Novel : Aku Bukan Mistress 1, 2

20 June 2011  
Kategori: Novel

65,135 bacaan 26 ulasan

Oleh : Acik Lana

Bab 1

Jam loceng di sisi meja mengejutkan lena Mya. Terpisat-pisat dia membuka mata sambil tangannya meraba menekan butang ‘Off’ pada jam loceng digital berwarna putih susu dihiasi bunga-bunga kecil berwarna biru. Suasana kembali sunyi. Cuma bunyi hembusan penghawa dingin yang sejak malam tadi terpasang di dalam ruang bilik ini kedengaran berderu. Mya menggosok perlahan matanya yang masih terasa berat.

Ah, malasnya nak bangun!

Mya menggeliat malas sambil menguap kecil. Terasa amat indah kalau dia dapat kembali menyambung lenanya beberapa jam lagi. Tapi terkenangkan tugasnya yang masih banyak menanti, dia tak ada pilihan lain. Dia perlu bangun dan memulakan rutin hariannya yang tak boleh dikata tidak.

Mya mengeluh perlahan. Pagi yang sama seperti hari yang biasa. Dia menoleh sekilas ke kanan dan kelihatan lelaki di sisinya masih dibuai lena yang panjang. Langsung tak terganggu dengan bunyi jam loceng yang bukan main kuat dan nyaring tadi.

Tidur mati betul! Jam menjerit macam nak pekak telinga dia masih boleh tidur lena. Getus hatinya sambil mencebik. Entah sebab dia meluat dengan sikap lelaki itu atau juga sebab dia dengki dia tidak boleh sambung tidur semula.

Dengan malas Mya melangkah ke bilik air yang jaraknya hanya beberapa langkah untuk mencuci muka dan menggosok gigi. Tak kuasa dia nak mandi seawal jam 7 pagi macam ni. Bukannya dia yang kena berkejar ke sana sini untuk bekerja. Hidupnya terlalu mudah walaupun hakikatnya terlalu payah.

Tidak sampai 10 minit, Mya sudah berada di tingkat bawah menyediakan sarapan. Itulah rutin hidupnya setiap hari. Tak ada yang berubah sejak dia bersama Mikail. Segala keperluan Mikail dijaga sebaik mungkin. Makan minumnya, pakaiannya, kebersihan rumahnya, dan semua harta benda lelaki itu dijaga rapi kerana dia tahu Mikail amat teliti dan cerewet. Kadangkala terlalu cerewet dan membuatkan dia rimas. Serba tak kena nak menyentuh harta benda lelaki itu. Silap gaya atau tersalah buat kerja, mahu kena marah dan jerkah. Cakap memang tak pernah berlembut, asyik baran tak tentu hala. Dah masak sangat dengan perangai lelaki itu setelah dua tahun mereka hidup bersama. Maksud jelingan dan pandangan tajam Mikail senang-senang boleh dibaca oleh hatinya. Dia tahu kalau lelaki itu marah, geram, menyampah atau meluat. Dah boleh ramal bila time dia nak mengamuk merempan. Dia dah lali dengan sikap Mikail, dah tak jadi kudis dalam hidupnya.

Mya tersenyum puas melihat sarapan pagi sudah siap terhidang di atas meja kaca di ruang makan. Nasi goreng cina sayur lebih, telur dadar, jus oren dan susu segar semua disusun elok. Malah sengaja dia meletakkan hiasan bunga segar di sisi meja kerana itu adalah kegemaran Mikail. Tisu, sudu, pinggan dan gelas juga disusun kemas mengikut aturan yang sudah Mikail tetapkan.

Makin bertambah baik skill memasak aku, lama-lama confirm boleh bukak restoran!

Mya tersengih sendiri. Tak sangka yang dia semakin mahir membuat kerja-kerja di dapur. Kalau diikutkan dulu, dialah paling pemalas nak bermain dengan kuali dan periuk. Tapi sekarang dah tak ada pilihan, nak tak nak kena buat jugak. Dari tak pandai, terus jadi pandai akhirnya.

“Ni apasal tersengih sorang-sorang ni?”

Mya tersentak dan segera menoleh. Dah tentulah Mikail yang bertanya, siapa lagi yang ada di dalam rumah ini kalau bukan mereka berdua. Mya pura-pura tidak mendengar pertanyaan Mikail tadi. Sebenarnya dia termalu sendiri, entah apa la si Mikail akan fikir bila tengok dia menyengih begitu pagi-pagi. Dah la belum mandi!

Mikail mengambil tempat di meja makan, dan pastinya di hujung meja. ‘Port’ rasmi lelaki berusia 28 tahun itu. Mya pantas menyenduk nasi goreng ke dalam pinggan Mikail dan menuangkan segelas jus oren di dalam gelas. Terlihatkan gaya Mikail pagi ini, hatinya sedikit aneh.

Tak kerja ke mamat nie hari ni? Elok je pakai t-shirt gan seluar pendek. Desisnya sendiri. Namun bimbang Mikail menyedari pandangan matanya, pantas dia beralih ke hujung meja.

Mya mengambil tempat berhadapan dengan Mikail dan masing-masing mendiamkan diri seperti kebiasaannya. Seperti pagi-pagi yang sebelumnya, suasana sunyi tanpa bicara mesra. Mikail asyik dengan makanannya dan Mya pula buat-buat sibuk menghadap pinggannya sendiri. Tak adalah terasa sangat nak makan, namun dia terpaksa juga menemani lelaki itu bersarapan bersama.Sekali sekala dia menjeling ke arah Mikail yang leka menyudu nasi sambil membaca akhbar Inggeris.

Hmm.. betul ke dia tak kerja hari ni? Nampak relax semacam aje.. selalunya bukan main tak menyempat nak berkejar ke office. Cuti ke? Alahai.. janganlah cuti! Mya terkulat-kulat sendiri. Tak selesa berada di dalam rumah ini jika kehadiran Mikail ada sama. Pelik, tapi itulah hakikat sebenarnya. Dia takkan berasa bebas untuk berlegar-legar di dalam kondo ini.

“Awak ada nak tanya saya apa-apa ke?”

Pertanyaan Mikail membuatkan Mya tersentak. Hampir-hampir dia tersedak nasi goreng. Mya angkat muka memandang Mikail yang masih merenung akhbar. Riaknya serius seperti selalu. Manusia kedekut senyuman- itulah Mikail!

“Eh, mana ada apa..” Mya pura-pura meneguk jus oren. “Saya okey aje..”

Mikail meletakkan akhbar di sisi dan mencapai segelas jus oren lalu meneguknya perlahan. Matanya merenung Mya yang kelihatan sedikit gelisah. Jelas gerak geri Mya nampak pincang di pandangan matanya. Bagai ada sesuatu yang disorokkan Mya darinya. Ah, dia bukan bodoh untuk tak mengerti gerak bahasa tubuh Mya Arlissa.

“Hari ni saya tak kerja. Public Holiday kan.” Bagaikan dapat meneka kebingungan gadis di hadapannya, Mikail merungkaikan apa yang tersirat. Dia nampak jelas wajah Mya yang kurang senang melihat dia berpakaian biasa hari ini.

Mya telan liur namun dia mengangguk dengan kata-kata Mikail. Ada rasa hampa dalam hatinya dengan kenyataan itu. Jika Mikail tak bekerja, bermakna dia terpaksa terperap dalam kondominium mewah ini sehari suntuk. Dia perlu melayan dan menatang Mikail bagai minyak yang penuh.

Eh, bosan la! Sangkanya hari ini dia berpeluang keluar mengambil angin bersama Adam. Lagipun Adam dah berjanji nak temankan dia ke kedai buku untuk membeli novel terbaru. Banyak sangat dia ketinggalan novel-novel cinta keluaran terbaru. Asyik ulang baca novel-novel yang dibelinya beberapa bulan lepas. Dah naik lunyai buku tu.

“Awak ni kenapa?” Mikail menjeling sekilas.

Macam dia tak tahu gadis di hadapannya ini kelihatan resah dan tak senang duduk bila tahu dia tak ke pejabat pagi ini. “Kalau awak nak keluar, keluar aje lah. Tak payah buat muka macam tu.”

Mata Mya terbuntang memandang Mikail yang masih bereaksi serius. Anehnya, bijak sungguh Mikail membaca rasa dalam hatinya. Ada ilmu magik ke apa mamat ni?

“Eh, ada ke saya cakap saya nak keluar?” Mya meneguk jus sekali lagi, tanda menghilangkan gelabahnya. ” Saya takde plan pun lagi.”

“Tak payah la awak nak berlakon pulak Mya. Saya nampak SMS Adam dalam telefon awak.” Kata-kata Mikail bagai mencucuk jantung Mya. Rasa seperti dia mahu menghentak kepalanya sendiri ke meja makan kaca itu. Walaupun hati kecilnya sedikit bengang dengan tindakan Mikail menceroboh privasinya namun dia tak berani mengatakannya secara berdepan.

Selama ini dia sendiri tak pernah mengusik harta benda peribadi milik Mikail kerana dia tahu adab yang sewajarnya. Bukan seperti lelaki itu yang bebas bertindak sesuka hati tanpa berfikir. Mentang-mentanglah telefon itu dibeli dengan duitnya, terus Mikail mengisytiharkan dia berhak menggodeknya tanpa meminta izin darinya terlebih dahulu. Kurang asam betul!

“Oh, memang dia ajak saya keluar. ” Mya berlakon tenang sambil mengangkat pinggan ke sinki. “Tapi saya tak kata la confirm nak keluar dengan dia. Banyak kerja nak buat kat rumah kan.” Tangannya ligat mencuci pinggan, namun dadanya berdebar kencang. Saat ini dia tak boleh berlaga pandang dengan Mikail. Bimbang kerana Mikail begitu bijak meneka apa yang tersirat dalam hatinya. Konon cakap di mulut macam tak nak keluar dengan Adam, padahal dalam hati bukan main teringin lagi. Bukan sebab Adam, tapi sebab dia memang bosan duduk terperap di dalam kondo ni.

“Tahu pun. Jadi jangan ada hati nak keluar, saya tak izinkan.”

Nada suara Mikail yang serius membuatkan Mya sedikit seram. Bukan dia tak tahu sikap baran lelaki itu, Cuma belum sampai tahap naik tangan ke badan dia aje. Setakat mencampak menghempas barang tu, sudah lali dia melihatnya. Lagi pulak kalau hempas-hempas cawan atau gelas, memang kepakaran nombor satu dia la tu. Sudahnya kita yang jenuh nak bersihkan semua kaca-kaca tu. Apa jenis penyakit entah! Penyakit orang banyak duitlah tu. Tak kisah rosakkan harta benda sendiri, esok-esok boleh beli yang baru.

“Kemas meja ni cepat, lepas ni naik atas.” Arah Mikail dengan muka mencuka.

“Naik atas? Err..Kenapa?” Mya berpaling memandang Mikail yang sudah berdiri di sisi meja. Lelaki itu melipat akhbar yang dibacanya tadi dan meletakkannya di atas meja makan.

“Jangan banyak soal boleh?” Tajam Mikail menjelingnya. “Jangan lupa mandi dulu.”

Sempat lelaki itu berpesan sebelum dia menghilang di sebalik dinding yang memisahkan ruang makan dan ruang tamu itu.

Mya mengeluh seakan memahami maksud Mikail. Dah agak dah, mesti kena!

************

Mya membuka mata apabila terasa badannya lenguh-lenguh dan sakit. Lenanya terganggu dengan rasa yang tidak selesa itu. Perlahan dia mengalihkan tangan sasa Mikail yang melingkari tubuhnya di bawah selimut yang tebal. Jenuh juga dia berusaha mengalihkan tangan Mikail kerana pelukan lelaki itu amat erat di pinggangnya. Setelah rangkulan Mikail terlerai, Mya berpusing menghadap lelaki itu. Kedinginan penghawa dingin di dalam bilik utama ini membuatkan dia terlupa yang waktu sudah menginjak hampir ke tengahari. Nyamannya bagaikan terasa masih di waktu pagi. Kalau dilayan mata ni memang boleh terlajak sampai ke petang.

Mya memandang Mikail di sisinya yang masih lena dalam dengkur halus. Wajah lelaki itu terlalu dekat dengan wajahnya, jadi dia punya waktu meneliti seraut wajah itu sepuas-puasnya. Kalau dalam sedar, memang dia takkan berani menentang pandang Mikail. Bimbang lelaki itu mengherdik atau memarahinya. Dulu dia dah pernah kena sekali, Mikail marah-marah dengan alasan tak suka direnung begitu. Sejak itu Mya cuma berani mencuri pandang ke arah Mikail.

Mya akui yang Mikail memang kacak bergaya. Kulitnya yang cerah, tubuhnya yang tinggi dan sasa pasti membuatkan ramai gadis mungkin tersungkur di kakinya. Lagi pula kalau Mikail tampil dalam sepersalinan sut korporat, memang terserlah karisma lelaki itu. Nampak sangat yang dirinya punya duit yang bukan sedikit. Dengan pakaian berjenama dari atas sampai ke hujung kaki, diiringi pula dengan kereta mewah bersilih ganti, memang senang nak menggoda perempuan. Lagi pula kalau perempuan-perempuan yang jenis gilakan kebendaan.

Paras Mikail disempurnakan dengan sepasang lesung pipit di kedua belah pipinya. Bila lelaki itu tersenyum, terserlah kelebihannya yang satu itu. Mikail jarang tersenyum untuknya. Dia cuma boleh melihat lelaki itu tersenyum apabila Mikail bersembang di telefon dengan rakannya. Atau juga ketika melepak bersama Adam dan kawan-kawan di kelab malam. Bukan main lebar sengihnya.

Jemari runcing Mya hampir menyentuh pipi Mikail. Semakin dekat jari jemarinya menyentuh pipi Mikail, semakin kencang degup jantungnya. Sudahnya jari jemari itu kaku sebelum singgah di pipinya sendiri. Dia tak boleh lalai.

Sungguh dia teringin benar mahu membelai seraut wajah itu penuh kasih. Tapi bila mengingatkan amaran Mikail suatu masa dulu, dia kecut perut. Tapi entah kenapa setiap kali mereka ‘bersama’ Mya dapat merasakan perasaan aneh yang terbit dari Mikail untuknya. Atau itu sekadar nafsu seorang lelaki terhadap seorang perempuan? Atau sememangnya Mikail juga berkongsi rasa yang sama dengannya?

Mya mengetap bibir. Mustahil Mikail menyukainya, dia yakin tentang itu. Malah hatinya kuat menyatakan yang Mikail sudah punya seseorang di dalam hatinya. Cuma dia tak pernah tahu siapa kerana tak pernah pula dia ternampak gambar mana-mana wanita dalam simpanan lelaki itu. Mungkin juga kekasihnya berada di luar negara menyambung pengajian. Rugi rasanya jika lelaki yang fizikalnya sesempurna ini tak mempunyai teman wanita. Atau mungkin juga kerana sikap perengus dan cerewet Mikail membuatkan tak ada perempuan mahu dekat dengannya. Perfectionist sangat barangkali. Pasti lelaki itu sukakan sesuatu yang sempurna dan gadis yang mendampinginya haruslah yang paling cantik, bergaya dan seksi. Entah betul entah tidak telahannya ini.

Mya mengeluh perlahan, dia tak perlu memikirkan semua itu. Antaranya dan Mikail tak mungkin ada pertalian hati. Mereka terlalu berbeza dari segi darjat dan pangkat, harta dan rupa. Jadi dia tak perlu memeningkan kepala memikirkan tentang kehidupan Mikail kerana dia yakin Mikail sendiri tak pernah peduli tentang hidupnya. Bagi Mikail, dirinya hanyalah alat untuk kepentingan dirinya sendiri. Tak ada harga langsung.

Enggan melayan perasaan, Mya bangkit dari katil menuju ke bilik air. Dia perlu membersihkan diri dan kembali menyiapkan kerjanya yang tergendala sejak pagi tadi.

Mana mungkin enggang mahu terbang dengan pipit. Apatah lagi pipit yang kotor macam aku. Jangan berangan Mya!

——————–

Bab 2

Mya leka mengelap pinggan mangkuk selepas selesai makan malam. Sekali sekala dia menyanyi kecil melayan perasaan. Entah apa-apa lagu semua dia hentam saja menyanyi. Nasib baik dia terlupa lirik lagu Ramlah Ram. Kalau tak, mahu bergegar dapur itu dengan lontaran vokalnya mendendangkan lagu Kau Kunci Cintaku.

“Mya…”

Hampir terlepas pinggan di tangan Mya apabila disapa secara tiba-tiba dari belakang. Pantas dia menoleh sambil mengurut dada menghilangkan rasa terkejutnya.

“Awak ni.. terkejut saya.” Mya mengeluh kecil.

Ikutkan hati nak saja dia maki hamun Mikail yang suka sangat muncul dengan cara mengejut. Silap haribulan memang dia boleh kena sakit jantung! Tapi nak marah, rasa macam tak berkuasa pulak. Silap-silap dia kena jerkah balik.

Mikail tak menunjukkan respon selain menayangkan ‘Muka Serius 24jam’nya itu. Mya berpaling sembunyi cebikan di bibir. Kedekut benar lelaki itu dengan senyuman. Kalau mahu melihat lesung pipit di kedua pipinya terserlah, memang bagai menunggu bulan jatuh ke riba. Jarang benar dia dapat menjamu mata dengan keindahan ciptaan Tuhan itu.

“Awak pergi bersiap sekarang. Kita keluar.”

Mya terlopong mendengar kata-kata Mikail. Mimpi apa pula Mikail mengajaknya keluar? Selalunya lelaki itu lebih gemar menghabiskan masa di rumah membuat kerja-kerja pejabatnya. Kegiatan berlibur di kelab malam juga sudah lama Mikail tinggalkan, tak seperti awal-awal perkenalan mereka dahulu. Mungkin komitmen kerja lelaki itu semakin bertambah dan menghadkan masa untuk dia bersuka ria.

“Awak ajak saya keluar?Kita nak pergi mana?” Mya mencari-cari jawapan di wajah Mikail. Sudah lama mereka tak keluar bersama dan tiba-tiba hari ini mood lelaki itu terlalu baik? Terima kasihlah Hari Thaipussam kerana menjadi hari bertuah untuknya. Bertuah ke? Padahal kalau berjalan dengan Mikail, tak ubah macam jalan dengan robot. Menonong aje lelaki itu meninggalkannya jauh di belakang. Buruk sangat agaknya dia ni sampaikan Mikail tak sudi bergandingan sama.

“Saya nak keluar lepak dengan Adam.” Mikail sengaja menekankan nama ‘Adam’ dalam nadanya. Sekali lagi Mya terlopong dan kali ini pastinya lebih luas. Tak faham kenapa Mikail nak ajak dia ikut sama. Mungkin lelaki itu menyindirnya gara-gara SMS Adam dalam telefon bimbitnya awal pagi tadi.

“Takpelah, awak ajelah keluar dengan dia. Saya sibuk.” Mya pura-pura mengelap permukaan kabinet di sisinya. Disental sungguh-sungguh padahal kabinet itu memang sudah sedia bersih dan berkilat. Dah tak tahu nak bereaksi macam mana, apa-apa pun boleh jadi bila tengah menggelabah.

“Ini bukan pilihan, so you don’t have one. Pergi bersiap sekarang.”

Tegas suara Mikail membuatkan Mya pasrah. Kalau dijawab dengan pelbagai alasan, pastinya Mikail akan memekik padanya. Macam dia tak tahu vokal soprano lelaki itu memang hebat mengalahkan Ning Baizura.

**

Mya bersiap seringkas mungkin malam itu. Dia hanya mengenakan Tank Top berwarna putih dan seluar pendek paras paha berwarna coklat. Kemudian dia menggayakan beg jenama Gucci pemberian Mikail beberapa bulan lepas dan ini beg tangannya yang ke berapa pun dia tak pernah periksa. Semuanya diberikan oleh Mikail tanpa dia meminta. Kalau dibuka kabinet dalam biliknya, bersusun handbag dan kasut yang diborong Mikail. Semua berjenama mewah dan dia tak pernah tahu berapa harganya. Cuma Nadia pernah bagitahu yang harganya cecah ribuan ringgit. Telan liur jugaklah dia mendengarnya. Membazir ribuan ringgit untuk kasut dan beg? Logik ke?

Mya juga mengenakan solekan nipis sebagai pelengkap gaya. Rambutnya yang lurus hampir mencecah pinggang dan sedikit ikal di hujungnya dilepas bebas. Akhir sekali dia menyarung wedges berwarna senada dengan seluar, coklat gelap.

Setelah berpuas hati membelek tubuhnya di cermin, Mya segera turun ke bawah. Bimbang pula Encik Singa itu memekik melolong mencarinya. Lelaki itu paling pantang dengan orang yang lembab, alamatnya memang merasalah kena bambu dengan lidah umpama petir itu. Bukannya Mya tak pernah kena, dah selalu dia terkena tempikan Mikail itu. Memang telinganya boleh jadi pekak kalau melayan marah si Mikail. Tajam menikam kadang-kadang terus tembus ke hati. Memang tak pandai berbudi bahasa langsung.

Sampai sahaja di tingkat bawah, Mya tercari-cari kelibat Mikail yang langsung tak nampak bayang. Dia menjenguk ke ruang tamu namun kelibat lelaki itu langsung tak kelihatan. Sepatutnya Mikail dah tunggu dia di bawah ni. Matanya melirik jam di dinding, dah dekat pukul 9 malam.

Mana pulak Mikail ni. Suka betul hidup dalam misteri, alih-alih karang entah dari celah mana dia keluar sergah aku. Gerutu Mya di dalam hati. Dia masih menjenguk-jengukkan kepala mencari Mikail.

“Dah siap?”

Mya hampir terlompat gara-gara terkejut dengan sapaan Mikail yang tiba-tiba muncul di belakangnya. Mya mengetap bibir sambil mengurut dadanya menahan geram di hati. Kadangkala dia rasa Mikail sengaja menyergahnya, seronok agaknya tengok dia melompat macam orang bodoh.

“Terima kasih la, nyawa saya sikit lagi nak tercabut tadi. Lain kali sergah la kuat sikit.” Akhirnya terhambur juga rasa tak puas hati dalam dirinya. Mya menjeling sinis kepada Mikail yang berwajah selamba. Memang lelaki itu suka buat muka tak ada perasaan, muka robot! Kutuk Mya di dalam hati. Segera Mya berlalu ke arah pintu, malas mahu dilayan rasa sakit hatinya. Memang takkan ke mana pun perasaan itu.

Setelah mengunci pintu, mereka beriringan menuju ke arah lif namun masing-masing masih membisu seribu bahasa. Cuma sekali sekala pandangan mereka berlaga tapi tak lama, masing-masing pantas mengalih pandang.

Ting!

Pintu lif terbuka di Tingkat 11 dan cepat-cepat Mya melangkah masuk. Dia kurang senang dengan situasi berdua-duaan dengan Mikail. Bukan tak biasa, cuma makin lama perasaan yang dirasai dari celah hatinya semakin aneh. Dalam rasa geram dengan sikap Mikail, terselit rasa indah setipa kali hampir dengan tubuh lelaki itu. Perasaan yang tak pernah dia rasakan selama ini. Tapi dia malas mahu memikirkan semua itu, tak penting baginya. Sudah pasti tak penting juga bagi Mikail si lelaki yang tak ada perasaan itu.

Oh, Mikail ada perasaan, tapi hanya perasaan marah dan menjengkelkan! Dia pasti tentang itu.

Suasana di dalam lif lengang. Hanya ada mereka berdua dan seorang pemuda yang mungkin dari tingkat atas, tingkat 12 barangkali. Sedari Mya melangkah masuk tadi, mata lelaki itu tertancap tepat ke arahnya. Malah dia merenung tajam ke arah Mya dari atas ke bawah, disusuli senyuman nakal dari bibirnya. Kepalanya terangguk-angguk memandang Mya seolah-olah mencuri perhatian gadis itu.

Mya sekadar pura-pura tak nampak kehadiran pemuda berbaju biru yang asyik merenungnya. Bukan dia tak biasa dengan jelingan dan godaan lelaki seperti itu, dia dah masak dengan perangai mereka. Cara terbaik, buat tak tahu saja atau buat muka bodoh sombong. Mya masih nampak dengan ekor mata lelaki itu begitu asyik memandangnya. Cepat-cepat dia alihkan pandangan ke arah pintu lift. Membaca satu persatu angka menurun yang tertera di petak kecil di atas pintu tersebut.

Sikap tak endah Mya tidak mematikan hajat pemuda tadi. Dengan selamba dia semakin berani menunjukkan belang di batang hidungnya. Cuba merapat-rapatkan tubuhnya dengan Mya. Mya telan liur tatkala tubuh lelaki itu bergesel dengan bahunya. Dah makin miang pulak jantan ni! Dahlah Mikail berdiri jauh dari dia.

Tiba-tiba Mya rasa badannya ditarik dan dirangkul erat. Sedar-sedar wajah Mikail berada tepat di hadapan wajahnya. Tercengang dia beberapa saat. Kedudukan mereka sangat rapat sehingga Mya mampu mendengar nafas lembut Mikail di cuping telinganya. Dia mula menggelabah kerana bimbang Mikail dapat mendengar detak detik jantungnya yang bergendang hebat kini.

Mata mereka bertaut erat dan entah mengapa Mya dapat merasakan kenyamanan meresap jauh ke tangkai hatinya. Sungguh renungan mata lelaki ini penuh racun yang bisa membunuh setiap ketenangan di dalam jiwanya. Peliknya, bukan ke lelaki itu tak ada perasaan, tapi kenapa dia perlu merasakan sesuatu seperti ini?

“Jantan sial tu nak kena pukul ke apa?Macam tak pernah tengok perempuan.” Rungut Mikail geram dan disambut keluhan kecil oleh Mya. Dia tak suka betul dengan sikap panas baran Mikail. Baru saja hatinya mahu melayan perasaan yang entah apa, Mikail pula mencaras anganan indahnya. Lelaki ni memang suka mengamuk tak kira siapa. Entah apa nasib pemuda miang tu kalau ‘drama menggesel’ tadi berlarutan.

Mya meleraikan rangkulan erat Mikail dengan dadanya masih berkocak hebat. Namun jemari Mikail masih bertaut erat dengan jemarinya. Dia biarkan saja, malas mahu melayan kepala angin si Mikail. Namun dia perasan yang pemuda tadi terus menghadap dinding, mungkin dia tak menyangka Mikail pasangannya kerana awalnya tadi mereka kelihatan dingin. Berdiri pun jauh sebatu. Oh, pasangan ke mereka ni? Jangan berangan Mya. Mikail takkan hendakkan engkau. Kutuk hatinya sendiri.

Sesampainya di lobby, Mikail segera menarik tangan Mya keluar dari lif. Terkial-kial Mya cuba menyaingi langkah panjang Mikail.

Orang tua ni kalau dah berangin memang cepat aje langkah dia. Ussain Bolt pun boleh kalah. Gerutu Mya di dalam hati. Namun dia masih mengikut rentak langkah Mikail yang panjang.

Tak sampai 10 minit, mereka sudah berada di dalam perut kereta Nissan Fairlady berwarna Silver milik Mikail yang laju membelah lebuhraya. Ketegangan begitu terasa apabila Mikail memecut laju keretanya. Itu tandanya dia marah dan geram. Mya dah faham sangat dengan kepala lelaki itu. Tempoh dua tahun dah cukup membuatkan dia mengerti maksud dalam setiap tingkahlaku Mikail.

“Lain kali jangan pakai baju dan seluar ni. Saya tak suka!”

Kata-kata Mikail mengejutkan Mya yag sedari tadi diam di sisi lelaki itu.

Apa yang tak kena dengan baju aku nie? Buruk sangat ke? Bentak hati kecil Mya.

“What do you mean?”

Wajah Mikail dijeling sekilas. Inilah yang dia tidak suka apabila Mikail berangin, semua benda nampak buruk di matanya. Ada saja dia nak kompelin. Lelaki ini memang sering memeningkan kepalanya. Sekejap sejuk, sekejap panas. Rimas nak melayan!

“Boleh tak jangan banyak tanya!” Tiba-tiba tinggi suara Mikail melengking ke telinga Mya. Malah pedal minyak ditekan kuat bagai melepaskan geram yang amat sangat. Berdesup dan mengaum keretanya memecah kesunyian malam.

“Awak ni kan, sakit mental eh?” Tingkah Mya geram. “Kenapa dari tadi tak kata yang awak tak suka? Boleh la saya tukar pakai baju kurung ke, baju kebaya ke. Sekarang baru nak cakap ke?” Sindir Mya geram. Puas dipujuk supaya hatinya bersabar, namun dia tak boleh terima apabila Mikail menyalahkannya tanpa sebab. Sakit pula hatinya melayan kepala gila si Mikail yang tak menentu. Apa salah dia sampai nak kena tengking macam ni? Kalau dah tahu mood tu tak baik, tak payahlah ajak dia keluar sama! Menyusahkan orang tak habis-habis.

“Sejak bila dah pandai menjawab ni?” Pekik Mikail. Dia cukup pantang kejantanannya dicabar, dicabar oleh perempuan pula tu. Darahnya rasa sudah membuak ke kepala. Dia tak tahu kenapa dia marah sangat, cuma pandangan lelaki miang dalam lift tadi bagaikan mencucuk jantungnya. Rasa geram dan sakit hati sangat tatkala mata liar itu menjalar ke segenap tubuh Mya yang terdedah.

Mya diam membatu. Malas dia nak melayan Mikail. Makin dijawab nanti makin berlarutan perangnya. Serius dia tak nampak di mana silapnya cara dia berpakaian. Malah baju-baju tu Mikail yang belikan, dan sekarang kenapa banyak bunyi pula?

“Awak jangan nak melebih-lebih..”

Sinis suara Mikail menusuk telinga Mya. Mya toleh kepada Mikail yang berwajah tegang.

“Ingat sikit bumi mana awak berpijak sekarang, jangan ingat awak boleh melawan cakap saya. Kalau saya tak kutip awak, entah dekat mana awak sekarang. Agaknya sibuk melayan jantan entah mana. Dasar tak sedar diri!”

Kata-kata Mikail sudah cukup untuk memecahkan hati Mya satu persatu. Hancur luluh hati dia kerana lidah yang satu itu. Kenapa perkara itu juga yang diungkit berulang kali oleh Mikail? Tak ada perkataan lain lagi ke nak disebutkan pada dia? Hati Mya bungkam, sebak silih berganti dengan perasaan geram.

“Please. Stop it.” Bergetar suara Mya menahan sebak.

Tak pernah ke Mikail memikirkan hati dan perasaannya walau sedetik? Airmata mula bergenang di tubir matanya. Dia wanita biasa, hatinya lembut dan rapuh. Takkan itu pun Mikail tak tahu? Ah, lelaki itu jenis pentingkan diri sendiri. Mana dia peduli semua tu!

Mikail menjeling sekilas dan menghela panjang nafasnya. Memang terbit rasa bersalah kerana bermulut puaka seperti itu, tapi untuk dia meminta maaf adalah sesuatu yang agak mustahil untuk dilakukan kini. Hakikatnya dia tak suka Mya terlalu seksi di hadapan mata lelaki lain. Dia tak mahu ada yang memandang penuh berselera kepada gadis itu kerana dia mengambil Mya untuk dirinya sendiri. Jadi segala yang dimiliki oleh Mya, layak dilihat oleh dirinya seorang sahaja. Dia tak mahu berkongsi walaupun sekadar pandangan atau jelingan. Mikail jeling lagi Mya yang sudah tunduk dengan tangan naik ke pipi. Mungkin menangis. Untuk memujuk hati Mya, dia tak kuasa. Dia tahu rajuk Mya tidak akan ke mana kerana kaki Mya sudah ditambat dan diikat kuat untuk patuh kepada semua arahannya. Dia takkan memujuk, maka dia biarkan kesunyian menjadi peneman mereka saat itu.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

26 ulasan untuk “Novel : Aku Bukan Mistress 1, 2”
  1. tasha says:

    gilerlah…menangis depan laptop huhu..chayyok penulis!!!

  2. CariNur says:

    slm.. best !! a great job

  3. anon says:

    cadang nk pinjam novel ni dari member kalo best.

  4. alia says:

    Not bad . :)

  5. siti maridah says:

    cerita nie memang best dan menarik terutama nya anzalna nasir dan izzue islam.memang best…

  6. Yxalag NK says:

    Interesting.. :)

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"