Novel : Jodoh itu Milik Kita 1

30 May 2011  
Kategori: Novel

55,928 bacaan 21 ulasan

Oleh : sara aisha

BAB 1

Dahlia memandang jari-jemarinya yang merah. Sekejap lagi dia akan diijabkabulkan dengan Syafiq, anak lelaki Tuan Haikal dan Puan Marina. Dahlia tidak pernah menyangka perkenalannya dengan Puan Marina akan membawa kepada perkahwinan ini. Sungguh! Dia tidak pernah menyangka bahawa Puan Marina mahu menjadikannya sebagai menantu. Dia juga tidak pernah menyangka bahawa dia akan bersetuju.

Arranged marriage! Itulah gambaran yang paling tepat untuk perkahwinannya. Namun Dahlia redha. Walaupun pada mulanya rancangan perkahwinan ini ditentang oleh ibu bapanya, Dahlia yakin niatnya yang suci pasti akan membawa kepada kebahagian. Dan kerana itu, dia menerima Syafiq, lelaki yang tidak pernah dikenalinya sehinggalah saat pertama pertemuan mereka tiga bulan lalu.

Syafiq baginya seperti lelaki yang baik. Suka ketawa dan agak keanak-anakan. Syafiq juga sepertinya, menerima rancangan perkahwinan ini dengan rela. Kata Syafiq, mungkin telah tersurat pada takdirnya bahawa Dahlia akan menjadi suri dalam hidupnya. Kata-kata itu menyakinkan Dahlia bahawa dia telah membuat keputusan yang betul. Dahlia akui dia senang bersama Syafiq. Tetapi cinta? Mungkin tidak. Dahlia sedar dia tidak menyintai Syafiq. Tetapi dia memohon agar perkahwinannya nanti akan membuahkan perasaan cinta dalam hatinya. Lagipun kata orang, bercinta lepas kahwin lebih manis!

Dari kejauhan, masuk seorang lelaki ke dalam masjid. Langkahnya yang tergesa-gesa tiba-tiba terhenti betul-betul bertentangan dengan kedudukan Dahlia yang bersimpuh ayu. Dahlia mendongak dan matanya tertancap pada wajah lelaki yang segak berbaju melayu biru itu. Lelaki itu kelihatan serba salah. Dahlia terus mengalihkan pandangan dan berpaling ke arah ibu yang duduk di sebelah kanannya. Sungguh tidak manis untuk dia memandang lelaki lain pada hari pernikahannya sendiri.

Dari hujung matanya, Dahlia dapat melihat lelaki tadi berbisik sesuatu pada Tuan Haikal. Lelaki separuh abad itu berubah wajah dan kelihatan terkejut. Pandangan Tuan Haikal kemudiannya jatuh pada Dahlia sebelum dia kemudiannya bergegas menemui Cikgu Darius, bapa Dahlia. Hati Dahlia tiba-tiba diselubungi perasan bimbang. Apa dah jadi? Ada apa-apa yang jadi pada Syafiq ke?

“Ibu, kenapa tu?” Dahlia menyoal ibunya perlahan. Sedikit berbisik. Takut-takut didengari oleh hadirin yang ada.

“Entah, ibu pun tak tahu. Adalah tu, hal lelaki kot,” jawab Puan Inas sambil memegang tangan anak gadisnya kejap. Sebagai ibu, Puan Inas dapat mengagak perasaan Dahlia. Dia tahu Dahlia sedang risau.

Puan Inas memandang bakal besannya yang kini sedang berbicara dengan suaminya. Dapat dilihatnya dengan jelas wajah kelat Cikgu Darius, suaminya. Perasaan risau turut menyelinap masuk ke dalam hatinya, menambahkan lagi perasaan tidak senang yang telah dirasakannya sejak dulu lagi. Ya, sejak Dahlia dirisik oleh Tuan Haikal dan Puan Marina, dia memang tidak betah duduk. Sebagai seorang ibu, Puan Inas tidak sanggup melihat anaknya berkahwin bukan dengan lelaki yang dicintainya. Sejujurnya, dia mahu Dahlia mengenali cinta, mengahwini cinta hatinya dan bahagia sepertimana bahagianya dia dengan Cikgu Darius. Tetapi kerana menghormati keputusan Dahlia, dia cuba untuk menerima Syafiq, bakal menantunya.

Cikgu Darius menapak perlahan ke arah anak gadisnya yang sedang memandangnya. Jelas tergambar kerisauan pada wajah manis itu. Cikgu Darius mengeluh perlahan, cuba untuk menenangkan dirinya yang penuh perasaan amarah.

“Ya Allah, Ya Tuhanku!! Engkau berikanlah kekuatan padanya, aku memohon pada-Mu,” doa Cikgu Darius dalam diam.

Tadi ketika Tuan Haikal menyampaikan berita itu, hampir-hampir saja dia tidak dapat mengawal perasaan. Selama ini, dia dan isterinya telah menatang Dahlia bagai minyak yang penuh, melimpahinya dengan kasih sayang yang tidak terhingga. Kerana itu, Dahlia telah membesar menjadi seorang gadis yang happy-go-lucky, sentiasa tersenyum dan ketawa. Tetapi kini, Cikgu Darius tahu Dahlia bakal menitiskan air mata. Memikirkan kemungkinan itu, hatinya pedih.

“Lia, before papa cakap ni…papa mintak Lia bertenang,” ujar Cikgu Darius pada anak gadisnya. Penuh kelembutan, penuh hati-hati. Dipegangnya tangan Dahlia kemas. Matanya melirik pada isterinya yang jelas kelihatan risau.

Dahlia meneguk air liurnya perlahan. Terasa kelat. Dia memandang wajah kedua ibu bapanya bergilir-gilir.

“Ok, Lia try. Tapi kenapa ni, Pa? Ada apa-apa jadi pada Syafiq ke?” Soal Dahlia bertubi-tubi. Dalam hati dia berharap telahannya tidak benar. Walaupun dia tidak punya sekelumit perasaan cinta buat Syafiq, tapi dia tidak mahu apa-apa terjadi pada bakal suaminya itu.

“Syafiq tak dapat datang….”

Mata Dahlia terkebil-kebil.

“Apa maksud papa….dia tak dapat datang? Hari ni kan hari perkahwinan kitorang…”

Cikgu Darius diam. Tidak mampu untuk meneruskan kata-katanya. Tidak mampu juga untuk menyampaikan berita yang dia sendiri tahu akan meremukkan sekeping hati milik Dahlia.

“What happened to him, papa? Please don’t tell me….dia…dia involve dalam accident….” Teka Dahlia, memberikan telahan yang difikirkan logik dan mungkin…..menakutkan.

Genggaman tangan Cikgu Darius dirasakan makin kemas. Melihatkan reaksi bapanya itu, Dahlia makin tidak keruan. Dia tidak sanggup memikirkan kemungkinan yang satu itu menjadi kenyataan.

“Apa dah jadi ni, bang?” Kali ini Puan Inas mula bersuara. Dari nada suaranya, jelas kerisauan dan kebimbangan yang dirasakan. Cikgu Darius berpaling pada isterinya dan menggeleng lemah sebelum kembali memandang Dahlia.

“Tak, sayang. He’s fine…maybe.” Jawab Cikgu Darius setelah agak lama dia membiarkan soalan Dahlia tergantung tanpa jawapan.

“Dia…..dia dah….” Kata-kata Cikgu Darius terhenti. Kemudian dia mengeluh perlahan. Sesungguhnya dia tidak sanggup meneruskan kata-katanya. Tidak sanggup untuk memberikan khabar berita yang dia tahu akan meruntuhkan hati seorang pengantin.

“Mungkin Lia patut baca ni.”

Akhirnya Cikgu Darius membuat keputusan untuk menyerahkan nota yang diberikan oleh Tuan Haikal tadi. Ya, nota daripada Syafiq, lelaki yang sepatutnya menjadi menantunya hari ini.

Dahlia memandang ayahnya dengan serba salah sebelum mengambil nota itu. Tangannya terketar-ketar, menggambarkan perasaan yang penuh gundah gulana. Perlahan dia membuka nota itu sebelum dia mula membaca bait-bait tulisan yang tertera.

Buat Dahlia,

I’m so sorry. Saya ingat saya boleh teruskan perkahwinan ini, for the sake of umi. Tapi saya gagal!! Please forgive me…..

Syafiq

Berulang kali Dahlia membaca nota pendek itu. Cuba untuk betul-betul memahami situasi yang sebenar. Syafiq dah tinggalkan dia? Pada hari perkahwinan mereka sendiri? Perasaan risau yang sejak tadi bertamu di hatinya kini digantikan dengan perasaan sakit. Ya, terlalu sakit!

Setitis air mata Dahlia menitik perlahan. Tidak pernah dia terfikir Syafiq sanggup meninggalkan dia pada hari pernikahan mereka. Tanpa sebab, tanpa sebarang penjelasan, yang tinggal hanya sekeping nota ringkas yang langsung tidak bererti apa-apa. Hatinya pedih, dirinya terasa seperti terbuang.

Perlahan-lahan Dahlia menyerahkan kembali nota keramat itu pada Cikgu Darius. Pandangannya kemudian dialihkan pada wajah ibunya yang sudah mula menangis, pada Tuan Haikal yang kelihatan bersalah dan pada lelaki asing tadi yang kelihatan serba-salah. Dahlia menarik nafas dalam sambil menggenggam tangannya kemas.

“This wedding is over….” Perlahan suara Dahlia. Namun cukup untuk didengari oleh semua orang. Dahlia menyapu air matanya yang menitis dan memandang kosong ke hadapan.

“Saya mohon maaf pada semua yang hadir. Tapi, perkahwinan ni takkan berlangsung.” Tenang Dahlia menuturkan kata-kata. Cukup tenang. Namun, ketenangan itu hanyalah pada luaran saja, ketenangan yang jelas dibuat-buat.

“Tak, perkahwinan ini akan diteruskan!”

Tiba-tiba satu suara yang cukup dikenali Dahlia bergema di ruang masjid. Dahlia berpaling ke arah tuan empunya suara.

“Umi…” Getus Dahlia.

Kelihatan Puan Marina, ibu Syafiq ditolak masuk oleh Mak Jah, pembantu rumah keluarga Tuan Haikal. Wajah Puan Marina yang duduk di atas kerusi roda kelihatan cukup lemah, ditambah lagi dengan kesedihan yang jelas terpampang di wajah itu.

Puan Marina menghulurkan tangan kanannya pada Dahlia. Teragak-agak Dahlia menyambut tangan itu. Hatinya tersentuh melihat wajah pucat itu, tetapi Dahlia cuba menahan rasa. Tidak mahu menangis. Tidak mahu menunjukkan betapa terlukanya dia dengan apa yang dah berlaku.

“Umi mohon maaf sangat-sangat pada Lia. Umi…umi…tak tahu Syafiq akan buat macam ni…” Lemah suara Puan Marina yang sudah mula menangis. Dahlia menggeleng lemah.

“Umi, kenapa umi datang sini? Umi patut berehat kat rumah….” Ujar Dahlia penuh rasa kebimbangan dan kasihnya pada wanita itu.

Ya, walaupun Dahlia marah dan terluka atas tindakan Syafiq, dia tetap menghormati Puan Marina. Bagi Dahlia, kasih dia pada Puan Marina menyamai kasihnya pada ibunya sendiri. Dan kerana kasih itulah, dia bersetuju untuk mengahwini Syafiq. Tapi, rupa-rupanya keputusan itulah yang akhirnya memakan dirinya sendiri.

“Macam mana umi boleh duduk kat rumah, Lia? Lepas je umi dapat tahu apa yang jadi kat sini, umi…umi…umi tahu umi patut ada kat sini. Sebab…sebab semuanya salah umi.” Ujar Puan Marina penuh rasa bersalah.

Dahlia hanya mendiamkan diri. Ya, jika diikutkan perasaan, mahu saja dia menjerit mengatakan bahawa semua ini salah wanita itu.

“Ya, memang salah umi sebab beriya-iya mahu menjodohkan Lia dengan Syafiq.”

“Salah umi sebab menggunakan alasan sakit untuk membuat Dahlia bersetuju dengan rancangan gila ni.”

“Salah umi!!! Semuanya salah umi!!!”

Ingin saja dia menjerit begitu. Namun, Dahlia cukup waras untuk menilai bahawa semua yang terjadi bukan salah Puan Marina. Kalau ada yang patut disalahkan, orang itu hanyalah Syafiq. Ya, hanya Syafiq, lelaki yang tanpa belas kasihan meninggalkan dia pada hari perkahwinan mereka sendiri. Lelaki yang telah melukakan hati dan perasaan Dahlia.

Perasaan terluka itu sedikit demi sedikit bertukar menjadi amarah. Dahlia marah pada Syafiq yang telah meninggalkan dia pada hari pernikahan mereka sendiri. Dahlia marah pada Tuan Haikal dan Puan Marina yang mahu menjodohkan Syafiq dengan dia. Dan yang paling penting, Dahlia marah pada dirinya sendiri yang percaya bahawa tindakannya menghormati permintaan Puan Marina akan membawa kepada kebahagiaan. Dia bodoh, benar-benar bodoh!

“Lia, umi betul-betul mahu Lia jadi menantu umi. Umi tak main-main….” Sambung Puan Marina lagi.

Dahlia tetap mendiamkan diri. Dia takut sebenarnya. Takut kiranya dia akan berkasar dengan wanita itu. Dalam situasi sekarang, dengan hati yang penuh amarah, Dahlia takut dia akan terlepas kata. Jadi lebih baik jika dia berdiam.

“Umi akan tebus apa yang dah jadi ni. Umi…umi takkan biarkan Syafiq malukan Lia, malukan keluarga Lia.” Sambung Puan Marina lagi tanpa mempedulikan semua orang yang kelihatan tercengang dengan kata-katanya itu.

Dahlia hanya terkebil-kebil. Tidak memahami apa yang cuba disampaikan oleh wanita itu.

“Umi mohon…..Lia kahwin dengan….Aariz.” Akhirnya Puan Marina menjelaskan apa yang tersirat dalam hatinya.

Dahlia tersentak. Siapa Aariz?

“Umi?” Tiba-tiba kedengaran suara yang asing di hujung telinga Dahlia. Secara automatik dia berpaling. Matanya tertancap pada wajah lelaki asing tadi. Lelaki itu turut memandangnya.

“Awak dah gila ke, Ina? Tak cukup lagi ke awak nak jodohkan Lia dengan Syafiq, sekarang dengan Aariz pula?” Bergema suara Tuan Haikal yang tiba-tiba bersuara.

“Yes, memang saya dah gila!! Saya dah gila bila saya dapat tahu Syafiq buat macam ni.” Puan Marina mula beremosi.

“Orang yang patut jadi gila sekarang bukan awak, Ina. Tapi saya dan keluarga saya.” Kali ini Puan Inas pula bersuara. Ada nada ketegasan dalam kata-katanya.

Puan Inas berasa cukup marah atas apa yang terjadi. Sedari tadi dia hanya mendiamkan diri, cuba untuk bertenang dan tidak mahu memburukkan keadaan. Yang dilakukan hanyalah setia di sisi Dahlia, cuba memberikan kekuatan buat anak gadisnya itu.

Namun, apa yang dicadangkan oleh Puan Marina tadi benar-benar mencabar naluri keibuannya. Dia berasa betul-betul geram bila Puan Marina dilihatnya cuba memberikan Dahlia pada orang lain pula. Umpama barang.

“Awak ingat anak saya ni apa, hah? Yang boleh awak ambil, buang dan ambil balik??” Kasar suara Puan Inas. Hilang sudah sifat lembutnya selama ini.

“Inas, sabar. Jangan macam ni….” Cikgu Darius cuba menenangkan isterinya.

“Macam mana saya nak sabar, bang? Diorang ingat….diorang ingat Dahlia barang ke? Dia anak saya, bang!! Anak kita!!” Jawab Puan Inas dalam tangisannya yang cuba dikawal.

“Tak, saya tak fikir macam tu, Inas. Saya buat ni untuk Lia jugak, untuk keluarga kita, untuk maruah keluarga kita.” Jelas Puan Marina perlahan.

“Mana kita nak letak muka lepas apa yang jadi sekarang?” Sambungnya lagi.

“And whose fault is that?” Pedas kata-kata Puan Inas.

“Inas….” Tegur Cikgu Darius, mungkin dirasakan kata-kata itu agak kurang ajar. Puan Inas mendengus kasar.

“Mungkin kita patut fikirkan cadangan isteri saya tu. Tapi, itupun kalau Dahlia dan Aariz setujulah. Saya tak mahu memaksa”. Tuan Haikal yang tadi tidak bersetuju dengan cadangan isterinya tiba-tiba mengubah fikiran.

Cikgu Darius dan Puan Inas tercengang. Tidak dapat mereka percaya kata-kata yang baru sahaja meluncur keluar dari mulut lelaki itu.

“Saya bukannya apa, kita kena fikir pasal maruah keluarga kita. Kalau orang luar tahu apa yang dah jadi…..”

“Biarlah kalau diorang tahu. Saya tak peduli! Yang penting bagi saya, anak saya!!” Puan Inas membangkang lagi.

Dalam keadaan kecoh itu, Dahlia tetap seperti tadi, hanya mendiamkan diri tanpa kata-kata. Sungguh! Dia terkejut dengan permintaan itu. Terasa seperti dirinya hanyalah barangan yang boleh diambil dan dibuang sesuka hati. Langsung tidak bernilai. Memikirkan itu, hatinya terasa pedih. Namun, dia tetap menahan perasaan. Kalau boleh, dia tidak mahu menangis. Tidak mahu menitiskan air mata atas apa yang terjadi. Bagi Dahlia, jika dia menangis, itu bererti kemenangan buat Syafiq. Sungguh tidak berbaloi untuk dia membazirkan air mata demi lelaki pengecut seperti Syafiq.

“Saya…..saya setuju.” Lelaki asing yang sedari tadi berdiri bersebelahan Tuan Haikal tiba-tiba bersuara. Keadaan yang kecoh tadi tiba-tiba menjadi senyap. Masing-masing kelihatan tercengang.

Dahlia terus mendongakkan kepala, memandang lelaki itu dengan penuh tanda tanya. Lelaki itu membalas pandangannya dengan penuh keyakinan.

“Aariz?” Tuan Haikal akhirnya bersuara.

“Aariz setuju untuk kahwin dengan Dahlia, bah.” Sambung lelaki itu lagi.

Dahlia terkebil-kebil. Jadi Aariz adalah lelaki itu. Lelaki yang bertanggungjawab membawa perkhabaran tentang Syafiq kepadanya. Perkhabaran yang terlalu menyakitkan.

“This is for the sake of our family, right umi?” Aariz menyambung kata-katanya lagi. Kali ini kata-kata itu ditujukan pada Puan Marina yang kemudiannya mengangguk lemah.

“Saya tak setuju.” Dahlia akhirnya bersuara setelah agak lama mendiamkan diri. Semua mata terarah kepadanya.

“Tolong jangan anggap saya macam barang, yang semua orang boleh ambil dan buang sesuka hati. Saya ada maruah saya sendiri.” Dahlia menyambung lagi. Suaranya lembut dan teratur tapi penuh dengan ketegasan yang jitu.

“Tapi Dahlia, semua ini untuk maruah Lia juga, maruah keluarga Lia dan maruah keluarga umi.” Puan Marina menjawab, cuba memujuk.

Puan Inas yang mendengar cuba membentak lagi. Sungguh dia tidak bersetuju dengan cadangan yang dirasakan gila itu. Namun tindakannya dihalang oleh suaminya.

“Biarkan Dahlia yang buat keputusan. We just need to trust her.” Ujar Cikgu Darius, cuba memujuk isterinya.

“Tapi, bang….” Puan Inas cuba membantah.

“Inas..” Cikgu Darius bersuara dengan tegas. Isterinya terdiam.

Dahlia tersenyum mendengarkan jawapan Puan Marina. Namun senyuman itu hanyalah senyuman sinis, senyuman yang tidak sampai pada matanya kerana jelas di matanya perasaan terluka yang amat dalam.

“Maruah? Bagi umi, apa yang lebih penting? Diri Lia atau maruah keluarga yang kononnya dapat diselamatkan kalau Lia setuju kahwin dengan this guy…Aariz?” Dahlia menyoal Puan Marina yang jelas kelihatan serba salah.

“Of course diri Lia, sayang. Tapi umi percaya Lia akan bahagia dengan Aariz.” Puan Marina masih cuba memujuk.

“Itu juga yang umi pernah cakap. That I will be happy with Syafiq.”

Jawapan Dahlia membuatkan Puan Marina tersentak. Ya, dia pernah berkata begitu. Dan kini dia cukup menyesal dengan kata-kata itu. Air matanya menitis lagi. Rasa bersalah menyelubungi hatinya.

“I’m sorry, umi. Tapi Lia tak boleh. Lia tak nak perjudikan hidup Lia lagi. Cukuplah sekali Lia setuju untuk terima Syafiq dulu.” Dahlia terus bersuara.

“Lia tahu Lia pentingkan diri, sebab Lia tak nak fikir pasal maruah keluarga kita. Lia cuma fikir pasal diri Lia je, tapi Lia memang…..Lia memang…tak boleh.” Suara Dahlia tersekat-sekat. Penuh emosi yang cuba ditahan-tahan.

“Umi merayu, Lia. Berikan umi dan keluarga umi peluang untuk tebus balik kesalahan kami. Atas apa yang dah dilakukan Syafiq.” Puan Marina terus-menerus merayu. Dipegangnya tangan Dahlia kemas.

“Ina, cukuplah tu. Dahlia tak setuju. Kita tak boleh paksa.” Kali ini Tuan Haikal pula bersuara, cuba menghalang isterinya yang sudah mula kelihatan terdesak untuk memujuk Dahlia. Puan Marina tidak menghiraukan kata-kata suaminya.

“Umi tak salah apa-apa. Tak ada apa yang perlu ditebus.” Jawab Dahlia lagi, masih cuba membantah permintaan Puan Marina yang seperti terlalu berat baginya.

“Please, sayang. Please….Kahwin dengan Aariz, ya.” Puan Marina masih tidak berputus atas. Dia terus memegang tangan Dahlia.

Hadirin yang melihat sedikt terharu dengan keadaan wanita itu. Ada yang mula menitiskan air mata. Mungkin berasa kasihan pada Puan Marina.

Dahlia menarik nafas dalam-dalam. Sedaya-upaya dia cuba menahan perasaan. Dia tahu kalau keadaan begini berterusan, mungkin dia akan berkasar dengan wanita itu

“Please, Lia. Please. Umi berani sumpah, Lia akan bahagia dengan Aariz.” Pujuk Puan Marina lagi.

“Umi tak faham ke cakap Lia?? Lia cakap tak boleh, tak bolehlah!! Lia tak nak kahwin dengan Syafiq, dengan Aariz atau dengan sesiapa pun!” Tanpa sedar, Dahlia mula berkasar. Puan Marina tersentak.

“Dahlia! Apa yang kamu biadap sangat ni?” Cikgu Darius menegur. Baginya, Dahlia dirasakan sudah bersikap kurang ajar.

Dahlia mengetap bibir. Perasaan bersalah mula bertamu di hatinya. Dia langsung tidak berniat untuk meninggikan suara begitu. Tapi, entahlah. Mungkin dia tidak dapat lagi menahan perasaannya yang berkecamuk. Sedih, marah, terluka…semuanya ada.

Dahlia menunduk dan kemudiannya menjatuhkan lutut ke atas lantai. Kini, dia berada bertentangan dengan Puan Marina. Diambilnya tangan wanita dan digenggamnya kemas.

“Umi, Lia minta maaf sebab berkasar tadi. Lia tak bermaksud nak buat macam tu. Tapi Lia…..Lia…entahlah…semua ni, semua ni….terlalu….” Dahlia tidak dapat meneruskan kata-kata.

“Umi tahu……umi tahu semua ni terlalu berat untuk Lia. Umi juga tahu umi tak patut paksa Lia macam ni. Umi tak ada hak pun….sebab umi bukan ibu Lia.” Jawab Puan Marina. Perlahan dia mengangkat tangan kanannya dan menyentuh pipi Dahlia.

“Tapi, Lia tahu kan….umi sayangkan Lia macam umi sayangkan anak umi sendiri. Sebab tu umi nak Lia jadi menantu umi.” Sambung Puan Marina lagi. Dipandangnya mata Dahlia yang kelihatan kosong. Kosong kerana terlalu terluka.

“Please Lia. Tunaikan permintaan umi. Umi merayu pada Lia.” Puan Marina terus memujuk dan merayu.

Kali ini Dahlia mendiamkan diri. Dia merenung wajah pucat di hadapannya,wajah tanda sakit. Wajah itu penuh dengan harapan agar Dahlia akan menunaikan permintaannya. Hati Dahlia terusik. Dia tidak mahu menunaikannya, tapi dia juga tidak sanggup menghancurkan harapan itu. Puan Marina baginya telah banyak menderita. Terpaksa bertarung dengan penyakit kanser yang dihidapinya, terpaksa menerima hakikat bahawa anak lelakinya telah membuat tindakan yang memalukan keluarga dan mungkin terpaksa menerima kenyataan bahawa bakal menantunya akan membenci dia. Dan bakal menantu itu adalah Dahlia sendiri.

Dahlia menarik nafas dalam-dalam sebelum dia akhirnya menganggukkan kepala perlahan-lahan.

“Lia setuju. Lia akan kahwin dengan Aariz.” Lemah suara Dahlia.

Semua hadirin kelihatan tercengang. Aariz yang sedari tadi hanya memerhati turut terperanjat. Dahlia telah bersetuju untuk mengahwininya!

“Betul ke, sayang? Umi tak salah dengar, kan?” Soal Puan Marina penuh dengan perasaan teruja.

Dahlia hanya mengangguk lemah. Seketika kemudian, tubuhnya ditarik ke dalam dakapan Puan Marina. Dahlia hanya kaku, tidak membalas pelukan itu. Tubuhnya terasa lemah. Hatinya terasa kosong.

“Lia, ibu tetap tak setuju.” Tiba-tiba Puan Inas bersuara. Membantah keputusan yang baru saja dibuat Dahlia.

“Inas, Dahlia dah buat keputusan dia. Kita kena hormati keputusan tu.” Cikgu Darius memujuk isterinya.

Sebenarnya, Cikgu Darius juga tidak bersetuju dengan perkahwinan tangkap muat itu. Baginya Dahlia terlalu berharga untuk berkahwin dengan cara begitu. Namun di suatu sudut hatinya, Cikgu Darius percaya Aariz adalah lelaki yang baik. Dia sendiri tidak tahu kenapa, tetapi dia dapat merasakan bahawa Aariz mungkin adalah jodoh yang telah ditentukan buat Dahlia.

Perlahan Dahlia bangun dan melangkah menghampiri ibunya. Lembut dia menarik tubuh ibunya ke dalam pelukan. Puan Inas sedikit tergamam, namun dia membalas pelukan itu dengan penuh kasih.

“Ibu, Lia sendiri pun tak pasti dengan keputusan ni. Tapi, mungkin ini yang terbaik untuk semua orang.” Bisik Dahlia di telinga ibunya. Menitis air mata Puan Inas mendengar kata-kata itu.

“Lia tak perlu buat macam ni, sayang. Kalau Lia tak setuju pun, takkan ada apa yang jadi pada maruah keluarga kita.” Jawab Puan Inas lembut. Sungguh dia tidak mahu Dahlia meneruskan perkahwinan ini.

Dahlia melepaskan pelukan dan menghadap Puan Inas. Seketika kemudian, dia menggeleng lemah.

“Tak, bu. Orang akan mengata. Dahlia anak Cikgu Darius tak jadi kahwin masa hari perkahwinan sendiri. Orang akan mengata macam-macam, bu.” Terang Dahlia.

“Pedulikan diorang semua. Yang paling penting bagi ibu adalah Lia. Lia seorang je. Diorang boleh cakap apa-apa pun yang diorang nak. Bila dah letih, diorang akan berhenti.” Ujar Puan Inas sambil memegang dan mengusap kedua pipi Dahlia. Hatinya pedih melihat wajah sedih Dahlia.

“Terima kasih, bu. Terima kasih sangat-sangat. Tapi, Lia….Lia dah buat keputusan untuk terima Aariz.” Lembut Dahlia membantah.

“Tapi, Lia tak kenal dia. Siapa dia, macam mana perangai dia….”

“Sebab tulah ibu akan doakan Lia, kan? Doakan yang dia lelaki yang baik, lelaki yang takkan lukakan Lia…” Dahlia menyampuk.

“Ya, tapi….”

“Itu aje yang Lia perlukan, bu. Doa dan restu ibu. Please bu, setuju….” Tanpa sempat Puan Inas menyudahkan kata-katanya, Dahlia terlebih dulu menyampuk.

“Kenapa Lia buat ibu macam ni? Lia tahu kan ibu takkan boleh cakap ‘tidak’ bila Lia dah merayu macam ni?” Ujar Puan Inas sambil menarik Dahlia ke dalam pelukannya. Sekali lagi dia memeluk anak gadisnya erat. Dahlia sedikit tersenyum mendengar kata-kata ibunya.

“Sebab ibu sayang Lia, kan bu?” Dahlia menyoal.

“Sayang sangat-sangat. I love you too much, you know.”

Menitis air mata Dahlia mendengar pengakuan ibunya. Runtuh tembok yang dia bina dalam hatinya. Walaupun dia telah berazam tidak mahu menangis, akhirnya Dahlia tetap kalah. Bila berada dalam dakapan ibunya begitu, Dahlia jadi lemah. Terlalu lemah. Akhirnya, dia menangis semahu-mahunya. Orang di sekeliling tidak dipedulikan lagi. Puan Inas turut menangis mengenangkan perjalanan hidup anaknya yang tidak pasti lagi sama ada bahagia atau pun tidak.

Puan Inas akhirnya melepaskan pelukan. Lembut dia menyeka air mata yang mengalir laju di pipi Dahlia. Perlahan dia menarik tangan Dahlia menapak ke arah Aariz. Dahlia hanya mengikut tanpa kata.

“Aariz, kan? Kamu Aariz, kan?” Puan Inas menyoal Aariz yang kelihatan agak tercengang. Aariz tidak menjawab, sebaliknya hanya menganggukkan kepala.

“Kalau mak cik serahkan Dahlia pada Aariz, boleh tak Aariz janji pada mak cik?” Soal Puan Inas pada lelaki itu.

“Apa dia, mak cik?” Pertanyaan Puan Inas tadi dijawab dengan pertanyaan juga.

“Jaga Dahlia elok-elok. Tolong jangan lukakan hati dia sepertimana adik kamu, Syafiq dah buat. Dahlia…she may seems strong, tapi hakikatnya….she’s too fragile.” Penuh emosi kata-kata Puan Inas, diiringi dengan air mata yang sedari tadi tidak henti-henti mengalir.

Aariz menarik nafas dalam-dalam. Dia memandang wajah Dahlia yang hanya memandang kosong ke arahnya. Tanpa sebarang perasaan. Dia tiba-tiba rasa seperti mahu melindungi gadis itu dengan sepenuh hati. Tidak mahu membiarkan apa-apa pun atau sesiapa pun melukainya.

“Saya janji, mak cik.” Penuh ketegasan jawapan Aariz. Tanpa sebarang keraguan.

Dahlia hanya memandang Aariz tanpa sekelumit perasaan. Langsung tidak berasa terharu. Baginya, janji itu tidak bererti apa-apa. Memang mudah untuk menuturkan janji, tapi untuk menunaikannya, tidak semudah itu! After all, promises are meant to be broken.

Akhirnya, dengan sekali lafaz Dahlia sah menjadi isteri kepada Aariz Danial. Dahlia benar-benar tidak menyangka ini akan terjadi padanya. Orang lain yang sepatutnya dia kahwini, orang lain pula yang jadi suaminya.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

21 ulasan untuk “Novel : Jodoh itu Milik Kita 1”
  1. she lala says:

    jalan cerita yang menarik dan berlainan..
    menarik minat saya untuk meneruskan kisah selanjutnya…
    nantikan komen saya selanjuntnya…hehehehe

  2. shahriezah says:

    Citer yg menarik….teruskan

  3. jiao xiu says:

    cerita yang menarik. cuma er hehe kan ke promises are made to be broken? klo baca dalam konteks cter ni.

  4. Mir_cinta says:

    jalan cerite yang berlainan . best sangat\

  5. WC baru nak marathon cite ni… Aariz abg syafiq rupanya…

  6. IQ1 says:

    Saya amat kagum dengan karya anda, teruskan sambung novel ni ya~ Saya betul2 nak tahu penamatnya……

  7. rosmpkmn says:

    memang terbaik

  8. strawberry choc says:

    dah habis baca….5 star..

  9. Shah Bakri says:

    Menarik.. Jalan cerita berbeza dan tidak klise…

  10. Sha says:

    Cerita ni ke yang Tiz dan Farid Kamil bakal berlakon bersama tu???

Trackbacks

Check out what others are saying about this post...
  1. [...] Sinopsis Jodoh Itu Milik Kita Dahlia Binti Darius: Hidupnya berubah sekelip mata tatkala ditinggalkan bakal suami di hari penikahan dan menjadi isteri kepada lelaki yang langsung tidak dikenali. Aariz Danial Bin Abdullah. Tidak pernah dia menjangka dia akan menjadi suami kepada kekasih adiknya. “Kita tidak dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling mencintai.Namun kita kahwin dengan jodoh kita. Jodoh yang ditetapkan sejak azali.”Aariz dan Dahlia Antara kasih abang dan kasih sebagai seorang suami. Aariz terpaksa menawarkan dirinya tampil di saat-saat akhir menggantikan adiknya pada hari perkahwinan Syafiq dan Dahlia. Awalnya Dahlia tidak sanggup,tetapi mendengar nasihat ibunya,Dahlia akur. Konflik dalaman berlaku bila Syafiq kembali..Syafiq pula menanam rasa ragu-ragu Dahlia pada Aariz.Ada satu rahsia yang tersimpan kemas Tuan Haikal-bapa angkat Aariz.. Apakah rahsia tersebut yang cuba disimpan kemas oleh Tuan Haikal? Novel ini boleh juga dibaca secara online di Penulisan2u [...]



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"