Novel : Bukan Aku Tak Cinta 8, 9

19 May 2011  
Kategori: Novel

5,591 bacaan 4 ulasan

Oleh : jeje / Qash Irdina

8

TENGKU DANIA membaringkan tubuhnya di atas sofa. Aduh, seluruh badannya habis sakit-sakit semuanya. Matanya dipejamkan seketika membiarkan mak dan ayah melayan Zaharul Ashriq. Oh, Zaharul Ahsriq empunya nama si bos besar Mega Holdings itu. Lembut gila suara dia bila bercakap dengan mak dan ayah. Tak payah tanya nama. Pandai-pandai sendiri saja memperkenalkan diri. Bila aku tanya tanya tadi tak nak pula jawab. Jam di dinding direnung kosong. Macam tak percaya saja dah pukul 2.30 pagi. Gila ah. Satu hari yang agak malang hari ini.

Dahinya yang berbalut comel itu disentuh perlahan. Teringat saja peristiwa sebentar tadi, serta-merta mengantuknya hilang. Ingatkan selepas anak-anak buah Zaharul Ashriq datang, dia akan terus dihantar ke rumah. Rupa-rupanya dalam diam, aku dibawa ke klinik. Argh, apa lagi. Menggigil kepala lutut aku. Tempat aku paling alergik dalam dunia yang fana ini. Baunya saja sudah cukup buat aku separuh nyawa. Tinggal nyawa-nyawa ikan pun ada juga.

Lukanya di dahi, lutut dan bibir habis dibersihkan dan disapu ubat yang amat memedihkan terasa hingga ke limpa, jantung dan pundi kencingnya. Masa itu, tuhan saja yang tahu betapa takutnya dia. Janganlah nak kata aku ni tak matured bagai. Dah aku memang tak suka masuk klinik apatah lagi hospital. Bau ubat saja dah buat aku mual. Argh!

“Tengku suami isteri, saya minta diri dululah ya. Dah lewat sangat ini.”pinta Zaharul Ashriq penuh hormat.

“Terima kasih sangatlah sebab sudi membantu anak perempuan saya. Saya sekeluarga sangat terhutang budi kepada Zarul,”ujar Tengku Mikael. Anak muda yang berada di hadapannya ini begitu merendah diri di hadapannya. Sedikit pun tidak bongkak dan bangga dengan statusnya sebagai bos besar Mega Holdings.

“Eh, janganlah cakap macam tu, Tengku. Saya pasti orang lain yang berada di tempat saya pasti akan melakukan perkara yang sama.” Zaharul Ashriq sempat menjeling Tengku Dania yang sudah melabuhkan tubuhnya di atas sofa biru laut yang empuk itu. Kasihan! Hatinya sedikit tercuit apabila teringat gelagat Tengku Dania sewaktu menahan sakit lukanya sedang dicuci oleh doktor. Habis lengan bajunya dicengkam oleh Tengku Dania. Macam orang sakit nak beranak pulak gayanya. Padahal luka kecil sahaja di lutut dan dahinya. Nampak sangat tak tahan sakit.

Zaharul Ashriq menuju ke muka pintu. Ajakan Tengku Mikael dan isterinya untuk menikmati sedikit minuman panas ditolaknya secara hormat. Dia perlu pulang segera. Mama pasti menunggu kepulangannya di rumah.

Sekejap sahaja Tengku Dania sudah berada di hadapannya dengan muka sedikit monyok. Zaharul Ashriq tersenyum lagi. Wajah Tengku Dania dalam pelbagai jenis mimik muka sekalipun tetap menarik dan comel. Ah, hati. Mudah sungguh tertawan dengan wajah yang satu ini.

“Thanks, Encik Baru Sekarang Nak Tanya. Jasamu dikenang,” ujar Tengku Dania sambil tersenyum manis. Ish, mak ni. Sempat saja mencubit punggungnya agar mengucapkan terima kasih kepada Zaharul Ashriq sebelum lelaki itu melangkah pulang. Matanya baru saja ingin lelap di sofa kegemarannya itu.

“Sama-sama. Sakit lagi tak dahi awak tu?” soal Zaharul Ahsriq. Dia menyentuh sedikit dahi Tengku Dania yang berbalut kecil itu.

Tengku Dania terpana. Sedikit sebanyak terusik hatinya dengan perilaku Zaharul Ashriq yang spontan itu. Janganlah baik sangat dengan aku cik abang oi. Karang aku tangkap cintan dengan kau, apa aku nak jawab dengan Tengku Mikael nanti. Tangan Zaharul Ashriq ditepis lembut.

“Eii, tak sakit langsunglah. Ini Dania lah. Bukan sakit tau. Tapi geli ada lah,” Tengku Dania menjawab. Mulutnya sudah menguap beberapa kali. Matanya juga sudah berair menahan mengantuk yang teramat. Besar juga mulutnya tiap kali menguap. Tak mampu lagi ditutup dengan belakang tangannya kerana sudah terlampau mengantuk.

Zaharul Ashriq menggeleng saja melihat wanita di hadapannya. Tangannya pantas menutup mulut Tengku Dania yang menguap besar itu.

Tengku Dania merenung Zaharul Ashriq tidak berkelip. Terkejut dengan tindakan Zaharul Ashriq yang selamba menutup mulutnya yang sedang menguap itu. Persis lagak seorang bapa yang cuba menutup mulut anak kecilnya yang menguap kerana mengantuk. Ah, jiwanya bergetar dengan laju kini. Mungkin 180km/jam barangkali. Mata lelaki yang yang berwarna hazel itu merenungnya romantis. Tengku Dania terpana lagi. Aduh, macam ada renjatan elektrik yang mengalir dari tujahan pandangan maut itu. Macam arus elektrik.

Zaharul Ashriq cepat-cepat menarik tangannya. Lupa pula dia berada di rumah Tengku Mikael. Apa kena dengan aku ni? Suka hati saja nak pegang-pegang anak dara orang tengah malam buta ni. Cepat-cepat dia berlalu pergi dari muka pintu kediaman Tengku Dania. Ah, sudah. Mukanya terasa panas tiba-tiba.

Tengku Dania memandang saja tindak tanduk Zaharul Ashriq yang menggelabah tiba-tiba itu. Aikk, macam tu saja? Ciss. Takkan takde sepatah dua kata kut. Selamat malam sayang ke? Mimpikan saya ke? He he.

Tiba-tiba Zaharul Ashriq berpaling sambil tersenyum.

“Comel selipar katak awak tu.” Ujar Zaharul Ashriq lalu berlalu pergi.

“Erk??” Tengku Dania terpaku. Dia memandang selipar di kakinya. Ah, tanpa sedar dia telah menyarung selipar katak dari kartun Keroppi. Warnanya yang hijau terang dengan matanya yang bulat dan besar sememangnya menarik perhatian. Ish, selipar aku jugak yang dia nampak. Selipar ni jugak yang dia nak perasan. Sabar jelah. Tengku Dania menggelengkan kepalanya. Bibirnya menguntum senyuman tanpa sedar. Tengku Dania menutup pintu rumahnya.

Tengku Dania menyumbat earphone miliknya di telinga. Tubuhnya terbaring terlentang memikirkan peristiwa sebentar tadi. Matanya cuba untuk dipejamkan agar cepatlah lenanya. Namun, sedikitpun mata ini tak mahu bekerjasama. Mindanya masih bekerja keras memikirkan peristiwa siang tadi. Lagu Maher Zain yang berkumandang di gegendang telinga dikuatkan volumenya.

Bait-bait lirik yang dinyanyikan oleh Maher Zain diikutnya di dalam hati. Tiba-tiba datang pula mood jiwang malam ini.

You`ve opened my heart
I was always thinking that love was wrong
But everything was changed when you came along

And theres a couple words I want to say

For the rest of my life
I`ll be with you
I`ll stay by your side honest and true
Till the end of my time
I`ll be loving you.loving you
For the rest of my life
Thru days and night
I`ll thank Allah for open my eyes
Now and forever I…I`ll be there for you

Tengku Dania menekup mukanya dengan bantal busuknya. Ah, sudah. Jangan cakap aku sudah jatuh cinta. Wajah Zaharul Ashriq terbayang-bayang di ruang matanya. Wajah lelaki itu mencebik, tersenyum dan serius. Semuanya menarik hatinya. Ish! Apa yang aku fikir ini. Takkanlah. Tak mungkinlah. Tak semudah itu. Ish, tak boleh, tak boleh. Tengku Dania mengesat dahinya yang berpeluh-peluh. Hish, apsal panas sangat malam ni? Tak cukup sejuk lagi ke aircond yang aku pasang ni? Pelik betul dengan tubuhnya ini. Mesti berpeluh masa nak tidur. Nervous ke apa? Apa kejadahnya nak nervous sebelum tidur? Hish, takkan nervous sebab teringat kat bos besar Mega Holdings kut. Aish, bahaya ni.

Sememangnya tidak mudah untuk dia berperasaan begini. Apa budak-budak sekarang cakap? Tangkap cinta? Aduh, parah. Mesti bos besar Mega Holdings bangga gila kalau tahu aku dah syok 40 peratus kat dia. Hahaha. Baru 40 peratus okay. Masih boleh dirawat. Ah, Dania! Cegah perasaan ini sebelum terlambat. Kau ada hati nak cintan cintun dengan bos besar Mega Holdings tu? Bukan boleh percaya pun. Lelaki oh lelaki. Bila dah ada duit, pangkat dan rupa. Perempuan mesti keliling pinggang. Lepas tu, mudah saja nak bayar mana-mana perempuan untuk dijadikan teman tidur. Jadilah perempuan ni macam pampers pakai buang.

Dia memeluk bantal peluknya sekuat hati. Cuba menjauh dari perasaan yang kian menggigit-gigit sudut hatinya. Lagu Sixth Sense pula berkumandang. Ah, irama yang rancak itu serancak degupan jantungnya. Tengku Dania memusingkan tubuhnya ke sebelah kanan. Wajah bos besar Mega Holdings muncul lagi di ruangan mata. Tengku Dania memusingkan tubuhnya ke sebelah kiri pula. Tengku Dania semakin khayal lalu terlelap. Bibirnya menguntum senyuman. Moga mimpi yang indah-indah malam ni. Jangan mimpi menari ala-ala dalam cerita Hindustan sudah.

Zaharul Ashriq menghempaskan tubuhnya di atas katil empuknya. Ah, sedapnya dah dapat katil. Mujur mama sudah tidur sewaktu dia pulang tadi. Zaharul Ashriq mencapai android miliknya. Satu gadjet terbaru miliknya yang lebih canggih dari handphone, I-phone mahupun blackberry. Tangannya pantas membuka kotak e-mail. Matanya meneliti satu persatu e-mail yang diterimanya. E-mail dari setiausahanya, Aina dibukanya dengan pantas. Bibirnya mengukir senyuman. Malah senyuman itu menyusup jauh hinggalah ke sudut hatinya. Gambar-gambar yang dikirimkan oleh Aina benar-benar menarik perhatiannya.

Semuanya adalah gambar-gambar Tengku Dania dan beberapa maklumat mengenai Tengku Dania. Selepas ribut yang dibawa oleh Tengku Dania di Mega Holdings buat pertama kalinya, dia sudah meminta setiausaha menyiasat mengenai Tengku Dania.

Satu persatu gambar Tengku Dania dilihat dan setiap kali itulah dia akan tersenyum. Gadis ini berperwatakan ceria dan jauh dari imej garang dan elegan yang dipamerkan sewaktu bertemu dengan dirinya. Barangkali gambar-gambar ini didapati melalui laman sosial milik Tengku Dania. Ada juga beberapa gambar Tengku Dania sedang melayan kanak-kanak yang ramai. Malahan ada juga gambar Tengku Dania bergambar dengan kanak-kanak di hospital yang tidak diketahui lokasinya. Gambar Tengku Dania meniup belon dengan gayanya yang comel, gambar Tengku Dania mencium kanak-kanak Sindrom-Down, gambar Tengku Dania mencium bayi di hospital, dan banyak lagi. Hati Zaharul Ashriq terhibur dan tersentuh dengan setiap gambar yang dilihatnya. Profil Tengku Dania dibacanya dengan teliti.

Nama : Tengku Dania binti Tengku Mikael.

Umur : 26 tahun

Tarikh lahir : 9 Februari 1984

Tempat lahir : Melaka

Adik-beradik : Tengku Rania Tengku Mikael, 29 tahun

Tengku Adrianna Tengku Mikael, 28 tahun

Pendidikan : Lulusan Newcastle University Business School

Status : Bujang

Tinggi : 167 cm

Berat : 50 kg

Bintang : Aquarius

Makanan kegemaran : Yang boleh menggemukkan saya!

Moto hidup : Hidup untuk makan.

Darah : Jenis O

Saiz kasut : 7

Aktiviti kegemaran : Makan

Aktiviti paling tidak disukai : Bersukan

Tengku Dania merupakan antara penaung kepada rumah-rumah anak yatim Elzana yang ditubuhkan di Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Perlis, Kedah, Sabah dan Sarawak. Kesemua rumah anak yatim ini ditubuhkan atas idea beliau dan direalisasikan oleh Tengku Mikael Tengku Muhsin. Tengku Dania menyalurkan kesemua hasil kerjanya sebagai photographer sepanjang di United Kingdom yang mana kesemua hasil gambarnya terjual hingga mencecah RM900 ribu sekeping. Hasil kutipan gambar-gambar digunakan sepenuhnya untuk membiaya rumah-rumah anak yatim Elzana di seluruh negara. Selain itu, Tengku Dania merupakan penggemar kasut dan akan mengumpul sebanyak mana kasut yang digemari.

Zaharul Ashriq tergelak membaca profile Tengku Dania. Mana agaknya si Aina dapat korek semua maklumat ini. Kelakar pun ada juga. Zaharul Ashriq menatap gambar-gambar Tengku Dania sekali lagi. Entah mengapa hatinya berbunga bahagia. Tiap kali memandang wajah yang manis dan tidak lokek dengan senyuman itu, hatinya jadi tertawan. Jelingan mata Tengku Dania sewaktu menghantar pemergiannya dari rumah Tengku Dania juga mengusik hatinya. Ah, Dania! Dania! Bukan saja Mega Holdings yang bergegar kerana dia, hatinya juga sudah bergetar setiap kali teringatkan wajah manis gadis itu.

9

TENGKU DANIA menikmati sarapan paginya begitu berselera sekali. Luka di dahi dan lututnya dilupakan terus apabila menikmati menu sarapannya pagi ini. Ala, luka sikit je pun. Menu pagi ini adalah Nasi Lemak Sambal Kerang. Wow! Menu kegemarannya. Kalaulah mak masak menu ni tiap-tiap pagi bukankah bagus? Cepat sikit aku gemuk. He he.

“Nia, cuba perlahan-lahan sikit makan tu. Tiap-tiap kali makan nak kena tegur. Ish, budak ni.” tegur Tengku Mikael. Dia menggeleng sahaja melihat anak daranya yang pelahap tahap gorilla itu. Kalau pasal makan memang dialah raja dan permaisuri. Langsung tak boleh nak kontrol.

Tengku Rania dan Tengku Rozana tersenyum sesama sendiri. Mereka sudah faham dengan perangai Tengku Dania yang satu ini. Tiap kali tegur macam tu jugak. Tak pernah berubah.

“Nia laparlah ayah. Lagipun kalau makan lambat-lambat ni, Nia memang tak bolehlah. Masakan mak ni sedap sangat hingga menjilat jari. Rasa macam tak boleh nak berhenti makan saja,” jawab Tengku Dania sambil mulutnya mengunyah dengan laju. Tangannya mencedok lagi sambal kerang ke dalam pinggannya.

“Kamu tu kalau sumbat batu dengan kayu pun sedap. Apa yang tak sedap kalau dah masuk dalam mulut kamu tu?” sindir Tengku Rozana sambil memandang anak bongsunya.

“Nia, akak rasa Nia kena belajar memandulah. Sampai bila Nia nak naik teksi? Ada driver pun Nia tak nak guna. Kalau jadi lagi hal semalam tu macam mana? Nasib baik En. Zaharul tu ada masa tu.” Ujar Tengku Rania.

“Betul cakap along tu, Nia. Lagipun kamu nak ke sana dan ke mari lebih mudah dan selamat.”

Tengku Dania menggeleng-gelengkan kepalanya. Ambil lesen memandu? Oh, tak mungkin. Tak mungkin.

“Tak naklah. Nia tak nak. Pleaseee. Nia tak nak pergi kelas memandu atau ambil lesen memandu.”

“Kenapa Nia nak takut sangat ambil lesen memandu? Bukannya susah pun. Senang saja. Soal kereta jangan risau. Ayah akan belikan kereta apa saja yang Nia nak. Nia cuma perlu pergi kelas memandu. Itu saja.”

“Masalahnya bukan pasal kereta. Ini melibatkan keyakinan diri. Nia tak bersedia lagilah nak ambil lesen memandu. Tentang hal semalam tu, ayah, mak dengan along jangan risaulah. Nia janji takkan terjadi lagi macam semalam.”

Tengku Rania tersenyum mendengar alasan kurang cerdik dari mulut adiknya. Kurang keyakinan diri? Ah, Nia. Dramatik pulak bila suruh ambil lesen memandu. Bukannya susah pun.

“Amboi, bukan main lagi alasan kanak-kanak ribena dia tu. Entah-entah lepas ni si Zaharul tu dah offer nak jadi driver permanent Nia tak?” usik Tengku Rozana. Terpikat juga dengan budi bahasa anak muda yang menghantar pulang Tengku Dania malam tadi. Ah, kalau dapat dipadankan dengan Tengku Dania, pasti bagai pinang dibelah dua.

“Mak, sambal kerang mak ni sedaplah. Alhamdulillah. Kenyang perut Nia pagi ini. Burrrrp.” Tengku Dania menepuk perlahan perutnya. Cepat-cepat dia bangun dari kerusi dan mengambil beg kerjanya. Begitu juga Tengku Rania. Tangan kedua-dua orang tuanya dicapai dan dikucup penuh hormat.

Tengku Mikael mengusap perlahan ubun-ubun kepala Tengku Dania. Seperti biasa Tengku Dania akan mengenyitkan matanya tanda terima kasih atas kucupan tersebut. Tengku Rozana tersenyum saja melihat pemergian anak-anaknya.

“Baru masuk sikit bab lelaki, terus laju saja pergi kerja,” ngomel Tengku Rozana sambil mengemaskan meja makan. Tengku Mikael mentertawakan isterinya.

“Macam tak kenal perangai anak-anak kita tu. Kalau dengan Rania dan Adrianna boleh juga mereka dengar. Duduk diam-diam dan mengangguk tiap kali kita cakap pasal kahwin dengan mereka. Tapi kalau Dania… hmm, cabut lari terus. Tak ada sepatah dua kata lagi. Dania.. Dania.”

Tengku Rozana menggeleng-gelengkan kepalanya. Anak dara ada tiga orang. Tapi semuanya tak mahu berkahwin. Pening sudah kepalanya memikirkan hal ini. Bukan tiada yang datang bertanyakan perihal anak-anaknya. Cukup ramai. Anak-anaknya cukup sifat, cantik dan cukup didikan telah diberikan. Namun, semua calon yang ingin diperkenalkan ditolak mentah-mentah. Kawan-kawan yang seusia dengan dengannya sudah boleh bermanja dengan cucu. Cemburu juga melihatnya. Tiba-tiba dia teringat akan sesuatu. Rania!

“Eh, bang. Semalam Rania ada bagitahu kat saya. Kawan si Rania masa zaman universiti dulu tu nak masuk meminang si Rania. Dia kenal budak tu masa dia belajar kat France dulu. Dah lama budak ni menunggu dia. Dari masa kat France lagi. Dia suruh saya sampaikan kat awak. Saya lupalah nak bagitahu awak malam tadi.”

“Ish, macam mana perkara penting macam ni awak boleh lupa? Benda baik macam ni tak elok lengah-lengahkan, Za. Hmm, lagi cepat lagi elok bagi saya. Untung-untung dapatlah saya bermain dengan cucu baru tahun depan.” Tengku Mikael tertawa. Begitu juga Tengku Rozana.

“Amboi, tak sabar sangat dah nampaknya abang ni nak timang cucu. Ish, patutlah Rania malu nak cakap dengan awak. Budak tu belum kahwin pun abang dah sebut pasal cucu depan dia.”

Tengku Mikael tertawa lagi. Riang hatinya menerima perkhabaran gembira ini.

“Alah, kenapa tak tanya aku dulu, Nana? Tiba-tiba je suruh aku pergi. Suruh jelah mana-mana staff gantikan aku. Eii, tak ada maknanya aku nak pergi Family Day Mega Holdings. Tak ada kena mengena dengan aku pun.” Tengku Dania membebel sambil mulutnya rancak mengunyah asam pemberian Makcik Kiah, tukang cuci berusia lewat 50-an yang sememangnya telah ditugaskan untuk membersihkan aras Tengku Dania bekerja.

“Kau gila? Kau sendiri boleh tengok siapa yang sain surat maklum balas tu. Kakak kesayangan kau jugak. Kalau kau tak pergi, nanti yang kena balik aku jugak. Eii, pergi jelah Dania. Bukan susah pun. Lagipun memang permintaan dari Mega Holdings juga supaya wakil dari Laxmana Holdings dapat hadir dan memeriahkan majlis Hari Keluarga Mega Holdings.”

“Amboi siap ada request pulak tu. Apsal dia tak request satu Laxmana Holdings ni saja?” sindir Tengku Dania pula.

Nana memandang wajah temannya itu. Banyak soal pula ‘makcik’ ni. Ada makan printer Canon juga ni karang.

“Aku cabar kau pergilah, Nia. Ak cabar kau. Aku cabar kau pergi Family Day Mega Holdings. Apsal? Kau takut ke? Come on lah. Haa, kalau kau terer sangat, menguratlah bos Mega Holdings tu. Kalau kau hot sangatlah kan..”

Tengku Dania mencebikkan bibirnya. Elleh, sikit-sikit ugut aku. Sikit-sikit nak main ugut-ugut.

“Alah, setakat bos besar Mega Holdings tu. Aku kenyit mata jelah. Terus ajak aku kahwin nanti. Masa tu, aku nak kau jadi flower girl masa wedding aku nanti.”

“Okay! Aku nak tengok. Takde hal, Dania. Aku tunggu hari tu. Well, berani ke kau nak approach En. Zaharul tu? Kau tak takut ke Farid Amiruddin tuntut janji nanti?” soal Nana. Wajahnya bertukar serius. Tatkala nama Farid Amiruddin disebut air muka Tengku Dania berubah sama sekali.

“Farid? Bila masa aku ada berjanji dengan dia?” Tengku Dania membuat muka endah tak endah. Malah riak wajahnya jelas menunjukkan kebosanan apabila nama itu disebut.

“Okay. Apa kata aku tolong kau ingat semula janji Farid lapan tahun dulu. Farid dengan gagah perkasanya berjanji dengan kau yang dia akan jadikan kau sebagai isterinya bila dia pulang Malaysia. Dia berjanji untuk perbaiki hidup dia. Dia mahu menjadikan diri dia layak untuk bergandingan dengan Tengku Dania Tengku Mikael. Dia terima pelawaan ayah kau untuk bantu anak syarikat Laxmana Holdings. Dia akan kembali tak lama lagi.”

Tengku Dania menguap beberapa kali. Malas dia mahu mendengar nama lelaki tersebut.

“Aku tak pernah ada perasaan pun dengan dia. Dia yang berjanji lebih-lebih dengan aku. Aku anggap dia tak lebih dari seorang abang. Sebab dia seorang yang bertanggung jawab dan tahu apa yang inginkan dalam hidup dia. Tapi kalau nak jadi isteri dia. Aku minta maaflah. Bukan disebabkan dia tak cukup baik. Tapi aku tak ada perasaan istimewa langsung kat dia. Lagipun kau tak payah risaulah. Aku dah terus terang awal-awal lagi dengan dia. Aku cakap direct gila kat dia, aku tak akan kahwin dengan dia dan jangan sekali-kali memandai-mandai nak masuk meminang aku. Aku tak nak dia gunakan hubungan baik dia dengan ayah dan mak aku untuk dapatkan aku. Kalau dia buat juga, aku tak teragak-agak untuk menolak dan aku dengan dia tak mungkin akan jadi seperti dahulu lagi. Dia boleh pilih mana satu yang dia suka.”

“Direct gila kau. Kesian dengan Farid. Takkan kau langsung tak ada perasaan kat dia? Sikit pun tak ada?” soal Nana dengan wajah curiga. Inilah dia Tengku Dania. Hati keras macam batu. Dari zaman sekolah memang perempuan ni hati kaldu. Susah bebenor nak jatuh cinta dengan mana-mana lelaki. Kadang-kadang dia sendiri terfikir sama ada Tengku Dania ni normal ataupun tidak. Berapa ramai lelaki yang datang dan cuba mendekati, Tengku Dania akan menolaknya mentah-mentah. Datanglah yang paling hensem, paling bergaya mahupun paling macho dalam dunia ni, Tengku Dania masih juga begitu. Apa masalah Tengku Dania ni ye?

“Alaa, dah tak suka. Tak sukalah. Kalau suka pun aku akan cakap tak suka juga. Lelaki. Bukannya boleh percaya. Buaya tembaga, buaya Sarawak, buaya semenanjung, macam-macam jenis buaya ada dalam kalangan lelaki ni tau tak?” Ujar Tengku Dania dengan muka yang bersungguh-sungguh.

Berkelip-kelip mata Nana mendengarkan kata-kata Tengku Dania.

“Amboi, mengutuk orang nombor satu. Kalau diorang tu buaya, aku rasa kau tu singa betina. Hah, sesuai sangatlah tu.”

“Singa betina untuk kakak aku sesuailah,” protes Tengku Dania selamba. Kemudian dia tergelak-gelak.

Nana membulatkan matanya. Dia sendiri ikut ketawa apabila mendengar Tengku Dania menjawab selamba begitu. Cakap tak pandang kiri kanan langsung. Dahlah tak mengaku dirinya berperangai macam singa betina, kakaknya sendiri pula disamakannya dengan singa betina.

“Kau ni. Jahat betullah. Tak baik kau cakap kakak kau macam tu.” Ujar Nana lagi cuba untuk menahan tawa yang masih berbaki.

“Elleh, kau cakap aku takpe pulak. Aku cakap kakak aku. Kau marah. Pelik…” Tengku Dania tersenyum meleret.

Tiba-tiba satu suara halus menyapa mereka. Nana sudah mengangkat keningnya. Alamak, dia sudah datang. Siapa lagi kalau bukan Tengku Adira Tengku Azlan. Sepupu ‘kesayangan’ Tengku Dania.

“You buat apa kat sini, Dira? Pak Engku ada sekali dengan you ke?” soal Tengku Dania sambil menyambut huluran salam lagaan pipi sepupunya. Ekor matanya sempat menangkap tubuh Nana yang hilang dari muka pintu.

“Yup. Papa I ada kat bilik papa you. I teringat kat you. Sebab tu I singgah jumpa you. By the way, I akan mula bekerja di sini esok.” Beritahu Tengku Adira sambil tangannya menyelak sedikit langsir di tingkap. Matanya meliar melihat ke arah luar tingkap.

“Owh, I see. Baguslah kalau macam tu. I’m happy to hear that. You nak minum apa-apa?”

“No, thanks. Sebenarnya I tak ingin pun nak kerja kat Laxmana Holdings ni.”

Wajah Tengku Dania tenang mendengarkan kata-kata yang keluar dari bibir Tengku Adira. Sikap Tengku Adira yang begini sememangnya telah dijangka.

“Yeke? I tak fikir pula macam tu. I memang teringin sangat nak you kerja kat Laxmana Holdings selama ni. Do you know why?” Tengku Dania menguntum senyum di bibir.

Tengku Adira menguis rambutnya. Dia merenung tajam wajah Tengku Dania. Bibirnya turut menguntum senyum semanis senyuman sepupunya itu.

“At least bila you bekerja, you tahu susahnya nak berjoli bila tak ada duit. Hidup bila bergantung dengan ehsan mak ayah sedangkan kita mampu sebenarnya untuk memerah kudrat kita buatkan I rasa malu dengan you Tengku Adira.” Tengku Dania merenung kembali anak mata Tengku Dania. Ya, wanita di hadapannya ini mempunyai banyak persamaan dengan dirinya dari segi umur, ketinggian dan ciri fizikal. Namun, sikapnya saja yang jauh berbeza.

Tengku Adira tergelak kecil.

“Whatever Tengku Dania. I cuma nak warning you saja. Oleh sebab you teruja sangat nak I bekerja kat Laxmana Holdings. I will follow your request. Cuma I akan pastikan apa saja yang menjadi milik you, akan jadi milik I, Dania. I nak you ingat perkara tu Dania.”

“Owh, yeke? Whatever Tengku Adira. Asalkan you bahagia. You boleh teruskan dengan segala rancangan dan rencana dalam kepala otak you yang bergeliga tu. Got to go. Maklumlah, orang busy macam I tak ada masa nak borak kosong macam you,” sindir Tengku Dania. Dia mencapai beg kerja, kot dan beberapa fail penting lalu keluar dari biliknya meninggalkan Tengku Adira keseorangan. Malas mahu mendengar celoteh menyakitkan hati dari mulut Tengku Adira. Dari dulu sampai sekarang. Tak habis-habis dengan watak antagonis yang sering dilakonkan di hadapan Tengku Dania. Tak habis-habis dengan rancangan untuk menjatuhkannya. Namun, haprak. Action saja yang lebih. Nak rampas segala hak milik aku. Nak jatuhkan aku. Nak musnahkan hidup aku. Apa kena agaknya dengan Tengku Adira ni? Mental agaknya. Padahal dia sendiri tak pernah menyusahkan atau mengganggu gugat kehidupan Tengku Adira selama ini.

Tengku Adira menggenggam jemarinya. Geram dengan Tengku Dania. Pergilah, Dania. Satu hari nanti aku akan pastikan kau akan pergi untuk selamanya. Dia bencikan Tengku Dania. Semuanya tentang Tengku Dania. Segala-galanya tentang Tengku Dania. Dia bencikan papa juga.

Tengku Dania mengipas dirinya sendiri berulang kali dengan fail di tangannya. Berpeluh-peluh sudah dia menunggu di perhentian bas. Namun, sebuah teksi pun masih belum kunjung tiba. Ishh, kalau tak disebabkan nak mengelak dari Tengku Adira yang kerek tu, mesti dia sedang berbahagia di kerusi empuk di pejabat. Tak pasal-pasal terpacak macam orang bodoh kat perhentian bas ni.

Tiba-tiba sebuah motosikal berkuasa besar berhenti di hadapannya. Tengku Dania mula cuak. Siapa pulak ni? Jangan-jangan acid splasher tak? Acid splasher yang sedang rancak menyimbah asid kepada kaum wanita di sekitar Kuala Lumpur yang kini heboh diperkatakan di televisyen dan surat khabar. Eh, tapi takkan acid splasher naik motor besar kut? Bukan dalam akhbar dikatakan mereka ni naik motor jenis Ex-5 ke?

Lelaki tersebut menghampirinya. Namun topi keledar masih lagi melekap di kepalanya. Ish, jangan buat saspen. Lelaki itu duduk di sebelahnya. Cermin topi keledar dibuka sedikit menampakkan sepasang mata yang merenungnya mesra.

“Jom!”

Tengku Dania mengerutkan dahinya. Amboi, suka hati saja nak ajak aku naik motor dia. Bos besar Mega Holdings bajet bagus saja nampaknya. Suka hati saja nak ajak aku merempit naik motor dia.

“Excuse me??”

“Jom naik motor cabuk saya. Awak ada hutang dengan saya kan?” Zaharul Ashriq menarik tangan Tengku Dania perlahan. Tengku Dania tergamam. Menyesal pula terlebih cakap tempoh hari. Kalaulah dia tak mengutuk motor berkuasa tinggi milik Zaharul Ahsriq tempoh hari. Kalaulah…

Tengku Dania melihat saja gelagat Zaharul Ashriq. Lelaki itu memakaikan topi keledar di kepalanya tanpa diminta. Malah mata lelaki itu merenungnya lembut sewaktu mengetatkan tali topi keledar di lehernya. Ish, apa main tenung-tenung orang pulak ni. Tengku Dania melarikan anak matanya. Kedengaran Zaharul Ashriq tergelak kecil. Selesai mengetatkan tali topi keledar yang dipakainya, Zaharul Ashriq mengetul perlahan topi keledar yang dipakainya.

“Okay, perfect!!”

Tengku Dania membetulkan sedikit topi keledar yang sedikit ke hadapan akibat diketuk oleh Zaharul Ashriq. Ish, ketuk-ketuk pulak. Dahlah topi keledar dia ni besar dari saiz kepala aku.

Zaharul Ashriq memerah enjin motor berkuasa tinggi miliknya. Dia memandang Tengku Dania yang masih terkebil-kebil memandangnya.

“Naiklah tuan puteri oii. Tak pernah naik motor ke?” soal Zaharul Ashriq.

Tengku Dania menjeling geram mendengar kata-kata Zaharul Ashriq. Amboi-amboi. Mulut… Sebagai perempuan segala pergerakan hendaklah dilakukan secara berhemah dan sopan okay! Ini Danialah. Ingat aku ni kuno sangat agaknya tak pernah naik motor.

“Kejaplah. Saya nak baca doa naik kenderaan dulu.” Tengku Dania menjawab sambil menepuk-nepuk tempat duduk di belakang Zaharul Ashriq. Lain pula yang dijawab bagi menutup rasa debar hatinya untuk berpaut pada bahu Zaharul Ashriq.

Zaharul Ashriq ketawa sehingga terhenjut-henjut tubuhnya mendengar jawapan dari mulut Tengku Dania. Baca doa naik kenderaan ke baca doa selamat Cik Nia oii..

“Macam baca doa selamat saja gaya Cik Nia tu. Take your time, Cik Nia.” Lembut saja suara Zaharul Ashriq berkata-kata.

Tengku Dania mencebik. Cepat-cepat dia membonceng di belakang lelaki yang semakin rancak memerah enjin itu. Mak oii, tinggi gila motor dia. Sekali kangkang, memang boleh koyak skirt yang sering dipakainya. Nasib baik hari ini, dia pakai seluar. Fuh, azab betul.

Zaharul Ashriq memecut laju motor berkuasa tinggi itu. Tengku Dania yang terperanjat dengan kelajuan yang dipecut secara tiba-tiba itu dengan spontan dan drastiknya memeluk Zaharul Ashriq. Tengku Dania memejam matanya. Mak!!! Tolong Nia, mak. Nia tak suka naik roller coaster!!!




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

4 ulasan untuk “Novel : Bukan Aku Tak Cinta 8, 9”
  1. nadz says:

    best sgt2 cite ni…cpat smbung ek…

  2. rieda says:

    so sweet…bila nak sambung lagi?

  3. ila says:

    i loikeeeeeeeeeeeeeeee…….bestttttttttt…..

  4. elly says:

    nape wat watak laki dia berambut panjang? x hensem laa

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"