Novel : Kampung Girl 12

9 June 2011  
Kategori: Novel

20,863 bacaan 46 ulasan

Oleh : Umi Kalsom

“FAISAL,” genggaman erat antara tangan Ashraf dan Faisal. Bersabung mata keduanya. Faisal masih dengan pandangan yang pelik dan tertanya-tanya. Manakala Ashraf… dengan panahan mata yang menunjukkan amarah di hatinya.

‘Eh… yang kau nak marah bagai gila, kenapa pula?’ desis hati Ashraf sendiri.

‘Haruslah!!! Ain kan bakal…’ terhenti terus ucapan dalam hati sendiri. Dalam pada berperang dengan rasa hati yang sudah pandai memarakkan api cemburu, namun dia masih tidak mahu mengakui ayat yang satu itu.

“Siapa ni Ain?” soal Faisal dengan nada yang tidak berapa tenang. Rasa semacam pun ada. Dengan genggaman yang kejap dari Ashraf, ditambahkan dengan renungan tajam seolah menitipkan amaran buat dirinya. Siapakah jejaka yang sedang elok bergandingan di sebelah Ainnur kesayangannya.

“Yang ni…” Ainnur baru saja hendak membuka mulut, hendak meneruskan kata. Namun pantas saja ayatnya dipotong oleh Ashraf.

“Bakal suami Ain!” berubah terus wajah Ainnur dengan pengakuan Ashraf. Pandangan tajam secara spontan saja dihadiahkan buat lelaki itu. Tidak tersangka Ashraf akan mengakui akan perkara itu. Ataupun, ia hanyalah sekadar untuk menyakitkan hatinya di saat ini?

“Ain?” Faisal yang terkejut, terus saja menggamit perhatian Ainnur yang juga berubah riak wajahnya.

“Abang Faisal… Ain…” gugup rasanya lidah Ainnur. Dia bukan tidak mahu mengatakan yang benar. Dia bukan tidak suka dengan kenyataan Ashraf. Tetapi kenapa hatinya merasakan ini bukanlah situasi yang sesuai. Tambahan pula, kenapa dia merasakan ini semua seperti sangat aneh! Pengakuan dari mulut Ashraf, bukankah selama ini lelaki itu begitu keras menidakkan segalanya. Kenapa sekarang juga yang dia beria sangat nak mengaku menjadi bakal suami aku?

“Ain…” suara Faisal timbul lagi. Ainnur resah. Jelingan tajam sekali lagi dihadiahkan buat pandangan Ashraf yang tersenyum bangga. Entahkan dia ikhlas atau tidak? Ainnur sangat meraguinya. Takkanlah… angin tak ada, ribut tak ada… tiba-tiba mengaku jadi bakal suami!

“Abang Ash ni… sepupu Ain sebenarnya,” akhirnya, Ainnur merasakan itu saja penjelasan yang terbaik untuk saat ini. Dia belum bersedia untuk berterus-terang dengan Faisal. Kenapa? Usah ditanya…

“Bukan bakal suami Ain?” soal Faisal lagi padanya. Ashraf yang sedang berdiri bagai tiang elektrik di sebelah, macam tak nampak saja di mata Faisal.

“Buat masa ni… belum lagi,” selamba saja Ainnur memberi jawapan. Senyuman lega di bibir Faisal seakan melegakan hatinya juga. Kenapa dia berbuat begini? Usah ditanya juga… sukar untuk diterangkan buat masa ini. Hatinya tidak betah untuk melukakan hati Faisal pada saat ini. Sedangkan dia tahu, sejak lima tahun dulu lagi… sememangnya Faisal terluka kerananya.

Mata Ainnur jelas juga menangkap riak tidak puas hati di wajah Ashraf. Tidak menyangka mungkin yang dia akan menyangkal kenyataan yang dikeluarkan oleh lelaki itu.

‘Ain minta maaf abang Ash… lebih daripada nak sokong kenyataan abang Ash, Ain lebih memilih untuk menjaga perasaan abang Faisal dulu. Mungkin ini yang terbaik buat masa ini. Mungkin ini akan buat abang Ash lebih menghargai diri Ain’ kata-kata yang berlegar dalam minda Ainnur.

Mata Faisal bertembung dengan wajah Ashraf sekali lagi. Entah kenapa, ada dua aura yang berbeza antara keduanya. Ashraf masih dengan renungan tidak puas hati manakala Faisal kelihatan lebih tenang.

“Abang Faisal… baru balik, atau baru nak pergi?” soal Ainnur untuk memutuskan perhubungan dua pasang mata itu. Silap haribulan, kalau Ashraf naik angin… bukan boleh dijangka lelaki pujaan hati Ainnur itu.

Faisal terus saja tersenyum dengan soalan Ainnur. “Abang baru nak pergi… balik Pulau Pinang,” mesra saja nada Faisal bertutur dengan Ainnur.

Ashraf menjeling. Tidak senang sekali. Sudah berdiri di sisi Ainnur, tapi dia terasa macam bodoh pula. Boleh pula kan Ainnur menyangkal kenyataan yang dikeluarkan oleh mulutnya. Hantu punya budak kampung. Aku tak nak kahwin dengan dia, baru tahu!

‘Eleh… kau ingat dia nak hairan sangat dengan kau Ash! Tengoklah abang Faisal dia… bukan main kacak, tinggi macam model, gaya macam anak orang berada juga. Pakej lengkap rasanya. Lebih menarik dari rupa kau,’ kutuk hatinya sendiri. Aiseyman… hati sendiri kutuk tuan punya badan, mana boleh jadi ni.

Matanya mengerling wajah Ainnur yang sudah tersenyum manis buat tatapan Faisal. Makin geram pula dibuatnya. Kenapa dia merasakan semua ini? Dia tidak suka! Jujur dia akui, hatinya rasa tidak senang saja melihat semua ini. Tambah pula, Ainnur pun tidak mengendahkannya. Sedangkan sebelum ini, begitu asyik saja gadis itu mengejar di belakangnya. Apakah itu semua untuk tatapan penonton saja? Ashraf mengetap bibir laju. Geram! Geram!

Deringan telefon yang kuat mengejutkan dirinya. Termasuk dengan Ainnur dan Faisal. Ainnur sudah pun memandang wajah Ashraf. Dia kenal sekali dengan deringan itu. Telefon bimbitnya.

“Telefon Ain kan?” soal Ainnur. Ashraf terus saja menghulurkan telefon pada tangan Ainnur. Sememangnya itulah tujuan dia mencari Ainnur. Tapi tak sangka pula dia akan terkena penyakit ‘hati’ yang tidak disengajakan dalam jangka masa yang singkat ini.

“Dila… aku dah ada dekat sini,” mata Ashraf melekat pada wajah Ainnur. Nama Adila itu membuatkan mindanya teringatkan sesuatu. Cara Adila menyapa Ainnur ketika telefon berjawab dalam kereta sebelum ini. Lancar sekali gadis itu berbahasa Inggeris dengan dirinya yang disangka Ainnur. Pandangannya penuh dengan tanda tanya. Seinci pun tidak dilepaskan peluang untuk mendengar tutur kata dari bibir Ainnur.

“Ah… ada dekat sini, dengan aku. Kau datang sini, aku tunggu,” Ashraf masih lagi memasang telinga dengan teliti. Tiada pula Ainnur berbahasa asing dengan temannya itu. Tiada pula kelebihan yang tersembunyi dalam diri budak kampung ini. Maka andaiannya sejak tadi, semuanya silap belaka. Fikirnya sendiri.

Dilihatnya Ainnur sudah mematikan talian. Sempat lagi dia menghadiahkan senyuman buat tatapan si Faisal itu sebelum memandang ke wajahnya. Ashraf mengetap bibir lagi. Amboi! Senyum dekat dia tu dulu… aku ini sekarang jadi macam pilihan kedua pula kan? Bentaknya sendiri dalam hati.

‘Yang kau nak membentak tak tentu hala kenapa? Gaya macam kau suka sangat saja dengan Ainnur tu?’ sindiran dari hati bagaikan belati yang menusuk diri sendiri. Kenapa sekarang ini dia sudah berperasaan dengan lagak seperti suami Ainnur saja? Sesungguhnya perasaan cemburu ini bukanlah sesuatu yang baik buat dirinya.

“Abang Ash…” Ainnur memanggilnya. Dia baru saja terfikir untuk menghadiahkan senyuman. Baru saja terfikir…

“Tak nak balik lagi ke?” terus dibatalkan niat untuk tersenyum bila mendengar soalan dari bibir Ainnur itu. Argh!!!

“Abang temankan Ain,” Ashraf menjeling wajah Faisal sekilas. Ada saja Faisal dekat sebelah, bahasa yang digunakan pun terus berubah. Kalau Faisal boleh berabang dan bersayang dengan Ainnur, dia pun nak tunjuk kata… nak tunjuk apanya Ash? Hatinya menyoal sendiri.

“Tak payahlah. Menyusahkan abang Ash saja… kawan Ain dah dekat. Lagipun ada abang Faisal. Dia boleh temankan Ain… abang balik sajalah.” Ashraf mendengus kecil. Sudah gaya macam menghalau dirinya pula si budak kampung ini. Sengaja kan… depan abang Faisal dia, layan aku macam apa saja! Gaya macam aku pula yang terhegeh-hegeh belakang dia sebelum ini.

Ashraf tak puas hati. Dia mana boleh kalau bab-bab tak puas hati dengan budak kampung yang seorang ini. Lantas, ditariknya lengan Ainnur ke satu sudut. Sempat lagi dia memberi isyarat mata pada Faisal yang jelas terpinga memandang mereka.

“Lepaslah!” marah Ainnur. Pandangan mata Ashraf terus pada anak mata Ainnur.

“Kenapa dengan kau ni ha?” marah Ashraf. Bahasanya sudah kembali biasa. Ainnur mencebik. Sudah dia jangka, pasti saja itu semua lakonan ‘mantap’ lelaki ini. Sengaja hendak sakitkan hati dia kan. Mujur saja Ainnur tidak tertipu.

“Kenapa dengan abang Ash?”

“Aku tak suka kau cakap-cakap dengan abang Faisal kau tu! Bersayang-sayang apa? Dia suami kau ke?”

“Cemburu ke?” soalan dari bibir Ainnur hanya mencemaskan jiwa Ashraf. Takkan! Sepantas kilat juga lengan Ainnur dalam genggaman dilepaskan terus. Inikah tanda-tanda cemburu? Dia cemburu? Cemburukan orang yang dia pernah kata, dia tak punya sekelumit rasa pun, apa maksudnya?

“Tak ada hari aku nak cemburu dengan kau!” ego! Ashraf memang ego! Sudah terang lagi bersuluh, hatinya tidak suka. Tapi masih hendak menafikan.

Ainnur menarik senyum sinis. Rasanya peluang untuk mengenakan Ashraf, tidak sesekali akan disia-siakan begitu saja.

“Kalau tak cemburu, dipersilakan balik sekarang,” selamba dia membalas kata. Bila riak wajah Ashraf bagaikan disiram dengan cuka saja, Ainnur tersenyum dalam hati. Tiba-tiba saja pak cik berlagak ini pandai terasa hati dengannya. Bukan dia bodoh sangat, sampai tak boleh nak baca riak wajah Ashraf ini. Cumanya, dia tak pasti saja, betul ke Ashraf Khairi boleh berperasaan aneh begitu.

“Aku temankan kau ya… sampai naik pesawat. Kalau tak, mummy nanti soal panjang,” Ainnur terasa nak menghamburkan tawa galak saja. Kenapa Ashraf bereaksi begini? Dalam satu hari, boleh jadi macam ini ke?

“Ain tak nak menyusahkan abang Ash… baliklah,” nada suara Ainnur sudah lembut. Kalau dibiarkan Ashraf berlama di situ, dia takut, dia tidak mampu untuk mengawal tawanya yang sudah menggeletak hati. Nanti dihamburkan macam orang gila, mahu terkejut Ashraf melihatnya.

“Tinggalkan kau dengan abang Faisal kau tu? No way! Aku tunggu jugak!” balas Ashraf sedikit bertegas. Ainnur tersenyum simpul. Eleh… tak nak mengaku cemburu! Habis, yang itu apa? Bukankah cemburu namanya…

“Abang Ash cemburu ke?” soal Ainnur lagi. Hatinya senang sekali. Tidak pernah dia melihat Ashraf begini. Tidak pernah Ashraf mempamerkan reaksi yang menyenangkan hatinya seperti hari ini. Atau, ia hanyalah kerana kehadiran Faisal semata-mata?

“Kau ni… jangan perasan boleh tak!” sekali lagi Ashraf menidakkan kenyataan itu.

Ashraf sudah dapat merasakan gelojak hatinya yang aneh daripada biasa. Wajah Ainnur yang tidak beriak itu tidak mampu ditatap lama. Paluan jantung dengan rentak yang jauh dari norma kebiasaannya sudah kembali lagi.

“Aku cuma tak nak kena soal panjang dengan mummy…faham?” Ainnur menahan senyum. Serius, dia tak boleh nak tahan untuk menghamburkan tawa yang sedang berkepung di hujung tekak. Gaya Ashraf menjawab… sungguhlah terserlah kegelabahan. Masih hendak menafikan yang dia tidak cemburu! Dasar lelaki berlagak memang macam itu gayanya.

Sejak bila Ashraf Khairi boleh jadi macam ini? Rasanya betul andaian dia yang sebelum ini, Ashraf Khairi sudah terpanah dengan rasa cinta dia! Ha… ha… ha. Gelak untuk tiga harakat pertama untuk memuaskan jiwa.

“Abang Ash… abang baliklah sekarang. Orang yang sangat sayangkan Ain, yang abang Ash bersalam tadi tu… akan jaga Ain dengan baik. Jangan risau…” sengaja Ainnur memainkan ayat itu. Dia hendak lihat, apakah reaksi yang bakal dipamerkan oleh Ashraf. Nyata dia tidak tersilap membuat percaturan. Riak wajah Ashraf sememangnya sudah menjadi basi seperti cekodok basi. Ini makin menguatkan alasan, kenapa dia harus melepaskan tawanya.

AINNUR tersenyum lebar saja, sedari tadi. Tidak dapat dia lupakan, betapa masamnya wajah Ashraf bila dia dan Faisal melangkah untuk menaiki pesawat bersama-sama. Kebetulan atau suratan, destinasi mereka sama hari ini. Walaupun berbeza tempat duduk di dalam pesawat, Faisal langsung tidak berenggang selagi ada peluang.

“Amboi! Sejak balik tadi aku tengok, kau asyik tersenyum saja… ada apa-apa yang istimewa ke?” suara Salmi sudah mencelah. Entah bila dia menyelinap masuk bilik Ainnur.

“Kalau aku cakap… kau mesti tak percaya.”

“Kau belum cakap pun lagi… mana tahu aku percaya ke tidak.”
Ainnur tersenyum lagi. Rasanya… hari ini merupakan hari yang paling bahagia. Kalau macam ini, sedikit pun dia tak menyesal kerana menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur disebabkan hati yang cemburu gila.

“Abang Ash… mengaku dia bakal suami aku.” Salmi yang sedang elok berbaring atas katil, terus bangun terduduk. Wajahnya terpalit riak tidak percaya.

“Serius?” Ainnur mengangguk laju.

“Suddenly? Apa yang merasuk badan dia?” Salmi sudah tidak mampu untuk membendung tanda tanya yang bersawang di mindanya.

“Sebab…” Ainnur sudah terhenti kata.

“Jangan kata dia cemburukan sesiapa. Siapa Ain?” soal Salmi dengan gaya gopohnya.

“Aku terjumpa dengan abang Faisal.”

“Abang Faisal senior yang kau pernah ceritakan tu?” Ainnur mengangguk.

“He’s back. Entah macam mana boleh terjumpa dia… abang Faisal siap panggil aku sayang lagi depan abang Ash. Kau kena tengok muka abang Ash… macam orang nak tackle bini dia pula, punya tajam mata dia menjegil kat abang Faisal.”

“Kalau aku jadi Ashraf tu pun… aku cemburu la. Lagi-lagi abang Faisal kau tu… boleh tahan segak orangnya. Kan?” Ainnur mengangguk lagi. Tapi bukan yang itu dikejarnya. Walaupun orang itu terlalu sayangkan dia, namun perasaan Ainnur buat diri lelaki itu hanya setakat sayang adik kepada abang saja. Tidak pernah lebih dan tidak pernah kurang.

“Kau kenapa tak suka dengan abang Faisal tu? Nak jugak dengan Ashraf yang menyombong tu!” soalan Salmi dibalas dengan senyuman nipis. Macam mana hendak diterangkan rasa hati. Bukan semuanya harus merasakan perasaan yang sama. Abang Faisal sukakan dirinya dan dia pula sukakan abang Ash. Susah! Sebab bersegi-segi.

“Tak tahulah… aku tak boleh nak rasa perasaan istimewa dengan orang lain, melainkan dengan seorang tu.”

“Ashraf?”

“Aku sayangkan dia dari dulu. Bukan perasaan tu baru ada lepas mak aku dengan Aunty Maz suruh berkahwin dengan dia… tapi dah lama. Terlalu lama…”

“Jangan jadi bodohlah Ain. Kau tak pernah dengar ke, orang tua-tua cakap… perempuan kalau nak mencari pasangan, cari yang sayangkan diri dia… bukan cari yang dia sayang bagai nak gila.”

“Cik Salmi… walaupun abang Ash tak pernah sayang aku bagai nak gila, tapi kalau aku cakap… aku yakin jodoh aku dengan dia, kau nak cakap apa?”

Salmi mengerling sekilas wajah Ainnur yang kelihatan berseri-seri lebih daripada biasa. “Aku nak cakap apa… aku tunggu kad kahwin kau sajalah… jangan risaulah, aku bukannya nak mencucuk kau supaya tolak abang Ash jauh-jauh… saja, nak menguji tahap kesayangan,” Salmi melepaskan tawa. Biar Ainnur tahu yang dia bergurau saja. Nanti terguris pula hati temannya yang seorang ini.

“Tadi abang Ash cemburu macam tak boleh nak control saja. Aku nampak muka dia macam tempe basi…” teruja sekali Ainnur menceritakan peristiwa petang tadi. Masih terbayang lagi di tubir matanya reaksi Ashraf Khairi yang mencuit hatinya. Kan bagus kalau dari dulu lagi dia boleh tunjukkan reaksi yang sebegitu.

“Dia cemburukan abang Faisal kan?”

Ainnur mengangguk dengan senyuman lebarnya. Sudahnya dia terus melepaskan tawa yang sudah dapat ditahan sejak dari tadi. Dia tak boleh nak bayangkan wajah cemburu Ashraf lama-lama, rasa macam lawak saja. Iyalah… mana tidaknya, sebelum ini mengutuk budak kampung gila-gila, alih-alih… tunjukkan reaksi cemburu macam mereka dah berkasih bertahun lamanya.

“Aku rasakan… biarkan saja dia layan cemburu tu… kau buat bodoh dengan dia dulu, baru tahu nak hargai budak kampung yang dia selalu kutuk-kutuk tu,” semangat juga Salmi memberi cadangan.

“Boleh pakai ke cadangan kau ni Sal? Alih-alih… dia cemburu sangat, sampai cari perempuan lain, aku juga yang menangis nanti.”

“Tak adanya dia cemburu nak cari perempuan lain… lagi dikejarnya kau nanti. Tak percaya… tengok sajalah.”

“Ain…” suara Salmi sudah gaya berbisik. Ainnur menjungkitkan kening. Dah gaya macam nak bergosip pula. “Abang Faisal… single lagi kan?” Ainnur diam sejenak mencerna nada soalan yang ditanya oleh Salmi. Sesaat… dua saat… berlalu. Akhirnya dia menghamburkan tawanya. Nyata wajah Salmi berubah kelat.

“Kau nak masuk line ke?” soal Ainnur dengan nada mengusik.

“Aku tanya saja… mana tahu ada anak dara yang masih bujang, bolehlah kita nak tolong rekomenkan,” balas Salmi dengan wajah yang sudah merona. Dia sudah bangkit dari tempat duduknya.

“Sejak bila kau jadi concern dengan kebajikan anak dara orang lain yang bujang?”

Spontan saja sebiji bantal hinggap di wajahnya. Salmi sudah berlalu keluar dari bilik sambil menghentakkan kaki. Comel saja.

“YA aunty?” Ainnur menjeling sekilas pada jam di dinding, sudah jam sepuluh malam. Hal apa Aunty Maz menelefonnya malam-malam begini.

“Ain… kenapa dengan Ash tu? Sejak balik tadi, tak nak cakap sepatah pun. Terus masuk bilik tak keluar-keluar… muka pula, tak payah cakaplah… masamnya tak terkata.” Sesudah mendengar kata-kata Aunty Maz, Ainnur sudah meledak tawanya. Tak sangka, meleret-leret pula rasa cemburu si Ashraf Khairi. Tapi bila ditanya, tak nak mengaku pula.

“Tak ada apalah Aunty… dia tak puas hati rasanya, kena temankan Ain dekat LCCT tadi,” mudah saja jawapan Ainnur.

“Iya ke? Kenapa macam lain saja anginnya? Dia cari pasal dengan Ain ke tadi? Ada dia marah-marah menantu Aunty ke? Ain jangan segan-segan nak bagitahu… biar Aunty kuliahkan budak tu.” Sekali lagi Ainnur tertawa. Aunty Maz ini, kadang macam terlebihkan dia pula. Agaknya, yang ini pun Ashraf cemburu tak?

“Tak ada apalah Aunty… dia baik-baik saja tadi… tak cari pasal pun.”

“Ha… lagi satu, lupa Aunty nak cakap… dia ada minta nombor Ain, sebab dia ter-delete. Ada dia mesej, tak pun telefon ke?”

“Err… iya ke Aunty? Tak adalah pulak. Nanti-nanti kot dia nak mesej…,” balas Ainnur sedikit gugup. Entah kenapa, perasaannya makin berbunga-bunga. Sebelum ini pun berbunga juga, tapi selalu saja disiram oleh racun serangga sehingga kuncup jadinya. Tetapi hari ini, seakan kembang mekar saja semua bunga dalam jiwanya. Ashraf Khairi ini, betulkah sudah ada perasaan yang ‘itu’ buat dirinya.

“Mummy… bergosip liar dengan siapa, malam-malam macam ni?” jelas sekali telinga Ainnur menangkap suara Ashraf. Ada ke bergosip liar katanya? Ashraf ni kalau bab nak mencari pasal, nombor satu!

“Bercakap dengan bakal isteri kamu la… ada pula bergosip liar.” Jelas nada tidak puas hati Aunty Maz.

“Ainnur…” suara Ashraf kedengaran lagi. Makin dekat pula tu. Ainnur sudah tersenyum lagi. Ashraf panggil Ainnur… reti pun nak menyebut namanya. Kalau tak, selalu saja panggil budak kampung, tidak pun nenek kebayan. Nampaknya ada perubahan positif. Cemburu punya pasal, boleh mengubah Ashraf Khairi yang berlagak itu ke? Dia melepaskan tawa kecil.

“Iyalah… Ainnur. Ada bakal bini yang lain ke?” suara Aunty Maz bertingkah lagi. Ainnur sudah menelan liur. Gulp! Kenapa Aunty Maz mengeluarkan soalan yang berbahaya ni? Sekali dia jawab, ada… aku pula yang menangis tak kena gaya dekat sini.

“Bagi sini… Ash nak cakap dengan dia.” Jantung Ainnur sudah berdegup kencang. Desah nafas Ashraf sudah kedengaran di corong telefon.

“Mummy… pergilah tempat lain, Ash nak privasi.” Ainnur terlopong lagi. Boleh pula main halau Aunty Maz macam itu.

“Iyalah… berdating la puas-puas dengan bakal isteri kamu tu… mummy tak nak kacau daun.”

“Hei budak kampung!” dahi Ainnur berkerut dengan ayat itu. Ingatkan sudah insaf, rupanya tidak juga. Huh!

“Ada apa budak Bandar?”

“Aku lupa nak tanya tadi… kau kenapa ke Pulau Pinang, sedangkan rumah kau kat Kedah? Ke… kau pergi berdating dengan abang Faisal kacak tu?” soalan yang berbau cemburu. Ainnur dapat rasakan itu. Tetapi ditahan bibirnya daripada melepaskan tawa.

“Ha’ah… abang Faisal ajak Ain jalan-jalan tadi…” sengaja Ainnur berkata begitu.

“Ainnur Azmi!!!” naik satu frekuensi suara Ashraf. “Aku tak nak dengar kau keluar-keluar dengan Faisal tu.” Ainnur sudah menekup mulut kejap!

“Sebab?”

“Eh… dah lupa tadi petang kita beli cincin tunang tu… nak buat apa?” suara Ashraf meninggi lagi.

“Abang Ash nak tunang dengan Ain ke?” sengaja Ainnur mengajukan soalan bodoh itu.

“Habis tu!!!” Ainnur tak mampu menahan lagi. Talian dimatikan terus sebaik saja mendengar jawapan Ashraf. Tanpa menunggu lama, dia sudah ketawa bergolek di atas katil. Boleh ke tidak dia sahkan bahawa Ashraf Khairi sudah disampuk badai cemburu?

-BERSAMBUNG-
Sudi-sudi tinggalkan komen anda supaya saya dapat baiki lagi penulisan saya. Terima kasih :)




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

46 ulasan untuk “Novel : Kampung Girl 12”
  1. privasi nem says:

    hahaha ` ego sngt ark …

  2. risya says:

    ainnur tergolek..kita pon tergolek kat sini hahahaha.. ;) best la cerita ni k.umi tapi x jumpa lagi kat terengganu ni..geram geram

  3. muhd hafiz says:

    novel ni best giler

  4. atika says:

    x pyh nak baiki kak,dah ckup baik dah,best la cite nie

  5. norema says:

    Ha…ha….ha….bsr ketawa sy baca part last td…..good job umi…..

  6. intannur ashikin says:

    ash…!ash…!lawak la bce novel ni.,,ash tuh ego sangad~

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"