Novel : Love You Mr. Arrogant! 20

24 June 2011  
Kategori: Novel

80,078 bacaan 40 ulasan

Oleh : Aliesha Kirana

Zaara mencurahkan air sabun ke atas badan Myvi kesayangannya itu. Myvi itu sudah berdebu dan kotor kerana sudah lama tidak bercuci semenjak Zaara meninggalkannya di rumah sewanya dulu. Cuti hujung minggu yang ada ini, Zaara ingin gunakan untuk mencuci kereta kesayangannya itu.

Sedang asyik menggosok ke segenap penjuru kereta berwarna putih itu, Zaara terlihat kelibat Irham yang baru pulang dari berjogging. Irham memandang wajah Zaara dengan jelingan sebelum melangkah masuk menghampiri dirinya.

“Cuci kereta aku,” mudah saja Irham memberi arahan.

“Amboi banyak cantik muka awak,” Zaara membalas.

Irham duduk mencangkung sambil melihat kelibat Zaara yang asyik mencuci.

“Dah baju dengan kasut aku kau tak nak cuci, kau cucilah kereta aku tu.” Irham memuncungkan mulutnya, menunjuk ke arah kereta Audi dan BMWnya.

“Dua-dua sekali?” Zaara menyoal sambil dibalas dengan anggukan kecil Irham.

“Tak kuasalah saya. Buat apa saya nak tolong cucikan kereta awak tu. Apa yang saya dapat?” Zaara menjuihkan bibirnya.

“Kau patut tanya, apa yang kau tak dapat kalau kau cuci kereta aku.” Irham bangun dan menghampiri Zaara.

“Apa maksud awak?”

Irham cuma diam, sebaliknya dia makin menghampiri Zaara hingga akhirnya tubuhnya itu sudah menghimpit tubuh Zaara.

“Ish apa awak buat ni! Nanti family awak nampak macam mana?” Zaara meronta-ronta minta dilepaskan dari rangkulan Irham.

“Biarlah mereka nampak. Sebab kalau kau tak cuci kereta aku, lagi teruk dari ni aku akan buat kau.”

“Awak gila ke? Jangan berani awak nak buat apa-apa pada saya!”

Irham tersenyum sinis sebelum merapatkan wajahnya ke wajah Zaara hingga desahan nafasnya kedengaran jelas di telinga Zaara.

“Bukan salah pun kalau aku buat apa-apa pada isteri aku sendiri kan?”

“Ei lepaskanlah! Bencilah awak ni!” Zaara menjerit kecil membuatkan Irham segera melepaskan rangkulannya sebelum ketawa pada Zaara.

“Itulah aku cakap, kau patut tanya apa yang kau tak dapat kalau kau cuci kereta aku. Kalau kau cuci kereta aku, kau tak dapatlah merasa peluh busuk aku tu. Sekarang padan muka kau.”

Irham ketawa semahunya sedangkan Zaara terpinga-pinga dan akhirnya baru tersedar yang Irham memeluk tubuhnya tadi dalam keadaan badan yang berpeluh-peluh setelah selesai berjogging tadi.

“Eii pengotorlah awak ni! Busuk!” Zaara menjerit. Air paip yang berada di tangannya segera dipercikkan ke tubuh Irham.

“Woi! Apa ni?” Irham yang asyik ketawa, tersentak apabila menyedari tubuhnya sudah dibasahi air.

“Padan muka awak. Busuk sangat, kenalah mandi.” Zaara pula ketawa.

Irham yang geram, bingkas merampas paip air itu namun tangkas dilawan Zaara agar paip air itu tidak bertukar tangan. Mereka saling berkejaran dan basah dek percikan air dari paip air itu.

————————————————

Tan Sri Zahir tersenyum sendiri dari balkoni tingkat dua biliknya, gembira sekali melihat anak dan menantunya bermesraan begitu. Sejuk sekali hatinya melihat mereka berdua, terasa perancangannya sebelum ini begitu berbaloi. Tan Sri Zahir tersenyum lagi.

“Abang ni kenapa tersenyum sorang-sorang? Dah buang tebiat?” Puan Sri Maryam yang entah bila muncul menegur suaminya itu.

“Yam cuba kamu tengok anak dan menantu kamu tu, bukan main bahagia lagi, seronok saya tengok dia orang tu Yam.” Tan Sri Zahir menarik isterinya ke arah balkoni sambil menunjuk ke arah Zaara dan Irham yang sedang membasuh kereta bersama-sama.

“Ish buat apa saya tengok mereka tu, meluat saya!” Puan Sri Maryam menjuihkan bibir.

“Anak kita bahagia Yam. Kamu sebagai ibu, tak suka ke tengok anak kamu bahagia?” Tan Sri Zahir melontarkan persoalan itu sebelum bingkas keluar dari bilik, meninggalkan Puan Sri Maryam keseorangan memerhati dari atas.

“Huh!” Puan Sri Maryam mencebik. Meluat sekali melihat adegan di bawah itu, sakit sekali hatinya melihat Zaara berada di samping anak kesayangannya itu.

‘Sepatutnya tempat kamu tu, jadi milik Sherry. Kamu tu apa yang ada, gadis biasa, tak layak langsung jadi menantu keluarga ni. Tengoklah nanti Zaara, aku takkan berdiam diri selagi kamu tak berpisah dengan Irham!’ Puan Sri Maryam mengetap bibirnya.

——————————————————

Irham dan Zaara terduduk di tepi kereta saat selesai membasuh semuanya. Peluh yang merenik di dahi segera Irham sapu dengan hujung lengannya.

“Penat jugak basuh kereta ya.” Irham berbicara dalam nafas yang masih tercungap-cungap.

“Eh awak tak pernah basuh kereta ke sebelum ni?” Zaara merasa pelik. Wajah Irham direnung dengan rasa tidak percaya.

“Tak pernah, selama ni pembantu rumah yang tolong basuhkan.” Irham menjawab seraya melihat pada kereta-keretanya yang sudah bersih dan berkilat.

“Ceh, patutlah spoil sangat. Semua pembantu rumah yang buatkan.”

“Siapa yang spoil hah! Suka-suka hati kau aje kan.” Mata Irham membuntang merenung Zaara.

“Ni saya dah tolong cucikan kereta awak ni, tak ada ganjaran ke?” Zaara tersengih, cuba mengembalikan mood Irham yang hampir dirosakkannnya.

“Ceh, aku yang cuci sendiri, ada hati nak mintak ganjaran lagi. Apa yang kau nak? Kau nak aku peluk kau lagi?” Irham membuat aksi seolah-olah ingin memeluk Zaara menyebabkan Zaara cepat-cepat menjarakkan diri.

“Eii apa ni? Tak mahulah. Bukan ganjaran tu, ganjaran macam lain.”

“Maksud kau?”

“Boleh tak saya nak keluar pergi shopping?” Zaara meminta penuh harapan.

“Tak boleh.” Pantas Irham menjawab.

“Ceh, nak pergi shopping pun tak boleh. Hujung minggu pun tak boleh pergi mana. Baik awak simpan je saya ni dalam kotak.” Zaara berpaling dari Irham sambil memeluk tubuhnya.

“Maksud aku, tak boleh keluar sorang.” Irham menyambung ayatnya.

Wajah Zaara kembali ceria, segera dia menghadap Irham semula.

“Kalau saya keluar dengan Fiz, boleh?”

“Tak boleh.”

“La, cakap tak boleh keluar sorang, habis saya nak keluar dengan siapa? Dengan Siti? Dengan Susanti? Tak pun dengan Mak Tom?”

“Dengan aku.”

“Hah?” mulut Zaara melopong mendengar kata-kata Irham itu.

—————————————————–

Irham terhenti berjalan, suasana di pasaraya itu mengingatkan dia pada mimpinya dulu, yang membuatkan dia nekad memilih Zaara sebagai isterinya. Mimpi di mana dia bersiar-siar di dalam pasaraya itu bersama Sherry dan Sherry tanpa segan silu menghabiskan duitnya. Bagaikan satu kejadian dejavu sedang berulang cuma bezanya gadis di sampingnya bukanlah Sherry, tetapi Zaara.

“Awak ni kenapa? Tadi nak ikut sangat, sekarang berhenti pulak?” Zaara menyoal sebaik melihat Irham berhenti bergerak.

“Eh tak ada apa-apa. Kau jalanlah dulu, aku ikut kat belakang.”

“Suka hati awaklah.”

Zaara melangkah laju ke arah sebuah butik pakaian yang bukan berjenama terkenal dan bukan milik pereka fesyen terunggul tanah air. Air muka Irham berubah, segera dia menghampiri Zaara.

“Kenapa masuk butik ni?” Irham menyoal separa berbisik.

“Habis nak masuk butik mana lagi? memang saya biasa pergi butik ni aje.”

“Tak ada butik yang lebih eksklusif ke?” Irham bersuara sambil memandang sekeliling yang kelihatan terlalu biasa di matanya, tiada yang istimewa.

“Jangan nak mengadalah Encik Irham! Butik macam ni je yang saya mampu pergi.” Zaara segera berlalu meninggalkan Irham yang masih tercengang.

“Ok tak?” Zaara menyoal pada Irham sambil memegang sehelai blaus berwarna merah jambu.

“Ok.” Irham menjawab tanpa memandang. Mimpinya suatu ketika dulu kembali menjengah ingatannya.

‘Mungkinkah kejadian dalam mimpi itu bakal berulang? Adakah Zaara pun sama macam Sherry yang mahu kikis harta aku?’ Irham kembali mengingati mimpi yang lalu, yang mana Sherry begitu galak sekali berbelanja. Ya memang itu sekadar mimpi, namun Irham cam sekali dengan perangai Sherry, dan perangai gadis itu memang tak ubah dengan dalam mimpinya. Irham sedikit gusar, gusar jika Zaara juga berperangai sebegitu.

Irham menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Entah mengapa dia boleh pula menawarkan diri untuk menemani Zaara hari itu, dia sendiri kurang pasti. Kata-katanya pagi tadi spontan keluar dari mulutnya sedangkan otaknya belum sempat berfikir. Sekarang dia bimbang, bukanlah kerana dia takut duitnya dihabiskan Zaara, tetapi takut jika Zaara juga berperangai seperti Sherry.

“Ok dah jom.” Kata-kata Zaara itu mengejutkan Irham dari lamunannya.

“Eh dah ke? Beli tak?” Irham menyoal.

“Dah, dah siap bayar dah pun. Bukan mahal mana pun, tiga puluh lima ringgit aje. Jomlah, saya lapar dah ni.”

“Hah! Tiga puluh lima ringgit je? Betul ke ni?” Irham kurang percaya, wajah Zaara ditenung, minta kepastian.

“Yelah, buat apa beli mahal-mahal, asal boleh pakai sudahlah.”

“Ceh, tak ada standard langsung.” Irham menjuihkan bibir.

“Nak standard, pergi Standard Chartered la cik abang oi.”

Zaara bingkas bergerak meninggalkan Irham termangu sendiri. Di dalam hati Irham, ada sedikit kelegaan yang mula mengusir tanggapan yang menyamakan Zaara dengan Sherry.

————————————————

“Kenapa awak nak ikut saya hari ni? Bukan selalu awak tak suka ke jalan-jalan dengan saya?” Zaara segera menyoal saat mereka berhenti makan di McDonalds. Puas jugak Zaara memujuk, barulah Irham sudi menjejakkan kaki ke restoren segera itu.

Irham yang sedang menyisip minuman di dalam gelasnya segera terhenti dari berbuat demikian. Wajah Zaara di hadapannya direnung tajam.

“Bila masa aku cakap macam tu?”

“Kan selalu awak tak pernah sudi bawa saya ke mana-mana. Sebab tu la saya anggap awak tak suka, awak malu berjalan dengan saya.”

“Siapa suruh kau anggap macam tu.”

“Habis tu?”

“Apa yang aku rasa, kau tak perlu tahu. None of your business.”

Zaara menghela nafasnya, sukar sekali memahami hati Irham, sekejap baik, sekejap kembali kepada hati keringnya.

Wajah Irham dipandang tanpa ada niat untuk bertanya lagi. Irham sedang khusyuk menikmati burger yang dipesannya sedari tadi. Kelihatan Irham begitu menikmati makanan itu seolah pertama kali berjumpa dengan burger sebegitu.

Perlahan Zaara turut fokus pada makanannya dan membiarkan mereka menikmati hidangan itu tanpa ada sebarang bicara lagi.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

40 ulasan untuk “Novel : Love You Mr. Arrogant! 20”
  1. ieda ismail says:

    alahai, lame lg ke nk tggu smbungannya

  2. munah says:

    harap2 sambungannya dapat kami baca tanpa perlu menunggu lama

  3. Nieya Sarah says:

    hehe.. citer ni best.. tp hero die mmg sbjik dgn hero korea le.. huhu

  4. asiko haera says:

    kedekutnya irham
    bkan nak beli wat hadiah sehelai dua baju
    tu confirm x pnah mkn mc d seumur idup

  5. keerthana says:

    saya suka jalan ceritanya tetapi saya belum baca novel itu lagi.lepas stpm sahaja nak baca novel itu

  6. sara says:

    pada saya, irham tu dh mula trtarik dgn zaara tp ye lah kan,ego tu
    pyah ckit nak kikis.
    nama pun Mr.Arrogant.
    nway,besssssssssssstttttttttt crite nih……

  7. fafa says:

    I love read this novel.many time sy ulg membca novel ni.jln cerita yg simple tp sy ske wtk zafriel.x rugi bli

  8. adibah umairah says:

    best giler novel nie dah diterbitkan buku lepas tuh jadi drama pulak kat tv 3 esok 25/4/2013…. x sabar rasanyeee hahahhah

  9. LadyZuely says:

    Kerana drama…aku mula menjelajah kesini…aduhhh gila aku dikerjakan si Irham ni

  10. ainis says:

    Bezt jaln ctew nvel nie

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"