Novel : Kampung Girl 8

11 May 2011  
Kategori: Novel

17,642 bacaan 6 ulasan

Oleh : Umi Kalsom

PEN di pegangan tangan diketuk beberapa kali. Bukannya dakwat sudah habis, tapi ini merupakan salah satu cara dia berfikir. Berfikir sambil menganggu ketenteraman awam. Sungguhlah tidak bagus teknik yang diguna pakai oleh Ainnur Azmi ini.

Sesungguhnya pada saat ini, Ainnur terasa pelik bangat! Oh, jangan salah sangka, dia bukannya dapat tawaran berlakon sinetron, sampaikan teraplikasi perkataan bangat dalam mindanya. Cumanya dia pelik, kenapa si Ashraf berlagak tu, beria-ria telefon emak di kampung dan siap pesan lagi, suruh Ainnur datang Kuala Lumpur. Urgent! Katanyalah.

Urgent otak dia! Kerja aku punya melambak dekat sini, dia ingat aku nak layan urgent dia tu. Baik aku selesaikan hal-hal di sekolah. Lagi satu, dia memang dah cop aku sebagai anak dara makan gaji buta sambil duduk di rumah agaknya. Huh!

“Mak Ita, jangan lupa… suruh dia datang, wajib!” ayat emak berulang semula dalam minda. Emak pula memimikkan dialog Ashraf.

Apa yang wajib sangat sampai aku nak kena berdesup ke Kuala Lumpur tu?

Getaran pada telefon bimbit membuatkan dia tersentak. Tertera nombor Aunty Maz di skrin telefon. Punat telefon ditekan dan salam dihulurkan.

“Ain sayang,” ceria saja suara Aunty Maz menyapanya.

“Ya Aunty… Aunty sihat? Uncle sihat?” soal Ainnur ramah. Biasalah, bakal mentua kan. Kenalah tunjukkan ciri-ciri menantu penyayang. Walaupun dia sebenarnya tahu, kalau tak tunjukkan ciri itu pun, dia tidak akan di reject oleh Aunty Maz. Ainnur… bangga sendiri. Senyuman terus tersungging di bibir.

“Sihat sayang… semua sihat. Ni Aunty nak bagi tau… Ash suruh Ain datang KL, ada hal penting katanya. Boleh jadi dia dah tukar fikiran agaknya… entah-entah dia nak propose Ain…,” teruja saja suara Aunty Maz yang menampar pendengaran Ainnur.

Dia sekadar tersengih kelat. Nampaknya Aunty Maz pun tak dapat nak memahami kepala batu, Ashraf Khairi itu. Mana mungkinlah si mangkuk Bandar itu nak meminangnya. Kalau ada pun, dalam mimpi saja kot. Itu pun mustahil juga!

“Jadi bila Ain nak datang KL?” soal Aunty Maz tanpa bertangguh. Ainnur terdiam. Nafas dihela panjang. Kalau nak tunggu ada masa, sekarang dia memang tak ada masa. Banyak sangat program di sekolah. Semata-mata sebab mangkuk itu yang suruh, dia tak boleh nak tinggalkan segala tugasannya di sini.

“Ain banyak kerja sekarang Aunty… budak-budak baru sudah exam. Lagi dua minggu, dah nak mula minggu bahasa. Ain jadi penasihat… banyak benda nak kena uruskan. Lambat lagi rasanya kalau nak datang pun,” jujur Ainnur menerangkan. Dia bukannya mereka-reka keadaan, tapi itu adalah situasi yang sebenar.

“Oh ya kan. Aunty pun dah terlupa, Ain dah mula kerja… tak apalah kalau macam tu. Tapi… kalau Ain ada masa weekend, bagi tahu dengan Aunty… I’ll arrange the flight ticket for you. Jimat masa…,” mulut Ainnur dah melopong. Tak perlu kot nak tergesa-gesa ber-flight bagai. Dia pun tak selesa rasanya nak tergesa-gesa hendak berkejar ke sana sini dalam keadaan sekarang.

“Tak apalah Aunty. Susah-susah saja… kalau Ain ada waktu, Ain bagi tahu Aunty okey… tapi bukan dalam masa terdekat ni. Ain sibuk sangat,” sopan Ainnur menolak. Terfikir juga di mindanya, entah apa alasan yang akan diberikan oleh Aunty Maz kepada Encik Ashraf Khairi itu. Agaknya lelaki itu percaya tak kalau Aunty Maz cakap aku sibuk? Entah-entah dia akan balas macam ni… sibuk apa, tengok ayam itik pun sibuk mengalahkan ahli parlimen ke? Rasanya…

“Iyalah sayang… nanti Aunty cakap dengan Ash, Ain busy sekarang nak kena urus hal dekat sekolah,” membulat mata Ainnur. Aunty Maz!!!

“Aunty!!! Jangan tersasul”.

“Err… hampir ke Ain?”

“Dah tersasul pun,” resah saja Ainnur di kerusi ini.

“Okay… okay… I’ll be very careful then”.

“Hopefully,” belum sempat Ainnur berbual lebih panjang, sudah ada yang memanggil. Pantas saja dia meminta diri. Namun, sekali-sekala ada juga resah bertandang di hati. Kalau Aunty Maz terlepas cakap? Err… tak nak bayangkan yang bukan-bukan.

Agaknya apa reaksi Ashraf? Ainnur mengetap bibir kuat. Dia tidak mahu berkahwin dengan Ashraf dengan status sebagai cikgu! Dia nak Ashraf sedar, isterinya itu hanya seorang budak kampung. Biar padan muka dia. Suka sangat pandang rendah pada orang. Suka cakap ikut suka hati mulut dia saja tanpa fikir perasaan orang.

Ainnur nekad. Dia akan merahsiakan status dirinya sebagai cikgu sehinggalah Ashraf membuang persepsi yang buruk-buruk tentang budak kampungnya. Ya! Itu yang akan dia lakukan. Siap kau Ashraf Khairi… Ainnur Azmi si budak kampung, sememangnya sudah ditakdirkan untuk berjodoh dengan kau yang berlagak Bandar sepanjang hayat.

“KENAPA ni? Muka macam ayam berak kapur je…,” teguran Salmi teman serumahnya, spontan membuatkan di melepaskan keluhan. Jujur sejak tadi dia terasa tidak senang duduknya. Asyik terfikirkan Aunty Maz saja. Bimbang kalau orang tua itu terlepas kata. Bukannya boleh dijangka. Kalau ya terlepas? Mati aku…

“Ashraf Khairi,” perlahan dia menyebut.

“Kenapa dengan bakal suami kau?” laju saja Salmi menyoal. Dia kalau bab-bab bergosip dengan Ainnur, laju saja. Cuba kalau ajak masuk ke dapur… Ain, kau masuk dululah, aku menyusul dari belakang. Hah! Menyusul dari belakang… alamatnya, tak jumpa jalan ke dapurlah.

“Bakal suami apanya… dia pun tak setuju lagi”.

“Tapi parents dia nakkan?”

“Memanglah… parents dia nak… parents aku pun nak… aku, lagilah nak! Cuma dia seorang ja, masalah apa tak tau… tak nak sangat dengan budak kampung!”

“Kau kenapa nak sangat dengan dia? Tak payahlah Ain… nanti nampak kau je yang terhegeh belakang dia… dia tak appreciate nanti,” semangat saja bicara Salmi.

“Itulah… susah sebenarnya,” Ainnur mengeluh. Dia pun tahu akan hakikat itu, tapi nak buat macam mana, dia yakin akan jodoh ini. Lebih daripada yakin sebenarnya.

“Susah sangat, passing dekat aku je lah,” selamba saja Salmi berkata dengan senyuman nakalnya.

“Amboi!!!” Ainnur dah bercekak pinggang. “Ada hati nak dekat abang Ash aku na,” mukanya sudah digarangkan. Salmi sudah melepaskan tawa. Dia bergurau saja.

“Abang Ash kau tu… handsome bukan main, mana ada perempuan yang tak nak dengan dia”.

“Orang cakap, Allah itu Maha Adil. Dia bagi rupa saja dekat laki tu tapi dalam masa yang sama, mulut tak berinsurans pun terselit sekali. Jadi… kalau mulut tu tak reti nak bersopan, muka handsome pun orang dah tak nampak”.

“Iya ke Ain… orang kata? Entah-entah, kau saja yang berkata-kata macam tu… beria saja! Entah-entah… diam-diam abang Ash kau tu dah ada orang lain. Dengan kau iyalah dia bermulut celupar, sebab kau yang kata kan, dia tak suka dengan budak kampung, secara spesifiknya… dia tak suka kau,” Ainnur terdiam. Boleh jadi ke kesimpulan ini? Abang Ash ada orang lain.

“Mana tahu, depan perempuan yang dia suka… dia boleh jadi romantik. Ah! Aku boleh bayangkan… cair… cair…,” Ainnur mengetap bibir. Melebih-lebih pula angan-angan si Salmi ini. Tapi… hatinya makin resah. Abang Ash versi romantik? Boleh jadi juga ke?

Terasa tidak tenang. Terasa tergugat. Apa yang patut aku buat? Rasanya kalau ada sepuluh calon depan mata Abang Ash, aku ni akan ditolak tanpa penilaian pun. Macam itu sekali rating buat dirinya dalam minda Ashraf. Di tangga terbawah.

Alahai… tak cukup tadi dia runsing memikirkan Aunty Maz, sekarang runsing fikir Ashraf Khairi pula. Tapi, romantik… sesuai ke dengan jiwa lelaki tu? Macam tidak saja. Depan aku nak senyum pun susah.

Tak pun, dia bukannya anti dengan perempuan, tapi anti dengan Ainnur Azmi seorang saja! Iya ke? Ainnur sudah makin gelabah. Tak boleh jadi ni! Macam mana dia boleh terlepas pandang perkara yang begitu penting.

“Sal!!!” tiba-tiba saja suara Ainnur pecah. Elok saja Salmi nak mengunyah keropok bika, terus tersedak. Terkejut bukan kepalang bila suara Ainnur yang menjerit ala-ala soprano. Terbatuk-batuk Salmi dibuatnya.

“Abang Ash aku boleh jadi romantik dengan orang lain ke?” soal Ainnur sambil menggoncangkan bahu Salmi. Salmi terkedu. Silap dia membuka topik romantik untuk diskusi di malam hari. Tak sangka pula Ain boleh jadi sampai macam ini. Gaya macam hilang kewarasan. Erk!

BUKU latihan yang bertimbun di atas meja dicapainya satu persatu. Keadaan bilik guru yang agak lengang itu dipandang sekilas. Dikerling pada jam besar di dinding pula. Baru pukul sepuluh pagi. Perut pun belum lapar lagi. Kesimpulannya, sambung saja menyemak buku latihan yang dikutip awal pagi tadi.

Gegaran di telefon bimbit menggamit perhatian Ainnur. Sekilas pandang, dia tidak mengenali nombor itu. Tapi dicapai juga.

“Waalaikumsalam,” jawabnya sebaik saja suara di sebelah sana menghulurkan salam. Ainnur diam. Menunggu orang di sana meneruskan kata.

“Ya cik… ada apa yang boleh saya bantu?” soal Ainnur apabila lama sangat orang sebelah sana mendiamkan diri.

“Cik Ainnur”.

“Ya saya”.

“Saya… Annisa, teman wanita Ashraf,” Ainnur tersentap. Come again? Teman wanita?

“Siapa?” ulang Ainnur seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

“Teman wanita Ashraf,” Ainnur mengetap bibir. Takkan!

“Saya nak jumpa awak,” tambah Annisa lagi.

“Untuk?”

“Ada hal penting”.

“Bila?”

“Bila yang awak boleh?”

Sekarang pun boleh! Sahut hati Ainnur. Dia sudah tak senang duduk di kerusi ini. Sekarang juga dia nak menghadap teman wanita Ashraf Khairi tu kalau boleh. Nampaknya dia sudah salah perkiraan! Ashraf Khairi, si lelaki berlagak, tak ada perasaan, budak Bandar perasan bagus tu pun boleh ada calon pilihan sendiri! Dan Ainnur… wuarghhh!!! Rasa macam nak menangis berbaldi. Macam mana boleh salah target ni?

“Esok!” balas Ainnur tanpa kawalan.

“Awak datang ke pejabat Encik Ashraf. Saya ada di situ,” Ainnur terdiam. Pejabat Encik Ashraf? Bukan di Kuala Lumpur ke? Gila aku nak ke K.L. esok!

WAJAH Ashraf terus ceria menyambut telefon yang dihulurkan oleh Annisa. Bahagianya rasa hati bila dapat mengecewakan hati budak kampung itu. Puas hati!

“Annisa… thanks,” ucapnya dengan senyuman tak lekang di bibir.

Annisa sudah menggelengkan kepala. Tak faham betul dengan bosnya seorang ini. Main upah aku suruh jadi girlfriend. Siap nak adakan pertemuan dengan calon-bakal-tak-jadi pula tu. Annisa pasrah saja memikirkan apa yang bakal terjadi. Harapnya segala untung dan rugi akan ditanggung oleh Encik Ashraf Khairi seorang diri. Dia tidak mahu mendapat publisiti murahan nanti.

Teringat pula kata-kata lelaki itu ketika hendak memancing untuk menjadi ‘teman wanita’ upahan.

“Tolonglah Annisa… saya tak pernah minta tolong awak untuk hal-hal peribadi sebelum ni. This will be the first and last one,” rayu Ashraf. Annisa diam. Dia tak faham situasi yang sebenar. Kenapa lelaki ni beria sangat nak upah dia?

“Please Annisa…,”

“Untuk apa encik?”

“Jadi girlfriend upahan saya. Awak tak perlu buat apa-apa yang susah pun… saya bukan nak ajak awak keluar ke, berdating ke… nothing like that at all! Awak cuma kena cakap by phone you are my girlfriend and make her come here,” semangat saja Ashraf berkata. Annisa pandang pelik lagi.

“Kenapa encik tak nak kahwin dengan budak kampung tu?” soal Annisa juga menggunakan label kampung sebab Ashraf langsung tidak menyebut nama gerangan budak kampung itu.

“Ada masalah peribadi sikit, saya tak boleh nak share lebih-lebih dengan awak,” Annisa menjeling sekilas. Masalah peribadi ke? Atau singa seorang ni demanding lebih tak kena gaya? Cara dia cakap, macam aku ni baru sehari dua jadi setiausaha dia!

“Annisa… you may continue your work,” teguran Ashraf menyentakkan lamunan Annisa. Terus saja dia bangkit berdiri dan melangkah ke arah pintu.

Sebelum keluar, sempat dia menjeling pada bosnya yang masih tersenyum ceria. Entah apa-apa sajalah!

[Bersambung] :)




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

6 ulasan untuk “Novel : Kampung Girl 8”
  1. impirika_08 says:

    wahhh….best sangat2..
    sambung cpt lagi ye umi kalsom…
    menunggu n3 KG ni sentiasa…:)

  2. kak zar says:

    as salam umi….boleh kasi u punya blog x?…cite ni bestlah…

  3. one says:

    superb umi..

  4. no name says:

    waaaa… best2 .. sambung la cpat2 …
    xsabar nehh

  5. umi Kalsom says:

    Thanks Imprika, kak Zar, one, no name dan kepada semua yang membaca KG di sini :)
    Dah send bab seterusnya. Harap akan terus setia membaca kisah KG :)

    Kak zar: Jemput singgah,blog saya mykarya-dreamer.blogspot

    Terima kasih semua.

  6. risya says:

    herm…novel ni best ler..tapi x jumper pon kat terengganu ni..nasib baik ader online punye..dia sampai bab berapa ea??

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"