati ibu mana yang tidak tersentuh. Dahi Zaara dikucup berulang kali. Zaara membalas pelukan ibunya dengan lebih kejap dan erat.

‘InsyaAllah ibu, Zaara akan ingat pesan ibu.’ Zaara bertekad dalam hatinya.

————————————————————

“Selamat pengantin baru Zaara, aku harap kau akan bahagia sampai bila-bila,” Fiz bersuara saat berdakapan dengan Zaara di luar masjid.

“Terima kasih. Aku pun harap macam tu, moga sinar bahagia betul-betul wujud untuk aku.” Zaara merenung jauh ke hadapan.

“InsyaAllah.”

Zaara memandang wajah Fiz sebelum tersenyum tawar. Hatinya masih kusut, namun dia sudah tidak mampu mengundur ke belakang semula.

“Kau nampak cantik hari ni Zaara. Irham pun sama, nampak sama cantik sama padan. Aku rasa jodoh kau orang memang kuat, sebab tulah semua ni terjadi.” Fiz cuba memujuk hati Zaara yang kelihatan resah gelisah sambil mengerling ke arah Irham yang sedang asyik berbual dengan beberapa orang hadirin.

Zaara memaut lengan sahabatnya itu.

“Terima kasih Fiz. Tolong doakan kebahagiaan aku ya.” Zaara meminta penuh pengharapan.

Fiz tersenyum sembil mengelus tangan sahabatnya itu.

“Ya, pasti aku doakan.”

————————————————-

Zaara menarik nafas dalam-dalam, peluh yang merenik di pipi segera disapu dengan sapu tangan. Wajah Irham dihadapan jurunikah, Zaara pandang sekilas. Tiada lansung riak cemas yang dapat Zaara lihat dari wajah Irham, yang ada cuma wajah yang tiada perasaan. ‘Ah dasar hati kering!’ Zaara mengomel sendiri.

Irham buat-buat selamba di hadapan jurunikah, padahal dadanya berdegup kencang. Barulah dia sedar betapa saat seseorang itu hendak diijabkabul, saat itulah tahap darah gemuruhnya akan naik mencanak. Wajah Zaara dipandang sekilas, Zaara lansung tidak memandang wajahnya, sebaliknya sedang asyik mengelap peluh.

‘Ceh, tak feeling lansung. Macam tak ada apa-apa.’ Irham mengeluh sendiri.

Suasana di dalam masjid itu hening sekali, semua hadirin menunggu saat lafaz ijab dan kabul. Irham segera mencapai tangan jurunikah di hadapannya.

“Aku terima nikahnya Nur Zaara Amirah binti Muhammad Zaidi dengan mas kahwinnya lapan puluh ringgit tunai.”

Usai ucapan itu lancar terbit dari mulut Irham, dan disahkan saksi, maka terjalinlah ikatan halal antara kedua mempelai.

Irham yang segak berbaju melayu putih susu dan bersongkok hitam, segera menghampiri Zaara yang ayu dalam busana nikahnya, duduk di atas kusyen empuk bertatah benang emas.

Irham terdiam seketika saat melihat raut wajah Zaara yang sudah bercalit mekap, lain benar wajah Zaara sekarang dengan wajah yang sering dilihatnya, kecantikan aslinya kian terserlah dengan palitan mekap. Tan Sri Zahir yang sedari tadi duduk disebelah Irham segera mencuit bahu anaknya, menyuruh jejaka itu segera menyarungkan cincin ke jari manis isterinya.

Irham yang tersedar, segera mengambil tangan kanan Zaara yang cantik berhias inai kemerahan, jari manis isterinya itu segera disarungkan cincin emas bertatah sebentuk permata merah jambu. Zaara gapai pula tangan suaminya itu lantas dikucup lembut.

“Ok, cium dahi, nak tangkap gambar ni,” jurugambar yang diupah khas bagi majlis itu, segera memberi arahan. Nak tak nak, Irham terpaksa mendekatkan wajahnya pada wajah Zaara. Dahi Zaara dicium sesaat sebelum ditarik semula wajahnya jauh dari isterinya itu.

“Eh tak sempat la, lama la sikit, jangan malu-malu,” ada pula suara-suara lain yan menyuruh, mungkin para tetamu yang mahu menjadikan foto majlis itu sebagai kenangan.

Zaara yang sedari tadi diam, merasakan bahang pada wajahnya saat bibir Irham menyentuh dahinya. Ada kehangatan di situ, bersama perasaan yang aneh namun begitu menyenangkan.

Sekali lagi Irham mengucup dahi Zaara, kali ini lebih lama, membuatkan wajah Zaara bertukar kemerahan. Rasa aneh itu kian menyerang dirinya. Degupan jantungnya berlari pantas.

Bab 11

Zaara diam di dalam bilik, awal-awal lagi dia sudah masuk ke bilik selepas selesai solat Isyak di dalam musolla yang terbina di dalam rumah itu, segan nak bergaul dengan ahli keluarganya yang baru. Usai majlis di rumah pengantin lelaki, keluarga Zaara terus pulang dan meninggalkan dia sendirian di bawah jagaan suaminya. Ah memang itu yang sepatutnya dilakukan, namun hati Zaara tetap dipagut sayu saat ditinggalkan tadi. Mujur dia masih mampu menahan air matanya dari jatuh.

Saat tiba di banglo empat tingkat itu tadi pun Zaara sudah terpana. Luas banglo itu menyamai sebuah padang bola sepak. Semua ahli rombongan terlopong biji mata, namun itu lansung tidak menjadi kebanggaan Zaara, sebaliknya lebih menambah risau di hati. Apa yang menjadi kerisauannya ialah bagaimana dia hendak bercampur dengan keluarga barunya itu sedangkan dia hanya berasal dari keluarga sederhana.

Zaara mengeluh, bilik yang lebih luas dari ruang tamu rumahnya itu diamati. Bilik yang berperhiasan moden dan elegan itu sesuai sekali dengan gaya hidup Irham. Dinding yang bercat putih digandingkan dengan perabut berwarna hitam dan merah. ‘Merahnya mak ngah! Patutlah garang semacam mamat tu. Banyak perabut warna merah. Tapi lawa jugak…’ Zaara berkata sendiri sambil membelek jam loceng yang berwarna merah.

Zaara membelek-belek majalah yang tersusun elok di atas rak di satu sudut berhadapan katil. Ruangan itu kelihatan seperti ruang kerja Irham, dengan komputer riba yang elok terletak di atas meja. Zaara belek-belek majalah itu satu persatu, namun semuanya hanyalah majalah perniagaan dan lansung tidak menarik minat Zaara untuk berlama membacanya.

Zaara menghampiri pula ruangan dinding yang dijadikan penghadang, berhadapan dengan katil. Di sebalik penghadang itu, ada bilik air yang sangat cantik hingga membuatkan Zaara terlopong. Tapi satu saja yang merisaukan Zaara.

“Mana pintunya? Kenapa pintu ni dari kaca?” Zaara membelek-belek sambil mencari pintu yang sepatutnya.

“Ah! Gila ke buat pintu lutsinar macam ni? Perlu ke?” Zaara mencebik, rasa cuak mula menguasai diri.

Cepat-cepat dia kembali ke ruang tidur semula, terbantut hasratnya nak mandi tika itu. Risau kalau-kalau Irham menjengah bilik tiba-tiba.

Selesai menjelajah bilik itu, Zaara gapai pula alat kawalan jauh yang terletak di tepi katil, punat on segera ditekan, lantas televisyen LCD 42 inci yang terlekap di atas dinding berhadapan katil segera terpasang.

———————————————————-

Irham mendaki anak tangga untuk ke biliknya di tingkat paling atas dalam banglo mewah itu. Bilik yang tidak berkunci itu segera dimasuki dengan derap perlahan.

“Ya Allah! Apa dah jadi dengan bilik aku ni?” Irham bersungut sendiri saat melihat barangannya tidak terurus. Susunan majalah yang teratur elok sudah berantakan, reka letak barangnya sudah tidak seperti biasa.

Irham berpaling dan menggeleng saat melihat televisyen sedang terpasang, namun Zaara pula sedang lena diulit mimpi. Perlahan dia menghampiri Zaara, alat kawalan jauh yang masih berada di tangan Zaara segera diambil dan punat mematikan televisyen segera ditekan.

Sebaik televisyen dimatikan, Zaara terus tersedar, barangkali suasana diam itu membuatkan dia terkejut. Zaara terpinga-pinga memandang sekeliling, Irham tidak menunjukkan sebarang riak pabila melihat Zaara terjaga.

“Eh saya.. saya kat mana ni?” Zaara macam orang hilang ingatan. Mamai agaknya.

Irham lansung tidak memperdulikan Zaara, sebaliknya duduk di atas katil betul-betul di tepi Zaara yang berbaring.

“Lain kali jangan sentuh barang-barang aku. Aku tak suka.” Irham berbicara tanpa berpaling ke arah Zaara. Zaara tergamam memikirkan apa yang telah dilakukannya. Kepalanya digaru perlahan sambil memandang Irham yang sedang membuka butang baju melayu yang dipakainya sedari tadi satu persatu.

“Eh, eh awak nak buat apa tu?” Zaara kaget.

Irham paling ke arah Zaara sebelum membuka baju melayunya, membiarkan dirinya cuma bersinglet.

“Kemas balik bilik ni.” Irham memberi arahan tanpa menjawab persoalan Zaara, seraya bangun dari katil lantas menggapai tualanya yang tersangkut di atas palang pada penghadang, sebelum membolosi bilik air. Mujur ada penghadang, jadi tak adalah Zaara ternampak perkara yang tak diingini.

Zaara urut dadanya, menggelabah jugak dia tadi. ‘Fuhhh, nasib baik. Tapi apa yang aku nak kemas? Macam sama je macam tadi?’ Zaara memandang sekeliling tanpa dapat mengesan kecacatan pada bilik itu.

Zaara bingkas bangun sebelum mengemas sekadar yang dirasakan perlu kerana dia merasakan bilik itu sudah sedia kemas.

‘Apa lagi nak kemas ni?’ Zaara terduduk di atas katil saat sudah buntu mahu mengemas apa. Irham yang sedari tadi berada di dalam bilik air, tiba-tiba keluar.

Irham lansung tidak pedulikan Zaara sebaliknya menyarung pakaian seolah Zaara tidak wujud di hadapannya. Zaara cuma membatukan diri tanpa berani mendongak ke arah Irham, dadanya berdetak kuat memikirkan apa yang bakal berlaku.

Irham cuma menjeling ke arah Zaara sebelum keluar dari bilik.

‘Ish, perangai macam apa je!’ Zaara menjuihkan bibir. Badannya yang terasa melekit, membuatkan Zaara pantas ke bilik air memandangkan Irham sudah keluar entah ke mana.

Zaara cuba melelapkan matanya di atas katil bersaiz King itu usai mandi, lebih baik dia tidur dari berduaan dengan Irham di dalam biilik itu dalam keadaan berjaga.

Walaupun menutup mata, Zaara masih belum mampu terlelap. Bunyi pintu bilik dibuka membuatkan dadanya berlari kencang. Zaara beristighfar di dalam hati, mengharapkan tiada apa yang berlaku.

Bunyi derap kaki kedengaran di telinga Zaara, kejap ke kanan, kejap ke kiri. Namun tiba-tiba Zaara merasakan ruang katil di sebelahnya tenggelam. Mungkin Irham sudah berbaring di tepi. Setelah merasakan dirinya sudah selamat, Zaara membuka matanya.

“Aaaa!” Zaara menjerit saat melihat Irham duduk menghadap dirinya dan memandang tanpa berkedip.

“Wei, kau jerit ni apsal?” Irham tersentak melihat perlakuan spontan Zaara.

Zaara cepat-cepat bangun dari pembaringan. Dia menjarakkan sedikit dirinya dari Irham.

“Awak tu la. Kenapa dok termenung kat tepi saya macam tengah bertapa tu?”

Irham mendengus kasar.

“Siapa izinkan kau tidur atas katil ni?” Irham menyoal dengan wajah serius.

Zaara tergamam.

“Kan… kan kita dah kahwin, memang la kena tidur sekali kan?” Zaara menyoal dengan wajah yang buntu.

“Kita kes lain, sekarang aku tak mahu tengok wajah kau atas katil mahal aku ni. Turun!”

“Habis, saya nak tidur kat mana?”

Irham cuma diam. Ibu jarinya dihalakan ke bawah.

“Apa? Atas lantai ni?”

“Kat mana-mana saja yang kau suka. Tapi bukan atas katil mahal aku ni. Buat kotor saja.” Irham menjeling.

“Kotor? Awak yang nak kahwin dengan saya kan, lepas tu awak cakap saya kotor pulak? Kalau awak tahu saya kotor, buat apa awak kahwin dengan saya? awak fikir tak perasaan saya bila awak paksa saya kahwin dengan awak dulu? Awak fikir pasal diri awak saja kan? Pasal saya ni awak tak fikir lansung. Awak ni memang tak guna!” Zaara menjerit.

“Wei, wei, kau ni dah meroyan ke hah!” Irham menekup mulut isterinya itu. Bimbang suara Zaara didengari ahli keluarganya yang lain. Zaara yang sudah ditutup mulutnya, masih tak henti bersuara, geramnya pada Irham tak dapat dibendung lagi. sudahlah dipaksa berkahwin, Irham pula menyatakan seolah dirinya terlalu jijik untuk berada di sisi Irham. Cengkaman Irham yang kuat pada mulutnya membuatkan Zaara meronta-ronta, tangannya menarik-narik tangan Irham pada mulutnya, dan pada masa yang sama, mulutnya masih tak henti menjerit dan memarahi Irham.

Seketika kemudian, Zaara terdiam. Dayanya sudah tiada, hanya air mata yang membasahi pipinya.

“Kau jangan jerit lagi. kalau kau janji tak nak jerit, aku lepaskan tangan aku.”

Zaara merenung wajah Irham sebelum mengangguk.

Saat Irham melepaskan tangannya pada mulut Zaara, Zaara terus menjerit sekuat hatinya membuatkan Irham menutup mulutnya kembali.

“Wei!” Irham berang, namun tak mampu berbuat apa-apa apabila pintu biliknya segera diketuk seseorang dari luar.

“Irham, Irham, kenapa tu? Semua ok ke?” suara Puan Sri Maryam kedengaran di luar.

Irham bingkas bangun tanpa mempedulikan Zaara. Pintu biliknya dibuka lantas dia membolosi bilik itu sebelum menutupnya kembali. Wajah papa dan mamanya yang seperti terkejut itu direnung dengan senyuman.

“Er, hai mama, papa.”

“Irham, kenapa isteri kamu menjerit tadi? Dia ok ke?” Tan Sri Zahir seperti cemas.

“Eh ok papa. Tak ada apa-apa. Dia mengigau tadi.”

“Oh mengigau, ingatkan apa tadi. Terkejut papa.”

“Eleh, mengigau pun siap jerit-jerit. Macam ayam kehilangan anak! Huh!” Puan Sri Maryam menjeling.

“Sudah-sudah tu Yam. Pandailah kamu ayam hilang anak. Dah-dah, kita ni pun tak patut campur hal dia orang. Dah-dah pergi masuk tidur. Irham, kamu pun sama. Pergilah masuk tidur.”

Tan Sri Zahir berkata pada Irham sambil mengenyit matanya. Entah apa maksudnya Irham sendiri kurang pasti.

“Ok, good nite, papa, mama!” Irham berkata seraya memasuki biliknya semula. Geram dia dengan perangai Zaara. Baru saja kahwin sudah pandai buat perangai macam tu, bengang Irham dibuatnya.

“Kau ni kenapa hah! Gila ke?” Irham membentak saat menghempaskan tubuhnya di katil. Zaara cuma diam.

“Wei, aku cakap dengan kau lah. Pekak ke?” Irham bersuara lagi namun Zaara tetap tidak memberi respon. Hembusan halus kedengaran di telinga Irham.

‘Ceh, dah tidur rupanya,’ Irham menggeleng saat melihat Zaara sudah nyenyak tidur dengan pipi yang masih dibasahi air mata.

“Hei bangun!” Irham menguis-nguis tubuh Zaara namun Zaara lansung tak terusik. Irham menggaru kepalanya yang tidak gatal, buntu hendak berbuat apa. ‘Menyusahkan aku sajalah perempuan ni.’

Perlahan, Irham cuba berbaring di sebelah Zaara walaupun terasa aneh. Wajah Zaara di sebelahnya direnung diam-diam. Pipi Zaara yang masih basah disentuh perlahan lantas air mata itu diseka.

‘Eh apa aku buat ni?’ Irham mendengus sebelum berpaling dari memandang Zaara.

‘Tak apa. Hari ni aku bagi chance. Esok jangan harap kau boleh tidur atas katil aku ni. Jangan harap!’

Bantal peluk diletakkan di tengah-tengah sebelum Irham berpaling ke arah berlawanan dari Zaara, tak sanggup nak memandang wajah itu lagi. Yang penting dia sendiri tidak mahu mengalah untuk tidur di bawah. Dia takkan melepaskan katilnya itu hanya kerana seorang perempuan. No way!




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

36 ulasan untuk “Novel : Love You Mr. Arrogant! 10, 11”
  1. nono70 says:

    keras kepala c irham ni…nanti da kena pengangan cinta kpd zaara baru tau

  2. Wild Cherry says:

    Irham tu mcm da ada ati ngn zara je

  3. hahihu says:

    Macam cite you’re beautiful. Comel jee citee neh. Haha :P

  4. kitara says:

    plot mcm drama korea.. ^^,

  5. asiko haera says:

    katil pown jd isu
    buat batas sawah sdahlah

  6. chomayurinerays says:

    huh.. mkin ksini ceritannya mkin seru, apakah hati irham akan berubah trhdap zaara, kacaian zaara hnya mertua cwok yg berhti baik pdanya.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"