Novel : Aku Bukan Mistress 9, 10

20 July 2011  
Kategori: Novel

38,181 bacaan 18 ulasan

Oleh : Acik Lana

Bab 9

Datin Adiba tersenyum tatkala melihat Mikail turun dari tangga. Sejak tengahari tadi, entah angin lintang mana melanggar anak terunanya sampaikan mahu melihat segaris senyuman di bibir itu pun payah. Malah Mikail berkurung seharian di dalam bilik. Terdetik naluri keibuannya untuk bertanya, namun dia mahu memberikan ruang kepada Mikail supaya bertenang terlebih dahulu. Mungkin anaknya mahukan ruang dan masa bersendirian.

Bukan dia tak tahu sikap Mikail, lambat laun pasti Mikail akan membuka mulut padanya. Bercerita dan meminta pendapat dan pandangannya sebagai seorang ibu. Walaupun Mikail lebih suka memencilkan hidup sendiri di sini berbanding tinggal di rumah besar mereka, namun anaknya ini rajin menelefon dan bertanya khabar setiap hari. Cuma untuk bermalam di rumah besar adalah sesuatu yang agak sukar dilakukan oleh Mikail sejak insiden beberapa tahun lalu berlaku.
Alangkah baiknya jika semua itu tak pernah terjadi dalam keluarganya. Datin Adiba mengeluh kecil. Hati tuanya tidak aman dengan kepincangan rukun dalam keluarganya. Damai di rumah itu sudah tiada lagi sejak Mikail membawa rajuk ke mari. Pantas dia mengalihkan pandangan ke arah Mikail yang kelihatan sugul dan sedikit pucat.

“Mika, you want something for dinner? Mama dah order pizza. Okey ke kalau makan tu aje? Or Mika nak mama masakkan something?”

Mikail yang merebahkan badan di sofa hanya menggeleng. Tangannya mencapai remote Tv dan menekan butang-butangnya tanpa minat. Tiada rancangan yang menarik minatnya saat ini.

Datin Adiba sekadar memerhati dari ruang bacaaan. Entah apa gelojak hati si Mikail saat ini, dia belum dapat meneka.

“Mika..” Panggil Datin Adiba lembut. Mika menoleh dan dihadiahkan sekuntum senyuman yang pada pengamatan Datin Adiba, senyuman tawar dan dibuat-buat. “Mika ada problem ke? Tak nak share dengan Mama?”

Mikail sekadar tersenyum kelat. Mampukah Mama menerima jika diceritakan segalanya? Jika diluah tentang siapa diri Mya, tentang segala kehidupan terlampau mereka, masih mampukah Mama bercakap lembut seperti ini dengannya? Dia kenal Mama, pastinya Mama akan melenting dan merajuk panjang, jadi semua ini tak sesuai diceritakan saat ini.

“Mika okey Ma, Mama jangan risau.” Tuturnya dengan senyuman yang dipaksa kelihatan ikhlas. “Mika penat je kot. Dah lama tak jogging jauh-jauh macam tadi.”

Datin Adiba tergelak, dalam perasaan berbelah bahagi dia yakin Mikail tak bercakap benar. “Okey, lain kali weekend rehat aje dekat rumah.” Datin Adiba bangkit menghampiri Mikail di ruang depan. “Hidup ni sekali sekala kena la bagi ruang untuk berehat. Duduk rumah, baca buku atau main video game. Jangan fikir kerja aje 24 jam.” Usul Datin Adiba seraya duduk di sisi Mikail.
“Dah bosan main game Ma..” Tingkah Mikail lembut. Sesungguhnya jika disaat ini dia disogokkan dengan permainan video terhebat di dunia sekalipun, pastinya tak akan mampu meredakan rasa sakit di hatinya. Mikail mengetap bibir mengenangkan insiden pagi tadi. Mendidih dan menggelegak seluruh hatinya membayangkan kemesraan Mya dan Jeff durjana itu. Pening juga memikirkan sikap Mya yang begitu mudah mempercayai lelaki luar.
“Mika, Mama cakap dengan Mika ni.”

Satu cubitan hinggap di paha Mikail, Mikail mengaduh sambil tangannya menggosok paha yang sedikit pedih.

“Orang cakap dengan dia, dia boleh mengelamun. Anak bertuah!” Gomel Datin Adiba sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Sorry, Ma..” Mikail tersengih memandang Datin Adiba. “Mama cakap apa tadi?”

“Mama cakap, Mama nak naik atas solat Isyak. Kalau budak Pizza datang, kamu ambil la dulu. Duit ada kat atas kabinet tepi pintu tu.” Datin Adiba memuncung ke arah pintu utama. Mikail mengangguk-angguk faham.

“Jangan mengelamun pulak, kang tak dibukaknya pintu tu.” Sempat Datin Adiba berpesan sebelum menghilang di ruang atas kondo tersebut.

Mikail menyandarkan tubuh sambil memejamkan mata. Cuba mencari kekuatan di segenap dirinya agar dia mampu menghadapi semua ini, menghadapi hakikat yang mungkin pedih iaitu kehilangan Mya Arlissa! Ah, nama itu terlalu indah untuk disebut. Mengingatkan namanya sudah cukup membuatkan hati lelakinya bergetar, belum membayangkan empunya diri lagi.
Dia tak pasti mengapa detik ini dia merasakan Mya Arlissa begitu penting untuknya. Entah sebagai apa dia sendiri tak tahu. Cuma sepanjang 2 tahun bersama Mya, dia merasakan hidupnya cukup bahagia walaupun awalnya dia menganggap Mya hanya sekadar wanita yang dibeli untuk memuaskan keinginan lelakinya. Dia bahagia dalam diam. Dia tak perlu tunjukkan betapa dia gembira setiap kali Mya ada di sisinya kerana dia tahu Mya Arlissa takkan ke mana-mana. Kaki dan tangan gadis itu sudah dirantai.

Dulu dia sendiri pernah menanam tekad di dalam hati, dia sama sekali tak akan menyimpan apa-apa perasaan pada Mya. Sampai satu masa, dia akan melepaskan Mya pergi. Kerana saat itu dia merasakan Mya tak ubah seperti perempuan murahan di luar sana yang rela menggadaikan diri untuk kemewahan dunia dalam sekelip mata. Tak pedulikan perasaan cinta atau setia, yang penting wang ringgit dipertaruhkan.Namun makin hari mengenali Mya, hatinya kuat merasakan Mya bukan gadis seperti itu. Sedikit demi sedikit sikap Mya menghakis tanggapan buruknya selama ini.

Selama bersamanya, Mya tak pernah meminta dibelikan apa-apa. Malah duit setiap bulan yang diberi kepada Mya, disimpannya dalam laci di sudut bilik tanpa berusik. Pernah juga dia bertanya, namun Mya memberi alasan segala di rumah itu sudah mencukupi untuknya, dia tak perlukan yang lain. Bingung juga memikirkan sikap gadis itu. Lama-lama dia tidak lagi mengambil endah tentang itu, cuma dia rajin membelikan baju-baju berjenama dan perhiasan kepada Mya.

Ya, seharusnya wanita secantik itu dihias dengan indah apatah lagi Mya miliknya, haknya untuk dihadap setiap hari. Sungguh dia tak pasti dengan perasaannya kini. Mustahilkah dia jatuh hati dengan Mya? Selama ini tak pernah pun dia berlembut dengan gadis itu, bagaimana hatinya boleh jatuh bergolek begitu sahaja?

Malah kadangkala mereka langsung tak bertegur sapa, dia lebih suka mendiamkan diri dan membuat hal sendiri. Begitu juga Mya. Cuma sejak mama ke sini, moodnya cukup baik untuk berbual-bual dengan Mya, malah giat pula menyakat gadis cantik itu. Aneh bukan?

Dia akui awalnya Mya langsung tak tergolong dalam senarai gadis idamannya walaupun gadis itu kelihatan sempurna secara fizikal. Entahlah, hatinya susah untuk jatuh cinta lagi, malah berpuluh-puluh gadis sudah dia temui namun belum ada yang mampu meyakinkan dia untuk membuka hatinya kembali. Kebanyakan perempuan itu hanya berminat kepada harta bendanya yang tak mungkin pernah habis.

Tetapi jika Mya tak berjaya mengusik-ngusik tangkai hati lelakinya, kenapa kini dia resah gelisah bila Mya tiada di depan mata? Kenapa kini dia benar-benar rasa terluka dipinggirkan Mya? Permainan hati memang menyesakkan dada!

Mikail mengeluh dan memejamkan mata. Cuba mengusir wajah Mya yang menari-nari di dalam mindanya. Kecantikan gadis itu membuatkan dia rasa tak selamat, bimbang nanti terlalu ramai menginginkan gadis itu. Senyuman Mya memang sering mendamaikan hatinya dan kini dia tak tentu arah bila wajah itu tak dipandangnya.

Kenapa? Atau memang semua lelaki berperasaan seperti itu bila melihat Mya? Jeff juga? Ah, sial sungguh lelaki itu. Kalau tak difikir panjang pagi tadi, mahu saja dia mendebik lelaki tak guna seperti itu. Namun kata-kata terakhirnya pada Mya tadi membuatkan dia menyesal sendiri. Bagaimana kalau Mya betul-betul beranggapan dia memang maksudkan apa yang dikatakannya tadi?

‘Jangan balik ke sana lagi Mya..’

Tak! Dia tak maksudkan begitu, cuma saat dan ketika itu dia terlalu marah dengan apa yang berlaku. Dia letih kerana memikirkan Mya malah terpaksa berpusing berkali-kali di kawasan perumahan yang sama hanya kerana mahu menjemput gadis itu pulang, tapi akhirnya dia dimalukan seteruk itu.

Ah, parah betul. Hatinya bungkam dan ada rasa pilu mengalir perlahan di situ. Pedih dan perit.
Dia tak berhak disakiti sebegini. Rintihnya sendiri.

********************************
Dalam debar Mya mengeluarkan kunci pendua dari beg tangannya. Terkial-kial dia cuba membuka pintu. Dia jarang keluar sendirian, jadi untuk mengecam yang mana satu kunci pintu utama bukanlah mudah. Apatah lagi ada segugus kunci di tangannya. Namun tuah menyebelahinya tatkala kunci pertama yang dimasukkan berjaya membuka pintu utama tersebut. Hatinya semakin kuat berdebar disaat dia membuka pintu dan meloloskan badan dengan perlahan-lahan.
Setelah menanggalkan kasut dan meletakkannya di dalam kabinet di tepi pintu, perlahan dia melangkah ke ruang tamu. Bimbang jika tiba-tiba Datin Adiba menyergahnya, entah apa dia nak jawab. Namun langkahnya terhenti saat terlihat sesusuk tubuh bersandar di sofa berhadapan dengan TV.

Kelihatan Mikail memejamkan mata dan langsung tak menyedari kehadirannya di situ. Mya kaku dan tak pasti apa yang harus dia lakukan kini. Kejutkan Mikail dan memohon maaf?
Ah, kenapa pula dia perlu memohon maaf sedangkan memang Datin Adiba yang memberi kebenaran dia bercuti. Bukannya dia suka-suka keluar dari rumah.

Wajah Mikail yang kelihatan tenang direnung dari jauh. Masih marah lagikah Mikail dengan kejadian pagi tadi? Mya mengeluh. Entah mana silapnya sampai Mikail mengamuk seperti itu. Dia sendiri hairan mengapa Mikail mencarinya sampai ke rumah Nadia, bukan ada urusan penting pun kecuali memaksanya balik ke sini. Penyibuk betul! Atau Mikail tak betah tanpa dia di sini? Oh hati, janganlah kau perasan. Mustahil Mikail menyukainya. Dia yakin tentang itu.
Lenguh pula kakinya berdiri di situ. Sudahlah dia terpaksa berjalan jauh gara-gara pemandu teksi tak mahu masuk ke dalam kawasan kondo kerana tak sanggup menghadap kawalan sekuriti yang meleceh itu. Tak ada indahnya duduk di sini rupanya. Sakit kaki dapat, sakit hati apatah lagi.
Mya berdehem beberapa kali. Dia mengharapkan Mikail tersedar dan bolehlah dia berbincang lanjut dengan Mikail. Kalau betul Mikail tak nak dia di sini lagi, bolehlah dia merancang kehidupannya dengan cara lain. Namun runsing juga memikirkan kelulusannya yang tak seberapa. Pastinya belum cukup kuat untuk membuatkan dia tabah menghadapi cabaran hidup di kota besar ini.

Mya berdehem dengan lebih kuat setelah melihat tiada reaksi dari Mikail yang masih lena dan tenang. Kali ini berhasil apabila tubuh Mikail bergerak-gerak sebelum dia membuka mata. Saat terpandangkan Mya, mata Mikail membulat dan mulutnya terlopong namun cepat-cepat dikatup sebelum Mya sempat menyedarinya. Namun Mikail pantas bereaksi tenang walaupun dalam hatinya bagai mahu menjerit gembira melihat Mya di hadapan mata. Dia membetulkan duduknya dengan wajah serius. Mya pula kelihatan serba salah dan canggung namun dia menghampiri Mikail dan duduk di sofa bertentangan dengan Mikail. Beg berisi pakaiannya diletakkan di hujung kaki.

Mikail pura-pura memandang ke arah lain, persis merajuk dan berjauh hati. Mya berdehem untuk kesekian kalinya. Tidak tahu dari mana dia harus memulakan bicara apatah lagi Mikail bersikap dingin padanya.

“Err..Datin mana?” Tanya Mya sekadar pembuka bicara. Mikail hanya diam tanpa jawapan. Malah berlagak selamba dengan membelek majalah di meja kopi. Mya semakin tak keruan. Jari jemarinya diramas sendiri, satu perbuatan yang tak dirancang apabila dia berperasaan resah gelisah.

“Err.. Saya mintak maaf.” Lambat-lambat Mya mengatur ayat. “Pasal pagi tadi. Saya ingatkan Datin bagi sa..” Belum sempat dia menghabiskan kata-kata Mikail sudah memandangnya dengan tepat dan tajam.

“Awak kerja dengan Datin ke dengan saya?” Tingkah Mikail keras. “Awak tak patut terima arahan dari sesiapa kecuali saya. Takkan itu pun awak tak faham!”

Mya tunduk. Ikutkan hati mahu sahaja dia melawan kata-kata Mikail namun dia tak mahu mengeruhkan keadaan. Biarlah dia menadah telinga mendengar bertimbun-timbun bebelan dari lelaki itu.

Mikail menutup kasar majalah ditangannya lalu dicampak ke atas meja kopi. Panas hatinya bukan kepalang. Bukan dia berniat memarahi Mya. Dia sekadar mahu Mya sedar dan takkan mengulangi perbuatan itu di masa depan. Sebab dia tak sanggup menanggung sakit hati lagi seperti ini.

“I’m sorry.” Balas Mya perlahan. Tak berani menentang mata Mikail yang mencerlung tajam. Habislah, baru sahaja benih mesra kembang antara dia dan Mikail beberapa hari ini, dan kali ni sudah diisytiharkan perang pula.

Mikail mencebik. “Senang kan, just mintak maaf macam tu aje!”

Mikail mendengus pula.Puas dipujuk supaya hatinya tenang, namun tak juga berhasil. Kalau boleh saat ini dia mahu meluahkan kepada Mya betapa dia terluka dengan kejadian ini, betapa hatinya merintih sedih diperlakukan sebegitu. Namun ego lelakinya menghalang dia memperkatakan tentang itu.

Mya masih tunduk dan kali ini hujung kakinya menguis-nguis karpet berbulu tebal itu tanpa tujuan. Malas pula dia mahu melayan kepala Mikail yang berangin itu lagipun dia bimbang jika Datin Adiba masih berada di rumah dan terdengar perbalahan mereka. Tak ke pelik kalau tengok Mikail mengamuk gara-gara dia diberi cuti.

“Kenapa tak duduk sana je dengan Jeff? Kenapa balik sini?” Jelas berbaur sinis kata-kata dari mulut Mikail. Mya sedikit tersentak dan matanya merenung Mikail dengan seribu persoalan. Motif Jeff dikaitkan dalam hal ni?

“Apa maksud awak? Saya tak faham.”

“Tak faham konon.” Mikail tersenyum mengejek. “Bukan tadi beria sangat nak duduk sana? Kenapa sibuk nak balik sini pulak?”

“Saya nak duduk sana, tak ada kaitan pun dengan Jeff!” Mya membela diri. Geram pula terus dibuli dan dituduh bukan-bukan oleh Mikail. Dia tak nampak mana salahnya Jeff di dalam hal ini. Dia bukannya bercinta dengan Mikail, jadi mengapa lelaki itu perlu berasa marah jika dia keluar dengan Jeff sekalipun.

“Jangan nak menipu la. Kalau dah suka sangat dengan dia kan, tak payah lah balik sini! Pergilah duduk sana layan buah hati awak tu!” Suara Mikail yang sedikit meninggi membuatkan Mya terkejut.
“Saya cakap ini tak ada kaitan dengan Jeff. Saya ke sana sebab nak lepak dengan Nadia. Itu saja.” Wajah Mikail ditentang berani.

“Hey, bukan awak tak tahu Nadia tu, hidup dikelilingi jantan sana sini. Awak suka lah macam tu? Dapat bermadu asmara dengan jantan lain!” Mikail tersenyum sinis memandang Mya. Dia bukanlah mahu menuduh, tapi dia yakin yang lelaki-lelaki di sana akan menginginkan Mya dan belum tentu Mya mampu menolaknya.

Mya mengetap bibir menahan geram. Melampau betul tuduhan Mikail. Seburuk mana pun Nadia, dia satu-satunya kawan baik yang dia ada selama ini dan apa hak Mikail menuduhnya menggatal dengan lelaki lain?

“Awak ni kenapa? Kenapa mulut jahat sangat? Cakap tak pernah nak fikir perasaan orang lain langsung.” Suara Mya sedikit meninggi namun dia cuba mengawal amarah dalam hatinya.
“Mulut jahat? Habis tu, benda awak buat tu baik sangat?” Mikail tetap tak mahu kalah. Mana mungkin dia meruntuhkan egonya kerana Mya. Dia berhak marah kerana Mya tak patut meninggalkan rumah tanpa izinnya apatah lagi mengenangkan mudah benar gadis itu mempercayai lelaki lain dan memalukannya.

“Apa yang saya buat? Tell me, apa?”

“Awak ingat berpeleseran dengan lelaki kat sana tu elok lah?”

“What? Awak ada nampak saya buat benda tak elok ke kat sana ha? Nampak?”

“Eleh, kalau nak buat jahat takkan nak tunjuk!” Balas Mikail separuh mengejek. Mulutnya tak boleh mengawal rasa marah yang membara di dalam hati. Rasa sakit hati yang ditanggung tadi memaksa dia membalas rasa sakit itu kepada Mya. Biar sama-sama sakit hati.

Mya mengetap bibir lagi. Tubuhnya mula menggigil menahan geram teramat sangat. Mahu sahaja dia menerkam dan menampar mulut jahat Mikail sampai bisu. Baru puas hatinya. Sangat menyakitkan hati kerana Jeff sekadar teman biasa, malah dia bukan bodoh untuk mengizinkan mana-mana lelaki menyentuhnya.

“Awak dah melampau..” Nada suara Mya bergetar antara perasaan marah, sedih dan sakit hati. Matanya juga terasa panas tanda airmata bakal menyusul menggambarkan emosi hatinya yang bercampur baur kini.

Menyedari perubahan wajah Mya yang kelihatan mendung dan tegang, Mikail meraup mukanya berkali-kali. Menyesali keterlanjuran mulutnya lantaran terlalu mengikut kata hati. Tanpa sedar dia sudah melukakan hati Mya dengan tuduhannya.

Ah, mana tahu jika benar perkara buruk itu berlaku antara Mya dan Jeff. Sesiapa pun boleh menafikan dan berkata tidak. Hatinya bermonolog sendiri.

Mya menyeka airmata yang bergenang di tubir matanya. Dia enggan Mikail melihatnya menangis, pasti lelaki itu berasa puas dapat menyakitkan hatinya sekali lagi. Entah apa yang bahagia sangat lelaki itu melihat dia berendam air mata dan makan hati.

“Saya rasa keputusan saya balik ke sini silap.” Mya bingkas bangun dan mencapai beg pakaiannya. “Sorry, saya patut terus stay kat sana dan tak sepatutnya pedulikan awak kat sini, buang masa saya aje.”

Mikail kaget. Pantas dia bangun dan menarik tangan Mya. Tindakan yang dia sendiri tak jangka dia akan lakukan.Bukankah tadi dia beria-ia memarahi dan menyakiti Mya, kenapa saat ini dia perlu menghalang gadis itu?

“Mya, I’m sorry…”

Terpacul kata-kata itu dari bibir Mikail membuatkan Mya terpana. Mikail meminta maaf darinya? Baiklah, dia boleh pengsan akibat tak percaya perkara ini berlaku sekarang.

Mya mengeluh perlahan, cuba untuk bertenang dan tak bertindak bukan-bukan. Jika dia keluar dari rumah ini, ke mana dia mahu pergi? Dia sendiri tak betah berlama di rumah Nadia yang sentiasa dikunjungi lelaki saban malam. Dia takut dan rasa tak selamat.

Pautan tangan Mikail terurai. Mungkin lelaki itu baru menyedari tindakannya tadi meruntuhkan benteng keegoannya. Mya berpaling memandang Mikail yang beriak tenang. Timbul juga rasa bersalah atas apa yang berlaku walaupun bukan 100% silapnya. Namun tak salah kalau dia yang beralah dengan niat untuk tidak memanjangkan isu ini.

“Saya minta maaf keluar tak bagitahu awak tadi.” Ucap Mya perlahan. “Tapi awak sama sekali tak ada hak menuduh saya yang bukan-bukan. Saya tahu saya ni bukan perempuan yang baik, tapi tak bermakna maruah saya sehina dan serendah-rendah martabat yang boleh awak bayangkan.”

Kata-kata Mya menikam-nikam hati Mikail dengan rasa bersalah. Mikail sekadar diam tanpa memandang wajah Mya. Sungguh hatinya berbelah bahagi dan dia benar-benar mahu mempercayai kata-kata Mya.

“Just forget it.. pergilah berehat.” Balas Mikail sambil mengorak langkah ke tingkat atas. Mya hanya memandang dengan pandangan kosong.

Terpulanglah pada penerimaan Mikail, dia sudah berkata apa yang sebenarnya. Selepas ini, lelaki itu bebas menentukan di mana letak duduk dirinya di dalam rumah ini.

———————————–

Bab 10

Sejak Datin Adiba pulang ke rumah besar, Mya berasa sangat-sangat lega. Selama seminggu Datin Adiba di sini, dia terasa benar-benar seperti orang gaji. Macam-macam arahan diberi oleh wanita itu dan selalu sahaja ada benda yang tak kena di matanya.

Mengenangkan Mikail, hatinya kembang berbunga-bunga. Siapa sangka disebalik konflik yang berlaku tempohari, Mikail semakin berubah menjadi lebih baik. Sudah jarang merengus dan lebih banyak berbual dengannya berbanding dahulu. Mujur juga Mikail bijak meyakinkan Datin Adiba untuk membenarkan dia terus tinggal di situ. Kononnya mak cik Adam dari kampung akan menumpang di Kondo mereka. Hakikatnya Adam mengupah makcik cleaner di pejabat menyamar sebagai makciknya yang datang dari kampung.

Nak tergelak pun ada memikirkan idea gila mereka dan rasa bersalah juga menghimpit hatinya tatkala mengenangkan penipuan terhadap Datin Adiba.

Tak apalah, yang penting segalanya lebih baik sekarang dan satu masa nanti dia akan meminta Mikail memikirkan hala tuju hubungan mereka. Rasanya sudah terlalu lama mereka hidup dalam dosa ini, dan dia tak mahu menghitung tahun demi tahun begini.

Bukan nenek tak mengajarnya agama, malah sejak kecil dia gemar mengikut nenek ke surau mendengar ceramah dari Ustaz Zakaria. Langsung dia tak rasa bosan kerana ceramah Ustaz Zakaria diselang seli dengan jenaka berilmu. Dan setiap ajaran itu dia pegang kukuh hingga usianya belasan tahun.

Cuma sejak peristiwa hitam yang berlaku itu, dia menjadi hilang arah. Apatah lagi sejak Mak Ngah tegar menghalaunya keluar dari rumah nenek atas dosa yang sama sekali tidak dia lakukan. Membiarkan dia hidup sendirian tanpa tempat untuk berpaut dari terus hanyut di kota yang penuh tipu daya ini. Dia tak kuat untuk mengubah nasibnya dan sejak itu segala-galanya berubah sama sekali. Dia bukan lagi Mya yang dibanggakan oleh nenek, dia bukan lagi gadis baik-baik, dia bukan lagi Mya Arlissa penuh santun yang dipuja lelaki di kampungnya. Kakinya sudah jauh melencong ke jalan yang salah. Jalan yang tak rela dipilih oleh mana-mana wanita sekalipun. Dan kini dia cuma mengharap di laluan ini dia sempat berpatah balik dan membina kehidupan impiannya suatu hari nanti.

Bunyi deringan telefon bimbitnya mengejutkan lamunan panjang Mya. Bayang-bayang kenangan silam yang sering mengasak kepala bertempiaran lari meninggalkan mindanya.Segera dia mencapai telefon dan nama Mikail jelas tertera di dada skrin.

“Hello.” Sahutnya dengan suara ceria tatkala meliat panggilan itu datangnya daripada Mikail.

“Hai Mya, awak dah bersiap?” Suara lunak di sebelah sana menyapa lembut.

“Err..dah. Awak kat mana?”

“Saya baru keluar office, sekejap lagi saya sampai.”

“Okey.” Mya mematikan talian sebelum Mikail mematikan talian. Senyum mengekor di bibirnya tatkala terkenangkan lelaki seorang itu.

Mya tersenyum lagi. Mikail sekarang memang agak berbeza dengan Mikail yang selama ini hidup dengannya. Lelaki itu kini lebih banyak meluangkan masa bersembang dan bercerita tentang apa sahaja. Kadangkala sampai ke pagi mereka melepak di balkoni atas sambil berbual-bual. Semalam pula seharian mereka menghabiskan masa di pusat beli belah KLCC. Macam-macam yang Mikail belikan untuknya walau berkali-kali dia menolak. Dia tak mahu Mikail membazir untuk benda-benda yang tak perlu namun dek ketegasan dan muka rajuk lelaki itu, terpaksa juga dia beralah menerima segala pemberian itu.

Mikail lebih bertanggungjawab berbanding dahulu. Dia tak lagi pulang lewat malam dengan alasan risaukan dirinya kebosanan sendirian di rumah. Tak sangka lelaki itu mengambil berat tentangnya dan entah kenapa perubahan ini berlaku tiba-tiba setelah 2 tahun mereka bersama.
Lelaki itu cenderung pulang lebih awal dan menyambung kerja di bilik bacaan tingkat atas. Ketika Mikail sibuk melukis pelan projeknya, Mya akan menyediakan kopi dan menemaninya sambil membaca novel walaupun matanya lebih kerap mencuri pandang Mikail berbanding menatap dada buku di tangannya. Memandang Mikail disaat wajah itu tekun membuat kerja, menyerlahkan karismanya sebagai seorang lelaki. Tidak dinafikan fizikal Mikail terlalu sempurna di mata wanitanya. Kulitnya yang cerah dan bersih, tinggi dan berbadan tegap, rambutnya yang kemas sentiasa digayakan mengikut tema pakaian sama ada kasual atau formal. Pendek kata Mikail memang tidak kalah jika bergaya, boleh kalah model-model tempatan masa kini.
Barangkali entah berapa ramai wanita di luar sana mendambakan cinta lelaki itu. Mya sendiri tak pernah ambil peduli selama ini, namun kali ini hatinya bagai tak rela sekiranya ada wanita lain di sisi Mikail selain dia.

Biarlah Mikail bukan hak mutlaknya, namun buat masa sekarang dia memang tak mahu Mikail mengalihkan perhatian selain untuknya. Melampau bukan? Tapi siapa tahu jika Mikail sudah ada kekasih hati di pejabat atau dikalangan clientnya. Dan jika itu berlaku, pastinya dia tak mampu berkata apa-apa kerana antara mereka wujudnya perjanjian yang tersimpul mati.

Ah, malas nak difikirkan sekarang! Lagipun entah-entah Mikail menganggap semua layanan itu hanya biasa-biasa saja. Dia saja yang perasan lebih.

Mya tersenyum sendiri di hadapan cermin panjang di ruang tamu berkonsep moden hasil hiasan Mikail sendiri. Dia berpuashati dengan penampilannya malam itu. Dress separas lutut berwarna pink lembut yang dibeli Mikail semalam kelihatan amat sesuai dengan warna kulitnya. Malah rambutnya yang panjang sengaja digulung di bahagian bawah untuk menambahkan sensasi penampilannya serta dilengkapkan solekan tipis di wajah.

Berkali-kali dia berpusing di hadapan cermin. Not bad! Kemudian dia tergelak sendiri dengan akalnya yang memuji diri sendiri.

Sekali sekala dia menjeling jam dinding yang sudah melewati pukul 9.30 malam, mungkin 15 belas minit lagi Mikail akan sampai. Bukan jauh benar pejabat lelaki itu dengan kondonya.
Dia bukanlah pernah dipelawa oleh Mikail untuk bertandang ke pejabatnya, kalau disuruh pun memang dia tak akan pergi, nanti apa pula kata pekerja-pekerjanya. Cuma Mikail pernah memberitahu yang dia bekerja di bangunan biru berdekatan bank yang selalu dikunjungi Mya untuk memasukkan duit ke dalam akaun nenek. Memang bukan calang-calang pekerjaan Mikail kerana pejabat itu cukup besar dan cantik.

Bunyi loceng pintu membuatkan dia tersenyum lebar dan teruja. Cukup yakin Mikail sudah sampai dari pejabat untuk menjemputnya. Bukan Mikail tak tahu yang dia terlalu teruja untuk ke parti anjuran syarikat Mikail malam ini. Keterujaanya berpunca dari kenyataan Mikail yang Anuar Zain adalah penyanyi jemputan pada majlis malam ini. Memang dia terlalu mengagumi penyanyi lelaki kacak bergaya itu dan malam ini bagaikan bulan jatuh ke riba layaknya. Syukurlah Mikail ringan mulut mengajaknya pergi bersama walaupun dia tak pasti Mikail akan memperkenalkan dia sebagai apa kepada pekerja-pekerjanya.

Mya menguak pintu. Hairan juga mengapa Mikail membunyikan loceng walhal lelaki itu sering membawa kunci rumah. Namun dihadapannya kini bukanlah lelaki yang dinanti, tetapi seorang gadis cantik yang berpenampilan menarik sedang merenung tepat padanya.

“Hai, I’m looking for Mikail. Is he around?”

Mya tersentak. Siapa pula wanita cantik ini dan untuk apa dia mencari Mikail?

“May I come in?” Belum sempat Mya menjawab, dia terlebih dahulu melangkah masuk dengan gaya yang agak angkuh. Mata wanita itu meliar-liar memerhatikan seluruh isi rumah sambil mengangguk-angguk kecil. Mya menutup pintu dan menghampiri wanita tinggi lampai itu.
“Not bad his taste, huh..” Ucapnya sambil menyentuh beberapa bingkai gambar di dinding seolah-olah mengagumi hiasan dalaman rumah itu.

Mya sedikit bengang dengan wanita ini, tanpa adab sopan memperkenalkan diri terus main terjah rumah orang. Tak ada budi bahasa langsung.

“Excuse me. Awak ni siapa?” Tanya Mya perlahan. Bimbang wanita itu menyalahtafsir soalannya.Manalah tau kalau-kalau dia ini orang penting atau kawan rapat Mikail.
Wanita itu berpaling dan merenung Mya dari atas ke bawah dan kemudian mencebik kecil.

“I Suzanne. And who the hell are you?”

Mya terpana. Suzzane? Jadi wanita di depannya kini adalah Suzanne yang disebut-sebut oleh Datin Adiba tempohari? Bermakna dialah sepupu Mikail si fashion designer dari New York itu?

“Saya rasa elok lah Cik Suzanne datang lain kali. Mikail tak ada kat sini.” Ucap Mya tenang walhal dalam hatinya sudah menggelegak dan meluat dengan tingkahlaku Suzanne yang boleh dikatakan berlagak tak kena tempat itu.

“What? You halau I?” Suzanne menunding jari ke mukanya sendiri. “Hey, this is not your house! Jangan nak berlagak okey. Duduk menumpang ada hati nak berlagak tu.”

Mya mengetap bibir. Mahu saja dia mengambil penyapu dan menghalau perempuan itu berambus dari sini namun dia masih waras dan boleh mengawal tindakannya.

“Cik Suzanne, baik awak balik. Awak dah salah rumah sebab Mikail takkan ada dekat sini.” Ujar Mya dengan nada yang masih tenang.

“Why? Dia dah ada mistress baru? Dah tak perlukan you?” Kata-kata Suzanne yang bernada mengejek itu membuatkan Mya tersentak. Bagaimana Suzanne tahu?

“Apa awak cakap ni? Jangan nak menuduh ikut sedap mulut!”

“Hey chill babe. Jangan menggelabah.” Suzanne menghampiri Mya dan menyentuh rambut Mya. “Mikail and I memang rapat, so semua rahsia dalam kain dia I tau ye.”

Ada gelak halus di hujung katanya cukup membuatkan Mya panas hati dan meluat. Mya mengetap bibir lagi. Jadi benarlah Mikail dan Suzanne pernah menjalin hubungan rapat? Jika tidak, takkanlah Suzanne tahu status sebenar mereka. Kenapa Mikail bercerita tentang status mereka berdua kepada orang lain? Untuk memalukan dia macam ni?

“Well you jangan risau..I takkan beritahu Datin.” Suzanne tersenyum-senyum simpul. “Tapi ada syaratnya..”
Mya merenung wajah Suzanne yang sarat dengan solekan tebal. Walaupun awalnya tadi dia kelihatan menarik namun kini tak ubah rupa jembalang di matanya!

“Awak nak apa?” Tanya Mya dengan nada bergetar. Jika wang yang dimahukan oleh perempuan sihir ini, dia sanggup menyerahkan semua wang simpanannya yang boleh dikatakan banyak itu.
“Ermm..nothing. Cuma I tak nak you makan Mikail sorang..” Ujarnya dengan senyuman nakal. Kukunya yang panjang dan bercat warna merah dibelek-belek seketika.

“What do you mean?” Mya menanti dengan sabar untuk Suzanne membuka mulut. Namun gadis itu kelihatan sengaja berlengah-lengah untuk menyeksa hatinya.

“Well you know, dulu before I pergi NY, Mika tu boyfriend I tau.. Oh, he’s really good on bed kan? I rindukan dia sangat-sangat.” Suzanne ketawa besar sambil membetulkan rambutnya yang ikal separas bahu. “Jadi, I tak nak you makan sorang. Sharing is caring kan?”

Mya terpana. Perempuan jenis apakah di depan dia ini? Langsung tak tahu malu. Mahu sahaja dia menampar dan menyepak Suzanne sampai dia merangkak memohon maaf padanya. Kurang ajar betul.

“Tolong keluar dari sini. Atau saya call security!” Ugut Mya dengan suara bergetar. Sungguh hatinya sangat marah saat ini. Tak tahu berapa lama dia mampu menahan api yang membakar hatinya. Silap-silap Suzanne boleh makan kasut sekejap lagi.

“Okey, fine!” Suzanne bangun sambil berjalan lenggang lenggok menuju ke pintu utama. “But dont forget ye, kalau nak rahsia you selamat dari pengetahuan Datin, jangan halang I bermadu asmara dengan Mika!” Kata-kata Suzanne disusuli dengan hilai tawa yang menjengkelkan, jelas untuk menyakitkan hati Mya.

Mya mengetap bibir menahan geram. Sejurus Suzanne keluar, Mya menghempas pintu sekuat hati. Sakit hatinya hanya Tuhan yang tahu. Apa tujuan perempuan itu datang ke mari dan menyakiti hatinya?

Tubuhnya dihempaskan ke sofa. Anting-anting labuh yang bergayut di telinganya dicabut dan dibaling sekuat hati tanda melepaskan geram yang tak terbendung. Airmata mengalir laju dan dia sendiri tak pasti untuk apa airmata ini, adakah tanda sedih atau kerana marah?

Yang pasti dia tak ingin untuk keluar malam ini, hatinya benar-benar tawar dan sakit!

***

Bunyi telefon bimbit mengejutkan lena Mya. Entah bila dia terlena dia sendiri tak sedar. Sibuk sangat menjeruk perasaan sejak tadi. Matanya yang basah akibat menangis tadi digosok perlahan. Telefon bimbitnya dicapai dan dia membuka mesej yang baru diterima. Mesej dari Mikail.

Awak dah siap? Sorry terlambat. Adam call tadi, katanya kereta dia pancit. Saya pun pergi tolong tapi sampai ke sudah tak jumpa kat mana dia. Sekarang saya dah on the way balik rumah.

Mya mencampakkan telefon bimbitnya ke katil. Tak ada hati untuk membalas mesej mikail.Geram dan sakit hati apatah lagi mengenangkan ayat Suzanne tadi ‘He’s really good on bed kan?’

Argh, apa maknanya itu? Adakah selama ini Mikail dan Suzanne sudah pernah.. Ah, tak sanggup dia memikirkannya. Hatinya bagaikan disiat-siat tatkala bayangan Mikail dan Suzanne bermesra melintas di dalam kepalanya.

Sungguh hatinya sangat terluka ketika ini. Sekejap benar nikmat bahagia yang diberi untuknya. Hidup ini tak adil, tak pernah memihak padanya. Hatinya yang bungkam bertambah sakit mengenangkan semua itu. Adakah Mikail sekadar berpura-pura baik dengannya selama ini? Sampai hati Mikail..

Setengah jam kemudian Mikail tiba ke kondonya. Dicarinya Mya di ruang depan namun tiada, di dapur dan di bilik tidur utama juga tak kelihatan kelibat Mya. Risau pula hatinya. Sudahlah mesejnya langsung tak dibalas Mya. Merajuk ke dia?

Mikail turun pula ke tingkat bawah, manalah tahu Mya terlelap di bilik tetamu sebab lama menunggunya. Dan pintu bilik itu berkunci. Pastinya Mya di dalam. Dia mengetuk-ngetuk perlahan.
“Mya, are you in there?”

Diselang pula dengan ketukan. Namun di dalam sana masih sunyi sepi. Mikail berdebar-debar. Dia memikirkan yang buruk sahaja. Mana tahu Mya pengsan di dalam atau lebih teruk mungkin ada lelaki lain menceroboh masuk dan mengapa-apakan Mya.

Pantas dia menolak pintu sekuat hati dengan tubuhnya. Bimbang dengan telahan buruk sendiri. Tiga kali percubaan barulah pintu itu terkuak luas. Termengah-mengah Mikail melangkah ke dalam namun dilihatnya Mya sedang duduk termenung di atas karpet sambil bersandar ke katil.
Dia mengeluh lega namun rasa tak puas hati dengan tindakan Mya terbit juga di hatinya. Susah sangat ke nak bukak pintu?

Mikail menghampiri Mya dan duduk di sisinya. Ditatap sekilas wajah sembab Mya.
“Kenapa awak tak bukak pintu?” Tempelak Mikail sambil mengelap peluh di dahinya. Mya membatu dan tiada sepalit senyuman di wajahnya.

“Dah tak boleh nak bercakap pulak sekarang?” Mikail menggeleng perlahan dengan sikap dingin Mya. Takkan perempuan itu sudah pandai merajuk sekarang?

“Saya dah kata saya mintak maaf pasal lambat, takkan sebab tu nak tarik muka?”

Mya bingkas bangun dan terus merebahkan badannya di atas katil. Ditarik selimut menutupi sevahagian tubuhnya. Dia tak mahu diganggu saat ini.

Mikail mendengus. Geram dengan sikap Mya yang berubah tiba-tiba. Seingatnya sebentar tadi Mya begitu ceria menyambut panggilan telefonnya dan sekarang sudah berubah watak tiba-tiba.
Mikail bangun dan duduk di tepi katil. Terbit juga rasa bersalah dalam hatinya melihat wajah sugul Mya.

“Mya, bangunlah, sekarang sempat lagi kalau kita nak pergi.” Lembut dia menutur kata memujuk. Dia cukup yakin Mya berjauh hati kerana kelewatannya.

Mya menahan sebak. Kalaulah boleh dijeritkan rasa sakit hatinya pada lelaki itu, sudah pasti dia jeritkan sekuat hati. Biar lelaki itu tahu hatinya dirobek-robek saat ini. Kenapa perlu berbuat baik padanya kalau dalam masa yang sama lelaki itu tegar menjaja aibnya kepada orang lain?
“No. Bukan pasal tu..” Mya membalas perlahan.

“Then kenapa?”

Mya mengeluh perlahan dan langsung tak berpaling memandang Mikail.
Bimbang Mikail menyedari dia menangis, dan kalau Mikail tanya takkan dia nak memburukkan sepupu kesayangan lelaki itu. Silap-silap dia pula kena marah dan tempelak. Sikap Mikail sukar dijangka.

“Mya..” Mikail tunduk mengucup pipi Mya.

Perasaan lelakinya mula membuak-buak apatah lagi melihat Mya yang anggun dengan dress yang seksi itu. Dadanya berpalu kuat saat haruman tubuh Mya menerobos lembut ke dalam rongga hidungnya. Mikail mensasarkan pula leher jinjang Mya sambil tangannya meliar ke sana sini. Sukar betul dia mahu mengawal keinginan lelakinya ini. Dia sudah pejamkan mata tentang peristiwa Mya dirogol dahulu. Hilang rasa jijik dan takutnya saat perasaan bergelora ini meluap-luap di dalam dada.

“Mika, please..” Mya menepis lembut tangan Mikail yang menjalar di tubuhnya.

Mikail mengeluh hampa dengan penolakan Mya. Dia menegakkan tubuhnya sambil memandang Mya yang masih enggan memandang wajahnya.

“Why? Awak dah tak suka?”

“Saya rasa tak sihat, itu aje.” Dalih Mya sambil pura-pura batuk.

“Then, kita ke klinik.” Balas Mikail perlahan. Dia tak pasti Mya betul-betul sakit atau sekadar berpura sebab nak menolak hasratnya untuk bermesra.

Mya menggeleng laju. “Saya dah makan ubat, sekarang rasa mengantuk sangat.”

Mikail diam. Dia tahu Mya ada menyembunyikan sesuatu tetapi dia tak bijak meneka. Perlahan dia menarik selimut supaya membalut tubuh Mya sepenuhnya sambil mengusap rambut ikal itu.
“Okey fine. Rehatlah. Saya naik atas tukar baju. Nanti saya temankan awak tidur kat sini.”

Mya memejamkan matanya menahan sebak yang berpusu-pusu menghentam dada. Jika Mikail benar-benar jujur kepadanya, kenapa Suzanne boleh tahu hubungan mereka? Apa tujuan Mikail bercerita kepada perempuan tu? Kerana antara mereka memang tak boleh berahsia ke?

Mungkin juga kerana hubungan mereka yang istimewa menghalang mereka berdua berahsia..

Mengenangkan itu, hatinya kembali digayut pilu yang sarat.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

18 ulasan untuk “Novel : Aku Bukan Mistress 9, 10”
  1. miza says:

    MENARIK UNTUK DIBACA

  2. Nur Dara Adalia says:

    yeah, nice story :)
    loved it!
    chaiyokk..

  3. fieza says:

    best cite nie… x sabar nak bace smbungannye… chaiyokx2…. (^.^)v

  4. PartyFreak007 says:

    Nice one!

  5. afiqah ahsan says:

    x sabar nya nak baca novel AKU BUKAN MISTRESS keluaran KAKI NOVEL…

  6. surimaya says:

    betsnye citer ni..tak puas bace mika mika mika mya mya mya…..bestnye

  7. fizah says:

    gempak citer ni..

  8. milkycouple says:

    huhu!1 daebak la!! lain pade yng laen~~ syok2!!

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"