Novel : Hati Yang Terluka 1

2 May 2011  
Kategori: Novel

2,424 bacaan 5 ulasan

Oleh : Izzura Syarwiya

Bab 1

Surat ansuran bulanan kereta serta surat pinjaman PTPTN aku belek berkali-kali sampai hampir renyuk. Ansuran bulanan kereta sudah dua bulan tertunggak. Manakala surat pinjaman PTPTN sudah tiba dengan peringatan terakhir. Ini terjadi disebabkan aku dibuang kerja hampir tiga bulan yang lalu setelah seringkali aku mengambil cuti sakit. Mudahnya alasan yang diberikan walaupun bukti sudah terpampang di depan mata. Aduhai, susahnya zaman sekarang untuk betul-betul tetap dengan sesuatu kerja. Agaknya dengan kelulusan aku yang hanya bertaraf diploma ini sudah ketinggalan untuk bersaing di kota ini. Mungkin mereka memerlukan sekeping ijazah atau segulung sarjana barulah orang akan pandang.

Setelah mencongak seketika, aku hampir memerlukan wang sebanyak dua ribu untuk menyelesaikan segala hutang piutang ini. Ini termasuk dengan sewa rumah, bil letrik serta bil air. Nasib baiklah aku tidak melanggan siaran berbayar, kalau tidak mahu botak juga kepala aku ini bila memikirkan cara untuk menyelesaikannya.

Aku mengalihkan pandangan pada siaran televisyen yang masih memaparkan Nightline di saluran TV3. Sambil itu, pandangan dialihkan kepada si kecil yang sedang enak tidur di atas tilam kecil di ruang tamu.

Tiba-tiba aku dikejutkan dengan suara si kecil yang menangis kuat. Mengigau agaknya, desis hatiku lalu segera menghampiri Shua yang sesekali terawang-awang tangannya ke atas.

Aku mula berfikir pelik bila melihat wajah dan telinga Shua yang mula kemerah-merahan itu. Kakinya mula menunjal-nunjal bantal kecil yang berada di kakinya.

Tangan aku cepat sahaja menjamah dahi Shua. Ya Allah, panasnya. Shua demam ni. Apa yang aku perlu buat sekarang? Rasanya pada ketika ini, klinik sudah tutup. Aku mengeluh perlahan.

Sempat lagi mengerling sekilas jam di dinding, sudah pukul dua belas setengah pagi. Lantas aku teringat akan stok ubatnya yang sudah habis bulan lepas. Tanpa berlengah, aku terus mengangkat Shua yang masih menangis serta menepuk-nepuk punggungnya agar dia tidak menangis. Namun Shua masih lagi menghamburkan tangisan pilunya. Air mata aku hampir menitis bila mendengar tangisan Shua.

Pantas aku menuju ke dapur dengan tuala kecil di tangan. Tubuh Shua perlu dilap dengan kain basah supaya darjah kepanasan tubuhnya menurun. Dan sekarang ini aku perlu membawa Shua ke klinik untuk rawatan yang selanjutnya.

Shua masih lagi menangis ketika aku mengelap tubuh kecilnya itu. Aku berharap yang demam Shua tidak akan menjadi teruk sebelum aku membawanya ke klinik berdekatan.

***

“Hati-hati ya Wiya, maaflah kak Ana tidak dapat temankan. Abang Yazid terpaksa bekerja overtime malam ni.”

“Tak apa lah Kak Ana. Jangan bimbang pasal saya, saya pergi kejap saja ni.”

Aku mengukir senyuman lalu segera beredar dari rumah Kak Ana. Kak Ana adalah jiran aku yang terdekat di flat ini. Lagi pula Kak Ana adalah pengasuh yang aku upah untuk menjaga Shua semasa aku bekerja. Kak Ana seorang yang baik dan tidak terlalu kisah dengan bayaran yang dikenakan untuk menjaga Shua. Dia merupakan seorang surirumah sepenuh masa dan mempunyai tiga orang anak. Dan aku mengaku yang aku tidak mampu untuk menghantar Shua ke nursery. Bayaran yang dikenakan terlalu mahal untuk menjaga anak kecil seperti seusia Shua. Manakala gaji aku hampir-hampir tidak cukup untuk semua keperluan ini.

Enjin kereta kancil yang berwana kelabu itu terus aku hidupkan setelah meletak Shua di ruang sebelah pemandu. Shua yang telah berhenti menangis itu diam sahaja bila aku letakkan dia di baby car seat.

Setelah masuk ke jalan utama, fikiran aku terus menerawang memikirkan klinik mana yang masih beroperasi. Aku berharap sangat ada klinik yang beroperasi 24 jam. Kalau tidak, aku perlu pergi ke hospital besar yang hampir memakan sejam perjalanan itu.

Aku mengeluh kasar bila tiba di Klinik Harun. Klinik itu sudah tutup. Alangkah rasa kecewanya hati ini bila memikirkan perkara itu. Ke mana lagi aku mahu pergi kerana ini satu-satunya klinik yang berdekatan dengan tempat tinggal aku. Aku menoleh ke arah Shua yang terkebil-kebil sahaja matanya memandang aku. Reaksinya seakan faham sahaja apa yang sedang berlaku sekarang.

Setelah seketika, aku mengambil keputusan untuk pergi ke hospital besar sahaja. Itulah sahaja pilihan yang aku ada sekarang ni. Aku tidak terlalu berkira jika perkara melibatkan soal kesihatan Shua. Dialah satu-satunya harta yang aku ada sekarang ini. Dan aku perlu menjaganya sebaik mungkin harta itu. Dia sudah ibarat nyawa kepada aku sekarang.

***

Hujan sudah mulai turun dengan rintik-rintik bila aku terpandang pada cermin kereta. Aku perlu berhati-hati sekarang ini kerana aku telah memecut dengan laju. Sebenarnya aku bukan sengaja untuk berbuat demikian namun bila memikirkan hal kesihatan Shua, aku menjadi bimbang. Bimbang jika demamnya itu melarat ke demam panas.

Tiba-tiba aku terpandangkan sebuah kereta mewah di depan aku sedang bergerak ke kiri dan ke kanan. Aku yang sedang mengejar masa hanya mampu mengetap bibir, geram dengan pemandu kereta itu. Mungkin pemandunya sedang menggunakan telefon bimbit, disebabkan itulah agaknya duga aku sendiri.

Shua yang masih tidur tu tiba-tiba sahaja menangis kuat. Aku yang sedang memandu itu menoleh sekilas ke arah Shua yang sedang menangis. Dan pada waktu itulah kereta di hadapan aku membrek secara mengejut dan aku yang langsung tidak menyedari akan hal itu mengucap panjang.

Bam!!

Aku hampir sahaja menutup mata bila mendengar kuat rempuhan yang berlaku. Jantung aku berdegup kencang dan aku dapat merasakan yang dahi aku sedikit sakit. Barangkali terhentak pada stereng kereta agaknya. Bila aku pandang ke sebelah, aku terlihat baby car seat Shua sedikit ke depan. Dan Shua hanya diam sahaja. Apakah yang sedang berlaku pada Shua? Cepat-cepat aku tanggalkan seatbelt lalu mengengsot sedikit ke arah baby car seat Shua. Mata Shua yang masih ada sisa-sisa air mata itu tertutup rapat. Ketukan dari cermin tingkap kereta aku tidak pedulikan. Aku kena selamatkan Shua terlebih dahulu sekarang. Dia lebih penting pada aku sekarang ini.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

5 ulasan untuk “Novel : Hati Yang Terluka 1”
  1. Munibah says:

    Shua tu anak Wiya ke??
    best!! hope Shua x ape2.. =)

  2. aE says:

    apa jadi next?,,, saspen2.. tapi thumbs up2x…

  3. aE says:

    apa jadi next?,,, saspen2.. tapi thumbs up untuk penulis Hati Yang Terluka..

  4. Syarwiya says:

    munibah : tqvm cz sudi bace n komen cite ni..kene tgu next episode la br tau shua tu anak wiya or tak? =)

    aE : tqvm…saspen sket..hehe…tgu…

  5. honeza says:

    mmg best bc novel ni. awal2 dh buat pembaca suspen.syarwiya, awak xde blog ke?

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"