Novel : Kampung Girl 7

3 May 2011  
Kategori: Novel

18,678 bacaan 12 ulasan

Oleh : Umi Kalsom

KELUHAN berat meniti bibirnya. Mindanya dikerahkan untuk menghasilkan buah pemikiran yang dapat memberi kesan yang besar untuk projek ini. Wajah Wan Shafie salah seorang sahabat sejati yang turut bertungkus-lumus mengeluarkan idea dipandang sekejap. Kelihatan dahi Wan Shafie berkerut. Tekun juga dia berfikir.

Fail di depan mata cuba dibelek beberapa kali, mana tahu dapat ilham. Boleh juga aku bersorak riang. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Tapi kalau batu, dengan dia sekali akan tenggelam terus. Tak boleh jadi ni. Lantas mejanya diketuk kuat. Wan Shafie yang tekun berfikir ikut tersentak.

“Kau ketuk meja kenapa? Dah hilang habis idea yang datang!” rungutnya dengan pandangan tidak puas hati.

“Betul ke Wan? Dah hilang ke idea? Allah!!!” Ashraf tiba-tiba saja menarik rambutnya gaya orang gila. Wan Shafie yang melihat naik pelik. Boleh jadi kena serangan mental ke sahabatnya yang seorang ini?

“Bro… relaks. Kenapa nak tension sampai macam ni? Relaks okey,” Wan Shafie cuba menenangkan Ashraf yang kelihatan sangat kusut itu.

“Tak boleh… tak boleh… kalau kita relaks, I mean… kalau aku relaks, maknanya… gagallah projek ni!”

Wan Shafie melepaskan tawa melihat wajah serius Ashraf menyebut perkataan projek untuk rancangan yang sedang direncanakan oleh mereka.

“Kau jangan gelak Wan… terbakar aku tengok!” terus mati tawa yang berlagu riang di bibir Wan Shafie. Ini betul-betul serius. Ditambah dengan wajah Ashraf yang tidak bercalit senyuman, memang akan membuatkan siapa saja gerun mendekatinya. Tapi, hakikatnya Ashraf tak adalah gerun mana sangat. Kalau dah kenal, bolehlah tahu perangai sebenar dia.

“Relaks bro! Hal kecik saja ni!” ucap Wan Shafie dengan bersemangat. Tetapi dalam hati dia sebenarnya meragui kata-katanya sendiri. Hal kecil ke? Rasanya ini merupakan hal yang paling besar, lebih besar daripada projek-projek yang pernah mereka uruskan sebelum ini.

Projek apakah ini yang begitu besar sekali dan sekaligus menyerabutkan kepala Ashraf tahap bangunan KLCC. Projek apa lagi, kalau bukan projek penyatuan dua hati yang diketuai oleh mummy Ashraf, Puan Mazlin.

“Aku dah tak boleh relaks. Sesaat pun tak boleh… kau kena tolong aku! Carikan aku perempuan, secepat mungkin! Secepat mungkin!!!” ucap Ashraf kalut. Bercakap dengan satu nafas. Langkahnya juga tidak mati apabila dia asyik berpusing-pusing ke sana, ke mari. Sampai dah naik pening Wan Shafie melihatnya.

“Perempuan tu kena sopan dan santun, okey! Jangan moden-moden sangat, nanti mummy reject. Kalau boleh yang pandai speaking. Paling penting, kena lagi lawa dari budak kampung tu,” tambah Ashraf lagi sambil menyatakan kriteria yang perlu ada pada gadis pencarian mereka.

“Kau ni… gaya nak cari perempuan macam nak kahwin dah pulak!”

“Kahwin-kahwin jangan disebut!” marah Ashraf. Terasa alergik pula dengar perkataan itu.

“Budak kampung yang kau cerita ni… buruk sangat ke sampai kau tak nak kahwin dengan dia?” Wan Shafie sudah memulakan sesi menyoal siasat. Sejak dari tadi telinga hanya asyik mendengar ayat Ashraf, ‘aku tak nak kahwin dengan budak kampung tu’. Tapi siapa budak kampung itu, bagaimana rupanya, wataknya, semua tidak diceritakan secara terperinci oleh Ashraf.

“Dia…,” Ashraf terdiam seketika. Takkan nak cakap Ainnur itu buruk rupanya, sangatlah tak patut kalau macam tu. Tapi… “Muka dia macam nenek kebayan!” tanpa perasaan, dia mengucapkan juga gelaran yang diberikan pada gadis manis itu.

“Nenek kebayan?!” berkerut dahi Wan Shafie. Lama dia terdiam, seolah berfikir dengan serius. Lama-kelamaan senyuman sudah mula tersungging di bibir. Ashraf pula berkerut berlapis di dahi.

“Pernah dengar mitos tak… nenek kebayan tu sebenarnya Puteri Gunung Ledang yang Sultan Mahmud pada masa tu memerintah Melaka hantar rombongan untuk meminang dia,” kening Ashraf bertaut. Apa kaitan mitos Puteri Gunung Ledang dengan kisah hidup dia? Bukannya dia nak kahwin dengan puteri raja pun.

“Apa kena-mengena dengan kisah hidup aku ni?” soalnya lurus. Wan Shafie ketawa dua harakat. Haha!

“Puteri Gunung Ledang, digambarkan tentang kecantikan dia yang begitu memikat pandangan Sultan Mahmud sehinggakan Sultan nak meminang dia. Puteri Gunung Ledang sewaktu sampai perutusan Sultan, dia dikatakan menyamar menjadi nenek tua dan menyatakan syarat untuk menolak peminangan Sultan,” terang Wan Shafie tanpa memberikan jawapan yang tepat lagi untuk persoalan Ashraf. Jelas kelihatan wajah Ashraf yang terkebil-kebil mendengar Hikayat Kesultanan Melaka dan dia pun tahu, Ashraf ini sangatlah liat kalau dibangkitkan bab sejarah di depannya.

“Kau jangan ambil jalan kampung boleh tak… highway terus. Aku tak faham!” Ashraf sudah kembali melabuhkan punggung di kerusinya. Wajah Wan Shafie sedang tersenyum nipis terbias di ruang mata. Apa kaitan Puteri Gunung Ledang, nenek kebayan dan… budak kampung?

“Kau cakap budak kampung tu macam nenek kebayan… jadi, aku anggap dia cantiklah. Macam mitos yang aku ceritakan… nenek kebayan tu sebenarnya Puteri Gunung Ledang. Betulkan? Budak kampung kau ni cantik orangnya,” tersentap Ashraf dengan jawapan Wan Shafie. Nenek kebayan, Puteri Gunung Ledang, Ainnur! Err… tergagap pula Ashraf dibuatnya. Betullah Ainnur itu bukan buruk rupanya. Tapi takkan nak cakap, ‘Ya, budak kampung tu memang lawa!’. Takkan boleh Ashraf berkata begitu. Kenapa? Tercalar ego. Sudahlah dia tidak sukakan budak kampung, kalau dipuji-puji… maknanya dia sudah memalukan statement yang pernah diungkapkannya sendiri. Mana boleh macam tu! Langsung tak boleh.

“Sekarang ni kau nak tolong carikan aku perempuan ke tidak?” soal Ashraf sengaja hendak mengalihkan topik. Sehingga kini mereka masih belum menemui penyelesaian masalah yang sedang dibebaninya. Selepas mendengar kutukan yang tidak putus-putus dari bibir budak kampung tempoh hari, Ashraf sudah bertekad akan membuktikan bahawa dia mampu untuk mencari calon sendiri.

Sekilas dia mengerling jam yang terletak elok di pergelangan tangan. Jarum jam sudah menginjak ke angka tiga. Pantas dia teringatkan sesuatu. Belum sempat dia hendak membuka mulut berkata, pintu bilik sudah diketuk dari luar.

“Masuk,” arahnya. Nada suaranya serius.

Pintu ditolak dari luar. Muncul wajah Annisa, setiausahanya dengan senyuman manis di wajah. Turut dihadiahkan senyuman buat Wan Shafie yang berada di situ.

“Encik Ashraf ada meeting dengan wakil dari Berjaya Groups,” Annisa mengingatkan kembali seperti yang sudah dipesan oleh Ashraf padanya.

“Mereka dah sampai ke?”

Annisa menggeleng. “Baru saja Encik Andrew call, dia cakap dalam sepuluh minit lagi mereka akan sampai,” Annisa memaklumkan. Ashraf mengangguk.

“Okey… once dia orang dah sampai, you inform me okay,” setelah itu, Annisa sudah meminta diri. Tiba saja di depan pintu, namanya dilaung kembali. Dia berpaling.

“Don’t forget the document that I ask you to re-check,” pesan Ashraf sama saja seperti di awal pagi tadi.

“Ada apa-apa lagi encik?” soal Annisa sopan. Ashraf menggeleng saja.

“Annisa pun okey jugak!” ujar Wan Shafie sebaik saja gadis kecil molek itu hilang di balik pintu.

“Kau nak suruh aku kena tetak dengan suami dia!” membuntang terus mata Wan Shafie mendengar jawapan Ashraf. Biar betul!!!

“Wei… aku mati-mati ingat dia tak kahwin lagi!”

“Dia dah kahwin!” balas Ashraf sambil menala pandangan di wajah Wan Shafie. “Kau ni kenapa? Jangan cakap dah simpan perasaan dekat bini orang pulak!” Ashraf berserkap jarang. Wan Shafie pula yang terkelu lidah.

“Aku tak tahu pulak dia tu dah berkahwin… kau ni sure ke? Re-check balik profile dia. Aku rasa macam belum saja!” Wan Shafie sudah gelabah. Gelabah bukan sebab apa, adalah dalam dua tiga kali dia mengirimkan bunga untuk menyampaikan hasrat hati. Walaupun tak bertulis nama, tapi gelabahnya tetap ada. Mahunya Annisa tahu dia yang mengirimkan kuntuman bunga itu, lalu diserahkan pada suami… erk! Nak menyebut pun terasa pelik.

“Betullah… aku selalu nampak ada orang nanti pick up dia masa habis kerja,” Ashraf dengan yakinnya menjawab sebab itu yang selalu dilihatnya.

“Kau nampak lelaki datang ambil dia… terus kau buat kesimpulan yang dia dah kahwin,” laju saja Ashraf mengangguk menjawab pertanyaan Wan Shafie. Tak perlu menunggu lama, sebatang pen sudah melayang dan mendarat di dahi Ashraf.

“Oit!!!” sahut Ashrat. Dahinya digosok-gosok perlahan. Main baling pen pula Wan Shafie ini.

“Apa punya spesies la kau ni Ashraf Khairi! Suka sangat buat konklusi awal… kalau pick up lepas habis kerja, tak bermakna dia dah berkahwin… boleh jadi tu abang dia ke, adik dia ke…,” ayat-ayat penenang jiwa dilagukan oleh bibir Wan Shafie untuk ketenangan diri sendiri.

“Pakwe dia pun boleh jadi kan?” Ashraf pula makin bersemangat nak membakar hati yang berlagu kecewa di hadapannya. Senyuman sinis tersungging di bibir.

“Aku tak nak tolong kau cari perempuan!” Wan Shafie terus bangun berdiri. Ashraf pula jadi gelabah macam tak cukup kaki. Mana boleh macam ini?

“Janganlah Wan… kau saja harapan yang aku ada,” ayat simpati sudah mula memasuki trek. Namun itulah kebenarannya. Dia mana boleh cari perempuan sendiri. Gerenti semua perempuan akan lari. Sebabnya, tak ada langsung skill yang tersembunyi untuk membeli jiwa sang gadis pujaan hati.

“Kau re-check profile Annisa!”

“Okey… okey… aku re-check,” Wan Shafie tersenyum puas. Lega!

“Kut iya pun… tak perlulah nak pamerkan senyuman gatal kau dekat sini…,” erk! Mati terus senyuman di bibir Wan Shafie. Dia baru saja nak mula berangankan Annisa yang ayu itu.

“Eh… kalau betul Annisa tak kahwin lagi, tak nak ke ‘pinjam’ dia sekejap?” otak geliga Wan Shafie kembali melontarkan idea.

“Kau jangan nak buat gila Wan… sudahlah dia tu ‘anak’ kesayangan daddy! Nak buat pinjam-pinjam untuk hal macam ni, mahunya aku pula yang kena sembelih…,”

“Ala… tapi pinjam bukan nak ajak kahwin kan? Cuma nak tunjuk depan your kampung girl saja kan?” Wan Shafie masih mencuba. Kening Ashraf terangkat. Raut wajah itu jelas menunjukkan dia sedang berfikir dengan serius.

“Boleh jadi berjaya tak?” soalnya pada Wan Shafie. Lelaki itu pula terus saja menangkat ibu jarinya untuk menunjukkan tanda sukses.

“Gerenti… berjaya terus!” ucap Wan Shafie bersemangat. Detik itu terus saja membuahkan senyuman penuh firasat di wajah Ashraf. Siap kau kampung girl! Aku dah sediakan pesaing untuk kau.

ANNISA resah dan gelisah. Entah apa silapnya, sejak dari tadi renungan Ashraf tajam menikam dirinya. Ada apa-apa kesilapan lagi ke dalam dokumen yang dia suruh aku periksa? Rasanya mustahil! Tak mungkinlah… bukan sekali aku periksa, dah hampir tiga kali aku ulang baca. Tapi kenapa dia pandang aku macam nak telan saja. Err… rasa macam nak lari saja dari sini.

Mindanya pula sudah tidak berapa fokus dengan perbincangan yang sudah berjalan hampir sejam dari tadi. Tawa yang terlepas dari bibir Encik Andrew menarik perhatiannya. Annisa mengangkat mata dan bertembung pandang dengan Ashraf secara tidak sengaja. Terkelu lidahnya apabila lelaki itu sudah tersenyum mesra. Erk! Annisa sudah mula pening. Tadi nampak garang macam singa, sekarang nampak mesra macam… macam apa ya? Kucing?

Encik Ashraf padan jadi kucing ke? Soalnya sendiri. Tanpa sedar Annisa sendiri tertawa dengan pemikirannya.

“Yes miss Annisa… do you have something to share with us?” Encik Andrew sudah mencelah. Annisa terdiam.

“Err… nothing,” tergagap pula Annisa. Yang lain semua sudah memandangnya dengan senyuman yang cukup aneh sekali. Kenapa pula? Aku ada nampak macam badut ke?

“Okey Encik Ashraf… I think our discussion today is the final one. We should proceed with the collaboration of both company,” ucap Encik Andrew dengan senyuman senang.

“Yes… so we can proceed with the agreement,”

“Next Monday should be okay,”

“Okay then…,”

“Nice to meet Mr. Ashraf and you, beautiful lady… Miss Annisa,” memerah muka Annisa dengan ucapan Encik Andrew. “You both look great together,” Annisa tergamam. Pantas matanya beralih pada Ashraf. Sekali lagi dia rasa macam nak tercekik saja. Kenapa lelaki itu tersenyum bahagia pula? Macam ada yang tak kena saja sejak dari tadi, tapi apa? Annisa tak faham!

“ANNISA,” terdengar suara Ashraf memanggil selepas Annisa sampai ke tempat duduknya. Annisa cuba berlagak tenang.

“Ya encik?” soalnya seperti biasa. Ashraf sudah berdiri di hadapan mejanya. Kepalanya mendongak sedikit menangkap wajah lelaki itu yang tinggi daripadanya. Matanya terkelip-kelip memandang Ashraf yang masih berdiam tidak menyambung kata.

Tiba-tiba saja, Ashraf menundukkan wajah. Mendekati wajahnya. Membulat terus biji mata Annisa, refleks membuatkan kepalanya ke belakang. Terkejut habis!

“Encik?” ucapnya sedikit lantang. Namun Ashraf tak terkejut pun. Nampak relaks saja, seolah dia tidak melakukan apa-apa yang pelik. Ya Allah, ini bos aku ke?

“Masuk bilik saya!” dengan satu arahan itu, Ashraf sudah bergerak dari tempatnya.

“Masuk bilik saya,” ulang Annisa perlahan. “Dengan keadaan dia macam terkena sampuk, dia expect aku akan masuk ke bilik dia ke?” gumamnya perlahan.

“Ini bukan bos aku ni,” ucapnya lagi. Sekali-sekali, matanya menjeling ke arah pintu bilik Ashraf yang terkatup rapat. Kepalanya sudah tergeleng-geleng sendiri. Macam tak percaya! Ini bukan bos aku ni! Bukan… bukan!

“Bukan!” ucapnya tanpa sedar.

“Apa yang bukannya… masuk bilik saya Annisa As-solehah!” tersentak Annisa apabila suara Ashraf kembali muncul di situ. Ditambah dengan senyuman di bibir Bos muda itu, dia rasa gerun pula. Bagus lagi kalau mukanya serius, aku suka.

“Masuk bilik saya!” ulang Ashraf apabila Annisa masih kaku di situ. Hendak tak hendak, Annisa menurut juga langkah Ashraf sambil menenangkan jiwanya dari berfikir yang bukan-bukan! Tapi… macam tak boleh saja. Apabila Ashraf membukakan pintu bilik dan mempelawanya masuk, dia lagi rasa macam nak pengsan. Sah! Bos aku kena sampuk!

[Bersambung] :)




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

12 ulasan untuk “Novel : Kampung Girl 7”
  1. hani89 says:

    ye ar.. best sgt tp… bila na pat ending.. hhuuuuu
    tahniah coz mencipta novel nie… supeeerb sg

  2. Ajie says:

    mmg best.xsbr nk tnggu novel penuh..congrate penulis..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"