Cerpen : Bila Nak Saksi

19 June 2011  
Kategori: Cerpen

22,204 bacaan 76 ulasan

Oleh : MARISSA

Hari ni Joe bakal nikah, jadi aku kena pergi jauh dari sini. Jauh daripada pandangan matanya. Jauh dari segala yang pernah kami lalui bersama. Kalau boleh pindah ke planet lain, dah lama aku pindah. Mungkin aku pindah masa mak beritahu aku, Joe nak nikah dengan sepupunya. Masa itu jugaklah aku tak ingat apa-apa lagi. Aku rasa semuanya dah selesai. Dah habis, dan tentunya dah tamat!

“Confirm nak pindah ni? Tak nak fikir lagi?” Mak tanya. Macam was-was saja dengan keputusanku. Mungkin mak dah faham sangat dengan perangaiku yang sering berubah dan tak pernah tetap pendirian. Rasa emak, lalang sekalipun tak serupa aku.

“Confirm!” Aku jawab dengan tegas dan tak berbelah bahagi langsung.

“Kenapa tak cakap saja dengan Joe yang Na sayangkan Joe? Sempat lagi kalau Na nak cakap. Joe belum nikah lagi!” cadang mak. Tapi aku rasa tu bukan satu cadangan. Sebab aku rasa mak macam tak sabar saja nak gelakkan aku. Yalah, siapa boleh sangka aku akan jatuh cinta dengan rakan sepermainan aku yang betul-betul tinggal sebelah rumah. Memang karut.

Masa mak dan abah dapat tahu tentang perkara tersebut dua hari lepas, memang tak menang mulut mak dan abah gelakkan aku. Aku yang macam ini boleh jatuh cinta? Lepas tu dengan anak lelaki jiran sebelah rumah. Memang terkejut tahap beruk mak dan abah masa tu. Tapi mereka tak gelak depan aku sebab ketika itu mata aku dah bengkak macam mata ikan flower horn. Mereka tutup pintu bilik aku rapat-rapat dan mereka bantai gelak kemudiannya. Aku tak boleh buat apa-apa lagi. Cuma bertahan dan terus bertahan sehinggalah aku ambil keputusan nekad ini. Yang peliknya, abah dengan mak tak bantah langsung. Macam suka saja aku pindah.

“Dia dah nak nikah, mak. Na dah tak ada harapan lagi.!” Aku cakap bersama rasa kecewa yang amat sangat. Selama ini semua orang tahu aku dengan Joe memang rapat. Tapi tak ada yang perasan aku dah terlebih suka dengan Joe. Terlebih suka itu sudah membawa kepada perasaan sayang. Dan perasan itulah yang buat aku tak serupa orang. Kenapa aku boleh jatuh cinta dengan Joe ?

“Habis tu kalau Mak Cik Sofea dengan Pak Cik Razak tanya, abah dan mak nak jawab apa ? Mesti mereka tanya kalau Na tak ada majlis nikah Joe nanti.” Abah tumpang tanya. Tapi pertanyaan abah tu macam main-main saja. macam tak serius langsung.

“Abah cakap saja Na kena TIBI ke. Tak pun abah cakap ajelah Na kena selsema burung ke…” Aku cakap sambil masuk baju terakhir ke dalam beg pakaianku.

“Payah macam ni. Nanti tak pasal-pasal abah dengan mak pulak yang kena kurantin!” kata abah.

“Suka hatilah abah nak bagi alasan apa-apa. Janji jangan cakap Na pindah sebab Joe nak nikah.” Aku tarik beg pakaian. Aku dah bersedia nak keluar rumah. Aku kena keluar awal. Kejap lagi rumah Joe bakal sibuk. Tentu Mak Cik Sofea akan cari aku. Minta tolong siap apa patut. Untuk mengelak semua tu, aku kena keluar selepas subuh.

“Habis tu bila nak balik rumah ni?” Abah tanya sambil ikut aku turun tangga.

“Kalau tak tiga atau empat kali raya Na tak akan balik!” Aku jawab.

“Raya apa?” Abah tanya lagi.

“Ya lah. Malaysia bukankah banyak raya. Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas. Tu tak termasuk Wesak Day,” tokok abah selamba. Abah ni…Saja nak buat badan aku berasap. Nasib baiklah abah aku. Kalau abah orang lain, memang dah kena dengan aku.

“Raya puasalah, abah. Tak kan raya Cina!” Aku jawab.

“Hati-hati pandu kereta. Dah sampai rumah mak ngah telefon mak!” kata mak waktu kami sampai ke keretaku. Aku terus letak beg dalam tempat simpan barang. Aku peluk emak erat selepas tu.

“Jangan beritahu abang-abang semua. Ni rahsia antara Na, mak dan abah saja. Dengan Joe pun mak jangan beritahu ya!” Aku pesan pada emak. Kalau ketiga-tiga abang aku tahu, mahu kecoh satu taman perumahan ni.

“Tahu….” jawab mak. Lepas peluk abah dan emak, aku terus pandu kereta. Selamat tinggal Joe!
………………………………………………………………………………………………

“Na, kau kat mana ni? Dah satu hari tak nampak batang hidung kau!” Julia bertempik sebaik sahaja aku jawab panggilannya.

. “Ju…” Aku dah menangis. Sambil-sambil tu aku lihat juga ombak yang datang dan pergi di hadapanku.

“Hey Na, Apa pasal ni? Rumah kau terbakar ke?” soal Julia selamba. Macam senang hati sangat masa sebut rumah kau terbakar tu. Nasib baik jauh. Kalau dekat, memang alamat koyak mulut dia.

“Kenapa ni? Apa masalah kau ni?” Julia bertempik lagi.

“Joe dah nikah! ” Aku cakap dengan kuat.

“Hah? Joe dah nikah? Bila? Kenapa aku tak tahu pun?”

“Tak apalah, itu dah pilihan dia. Aku doakan dia bahagia.”

“Hmm.. Tak bolehlah aku nak tolong kalau Joe tu yang nak nikah. Pandai-pandailah kau pujuk diri kau sendiri. Err… kau kat mana ni?” soal Julia lagi.

“Cherating. Aku duduk sini mulai hari ni. Aku nak minta kerja kat Gemersik Resort.” Aku jawab.

“Okeylah kalau macam tu. Kau kerjalah kat sana baik-baik. Satu lagi, agak-agak kau nak terjun laut, telefon aku dulu.”

“Sudahlah kau, bukannya nak menyenangkan perasaan aku, menambahkan sakit adalah!” Aku terus tutup telefon bimbit. Baiklah aku jangan layan lebih-lebih. Nanti bertambah-tambah sakit hatiku.
Ah! Kenapa semuanya seperti tidak mahu menyokong aku? Kenapa aku harus bersendirian untuk waktu-waktu begini? Kenapa wajah Joe tak mahu pergi dari ingatanku? Kalau berterusan begini aku bakal hancur. Joe sudah berjaya menjadi suami orang. Dan aku percaya sangat-sangat Joe baru saja mennyarungkan cincin ke jari isterinya. Pasti sudah menyentuh dahi isterinya dengan bibirnya. Joe yang aku gilai dari tingkatan satu lagi, sudah menjadi milik orang!

Waaaaa….Di mana lagi aku hendak mencari lelaki seperti Joe. Joe tu bukanlah handsome sangat. Tak ada mirip mana-mana muka pelakon Korea pun. Jauh sekali belah-belah Hollywood sana. Memang jauh sangatlah! Tapi Joe cukup istimewa buatku. Sangat sangat istimewa. Aduhai…macam manalah aku nak teruskan hidup ini tanpa dia di sisi.

Tiba-tiba aku rasa ada orang duduk sebelah aku. “Joe?” Rasa seperti nak luruh jantung aku bila melihat lelaki yang duduk sebelah aku tu, Joe. Dia pandang aku dan aku rasa separuh jiwa aku terbang.
“Kenapa awak ada kat sini?” Aku tanya Joe sebab pelik sangat kenapa Joe boleh cari aku di sini. Bukankah hari ni hari bahagia dia? Apa sudah jadi dengan majlis nikah dia? Dia dah lari ke? Kalau dia lari, sah-sah Mak Cik Sofea tak mengaku anak dunia dan akhirat.

Joe diam. Tak jawab apa-apa. Tapi wajah dia cukup tenang. Itulah keistimewaan Joe. Dia boleh bersikap tenang dalam apa keadaan sekalipun. Dia tak terburu-buru macam aku.

“Bukan ke awak nikah hari ni?” Aku tanya dia lagi. Kalau aku tak tanya sekarang, mahu sampai subuh esok pun Joe akan macam tu. Aku dah faham sangat dengan perangai Joe.

“Siapa cakap orang nikah hari ni?” Joe soal aku pulak.

“Mak Na cakap!”

“Mak Na salah dengar tu. Bukan orang yang nikah, tapi sepupu orang yang nama Jookaplie.”

“Hah?” Aku rasa macam pandangan mataku dah gelap. Dah tak nampak apa-apa. Aku pegang kepala. Kenapalah keturunan Mak Cik Sofea ni ramai sangat yang nama Joe! Macamlah tak ada nama lain. Dan satu lagi, kenapalah mak boleh salah dengar. Kalau mak tak salah dengar, mesti aku tak larikan diri sampai ke sini. Baru satu hari, aku rasa dah tak sabar nak balik rumah!

“Bukan awak yang nikah?”

“Bukan, tapi tengok gaya tak lama lagi orang kena nikah jugak!” kata Joe dengan serius. Aduh! Rasa nak tercabut kepala aku bila dengar Joe cakap macam tu. Dia datang cari aku ni semata-mata nak nak cakap benda tu saja ke? Kalau macam tu, tak payahlah cari aku. Buat aku tambah berpenyakit saja!

“Dengan siapa?” Aku tanya terus. Tak sabar nak dengar jawapan dia.

“Err, dengan manusialah!” Joe jawab. Pun dengan nada serius. Tak ada lawak-lawak langsung. Terus aku cekik lehernya. Saja nak buat aku cemas tak tentu pasal!

“,Na tahulah dengan manusia! Tak kan dengan orang utan!” Aku cakap dengan kuat sambil lepaskan leher Joe. Joe dah gelak masa tu.

“Okey, orang beritahu. Tapi janji jangan beritahu orang lain,” kata Joe selepas itu.

“Okey , Na janji.”

“Emm… Ceritanya macam ni.” Joe pandang wajahku. Serius aku aku cakap, masa tu aku nampak Joe kacak sangat. Tak tahu kenapa. Sebelum tu, aku rasa Joe memang kacak, tapi petang ni memang nampak berganda-ganda kacaknya. Aduhai…Rasanya biarlah lemas dalam laut, jangan lemas dalam perasaan. Payah sangat.

“Cakaplah cepat. Karang ada pulak yang kena berenang tengah laut tu!” Aku desak, tapi sebenarnya aku cuba sembunyikan rasa-rasa yang sedang bergelora dalam hatiku. Joe tak perlu tahu sebab Joe mungkin nak tahu semua rasa tu.

“Orang dah jatuh cinta dengan dia masa tingkatan tiga lagi.” Joe sambung bercakap.

“Nora Aishah?” Terus aku sebut nama pelajar yang pernah menjadi kegilaan pelajar lelaki sekolah kami.

“Ah! Dia tak cantik mana pun!” Joe jawab tenang.
Aku paksa otakku berfikir untuk mengingati siapa pelajar perempuan yang pernah Joe suka. Tapi aku tak ingat sesiapa. Joe langsung tak pernah cerita dan aku pun tak pernah jadi posmen dia. Sebab tak dapat fikir siapa, aku tanya lagi Joe. “Na tak ingatlah pelajar perempuan yang mana!”

Joe pandang laut di hadapan kami. Kemudian dia menghela nafas panjang. Seperti sedang mengumpul segala kekuatan untuk bercerita. Aku pula sabar menanti. Terlanjur hatiku hancur, biar hancur terus. Asalkan Joe bahagia, aku akan berusaha untuk bahagia juga. Betul kata orang, cinta tidak semestinya saling memiliki. Melihat yang tersayang bahagia, itu sudah cukup.

“Orang sayang sangat dengan dia, sebab selama ni, orang tak pernah kawan dengan sesiapa. Orang cuma kawan dia. Dia seorang!” beritahu Joe sambil pandang mukaku pula. Dia tersenyum selepas itu. Senyuman yang paling aku suka. Joe paling susah nak senyum, tapi kalau dia senyum, aku rasa macam dunia ni aku yang punya. Cantik sangat senyuman dia. Mungkin sebab itu aku jatuh cinta dengan dia.

Hmm, beruntungnya gadis itu kerana berjaya menawan hati lelaki Joe. Aku tahu Joe baik walau ada banyak perkara yang aku tidak berkenan dengan Joe. Joe seorang yang kuat mengusai. Joe suka buat keputusan sendiri. Joe tak pernah peduli perasaan orang lain. Tapi yang anehnya, aku dah jadi macam robot. Ikut saja apa kata Joe. Jarang aku bantah, sehingga sampai ke satu tahap, aku rasa nak pijak saja Joe tu. Anehnya sampai sekarang aku tak pijak lagi dia. Mungkin aku sayang Joe, jadi apa saja Joe buat aku tak kisah.

“Orang sentiasa bersama dia. Waktu orang senang, waktu orang susah hati, orang dah terbiasa dengan dia. Dialah yang terpenting dalam hidup orang!”

“Eh! Joe Jambul, boleh tak jangan cakap banyak. Na tak kisah awak buat apa pun dengan dia, tapi boleh tak beritahu Na siapa perempuan tu?”

“Kenapa nak tahu sangat ni? Penting ke? Penting ke Na nak tahu siapa dia?” soal Joe.

“Penting! Sangat penting!” tegasku.

“Penting sampai larikan diri?” soal Joe sambil jeling aku. Lain macam cara dia jeling. Rasa-rasa macam dia dah dapat tangkap yang aku memang suka gila dengan dia.
Aku dah tak tahu nak cakap apa. Rasa macam ada batu besar sedang menghempap kepala. Kenapa Joe boleh tanya macam tu? Apa kena mengena aku lari dengan perempuan yang dia suka tu? Tiba-tiba saja aku rasa Joe macam sembunyikan sesuatu. Joe tak pernah macam ni sebelum ni. Dan Joe tak pernah langsung nak tahu urusan perasaanku.

“Na…” Joe panggil aku tapi dia pandang laut.
Aku diam. Pandang laut yang sama.

“Kenapa sampai sekarang Na langsung tak faham perasaan orang?” Joe tanya. Matanya tetap pandang laut. Gaya-gaya macam bercakap dengan laut pun ada.
Terus aku pandang muka Joe. Ayat Joe tu rasa pelik sangat. Aku tak faham perasaan dia? Dia tu yang tak mahu faham langsung faham perasaan aku. Langsung tak tahu kasih sayang aku untuk dia selama ini.

“Kenapa susah sangat Na nak faham yang orang sayang sangat dengan Na?”

“Hah?” Aku terkejut. Rasa macam tak percaya saja dengan apa yang aku dengar.

“Kenapa susah sangat Na nak faham yang orang sayang sangat dengan Na?” Joe ulang ayat yang sama. Bermakna tak ada acara main-main sekarang ini. Jauh sekali acara tipu-tipu.
Aku tutup mulut bila mata dah rasa pedih. Kenapa aku tak pernah faham apa yang Joe rasa dan kenapa Joe tak pernah nak ambil tahu apa yang aku rasa? Jadi di mana silapnya perasaan kami sehingga tidak boleh membaca hati masing-masing. Jadi selama ini, Joe memang sayangkan aku? Dia sudah jatuh cinta denganku sejak dari tingkatan 3 lagi? Tapi di mana perasaan aku ketika Joe jatuh cinta itu? Kenapa aku jadi tidak perasan langsung?

“Na, kita kahwin boleh?” Joe pandang aku dengan pandangan penuh mengharap.

“Emm…” Aku angguk kepala cepat. “Bila?” Aku tanya selepas tu.

“Sabar boleh tak?”
Aku dah gelak tapi dalam masa tu air mata luruh juga. Air mata gembira. Aku ingat aku bakal merana seumur hidup. Akan menanggung sengsara sampai mati.

“Na…”

“Apa?”

“Alang-alang kita datang sini, apa kata kita honeymoon dulu nak?”

“Nak mati…?” Terus aku cekik Joe. Joe dah gelak sakan. Kemudian kami sama-sama gelak. Baru aku tahu kenapa aku tak sedar Joe jatuh cinta denganku, Kerana selama ini kami tak lebih sebagai seorang kawan. Jadi siapa sangka kami ada perasaan cinta. Apapun aku gembira sekarang. Sangat-sangat gembira.

“Sayang sangat dengan awak!” kata Joe selepas itu.
Aku anggukkan kepala. Sebab aku juga sayang dia. Terlalu sayang.

“Nak dengar orang nyanyi?” soal Joe.

Aku anggukkan kepala sekali lagi. Tapi aku tahu lagu apa yang dia bakal nyanyikan untuk aku. Tentu saja lagu Bila Nak Saksi nyanyian kumpulan Spider kerana lagu itulah yang selalu buat Joe terpekik terlolong macam cengkerik tercekik. Rupanya ada makna disebalik laguku. Aku faham kini….




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

76 ulasan untuk “Cerpen : Bila Nak Saksi”
  1. capriegirlz says:

    kelakarnya…tersengih sorg2 kwn sebelah usha jer…(betul ke x betul kwn aku sorg ni)

  2. mS.adR says:

    seronok sangat n0vel nie.! :*

  3. Lovely92 says:

    Nape Pendek sgt.. Btw best jugak <3 bila nk saksi (3

  4. umisa says:

    best kot tp pendek sgt..

  5. obat penyakit jantung says:

    cukup menarik sekali…

  6. Iies Nesia says:

    hehe,,,, best la,,,
    tp pendek sngat la cite nye, kalau pnjang lg best,,,
    ap2 pon good job…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"