Novel : Kampung Girl 11

2 June 2011  
Kategori: Novel

18,486 bacaan 28 ulasan

Oleh : Umi Kalsom

MENYAKITKAN hati betul, bila si Ashraf itu menonong saja berjalan meninggalkan dirinya di LCCT. Tak apalah kalau tidak ikhlas sekalipun, tapi sekurang-kurangnya, temankan dia sekejap sehingga dia naik pesawat. Itu pun nak berkira sangat.

Sudahlah sejak dia menghadiahkan panahan mata yang cukup tajam, lelaki itu seakan sudah kehilangan mulut untuk bersuara. Diam saja sepanjang perjalanan mereka sehingga ke sini. Ainnur ucap terima kasih pun, dia tak pandang. Apa… sudah kena sampuk ke? Tapi dengan apa? Jangan cakap dia tersampuk dengan panahan mata aku yang sarat dengan rasa cinta? Ah… sudah! Ainnur… kau ini, makin hari… makin perasan! Lihat sajalah bakal isteri siapa, si Ashraf Khairi yang perasan bagus tu juga.

Sekilas dia melihat jam di pergelangan tangan. Dia sudah berjanji untuk menghubungi Adila, temannya yang bekerja di sini. Tempah tiket melalui Adila, jadi Adila sudah berpesan supaya menghubunginya terlebih dahulu. Laju saja tangan Ainnur mengagau ke dalam beg sandang untuk mengambil telefon bimbit. Tetapi… tiada!

“Sudah! Aku letak mana pulak dah!” gumamnya sendiri. Matanya sudah meliar ke dalam ruang beg sandang. Nyata, tiada juga. Takkan tercicir? Tak mungkin! Dia tidak pernah secuai ini sehingga tercicir barangan yang dibawanya. Dengan keluhan hampa, dia mencari-cari sepanjang jalan yang dilaluinya tadi. Mana tahu, terjatuh di mana-mana. Harap-harap dapat jumpa semula, bukan apa… telefon itu ada nilai sentimen yang tersendiri buat dirinya. Kalau tak jumpa juga? Ah sudah… matanya ikut panas sekali!

‘Kau jangan nak buat drama tangkap leleh dekat tengah-tengah publik ni Ainnur,’ marah hatinya sendiri.

Dalam hati sudah tidak putus-putus berdoa, supaya dapat jumpa semula. Kembalilah… kembalilah kepadaku wahai cik telefon bimbit yang dikasihi.

“Allah!!! Kenapa yang cuai sangat ni Ain… kenapa!!!” Ainnur sudah menepuk dahinya sendiri. Seakan baru pulih ingatan, di dalam kereta Ashraf tadi dia sibuk bermain game disebabkan suasana sunyi sepi dalam kereta. Sekadar ditemani alunan irama dari radio, dia rasa macam tak puas saja. Mungkin sebab khusyuk sangat bermain game, sampai terlupa nak letak semula dalam beg sandang. Agaknya…

‘Alahai… Ainnur. Sekarang ni, kau nak telefon siapa?’ soalnya sendiri. Nombor siapa yang dia ingat? Nombor abah di kampung, mungkinlah dia hafal. Selain dari itu, kirim salam, Assalamualaikum sajalah. Tak kuasa dia nak menghafal semua nombor yang tersimpan dalam sim kad dan phonebook.

Kalaulah dia ada sesuatu yang boleh membesarkan suara, sekurang-kurangnya dia boleh memanggil Adila. Ahha! Pembesar suara. Okey Ainnur, kau memang bijak. Perasan lagi! Ainnur tersenyum saja dengan perkara yang bermain di mindanya.

Baru saja dia hendak memulakan langkah untuk meneruskan ideanya, namun belum sempat apa-apa, terasa badannya dirempuh dengan anak gajah.

“Auch!!!” suaranya meletus kuat. Anak gajah dari negara mana pula ni? Ainnur yang sudah pun terduduk di situ mengangkat pandangan matanya sedikit. Entah mangkuk manalah bawa bagasi anak gajah ini?! Sudahlah bagasi punya besar, dilanggarnya kaki aku macam traktor turap jalan tu. Aduh, sakitnya!

“You okay miss?” agak cemas suara itu kedengaran di telinganya. Ainnur mendengus kecil. Maklumlah, sakitkan, kenalah tunjuk rasa marah yang tengah bersarang dalam hati.

“Tak okey!” Ainnur memicit-micit kakinya yang masih terasa sengal. Wajah empunya suara yang sedikit mempesonakan jiwa langsung tidak dipandang. Sempat dia mengerling ke arah ‘anak gajah’ yang tersadai di sebelah. Mak aih! Tengok sajalah roda… mana tak rasa sengal kaki kalau roda ala-ala kaki gajah.

“Miss…” suara itu memanggil lagi. “Nak saya tolong angkat awak ke? Awak boleh jalan ke tidak ni?” mendengarkan soalan itu, serta-merta Ainnur cuak. Tiba-tiba dia menjadi gelabah. Bayangkan kalau kena angkat betul… bahaya!

“Eh… saya boleh…” dia sudah mengangkat pandangan wajahnya. Matanya juga sudah bertembung dengan si pemuda yang sedang menanggalkan kaca mata hitam yang terletak elok di batang hidung yang agak mancung itu. Masing-masing mempamerkan reaksi yang sama. Terkejut dan kehilangan kata. Hanya mata saja berbicara. Bahasa yang menghubungkan hati mereka.

BUNYI yang bertalu-talu sebaik saja dia melangkah masuk ke dalam kereta, sedikit mengganggu pergerakannya. Matanya mencari-cari, dari mana punca bunyi. Nada dering menyakitkan telinga saja! Gerutu Ashraf dalam hati. Ketika itu juga dia perasan sesuatu, itu bukan nada dering telefon dia. Telefon siapa pula?

Dikalih ke belakang, ke bawah, ke depan… tapi tak terfikir nak pusing kepala ke sebelah kiri. Macam terasa saja lagi aura budak kampung itu dalam keretanya. Wangian yang dipakai oleh Ainnur pun seakan masih tidak hilang dari deria baunya.

Aduh! Apa sudah jadi Ashraf? Kalau betul dia sudah ditimpa perasaan dengan Ainnur, nampaknya kena jilat ludah sendirilah! Padan muka… mengutuk, mengata Ainnur tak ingat dunia. Alih-alih, macam dah tak boleh nak lepas pandang saja.

Sekali lagi, bunyi yang bertalu-talu itu memenuhi ruang kereta. Digagahkan juga untuk pandang ke sebelah kirinya. Walaupun Ainnur dah tak duduk di situ, tapi macam segan saja nak pandang ke arah kirinya. Irama dalam jantung pun, entah apa-apa saja. Hanya membuatkan dia terasa gelisah.

Jelas matanya menangkap kelibat cahaya di celah seat. Pantas saja tangannya mencapai telefon itu untuk menghentikan deringan. Tertera nama Adila LCCT di atas skrin. Kawan budak kampung tu ke? Soalnya sendiri.

Punat telefon ditekan dan telefon dilekapkan ke telinga.

“Ain!!!” bingit terus telinga Ashraf dengan jeritan nyaring orang di sebelah sana. Haish! Nasib tak pekak.

“Ain… you wouldn’t believe it! You wouldn’t believe it!” Ashraf terdiam. Tidak memberi apa-apa respon. Kenapa orang di sebelah sana, berbahasa mat Salleh dengan budak kampung ini. Anehnya terasa, bukan sedikit… tapi banyak!

“Aku nampak abang Faisal kau!!! He’s here Ain!!! He’s here… and I’m sure… dia akan datang cari kau!” Faisal? Ulang Ashraf dengan rasa kurang senang. Siapa pula itu? Ashraf masih kekal ‘bisu’ di sini. Masih menadah telinga mendengar celoteh Adila yang langsung tidak bertanya mengapa dia tidak bersuara.

“Eh! Yang kau senyap saja ni apahal? Dah bisu ke?” selamba saja soalan Adila yang menyapa telinganya. Perlahan dia berdehem kecil. Kena bagi intro suara dulu, nanti terkejut terlompat pula cik yang berada di talian sebelah sana.

“Ini bukan Ain… ini…” Ashraf berkira-kira, hendak diperkenalkan dirinya sebagai apa? Abang? Sepupu? Bakal suami? Err… kenapa boleh wujud pilihan terakhir yang menyesakkan dadanya.

“Oh… you must be Ashraf Khairi?” tanpa perlu perkenalan diri, mudah saja Adila meneka. Ashraf terdiam kembali. Macam mana orang itu boleh tahu namanya. “Sepupu Ain yang berlagak nak mati tu?” Erk! Lagilah rasa nak tercekik bila mendengar ayat seumpama itu daripada bibir orang yang tidak dikenalinya.

“Ain cakap saya berlagak nak mati?” soalannya laju.

“Dia tak pernah cakap pun… tapi pandai-pandai guess saja, dengan karakter yang dia selalu cerita. Entah apalah yang dia kejarkan pada awak ya sampai langsung tak nak pandang orang lain yang sayang gila dengan dia,” Ashraf laju mengetap bibir. Kenapa si Adila ini macam selamba sangat? Boleh dia cakap macam ini semua dengan aku.

‘Entah apalah yang dia kejarkan pada awak ya sampai langsung tak nak pandang orang lain yang sayang gila dengan dia’ ayat ini seakan mencucuk-cucuk jiwa Ashraf yang sebelum ini beria mengaku bahawa dia tak ada sekelumit perasaan pun buat si budak kampung itu. Kenapa dia rasa macam ini? Tahukah wahai hati, sesungguhnya aku langsung tak suka rasa-rasa aneh yang sebegini!

“By the way… daripada saya buang masa cakap dengan awak, boleh saya tau, mana Ain? Tiket flight ada dengan saya, macam mana saya nak pass dekat dia?” sekali lagi dengan selamba saja Adila mengungkapkan kata. Ashraf mengetap bibir laju. Sungguh tak beradab insan yang bernama Adila ini. Sudahlah tak kenal dengan aku, boleh pula dia cakap macam ini.

‘Gaya kau bercakap ni Ash… macam kau tu bagus sangat!’ sindir hatinya. Uish! Pedih sungguh.

“I’ll try to find her… nanti saya suruh dia telefon awak balik”.

Ashraf sudah mula mengatur langkah, memulakan pencarian Ainnur Azmi. Dalam pada matanya meliar di ruangan yang memuatkan pelbagai jenis manusia yang berbeza warna kulit, mindanya ligat berfikir tentang panggilan daripada Adila. Banyak persoalan yang sedang menyesakkan mindanya. Ditambah dengan rasa hati yang sudah mula bermain acilok sembunyi dengan tuannya sendiri.

Nak kata dia sudah jatuh hati dengan si budak kampung bukan pujaan hati, macam mustahil. Tapi kenapa sejak dari tadi, debaran di dada ini tidak mahu mengikut alunan yang biasa. Asyik nak buat irama yang dia tak berapa nak biasa saja. Itu yang bikin hatinya bertambah susah disebabkan rasa tidak selesa.

Sedang kakinya laju melangkah, telefon bimbit Ainnur menjerit sekali lagi. Pantas saja dia menekan punat untuk menjawab. Entah sejak bila dia jadi telefonis tak berbayar ni. Menyusahkan saja. Dalam pada hati merungut tidak henti, mulutnya masih ringan juga untuk menjawab panggilan yang tidak diketahui dari siapa. Tak sempat pula dia nak jeling-jeling nama yang tertera di skrin.

“Ain sayang, dah sampai ke?” Ashraf tersenyum perli. Suara mummy menyapa telinga. Amboi! Bukan main lagi mummy dengan Ain, bersayang bagai!

“Mummy… Ash ni! Ain hilang… tengah cari, tak jumpa… rasanya ada penjahat dah culik dia!” selamba saja Ashraf mengenakan Puan Mazlin. Tanpa menunggu sesaat pun, suara Puan Mazlin sudah kecoh di talian sebelah sana. Bermacam-macam yang disuruhnya. Pergi periksa sana, pergi periksa sini! Siap suruh laporkan pada pengawal yang bertugas di situ.

“Ash main-main sajalah! Siapa yang teringin nak culik dia… bukan lawa pun!” kutuknya lagi. Tapi, hatinya sendiri sudah menyangkal kenyataan yang diucapkannya sendiri.

“Kamu jangan main-main Ash… pergi cari dia cepat. Jadi apa-apa dekat menantu mummy, siap kamu!” Ashraf terlopong. Tidak sama sekali dia menyangka, Puan Mazlin akan berkata begitu dengannya. Habis… kalau semuanya sayangkan Ainnur saja, siapa yang nak sayangkan diri dia? Argh!!! Terasa macam anak tiri pula.

Sebaik saja talian dimatikan, matanya sudah kembali ligat mencari ‘menantu’ kesayangan mummy. Mahu kalau tak jumpa hari ini, mesti dia akan kena teruk dengan mummy! Tahu sangat. Boleh dijangka dan disasarkan peratusan kebenarannya.

Sedang dia asyik mengatur langkah ala-ala hero mencari heroinnya, spontan kakinya terhenti. Matanya terus meluncur pada kedua wajah yang sedang bertentang sesama sendiri. Lama mereka begitu dan lama juga dia begini.

Bila terpandang tangan lelaki itu memaut lengan si gadis yang kelihatan seperti tidak mampu berdiri dengan stabil, hatinya dengan sendiri menjadi gusar. Kenapa dia harus merasakan perasaan yang aneh-aneh ini? Dia tak minta pun. Lebih penting daripada itu, dia tidak suka!!! Tapi mengapa, hatinya tidak sudah-sudah dengan gelora yang meresahkan jiwa.

Ikutkan hati, nak saja dia pergi rentap genggaman lelaki yang sedang memaut lengan Ainnur. Tapi diikutkan juga akal yang penuh dengan rasa ego dan berlagak, ditahankan juga langkahnya di sini. Walaupun, kebenarannya… dia terasa sakit hati di saat ini. Siapa lelaki itu? Soalan yang begitu asyik menari-nari dalam mindanya. Siapa dia?

“AIN.”

“Abang Faisal,” serentak Ainnur dan Faisal bersuara. Faisal tertawa, namun Ainnur tertunduk tidak tahu hendak berkata apa.

“Ain…” lembut sekali namanya diseru. Ditambah dengan senyuman manis yang bergayut di bibir lelaki itu hanya membuatkan Ainnur menjadi kelu. Entah apa yang harus diperkatakan pada Faisal di tika ini.

“Ain… I miss you.” Ucapan lembut itu membuatkan Ainnur tersenyum hambar. Dia tahu ucapan itu terkandung dengan rasa hati yang begitu sarat dengan kasih buat dirinya, tapi, Ainnur tidak mampu untuk membalas ucapan yang sama. Maafkan Ain, abang Faisal.

“Ain… talk to me, please…” pujuk Faisal lagi. Peluang yang ada di depan mata, tidak akan dilepaskan begitu saja. Lima tahun dia menanggung rindu. Lima tahun dia memerap rasa. Semuanya untuk Ainnur. Semuanya untuk gadis ini saja.

“Ain, please… talk to me sayang.” Membulat mata Ainnur mendengarkan ayat keramat itu. Tidak pernah Faisal memanggilnya begitu. Tidak pernah sekalipun walaupun dia pernah meluahkan rasa hatinya buat diri ini. Tetapi, apakah setelah lima tahun… dia akan kembali serius untuk menuntut janji?

‘Aduh!!! Aku lebih rela bertekak dengan abang Ash yang tersayang daripada mendengar ucapan sayang daripada abang Faisal yang pernah gila bayang dengan dirinya. Dan boleh dikatakan masih gila bayang dengan dirinya!’ Ainnur menggumam dalam hati.

“Abang Faisal sihat?” perlahan saja Ainnur bersuara. Dia nampak, lelaki itu teruja mendengar soalannya. Alahai… tak perlulah abang Faisal nak teruja tersenyum lebar sampai ke telinga. Tanya soalan sihat ke tak saja pun!

“Ain dah ada depan mata… InsyaAllah lepas ni abang akan sihat sentiasa,” ceria saja jawapan dari Faisal.

“Ain… tak rindukan abang?” soal Faisal dengan senyuman manisnya. Ah, sudah! Ainnur gugup sendiri. Aku tanya soalan sihat, dia terus masuk gear untuk soalan rindu-rinduan. Susahlah macam ini. Mana mungkin aku tak rindukan dia, tapi rindu sebagai seorang adik saja, tidak lebih dari itu. Akan fahamkah abang Faisal kalau dia menjawab begitu.

“Ain… please, say that you miss me too?” sedikit merayu suara itu. Ainnur hilang suara. Ainnur kelu lidah. Nak pandang wajah Faisal pun dia tidak berani. Pandangan yang sarat dengan rasa cinta itu walaupun tidak mampu mencairkan hatinya tetapi tidak mustahil ia akan dapat meraih rasa simpatinya di tahap yang teratas sekali.

“Ain…” baru saja Ainnur cuba membuka mulut untuk bersuara, sudah ada suara yang mencelah. Pantas Ainnur berpaling. Suara itu amat dikenalinya dan nyata dia tidak silap.

Pandangan matanya bertemu dengan mata Ashraf. Pandangan yang tajam itu seolah-olah hendak menikam terus hingga tertusuk hatinya. Kenapa pandangan itu seolah memberitahu bahawa Ashraf… err… cemburu? Tak mungkin. Pantas saja Ainnur menyangkal kenyataan di luar alam itu.

“Siapa ni Ain?” mesra pula soalan yang keluar dari bibir Ashraf. Tubuhnya juga sudah dirapatkan sedikit dengan Ainnur. Pandangan pelik dari Faisal dan getaran dari tubuh Ainnur tidak dipedulikan.

“Sayang, siapa ni?” soal Faisal pula. Ainnur mengetap bibir. Aduh! Kenapa dia perlu ada dalam situasi begini. Dialih pandang ke wajah Ashraf dan lelaki itu pula, sedang memandang Faisal dengan pandangan yang maha tajam. Apa yang sedang bermain dalam hati Ashraf sebenarnya? Ingin sekali Ainnur ambil tahu.

“Sayang…” ulang Faisal lagi dengan kelembutan yang tidak dibuat-buat. Sememangnya Faisal mempunyai tutur bicara yang mampu menghangatkan hati wanita sepertinya. Satu bakat yang langsung tidak dapat dilihat pada Ashraf.

“Ashraf.” Akhirnya, Ashraf menghulurkan tangannya. Wajahnya nampak tenang saja… namun dalam hati, rasa macam dah kena serang dengan tsunami. Dia menjadi pelik sendiri. Bila lelaki kacak di depannya itu memanggil Ainnur, sayang… dia rasa macam ada penumbuk yang nak melayang. Gila geram!

BERSAMBUNG :)
(Sudi2 tinggalkan komen anda, terima kasih)




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

28 ulasan untuk “Novel : Kampung Girl 11”
  1. imah says:

    best!!!smbung cpt…x sbar…huhuhu

  2. ain says:

    best…

  3. WangiFirdausi says:

    hope writer x kan biarkn citer ni t’ggntung ek…
    smbung smpi jmpe p’ktaan tmat…
    plisss…

  4. miera says:

    bez3…ash da strt jlez ngn ain…

  5. HaNny says:

    hAhA!

    ni yg suke nie….
    sesi cemburu!
    si ego cemburu..
    hahahahaha…

  6. tasha says:

    oh my gosh!!!
    hahaha

  7. lisly says:

    bab ni berdebar-debar

  8. momot says:

    bbila hati dah kata sayang..sume ego dah hilang ke mana….

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"