Cerpen : Maaf

1 May 2011  
Kategori: Cerpen

3,535 bacaan 6 ulasan

Oleh : zafydzah

Suasana sunyi pada awal pagi itu menjengah Salim yang termenung panjang di kerusi rotannya itu. Usai solat subuh tadi, dia ke koridor menghirup udara pagi yang nyaman. Menghirup sepuas-puasnya seperti tiada lagi hari esok untuknya.

Koridor sunyi yang hanya ditemani oleh lampu-lampu kalimantang membawa Salim ke dunianya sendiri.

“Sudah dua puluh tahun berlalu. Ah, sudah lama aku tidak ke sana. Apa khabar orang-orang di sana agaknya? Sudikah mereka menerima aku kembali setelah apa yang pernah aku lakukan dulu?. Masih bolehkah mereka memaafkan aku?” Sayu mata Salim memandang ke laman yang kabur pada pandangan mata tuanya.
Rumput-rumput hijau menghiasi laman rumah banglo dua tingkat itu. Di tepi kiri dan kanan pintu pagar rumah itu, terdapat pasu-pasu bunga yang diletakkan teratur menghiasi laman rumah itu. Bunga-bunga pelbagai warna memang sengaja di tanam oleh pemilik rumah itu. Ada warna merah, putih, kuning dan macam-macam lagi warnanya. Cantik. Dan di tepi kiri sebelahnya terdapat air terjun mini buatan yang menambahkan lagi kecantikan rumah banglo itu. Bunyi air terjun buatan itu mendamaikan.
Ada ketenangan yang bertamu di hati Salim. Sejenak dia bertafakur. Menghitung salah dan silapnya selama ini. Serasa tidak termampu untuknya menanggung dosanya yang banyak itu. Setitik demi setitik mengalir air jernih turun dari pipinya yang sudah berkedut seribu.
Akhirnya, setelah remang subuh berlalu, dia mula menapak perlahan-lahan ke dalam rumah. Kakinya perlahan-lahan menapak ke almari, membelek-belek piala yang tersusun rapi. Piala yang membuktikan kecemerlangan Doktor Saiful ketika masih menuntut. Alangkah bangganya ibu bapa doktor Saiful mendapat anak yang bijak dan baik hati itu.

Tepukan perlahan di bahu Salim mengejutkannya. Pantas kepalanya menoleh ke kiri. Sebuah senyuman ikhlas dihulurkan buat tuan rumah. Salim meletakkan kembali piala itu di tempat asalnya.
“Pak buat apa kat sini? Saya cari bapak di bilik tadi. Bila saya masuk, tengok kosong saja bilik itu.” Doktor Saiful memulakan perbualannya. Pantas sahaja punggungnya dihenyakkan ke sofa. Tangannya menggamit Salim supaya duduk di sampingnya. Sudah agak lama dia tidak berbual-bual dengan Salim. Akhir-akhir ini dia terlalu sibuk. Banyak masa dihabiskan di hospital.
“Kamu tidak kerja ke hari ini? Salim menyoal hairan. Selalunya Doktor Saiful sudah bersiap-siap ke tempat kerjanya pada waktu ini. Tapi hari ini, Doktor Saiful hanya memakai t-shirt biru dan berkain pelekat sahaja. Tidak berbaju kemeja yang dihiasi tali leher dan seluar slack seperti selalu.

“Pak…hari ini saya standby dekat rumah sahaja. Kalau ada call baru saya pergi”. Doktor Saiful ketawa mendengar soalan Salim itu. Dia tersengih menampakkan giginya yang putih bersih itu.

Salim hanya mengangguk. Kerja sebagai doktor memang macam ini agaknya. Fikir Salim.
“Pak…pak ada masalah ke? Sejak akhir-akhir ini saya lihat pak banyak termenung. Ada apa-apa yang berlaku ke bapak? Cakaplah pada saya. Manalah tahu kalau-kalau saya boleh membantu.”

Salim serba salah untuk memberitahu masalahnya pada Doktor Saiful. Dia tidak sanggup membebankan diri Doktor Saiful sekeluarga dengan masalahnya.
Satu keluhan akhirnya keluar dari mulut Salim. Hendak atau tidak, dia mesti juga memberitahu Doktor Saiful sekeluarga.
“Pak nak balik kampung.” Satu baris ayat itu sudah di jangka oleh Doktor Saiful. Dia tenang mendengar kalimah itu. Suasana ruang tamu mula menjadi sunyi.

“Abang…pak…sarapan dah siap. Marilah makan.” Kepala Amira terjengul keluar dari balik pintu dapur. Senyuman yang tadinya menghiasi wajahnya mulai pudar. Amira dapat merasakan suasana yang sepi menyelubungi ruang tamu rumahnya lantas dia kembali semula ke dapur. Biarlah suaminya yang menyelesaikannya sendiri.
Doktor Saiful mengeluh buat seketika. Baginya Salim terlalu degil. Masih ingin pulang ke kampung setelah apa yang telah berlaku. Dia tahu sangat orang kampung membenci Salim. Orang kampung tidak menerimanya lagi.
” Pak… pak tak ingat dengan apa yang orang kampung lakukan pada pak dulu? Pak lupa?” Doktor Saiful cuba mengingatkan Salim. Dia tidak mahu Salim kecewa. Terluka hatinya. Tercalar perasaannya. Cukuplah. Baginya, kalau orang kampung tidak mahu menerimanya, biar dia saja yang jaga.
Salim menundukkan kepalanya. Matanya memandang bucu karpet. Tidak sanggup dia nak memandang Doktor Saiful. Dia segan. Doktor Saiful terlalu banyak berbudi padanya. Dia malu dengan Doktor Saiful. Terlalu banyak dia menyusahkan Doktor Siful.
Salim tidak lupa dengan apa yang berlaku lima tahun dahulu. Masakan dia lupa dengan cepat. Dia tidak nyanyuk lagi. Dia ingat. Malah peristiwa itu sentiasa bermain-main di fikirannya. Matanya dipejam celik. Cuba mengusir rasa sebak yang datang. Dia akur jika orang kampung tidak menyukainya tapi mereka tidak boleh menghalang dia pulang ke sana. Ke kampung halamannya. Tempat dia di lahirkan. Kenangan lima tahun lepas mula mengamitnya. Dia memejamkan matanya. Mengimbas kembali peristiwa yang berlaku.

Hospital bahagia Tampoi telah beberapa kali menghantar surat memberitahu keluarga terdekat Salim tentang keadaannya. Dia sudah dibenarkan pulang. Dia sudah sembuh. Dia sudah bebas daripada penyakitnya. Namun, keluarganya tidak pernah datang untuk mengambilnya. Saban hari Salim menunggu di muka pintu pagar Hospital. Kepalanya menjenguk-jenguk. Manalah tahu jika mereka datang menjemputnya. Setiap hari dari pagi hingga malam dia bertapa di tepi pintu pagar. Sudah beberapa kali jururawat dan doktor di situ melarangnya. Tidak membenarkannya berada di situ. Kata doktor, kalau keluarganya datang, mereka akan maklumkan. Tapi Salim degil. Dia mahu tunggu di situ. Mahu menyambut sendiri keluarganya. Tapi setiap kali itu dia akan kecewa. Tiada seorang pun ahli keluarga datang menjemputnya pulang.

Doktor Saiful yang melihat dari jauh terasa sayu. Salim terlalu ingin pulang.

Sudah tiga tahun dia bekerja di hospital itu. Sudah tiga tahun juga dia mengenali Salim. Sedih dia melihat nasib Salim. Acap kali juga dia mempelawa Salim tinggal dengannya. Tapi Salim menolak. Salim mahu tunggu keluarganya di sini. Salim bimbang kalau-kalau keluarganya datang dia tidak ada. Amira isterinya tidak keberatan Salim tinggal dengan mereka. Amira yang juga jururawat di hospital ini menyenangi diri Salim.
Hampir satu bulan Salim tunggu di tepi pintu pagar hospital. Doktor Saiful mengambil keputusan untuk membawa sendiri Salim pulang ke kampungnya. Apabila Salim mendengar cadangan itu, dia menangis. Terharu dengan layanan doktor Saiful lantas Salim mengangguk. Bersetuju. Sebenarnya, kalau ikutkan hatinya, dia boleh pulang sendiri ke kampung tetapi dia tidak yakin bas mana perlu dia naik untuk pulang. Tambahan lagi dia sudah tua, matanya sudah rabun. Nak membaca papan tanda pun dia sudah tidak nampak.

Tetapi kepulangannya ke kampung menjadi satu peristiwa yang sedih. Penduduk kampung tidak menerima kepulangannya. Mereka bahkan menghalaunya dari kampung itu. Mereka takut jika bapak menjadi seperti dulu. Sedangkan bapak bermati-matian memberitahu bahawa dia sudah sembuh. Penduduk kampung takut pada dia. Mereka pulaukannya. Keluarganya sendiri tidak mahu menerimanya. Akhirnya Doktor Saiful memaksa Salim pulang semula ke Johor. Di sana, Salim tinggal dengan keluarga Doktor Saiful. Doktor Saiful sekeluarga melayan Salim dengan baik. Lebih baik dari keluarga sendiri.

Bunyi tangisan Mariam mengejutkan Salim dari lamunannya. Doktor Saiful pantas melayan Mariam yang sememangnya minta dipujuk. Mariam yang baru mencapai usia tiga tahun begitu mudah ketawa apabila dipujuk. Salim tersenyum melihat keletah si kecil itu. Si kecil itulah yang membawa keceriaan dalam hidup Salim . Salim gemar bermain-main dengan Mariam.

Tiba-tiba tangannya memegang dada yang mula terasa sakit mencucuk-cucuk ulu hatinya. Sakit yang teramat sangat. Puas Salim melawan rasa sakitnya itu. Dipejamkan matanya. Mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu. Salim memandang Doktor Saiful yang sedang melayan Mariam bermain. Dia pasti Doktor Saiful tidak perasan dengan perubahan wajahnya ketika itu. Tidak lama kemudian, rasa sakit itu mula beransur-ansur hilang. Salim terus bangun dari sofa yang didudukinya sejak tadi dan terus mendaki tangga. Dia ingin berehat. Tempat yang ingin ditujunya hanyalah kamarnya sahaja.
Di dalam bilik, Salim termenung panjang. Dia merenung siling rumah itu dengan pandangan yang kosong. Sekosong hatinya saat itu.

* * *
Kampung Sungai Kolek, Pahang
2 Februari 1988
Suasana Kampung Sungai Kolek sunyi seperti biasa pada awal pagi. Hanya bunyi unggas-unggas hutan sahaja kedengaran bernada riang. Namun begitu, bunyi beberapa das tembakan pada awal pagi itu mengejutkan penduduk kampung. Masing-masing kebingungan.

“Bunyi apa tadi tu Pak Kassim? Macam bunyi tembakan. Dengar macam dari rumah Salim?” Dollah menggaru kepalanya yang banyak kutu itu berulang kali. Hatinya berdetik bimbang kalau-kalau betul itu bunyi tembakan. Dia tahu hanya Salim sahaja yang mempunyai senapang di kampung itu. Maklumlah dia itu seorang askar.
“Entahlah. Cubalah kau pergi tengok sekejap kat rumah Salim tu. Kau tu ada basikal. Cepat sikit sampai dari aku ni. Aku ni nak jalan cepat tak boleh sangat.” Pak Kassim menjawab sambil menjeling kakinya yang sering sakit sejak kebelakangan ini. Sakit lututnya semakin menjadi-jadi.

Dollah yang baru menghirup kopi pekatnya bergegas mencapai basikal buruknya yang disandarkan pada sebatang pokok kelapa berhampiran kedai kopi milik Pak Kassim. Basikal buruknya itu banyak berjasa kepadanya. Kayuhannya dilajukan menuju ke rumah Salim. Di kiri kanan jalan tanah merah itu terdapat belukar tebal. Hatinya berlagu bimbang kalau-kalau tersembul keluar Pak Belang yang memang terkenal dengan keganasannya. Bukan dia tidak tahu sudah beberapa orang penduduk kampung yang ternampak kelibat Pak belang yang berkeliaran di hulu kampung sejak akhir-akhir ini. Namun mujurlah masih tidak berlaku kemalangan jiwa lagi setakat ini.

Rumah Salim memang agak jauh daripada rumah penduduk kampung yang lain. Salim hanya berjiran dengan suami isteri yang baru berpindah ke situ empat bulan yang lepas, Rosmah dan Razali.

Sebaik sahaja sampai di tepi pagar buluh rumah Salim terus dia menyandarkan basikal tua buruknya itu di situ. Hatinya tertanya-tanya dan berlagu bimbang. Dia tidak tahu kenapa perasaannya kacau bilau. Seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Bunyi tangisan bayi semakin kuat menerjah gegendang telinga Dollah. Bunyi tangisan bayi dari rumah Rosmah yang baru melahirkan anak keduanya dua minggu yang lalu mengamitnya agar menjenguk rumah Rosmah yang bersebelahan dengan rumah Salim. Matanya meliar melihat sekeliling sebelum mula melangkah ke anak tangga rumah Rosmah. Dollah berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan. Belum pun kakinya melangkah anak tangga terakhir, dia kaku di situ. Mengeletar seluruh tubuhnya melihat apa yang ada di depan matanya. Kakinya tidak mampu diangkat lagi. Dia terjelepuk di situ.

* * *
“Bapak… kenapa duduk dalam bilik ni? Mari sarapan. Abang Saiful sudah tunggu kat bawah tu.” Amira merapati Salim yang sedang berbaring di kamarnya itu. Amira dapat melihat dengan jelas air mata Salim mengalir lesu namun dia hanya buat tidak nampak. Salim pantas menyeka air matanya. Dia tidak mahu Amira bimbang. Pantas dia senyum dan mengangguk.

Di meja makan, suasana hanya dihiasi suara Mariam sahaja. Salim lebih banyak mendiamkan diri sejak tadi. Doktor Saiful dan Amira hanya berpandangan sesama sendiri. Mereka tidak tahu bagaimana unuk membantu Salim. Tadi Doktor Saiful ada berbincang dengan Amira. Mereka mencapai kata sepakat untuk membawa Salim kembali ke kampung. Mungkin kepulangan Salim kali kedua akan diterima oleh orang kampung.

Amira menjeling suaminya. Kemudian, dia menghantar isyarat yang memang difahami oleh Doktor Saiful.
” Emmm…bapak, kalau minggu depan saya dapat cuti, saya bawa bapak ke kampung. Kita cuba sekali lagi. Mungkin nanti orang-orang kampung boleh terima bapak. Macam mana?” Kata-kata Doktor Saiful itu menyebabkan Salim kaku. Dia terkesima. Doktor Saiful terlalu baik. Salim menangis gembira. Tidak sabar dia menunggu sehingga minggu depan. Dia mahu pulang. Kalau boleh, dia mahu mati di kampungnya.

Selepas sarapan, Salim terus ke biliknya. Sebuah beg pakaian di capai di atas almari. Baju-bajunya dimasukkan ke dalam beg pakaian itu. Dia mencanai-canai di dalam fikirannya untuk membeli sedikit buah tangan sebelum balik nanti untuk diberi kepada keluarganya. Ah, seronoknya. Senyuman tidak pernah lekang dari bibir tuanya.

Doktor Saiful yang melangkah masuk ke bilik Salim tertanya-tanya dengan tingkah laku Salim.
” Bapak buat apa ni? Bapak nak pergi mana?” Mata doktor Saiful hinggap pada beg pakaian Salim. Berkerut dahinya. Hairan.
Salim hanya tersenyum. “Aku kemas barang nak balik nantilah. Kemas awal-awal senang. Nanti tidak kelam-kabut”. Tangan tuanya terus memasukkan pakaiannya ke dalam beg.
Doktor Saiful hanya mengelengkan kepalanya. Dia faham perasaan Salim. Salim terlalu rindukan kampung halamannya.
” Bapak… kan masih ada seminggu lagi? Tak perlulah nak berkemas sekarang.
“Aku tahu”.
Doktor Saiful hanya memandang kelakuan Salim. Biarlah. Biarlah Salim merasai kebahagian ini buat masa sekarang, desis hatinya. Akhirnya, doktor Saiful meninggalkan Salim keseorangan di dalam biliknya.

* * *
Dollah melihat dengan jelas kepala Rosmah yang hampir putus dari badannya terdampar lesu di atas lantai. Darah hanyir mula menguasai ruang rumah kayu itu. Rosmah yang masih tinggal nyawa-nyawa ikan kelihatan tercungap-cungap. Darah merah pekat mengalir laju dari lehernya apabila dia cuba untuk bernafas. Bunyinya seperti lembu yang kena sembelih. Di sebelah kirinya, anak Rosmah yang berusia dalam lingkungan tujuh tahun terbaring. Beberapa das tembakan tepat mengenai kepala anak itu. Tubuhnya yang dibasahi darah itu sudah tidak bernyawa lagi. Di satu sudut rumah itu, Salim ketawa melihat mereka. Di tepinya, selaras senapang patah kelihatan. Di tangannya pula, sebilah pisau memotong daging ditujah-tujah ke lantai.

” Mampus kau! Padan muka kau! Inilah balasan yang patut kau terima! Salim menjerit gembira. Dia ketawa dengan kuat. Sepuas-puas hatinya.
Bunyi suara tangisan bayi di dalam buaian tidak sedikit pun mengganggu Salim. Dia hanya ketawa. Ketawa dan ketawa.

Dollah cuba untuk memberanikan dirinya. Perlahan-lahan dia berjalan. Matanya memerhatikan Salim. Bimbang jika Salim menyerangnya pula. Kakinya bergerak kearah buaian itu. Dia mengambil bayi yang berada di dalam buaiannya dan terus terjun keluar dari rumah itu. Dollah tidak sedikit pun memandang belakang. Dia berlari ketakutan ke rumah Tok penghulu. Takut juga dia jika Salim mengejarnya.
Penduduk kampung terkejut mendengar berita itu. Bagaikan tidak percaya Salim sanggup melakukan semua itu. Ada yang menggeleng-gelengkan kepala dan ada yang menangis mendengar cerita Dollah. Mereka tahu Salim jadi begitu disebabkan oleh Milah, isteri Salim yang telah lari dengan lelaki lain. Akibat tertekan Salim menjadi tidak siuman.
Salim yang telah dibawa ke balai polis hanya tenang sahaja. Dia hanya mendiamkan diri sejak dibawa ke balai polis. Salim akhirnya dituduh sebagai tidak siuman dan dihantar ke Hospital Tampoi.

* * *
“Pak… bangun pak. Dah maghrib ni?” Doktor Saiful menggoncang perlahan tubun Salim. Namun tiada tindak balas. Salim kaku di pembaringannya. Doktor Saiful merasakan tubuh Salim sejuk. Tangannya terus mengesan nadi di tangan Salim. Tidak berdenyut. Dia tidak berpuas hati. Tangannya diletakkan dekat dengan hidung bapak. Akhirnya dia menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Innalillah hiwa inna ila ro jiun.” Hanya itu sahaja yang mampu diucapkan oleh Doktor Saiful. Salim pergi dengan membawa bersamanya impian yang tidak sempat ditunaikan. Di tepi almari, Doktor Saiful memandang sepi beg pakaian yang telah dikemaskan Salim.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

6 ulasan untuk “Cerpen : Maaf”
  1. green apple says:

    camtu je?

  2. nuriz says:

    jdla..hehe

  3. anonymous says:

    Hospital Bahagia kat Perak; Hospital Permai kat Tampoi, Johor

  4. kupukupunyacinta says:

    simple je…tp kalo pjgkn skit kat part kmpung 2 lg mantop..

  5. ..... says:

    klu x silap cite ni dah pernah keluar tahun lalu di p2u ni…

  6. abesyuk says:

    erm…banyak lagi yang boleh diperbaiki terutama dalam kekemasan plot penceritaan…keep going

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"