Novel : Kampung Girl 13

16 June 2011  
Kategori: Novel

19,988 bacaan 23 ulasan

Oleh : Umi Kalsom

ROTI bakar yang terletak di atas pinggan kaca itu dicapai. Mayonis yang terletak dalam botol, juga di atas meja dicapai dengan rasa malas. Perlahan saja dia menyapukan mayonis ke atas permukaan roti bakar. Lambat-lambat saja dia memulakan kunyahan. Entah kenapa, rasa macam tidak ada mood pula untuk bersarapan hari ini. Bukan setakat tidak ada mood untuk bersarapan, rasanya dia tiada mood untuk melakukan apa pun sepanjang hari ini.

Ashraf masih dengan tingkahnya yang kelihatan lesu dan tidak bermaya, tanpa menyedari masih ada dua pasang mata di meja makan itu sedang begitu asyik merenung kelakuannya yang begitu aneh sekali.

Puan Mazlin laju saja menyiku Tuan Shahir di sebelah. Masing-masing menjungkitkan bahu tanda tidak tahu punca. Ashraf yang selalu kelihatan bersemangat di awal pagi bagaikan tiada saja di sisi mereka hari ini. Walaupun jasadnya ada, sedang mengunyah makanan seperti biasa, namun ia kelihatan seperti dipaksa saja. Kenapa?

“Ash… sayang kenapa ni?” lembut saja suara Puan Mazlin bertanya. Risau juga bila melihat Ashraf yang mempamerkan perwatakan agak luar biasa.

“Hah?” respon Ashraf bagaikan tersedar dari lamunan jauh saja. Mengelamun apa pagi-pagi macam ini? Semakin bertambah kerutan di dahi orang tua itu.

“Mengelamun apa pagi-pagi ni? Ash tak sihat ke?” Puan Mazlin menyoal lagi.

“Tak sihat ke Ash?” tanya Tuan Shahir pula. Ashraf diam saja, tidak menjawab.

“Ash… kenapa ni?” Puan Mazlin dah gaya macam melayan Ashraf berumur lapan tahun pula. Wajah Ashraf yang nampak tidak bermaya seakan minta untuk dimanjakan. Puan Mazlin bangkit dari kerusinya dan melabuhkan punggung di tepi Ashraf. Perlahan tangannya dilekapkan pada dahi Ashraf. Sejuk saja. Tidak panas pun.

“Ash… kenapa ni? Diam saja… tak sedap badan ke? Pening kepala ke? Nak mummy urutkan?” pujuk Puan Mazlin lagi. Tuan Shahir sudah tersenyum kecil. Ashraf kalau sudah masuk mode hendak bermanja, kalah Aiman gayanya.

Ashraf diam juga, tidak menjawab. Tetapi kepalanya sudah dilentokkan pada bahu Puan Mazlin. Manja saja gayanya. Puan Mazlin sudah tersenyum sambil tangannya mengusap kepala Ashraf. Sudah lama rasanya Ashraf tidak mempamerkan aksi kanak-kanak seperti ini. Terasa seperti dia pun rindu untuk memanjakan Ashraf.

“Manja sangat hari ni… kenapa Ash?” Tuan Shahir pun sudah melebarkan senyuman di bibir.

“Mummy… kenapa Ash kena kahwin dengan budak kampung tu?” soalan dari bibir Ashraf terus mematikan senyuman di wajah Puan Mazlin dan Tuan Shahir. Serentak mereka berpandangan sama sendiri dengan pandangan yang penuh dengan tanda tanya.

“Kenapa? Ash tak suka Ain ke? Bukan ke Ash yang ajak beli cincin tunang hari tu… bukan sebab Ash dah suka dengan Ain ke?” soal Puan Mazlin tidak sabar.

“Kenapa Ash kena kahwin dengan dia mummy? Ash tak suka dia.” Jawapan yang terbit dari bibir Ashraf hanya meresahkan kedua jiwa yang bersamanya pada ketika itu. Ashraf… memang nak kena!

“Ash… jangan nak buat pasal!!! Lepas Ash dah bagi kata putus, mummy dah call Mak Ita untuk bincang pasal pertunangan,” tegas nada suara Puan Mazlin. Ashraf ini tidak boleh diberi muka sangat. Tengok sajalah apa yang dia buat. Semalam cakap lain, hari ini cakap lain. Apa sebabnya? Langsung tidak dimaklumkan.

“Habis… yang semalam Ash minta nombor telefon Ain, bersembang dengan Ain dalam telefon tu, untuk apa? Bukan Ash suka dia… bukan setuju nak kahwin dengan dia?” bertubi-tubi soalan dari Puan Mazlin. Ashraf masih mengekalkan momentum wajahnya yang keruh. Perlahan kepalanya diangkat menghadap wajah Puan Mazlin yang nyata keliru dengan sikapnya.

“Semalam… Ash pun tak tahu, kenapa Ash boleh cakap macam tu,” dengan wajah tanpa riak bersalah, Ashraf menuturkan jawapan. Puan Mazlin sudah menjegilkan biji mata.

“Ashraf Khairi!!!” suara Puan Mazlin meninggi. Namun Ashraf masih dengan riak wajahnya yang cuba meraih simpati. Dia amat memerlukan simpati Puan Mazlin di saat ini. Apa yang terjadi semalam bagaikan suatu mimpi ngeri saja. Kenapa dia harus cakap begitu? Kenapa dia harus pamerkan reaksi yang begitu? Dan paling menakutkan, kenapa dia harus memberikan kenyataan yang berpihak pada budak kampung itu? Kenapa? Kenapa? Kenapa?

Sejak dia membuka matanya pada pagi ini, hanya persoalan itu saja membingitkan mindanya. Logiklah kan kalau dia cakap, takkan dalam sekelip mata dia boleh jatuh suka dengan budak kampung yang langsung dia tidak pernah suka sebelum ini. Tapi apa yang terjadi semalam, adalah sebaliknya.

Dia mengaku, dia seakan kalah apabila merenung sepasang mata yang indah milik gadis itu… Tengok?! Dalam keadaan begini pun, hatinya masih tidak jemu mengalunkan bisikan pujian buat si budak kampung itu. Ditambah lagi dengan kehadiran jejaka kacak yang begitu ringan bibirnya mengungkapkan perkataan sayang buat diri Ainnur, dadanya terasa sesak secara automatik.

Entah apa juga yang merasuk minda sehingga dia sendiri dengan bangganya mengaku tentang hakikat yang sedang cuba direalitikan oleh orang tuanya. Bakal suami Ainnur! Tidak terlintas langsung dalam kepalanya untuk berkahwin dengan si budak kampung yang seringkali menerima kutukannya. Dan… adakah itu yang bakal terjadi tidak lama lagi? Oh tidak!!! Berat rasanya untuk menerima hakikat ini.

Semua ini salahnya! Dia tahu sangat. Semua ini gara-gara mulutnya yang terlalu lancang apabila menuturkan perihal cincin tunang dengan Ainnur malam tadi. Bagaimana? Kenapa? Mengapa? Semua persoalan bertubi-tubi menyesakkan dadanya sendiri.

Masih segar lagi dalam pendengarannya…
“Abang Ash nak tunang dengan Ain ke?” suara Ainnur seakan meragui.

“Habis tu!!!” ini yang dibalasnya.

Ashraf pantas meraup wajah. Dia rasa macam hendak demam. Sesungguhnya, dia tidak menyangka itu yang akan terpantul dari seulas bibirnya. Sebaik saja bunyi ‘tuuttt’ kedengaran di corong telefon, dia tersentak sendiri. Akhirnya dia terduduk dengan wajah yang agak pucat. Lama dia begitu. Mengambil masa untuk mencerna ayat yang diluahkan oleh bibirnya sendiri. Bahana datang dari mulut sendiri. Inilah agaknya pepatah orang dulu-dulu… kerana santan pulut binasa, kerana mulut… hidup aku yang bakal binasa.

“Ashraf Khairi!!!” suara Puan Mazlin yang masih meninggi membuatkan Ashraf mengalihkan pandangan matanya. Pandangan yang sayu dibiaskan. Semoga hati seorang ibu itu akan cair. Doanya dalam hati.

“Jangan nak buat muka sayu macam tu depan mummy… ingat mummy nak cair!” Ashraf terus saja memuncungkan mulutnya. Memang buruk kalau nak dibayangkan bagaimana rupanya pada ketika ini. Namun, apakan daya. Terpaksa! Kalau tidak… dia pula yang bakal dipaksa. Semua kerana salahnya. Semuanya bermula dari idea bodohnya juga. Rasanya, buat pertama kali dalam hal budak kampung ini, Ashraf meletakkan semua kesalahan di atas bahunya.

“Mummy… tak boleh kompromi ke?”

“Tak boleh!” tegas suara Puan Mazlin yang makin melemahkan semangat Ashraf. Dia sudah hilang semangat. Semuanya, gara-gara satu hari yang diundang dirinya sendiri. Bodoh betul! Kalau difikirkan semula, rasa menyesal tidak sudah mereka-reka situasi yang tidak cerdik itu.

‘Padan dengan muka kau Ash! Elok tak ada masalah… cari masalah. Elok si Ainnur tu balik kampung… kau juga yang buat dia datang ke Kuala Lumpur semula, kononnya nak show off ‘makwe’ baru… si Annisa, setiausaha mithalinya. Alih-alih… daripada nak seksa perasaan orang, perasaan kau juga yang punah-ranah, memang padan!’ kutukan hati menyiat-nyiat perasaannya.

“Mummy dah setuju dengan Mak Ita… nak tunangkan Ash dengan Ain hujung bulan ni!” mata Ashraf membulat. Hujung bulan?

“Mummy…” kalau boleh menangis, Ashraf akan menangis sekarang juga!

“Hujung bulan? Kenapa nak cepat sangat?” suaranya semakin sayu. Sungguh dia tidak dapat membayangkan, hari yang tidak dipinta bakal menjelma. Aduh! Kalau boleh… kalau boleh diputarkan semula masa.

“Cepat apanya… okeylah tu. Bertunang… lepas sebulan majlis akad nikah.” Ashraf sudah terbatuk kuat. Bukannya dia tengah minum atau makan, tapi ayat yang disusun oleh bibir Puan Mazlin mampu mengeluarkan segala isi perutnya. Sebulan lagi nak akad nikah? Mummy biar betul? Sampai hati buat keputusan tak cakap dengan aku.

“Kenapa sebulan lepas tu nak kena nikah?” soal Ashraf dengan lagak bodoh. Debaran di dada tidak mampu dikawal lagi. Seram sejuk pula bila difikirkan apa nasibnya selepas dinikahkan dengan budak kampung itu? Ditekankan sekali lagi… berNIKAH dengan BUDAK KAMPUNG! Aduhai…

Sesungguhnya, ini bukanlah impian hidup Ashraf. Bibirnya diketap kuat. Dia perlukan sesuatu untuk menenangkan fikirannya yang berkecamuk di saat ini. Dia benar-benar buntu.

LEDAKAN tawa dari bibir Wan Shafie hanya menaikkan suhu badannya. Panas membahang. Sudahlah hatinya sedang gelisah. Boleh pula temannya itu ketawa sakan melihat dirinya.

“Padan muka!” ayat pertama yang dihadiahkan oleh Wan Shafie buat Ashraf.

“Kau jangan Wan…”

“Jangan apa? Kau sendiri yang cari nahas. Hah! Sekali… lepas sebulan akad nikah… memang padanlah!” Wan Shafie masih sakan mentertawakan diri Ashraf yang kelihatan dingin dan beku di sudut bilik itu.

“Aku tak boleh nak tidur lena dah lepas ni,” keluhan dari bibir Ashraf membuatkan Wan Shafie tersenyum nakal penuh makna. Keningnya pula dinaikkan sedikit merenung wajah Ashraf lama.

“Tak boleh tidur lena? Dalam maksudnya…hahaha…” Wan Shafie terus dengan tawa galaknya.

Ashraf mendengus kasar. Chait! Boleh pula difikirkan yang bukan-bukan si Wan ni.

“Kau boleh berhenti gelak tak! Aku tengah serabut ni!!!”

“Nak serabut kenapa pula? Bukan ke cemburu tu tandanya kau sukakan dia? Pelik betullah aku dengan kau ni Ash… dah elok sangat aku tengok Ainnur tu. Sejuk mata memandang. Sopan. Ayu. Bertudung. Cantik pula tu… tak jemu mata aku memandangnya… aduh!!!” terhenti terus madah dari bibir Wan Shafie apabila sebatang pen mendarat tepat di hidungnya. Bila angkat saja mata, wajah Ashraf yang tengah merah padam singgah di ruang mata.

Mulanya rasa macam nak marah. Iyalah, sedap saja lelaki itu membaling pen pada hidungnya. Tapi bila tengok lama-lama wajah Ashraf yang merah padam macam biji saga, rasanya Wan Shafie hendak gelak saja sepanjang masa.

“Cemburu ke bang… I puji-puji your future wife?” sengaja nada suaranya dilunakkan. Makin merah wajah Ashraf.

“Kau diamlah!” selepas mengucapkan ayat itu, menonong saja Ashraf keluar dari bilik meninggalkan Wan Shafie.

“Kenapa bos tu encik Wan?” Annisa yang baru saja masuk ke dalam bilik Ashraf untuk meletakkan fail, terus saja menyoal Wan Shafie. Pandangan juga pelik. Wan Shafie sedang ketawa riang dalam bilik ini. Sedangkan Ashraf dengan wajah merah padamnya berjalan keluar meninggalkan pejabat.

“Bos awak tu… dah jatuh cinta, tapi tak mahu mengaku pula! Susah kalau cakap dengan orang keras kepala ni,” bebel Wan Shafie. Annisa sudah tersenyum. Baguslah kalau sudah jatuh cinta, sekurang-kurangnya Ainnur tidak bertepuk sebelah tangan saja. Dia inginkan kawannya sentiasa bahagia.

SEJAK tadi dia tidak sudah-sudah membelek telefon bimbitnya. Taip mesej, lepas itu padam semula. Buka phonebook, cari-cari nama, hendak tekan butang call, lepas itu terus pangkah. Tak jadi. Tak sempat pun nak buat ‘panggilan rindu’.

‘Aik. Rindu? Sejak bila?’ Ashraf melepaskan keluhan. Rasanya macam penat saja bila hatinya tidak sudah-sudah melagukan sindiran. Entah kenapa yang dia terasa keliru sangat di saat ini. Keliru kerana dia cemburu dengan si budak kampung. Keliru, celaru membuatkan dia semakin haru dan biru.

Kelmarin, hampir-hampir dia nak memalukan diri depan Wan Shafie. Tindakannya juga spontan. Entah apa yang merasuk mindanya. Bila bibir Wan Shafie ringan saja mengalunkan pujian buat Ainnur, dia teringatkan Faisal. Terus api cemburunya menggelegak. Dia tak boleh nak dengar orang lain puji pasal Ainnur. Tidak boleh terima. Semuanya membuatkan dia teringat akan Faisal.

Kenapa lelaki itu yang menyapa mindanya? Oh, sebab… diakan lelaki yang begitu selamba memanggil Ainnur dengan panggilan sayang. Bukan setakat itu saja… dia dapat rasakan yang Faisal itu terlalu menyayangi Ainnur. Lihat saja cara mata lelaki kacak itu memandang wajah Ainnur. Argh!!! Dia menjadi geram. Pandangan itu mengelus wajah Ainnur dengan penuh kasih. Dia cemburu tanpa dipinta.

Perlukah dia merasakan semua ini sedangkan dia tidak pernah rasa perasaan cinta buat si budak kampung itu? Nafasnya sesak. Cemburu tanpa cinta? Mana ada. Logik ke? Langsung tidak logik!

“Huh!!! Karut!” ucapnya tanpa sedar. Kuat pula tu.

“Apa yang karutnya?” sambut satu suara yang tidak asing sekali di belakangnya. Bahunya ditepuk perlahan. Lantas ruang kosong di sebelah kanannya diduduki.

“Entahlah…” jawab Ashraf malas.

“Mummy kata, ada orang cemburu gila. Siapa tu? Kau ke?” soalan yang bernada perli. Ashraf mengetap bibir. Marah sebab orang memerli kelakuan di luar sedarnya.

“Kau kalau datang sini nak perli-perli aku, baik balik saja!” marah Ashraf. Hilai tawa dari orang sebelah hanya menyakitkan hati.

“Pernah rasa, jilat ludah sendiri?” makin tersentap Ashraf. Geli gila kalau jilat ludah sendiri. Sanggup ke? Mana sanggup. Siapa pun memang takkan sanggup.

“Kampung girl? No way?” mata Ashraf membulat bila ayatnya diulang dengan sinis sekali.

“Ashraf… abang bukan nak perli kau… tapi nak ingatkan, don’t be rude Ash. Don’t be rude to others… especially Ainnur. Ash kutuk-kutuk dia sebelum ni… sekarang tengok, kau cemburu? Cemburu dengan budak kampung yang dengan bangganya kau cakap tak suka tu…” sinis saja nada Adam melantun ke dalam ruang telinganya.

“Jangan serabutkan Ash boleh tak?” pinta Ashraf. Nadanya sudah makin mengendur. Sudahlah dia masih keliru. Dengan sindiran-sindiran begini, dia makin bertambah keliru.

“Ini bukan serabutkan Ash… ini nak suruh kau ambil pengajaran.”

“Ash tak cakap pun nak kahwin dengan dia kan?” angkuh kembali nada Ashraf.

“Oh… iya ke?” sinis lagi nada Adam. “And what about… this?” kotak kecil berwarna merah baldu itu dilayangkan di depan mata. Ashraf mengetap bibir lagi. Cincin tunang!

“Can you just leave me alone… I want to be alone!”

“Daripada kau be alone dekat sini, baik pergi ambil wuduk… buat solat sunat. Abang tengok gaya kau macam dah serabut sangat ni. Jangan kusut-kusut sangat… I believe this is the best for you. You should believe it too… she may not same as your Ain…” mata Ashraf membulat. Your Ain?

“Kau jangan nak buat muka terkejut macam tu… I knew everything. You’re my brother… I should know everything about you,” tenang suara Adam membuatkan Ashraf tertunduk. “But that doesn’t mean Ainnur can’t the best for you… I think she is the best, Ash. Ainnur is the best for you. Lagipun mummy yang pilihkan? Takkan mummy tak tahu apa yang terbaik untuk kau?”

“Abang ingat senang untuk Ash!”

“Apa yang tak senang? Kau tak cakap, abang pun takkan tahu. Cuba cerita… I’ll listen… now, tell me.”

“Ash rasa cemburu walaupun Ash tak cintakan dia… how do you think that’ll be easy for me. Ash tak pernah sukakan dia… dan tak mungkin sukakan dia!”

“Dan kau jangan bercakap ikut sedap mulut saja!” marah Adam. Geram dengan sikap Ashraf yang ego tinggi melangit. Sudah cemburu, masih tidak mahu mengaku suka!

“Abang… Ash tak pernah idamkan dia untuk jadi teman hidup Ash. Not her… never be her!”

“And why? Because she’s not Ain Airina? Is it?”

“No!!!” tinggi suara Ashraf. Matanya berapi. “Abang tak faham apa yang Ash rasa! Ash keliru… abang tak pernah rasa semua ni!”

“Aku lebih dulu makan garam pada kau… keliru? Aku tak faham? huh…” Adam gelak sinis. “I know better than you do Ash.”

“Tapi abang kahwin dengan kak Pah sebab cinta… Ash tak boleh sebab… I don’t have such feeling towards that kampung girl. Abang… tolonglah faham! Jangan desak Ash!” suara Ashraf seakan merayu.

“Siapa yang desak kau? Cuba cakap? Kau sendiri yang cemburu. Mummy tu dah anggap kau gila bayang dengan Ain… sebabnya, salah kau juga cemburu bagai nak gila. Kalau tak suka, mana datangnya rasa cemburu tu?”

Ashraf diam. Sudah tidak tahu hendak menjawab apa. Kalau bercakap dengan abangnya, Adam, dia seorang saja yang hennak menang. Langsung tak nak ambil kira perasaannya yang sedang keliru tahap apa-apa dah. Yang Adam tahu, hendak menghentamnya dengan soalan bertalu-talu.

Ain Airina… hatinya yang keliru menjadi semakin celaru. Kenapa perlu dibangkitkan semula nama itu. Tapi ada benarnya… Ainnur takkan semudahnya dapat menjadi Ain buat diri ini. Panggilan Ain yang istimewa itu hanya buat diri orang itu. Orang yang sudah lama jauh dari dirinya.

“Ash…” suara Adam sudah mengendur. Bahu Ashraf dipegang kejap. “Janganlah macam ni… kesian dengan mummy. Dia dah beria sangat nak tengok kau bahagia ada keluarga sendiri… kau pun bukannya nak bercerita dengan dia tentang kehidupan peribadi kau… mummy tak pernah mendesak, dia cuma nak yang terbaik saja untuk anak-anak dia. Lagi-lagi anak dia yang kurang normal ni…”

“Abang!!!” Ashraf menjeling pada Adam yang sudah terkekek ketawa. Kurang asam! Sejak dari tadi berbincang dengan serius gaya singa. Tiba-tiba meledak ketawa macam orang gila. Tak faham betul!

“Iyalah… kau kan anak mummy yang kurang normal. Even physically you’re tough enough, but mentally you’re distracted. Nak abang suruh Kak Pah arrange appointment dengan psikatris tak?” Ashraf mendengus kuat. Tak agak-agak nak suruh aku jumpa pakar psikatris. Bukannya aku tengah sakit jiwa. Minda bercelaru saja.

“Abang ni memang sengaja nak cari pasal kan?”

“Ada pulak? Aku abang yang ambil berat pasal kebajikan adiklah!”

“Kebajikan macam muka dia!” gumam Ashraf sendiri. Sudahlah mengganggu waktu dia hendak beraman damai.

Kepalanya ditepuk kecil persis kanak-kanak. Ashraf mendengus lagi. Memang sengaja betul Adam ni!

“Minggu depan tunang ya Ash…” membulat mata Ashraf. Wajah Adam bersinar-sinar itu hanya membuatkan hatinya resah.

“Siapa cakap?”

“Mummy.”

“No way!!!” berlagak lagi Ashraf. Adam mencebik.

“Okey… fine! Dengar-dengar cerita dari mak Ita, ada lelaki kacak yang pernah bertanya-tanya pasal Ainnur… nama dia, apa entah…” gaya Adam seolah memikirkan sesuatu. Dagunya dilurut perlahan.

Sementara itu Ashraf sudah tidak betah. Dia hanya terfikirkan satu nama.

“Faisal,” ucap mereka serentak. Ashraf kembali resah. Nama itu punya aura untuk membuatkan dia rasa cemburu bagai nak gila. Kenapa? Dia pun tidak pasti mengapa!

“Jangan nak mimpi budak kampung tu nak tunang dengan dia!” marah Ashraf yang tidak dapat mengawal emosinya. Adam tahan senyum.

“Dan kenapa?”

“Sebab Ash yang akan tunang dengan dia!” dengan ucapan yang penuh perasaan, Ashraf melangkah masuk ke dalam rumah. Adam… tanpa menunggu sesaat sudah ketawa terbahak-bahak.

Susah nak buat orang yang ego tinggi ini hendak mengaku dengan perasaan sendiri. Dah terdesak sangat, terpaksalah guna cara begini. Sampai terkeluar nama Ain Airina yang menjadi sejarah dalam diri Ashraf. Sengaja, dia hendak menambahkan garam di jiwa Ashraf yang sememangnya menyimpan seribu satu rahsia. Susah sangat nak buka mulut untuk berkongsi cerita peribadi dia.

Ain Airina… hurm. Entah apa cerita si gadis berwajah arab yang berjaya mencuri hati Ashraf yang beku macam ais batu itu. Mungkinkah gadis itu adalah penyebab kenapa Ashraf selalu mencari alasan untuk membujang?

Bersambung :)
Sudi-sudi tinggalkan komen anda. Terima kasih semua.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

23 ulasan untuk “Novel : Kampung Girl 13”
  1. lisly says:

    bab ni pecah ego ash…

  2. nurul azmina says:

    bila si ash tu nk mengaku yg dye suka pada Ain?

  3. Nurul Latifah Ghazi says:

    Owwwhhh… Patutlah si Ash tuuu panggil Ainnur dgn nme Kampung Girl.. xnk panggil Ain.. sbbnya Ain tuuu ex dia… :-/

    #enjoy with this novel.. ^_^

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"