Novel : Aku Bukan Mistress 3, 4

28 June 2011  
Kategori: Novel

39,128 bacaan 29 ulasan

Oleh : Acik Lana

Bab 3

Suasana bingit di dalam Kelab Malam Zouk di tengah-tengah ibu kota itu sedikit pun tidak menganggu ketenangan Mikail. Yang menganggu ketenangannya kini adalah aksi lincah gadis di ruang tari yang padat dengan pengunjung yang kemarukkan hiburan itu. Sekali sekala dia mengetap bibir menahan perasaan yang entah apa. Perasaan geram dan marah yang terbit dalam kereta tadi kembali hangat membakar seluruh hatinya. Benci!

Matanya dihala lagi ke ruang tengah dengan perasaan berbuku. Gadis itu kelihatan lincah menari dengan pasangannya. Entah sebab memang mahu menari atau juga sengaja mahu menyakitkan hati dia. Sekali sekala dua tubuh itu kelihatan rapat dan si lelaki acap kali memaut pinggang si gadis serta menyentuh pipi mulusnya. Mikail menjeling tajam. Sumpah tatkala itu hatinya bagaikan dihimpit kuat. Sakit dan pedih di situ. Dia tak mengerti kenapa dia merasai semua perasaan sakit ini. Dia cemburu? Mustahil. Dia takkan sesekali menyimpan rasa yang bukan-bukan kepada orang yang salah. Gadis itu bukan untuknya dalam erti kata yang sebenar.

Mikail menyedut coke dengan harapan dia boleh melenyapkan rasa sakit ini, namun hampa. Pantas dia menggamit seorang pelayan dan membuat pesanan. Selang 5 minit, sebotol Jack Daniel sudah berdiri megah di atas mejanya. Pantas dia menuang ke dalam gelas dan meneguk perlahan. Rasanya keras, namun dia meneguk lagi dan lagi. Dia mahu hindarkan perasaan pedih ini dari hatinya..

Sedar-sedar sahaja bahunya ditepuk dan kelihatan Mya bercekak pinggang dihadapannya.

“What are you doing Mika?” Wajah Mya kelihatan serius dihiasi sedikit rintik-rintik keringat, mungkin kerana terlalu asyik menari tadi. Adam di sisinya sekadar tersengih memandang Mikail. Malah tanpa rasa bersalah dia menuang air dari dalam botol tersebut ke dalam gelasnya.

“What? What? Awak tak nampak ke saya tengah buat apa?” Ejek Mikail sambil meneguk lagi minuman keras di tangannya. Mya mendengus keras dengan reaksi spontan lelaki itu.

“Tapi awak kan dah berhenti minum!” Tingkah Mya serius. Bukan dia tak tahu yang sudah hampir setahun Mikail tidak menyentuh minuman haram itu. Entah angin apa tiba-tiba hari ini dia kembali ke tabiat lamanya. Kalau iya pun nak marah sangat pasal tadi, takkanlah sampai buang prinsip hidup. Sampai sanggup ketepikan janji semata-mata sakit hati. Tapi nak hairan apa, selama ni memang begini cara hidup lelaki itu. Setakat arak ni dah tak jadi kudis dalam tekak Mikail. Dah selamba teguk macam telan jus buah.

“Jangan menyibuk..” Mikail mula meracau-racau dan cakapnya meleret-leret tanda dia sudah mabuk. Kandungan alkohol sudah tersebar dalam tubuhnya. Saat itu dia merasakan dirinya terawang-awang dan rasa sakit di hatinya tadi sudah berlalu pergi.

Kemudian semuanya gelap gelita.

********************

Mya dan Adam melepaskan lelah setelah berjaya membaringkan Mikail di atas katil. Inilah bahana kalau dia mabuk, memang takkan sedarkan diri. Sudahnya satu kerja pula orang terpaksa papah dia balik ke rumah. Mya membuka kasut dan stoking Mikail. Lantas dia menyelimutkan Mikail agar lelaki itu tidur dengan selesa dan hangat. Sekali sekala jarinya singgah di dahi Mikail merasa suhu badan lelaki itu.

“Selalunya dia ni demam bila mabuk. ” Ucap Mya lebih kepada dirinya sendiri.

Namun Adam sudah tersenyum-senyum memandangnya. Sungguh hati lelakinya cemburu melihat Mikail memiliki gadis secantik Mya. Cantik dan penuh menggoda, siapa tidak ingin memilikinya.

Bukan sekali dua dia cuba ‘memasang umpan’ namun sia-sia. Mya bagaikan burung merpati, dari jauh dia kelihatan jinak tapi bila cuba disentuh dia lari. Gadis macam inilah idaman hati, baru rasa tercabar sikit naluri jantannya. Kalau yang senang dapat ni, tak ada thrill kata orang. Senang sangat tersungkur di kaki.

“Mya..”

Mya berpaling memandang lelaki tinggi lampai dihadapannya. Entah bila Adam menghampirinya dia sendiri tak perasan, sedari tadi dia terlalu sibuk menguruskan Mikail. Renungan tajam Adam menerbitkan rasa seram dihatinya. Dia tahu sangat maksud pandangan tajam dan senyuman menggoda lelaki itu.

“Err..I rasa elok la you balik. Dah lewat ni.” Mya membongkokkan badannya di sisi katil pura-pura sibuk membetulkan letak duduk bantal di kepala Mikail. Dia tahu Adam mengidamkannya, sejak dulu lagi dia sudah tahu. Tapi dia tak pernah ambil peduli. Adam kawan baik Mikail, jadi dia cuma menganggap Adam kawan biasa sahaja. Tak mungkin lebih dari itu. Lagipun dia bukan tamakkan perhatian lelaki, mahu melayan Mikail seorang ini pun dia sudah sakit kepala. Banyak sangat ragam dan songehnya. Boleh biul kepala otak.

“You ni tak sporting la..” Adam menyentuh lembut bahu Mya yang terdedah. Putih mulus kulit itu menggodanya. “I ingat nak tidur sini la malam ni.” Jari jemari kasar itu mengelus lembut kulit di bahu dan melurut turun ke lengannya.

Mya kaku dan terdiam. Dadanya berombak penuh kerisauan dan mula rasa tak sedap hati. Dahlah Mikail tak sedarkan diri, entah siapa nak menolongnya jika Adam sudah naik hantu jembalang nanti.

“Eloklah you balik..” Mya berundur sedikit dari Adam yang kelihatan tak keruan merenungnya. “I hantar you ke pintu.” Mya melangkah keluar dari bilik menuju ke tingkat bawah. Hatinya sedikit lega apabila Adam mengekorinya dari belakang.

Tiba di ruang tamu yang suram dengan cahaya lampu, Adam tiba-tiba menerkam dan merangkul Mya dari belakang dengan erat. Mya panik dan spontan dia meronta-ronta cuba melepaskan diri. Dia tahu yang Adam berniat jahat. Tak dapat dengan rela, Adam pasti akan memaksanya.

“Adam! Apa you buat ni?” Jerit Mya apabila bibir Adam mula meliar di tengkuknya. Makin kuat dia meronta, makin kuat genggaman Adam di pinggangnya. “Let me go!Let me go! Please Adam!” Jerit Mya berulangkali. Dia dapat rasakan tangan lelaki itu mula cuba merentap baju yang dipakainya.

“Tidak kali ini Mya.” Ucap Adam dengan nada bergetar malah bibirnya semakin rakus mencium kulit Mya. “I dah lama idamkan you. I want you tonight..”

“Adam! You ni kan kawan Mika, tergamak you buat macam ni?” Mya mula merasa takut yang teramat sangat. Airmata mula bergenang di tubir matanya. Bagaimana dia mahu mendapatkan bantuan jika Mikail sendiri sudah rebah di tingkat atas. Mya tak mengalah, dia masih meronta-ronta namun Adam semakin erat merangkul tubuhnya.

“You ingat Mika peduli?” Sinis suara Adam mempersendakannya. “Dia tak peduli Mya. You bukan sesiapa, you cuma mistress dia je. Perempuan simpanan!”

Kata-kata Adam cukup meledakkan kemarahan di jiwa Mya. Tergamak lelaki yang berpura-pura baik selama ini mengeluarkan kata-kata itu terhadapnya.

Mya meronta-ronta dan menangis. “Please Adam..Please! Don’t do this to me.” Rayunya penuh simpati.Dia tahu kudratnya tak kuat melawan lelaki ini, namun dia sama sekali tak akan membiarkan Adam melayannya seperti pelacur. Lengan Adam digigit kuat sehingga lelaki itu menjerit kesakitan dan terlerai rangkulannya.

Kesempatan ini diambil oleh Mya untuk melarikan diri namun Adam lebih pantas menerkam dan memeluk kembali tubuhnya. Mya rasa tubuhnya melayang sebelum terhenyak kasar di atas sofa. Pening kepalanya kerana terhantuk di bucu sofa yang agak keras.

“Perempuan celaka! Kau tu pelacur dulu. Lupa ke? Jangan nak berlagak alim pulak dengan aku!” Tengking Adam dan sepantas kilat tapak tangannya melekat di pipi Mya.

Mya rasa pedih dan perit di pipinya. Dia mula tersedu-sedu menangis antara rasa sakit di pipi, kepala dan juga sakit di hati. Terasa maruahnya kini diinjak sesuka hati oleh lelaki durjana bernafsu binatang ini.

“Kalau Mika tak kutip kau dulu, kau mungkin tengah melayan macam-macam jantan dekat sana. Kau dah lupa ke?” Adam mencengkam kuat bahunya. “Dan sekarang kau nak berlakon suci pulak?”

Mya tak mampu berkata apa-apa. Lidahnya kelu untuk mematahkan hujah Adam. Dia mahu membantah tapi dengan kata-kata apa? Semua tuduhan Adam kedengaran benar belaka..

“Dan kau ingat aku nak biarkan Mika makan sorang-sorang? Selama ni dia tak kisah pun aku share stok dengan dia. Percayalah, dia takkan marah dan kau kena ikut kemahuan aku.” Ucap Adam penuh riak namun sudah cukup membuatkan hati Mya pecah berderai satu persatu. Dan airmatanya menitis laju saat Adam meruntuhkan maruahnya buat kesekian kali. Dia tak berdaya mahu melawan ketika tubuh Adam mula memperlakukannya sehina ini..

Tapi btul ke Mikail benar-benar tak kisah?

—————————–
BAB 4

Mikail memegang kepalanya yang terasa berat dan pening. Dia terasa malas untuk membuka mata. Tangannya meraba-raba ke sisi dengan harapan dia bisa menyentuh Mya seperti pagi-pagi yang lalu. Namun tiada sesiapa di sisinya. Perlahan-lahan dia membuka mata dan melihat tempat tidur Mya di sisinya namun bayang gadis itu langsung tak kelihatan. Kosong malahan selimut dan bantal masih elok terletak bagaikan tak berusik sejak malam semalam. Mana Mya pergi?

Mahu tak mahu terpaksa juga dia menggagahkan diri untuk bangun walaupun dunianya terasa berpusing-pusing akibat penangan alkohol.

Padan muka diri dia sendiri, penyakit yang sengaja dicari!

Sesudah mencuci muka, Mikail turun ke ruang tamu mencari Mya yang barangkali sedang sibuk menyediakan sarapan. Peliknya ruang bawah sunyi sepi tanpa bunyi pinggan atau cawan berlaga. Tanda Mya tak ada di ruang itu.

Dijenguk-jenguk di dapur tapi kelibat gadis tinggi lampai itu tak kelihatan di mana-mana. Namun kedinginan angin pagi yang bertiup ke tubuhnya membawa dia ke balkoni yang pintunya terbuka luas. Dia mengeluh lega melihat Mya memeluk tubuh membelakanginya sambil menikmati pemandangan matahari terbit dari Tingkat 11 itu. Mikail memandang tubuh Mya yang hanya berbungkus selimut. Pelik kerana selimut itu diletakkan di dalam bilik tetamu di ruang tingkat bawah. Mya tidur kat bilik tu ke? Mikail mula terfikir-fikir sendiri. Mungkin juga Mya tak suka tidur dengan dia yang berbau arak malam semalam.

“Tak masak ke pagi ni?” Sengaja Mikail berbahasa tatkala dia berdiri di muka pintu balkoni. Dia tahu Mya masih marah dengan insiden di dalam kereta dan kejadian dia mabuk semalam. Pertanyaan Mikail dibiarkan sepi, malahan Mya tak berganjak walau seinci pun seolah-olah tak menyedari kehadirannya di situ. Mikail mengeluh. Dah pandai nak merajuk pulak sekarang.

“I’m talking to you Mya.” Sengaja dia meninggikan nada suaranya dengan harapan Mya kembali tunduk kepadanya seperti selalu. Memang kadangkala Mya menunjuk sikap keras kepala, namun apabila dia meninggikan suara gadis itu akan cepat-cepat patuh kepadanya. Mengikut dan melayan semua ragamnya yang bukan-bukan.

“Awak ingat saya ni tunggul ke? Saya lapar, pergi masak!” Arahnya dengan tegas. Namun Mya masih membatu. Mikail menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik dengan sikap Mya.

Entah roh jahat mana pulak sampuk perempuan ni, lain macam betul perangai dia. Gerutu hatinya. Mikail mengeluh dengan kebisuan Mya. Rasa nak marah pun ada, dahlah dia sakit hati sejak malam semalam. Macam-macam benda tak kena di matanya saat ini.

“Saya nak tanya awak..” Perlahan Mya bersuara namun dia masih membelakangi Mikail. “Betul ke awak anggap saya ni cuma pelacur?” Ada getar halus dalam nada suara Mya.

Mikail tersentak. Angin apa pula yang melanggar gadis itu pagi-pagi buta begini, tiba-tiba saja nak emosional.

“Saya suruh awak masak, bukan tanya saya soalan bukan-bukan.” Bentak Mikail. Sebenarnya dia tak ada jawapan untuk pertanyaan itu. Dia sendiri tak pernah menyangka Mya akan membangkitkan persoalan seperti itu. Benar, dia tak punya jawapan kerana soalan itu tak pernah terlintas di dalam fikirannya selama ini.

“Betul ke awak anggap saya macam tu? Please tell me..” Suaranya berbaur lemah dan sebak.

Mikail mula berasa aneh. Teruk sangat ke aku marah dia semalam sampai ke hari ni dia terbawak-bawak? Nak emosional bukan main padahal hati aku yang sakit!

“Awak merepek apa ni Mya, cepat pegi masak!” Mikail cuba mengalihkan pertanyaan Mya. Dia tak suka perkara ini dipersoalkan. Apa dia rasa, apa dia fikir, dia tak ingin berkongsi dengan sesiapa. Terutamanya dengan Mya.

“Jadi betul lah..awak anggap saya pelacur.” Ucap Mya dengan nada suara bergetar.

Mikail ketap bibir dengan rasa panas hati dan spontan dia merentap lengan Mya supaya menghadapnya. Dia mahu ajar Mya supaya tidak sewenang-wenangnya bertanya soalan tak penting kepada dia. Mya tak ada hak itu.

“Enough Mya!” Herdiknya kuat namun tiba-tiba lidahnya kelu tatkala menatap wajah mendung Mya. Dan saat itu jantungnya dipalu kuat, dadanya terasa mahu pecah menahan perasaan yang bercampur baur.

Mya tunduk sambil mengalirkan airmata apabila Mikail menyentuh wajahnya. Jari jemari Mikail pantas memeriksa setiap inci wajahnya. Semuanya sudah terlambat..

Mikail cemas. Ya tuhan, apa yang berlaku? Kenapa bibir Mya luka-luka dan pipinya lebam? Mikail pantas menarik selimut yang membalut tubuh Mya. Tubuh Mya diperiksa dengan riak yang masih cemas. Lengan dan paha Mya dibelek tanpa rasa malu.

“Apa ni? Kenapa sampai lebam-lebam macam ni?” Mata Mikail tepat merenung wajah Mya. Rasa tidak enak mula berkepuk dalam dadanya. Dia pasti peha dan lengan Mya lebam bukan angkara dia. Dia tak pernah berkasar terhadap gadis itu.

Mya menyeka airmatanya. Dia berjalan perlahan masuk ke ruang tamu dan duduk di atas sofa yang menjadi saksi kerakusan Adam terhadapnya malam tadi. Mikail mengekor dan duduk di sisi sambil tangannya tak henti-henti membelek lengan Mya. Rasa cemas dan tak puas hati terpeta jelas diwajahnya. Jahanam mana yang mengasari Mya sampai macam ni?

“Tell me Mya. Apa yang berlaku sebenarnya? Who did this to you?”

Pertanyaan Mikail dipandang sepi oleh Mya. Penting ke kalau Mikail tahu siapa yang buat semua ni. Dia peduli ke? Atau dia akan sekadar tersenyum sinis dan bertepuk tangan? Dirinya memang sudah kotor, jadi apa bezanya jika perkara ini berlaku sekalipun.

“Kenapa susah sangat nak bukak mulut? Siapa pukul awak? Cakap!” Mikail sudah menggoncang-goncang bahu Mya sehingga gadis itu mengaduh kesakitan. Sungguh dia tak mampu menahan sabar dengan kesepian yang ditunjuk oleh Mya.

“Tak ada siapa pukul saya, saya dirogol awak tahu tak!” Pekik Mya dengan linangan airmata. Benci apabila Mikail menjerit kepadanya saat dia tengah terluka begini. Lelaki itu tak pernah berlembut dengannya, tak nampak ke dia tengah sakit sekarang?

Mikail ternganga. Dirogol? Dia mendengus sambil meraup mukanya dengan riak penuh kesal dan tidak percaya. Betul ke Mya kena rogol? Terlihatkan kesan lebam dan luka itu, dia yakin Mya tak menipu. Mustahil dengan kerelaan Mya sanggup diperlakukan sebegitu. Kalaulah dia tak mabuk malam tadi, kalaulah dia tak mengikut perasaan.. Bertimpa-timpa perasaan sesalnya.

“Siapa yang buat Mya? Budak kelab ke?” Soal Mikail penuh geram namun Mya sekadar menggeleng. Dia malas, malas untuk mengeruhkan lagi keadaan. Mustahil untuk dia memetik nama Adam, silap-silap Mikail akan menuduhnya yang menggoda Adam. Bukan dia tik tahu betapa utuhnya hubungan persahabatan dua lelaki itu, tak mungkin Mikail menyebelahinya. Lagipun Mikail sendiri tahu dia rajin berbalas SMS dengan Adam seolah-olah memang dia sengaja melayan lelaki itu. Ah sukarnya!

“Saya nak naik atas mandi.” Mya bangun namun tangannya dipaut Mikail.

“Saya bawak awak pergi klinik.” Ujar Mikail dengan wajah merah pada. Mya tahu Mikail marah, Mikail tidak suka dengan semua ini. Macamlah dia suka, dia sendiri lagi sengsara menanggungnya. Sakit luar dan dalam, Mikail takkan mengerti. Mya menarik perlahan tangannya. Mahu gila apa pergi klinik? Dia yakin kes ini akan berpanjangan, silap-silap polis datang buat siasatan susulan. Tapi bukan ke kejadian itu sememangnya kes jenayah?

Ah, kalau kes ni jadi besar, silap-silap nenek di kampung pun boleh tahu!

“Saya okey. Tak payah la pergi klinik.” Mya segera berlalu meninggalkan Mikail yang mengetap bibir kerana geram dengan sikap acuh-tak acuhnya.

“Ini bukan benda main-main Mya! Yang awak degil sangat ni kenapa? Ke awak memang suka sangat dengan perogol tu?”

Tinggi suara Mikail mematikan langkah Mya. Dia berpaling merenung Mikail yang memandang tepat ke arahnya. Jelas riak wajah Mikail tegang menahan marah. Sempat pula Mikail menuduh dia..

“Saya tak suka dia langsung. Awak ingat saya ni apa?” Balas Mya geram. Bergetar bibirnya melawan perasaan yang semakin menyesakkan dada. Mikail masih menganggap dia ni perempuan murahan ke?

“Then ikut saya pergi klinik dan buat police report. Susah sangat ke? Awak tu dah kena rogol, bukannya benda main-main!” Tingkah Mikail kasar. Merah matanya mencerlung tajam ke arah Mya yang berdiri berdekatan tangga.

“Apa bezanya? Memang saya ni dah tak suci kan, nak kisahkan apa lagi?” Mya membalas dengan jelingan tajam. Dia malas mahu melayan Mikail saat ini. Sungguh hatinya terlalu sedih atas apa yang berlaku tapi kesedihan itu takkan dapat menandingi perasaan malu dan hina di mata masyarakat jika perkara ini terbongkar. Silap-silap jawatan Perempuan Simpanan yang disandangnya selama ini akan terdedah! Apa perasaan nenek dan apa pula pandangan Mak Ngah..

“Saya nak naik berehat.” Dia kembali melangkah tanpa mempedulikan reaksi Mikail yang sangat tegang dan marah.

Mika mendengus melihat kelibat Mya menghilang ke tingkat atas. Perasaannya bercampur baur. Entah kenapa perasaan aneh ini menguasai ruang hatinya. Dia rasa bagai jantungnya mahu pecah menahan getar api kemarahan. Kenapa?

Sial, kalau aku tahu siapa punya kerja, memang aku pukul sampai lumat!




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

29 ulasan untuk “Novel : Aku Bukan Mistress 3, 4”
  1. Bintang Asterisk says:

    i will support u. best! menarek!

  2. baby novel says:

    masa baca mula2 mcm ombak rindu… tapi bila dah masuk bab3,4 memang lain cerita ini… best,,,

  3. nabila says:

    hmm kelainan dr cerita lain..gaya penulisan yg seronok utk dibaca..bes2 :)

  4. Aida says:

    betul tu.. masa mula2 baca sinopsis novel dh mcm cite ombak rindu.. tp smpi bab ni dh nmpak lainnya..

  5. syaira says:

    sebak nye baca.nak lagi.

  6. CariNur says:

    slm.. best kot.. sebax gile bila bace !!

  7. Norhanum zaki says:

    Bile novel ni nk dbukukn lgi ekk sya cri tpi dh khabisn stok
    tringn sngt nk baca ermm ciannn saya

  8. niesha says:

    bez lar novel nie

  9. hidayah says:

    memang seronok la…saya peminat sejati abg izzue

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"