Novel : Kampung Girl 14

24 June 2011  
Kategori: Novel

20,141 bacaan 18 ulasan

Oleh : Umi Kalsom

CINCIN yang tersarung di jari manisnya dipandang dengan perasaan tidak percaya. Sudah menjadi tunangan orang, bertambah rasa tidak percaya. Tunangan kenapa Ashraf Khairi, fakta ini makin membuatkan dia hendak gelak tergolek saja. Mana tidak, mentah-mentah dia ditolak oleh lelaki itu sebelum ini. Tapi kini, kerana perkataan dari mulut lelaki itu sendiri sudah menyebabkan termeterainya janji antara mereka.

Majlis sederhana dan ringkas itu diadakan di kediaman orang tua Ainnur yang terletak di Kampung Titi Serong, Yan. Ainnur masih lagi bersimpuh di birai katil gara-gara Adam yang terlalu beria hendak mengambil gambarnya. Maklumlah, orang berkerjaya sebagai jurugambar, kerjanya ambil gambar sajalah.

“Ambil gambar outdoor nak tak Ain? Sini scenery cantik…” Adam sudah mengutarakan cadangan seterusnya. Laju saja Ainnur menggeleng. Dia tak berapa nak berkenan. Baru bertunang, nak bergambar outdoor semua macam tak perlu pun. Yang ini pun rasanya seperti melebih saja.

“Tak nak la… Ain segan! Macam over sangat pula,” tolak Ainnur dengan nada sopan. Hati bakal abang ipar pun kena jaga juga. Dikerlingnya wajah Latifah di sebelah sudah tersenyum penuh makna ke arahnya.

“Kenapa akak senyum… semacam saja?”

“Suka?” soal Latifah masih dengan senyuman di wajah. Sedikit nakal lagaknya.

Ainnur tertunduk. Tersipu malu. Terus saja flash kamera menyilau. Huish! Abang Adam ni, ada saja peluang, pantas diambil gambar. Memang pantang lepa.

“Puan Latifah ni pun, nak tanya soalan… tengok, sampai tersipu malu dah si Ainnur ni…” usik Adam tak nak lepas peluang juga untuk menggiat Ainnur. Ainnur sudah menjeling ke arah keduanya. Laki dan bini sama saja!

“Mama Ain!!!” suara si kecil Aiman sudah mula memenuhi ruang bilik itu. Terus saja dia meluru ke katil dan mendapatkan Ainnur. Latifah dan Adam sudah bergerak keluar, membiarkan saja anak mereka bermanja dengan mama Ainnya.

“Papa Ash panggil,” maklum Aiman dengan senyuman.

“Panggil?”

“Dia cakap, dia tunggu mama Ain dekat sawah,” lancar saja mulut Aiman menjawab. Pasti saja diajar oleh si Ashraf itu.

“Aiman teman mama Ain ya. Jom!” Ainnur sudah bangun dari katil. Selendang berwarna peach yang dipadankan dengan baju kurung gabungan warna peach pink itu ditanggalkan. Dibiarkan saja tudung Ariani tersarung di kepala. Malas rasanya hendak menggantikan dengan yang lain, yang lebih selesa.

Tangan Aiman sudah ditarik sekali untuk keluar dari bilik. Tetapi Aiman kelihatan seperti tidak mahu bergerak, mengatur langkah keluar.

“Kenapa?” soalnya pelik.

“Papa Ash cakap…” suara Aiman mula meleret. Ainnur menjungkitkan kening. Apa saja amanat dari papa Ashnya.

“Papa Ash nak jumpa mama Ain seorang saja. Dia tak nak Aiman sibuk sekali.”

Ainnur sudah menjegilkan biji mata. Sungguhlah tidak patut si Ashraf ini. Ada ke cakap dengan Aiman jangan sibuk sekali. Ini gaya macam nak ajak berdating pula. Takkan? Boleh hujan ribut di Yan hari ini gara-gara terkejut dengan khabar, Ashraf mengajak Ainnur berdating!

“Dia cakap macam tu?” Aiman mengangguk kecil. Ainnur tersenyum tanpa rasa. Kepala Aiman diusap perlahan. “Mama Ain pergi seorang ya… kalau nenek tanya, cakap papa Ash nak jumpa dekat sawah belakang rumah. Okey sayang,” ucap Ainnur dengan nada ceria. Wajah Aiman ikut menyeringai sekali.

“Okey mama Ain!” ibu jari diangkat tanda bersetuju.

Ainnur terus saja melangkah keluar. Hanya selipar jepun disarungkan di kaki. Dah nak berjalan di tepi sawah, takkan nak pakai heels pula kan. Mahu ada yang jalan terumbang-ambing pula nanti.

Dari jauh dia sudah menangkap kelibat Ashraf yang sedang bersandar pada tiang pondok yang terletak elok di tepi sawah yang tidak begitu menghijau. Kaki lelaki itu tidak sudah-sudah menguis tanah dengan hujung kasutnya. Ainnur tersenyum sendiri.

Ashraf yang ringkas dengan kemeja berwarna hitam sedondon dengan seluar slack kelihatan begitu segak sekali pada pandangannya. Terdetik juga di hati Ainnur, inikah masa untuk dia berterus tentang identiti sebenar yang dirahsiakan daripada Ashraf. Bukankah lelaki itu sendiri bersetuju untuk bertunang dengannya.

Langkahnya sudah makin dekat. Dia masih dengan senyuman manis di bibir. Ashraf mengalih pandang melihat ke arahnya.

“Abang Ash panggil Ain?” soalnya lembut. Namun wajah lelaki itu tidak beriak. Seolah tidak sudi bertemu pun ya juga.

“Abang Ash…” panggil Ainnur sekali lagi apabila Ashraf mempamerkan reaksi yang membuatkan dirinya terasa menyampah sekali lagi. Ini apa tayang gaya macam nak cari pasal saja? Aku fikirkan dia sudah boleh terima hakikat.

“And why did I end up here, being your fiancé… Ridiculous!” Ainnur tersentak. Mati terus senyuman yang bergayut di bibir. Hantu punya laki. Ridiculous dia kata! Apa teruk sangat ke bertunang dengan aku? Dia juga kan yang bersetuju untuk semua ini.

“Tied up to a girl that I don’t like the most, do you know… how does it hurts me?” Ainnur tergamam lagi. Rasanya Ashraf seolah bercakap seorang diri. Mungkin dia tidak tahu, hati Ainnur sedang terguris pada tahap maksima saat ini. Dan dia juga tidak tahu, tunangannya itu memahami setiap patah yang diucapkan walaupun dalam bahasa asing.

“I don’t wish to end up my life with you kampung girl… you can’t even be a perfect match to me. Just look at you…” mata Ashraf sudah beralih pada wajah Ainnur yang sudah kelu lidah. “Typical kampung girl!” ucap Ashraf tanpa perasaan.

Ainnur dengan sedaya upaya mengawal riak di wajahnya. Ikutkan hati, saat ini juga dia hendak menghamburkan kata-kata balasan buat setiap ayat si berlagak di hadapannya ini. Typical kampung girl! Huh! Memang biadab sungguh. Kalau iya pun dia seorang budak kampung. Kalau iya pun dia tak punya pelajaran. Dan kalau iya pun dia tidak boleh menjadi padanan terbaik untuk Ashraf… Lelaki itu patut tahu, yang dia tidak punya hak untuk berkata apa saja yang boleh menghina orang lain mengikut kesedapan mulutnya.

“I’m preety sure that you don’t understand what am I talking about? Right… kampung girl!”

‘Kalau aku cakap aku faham… ada juga yang jatuh pengsan ke dalam sawah nanti,’ desis Ainnur dengan kemarahan yang meluap dalam hati. Sungguhlah ego Ashraf sangat tinggi. Susah hendak menerima hakikat yang dia bakal menjadi suami kepada budak kampung yang tidak disukai.

“Selamat bertunang,” ucap Ashraf dengan senyuman plastik di bibir.

Ainnur mencebik. Berbakul-bakul sumpahan dihadiahkan buat lelaki itu. ‘Selamat bertunang!’ huh!

“Kau mesti bahagia kan dapat bertunang dengan lelaki Bandar macam aku?” soal Ashraf dengan sinis sekali. Ainnur menjeling menyampah. Tak apa… cakaplah apa saja, selagi punya peluang untuk sakitkan hatinya.

“Abang Ash nak cari pasal dengan Ain ke?” soal Ainnur terus. Malas nak sesakkan dada dengan ayat-ayat yang menyakitkan hatinya. Dia pasti… hari ini hari Ashraf, esok atau lusa, akan tiba juga hari untuknya. Masa itu kita tengok… apakah Ainnur Azmi dapat menjadi perfect match untuk Ashraf Khairi Tuan Shahir.

“Cari pasal? Dengan kau? Kenapa pula… aku ucap selamat bertunang saja.”

“Selamat bertunang saja… habis, yang ayat lepas tu… bukan nak menyindir Ain? Kalau abang Ash tak suka Ain, ada orang lain yang lebih suka dan sayang dengan Ain tau!” sengaja Ainnur mengunakan ayat itu. Sengaja ingin mengeluarkan nama si kacak Faisal. Kerana dia tahu, itu merupakan salah satu aset yang boleh menggugat ketenteraman Ashraf. Dan nyata, dia tidak tersilap. Berubah sedikit riak di wajah Ashraf.

Ainnur tersenyum sinis. Tak suka dengan aku, tapi boleh pula dia cemburukan lelaki yang sukakan aku. Huh!

“Kenapa? Menyesal tak dapat bertunang dengan dia?” soal Ashraf dengan nada menyindir. Api cemburu sudah mula memainkan peranan. Aduh! Sungguh dia tidak memahami kehendak hati sendiri

“Apa masalah abang Ash sebenarnya? Kenapa macam orang kena sawan saja? Semalam cakap lain. Hari ni cakap lain. Esok cakap lain. Langsung tak ada pendirian!” marah Ainnur. Menyampah sungguh dengan sikap Ashraf yang terlalu ego ini. Bila dia tak suka, cakap main lepas saja. Bila dia cemburu, main menyindir-nyindir pula.

Ashraf berpaling menghadap wajah Ainnur yang jelas kemerahan. Menahan marah. Dia berdiri berpeluk tubuh sambil matanya meliar di sekitar wajah gadis itu. Dengan warna peach yang dipakai oleh Ainnur hari ini, membuatkan gadis itu tampak ayu sekali. Wajahnya pula seperti disolekkan sedikit. Juga tampak lain. Pandangannya jatuh pada bibir Ainnur yang sudah diketap. Dadanya berombak sendiri. Pantas saja dia menoleh. Beristighfar panjang dalam hati. Aduh! Apa sudah jadi?

“Kita ni boleh ke… berdiri sama tinggi, ya budak kampung?” soalnya spontan. Matanya terhala pada burung-burung yang sedang berterbangan di kawasan sawah yang luas itu.

Ainnur mencebik. Berdiri sama tinggi! Macamlah pak cik yang sedang bercakap itu tinggi mengalahkan galah. Tapi sebenarnya, Ashraf ini tinggilah juga.

“Kalau Ain pakai kasut tinggi, boleh saja nak sama tinggi dengan abang Ash yang tak berapa nak tinggi ni,” namun ayat yang dibalas oleh Ainnur, ayat nak cari gaduh juga. Iyalah, ingat Ashraf seorang saja boleh cari pasal. Ainnur pun bolehlah!!!

“Kau ni suka menjawab kan?” marah Ashraf tiba-tiba. Ainnur menjeling menyampah lagi. Dia yang bertanya, dia juga yang naik minyak. Haish! Kenapa susah sangat nak memahami manusia bernama Ashraf Khairi ini.

“Dah soalan yang ditanya perlu dijawab, Ain jawablah. Yang abang Ash ni… ajak Ain jumpa dekat sini semata-mata nak tanya benda tu saja ke? Tak ada benda lain, selain nak sakitkan hati Ain! Kenapa? Kalau sehari tak cari pasal, tak dengar suara Ain… boleh rindu?” balas Ainnur dengan wajah selambanya.

“Ah…” Ainnur sudah menarik panjang. “Hari tu… eh, bukan! Dua hari lepas… Ain dapat panggilan rindu. Tengah-tengah malam pula tu,” ucap Ainnur dengan nada memerli. Misscall yang diterima daripada nombor Ashraf dua hari lepas, dia pun baru teringat semula. Wajah Ashraf disimbah darah. Malu agaknya! Ainnur terus saja dengan senyuman sinis. Puas!

“Eh… kau tak pernah dengar cerita, hantu pun boleh buat panggilan. Mungkin panggilan tu dibuat oleh hantu-hantu yang minat dengan kau… tapi pakai nombor aku. Boleh jadi juga kan?”

Ainnur sudah tersenyum-senyum sendiri. Ashraf pula menjadi pelik melihat reaksi Ainnur.

“Kenapa?” soal Ashraf tidak sabar.

“Ain tak cakap pun abang Ash yang buat panggilan. Susah-susah saja abang Ash mengaku perkara yang sebenar… tak perlu pun.”

Ashraf mengetap bibir. Tak sangka, dalam saat begini pun dia masih terkena lagi oleh budak kampung atau terkininya, sudah memegang title tunangnya.

“Biarlah… siapa telefon pun!” akhirnya Ashraf meleraikan topik itu. Tidak mahu malu lagi depan Ainnur. Makin calar-balar maruahnya. Sudahlah keputusan untuk bertunang dengan Ainnur pun dibuat dalam keadaan keliru. Entah bagaimana rupa perkahwinannya nanti dengan si budak kampung ini.

“Oh ya…” Ashraf sudah bertentang mata dengan Ainnur. Lama. Ainnur menyoal dengan isyarat mata. ‘Oh ya apa?’

“Akad nikah lepas sebulan. Tahu kan?” ucap Ashraf tenang. Dia tidak terkejut, kerana dia sudah diberitahu lebih awal lagi. Namun reaksi Ainnur di luar jangkaannya. Gadis itu kelihatan terkejut besar.

“Se… sebulan?” soal Ainnur gelabah. Ashraf hanya mengangguk. Pelik pula dengan reaksi budak kampung ini. Bukankah dia selalu teruja kalau apa-apa yang berkaitan dengan dirinya. Kenapa sekarang macam tak berkenan pula? Takkan dah tersangkut habis dengan Faisal tu? Hati Ashraf tak sudah-sudah dijentik rasa cemburu. Sampaikan dia sendiri pening. Dia tidak suka tapi cemburu buta tanpa dipinta.

Ainnur sudah berpusing-pusing setempat. Sekejap-kejap pinggangnya dicekak. Kukunya diketap. Wajahnya pula resah tak sudah.

“Kau ni kenapa? Cakap aku kena sawan, tapi kau tu yang ada penyakit sawan!”

“Mana boleh abang Ash!!!”

“Apa yang mana boleh?”

“Nikah lagi sebulan! Tak boleh… tak boleh!”

“Kenapa?” tinggi suara Ashraf. Mengada sungguh. Sepatutnya dia yang membangkang tetapi, yang ini terbalik pula. Kenapa si budak kampung ini yang beria tidak setuju?

“Mana sempat Ain nak uruskan pertukaran,” luah Ainnur tanpa sedar. Kening Ashraf bertaut. Pelik sungguh. Pertukaran apa? Matawang ke? Apa yang direpekkan budak kampung ini?

“Pertukaran?” suara Ashraf yang sedikit kuat itu menyentakkan Ainnur. Wajahnya sudah dipaling ke arah lain. Bibirnya diketap laju. Ah sudah! Kenapa kalut sangat Ainnur? Kan sudah hampir kantoi.

***

“TAK BOLEH!!!” bangkang Ainnur.

Dia sudah berfikir sehabis boleh. Mana mungkin dia akan dapat pertukaran dalam tempoh sebulan. Apa, orang lain pun sudah lupa yang dia sedang bertugas sebagai seorang guru. Mana mungkin hendak langsungkan majlis nikah lagi sebulan. Argh!!! Ainnur menggenggam hujung tudungnya dengan kejap. Wajah Puan Masyita, Encik Azmi, Puan Mazlin dan juga Tuan Shahir dipandang satu persatu.

“Nikah lepas sebulan… tak boleh!” ulangnya lagi sekali apabila semuanya beku tanpa reaksi.

“Kenapa?” soalan pertama dari bibir Puan Masyita.

“Mak… Ain nak kena mohon pertukaran lagi. Mana boleh… takkan nak buat perkahwinan jarak jauh pula… takkan jadi macam tu kan?”

“Amboi Ain… takkan tak menyabar kot.” Usikan selamba dari bibir Encik Azmi membuatkan wajah Ainnur yang bersih itu diserbu darah. Panas sungguh! Kenapalah abah boleh buat lawak macam ini pula. Malunya!

“Tak apalah… kita buat majlis akad nikah dulu. Nanti kemudiankan majlis persandingan. Lepas Ain dapat transfer, kita buatlah majlis dekat KL…” Ainnur pandang saja wajah Puan Mazlin yang menerangkan cadangan yang telah dipersetujui oleh seisi keluarga.

Kena akad nikah dulu ke? Ainnur masih meragui keputusan itu. Dia bukannya tak nak akad nikah awal. Cumanya dia bimbang, si pak cik yang pelik itu akan bertambah-tambah pelik kalau Ainnur asyik berulang ke Pulau Pinang. Sudahlah abah dengan emak tidak tahu rancangan murni Ainnur untuk mengenakan bakal menantu kesayangan mereka. Mahunya terkantoi, teruk Ainnur kena ‘sembelih’ nanti.

“Macam mana Ain? Tak nak juga ke?” soalan Tuan Shahir kembali menarik tumpuan Ainnur. Ainnur mengeluh kecil.

“Ashraf dah setuju. Aunty takut… kalau biar lama-lama, berubah pula angin monsun budak tu… bukannya boleh dijangka tunang kamu tu.”

Dalam diam Ainnur bersetuju dengan kata-kata Puan Mazlin. Sememangnya keputusan Ashraf boleh berubah bila-bila masa pun. Boleh jadi, Ainnur kena tolak lagi sekali kalau Ashraf dah jumpa orang lain. Sanggup ke Ain? Argh!!! Tak sanggup.

“Ain… diam tanda bersetuju. Ain setuju ke?” suara Puan Masyita pula menggamit jawapan Ainnur.

Aduh! Emak ni… main guna ayat dulu-dulu pula. Diam tanda berfikir mak.

“Ain,” serentak suara keempat-empat manusia yang berada dengannya.

“Iyalah… Ain ikut saja,” lambat-lambat saja Ainnur mengucapkan kata. Entah apa nak jadi lepas ini. Dadanya sudah berdebar-debar. Takut dengan isu mengenakan Ashraf. Takut kena marah dengan abah dengan mak. Takut terkantoi tak kena gaya. Baru nak fikir takut sekarang? Ya…

‘Sebelum ini tak terfikir?’ sindir hatinya sendiri.

Kalau si Ashraf itu tidak menyombong tak kena gaya, idea mengarut ini tak akan timbul. Semua ini pun sebab Ashraf juga. Tak apa Ain… teruskan selagi mampu. Tekadnya dalam hati. Terkantoi tak kena gaya pun, biarlah… asalkan dia puas hati!

Sebulan lagi, majlis akad nikah. Macam mimpi saja!

Kucupan di dahi, membuatkan Ainnur terpanar. Wajah ceria Puan Mazlin terbias di ruang mata. Kusss semangat! Hampir dia terkejut, ingatkan dah mengelamun sampai hari nikah. Sabar sajalah.

BERSAMBUNG :)
-Sudi-sudi tinggalkan komen anda. Terima kasih semua.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

18 ulasan untuk “Novel : Kampung Girl 14”
  1. menarik nak tau macam mana ain nak cover pasal kerja dia

  2. sha says:

    best sgt…cpt2 la smbung

  3. Best umi!! Sya suka. Geram betul bila si ash tu ckp omputih.. Rasa sya plak yg nak jwb bgi pihak ain. Haha. Cepat smbung yer ;-)

  4. HaNny says:

    eeeeiiii…

    menyampah ngn ash…
    ingt ain tu bongap sngt ka???
    kau lah!

    isk3…
    ain, sabor je la kn ;)

  5. lisly says:

    sabar ye ain….ending mesti baek punyer….

  6. risya says:

    ash..ash..satu ari nanti malu tak sudah..

  7. natasha says:

    kiter kena sabar ketika menghadapi sesuatu cabaran.

  8. fajrina says:

    saya harap mereka akan bersama akhirnya.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"