Novel : Kampung Girl 9

18 May 2011  
Kategori: Novel

19,100 bacaan 32 ulasan

Oleh : Umi Kalsom

AINNUR sudah menghentakkan kakinya. Macam tak percaya yang dia akan ke sini semata-mata nak bertemu empat mata dengan buah hati si mangkuk itu. Tidak sangka juga kerana ikutkan rasa hati yang sudah menggila dengan api cemburunya, dia terus saja mendapatkan flight ke sini. Boleh jadi gila dah aku sebab tergilakan orang gila macam Ashraf Khairi.

Bangunan di tengah-tengah kota itu dipandang dari atas ke bawah. Nafasnya dihela panjang. Agaknya, boleh ke tidak aku campakkan saja Ashraf tu dari tingkat atas. Biar hilang segala rasa sakit hati yang tengah berselirat.

‘Uish! Jangan Ain… nanti siapa nak jadi suami kau?’

‘Betul jugak tu’.

Kakinya sudah mula melangkah masuk ke dalam bangunan itu. Sejuk mula mencengkam tulangnya. Dengan baju kurung berwarna hijau pucuk pisang, dipadankan dengan tudung dari rona yang sama, Ainnur sempat lagi membelek dirinya di sebuah cermin yang terletak di situ.

Ofis Ashraf, menurut Aunty Maz terletak di tingkat 7. Pantas saja lif ditekan. Tak lama menunggu, lif terbuka. Ainnur pun turut membuka langkah masuk ke dalam lif. Dah macam gaya korporat pula aku ke sini. Wajahnya yang terbias di pintu lif dipandang lagi sekali. Lama. Seperti ada yang tidak kena. Apa ya?

“Allah!!!” Ainnur dah menepuk dahi. Sudah gila agaknya dia. Sampaikan ke Kuala Lumpur pun, dipakainya tag nama. Elok saja tag berwarna hitam itu terpin di tudungnya. Pantas saja tangannya menanggalkan tag nama tersebut dan dimasukkan ke dalam beg sandang.

Ting! Lif sudah sampai ke tingkat tujuh. Keluar saja dari lif sudah terpampang besar nama Shamaz Holding. Sdn. Bhd. Gabungan dari nama Uncle Shahir dan Aunty Maz. Sweet kan? Ainnur tersenyum sendiri.

Bagaimana kalau digabungkan namanya dengan si mangkuk dalam pejabat tu, Ainnur dan Ashraf. Ainraf! Oh, buruk sekali bunyinya.

Kalau NurAsh. Wah! Macam comel. Berangan sajalah kau Ainnur. Itu saja yang boleh pun. Bersiap sedialah nak melangkah masuk ke dalam pejabat nak jumpa pesaing untuk merebut cinta Ashraf Khairi.

“Saya nak jumpa cik Annisa, ada?” sopan saja dia menyoal pada penyambut tetamu yang cantik bergaya di ruangan depan.

“Tunggu sekejap ya cik.” Ainnur sempat meninjau-ninjau keadaan sekeliling pejabat itu. Moden. Cantik. Bergaya.

“Apa nama cik ya?”

“Ainnur.”

“Cik Ainnur datang nak jumpa. Appoinment dengan Encik Ashraf ke?” sempat telinga Ainnur menangkap butir kata yang diucapkan oleh cik penyambut tetamu itu.

“Cik Ainnur…” Ainnur kembali bertentang mata dengan gadis penyambut tetamu itu. “Cik masuk terus, akan ada sign managing department. Cik Annisa ada di situ.”

“Thank you,” Ainnur menghadiahkan senyuman sebelum berlalu. Sambil kaki melangkah, matanya ligat juga menjeling-jeling ke kiri dan kanan. Menyaksikan kerenah mereka yang bekerja dalam pejabat. Dan aku, tinggalkan kerja semata-mata untuk… si Ashraf Khairi! Damn… I can’t believe it! I’m totally getting insane because of him.

Kini dia sudah berada di bahagian yang dimaksudkan. Matanya melilau apabila semuanya khusyuk membuat tugas. Seakan tidak sedar dirinya sebagai seorang makhluk asing yang melangkah masuk ke dalam ruang itu.

Sementara itu, Annisa sudah menggelabah di tempat duduknya. Sepantas kilat bilik Ashraf sudah diketuk dari luar. Sepandai-pandai katak melompat, akhirnya akan mata digilis juga. Eh, apa yang kau merapu Nisa!

Mendengar ucapan masuk dari dalam, cepat saja dia memboloskan diri ke dalam bilik Ashraf. Kelihatan lelaki itu sedang bergelak ketawa dengan riangnya bersama Wan Shafie. Amboi! Amboi! Aku yang dekat luar ni dah cuak tahap gaban. Dia boleh mengkekek ketawa dengan sahabat sejati, Encik Wan Shafie.

“Encik… tunang encik dah sampai dah!” Ashraf yang baru nak buka mulut bercakap, terus terbatuk-batuk kecil. Tunang?! Eh, no way man!

“Budak kampung tu dah sampai?” soal Wan Shafie bagi pihak Ashraf. Nampaknya kuat benar penangan perkataan tunang itu sampai terbatuk sakan Ashraf dibuatnya.

“Encik… nak buat apa ni? Saya takut, nanti dia serang saya! Habislah encik!” ucap Annisa dengan gelabah. Dia sudah tidak senang berdiri. Bergerak dari kiri ke kanan. Sampai naik pening Ashraf dan Wan Shafie yang melihatnya.

“Annisa… calm down! That kampung girl can’t do anything. Kalau dia buat apa-apa yang melampau, kita failkan kes atas nama dia,” ucap Ashraf selamba. Terus terbeliak biji mata Annisa. Kejam gila bosnya seorang ini! Sampai nak main fail-fail kes, ini apa kes?

“Encik!!! Apa cakap macam orang tak ada perasaan ni? Encik ni betul manusia normal ke?” tanpa dapat ditahan, terluah soalan di bibir Annisa. Nyata dia kurang mengerti dengan perangai bosnya yang aneh ini. Wajah Wan Shafie dikerling sekilas. Lelaki itu turut melemparkan pandangan terkejut buat tatapan Ashraf Khairi yang tersenyum bangga sendiri.

“Saya tak suka!” itu saja balasan yang Ashraf beri. Annisa terus mencebik. Menyampah gila kalau bersuamikan orang perangai macam ni! Kalau aku, bagi free pun tak nak! Bertuah rasanya Encik Ashraf ini kerana si gadis bernama Ainnur sudi berkahwin dengannya.

Annisa naik meluat apabila Ashraf meneruskan senyuman di wajah tanpa henti. Pandangan mata Annisa meleret pada cermin kaca yang menutupi bilik itu. Jelas sekali matanya menangkap kelibat seorang gadis di luar. Mata gadis itu tercari-cari orang di sekeliling. Pasti saja dia tidak akan nampak sesiapa, sebab cermin bilik encik Ashraf tinted. Hanya orang dalam saja boleh nampak orang luar.

Lama dia mengamati wajah itu. Kenapa dia seakan pernah melihatnya sebelum ini? Ainnur? Ulangnya dalam hati. Dan ketika itu…

“Astaghfirullah!!!” kuat ucapan itu terkeluar dari bibir Annisa. Terkejut beruk Wan Shafie dan Ashraf apabila Annisa yang menyepi tiba-tiba bersuara.

“Encik… tu ke, budak kampung?” soalnya tanpa bertangguh. Mata Ashraf berpaling ke luar. Mata Wan Shafie turut menyorot sama. Jelas kelihatan Ainnur yang sedang duduk di sofa sambil membelek majalah.

“Wei!!!” Wan Shafie dah melopong. “Itu kau panggil nenek kebayan? Memang buta kayulah kau ni Ash!!!” selamba saja dia menyindir Ashraf. Memang patut pun! Boleh pula dia samakan wajah budak kampung yang ayu lagi anggun dengan nenek kebayan tua. Sungguh tak bermata la si Ashraf seorang ini.

“Kalau aku, jangankan dipaksa… tak paksa pun aku rela jadikan dia isteri aku!” sambung Wan Shafie lagi. Ashraf mencemikkan muka. Dijeling sekilas pada wajah Ainnur yang sesekali mengangkat wajah dan melilaukan pandangan mata.

“Aku still tak suka. Budak kampung tetap budak kampung!” balasnya angkuh. Annisa yang turut berada di situ seakan menjadi halimunan buat pandangan mata Ashraf.

Laju saja Annisa mengetap bibir. Ngek betul Encik Ashraf ni! Budak kampung tetap budak kampung ya? Siap kau!

“Encik… saya pernah tengok budak kampung Encik ni!”

“Betul? Kat mana? Berpeleseran dekat jalan kampung ke? Awak bagi satu minus point yang kukuh pada saya, senang sikit saya nak tolak cadangan mummy nak jadikan dia sebagai menantu,” teruja wajah Ashraf mengajukan pertanyaan pada Annisa. Annisa melopong tidak percaya. Hantu punya laki!

“Encik!!!” suara Annisa naik tanpa sedar. “Encik jangan melebih tau kalau bercakap tu!!!” marahnya. Ashraf terkejut. Wan Shafie pun ikut tersentak. Tak pernah sekalipun mereka melihat Annisa yang sopan dan ayu ini menaikkan suara.

“Sekarang ni… saya nak keluar, saya nak jumpa budak kampung Encik tu…” Annisa melangkah ke pintu dan memulas tombol. Sebelum keluar, matanya menikam wajah Ashraf. “yang juga merangkap gelaran… kawan baik saya!” terus dia melangkah keluar.

“Kawan baik… okeylah tu. But… wait!!! Did she say, kawan baik???” Ashraf baru nak terkejut sedangkan Wan Shafie awal lagi dah menangkap ayat yang diucapkan Annisa.

“Wan!!! Apa ni Wan??? Kenapa kau tak cakap Annisa tu orang Kedah!!! Mampus aku.”

“Apa aku pulak! Kau tu bos… patutnya kau tahu mana asal usul pekerja kau.” Wan Shafie dah mencebik. Suka hati saja dia nak salahkan aku pula. Salahkan diri sendirilah. Bakal isteri dah cukup perfect, nak main lari-lari lagi!

Mata Ashraf menjeling sekilas pada cermin kaca. Annisa sudah menghampiri Ainnur. Apa yang bakal terjadi lepas ini? Adakah dia akan dicincang lumat oleh kedua gadis itu? Ah, sudah!

AINNUR yang sedang khusyuk membelek majalah di tangannya seakan tidak menyedari, sudah ada yang berdiri di hadapannya. Matanya yang sedia tertunduk terpandangankan hujung kain baju kurung di depan mata. Dia tersedar sesuatu, pantas liur ditelan. Pesaing aku! Jantungnya tiba-tiba saja sudah mula berdegup kencang. Gaya macam nak jumpa madu pun ada.

Perlahan saja dia menaikkan pandangan matanya. Seakan terhenti degupan jantung pabila matanya bertemu dengan gerangan yang berada di depan mata. Senyuman itu langsung tidak dibalas. Dia terkejut, bukan sedikit!

Annisa As-Solehah! Sebut hatinya pedih.

“Ain!!!” ceria saja suara Annisa menyapa. Tetapi Ainnur tersenyum hambar. Pesaingnya adalah kawan baik sendiri, sungguh dia berasa tidak selesa sama sekali. Sekarang juga dia nak balik. Sekarang juga dia nak telefon bagi tahu mak, dia takkan berkahwin dengan Ashraf.

“Hang ke kekasih abang Ash?” lemah saja suara Ainnur bertanya walaupun dia sudah tahu akan kebenarannya. Wajah Annisa yang ceria nyata menjentik perasaannya. Terasa lengannya ditarik. Pandangan matanya yang sayu melekat pada wajah Annisa. Aduh! Tak sanggup dia nak berlama di sini.

“Ain… bersemangatlah. Kenapa sedih sangat ni? Ain yang aku kenal tak pernah patah semangat macam ni.”

“Abang Ash aku… dah jadi kekasih hang! Aku tak boleh nak bersemangat. Nak marah hang pun aku tak sanggup,” lirih saja Ainnur berkata. Sesungguhnya dia sedih di saat ini. Pada siapa dia hendak meluahkan rasa. Pada Ashraf Khairi? Kirim salam sajalah.

Annisa tersenyum lebar. Jemari Ainnur digenggam erat. Perasaannya teruja dapat jumpa Ainnur. Lagi teruja sebab, dapat biarkan bosnya terkejut dengan fakta, Ainnur adalah kawan baik Annisa. Hah! Baru nak padan muka dia. Suka sangat kenakan orang, alih-alih… siapa yang bakal terkena sekarang ini. Dia juga. Padan muka!!!

“Bukan… bukan… hang jangan duk percaya fakta mengarut tu. Taktik dia ja nak kata tak mau kat hang… dia tak pernah ada girl lagi selama yang aku duk kerja kat sini. Aku call semalam pun sebab dia suruh, nak bagi hang mai sini jumpa dengan dia,” separuh berbisik Annisa menyampaikan hal sebenar. Ainnur sudah mengetap bibir. Perasaan sayu, sedih, pilu yang mencengkam hati seakan sudah terbang dalam sekelip mata.

Mangkuk Ashraf! Cemburu punya pasal, aku datang dari Penang ke K.L. dan dia? Nak kenakan aku rupanya.

“Dia kutuk-kutuk pasal aku ke kat hang?” Annisa tersenyum dengan soalan Ainnur.

“Hang ni… janganlah. Bos aku tak adalah buruk sangat sampai nak mengutuk pasal hang dengan aku,” sambil tersenyum juga dia menjawab. Ainnur memandangnya lama. Kemudian menarik senyuman di wajahnya. Perasaan sayu sudah diganti dengan perasaan teruja. Lama sudah rasanya sejak kali terakhir dia bertemu dengan Annisa.

“Nisa!!! Aku rindu hang! Mai aku nak peluk erat-erat… cepat!” dia sudah mula menarik lengan Annisa.

Dalam sekelip mata, keduanya sudah memulakan sesi peluk-memeluk di tengah-tengah pejabat tanpa mempedulikan mata-mata yang lain.

“Tapi kenapa masa call semalam, hang tak kenal suara aku?” soal Ainnur dengan perasaan musykil. Dia pun turut tidak mengecam suara Annisa. Ditambah dengan nombor yang berlainan.

“Mana aku nak cam, kalau singa tengah tunggu depan mata. Masa dia sebut Ainnur… aku tak terfikir pula pasal hang. Oh…” suara Annisa sudah meleret. “Ni ke abang Ash hang yang sombong tu! Kenapalah aku tak ingat langsung…” nada Annisa sudah mengusik.

Teringatkan kenangan mereka sewaktu remaja dahulu. Selalu juga Ainnur akan menceritakan perihal sepupu bandarnya yang berlagak. Tak sangka pula, orang itu adalah bosnya. Tapi, Encik Ashraf tak adalah berlagak sampai tahap yang Ainnur ceritakan. Rasanya biasa saja.

“Kita ni… kena main tarik-tarik rambut ke? Maklumlah… nak berebut kekasih,” soal Ainnur dengan tawa kecil. Lucu pula kalau nak buat benda tu dekat sini. Nyata moodnya sudah berubah.

“Mengarutlah hang ni!” Annisa ikut ketawa.

“Patutkah kita pergi tarik rambut bos hang tu?” Ainnur mengjungkitkan kening dengan pertanyaannya. Senyuman jahat sudah tersungging di bibir.

“Aku setuju sangat!” balas Annisa. Serentak keduanya sudah melepaskan tawa mereka.

“Dia ada dalam bilik?”

Annisa mengangguk.

“Aku rasa macam nak lempang dia. Boleh tak?” membulat mata Annisa dengan permintaan Ainnur yang berwajah selamba.

Belum sempat Annisa membalas apa-apa, langkah kaki Ainnur sudah dipanjangkan ke bilik Ashraf. Pintu bilik ditolak keras. Malas sudah dia hendak beradab dengan sopan santun di depan Ashraf. Melampau sungguh!

Sebaik saja pintu terkuak, Ainnur tercengang. Annisa yang muncul di belakang ikut tersentak. Apa sudah jadi. Wajah Wan Shafie dipandang dengan penuh rasa musykil.

“Kenapa dengan Abang Ash?” soal Ainnur

“Encik Ashraf kenapa?” Annisa ikut menyoal sekali. Pandangannya silih berganti pada wajah Wan Shafie dengan Encik Ashraf yang sudah mengkakukan diri atau lebih mudah disebut sebagai, pengsan! Tapi betul ke dia pengsan? Hati Annisa meragui.

Wajah Ainnur yang sudah beriak risau dijeling sekilas. Encik Ashraf ni… tak sudah-sudah lagi ke nak kenakan kawan baik aku.

Melihatkan tubuh Ashraf yang masih kaku tanpa sebarang pergerakan membuatkan Annisa menarik senyuman nipis. Siap Encik Ashraf! Ada hati lagi mahu kenakan Ainnur. Ingat dia senang-senang nak biarkan sahabat baiknya dibuli oleh singa tak bertauliah ni. Oh never!

Bibirnya didekatkan pada wajah Ainnur. Perlahan dia berbisik sesuatu. Ainnur sudah membulatkan biji mata. Mulutnya sudah ternganga.

“Betul ke?” soal Ainnur yang juga berbisik.

“Cuba la,” Annisa memberikan semangat yang utuh lagi teguh buat Ainnur. Dia sudah menekup mulut. Takut tak mampu nak mengawal tawa yang bakal meletus sekejap lagi.

“Uncle… nasib uncle datang! Abang Ash pengsan!” suara Ainnur sudah pecah dengan nada sayu. Tidak sampai sesaat, tubuh Ashraf sudah berdiri tegak.

“Daddy, Ash okay…” sahutnya dengan segera. Namun apa yang ada di depan mata hanyalah wajah yang menaikkan darahnya. Wan Shafie awal-awal lagi sudah mengangkat bahu, tanda tidak bersalah. Annisa nampaknya dengan usaha yang keras menahan tawa. Cis! Derhaka punya setiausaha. Ini mesti kerja dia!

Matanya terhenti pula pada wajah Ainnur yang memandangnya dengan pandangan menagih jawapan. Tidak lupa, senyuman sinis sudah tersungging di bibir lawa itu. What? Lawa! Laju Ashraf mengetap bibirnya. Damn! Hati ini akan kusedekahkan juga dekat tabung kebajikan. Tak jemu-jemu memuji si budak kampung yang… Matanya kembali ralit pada Ainnur yang berbaju kurung dan bertudung dengan rona yang sama. Argh!!! Makin cantik… sahut hatinya.

“Ashraf,” suara yang begitu dikenali kedengaran. Wajah Tuan Shahir muncul dari belakang. Pandangan itu nyata terkejut apabila melihat kelibat Ainnur yang sedang terpacak bersama dengan yang lain seperti tiang bendera.

“Ain buat apa kat sini?” soal Tuan Shahir dengan nada yang hairan sekali. Macam mana pula Ainnur boleh terpacak dalam pejabat ini sedangkan dia ada kerja di sekolah.

“Abang Ash yang suruh datang,” jujur dengan riak wajah yang sangat suci, Ainnur memberikan jawapan.

“Nak buat apa?” soal Tuan Shahir lagi. Ashraf sudah gelabah dengan soalan Tuan Shahir. Bimbang pula kalau pecah tembelang. Memang dia akan kena sembelih terus di sini.

“Dia nak…” Ainnur sudah berkira hendak mengenakan Ashraf Khairi. Namun belum sempat apa-apa, kata-katanya sudah dipintas oleh Ashraf sepantas kilat.

“Ash nak ajak dia beli cincin tunang.” Ashraf tergamam dengan ucapannya sendiri. Ainnur terkejut. Wan Shafie dan Annisa berpandang sesama sendiri dengan pandangan lebih terkejut.

“Really… kenapa tak cakap awal-awal. Mummy mesti seronok dengar benda ni. I’ll tell her about this.” Tuan Shahir sudah teruja. Pantas saja telefon bimbit dikeluarkan dari sarung. Dia sudah pun melangkah keluar dari bilik untuk membuat panggilan.

“Congratulation Ash.”

“Tahniah Encik Ashraf.” Serentak Wan Shafie dan Annisa mengucapkan kata. Kemudian serentak juga mereka tertawa. Tahu sangatlah, Ashraf sememangnya bengang dengan ucapan dari keduanya. Tapi itulah… terlajak perahu boleh undur, terlajak kata… mana boleh tarik balik dah.

[Bersambung :) ]
Sudi-sudi tinggalkan komen anda. Terima kasih. ^^
———————-
Penulisan2u memerlukan Undian / Vote Anda: Sokongan anda amat di perlukan. Pertandingan ini di anjurkan oleh Digi dengan kerjasama Nuffnang dan Facebook. Anda mempunyai akaun facebook? undianlah dengan klik logo Vote Di Bawah:




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

32 ulasan untuk “Novel : Kampung Girl 9”
  1. elly nazirah says:

    best giler citer nie

  2. anisah says:

    best giler, tahnia writer. Dr tadi asyik senyum2 aje

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"