Novel : Sungguh Aku Mengerti 7, 8

27 April 2011  
Kategori: Novel

14,870 bacaan 11 ulasan

Oleh : Amisha Dania

Novel ke 2 dari penulis novel PELUKAN CINTA. Novel PELUKAN CINTA menduduki no 1 Carta MPH selama 2 minggu berturut2

BAB 7

LAPAN khemah tegak dihalaman rumah Sinar Kasih. Puas hati Tengku Isma Danish melihat wajah-wajah penghuni rumah Sinar Kasih yang teruja. Mungkin ini pengalaman pertama mereka tidur di dalam khemah. Entahlah. Lima khemah diperuntukkan kepada penghuni rumah Sinar Kasih, dua khemah untuk Tengku Isma Danish dan kawan-kawannya dan sebuah khemah dijadikan tempat mesyuarat atau tempat urusetia. Kebanyakkan aktiviti dijalankan oleh rakan-rakan Tengku Isma Danish seusai solat Asar berjemaah. Tengku Isma Danish hanya jadi pemerhati sahaja. Dia sudah kepenatan. Semalam tidurnya tidak begitu lena, sebab itu dia kepenatan sekarang. Dia hanya memandang dari jauh. Sesi berkenalan sedang dijalankan oleh rakan-rakannya. Mereka pun nampak teruja juga. Tidak pernah melayan budak-budak agaknya. Selalunya mereka berlasak dengan motor besar dan jeep. Hari ini mereka berlasak dengan kanak-kanak pula. Satu kelainan yang tidak dapat dinyatakan dengan perkataan. Uniknya perasaan ketika ini.

Tengku Isma Danish terlelap dibawah pohon Tanjung yang berbunga wangi……

Jam sudah menunjukkan pukul enam setengah petang. Cuaca sangat cantik hari ini. Danisha Khalida mengeluarkan alat-alat melukisnya. Harap-harap dapatlah melihat matahari terbenam hari ini. Sudah lama dia tidak berpeluang melukis pemandangan diwaktu senja. Hari ini adik-adiknya sedang leka dengan program yang dibuat oleh rakan-rakan Tengku Isma Danish, jadi Danisha Khalida gunakan kesempatan yang ada untuk melepaskan gian melukis. Hobi yang diwarisi dari arwah ayahnya.

Beg besar yang lengkap dengan peralatan melukisnya disandang dengan berhati-hati. Danisha Khalida bercadang hendak menggunakan crayon sahaja hari ini. Lebih cepat dan mudah berbanding warna air atau minyak.

“Ibu, Didi nak bertapa sekejap kat belakang ye…” Danisha Khalida maklumkan tujuannya kepada ibu Nafsiah. Memang ibu sudah maklum kalau melihat beg besar sudah tersandang dibahu Danisha Khalida, tetapi Danisha Khalida tetap meminta izin.

“Jangan lama-lama Didi, kita ada tetamu…” Pesan ibu Nafsiah

“Didi faham ibu, satu jam je…bye ibu.” Danisha Khalida terus berlalu selepas mencium pipi ibu Nafsiah. Begitulah sifat Danisha Khalida. Manja. Kadang-kadang ibu Nafsiah rasa hairan, bagaimana mama Danisha Khalida boleh melepaskan anaknya yang manja dan comel ini. Malah lebih dasyat lagi dia sanggup menuduh anaknya menggoda bapa tirinya. Sungguh tidak masuk dek akal. Tetapi, ada hikmahnya semua itu. Kerana kecetekan akal mama Danisha Khalida, dia berpeluang memelihara Danisha Khalida. Menjadikan DanishaKhalida anak angkatnya. Sudah dua belas tahun dia menjaga Danisha Khalida. Tidak pernah sekali pun dia menghadapi masalah dari segi tingkah laku Danisha Khalida. Cuma trauma dan takutnya itu masih tidak pernah hilang walau dia sudah jauh meninggalkan kampung halamannya. Jauh dari bapa tiri yang durjana.

Sehelai daun kering jatuh mengenai hidung Tengku Isma Danish lantas mengejutkannya dari lena. Ahhh….Tengku Isma Danish mengeliat. Segar sikit rasa badannya yang keletihan. Matanya tajam merenung kearah kumpulan penghuni rumah Sinar Kasih di hadapan khemah-khemah yang telah didirikan tadi. Tidak ada kelibat Danisha Khalida. Tengku Isma Danish melihat jam tangannya. Hampir pukul tujuh malam. Danisha Khalida memasak ke? Tengku Isma Danish menapak ke rumah Sinar Kasih. Dapat mandi lagi bagus. Muka dah berminyak rasanya ni. Tengku Isma Danish masuk ke dapur. Cuma ada ibu Nafsiah dan bibik Lasih sahaja di situ. Mana pula Danisha Khalida ni?

“Tengku nak minum ke?” bibik Lasih bertanya sebaik sahaja dia nampak Tengku Isma Danish menjenguk ke dapur.

Tengku Isma Danish tersenyum. Malu pula ditanya begitu. “Taklah bik, saya cari Didi, dia tak ada pun diluar sana.” Tengku Isma Danish menjelaskan maksud kedatangannya ke situ. Bibik Lasih dan ibu Nafsiah tersenyum. Senyuman yang membawa makna tersendiri kepada mereka berdua.

“Waktu-waktu begini Didi biasanya ada di bawah pokok besar di belakang dapur ni. Dia melukis.” Ibu Nafsiah menerangkan. Dia tahu Danisha Khalida tidak suka diganggu, tapi susah juga untuk tidak membenarkan Tengku Isma Danish berjumpa Danisha Khalida. Biarlah Tengku Isma Danish melihat sendiri. Nanti dia akan lebih mudah memahami tingkah Danisha Khalida. Baru beberapa minggu kenal Tengku Isma Danish, hati tua ibu Nafsiah berkenan dengan watak yang di tunjukkan oleh beliau. Orangnya kelihatan jujur dan berbudi bahasa.

“Owh….ermm boleh saya tenguk dia melukis?” Tengku Isma Danish meminta izin.

“Tu kenalah tanya dia sendiri….pergilah ke belakang sana.” Ibu Nafsiah memberi izin. Senyum tidak putus dibibirnya. Apakah ini orangnya yang akan dapat membantu Danisha Khalida menghilangkan rasa bencinya kepada kaum lelaki? Ibu Nafsiah mahukan yang terbaik untuk anak gadisnya itu. Dia nampak Danisha Khalida selesa dengan Tengku Isma Danish. Boleh berbual dan mengusik macam sudah lama kenal.

Tengku Isma Danish menapak perlahan-lahan. Dia tidak mahu menggangu ketenangan Danisha Khalidaa. Dia faham, kalau orang yang minat kerja-kerja melukis ni, biasanya mereka tidak suka diganggu. Dan Tengku Isma Danish memang tidak berniat pun untuk mengganggu Danisha Khalida.

Danisha Khalida berada dalam dunianya sendiri. Matanya tajam merenung seekor burung yang sedang melepaskan lelahnya dihujung dahan sebatang pokok yang tidak berdaun. Pancaran warna jingga matahari menjadikan burung itu bersatu dengan alam dikelilingnya. Jari-jari Danisha Khalida laju sahaja melakarkan imej burung tersebut. Sedikit pun dia tidak sedar kehadiran Tengku Isma Danish yang terpaku melihat kerja seninya.

Tengku Isma Danish tergamam melihat lukisan Danisha Khalida Adakah ini satu kebetulan? Atau mungkinkah ini suatu permulaan? Danisha Khalida nampak begitu asyik dengan lukisannya.Sekejap-sekejap dia melihat kearah burung yang masih lagi sudi menjadi modelnya hari ini. Danisha Khalida tersenyum puas.

“Thank you lovely bird….” Danisha Khalida berbisik perlahan. Siap lukisannya untuk hari ini.

“You are welcome princess.” Tengku Isma Danish berbisik sambil menghampiri Danisha Khalida perlahan-lahan. Dia mengambil langkah berjaga-jaga, takut Danisha Khalida terkejut dan bersilat pula, nahas dia nanti.

“Kus semangat….abang ni. Buat terkejut Nisha aje. Sudah lama buat kerja mengendap ni?” Danisha Khalida mengurut-urut dadanya. Terkejut juga dia dengan kehadiran Tengku Isma Danish. Mamat ni suka-suka dia aje mengendap orang. Pelangkung dengan kayu nanti baru padan muka. Nasib baik tidak ada sawan, kalau tidak mahu berbuih mulut di bawah pokok ni. Heheheh….

“Lama tak lama lah….adalah dalam lima belas minit abang terpacak kat sini. Nisha tak dengar ke abang datang? Khusyuk betul Nisha melukis….” Tengku Isma Danish duduk disebelah Danisha Khalida. Tidak terlalu rapat. Dia memberi ruang supaya Danisha Khalida rasa selesa. Tengku Isma Danish melihat senyuman malu terukir dibibir Danisha Khalida.

“Maaflah abang. Nisha kalau dapat melihat matahari, memang dah tak nampak orang lain lagi. Ini kelemahan Nisha. Sejak kecil Nisha memang suka melihat matahari terbenam. Dan Allah beri kelebihan pada Nisha boleh melukis apa yang Nisha lihat.” Perlahan Danisha Khalida menerangkan kepada Tengku Isma Danish.

“Ye…abang tahu. Itu bezanya kita berdua. Abang pun suka tenguk matahari terbenam. Tapi abang tidak ada kelebihan seperti Nisha. Abang cuma mampu snap photo untuk dijadikan kenangan. Abang ada beratus gambar matahari terbenam yang abang ambil dimerata tempat yang telah abang pergi. Suatu hari nanti abang bagi Nisha tenguk…” Tengku Isma Danish menerangkan kepada Danisha Khalida. Matanya tidak lepas memandang lukisan Danisha Khalida. Memang gadis ini cukup berbakat. Kagum dia dengan anugerah Illahi kepada gadis ini. Walaupun hanya dengan menggunakan krayon sahaja, lukisannya nampak hidup sekali. Kombinasi warna yang digunakan amat menarik.

“Tenguk tu Nisha…pergerakkan awan seolah-olah membentuk formasi gelombang. Beralun. Cantik kan?” jari Tengku Isma Danish menunding kearah langit. Danisha Khalida dan Tengku Isma Danisha bersandar pada batang pokok Tanjung yang besar. Sama-sama diam sambil memberi tumpuan pada pemandangan yang amat mempersonakan itu. Tengku Isma Danish puas. Hari ini, dia jumpa kawan yang sama-sama minat melihat matahari terbenam. Kedamaian membalut hatinya. Tidak perlu kata-kata, tidak perlu bicara. Bahasa mata mengungkap segala-galanya.

“Jom…solat jemaah dengan adik-adik….” Akhirnya Tengku Isma Danish memecah kesunyian antara mereka. Ikut hati mahu berlama-lama dengan Danisha Khalida. Tetapi waktu maghrib sudah hampir. Mereka ada kuliah maghrib selepas ini. Tidak boleh berlengah lagi.

“Thanks abang. It means a lot to me.” Danisha Khalida menyuarakan rasa hatinya. Mereka melangkah seiringan.

“Yea…same wishes goes to you too. The feeling is mutual Nisha.” Tengku Isma Danish faham maksud Danisha. Bukan senang hendak berjumpa orang yang betul-betul memahami. Ramai orang suka melihat sesuatu yang indah. Tetapi tidak ramai yang akan terpegun, diam, menikmati keindahan itu seperti yang mereka lakukan tadi. Tengku Isma Danish rasa tenang. Inilah yang selalu dirasakannya selepas melihat ciptaan Allah yang tidak ternilai itu. Hatinya rasa lapang. Hari ini, Tengku Isma Danish rasa bertambah lapang kerana dia ada teman yang turut menghargai anugerah Allah itu. Alhamdulillah.

————————————–

BAB 8

SUDAH dua hari Tengku Isma Danish cuti. Penatnya belum hilang lagi. Macamlah banyak sangat kerja yang dilakukan semasa bersama anak-anak di rumah Sinar Kasih. Dia cuma jadi penyelaras sahaja. Bukan apa pun. Tetapi memang penat gila. Penat perasaan kot, kata hatinya. Heheheheh….ermmm mungkin juga. Tengku Isma Danish rasa puas. Lebih-lebih lagi dapat menghabiskan masa tiga hari bersama Danisha Khalida.

Senyum tidak putus-putus terukir dibibirnya. Dalam mindanya sudah ada perancangan baru. Kali ini lebih jauh lagi. Langkawi. Ye, Tengku Isma Danish bercadang hendak membawa semua isi rumah Sinar Kasih bercuti ke Langkawi. Tentu seronok, naik bas, naik bot dan naik kereta kabel. Dapat dibayangkan wajah-wajah ceria anak-anak rumah Sinar Kasih. InsyaAllah, moga hasratnya akan tercapai.

“Danish, boleh I cakap dengan you sekejap?” Rozita muncul di dalam bilik Danish tanpa amaran. Terkejut Danish dibuatnya, namun dia masih dapat mengawal tingkahnya. Hilang segala anganannya. Kacau daun betul!

“Tunggu I di bawah. I nak mandi dulu. And one more thing, next time please knock the door…..” dengan kata-kata itu, Tengku Isma Danish terus masuk ke bilik air tanpa menoleh ke belakang lagi. Rozita termanggu-manggu di tengah-tengah bilik tidur Danish, dulunya bilik mereka bersama. Apakah dia sudah hilang hak untuk masuk ke bilik itu lagi? Bukankah mereka masih suami isteri? Rozita mengeluh perlahan. Akur dengan arahan Danish, dia menapak ke ruang tamu ditingkat bawah.

Tengku Isma Danish keluar dari bilik air dengan wajah yang sedikit kelat. Apalah yang hendak dibincangkan lagi? Keadaan mereka sekarang adalah disebabkan oleh Rozita sendiri. Apa lagi yang Rozita mahu?

Setelah siap berpakaian, Tengku Isma Danish turun ke bawah. Dia sudah bersedia. Hari ini, apa juga yang Rozita hendak, dia akan berikan. Jangan ajak tidur bersama sudahlah. Itu sudah tutup kamus. Nafsunya sudah hilang. Jiwanya kosong.

Tengku Isma Danish menghampiri Rozita. Dia duduk menghadap Rozita. Memberi sepenuh tumpuan kepada apa yang hendak dibincangkan oleh Rozita.

“Well?” Tengku Isma Danish membuka perbualan dengan sebuah pertanyaan. Malas hendak bercakap panjang.

Rozita rasa macam terpanggang menjadi sasaran renungan tajam mata Tengku Isma Danish.

“Apa sudahnya kita ni Danish?” Rozita bertanya perlahan. Kelu sebenarnya hendak berbicara dengan Danish yang serius begini. Danish yang dulu sangat berlainan. Mesra dan ramah.

“You tanya I ke apa ni?” Tengku Isma Danish mencari kepastian. Rozita ni lupa ke?

“I tanyalah ni…tak kan you tak faham soalan I?” sentap Rozita dengan sikap Tengku Isma Danish.

“You sudah bersedia untuk berpisah ke?” Tanya Tengku Isma Danish semula. Walaupun dia marah, tetapi hatinya amat berat untuk melepaskan Rozita. Lima tahun dia membina kehidupan bersama Rozita, dan dia cukup bahagia. Mereka tiada anak, namun hidupnya tidak pernah sunyi.

“I tak tahu Danish. Tapi I rasa you dah semakin jauh dari I.” Rozita menjawab perlahan. Memang, sekarang dia tidak tahu apa yang diinginkannya. Setelah membuat pengakuan yang drastik hari itu, timbul pula rasa menyesal dihatinya. Entah bila masanya dia sendiri tidak pasti, tetapi hatinya sudah mula suka pada Tengku Isma Danish. Sudah mula terpikat sebenarnya.

“You yang campak I jauh dari hati you. I pun tak tahu kat mana I berada sekarang. Never mind, jangan fikir pasal I. kalau you dah sedia, boyfriend you dah buat persediaan untuk ambil you, jomlah kita ke pejabat agama. I ambil you dengan baik, dan I akan lepaskan you dengan baik juga. Kita jumpa di pejabat agama wilayah. I tunggu you di sana. Assalammualaikum.” Tengku Isma Danish terus bangun meninggalkan Rozita di ruang tamu. Kunci kereta dicapainya. Dia ingin keluar dari rumah yang banyak menyimpan kenangannya bersama Rozita. Setitis air matanya mengalir dipipi. Terasa pedih hatinya. Disudut dapur, mak cik Ani juga menitiskan airmatanya. Mulianya hati Tengku Isma Danish. Walau marah dengan apa yang telah dilakukan oleh Rozita, dia tetap berlembut dengan isterinya itu.

Rozita terkedu di ruang tamu. Dia tidak tahu apakah ini yang diinginkannya? Hari ini dia nampak kebaikkan Tengku Isma Danish. Kalau lelaki lain, rasanya sudah lama dia kena sepak terajang. Entahlah. Kenapa dia tidak berfikir dengan lebih dalam sebelum bercakap dengan Danish? Ini semua kerana Shamsul Kamal. Adakah Shamsul Kamal akan melayannya selambut Danish melayannya?

Rozita menapak ke dapur. Dia ingin berjumpa mak cik Ani. Orang tua itu menjaga makan dan minumnya dengan sempurna. Walaupun dia tidak berapa bercakap dengan mak cik Ani, namun dia hormat kepada orang tua itu.

“Mak cik….Ita minta maaf kalau Ita pernah berkasar dengan mak cik ye. Ita tak akan tinggal di sini lagi. Mak cik jaga Danish baik-baik ye. Ita tahu dia baik. Ita dah buat salah dengan Danish….Ita…Ita..” Rozita tidak dapat meneruskan kata-katanya. Mak cik Ani dipeluk erat.

“Cakaplah baik-baik dengan Tengku, puan. Mungkin rumahtangga puan masih dapat diselamatkan lagi.” Mak cik Ani pun menangis teresak-esak. Kesian tuannya.

“Tak apalah mak cik, jodoh kami tak panjang. Doakan dia dapat perempuan yang lebih baik. Ini ada surat untuk Danish. Nanti dia balik mak cik bagilah pada dia. Saya lupa nak bagi tadi. Saya pergi dulu mak cik.” Rozita tidak akan merayu pada Danish lagi. Cukuplah. Semuanya salah dia. Dia akan pergi jauh. Kenangan bersama Danish akan disimpannya baik-baik.

Rozita memandang keliling banglo milik Tengku Isma Danish buat kesekian kalinya. Rumah di atas bukit itu memang cantik. Tidak jauh dari banglo-banglo lain, tetapi ia agak terpencil. Kata orang ada ‘ privacy’. Tidak terlalu besar. Sesuailah untuk keluarga kecil. Kenapa dulu semua ini tidak nampak dimata Rozita? Dulu dia rasa terrkongkong, sekarang rasa selesa pula. Memang tidak pandai bersyukur. Mampukah Shamsul Kamal menyediakan kemewahan seperti yang diberikan oleh Tengku Isma Danish ini? Walaupun dia berkerja, Tengku Isma Danish tidak pernah lupa memberikan duit belanja kepadanya. Malah lebih banyak dari gajinya sendiri. Memang Tengku Isma Danish seorang yang bertanggungjawab. Dia sedar itu. Tapi kesedaran itu sudah terlambat. Hatinya sudah terlebih dahulu diberikan kepada Shamsul Kamal, kawan sekolah Tengku Isma Danish. Mungkin Tengku Isma Danish sudah lupa pada Shamsul Kamal, tapi Shamsul Kamal tidak pernah lupa pada Tengku Isma Danish, musuh ketatnya itu. Shamsul Kamal cukup marah dengan Tengku Isma Danish kerana padanya Tengku Isma Danish seorang lelaki yang berlagak. Dia dan kumpulannya sering sahaja mendapat pujian guru-guru. Anak orang kaya katakan. Hakikatnya, memang Tengku Isma Danish jenis orang yang tidak banyak bercakap. Tetapi kalau kena caranya, dia akan jadi seorang yang peramah. Inilah yang Rozita faham tentang Tengku Isma Danish setelah tinggal sebumbung dengannya.

Rozita melangkah keluar dari istana kecil yang banyak menyimpan kenangan. Elok juga mereka berpisah kerana ibubapa Tengku Isma Danish tidak pernah datang kerumahnya. Mereka menghalang pernikahan Tengku Isma Danish. Dia sendiri pun dalam tempuh lima tahun ini hanya dua kali sahaja pulang kerumah ayah bonda Tengku Isma Danish. Kedatangan mereka disambut baik, tapi Rozita dapat rasakan layanan yang sedikit dingin. Adik beradik perempuannya tidak ramah langsung. Mungkin juga sebab dia tidak bertudung. Mereka semuanya bertudung, jadi nampak janggal. Entahlah…semuanya akan jadi kenangan. Tidak perlu difikirkan lagi

Rozita menyusur menuruni Bukit Antarabangsa. Hatinya rasa gelisah, tidak tenang. Dia berbelah bagi, samaada mahu ke pejabat agama terus atau pulang ke rumah. Sedang berkira-kira arah mana hendak dituju dahulu, Rozita tidak sedar keretanya dipandu agak laju. Tiba diselekoh yang agak tajam, keretanya sudah tidak dapat dikawal dengan baik. Dalam masa yang sama, sebuah kereta lain tiba-tiba terpacul muncul dihadapannya. Rozita cuba mengelak, tetapi jarak yang agak dekat tidak memungkinkannya berbuat apa-apa lagi. Dia pasrah. Di ruang matanya terbayang wajah Tengku Isma Danish. Selepas itu pandangannya terus menjadi kelam. Rozita tidak ingat apa-apa lagi.

Sudah satu jam Tengku Isma Danish menunggu berhampiran pejabat agama Islam Wilayah Persekutuan. Dia menunggu di dalam kereta sahaja, malas hendak menayang muka di ruang legar yang memang sudah disediakan untuk tetamu yang hadir ke pejabat itu. Tadi dia sudah menelefon ustaz Malik untuk buat temu janji. Dan ustaz Malik pun sudah berjanji akan ‘handle’ sendiri kesnya. Mana pula Rozita ni. Sedang leka memikirkan apa yang ingin diucapkan nanti, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Tengku Isma Danish melihat paparan di skrin telefonnya. Rozita. Apa lagilah ini.

“Yes, where are you?” Tengku Isma Danish bertanya dengan suara yang agak malas. Penat dah menunggu.

“Hello, ini suami puan Rozita ke?” suara yang tidak dikenali menyapa Tengku Isma Danish.

“Ye betul. Siapa ni? Kenapa telefon Ita ada dengan awak?” Tengku Isma Danish rasa pelik pula, tadi datang ke rumah sendirian sahaja, ni dah ada teman pula.

“Saya Inspekter Nurul Iman. Isteri encik kemalangan, Sekarang ini dia berada di hospital Kuala Lumpur. Boleh encik datang sekarang? Barang-barang isteri encik ada dalam simpanan kami.”

Tengku Isma Danish tergamam seketika. Kemalangan? Bila pula, kan tadi elok sahaja? Betul ke ini?

“Encik….”

“Ye…ye…saya datang sekarang. Terima kasih puan.” Tergagap-gagap Tengku Isma Danish menjawab. Betullah ni. Bukan main-main lagi ni. Ya Allah…apa aku nak buat ni? Tengku Isma Danish tidak pernah berdepan dengan situasi begini. Bagaimana keadaan Rozita? Lupa pula dia hendak bertanya.

Tengku Isma Danish berlari-lari anak menuju ke bahagian kecemasan Hospital Kuala Lumpur. Kepalanya berserabut. Tidak tahu mana hendak dituju. Akhirnya dia menghampiri seorang anggota polis wanita yang kelihatan berdiri berhampiran pintu kecemasan.

“Maaf puan, tadi ada polis telefon kata isteri saya kemalangan dan ada di sini. Di mana isteri saya?” Tengku Isma Danish rasa menggigil sangat. Otaknya tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Puan Rozita maksud encik?” anggota polis itu bertanya meminta kepastian. Tengku Isma Danish hanya mampu mengangguk kepalanya sahaja.

“Encik boleh masuk ke dalam. Jumpa doktor Zailan.” Pegawai itu memberi arahan kepada Tengku Isma Danish.

Tengku Isma Danish menolak daun pintu bilik kecemasan itu dengan tangan yang tidak bermaya. Gemuruhnya dia.

“Can I speak to doctor Zailan,please?” Tengku Isma Danish bertanya perlahan. Suasana dalam bilik kecemasan itu memeningkan Tengku Isma Danish. Bau darah segar memualkannya. Seorang lelaki muncul dari sebalik tabir putih yang memisahkannya dengan orang lain.

“Ye…saya Zailan…” doktor Zailan tersenyum. Nampak sangat penat.

“It’s about my wife, Rozita….” Tengku Isma Danish cuba mencari kekuatan.

“Oh…kami minta maaf encik. Kami sudah cuba sedaya upaya kami, tetapi kami gagal untuk menyelamatkan isteri encik. Sini encik, saya jelaskan kepada encik.” Doktor Zailan menarik Tengku Isma Danish kearah tabir yang bertutup rapat.

“Isteri encik sebenarnya meninggal semasa dalam perjalanan ke sini. Cederanya banyak dibahagian kepala. Tadi kami cuba juga berikan kejutan, tapi memang dia dah tak respond lagi. Encik boleh tenguk sendiri kecederaan yang dialami isteri encik.”

Tengku Isma Danish terkaku dihadapan jenazah isterinya. Dia hanya mampu mengucap di dalam hati. Ini pengalaman pertamanya berdepan dengan situasi begini. Sungguh dia tergamam.

“Dah sampai janji dia doktor, siapalah kita hendak menghalang panggilan Illahi. Saya redha. Kena post mortem ke?” Tengku Isma Danish bertanya. Kepalanya memang dah jem. Tidak dapat berfikir dengan baik lagi.

“Kes polis encik. Kalau encik tak nak, encik jumpa pegawai bertugas. Saya tak dapat bagi keputusan. Maaf encik ye…” Lembut suara doktor Zailan menenangkan Tengku Isma Danish. Mudah kerjanya jika ramai orang seperti Tengku Isma Danish ini. Menerima ketentuan Illahi dengan redha. Tidak mempersoalkan itu dan ini.

Tengku Isma Danish keluar dari bilik kecemasan. Dia duduk disebuah bangku. Cuba berfikir sesuatu. Akhirnya dia membuat panggilan kerumah bondanya.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

11 ulasan untuk “Novel : Sungguh Aku Mengerti 7, 8”
  1. kesian rozita…sedih…sedih

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"