Cerpen : Janda Berhias

17 July 2011  
Kategori: Cerpen

26,573 bacaan 90 ulasan

Oleh : ana sofiya

Ada orang tanya aku, “Alia, apa perasaan kau bila dah bergelar janda ni?”

Terpanar seketika dibuatnya bila mendengar soalan itu. Bagi aku, soalan itu pelik sangat! Adakah tanya macam tu? Kenapa? Kalian ingat seronok sangatkah hidup menjanda? Kamu semua nampak muka aku ni asyik tersenyum sahajakah? Atau, kau orang nampak aku asyik ketawa sejak bercerai ni?

Hello, umur aku baru 25 tahun. Layakkah aku bergelar janda pada usia semuda ini?

Nak tahu? Aku kahwin masa umur aku 24 tahun 7 bulan. Seminggu lepas kahwin, aku terus diceraikan suami. Sebab? Nantilah aku cerita. Sekarang, bagilah aku peluang nak luahkan perasaan.

Aku sedang geram sekarang. Geram pada orang-orang di sekeliling aku sejak aku jadi janda berhias ni. Hmm, bukan main sedap gelaran itu, kan?

Janda berhias!

Silap-silap, orang mesti membayangkan diri ini yang bergaya, cantik dan elegan, seperti Rozita Che Wan. Hmm, terasa bangga pula menyebut nama dia. Hai, Rozi! Kita geng! Tapi aku menang sikitlah sebab aku ni janda berhias. Tak ada anak. Tapi Rozita Che Wan ada dua orang anak, kan? Hisy, apa aku merepek ni?

Berbalik kepada masyarakat setempat yang tak senang dengan kehadiran aku sekarang ni. Memang susah nak cakaplah. Buat sakit hati aje. Sana sini tengok aku…huh….

Para isteri macam takut saja dengan diri aku ini. Wah, macamlah aku nak rebut suami mereka?? Dalam rasa marah yang membara dalam dada aku sekarang, rasa nak tergelak pun ada juga. Bayangkan, kalau aku dapat mengurat semua lelaki tu? Mestikah aku kahwin dengan mereka semua? Woit, berapa kuota yang aku ada? Satu? Dua? Tiga? Aku merepek lagi…

Eeii…. memanglah! Memang susah hidup menjanda ni. Patutlah mak menangis sakan bila Rosli mengaku dah ceraikan aku dulu. Bukan menangis lagi, dah tahap meraung, meratap. Iyalah, siapa yang tak malu. Kalau dah lama kahwin tu, lainlah cerita. Misalnya, tujuh tahun, tujuh belas tahun, adalah juga alasan yang boleh diterima akal.

Mungkin Rosli dah jemu pada aku ke? Mungkin Rosli dah jumpa pucuk muda ke? Tapi, Rosli ceraikan aku selepas tujuh hari kami kahwin. Macam tak relevan saja bunyinya, kan? Namun, hakikat tetaplah hakikat! Bukan boleh diputar semula jarum jam tu. Dan, kalau boleh putar balik pun, sumpah… Sumpah! Aku tak rela kembali ke pangkuan lelaki itu. No! Never! Never! (Maaf, aku kalau sedih sangat, mesti cakap omputih…)
……………..

Nama aku, Alia. Alia Yasmin binti Azizan. Dulu, aku bekerja sebagai seorang tutor di sebuah kolej swasta. Tak lama pun aku jadi tutor tu. Tak sampai setahun!

Aku berkenalan dengan Rosli sewaktu syarikatnya mengendalikan kerja-kerja selenggaraan di kolej tempat aku mencari makan. Biasalah, orang hensem, ramah, bergaya macam dia, tentu saja boleh menggetarkan hati perempuan muda seperti aku ni. Alah, lagipun, Rosli bukannya tua mana. Umur dia baru 34 tahun. Dan, yang penting, dia masih bujang.

Sejak kali pertama bertentangan mata, kelunya lidah untuk berkata. Renungan matanya menggetarkan sukma lalu terjalinlah kasih, ikatan mesra. Pandang-memandang, jeling-menjeling, usik mengusik. Sedar-sedar, aku sudah pandai merinduinya. Aku sudah pandai merajuk dengannya. Aku sudah…. jatuh cinta.

Itulah cinta pertamaku. Ya, Rosli bin Mohd Zaid merupakan lelaki pertama yang aku serahkan hatiku ini. Aku yakin padanya. Aku percaya padanya dan saat dia mengajak aku berkahwin, wow…. menitis air mata gembiraku.

Aku dapat merasakan bahawa Tuhan merestui hubungan kami. Apatah lagi, hubungan ini direstui oleh kedua emak dan ayahku. Ibu bapa Rosli? Dia kata, no problem. Dia kata, mereka juga terlalu ingin melihat dirinya naik ke jinjang pelamin. Jadi, tentu tak ada masalahlah, kan?

Tak pernah aku terfikir bahawa sebenarnya, Rosli bukanlah seperti yang aku harapkan. Tak pernah aku bayangkan bahawa Rosli mengahwiniku hanya kerana cabaran seseorang. Ya, Rosli sekadar menyahut cabaran kekasihnya.

Kata Haida, Rosli tak akan mampu hidup tanpa dirinya. Kata Haida, Rosli kahwin dengan aku hanya untuk membuktikan bahawa kata-kata Haida itu tidak benar. Kata Haida, Rosli cuma menggunakan aku untuk membalas rasa sakit hati kerana Haida meninggalkannya untuk berkahwin dengan seorang lelaki yang jauh lebih kaya.

Mulanya aku sangkakan semua kata-kata Haida itu hanya mainan. Hanya satu lawak jenaka. Namun, saat Haida menunjukkan semua pesanan ringkas Rosli kepadanya, rayuan demi rayuan supaya Haida kembali ke pangkuannya, hati aku hancur berkecai. Dia sudah berkahwin denganku tapi dia masih mampu mencoretkan kata cinta penuh sendu, penuh merayu kepada kekasihnya itu. Jadi, siapakah aku dalam hatinya?

Kata emak….
“Sabarlah, Lia. Nanti, bila Rosli dapat lupakan perempuan tu, dia akan balik pada kamu.”

Aku faham perasaan emak. Kekecewaannya amat nyata bila Rosli terkocoh-kocoh pergi meninggalkan kami sebaik mendapat SMS daripada Haida. “I have to go. Haida tak sihat. Dia masuk hospital!”

Itulah yang diberitahu kepadaku. Peristiwa itu berlaku pada hari ketiga. Genap empat hari selepas itu, aku terima surat yang ada lafaz cerai oleh Rosli. Jelas tulisannya…..

“Maaf, Alia. Aku terpaksa ceraikan kau. Kau bukan orang yang aku cinta. Aku hanya peralatkan kau untuk mendapat Haidaku semula. Jangan tunggu aku!”

Mak meraung. Ayah sakit dada. Mujur aku anak tunggal. Tak adalah yang lain mengirim ucapan takziah untukku.

Tapi, Allah Maha Kaya. Allah mendengar rintihanku. Kesedihanku tidak Allah biarkan begitu saja. Doa orang yang teraniaya amat makbul. Tahu-tahu, mereka berdua ditangkap ketika sedang berasmaradana.

Allahuakbar! Yang halal dia tolak, yang haram itu yang indah barangkali. Namun, aku bersyukur. Sangat-sangat bersyukur. Tidak mengapalah aku bergelar janda berhias daripada bergelar seorang isteri yang mengabdikan diri kepada suami seperti Rosli.
………………………

“Oi, Alia. Semalam kau balik pukul berapa? Siapa yang hantar kau?”

Aku segera berpaling ke arah suara Mak Pijah. Alah, kenal benar aku dengan suara bisingnya itu. Dah memang terkenal kepochinya. Satu taman perumahan Bukit Indah ini sudah sedia maklum dengan sikap suka menjaja keburukan orang yang dimilikinya.

“Laaa, pak cik Mahat tak bagitau pada Mak Pijah ke? Kitorang balik sama pukul 11 malam semalam. Dia tunggu saya di hentian teksi depan kedai bunga saya, mak Pijah. Jadi, kan… lepas saya kuncikan pintu, terus kitorang pergi Kampung Baru makan nasi lemak antara bangsa. Dah kenyang, terus balik sama-sama. Mak Pijah dah tidur, ya? Tu yang tak sedar masa Pak Mahat balik tu? Kalau tidak, boleh tanya dia.” Balasku selamba.

Kulihat wajah mak Pijah berubah. Tahu marah? Habis, sindir-sindir aku balik pukul berapa, dengan siapa… ingat aku ni kerja apa? GRO?

Agaknya dia sedang sakit hati tu. Baru dia tahu betapa hati aku ni lebih sakit mendengar soalan-soalan cepu tembaga yang keluar daripada mulutnya itu.

Maya, kawan baik merangkap pekerjaku di kedai bunga, Harum Kasturi, tergelak lucu mendengar ceritaku keesokan harinya.

“Weh, jahatnya mulut engkau, Lia. Tak takut kena sembat?”

Aku tersengih. “Siapa berani nak jahit sembat mulut aku ni? Nak kena rembat?” soalku kembali. Dan ketawa kami bersatu. Kuat dan lepas.

Aneh! Selepas lima bulan menjanda, aku tahu sikapku berubah sama sekali. Aku bukan lagi seorang yang lemah lembut seperti dulu. Aku memang pantang diusik sekarang. Kalau ada saja yang berani hendak mengata aku, aku terus serang dia sepertimana seranganku terhadap Mak Pijah. Mulut aku yang sangat-sangat aku sayang ni, insurannya cukup tinggi. Sebab itu aku berani bercakap sesedap rasa. Siapa yang makan cili, pasti akan rasa pedas yang meletup-letup jika tidak tahan menerima bisa lontaran kata-kataku.

“Err, helo… I nak beli bunga ni. May I?”

Amboi, sopannya. Siapakah gerangan yang empunya suara? Aku dan Maya berpaling. Sama-sama pulak tu, nyaris tak berlaga kepala kami.

“Girls??”

Maya yang terlebih dahulu sedar diri. Dia kan dah kahwin? Ops, maksud aku, dia tu isteri orang jadi impak yang diberikan oleh lelaki di hadapan kami ini tidaklah terlalu besar ke atas dirinya. Tapi, aku? Aku pun sama juga. Sejak dikecewakan oleh Rosli, aku dah tahu dah bahawa Looks Can Be Very Deceiving. Apa yang nampak tak semestinya apa yang sebenar. Jadi, meskipun mamat di hadapan aku ni pakejnya sungguh lengkap, hatiku yang sudah keras dan terkunci rapat ini dengan tegas menafikan hakikat. Senyum dia yang memang aku rasa untuk aku, kubiarkan sepi, tidak kubalas. Sepasang matanya yang memandang wajahku bersama renungannya yang redup mempesona itu tidak kuhiraukan.

“Ya, encik?” Aku bersuara. Aku tahu sikapku amat profesional sekarang. Aku sudah pro menepis lirikan mata atau apa juga kegatalan yang dicetuskan oleh lelaki. Setakat senyum, jeling-jeling, melirik, pada aku, tak jadi kudis semua tu.

“Hmm, orangnya cantik. Suara pun sedap. Jual bunga pula tu. Saya rasa macam terkena aura bunga-bungaan kat sini pula.”

Aku pandang Maya. Bibirku mencebik. Maya tersenyum saja.

“Nak beli bunga kan tadi? Atau, nak jual minyak?” balasku. Soalan tu terlahir menandakan aku sudah marah, walaupun sedikit.

Aku tahu bahawa lelaki itu dapat mengesan kemarahanku. Yang bagusnya, dia faham bahasa. Terus tengok jam dan dalam keadaan kalut, dia cakap, “Boleh bagi saya bunga Carnation, tak? Tiga tangkai, cukuplah.”

Aku hulurkan padanya satu bundle yang sudah siap kuikat. Ada 20 tangkai di situ.

“Nampaknya encik mengejar masa. Encik ambil satu bundle ni. Saya yakin, bila si dia dapat, dia akan senyum sampai ke telinga. Harganya RM28. Boleh?”

Lelaki itu terus mengangguk.

“Thank you,” katanya sebelum berlalu.

Sejak itu, setiap hari selama lima hari berturut-turut, dia akan singgah di kedaiku, membeli bunga carnation seperti yang dibuat pada kali pertama dulu.

Kami jarang berbual. Bila dia datang, sama ada aku sibuk melayan pelanggan-pelanggan lain ataupun aku sudah mengarahkan Maya untuk melayannya. Seperti hari pertama itu juga, sepasang matanya sentiasa tajam memerhati aku. Aku berpura-pura tidak peduli walaupun hatiku ini tetap berdebar menahan panahan matanya yang indah.

Aku tidak kenal dia. Sepanjang dia membeli bunga di kedaiku ini, aku tidak pernah bertanya tentang dia. Tapi, yang aku tahu, dia memandu sebuah Mini Cooper warna hitam metalik. Yang aku tahu juga, dia seorang yang sangat menjaga penampilan diri dan aku juga tahu yang dia tidak merokok. Namanya? Entah! Pekerjaannya? Juga, entah! Sudah kahwin atau belum? Yang ini susah sikit aku nak jawab. Kalau belum, bunga yang dibeli itu untuk siapa? Kalau sudah, kenapa asyik datang sendirian? Yang aku melalut memikirkan dia ni, apasal? Hai, sudah lupakah status diri tu wahai janda berhias?

Pagi itu, aku keseorangan di kedai. Maya? Biasalah, cuti hari Sabtu. Aku mana boleh melanggar etika kerja, kan? Hari Sabtu dan Ahad, adalah hari cuti untuk semua kaki tangan awam jadi Maya pun aku beri cuti juga.

Ketika aku sedang terbongkok-bongkok cuba mengambil setangkai bunga ros yang terjatuh, dia menyapa aku. Ah, macam mana aku tahu itu suara dia? Tentulah aku kenal…. 5 hari berturut-turut aku dengar suaranya yang sedap tu. Serak-serak basah, lebih kurang suara hero Korea kesukaanku, Jang Dong Gun. Perasan betul!

“Buat apa tu? Nak saya tolong?”

Aku bingkas bangun. Menjauhkan diriku daripada dirinya yang berbau harum. Betulkah dia yang wangi? Ataukah bunga aku ni?

Kerana gelabah, kepalaku terhantuk pada pelantar bunga. “Ouch!”

Ketika aku gosok kepala yang sakit, dia ketawa besar di sebelahku. Aik, tak baik betullah pak cik ni. Aku tengah sakit, dia gelak pula, gumamku.

“Sakit sangatkah? Nak saya tengokkan? Saya ni doktor.”

Iyalah tu! Doktor konon? Tak lain hendak mengambil peluang menyentuh aku.

“Tak percaya? Ini kad saya.”

Aku tengok saja tangannya yang sedang menghulurkan kad namanya. Tidak kuasa aku menyambutnya. Lalu aku berpaling.

“Nak bunga carnation macam selalu, ya?” tanyaku sambil mencapai bunga yang sudah siap kuikat.

Lama dia merenungiku sebelum dia menggelengkan kepala. “Pagi ni, saya nak bunga lili. 3 tangkai.” Ujarnya.

Jadi, memanglah yang sedang dirawat di dalam wad di Hospital Puteri Ampang itu ialah seorang gadis yang istimewa dalam hidupnya. Menghadiahkan bunga lili, tiga tangkai pulak tu membawa makna ‘Aku Cinta Kamu’. Hmm, cinta….

“Nah. Setangkai RM8, jadi 3 tangkai…”

“RM24. 00. Awak rasa, dia suka tak bunga ni?”

Aku jungket bahu. “Mana saya tahu?”

“Kenapa tak tahu pula? Awak kan perempuan?”

“Helo… rambut sama hitam, hati lain-lain tau! Lain padang, lainlah belalang.” Aku memberikannya dua peribahasa serentak.

Lelaki itu garu kepala. “Iya tak ya juga, kan?” Dia renung aku lagi. Tiba-tiba dia tanya aku soalan ini. “Kenapa awak tak pernah tanya nama saya?”

Hendak aku biarkan saja soalan tu, memang tak patut. Dia begitu setia menanti jawapan. Jadi, aku pun cakap, “Dalam akaun saya, yang ada cuma aliran keluar masuk duit saja. Duit awak penting untuk beli bunga saya, bukan nama awak. Jadi, saya tak perlulah ambil tahu apa-apa kecuali duit.”

Dia gelak. Jawab begitu lucukah bunyinya sehingga dia ketawa mengekeh? Tak faham aku dengan lelaki ini.

Dia renung muka jam. Bila dia buat begitu, hatiku lega. Itu maknanya, dia sudah ingin pergi. Tapi, sebelum jauh, dia berpaling dan menjerit, “Mata duitan!”

Kata-kata yang buat aku geram sepanjang hari.
…………………………..

Dr Hazim Syamil bin Ridzuan. Akhirnya aku tahu juga nama itu. Emaknya berketurunan Cina-Melayu dan ayahnya campuran Melayu-Inggeris. Boleh kau orang bayangkan rupa dia tak? Hmm, kata Maya, lelaki itu terlalu tampan. Memang sesuai dengan selera aku yang tinggi ini. Ewah! Pandai-pandai sahaja Maya mengatakan begitu. Kalau Dr Hazim Syamil tu dengar, buat malu sahaja.

Maya bagaikan sudah terlupa siapa aku dan apa gelaran yang aku bawa.

“So what? Janda pun berhak mencari bahagia, tau!”

“Hmm!”

“Apa hmm, hmm?”

“Weh, kau apasal? Nak jerit-jerit kat telinga aku ni?”

“Cubalah hidup semula!”

Aku renung wajah Maya tajam. “Kenapa, kau? Selama ni, aku ni hantu ke?” tanyaku.

Maya mendengus. “Rosli dah bunuh kau. Dia dah bunuh perasaan kau. Sebab tu kau dah macam zombi sekarang. Asyik kerja, kerja, kerja.”

“Jadi, apa masalah kau?”

“Lia, lelaki tu punyalah hensem, tinggi, tertib, sopan, berwibawa, berkaliber… dan yang penting, dia suka pada kau, tapi kau tu langsung tak ada hati perut nak layan dia. Kau biarkan dia aje. Kau tak peduli.”

Aku gelengkan kepala. Maya ni sebenarnya nak cuba nasib jadi penemu
jodoh. Matchmaker! Tuan doktor tu sikitpun tak pernah cakap dia suka padaku, Maya yang lebih-lebih. Tuan doktor tu tidak pernah langsung menunjukkan dia dah jatuh cinta pada aku, Maya yang pandai-pandai cakap aku tak peduli. Tak ada hati perut, konon! Sesungguhnya, Maya sudah dijangkiti penyakit perempuan-perempuan lain di sekeliling kami. Dia hendak aku kahwin cepat-cepat supaya suaminya selamat. Aku rasalah!

Aku ceritakan masalahku pada mak kerana emak satu-satunya yang faham gelora yang melanda jiwa ini.

“Tak baik kamu samakan Maya dengan orang lain. Kalau dia tahu, kecil hati dia.” Marah emak padaku.

“Habis, kenapa dia suruh Lia layan doktor tu?”

“Kalau suka, layanlah. Kalau tidak, biarkan aje.” Balas emak.

“Tak suka!” ujarku penuh yakin.

Emak kelihatan hampa. Kenapa, ya?

“Jangan takut nak mencuba sekali lagi, Lia. Perkahwinan pertama gagal, tak bermakna yang kedua akan gagal juga. Berilah peluang pada dia untuk menjadi suami kamu. Mana tahu, kut-kut Dr Hazim Syamil ni dapat membahagiakan kamu.”

“Kenapa semua orang ingat doktor tu suka pada Lia? Kenapa emak pun dah jadi macam Maya, yang nak suruh kami kahwin padahal doktor tu dengan Lia ni, bersembang pun cakap fasal bunga aje. Itupun cuma sepatah dua? Mak, biar Lia berterus terang. Buat masa sekarang, Lia memang tak nak ada apa-apa hubungan dengan mana-mana lelakipun. Sebab, Lia baru saja diceraikan. Lia tak nak orang ingat Lia ni perempuan yang mudah digoda. Lebih Lia tak mahu ialah orang tuduh Lia ni memburu lelaki. Dapat cekup sorang, kahwin. Lepas tu, cerai. Tidak, mak! Lia dah serik! Biar Lia macam ni saja. Kalau mak rasa malu dengan diri Lia yang dicemuh kanan kiri, biar Lia keluar dari rumah ni. Biar Lia duduk sendiri. Senang.”

Emak terpinga-pinga melihat kemarahanku. Ayah yang baru pulang dari masjid turut terpaku di hadapan pintu. Aku rasa bersalah sangat buat mereka begitu. Aku menyesal tapi, hati aku sakit. Dapat aku rasakan yang keadaan aku hidup menjanda ini seakan-akan menjadi beban kepada mereka berdua.

“Kamu tak tahu….”

“Apa? Apa yang Lia tak tahu?” soalku tegas. Aku lihat ayah dengan emak saling berbalas renungan. Hmm, tentu ada cerita baru yang aku ketinggalan sekarang.

“Orang cakap, suami kamu, si Rosli tu ceraikan kamu sebab…..”

Aku cemas menanti ayat seterusnya…..

“Sebab kamu dah tak suci lagi. Umpama durian yang sudah ditebuk tupai.”

Oooo……

Dapatkah kutahan air mata ini daripada mengalir deras menuruni pipiku? Dapatkah kutahan sedu sedan yang keluar dari peti suara? Dapatkah kutahan pedih jiwa yang dicaci dan dihina sebegini?

Nasib seorang wanita. Itulah aku! Rosli yang pergi, aku yang merana ditinggalkan, yang dipersalahkan. Rosli yang mengkhianati hubungan kami, aku yang diumpat dikeji. Difitnah, dikata. Takdir mempermainkan diri ini tapi aku, hanya aku yang dinista!

Tuhan, beri aku kekuatan! Beri aku kekuatan menghadapi semua ini. Tabahkan hatiku! Tetapkan imanku! Teguhkan pendirianku! Aku tidak mahu tewas kepada mulut-mulut lancang yang menabur fitnah tanpa belas kasihan. Aku tidak mahu kalah kepada orang-orang yang menuduh tanpa bukti. Kasihanilah aku, Tuhan! Kasihanilah diriku ini. Aku, aku hambaMU yang sangat-sangat tidak berdaya kini…..

……………………………..

Aku kini berada di Pulau Pinang. Membawa hati dan diriku ke Gertak
Sanggul di rumah mak su Aminah. Mak su tinggal sendirian. Suaminya sudah meninggal, lama dulu. Waktu itu umur anak bongsunya baru enam bulan. Mak su Aminah ialah adik ayah. Ketiga-tiga anaknya kini sedang belajar di sekolah berasrama penuh.

“Dugaan menjadi janda dan ibu tunggal ni sangat besar, Lia. Mak su pernah merasainya. Jadi, mak su faham kenapa kamu sedih sangat.”

Lembut tutur kata mak su mencengkam hatiku. Terkenangkan dirinya dahulu. Waktu pak su Romzi meninggal 13 tahun dulu mak su baru menjangkau usia 30 tahun.

“Kenapa mak su tak kahwin lagi?” soalku sambil merenung wajah jernih mak su. Dia seorang ustazah, mungkin kerana itu mak su sentiasa tenang agaknya.

“Bercerai hidup dengan bercerai mati, banyak bezanya. Pak su tinggalkan mak su dan anak-anak secara mengejut saja. Dia keluar memancing bersama kawan-kawannya dan bot mereka dilanda ombak, terbalik dan pak su lemas. Waktu dia pergi, hubungan kami sangat mesra dan penuh kasih sayang. Kenangan itu saja menyekat segala rasa untuk menikah lain. Lagi pun, mak su bimbang kalau mak su kahwin lain, lelaki itu jadi bapak tiri yang kejam pada anak-anak.” Mak su berjeda sebelum menoleh kepadaku. “Keadaan kamu pula lain, Lia. Rosli kejam pada kamu. Sebab perbuatannya, kamu difitnah. Sebab itu, mak su berdoa agar kamu jumpa lelaki yang baik, yang dapat gantikan tempatnya.
Supaya kamu boleh lupakan kemarahan kamu pada lelaki, lebih tepat lagi, kepada Rosli. Kalau ada lelaki yang baik, yang nak kamu, terimalah dia.”

Aku tersengih. “Belum jumpa lagi, mak su.” Ujarku.

Mak su turut tersenyum. “Iya ke?” soalnya.

Aku mengangguk laju.

“Kamu belum jumpa, tapi dia dah jumpa kamu!” bisik mak su sambil berdiri dan menoleh ke arah pintu pagar.

…………………….

“Awak buat apa ke mari? Macam mana awak tahu saya ada di sini? Siapa beritahu awak?”

Dr Hazim Syamil tersenyum lebar. “Saya ke mari cari awak. Dah lama tak nampak batang hidung awak di kedai, jadi saya risau. Saya pergi ke rumah awak dan ayah awak yang beritahu awak ada di sini. Does that answer your questions?”

“Doktor…”

“Panggil saya, Syam. Tapi abang Syam lagi baiklah sebab saya lebih tua daripada awak, Lia…”

Ni, doktor ni goda aku, aku tahu dah! Tapi, kenapa berdebar-debar kalau aku tak suka dia menggodaku? Haih… aku kena usir jauh rasa gementar ni. Tak boleh dibiarkan, takut nanti menjalar sakitnya ke hati. Payah!

“Tak kuasa nak berabang dengan awak.”

Dia ketawa. Matanya galak merenungi wajahku.

“Apa tengok-tengok?”

Dia ketawa lagi. Bila tawanya reda, dia jawab, “You are very beautiful. He was so stupid to leave you.”

“Awak tahu tentang Rosli?”

Dia angguk. “Saya tahu semua tentang awak.”

Dahiku berkerut-kerut. “Sejak bila?”

Sepasang matanya…. Kenapa suka sangat merenung aku sebegitu? Tajam dalam masa yang sama redup. Memukau! Ah, mahu tak tidur aku malam nanti!

“Sejak saya buat keputusan untuk mengenali diri awak dengan lebih dekat lagi, sejak itu saya selidik semua tentang awak. Hati saya ni meronta-ronta nak tahu kenapa awak sukar sangat menghadiahkan senyuman kepada saya. Hati saya ni mencari-cari sebab kenapa awak selalu mengelak saya bila saya ke kedai. Malah, saya hairan mengapa perempuan secantik awak seperti tak ada perasaan, macam zombi.”

Mataku membulat. Ini kali kedua aku dengar perkataan itu. Dulu Maya cakap aku macam zombi. Sekarang, doktor ini pula. Amboi, amboi… betul punya tak ada perasaan tu! Tapi, aku rasa, aku ni zombi yang cantiklah, kut?

“Awak pernah bercinta?”

Aduh, kenapa soalan ini yang aku tanya pulak?

Gelengannya buat aku kehairanan. Tidak percaya. Lelaki setampan dia tak pernah bercinta?

Seakan mengerti yang otakku sedang ligat mempersoalkan jawapannya, dia bersuara, “Jatuh cinta tu macam mana rasanya, Lia?”

Belum sempat aku hendak jawab, dia sambung ayatnya. Agaknya dia ni doktor psikologi di hospital, sebab tu mulutnya kuat mengomel, bisik hatiku.

“Kalau jatuh cinta tu maknanya asyik teringat, memang adalah tu. Kalau jatuh cinta tu bererti dah pandai merindu, hmm, pun ada juga. Kalau jatuh cinta tu buat saya rasa ingin memberikan perlindungan, memberikan kasih sayang, menyembuhkan luka dalam hati awak, Lia, maka ini kali pertama saya jatuh cinta. Sebab rasa ini hanya saya alami selama saya kenal awak saja. Ya, saya memang dah jatuh cinta dan gadis yang berjaya curi hati saya ialah awak, Alia Yasmin binti Azizan. Sudi balas cinta saya?”

Makk…….

Aku demam dua hari dua malam. Kata mak su, selama aku demam, dia tinggal menginap di Hotel Seri Malaysia di Bayan Baru. Setiap dua jam, dia akan bertanya khabar. Tapi, dia tak datang jenguk akupun. Dia bimbang takut demam aku melarat tengok muka dia.

Mak su tanya aku, apakah aku sudi menerima jika doktor itu menghantar wakil untuk meminangku. Aku geleng. Aku tak mahu. Aku suruh mak su beritahu dia bahawa aku tidak sudi menerima cintanya. Aku suruh dia balik ke KL, jalani hidupnya seolah-olah dia tidak pernah mengenali diriku.

“Kalau awak berani, Lia, tolak cinta saya bila kita bersemuka. Face to face. Jangan pakai orang tengah untuk melakukannya.”

Aku tahu dia marah bila mendengar suara kerasnya dalam panggilan terakhir itu. Alah, marahlah! Aku tak kisahpun! Aku yakin, apa yang dia rasa, tak akan kekal punya. Nanti, bila dia bertembung dengan mana-mana anak dara, semua perasaannya pada aku, si janda berhias ini, pasti akan bubar dengan sendirinya.
…………………….

Seorang wanita cina (mualaf agaknya, sebab dia bertudung) yang aku agak berumur dalam lingkungan 55 tahun melangkah masuk ke dalam kedaiku dengan bergaya sekali. Matanya sedikit sepet bila merenung wajahku. Riak wajahnya bagai tidak gembira melihatku.

“Alia?”

Bulat mataku. Dia kenal akulah, tentu aku hairan.

“Nama saya Elisa. Saya ni ibu Hazim Syamil.”

Owhh….. nama itu! Ingatkan sudah berkubur kerana sejak kisah di Pulau Pinang dulu, dia tidak langsung menghubungiku. Marah benar dia kepadaku. Sebab itu dia tidak langsung menjenguk mahupun bertanya khabarku. Berapa lama? Taklah lama. Baru seminggu.

“Err, duduklah, puan.”

Apa mahunya? Nak cari gaduh ke?

“Apa yang kurang pada Syam sampai awak tolak dia mentah-mentah? Langsung tak bagi peluang untuk dia dekati awak?”

Tentu dia anak manja, kan? Mengadu hal pada emak. Cis, muka tak malu. Dah tua pun masih nak duduk bawah ketiak emak. Macam itukah orang yang harus aku buat suami? Memang wajib dibuang daripada senarai ni!

“Dia tak ada kekurangan apa-apa, puan. Saya aje yang tak selesa dengan dia.” Jawabku ikhlas. Kulihat Maya mencebik. Memang nak kena perempuan tu. Suka sangat menyakitkan hati aku sekarang.

“Kenapa?” Puan Elisa kehairanan.

“Sebab saya ni janda. Did he tell you that?”

“Awak janda?”

“Ya. Saya bercerai 7 hari lepas berkahwin.”

“Tujuh hari? Apa yang awak dah buat sampai begitu sekali suami awak marah? 7 hari? Kalau pasangan lain, tengah berbulan madu tu!”

Aku tak kuasa menjawab. Kalau orang perempuan pun meletakkan kesalahan kepada seorang perempuan, baik diam saja. Buat sakit hati hendak menjelaskan. Dia tentu tidak akan percaya.

“Jadi selama ni, anak saya tu angaukan seorang jandalah, ya? Tak senonoh betul si Syam ni. Macam tak ada betina lain dalam dunia ni.”

Dengan ayat yang tajam menikam hati aku itu, dia berlalu.

Maya memeluk erat tubuhku. “Jangan nangis! Jangan sedih! Dan, maafkan aku. Aku terlalu mendesak kau untuk terima dia.” Desahnya.

Jadi, tepatlah keputusan yang aku buat, kan? Penolakanku berasas. Pada usia 30 tahun, dan dengan gelaran anak teruna, mana mungkin ibunya mahu bermenantukan seorang janda berhias menjadi isteri anaknya? Tentu sukar hendak menerima aku! Tentu malu pada kaum keluarga.

Begitupun, Dr Hazim Syamil memang seorang manusia yang sangat pelik. Aku sangkakan sebagai ‘anak emak’, dia tentu sahaja tidak akan menghubungi aku lagi. Pasti, dia sudah kena cukup-cukup dengan ibunya langsung tidak berani melawan kata. Aku amat yakin bahawa Puan Elisa tentu sahaja sudah memberi seribu satu alasan mengapa dia wajib melupakan diri ini.

Tapi bukan itu yang berlaku. Kini, selepas dua hari peristiwa ibunya datang, aku menerima kuntuman bunga berbakul-bakul darinya. Agaknya Syamil lupa bahawa aku ni taukeh kedai bunga. Tapi, tak kisahlah. Aku memang suka bunga pun cuma ayat yang dititip bersama-sama bunga itu yang aku tak tahan.

“Bukalah pintu hatimu untukku, akan aku penuhinya dengan cintaku!”

Jiwang karat!

“Biar aku mencintaimu saja, aku pasti menunggu saat engkau membalas cintaku ini nanti!”

Eleh, berapa lama sanggup menungguku?

“Kalaulah saja aku terlebih dahulu menemui dirimu, yakinlah, hanya senyuman yang terukir di bibir mungilmu itu. Hanya senyuman! Tak ku biarkan walau setitis air matamu jatuh! Tak ku biarkan walau sedetik, senyummu sirna daripada pandanganku!”

Tapi, aku dah menangis ni. Dia dah buat aku menangis dengan ayat-ayatnya itu. Aku tak rela!

Dia kembali menjenguk aku di kedai. Hisy, bukankah kerja seorang doktor sangat sibuk? Tapi kenapa dia sentiasa ada depan mata?

“Saya ambil bidang kedoktoran dengan duit sendiri di Tasmania. Saya tak hutang apa-apa dengan JPA ke, MARA ke. Itu sebabnya saya bebas dan tidak terikat bekerja di hospital kerajaan. Bekerja di hospital kerajaan tu hanya untuk saya menimba pengalaman. Lepas tu, saya buka sendiri klinik di Kajang.” Dia memberitahu. Entahlah, dia ni macam tahu saja apa yang bersarang dalam kepala otak aku ni. Aku belum tanya, dia dah sibuk beritahu segala.

“Lia?”

“Mak awak marah sangat bila dia tahu saya ni janda.”

“Tapi, dia okey dah bila saya cakap awak ni janda berhias.”

Kenapa lirikan matanya itu nakal menggoda? Kenapa tersenyum-senyum? Owhh…

Tanpa sedar aku mencubit pahanya.

“Adui…! Woo, sakitnya!” Wajah putih itu merona kemerahan menahan sakit. Baru dia tahu. Mengada-ada.

Semakin hari, semakin aku ingin bersamanya. Aku sudah berani menerima undangannya untuk makan bersama-sama. Aku sudah mahu diajak untuk pergi membeli-belah. Aku benarkan diriku menemaninya jika dia perlu menghadiri majlis-majlis sosial. Hati kembali berbunga. Aku mula menikmati hari-hari yang bahagia. Dan, aku rasa, aku sudah jatuh cinta kali kedua sehinggalah satu hari, aku nampak dia berjalan seiringan dengan seorang gadis yang sangat cantik.

“Siapa perempuan tu?” tanyaku bila kami berjumpa. Aku tidak menyembunyikan hakikat bahawa aku nampak dia dengan si dia.

Dia melepaskan keluhan. “Someone from my past!”

Aku tergelak kecil. “Kata tak pernah jatuh cinta?” perliku, cuba mengingatkannya tentang kata-kata yang pernah terluah untukku.

“You are my first love.”

“Habis, dia?”

“Cerita lama. Tak usahlah dikenang lagi.”

“Syam, tolonglah! Kalau boleh, Lia tak mahu ada rahsia antara kita.” Ucapku gugup. Entah kenapa, aku jadi takut untuk mendengar
pengakuannya. Tapi, aku sudah terlanjur kata. Aku sudah meminta dia berterus terang. Aku harus kuat! Kuat dan tabah menghadapi kemungkinan yang bakal mengecewakan aku.

“It was a mistake. We were so young then!”

Aku terpaku. Kata-kata itu saja sudah cukup membuat hati aku keresahan. Aku semakin yakin bahawa di antara Syamil dan wanita cantik itu pernah terjalin satu hubungan. Sejauh manakah hubungan mereka? Istimewakah dia dalam hidup Syamil? Kenapa saat ini aku jadi takut kehilangannya?

Entahlah! Aku belum memilikinya, tapi aku dapat merasakan bahawa aku akan kehilangannya. Apakah mungkin ini takdirku? Tidakkah aku berhak untuk merasa bahagia? Kenapa hanya sementara sahaja dapat aku menikmatinya. Dengan Rosli? Dengan Syamil?

Air mataku tumpah saat dia memberitahu bahawa gadis itu pernah menjadi tunangannya. Aku lari tinggalkan dia, tidak mahu mendengar penerangannya lagi. Cukuplah itu yang aku ketahui. Dia bohongi aku. Konon akulah cinta pertamanya. Habis, dia tak pernah bercintalah dengan tunangnya tu! Pembohong! Aku benci dia!
………………….

“Aku nak cakap yang kau ni bodoh, kang kau marah. Tapi, tindakan yang kau buat ni memang dah tahap dungu. Kau tahu tak?” Maya menengkingku.

Sesedap rasa dia marahkan aku. Nasib baiklah aku dah kebal.

“Cakaplah apa yang kau nak. Aku tak kisah!” balasku.

“Syamil bukan Rosli, Lia. Syam ada alasan kenapa dia tak berterus terang.”

Aku terus diam. Malas nak layan Maya. Biarlah mulutnya pot-pet, pot-pet. Nanti dah jemu, dia diamlah.

Malangnya, Maya ni memang murai yang tercabut ekor. Selagi aku tak jerkah dia suruh diam, tak mahunya dia tutup mulut dia tu!

“Diorang bertunang sebab….”

“Mereka dah terlanjur?”

“Siapa yang cakap macam tu?”

“Akulah! Itu saja alasan yang logik dalam fikiran aku ni!”

“Rendahnya awak menilai saya? Lia, saya masih beragama Islam. Saya pegang kuat pada tali Allah. Jangan nak fitnah saya yang bukan-bukan!”

Syamil betul-betul marahkan aku kali ini. Entah sejak bila dia datang dan apa yang sudah didengarinya, aku tak pasti. Cuma, dia memang tersangat marah padaku sekarang.

“Kalau bukan itu, mengapa awak sebut begini dulu? ‘It was a mistake. We were so young then!’ soalku nyaring. Ingat, dia saja boleh marah? Aku tidak?

“We tu maksudnya saya, Zaidah dan Alex. Kami kawan baik masa tu. Saya tak tahu yang Zaidah sukakan saya. Alex pula sukakan Zaidah tapi Zaidah buat tak tahu. Alex takut kena tinggal dengan Zaidah, dia pun….”

“Buat macam Seth Tan buat pada Nora Elena?” Maya mencelah.

Orang tengah serius, Maya pula buat lawak. Manalah Syamil pernah tengok cerita Nora Elena tu?

“Kasih yang suci?”

Aik? Syamil pun tahu….

Agaknya rasa musykil itu terpampang jelas pada mataku kerana Syamil segera memberitahu, “Saya suka baca novel. Kasih yang suci tu antara novel kesukaan saya.”

“Syamil??”

Maya nyata mahu Syamil terus bercerita. Minah tu memang! Penyibuk!

Syamil angguk. “Tapi, Zaidah tuduh saya yang buat. Tuduhannya menyebabkan emak bapak kami paksa kami bertunang.”

Ternganga mulutku. Kejam betul perempuan tu! Sampai hati memfitnah lelaki yang dianggap sebagai kawan baik!

“Awak ikut aje cakap mak dan ayah awak? Kenapa tak nafikan? Buat ujian DNA? Tentu maruah awak dapat diselamatkan!”

“Awak ni memang perlu belajar banyak tentang Syamil, Alia. Semangat setia kawannya yang kental. Dia tak mahu mengaibkan keluarga Alex, jadi dia rela tanggung semuanya. Yang salah, saya. Saya cintakan Syam dan tak sanggup kahwin dengan Alex. Saya fikir, apa yang Alex buat mampu dekatkan kami. Tapi,”

Aku cukup tak suka cerita yang tergantung. Sebab itu aku bersungguh-sungguh merenung Zaidah, mengharap dia segera meneruskan ceritanya.

“Tapi, saya sedih tengok dia. Konsentrasi belajarnya hilang. Dia banyak termenung. Kurang bercakap. Saya hilang seorang kawan bila saya memaksa Syamil menjadi kekasih hati saya. Dan, itu cukup menginsafkan.”

“And I know what I did was wrong. Saya hilang kedua-dua teman baik kerana saya tamakkan cinta Zaidah. So, saya confessed pada Syamil dan saya merayu Zaidah supaya terima saya. Alhamdulillah, kami memang berjodoh. Zaidah isteri saya. Dah lima tahun kami kahwin. Cuma, kami belum ada anak lagi sejak Zaidah keguguran, tapi, saya percaya, Allah akan beri kami rezeki nanti.”

Aku pandang wajah Syamil sambil menguntum senyuman yang sengaja menggodanya. Sengaja juga aku melirik ayu, biar tidak lena tidurnya malam nanti. Suaraku sengaja beralun sedikit manja. Mungkin terlebih mengada, kut…

“Pandai awak, ya. Nak pujuk saya sampai bawa saksi segala. Kenapa? Takut saya tak mahu terima awak semula ke?”

Syamil turut tersenyum. Sepasang matanya itu menghantar isyarat cinta kepadaku. “Janda berhias yang saya nak goda ni, garang. Untuk membuktikan saya di pihak yang benar, saya kena pastikan bukti saya kukuh. Cukup kuat untuk menggegar tembok keras yang dia bina. Tembok yang menghalang dia membalas cinta saya yang berkobar-kobar pada dia.”

Semua orang ketawa mendengar gurauannya. Aku? Tentu sahaja tersipu malu.

Zaidah menghampiriku. “Awak bertuah memiliki hati Syamil. Jangan lepaskan dia. Kalau boleh, cepat-cepatlah kahwin.”

Aku ingin mengenakan Syamil. “Saya ni kan janda. Untuk kahwin kali kedua, esok pun boleh dah. Syam tu entah-entah tak pergi kursus kahwin lagi,” usikku.

“Esok?” soal Syamil sambil tersengih.

Sebak rasa hatiku melihat keceriaan pada wajahnya. Dia kelihatan sangat teruja untuk membina mahligai bahagia bersamaku. Dia kelihatan tidak sabar untuk bergelar suamiku. Dia kelihatan begitu beria-ia untuk memilikiku.

Saat ini, aku tahu bahawa aku perlu memberikan Syamil peluang untuk membahagiakan diriku ini. Aku mahu melupakan kesakitan sepanjang bergelar janda berhias. Aku tahu, Syamil mampu membantuku melupakan semua kenangan pahit itu. Aku yakin, Allah temukan kami untuk menyatukan kami berdua. Bukankah kadang-kadang, kita jatuh cinta dengan orang yang salah sebelum bercinta dengan dia, dia yang bakal bergelar suami dan kekasih?
…………………………

Syamil membawa aku berbulan madu ke Tasmania. Katanya, Tasmania merupakan salah sebuah tempat yang paling cantik dalam dunia. Dia ingin mengabadikan cinta kami di sana. Penuh keindahan. Penuh keasyikan.

Tasmania, saiznya hampir sama dengan Malaysia tapi bilangan penduduknya hanya lebih kurang 500,000 orang. Sepuluh hari semasa berada di sana bagaikan tidak mencukupi untuk aku dan Syamil melihat keseluruhan tempat-tempat menarik.

Kami menginap di inap dan sarapan bersebelahan rumah agam lama yang unggul dan kotej nelayan yang sederhana di Battery Point, tempat yang mendapat namanya dari senjata api yang diletakkan di Tasmania pada tahun 1818. Syamil membawa aku ke Kelly’s Steps yang dibina oleh pengembara lagenda, James Kelly. Dari situ, kami mendaki puncak Mount Wellington yang berangin untuk melihat pemandangan yang mempesonakan merentasi Hobart, Bruny Island, South Arm dan Tasman Peninsula.

Kata suamiku, tidak lengkap percutian kami jika tidak berjalan merentasi jambatan tertua di Australia dan berdiri di dalam sel penjara tertuanya di Richmond yang indah, 30 minit perjalanan ke timur laut Hobart. Buat pertama kali dalam sejarah hidupku, kujelajahi jalan batu buntar di bawah cahaya lampu gantung di tebing Coal River. Pengalaman yang sukar dilupakan terutama bila si dia tidak pernah jauh dariku. Kehangatan tubuhnya dalam kedinginan iklim di Tasmania amat aku dambakan.

Kami membawa pulang ole-ole yang kubeli di Salamanca Market yang sibuk. Syamil ketawakan aku. Fikirnya aku hendak membeli keju dan sayur organik untuk dibawa balik ke Malaysia. Geram aku bila disindirnya. Tapi, akhirnya dia akur bahawa pilihan tanda kenangan kami sangat menarik. Ada peniup kaca untuk kaum lelaki, ada bahan tembikar sebagai hiasan untuk emak dan beberapa kraftangan untuk kawan-kawan termasuk Maya dan Zaidah. Untuk Syamil? Kuhadiahkan potretku, yang sempat dilukis oleh seorang pelukis jalanan. Dan, Syamil? Biasalah…. mentang-mentang aku ni taukeh kedai bunga, dihadiahkan kepadaku bunga mawar pelbagai warna. Sayang punya fasal, aku terima ajelah. Bunga segar tentu sesegar cintanya padaku, kan?

Malam terakhir kami di Tasmania, tubuhku didakap erat. Aku bahagia dalam pelukan kasihnya. Semakin bahagia bila dia berbisik dan meluah rasa, “Abang sayang Lia, cintakan Lia. Semoga cinta ini tak pudar selama-lama. Lia sayang abang, tak?”

Aku angguk. Cukuplah, tidak perlu bersuara. Dia pasti mengerti bahasa tubuhku saat ini.

“Ni untuk isteri kesayangan abang.”

Syamil mengambil tapak tangan kiriku, mengangkatnya, mencium setiap inci jari jemari halusku yang runcing sebelum menyarungkan sebentuk cincin di jari manisku. Patutlah dia suruh aku tanggalkan cincin yang sedia tersarung di situ, rupa-rupanya ini hadiah istimewa ditempah khas untukku. Cincin bertatah berlian halus namun berkilauan dalam kesamaran cahaya lampu bilik penginapan kami.

“Bunga yang abang bagi tadi sekadar memberitahu Lia bahawa cinta abang ini sentiasa segar dan mekar, selagi Allah mengizinkan. Tapi, cincin ini abang harap Lia pakai sampai bila-bila kerana abang tempah sambil memikirkan Lia, sambil berdoa agar Lia sukakannya. Cincin yang disarungkan ke jari, hanya akan tercabut bila Lia menariknya keluar, Lia.”

Aku menangis di dadanya kerana aku mengerti bahawa dia akan sentiasa di sisiku selagi aku mahukan dia bersamaku. Ah, suamiku. Percayalah, aku lebih takut akan kehilanganmu, aku lebih tidak sanggup berjauhan darimu. Aku akan penasaran tanpamu. Akan aku jaga cincin pemberianmu kerana ia bagaikan aku menjaga hatimu. Menadah cintamu yang penuh untukku. Takkan mungkin aku berpaling, selagi Allah mengizinkan.

“Lia sayangkan abang. Maaf, Lia terlewat mengucapkannya, bang, tapi demi Allah, abang sudah membuka pintu hati Lia luas-luas untuk menerima abang. Lia cintakan abang. Benar-benar cinta!”

Hazim Syamil bagaikan terpukau mendengar pengakuanku. Semakin terpukau bila aku cuba membuktikan cintaku padanya. Senyum yang semakin jelas terukir buat aku benar-benar bahagia. Dan, aku merelakan diriku dalam dakapannya. Dalam kemesraan yang indah milik kami berdua.

…………………………….

Kepada anda yang pernah gagal sekali dalam bercinta, jangan takut untuk mencuba kali ke dua, mahupun ke tiga, ke empat atau lima. Tapi, janganlah bercinta kerana nafsu. Ia membutakan mata dan hati. Janganlah bercinta kerana orang lain bercinta, perasaan terpaksa tidak indah. Bercintalah kerana DIA. Bila cinta milik DIA sebenar, batas dan had tidak akan dilampaui. Harap anda mengerti.

sofi.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

90 ulasan untuk “Cerpen : Janda Berhias”
  1. nana says:

    good job girl………..

  2. nabilah azima says:

    best! :D

  3. natasya syakirah says:

    gempak giler cite nie !!! saye suke saye suke !! good job writer :)

  4. sayasukabaca says:

    suke suke suke…..
    saya suke perempuan garang!!!!
    ;p

  5. P1 says:

    suka sangat baca karya ni.. bg pgajaran pd kita semua bhwa mlalui khidupan sbgai janda ni agak sukar,,and jgn pandang serong pada janda. like sgt2 karya ni. :D

  6. siti says:

    best-2… bnyak pengajaran laah !

  7. kristy says:

    wah bez cita ni….aq ni da gagal 3 kali becinta..trauma nk kapel2 lg…tp klu dpt lelaki cm syamil sumpah x tolak pnya…so sweet

  8. mmy says:

    menarik..tahniah penulis…

  9. nur_nycest says:

    terbaek la writer…..

  10. era nisrina says:

    ada apa pd status, jnji di landasan yg betul. very nice writer, i like it…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"