Novel : Dalam Diam Ku Mencintaimu 1

27 June 2011  
Kategori: Novel

4,298 bacaan 21 ulasan

Oleh : Isha Idiaz

1

PROTON Iswara bewarna merah itu memasuki pintu masuk Universiti Teknologi MARA, Kampus Jengka, Pahang Darul Makmur. Berderet-deret kereta mencari tempat parkir. Kelihatan banyak sekali ibu bapa mengiri anak mereka ke Dewan Serbaguna untuk pendaftaran mahasiswa dan mahasiswi baru sesi Julai 2006. Faizah menelan air liur. Rasa gerun melihat begitu ramai manusia di kampus ini. Tidak pernah dia melihat manusia seramai ini. Peluh sudah memercik di dahi. Dadanya berdegup kencang. “Inikah alam universiti yang harus aku tempuhi nanti.” soalnya dalam hati.

“Angah, jom turun. Jangan lupa bawa semua dokumen untuk daftar tu.” Puan Laila mengarahkan setelah dilihat Faizah ralit memandang orang yang lalu-lalang di sekitar tempat parkir itu. Dia tahu gadisnya itu gusar barangkali kerana perbezaan budaya. Dia mengakui itu adalah silapnya kerana telah memasukkan Faizah ke sekolah sejenis sejak anaknya itu sekolah rendah lagi. Faizah perlu belajar mengadaptasikan dirinya setelah menempuh alam universiti ini.

“Baiklah mama.” Faizah melangkah longlai keluar daripada kereta. Berat sekali hatinya untuk mendaftar di sini. Semua rakan karibnya telah mendaftar di Kolej Matrikulasi Johor. Dia juga mendapat tawaran ke sana. Namun kerana mamanya tidak membenarkan Faizah meneruskan pengajiannya di Matrikulasi, di sinilah takdir telah membawanya. Di bumi Jengka ini. Mungkin ada hikmah disebaliknya.

Puan Laila memimpin tangan anak kesayangannya itu menuju Dewan Serbaguna, tempat siswa dan siswi baru harus mendaftar diri. Dapat dirasakan tangan itu sejuk. Dipandang wajah anak itu sekilas. Pucat tidak berdarah. Gugup barangkali. Digenggam tangan itu, memberi kekuatan kepada Faizah. Faizah memandang mamanya. Matanya sudah berkaca.

“Puan, anak puan sudah mendaftar?’ Kelihatan seorang lelaki dengan sut lengkap bertanya kepada mama. “Senior barangkali.” desis hati Faizah.

“Belum lagi nak. Baru nak mendaftar ni.” Tutur Puan Laila.

“Baiklah puan. Kami tidak membenarkan ibu bapa masuk di dewan kerana mahu mendidik siswa siswi baru supaya boleh berdikari. Puan boleh duduk di sana sementara tunggu anak puan selesai mendaftar.” Anak muda yang ramah itu menuturkan sambil menudingkan ibu jarinya ke arah khemah yang disediakan di hadapan dewan serbaguna itu. “Adik pula boleh ikut abang.” Tambahnya lagi.

Puan Laila hanya menganggukkan kepalanya apabila Faizah memandangnya. Dilihat puteri tengahnya itu melangkah mengikuti pemuda tadi dan beratur menunggu giliran untuk masuk ke dewan untuk tujuan pendaftaran. Kekok sekali Faizah dikalangan ratusan manusia itu. Semuanya serba tidak kena. Puan Laila hanya tersenyum. Anaknya harus belajar menyesuaikan diri.

“Adik isi borang ini dahulu di meja yang disediakan di tengah itu, nanti pergi ke kaunter dua untuk menyerahkan semua dokumen.” Faizah cuma menganggukkan kepalanya tanda faham dengan arahan yang diberikan oleh senior dengan tag nama Azuan.

Kaki melangkah mengarah ke meja yang dimaksudkan oleh Abang Azuan tadi. Faizah mencari tempat dan mula mengisi semua borang. Setelah selesai mengisi semua borang disemak kembali dokumen-dokumen untuk dihantar ke kaunter seterusnya. Belum sempat Faizah bangun, dia sudah disergah oleh satu suara. Terkejut dibuatnya. “Adik, boleh pergi ke kaunter dua sekarang. Dah siap isi semua borang kan?”

Faizah bangun daripada kerusi. Tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada wanita dengan tag nama Salmah. Selesai penghantaran dokumen di kaunter dua, kini dia beralih ke kaunter tiga untuk mengambil baju batik rasmi UiTM untuk minggu orientasi. Seterusnya ke kaunter empat iaitu kaunter terakhir untuk pengambilan foto bagi kad pelajar.

“Ok dik, senyum sikit. Masam sangat muka tu.” Sedikit senyuman diukir kepada jurufoto dengan tag Aziefarris. Pemuda itu hanya tersenyum. Sejak pagi tadi dia sudah melihat banyak kerenah siswa siswi baru. Rata-rata memamerkan wajah takut saat foto mereka diambil. Ada juga yang gembira sahaja. Mereka tidak tahu gambar ini akan mereka gunakan sepanjang enam semester mereka berada dalam UiTM ini. Bila sudah semester dua mereka akan ketawa melihat wajah takut mereka suatu masa dulu terpampang di kad pelajar mereka nanti.

“Senyum sorang-sorang pulak mamat ni.” Faizah mengomel dalam hati setelah melihat Aziefarris masih lagi mengukir senyuman bagai kerang busuk. Jelas kelihatan lesung pipit di kedua belah pipinya yang gebu itu.

“Ok, dah siap, boleh jumpa dah mak ayah kat luar tu. Mak tak hilang dik kat luar tu.” Sengaja Aziefarris menuturkan begitu. Dia juga begitu dulu sewaktu mendaftar. Takut kerana alam universiti berbeza dengan alam persekolahan. Faizah hanya memandang wajah itu dengan perasaan geram. “Main-mainkan orang pulak.” Bentak hatinya.

Laju kakinya mengarah ke luar dewan. Dicari kelibat ibunya dicelah-celah puluhan manusia. Akhirnya dilihat wajah tua itu tersenyum memandang ke arahnya. Dihela nafas tanda lega. Cepat kakinya melangkah menuju ke tempat mamanya duduk. Puan Laila menghulurkan sebotol air mineral kepada Faizah.

“Macam mana? Siap daftar dah?” Dilihat Faizah mengangguk laju. Puan Laila mengeluarkan tisu dari tas tangannya dan dilap peluh yang memercik di dahi anaknya itu. Setahunya dewan itu berhawa dingin, masakan anaknya panas di dalam dewan itu. Puan Faizah tersenyum sendiri. Kecil juga hati anaknya ini walaupun zahirnya kelihatan kasar.

“Mama ketawakan angah ye.” Faizah mula menarik muka seolah-olah merajuk dengan Puan Laila. Puan Laila terus tertawa mendengar ayat pertama yang keluar daripada anaknya ini sejak keluar daripada dewan itu. Sedari tadi anaknya tidak menuturkan apa-apa.

Puan Laila terus memeluk Faizah. Diusap lembut bahu Faizah. “Taklah. Mama cuma pelik, sejak bila anak mama ni penakut orangnya.”

“Mana ada takut mama. Angah ok je.” Faizah berlagak seolah-olah semuanya seperti biasa walhal dia memang takut sewaktu mendaftar tadi.

“Yelah. Mari mama hantar daftar masuk kolej pula.” Puan Laila sudah membuka pintu kereta dan menyuruh Faizah masuk.

Kereta Iswara itu menghala Kompleks Kediaman Siswi. Dilihat semua kereta parkir di tepi jalan di luar pintu Kompleks Kediaman Siswi.

“Assalammualaikum encik. Kereta tak boleh masuk encik. Encik kena angkat barang-barang anak encik masuk ke dalam.” Seorang pengawal keselamatan memberitahu Encik Mahmud sewaktu keretanya melewati jalan menuju ke Kompleks Kediaman Siswi. Setelah menggangguk tanda faham, Encik Mahmud mengucapkan terima kasih kepada pengawal tersebut dan mula mencari parkir.

Enjin kereta dimatikan. Kini kesemua barang yang dibawanya harus diangkat menuju ke biliknya. Mujur adik-adik, ayah dan mamnya ada untuk membantu. Sebuah keluhan dilepaskan lagi. “Susah betul masuk U ni.” Faizah seolah-olah merungut didalam hatinya.

“Angah duduk blok apa nak?” Encik Mahmud inginkan kepastian. “Blok I ayah.” Kepala Faizah terjenguk-jenguk melihat dimanakah lokasi blok I.

“Ni baru blok G ni. Mesti jauh lagi ni.” Encik Mahmud bersuara lagi. Faizah hanya mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju dengan kata-kata ayahnya itu.

“Assalammualikum. Blok mana adik?” Tanya gadis bertudung labuh dengan tag nama Siti kepada Faizah.

“Waalaikummussalam. Blok I kak.” Tenang Faizah menjawab.

“Jalan depan sikit lagi, belok kiri ya.” Tambah gadis itu sambil menunjukkan arah ke Blok I. Faizah mengangguk tanda mengerti lalu mengucapkan terima kasih sebelum meneruskan langkah mengikuti arah yang ditunjuk oleh gadis itu.

Terpampang besar tulisan besar huruf I dihadapan sebuah bangunan. Faizah melepaskan nafas lega. “Jauh sungguh blok ni.” Kedatangannya disambut mesra dua orang lagi gadis dihadapan Blok itu.

“Assalammualaikum kak. Tumpang tanya. Dekat mana nak daftar ni?” Faizah mula bertanya.

“Waalaikummussalam. Dekat sini dik. Kertas yang dapat dalam dewan tadi ada?” gadis yang bertugas di situ bertanya.

“Ada.” Ringkas Faizah menuturkan seraya mengeluarkan kertas yang diterimanya tadi semasa pendaftaran.

“Ok, Bilik I2-06 ya dik. Ini kuncinya. Adik naik ke tingkat dua ikut tangga ini, lepas tu belok kiri.” Tutur gadis itu lagi.

“Terima Kasih kak.” Faizah berpaling melihat ayahnya lalu menghampiri ahli keluarganya yang lain setelah kunci bilik berada digenggamannya. Dilihat peluh memercik didahi mereka. Rasa insaf bertandang dihatinya. Inilah pengorbanan ibu bapa untuk melihat kejayaan anak mereka. Tetapi ini jugalah yang dilupakan oleh anak mereka setelah mereka berjaya nanti. Mudah-mudahan dia tidak menjadi begitu nanti setelah berjaya.

“Bilik mana angah dapat?” Puan Laila inginkan kepastian.

“Bilik tingkat dua mama. Kata kakak tu naik tangga depan tu, lepas tu belok kiri.” Faizah menuturkan sambil tangannya dihalakan ke tangga yang dimaksudkan.

“Jom kita angkat barang-barang ni cepat. Lepas kemas semua kita pergi makan. Pukul dua nanti angah kumpul balik dekat dewan kan?” Puan Laila memberi arahan dan bertanya lagi kepada Faizah.

“Ya ma.” Dan dilihat Puan Laila sudah mengangkat semula beg Faizah. Faizah hanya mengikuti langkah mamanya dan ahli keluarga yang lain menuju biliknya.

Tidak sampai lima minit, kini Faizah sudah berada di bilik yang dimaksudkan. I2-06. Inilah biliknya. Diketuk pintu bilik. Pintu tidak terbuka. Dimasukkan kunci lalu dibuka. Sunyi.

“Assalammualikum.” Faizah menuturkan seraya tangannya menguak daun pintu. Matanya meliar memandang seluruh isi bilik. Dua katil dua tingkat diletakkan di kiri dan kanan bilik. Laluan kosong di tengah. Empat meja belajar yang bersambung dengan empat kerusi yang diletakkan dihadapan tingkap yang berjendela biru. Empat almari pakaian yang diletakkan dua di kiri dan dua di kanan bilik bersebelahan katil. Dua penyangkut tuala yang melekat di dinding dibahagian atas dan bawah bersebelahan almari di kiri dan kanan bilik. Faizah hanya tersenyum menandakan dia berpuas hati dengan keadaan bilik ini.

“Alhamdulillah. Besar bilik ni. Selesalah ni angah. Belajar elok-elok ye nanti.” Puan Laila menuturkan.

“InsyaAllah ma. Angah akan buat yang terbaik.” Faizah tidak mahu menghampakan harapan orang tuanya.

“Angah nak pilih katil atas ke bawah?” Puan Laila bertanya memandangkan sebuah katil di bahagian kiri bilik di sebelah atas sudah dipasang cadar menandakan sudah ada ahli bilik yang mendaftar masuk.

“Yang bawah ni la ma.” Faizah menunjukkan ke arah katil bawah yang sama dengan katil yang sudah berpunya itu.

Barang-barang mula dipunggah. Puan Laila sibuk mengatur kedudukan barang-barang anaknya di dalam almari pakaian. Faizah pula sibuk memasang cadar dan sarung bantal dan mengemas meja belajarnya yang terletak betul-betul ditengah tingkap. Bersebelahan meja orang yang tidur diatasnya nanti.

Setelah selesai mengemas, mereka sekeluarga menuju ke cafe berdekatan di dalam Kompleks Kediaman itu. Faizah sudah tidak berselera untuk makan. Namun kerana mamanya tetap menyuruh dia makan walaupun sedikit, disuapkan jua nasi berlaukkan ayam kurma itu ke mulut.

Kini tiba masanya mereka berpisah. Puan Laila memeluk erat Faizah. Diberikan nasihat kepada anaknya itu. Begitu juga dengan Encik Mahmud. Adik-adiknya sudah mula menangis. Faizah memeluk kedua-dua adiknya. Dikuatkan hatinya sungguhpun dia juga ingin menangis saat itu. Ini kali pertama dia tinggal berjauhan dengan keluarganya. Tidak pernah dia tinggal sendiri sebelum ini.

Puan Laila dapat melihat mata Faizah mulai berkaca. Namun dia tahu, anaknya ini tabah. Air mata itu cuma bergenang dikolam mata anaknya, tidak menitis sedikitpun. Dia tahu Faizah tidak mahu dia risau. Kerana itu anak itu tidak menangis dihadapannya. Puan Laila juga harus tabah seperti Faizah. Walaupun tidak pernah berpisah dengan Faizah sejak kecil, kini dia harus berkorban untuk masa depan Faizah. Agar kehidupan anaknya senang dimasa akan datang.

Dipeluk sekali lagi anak itu. Dikucup kedua-dua pipi dan dahi anaknya. “Belajar rajin-rajin.” Puan Laila berbisik ditelinga Faizah. Pelukan dileraikan. Faizah menyalami tangan mama dan ayahnya.

Kini kereta Proton Iswara itu mula bergerak. Semua ahli keluarganya melambai-lambai daripada dalam kereta. Semakin sayup kelihatan dihujung selekoh dan akhirnya hilang daripada pandangan. Faizah memalingkan badannya mengarah ke pintu Kompleks Siswi. Kini perjalanan hidupnya sebagai mahasiswi telah bermula. Air mata yang menitis di seka menggunakan hujung baju kurung hijau yang dipakainya. Langkah dihala semula ke biliknya.

Setibanya dibilik, dilihat pintu sudah terbuka dan kedengaran suara riuh-rendah daripada dalam bilik. “Assalammualaikum.” Faizah melangkah masuk sekali lagi ke biliknya.

“Waalaikummussalam.” Salamnya disahut oleh semua yang ada.

“Ha Hajar, tu kawan dah ada dah.” Tutur seorang wanita sambil tersenyum yang dilihat seolah-olah sebaya mamanya. Matanya diarahkan ke pemilik nama tersebut. Hajar. Disimpan nama itu didalam otaknya.

Faizah mengukir sekuntum senyuman. “Saya Faizah makcik. Makcik datang daripada mana?” Tanya Faizah sekadar berbasa-basi sambil menghulurkan tangan menyalami wanita itu.

“Makcik datang dari Johor nak. Faizah orang mana?” Kini giliran ibu Hajar pula bertanya.

“Faizah daripada Johor juga makcik.” Jujur Faizah menjawab.

“Ha, baguslah tu. Senang nanti kalau nak balik masa cuti. Boleh balik dengan Hajar sekali.” Dilihat wanita itu tersenyum. Mungkin hati tuanya sedikit lapang apabila mendengar Faizah juga daripada Johor. Tidaklah dia risau memikirkan bagaimana anaknya mahu pulang jika ada cuti nanti.

Belum lagi selesai sesi perkenalan, kedengaran lagi salam. Semua isi bilik menjawab salam. Seorang lagi ahli biliknya tiba. Mesra dipanggil Ekin. Berasal daripada Kelantan. Cuma penghuni katil atasnya sahaja belum tiba.

Setelah semua keluarga pulang, Faizah, Hajar dan Ekin berbual-bual kosong untuk mengenali antara satu sama yang lain. Dan kuakan daun pintu memberhentikan perbualan mereka. Terjengul kepala seorang gadis sambil memberi salam dimuka pintu.

Inilah seorang lagi ahli bilik mereka. Mira yang berasal daripada Jengka. Wajarlah dia tidak ada di bilik kerana rumahnya hanya dihadapan UiTM ini sahaja.

Sedang mereka meneruskan perbualan, kedengaran pengumuman.

“Perhatian kepada semua siswi baru, anda dikehendaki berkumpul di bawah blok dalam masa lima minit. Saya ulang, lima minit. Pastikan semua ahli bilik bersama sewaktu anda turun. Bilik yang tidak lengkap ahlinya dan lambat turun akan didenda. Harap maklum.”

Sesi orientasi atau digelar Minggu Mesra Siswa(MMS) sudah bermula. Keempat-empat mereka melepaskan keluhan. Masing-masing membawa fail yang diberikan sewaktu mendaftar tadi dan sebuah buku nota serta pen. Tidak lupa telekung dan botol yang berisi air. Kesemuanya dimasukkan ke dalam beg.

“Jom turun. Tinggal dua minit lagi. Kalau lambat kena denda.” Faizah bersuara. Ahli bilik yang lain mengangguk dan mula mengenakan kasut hitam masing-masing. Mereka berempat kini sudah berada di bawah blok. Mujur mereka tiba tepat pada waktunya. Jika tidak nasib mereka sama seperti puluhan siswi yang sedang memegang telinga masing-masing dan melakukan ‘ketok ketampi’ beramai-ramai dihadapan mereka kini. Naik bulu roma mereka apabila kakak senior yang tadinya menegur dengan lembut sewaktu mendaftar kini bertukar menjadi singa yang buas, seakan-akan watak Scar didalam filem The Lion King. Inilah permulaan MMS mereka. Ngeri. Hanya itu terdetik dihati mereka. Senior bertukar menjadi OC yang ganas.

HARI ini sudah hari kedua mereka menjalani MMS. Faizah sudah merasakan sangat penat. Mana tidaknya, semalam mereka dibenarkan pulang daripada Dewan Serbaguna hampir jam satu setengah pagi dan kini mereka sudah diarahkan ke Masjid Uwais Al-Qarni yang terletak dihadapan Kolej Siswa. Faizah melihat sekilas jam dipergelangan tangan kirinya. Jam empat pagi. Mujur dia dan Mira sudah curi-curi mandi sewaktu jam tiga pagi tadi walaupun telah diarahkan oleh semua fasilitator agar mereka tidur. Jika tidak, pasti mereka mengantuk.

Teringat seketika adegan pagi tadi sewaktu Faizah menjenguk ke luar bilik mencuba curi-curi keluar ke bilik air yang terletak berhampiran biliknya untuk mandi. Dia tidak boleh tidur dengan badan yang dirasakan melekit akibat berpeluh. Begitu juga dengan Mira. Jadi kedua-duanya mengambil risiko didenda oleh OC daripada mereka tidak selesa kerana tidak mandi. Mereka berdua melangkah ke luar daripada bilik menuju ke bilik air seolah-olah pencuri. Namun, mereka ditangkap setelah kedua-duanya mahu keluar meninggalkan bilik air. Mujur OC itu tidak mendenda mereka berdua. Faizah dan Mira sangat bersyukur.

“Ada sesiapa yang sakit pagi ni?” Bentak seorang OC lelaki yang ingin digelar Abang Rid selaku AJK Kebajikan minggu orientasi.

Keadaan sunyi sepi. Hanya kedengaran bunyi katak dan cengkerik yang menyanyi riang. “Pukul empat pagi bang, kalau tak sakit pun boleh sakit.” Jawab Faizah selamba. Namun kata-kata itu cuma dituturkan dalam hatinya.

“Bila saya tanya jawab. Tak ada mulut ke nak jawab ha?” Sergah suara itu lagi. Tersentak mereka apabila disergah begitu. Semua menundukkan muka. Garang sungguh OC ini.

“Kamu semua tak faham bahasa melayu ke? Siapa sakit angkat tangan.” Arah suara itu lagi. Dilihat seorang daripada mereka mengangkat tangan.

“Ha, yang angkat tangan dekat belakang tu. Sakit apa?” Abang Rid menyergah siswi itu. “Mengada-ngada nak sakit. Manja semua ni.” Tambah Abang Rid. Kata-katanya diiakan oleh OC yang lain.

“Pagi-pagi dah kena ‘brain torture’. Kalau tak jawab salah, kalau jawab macam tu pulak gayanya. Tak faham betullah dengan OC ni.” Faizah merungut dalam hati.

Setelah qiyamulail dan solat subuh, kini aktiviti hari kedua bermula. Kelihatan cahaya matahari menyusup masuk kedalam Uwais Al-Qarni menandakan hari mula siang. “MasyaAllah, indahnya ciptaan Allah.” Faizah menuturkan perlahan.

“Sekarang dalam masa sepuluh minit, saya nak kamu duduk ikut course masing-masing dan pilih ketua dan penolong untuk setiap course.” Arahan diberikan oleh Abang Azuan dihadapan.

Keadaan riuh-rendah seketika. Masing-masing mencari teman se-course berpandukan warna tag nama yang dipakai. Diploma Sains tag bewarna ungu cair.

“Saya cakap bertindak mengikut arahan!” Bentak satu suara. Keadaan kembali sunyi. “Saya tidak mahu mendengar sebarang bunyi hatta bunyi pen sekalipun.” Tambah suara itu lagi. Ya, suara itu milik Abang Syahadan. OC Minggu Mesra Siswa yang sangat garang.

Dalam nada perlahan mereka melantik ketua dan penolong bagi course masing-masing. Untuk coursenya, Farhan telah dilantik menjadi ketua manakala Alia telah dilantik sebagai penolong ketua batch.

Selesai sesi memilih ketua dan penolong bagi setiap bidang, mereka diarahkan menuju ke Dewan Serbaguna untuk mendengar ceramah daripada pihak universiti. Diam tidak diam jam menunjukkan jam satu tengah hari. Sesi ceramah dihentikan untuk memberi laluan kepada makan tengah hari dan solat Zuhur.

Tiba di Dewan Makan Azizah, OC-OC sudah menunggu. Faizah beratur di bahagian tengah bersama Mira menunggu gilirannya mengambil makanan. Baru sahaja pinggannya berisi nasi dan lauk, satu laungan dari arah pintu Dewan Makan kedengaran.

“Siswi!!! Cepat sikit makan. Terhegeh-hegeh. Awak semua ni buat saya panas je. Saya pun belum makan lagi tahu tak!!” Gadis bertudung labuh itu terjerit-jerit bagai dirasuk hantu sahaja lagaknya.

Terbantut niat Faizah dan Mira mahu memulakan makan. Hanya tiga kali suap dan hanya sekali meneguk air sirap itu, kedua-duanya mengangkat pinggang dan gelas dan diletakkan di tempat yang disediakan. Tidak mahu di denda oleh OC yang dirasakan tidak berhati perut itu. Begitulah rutin makan mereka sewaktu MMS.

Setelah slot ceramah waktu petang tamat, mereka dibenarkan pulang ke bilik masing-masing. Namun belum sempat tiba di bilik pengumuman di kompleks sudah menyatakan dalam masa lima belas minit mereka harus kembali ke padang A untuk aktiviti riadah.

“Mira, saya nak pergi tandas dulu ni.” Faizah menuturkan dalam nada perlahan. Sungguh, dia kini berasa sangat tidak selesa. Dirasakan kulit pehanya telah melecet akibat sering berlari-lara ke sana sini mengejar waktu.

Setitis air mata menitis apabila Faizah berada di dalam tandas tatkala air mengenai kulitnya. Benar, dia melecet teruk di bahagian peha. Boleh dilihat isi daging pehanya. Pedih yang teramat.

Sebaik sahaja keluar daripada tandas, dilihat Mira sudah menunggu dengan begnya di hadapan bilik. Mujur dia sudah menukar pakaian sukan sebelum ke tandas tadi. Dalam kepayahan dan rasa perit, Faizah berlari-lari anak menuju ke Padang A yang terletak agak jauh dari Kompleks Kediamannya. Sakit. Hanya itu yang berada dibenaknya.

KINI sudah sampai ke hari terakhir Minggu Mesra Siswa atau MMS. Segala kesusahan sepanjang minggu ini bakal berakhir sebentar lagi. Semua wajah memamirkan riak ceria. Akhirnya kami tidak akan diburu lagi oleh OC yang bengkeng setelah tamat MMS tepat jam 12 malam nanti.

Majlis penutupan Minggu MMS dirasmikan oleh Yang Berbahagia, Prof. Madya Ir. Abdullah Suhaimi Mohamed, selaku Pengarah Kampus UiTM Pahang. Majlis dibuka dengan bacaan doa oleh siswa baru. Dilanjutkan dengan ucapan daripada Pengarah Kampus. Kemudian bacaan ikrar oleh wakil pelajar siswa Fadzli atau lebih dikenali dengan Deli. Deli antara siswa yang menonjol sewaktu MMS selain daripada tiga pasangan kembar yang menjadi tumpuan semua. Setelah bacaan ikrar, persembahan daripada siswa siswi baru dimulakan.

Masa inilah yang ditunggu oleh mereka. Masa untuk membalas dendam kepada semua OC. Dimulakan dengan persembahan daripada siswi Pra- Sains, diteruskan dengan persembahan daripada TESL dan persembahan siswa siswi Pre-Law. OC hanya mampu mengukir senyuman kelat apabila semua persembahan tepat mengenai muka mereka. Bukan ingin membalas dendam tetapi itu kenangan yang mereka berikan kepada kami sewaktu MMS ini berlangsung.

Persembahan terakhir merupakan persembahan khas daripada sekumpulan siswa dengan nama Gagak Hitam. Ahli-ahli Gagak Hitam ini terdiri daripada dua belas orang siswa yang sering sahaja dimarahi oleh OC sepanjang MMS berlangsung. Mereka mempersembahkan tarian dan nyanyian yang diajar oleh OC bernama Azuan. Sorakan kedengaran sewaktu gagak hitam naik ke pentas. Persembahan dimulai.

Ha Ha

Kamate Kamate Kora Kora

Kamate Kamate Kora Kora

Ini Titangga Ta Furufuruna

Na Ikitemaifaka Fikitera

Auppa, Auppa, Auppa De Uppa De Tera

Aummm

Semua bersorak riang setelah persembahan itu tamat. “Sweet moment for us to remember.” Faizah bertutur perlahan. Lagu itu lagu pertama yang diajar oleh OC kepada kami pada petang hari pertama kami tiba di sini. Sekadar mengisi masa sebelum sesi ceramah dimulakan. Apa yang rakan seperjuangan kami paparkan sewaktu persembahan, itulah kejadian sebenar yang berlaku kepada kami sewaktu MMS ini berlangsung. Selepas tamat program ini, pasti OC pula akan dikejar oleh pengarah kampus apabila ada aduan diajukan ke pihak universiti. Faizah hanya tergelak memikirkan kemungkinan tindakan yang akan dikenakan kepada semua OC apabila tamat MMS ini sebentar lagi. Mira juga sependapat dengan Faizah. Lalu mereka berdua sama-sama tertawa.

Sebagai penutup majlis, mereka menyanyikan lagu Wawasan Setia Pelajar dan UiTM dihatiku. Tamat sahaja lagu itu, maka tamatlah seksaan yang mereka lalui sepanjang minggu orientasi. Berakhir sudah segala kesusahan mereka. Faizah akui banyak yang mereka belajar menerusi MMS ini. Selain mendidik mereka menjadi orang yang berdisiplin, banyak juga nilai-nilai yang diterapkan oleh para OC kepada mereka. Ada juga pengisian agama yang mereka peroleh sepanjang minggu tersebut.

Faizah dan Mira berpimpinan tangan sewaktu jalan pulang ke Kompleks Kediaman mereka. Kedua-duanya diam seribu bahasa, namun dibibir mereka, mekar sebuah senyuman tanda gembira. Setelah sampai dibilik, masing-masing berebut ke bilik air untuk mandi setelah enam hari mereka mandi dengan tidak sempurna. Usai solat isya’ Faizah dan Mira menyeterika pakaian untuk ke kuliah pada esoknya sebelum mereka melelapkan mata.

Faizah sempat mengirim satu SMS kepada mamanya agar mamanya tidak risau tentang keadaannya disini.

“Mama, azab dah tamat. Hehe.”

Setelah tertera ‘message delivered’ pada telefon bimbitnya, Faizah terus melelapkan mata. Esok, apakah yang bakal menanti mereka? Soalan itu bermain-main difikirannya sehingga dia lena diulit mimpi.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

21 ulasan untuk “Novel : Dalam Diam Ku Mencintaimu 1”
  1. Wak Jhijho says:

    Kedapatan banyak kesalahan tatabahasa termasuk ejaan dan penggunaan tanda baca yang tidak tepat. Saya mohon maaf kerana berterus terang begini.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"