Novel : Jodoh itu Milik Kita 6

4 July 2011  
Kategori: Novel

31,471 bacaan 29 ulasan

Oleh : sara aisha

BAB 6

Aariz mengacau kopinya dengan penuh leka. Namun hujung matanya dapat melihat dengan jelas tindak-tanduk Dahlia yang sekejap-kejap memandangnya. Dia tahu Dahlia tentu sedang berfikir tentang kejadian semalam. Kejadian yang Aariz kira terjadi dengan sendirinya.

Sungguh! Semalam sewaktu dia tiba-tiba memeluk dan mengucup gadis itu, walaupun secara tidak melampau, Aariz seperti tidak berfikir langsung. Dia seakan mengikut kata hatinya, dan tubuhnya laju sahaja mengikut kata hati itu.

Timbul sedikit rasa bersalah dalam dirinya. Dia sepatutnya tidak terlalu mengikut perasaan. Tapi, entahlah. Bila Aariz bersama Dahlia, dia selalu sahaja tidak dapat mengawal diri. Dia selalu sahaja punya keinginan untuk mengusik dan menyakat gadis itu. Hatinya gembira tatkala memandang wajah Dahlia yang ternyata memang mudah merona kemerahan, tanda isterinya itu tersipu-sipu malu. Dan semakin Dahlia malu-malu, semakin galak pula dia mengusik.

Aariz mengangkat cawan dan menghirup kopinya dengan asyik. Kemudian dia meletakkan kembali cawan itu ke dalam piring. Tubuhnya disandarkan ke kerusi. Lambat-lambat dia mengangkat pandangan dan merenung Dahlia yang duduk di hadapannya.

Perlahan Aariz menarik nafas panjang.

“I’m sorry.” Akhirnya Aariz bersuara, memecahkan kesunyian pada pagi itu.

Dahlia mengerutkan dahi.

“For?” Tanya Dahlia pendek.

Aariz kehairanan. Tertanya-tanya kenapa Dahlia boleh menyoal begitu. Dia menganggap Dahlia marah padanya atas kejadian semalam. Direnung lagi wajah Dahlia yang hanya membalas renungannya dengan tenang. Tiada langsung riak marah pada wajah itu.

“Semalam.” Pendek juga jawapan yang diberi Aariz.

Dahlia terkedu. Dapat dia rasakan wajahnya sudah mula hangat. Mengingatkan kejadian semalam, Dahlia termalu sendiri. Setelah Aariz meninggalkannya terkaku di dapur semalam, dia mengambil masa hampir lima minit untuk menganalisa apa yang telah terjadi. Perbuatan Aariz yang terlalu intim itu benar-benar mengejutkannya. Sungguh dia tidak menduga lelaki itu akan bertindak begitu.

Namun yang peliknya, Dahlia langsung tidak marah atas perbuatan berani suaminya itu. Dia hanya menerimanya dengan tenang. Ya, dia akui dia ada berasa canggung dengan keadaan itu. Tidak dapat dia nafikan bahawa dia langsung tidak dapat memandang wajah Aariz selepas itu. Terlalu malu. Kerana itulah makan malam mereka semalam hanya berlangsung dalam keadaan yang senyap sahaja tanpa perbualan antara dia dan Aariz yang seperti selalu mereka lakukan. Aariz juga kelihatan serba salah waktu itu.

“Tak ada apa yang perlu saya maafkan.” Tenang jawapan Dahlia. Wajahnya ditundukkan, mahu menyembunyikan wajah.

Aariz tersenyum sendiri. Jawapan Dahlia menyimpang jauh dari sangkaannya. Dahlia memberikan kejutan buatnya lagi.

“Saya ingat awak akan marah.” Balas Aariz lagi.

Dahlia mendongakkan kepala.

“Marah? Kenapa? Saya tak kisah pun.”

Tatkala mendengar ucapan yang lahir dari mulutnya sendiri, automatik Dahlia menekup mulut.

“Tak kisah? Apa yang aku cakap ni.” Dahlia mengutuk diri sendiri lantas menggigit bibir, seolah-olah dengan perbuatan itu kata-katanya tadi dapat ditarik kembali.

Aariz mengangkat kening dan tersenyum nakal. Wajah isterinya ditenung dengan pandangan lunak. Lagi timbul rasa mahu mengusik wanita di hadapannya itu.

“Tak kisah? Are you really sure? Then bolehlah saya buat lagi.” Usik Aariz pada Dahlia yang sudah menjegilkan mata.

“Awak! Saya…saya tak maksudkan macam tu. Saya….”

Tergagap-gagap suara yang keluar dari mulut mungil Dahlia. Suara yang akhirnya terdiam begitu sahaja apabila Aariz sudah mula bangun dan mendekatkan wajahnya ke wajah Dahlia.

Dahlia menggerakkan kerusinya ke belakang sedikit. Matanya membulat, terkebil-kebil memandang wajah Aariz yang cuma beberapa inci jauh dari wajahnya. Apa pula yang suaminya cuba buat kali ini?

Tidak semena-mena ketawa Aariz meledak. Dia kembali menjauhkan wajah dan duduk bersandar pada kerusi. Dahlia memerhati dengan kerut di dahi.

“You know what, Dahlia.” Perutnya ditekan sambil menarik nafas panjang menghabiskan sisa saki-baki tawanya tadi.

“Kalau orang nak kiss awak, secara normalnya awak kena pejamkan mata. Bukannya lagi besar awak buka mata.” Sambung Aariz lagi.

Darah panas menyerbu ke wajah Dahlia yang memang sedari tadi merah, membuatkan wajahnya bertambah merah. Dahlia memuncungkan bibir, mempamerkan riak tidak puas hati dengan kenyataan nakal suaminya.

Aariz tergelak kecil.

“Oklah, oklah. Saya tak cakap macam tu lagi.” Aariz cuba memujuk.

Dahlia tidak mempedulikan suaminya itu. Dia membetulkan duduknya dan menghirup kopi dengan lambat-lambat. Sengaja mahu menghukum suaminya dengan rajuknya yang sebenarnya bila-bila masa sahaja akan terhenti begitu sahaja. Dahlia memang begitu. Tidak pernah dapat merajuk lama-lama.

“Ala, Dahlia. Jangan merajuk lagi ya. Nanti saya…..” Kata-katanya terhenti.

Dahlia memandang dengan mata yang menyoal.

“Nanti saya cium awak lagi.” Usik Aariz lagi. Sekali lagi dia tertawa.

Mulut Dahlia terlopong, membentuk huruf ‘O’. Matanya dicerlung ke arah wajah Aariz yang masih tergelak-gelak.

“Huh, malas saya nak layan awak lagi. Lambat pula nak pergi office nanti.” Balas Dahlia seraya bangun, mahu membawa cawan dan pinggan yang diguna tadi ke dapur.

Belum sempat jauh dia berlalu pergi, tangan Aariz tiba-tiba melekap pada pergelangan tangannya. Dahlia menjatuhkan pandangan pada Aariz yang masih lagi duduk di meja makan.

Lelaki itu tersenyum. Senyuman itu kelihatan ikhlas di mata Dahlia.

“Thanks.” Lembut suara Aariz menuturkan kata-kata.

“Huh?” Dahlia menyoal, tidak mengerti untuk apa ucapan terima kasih itu.

“Thanks sebab tak marah pasal semalam.” Ikhlas benar suara Aariz, menggambarkan betapa rasa itu benar-benar hadir dari lubuk hatinya yang dalam.

Dahlia tersenyum sambil membalas pandangan mata suaminya. Dengan lembut dia menyentuh tangan Aariz yang masih lagi di pergelangan tangannya.

“Nasib baik awak ni suami saya. Kalau tak, dah lama saya buat aduan sexual harassment.” Selamba jawapan Dahlia.

Aariz tertawa lagi. Entah pagi itu sahaja, sudah berapa kali dia ketawa kerana Dahlia.

“Sebab awak isteri sayalah, saya berani buat macam tu.” Sambut Aariz dengan senyuman yang lebar di wajahnya.

Dahlia menjawab dengan senyuman manis di wajahnya.

Aariz terkesima. Wajah Dahlia yang tersenyum dengan bayangan cahaya matahari yang semakin meninggi di belakang gadis itu membuatkan Dahlia seperti bercahaya. Jantungnya mula berdegup. Degupan yang seumpama gempa yang maha hebat.

***********************

Dahlia mengemaskan barang-barangnya. Sekejap lagi dia akan bertolak ke Putrajaya, menghadiri mesyuarat di Kementerian Kesihatan. Planner miliknya dimasukkan ke dalam beg tangan. Fail-fail yang berkaitan disemak sekali lagi, takut-takut ada mana-mana dokumen penting yang tertinggal.

“Lia dah siap? Transport dah ada kat bawah.” Kak Nora menyoalnya sambil membetulkan tas tangan yang tergantung di bahunya.

Dahlia mengangguk sambil tangannya mengangkat fail yang perlu dibawanya ke mesyuarat tersebut. Fail itu dikepit ke dadanya.

Setelah 45 minit, akhirnya Dahlia dan Kak Nora tiba di Wisma Tani, bangunan berwarna hijau yang terletak di tengah-tengah kawasan Putrajaya.

“Lia pergi register dulu, ya. Akak nak pergi ladies kejap.” Kak Nora bersuara meminta Dahlia mendaftarkan diri di bahagian receptionist.

“Ok. Saya tunggu akak kat bawah, tau. Kita naik sama-sama.” Balas Dahlia sambil mengeluarkan lesen memandunya. Lesen itu akan diperlukan bila dia mahu mendapatkan pas masuk.

“Lia takut akak lari tinggalkan Lia sorang-sorang meeting dengan diorang semua ke?” Ujar Kak Nora separuh bergurau.

Dahlia tergelak.

“Mana ada, kak.”

Kak Nora tersenyum sekilas sebelum melangkah ke arah tandas yang terletak tidak jauh dari kaunter receptionist.

Dahlia memandang gerak langkah Kak Nora sebelum dia akhirnya melangkah ke arah penyambut tetamu yang tersenyum manis.

“Excuse me, I have a meeting at Acasia.”

Dahlia memaklumkan gadis itu nama bilik mesyuarat. Gadis itu menganggukkan kepala dan menghulurkan sebuah log book kepadanya.

“Tulis nama kat sini. Boleh saya dapatkan lesen memandu Cik?” Penuh sopan-santun gadis itu bersuara.

Dahlia tersenyum dan menyerahkan lesen memandu yang sedari tadi dipegangnya. Dahlia agak menyenangi sifat sopan santun yang ada pada gadis di hadapannya. Kebiasaannya dia selalu sahaja menemui gadis penyambut tetamu yang sombong mengalahkan tuan punya syarikat tempat bekerja, bak kata Teja ‘Lebih sudu dari kuah.’

Mengingatkan Teja, hati Dahlia diserbu rasa rindu pada sahabat baiknya itu. Sudah lama mereka tidak bertemu. Sudah hampir sebulan, sejak Teja dan Redza pergi berbulan madu di Thailand. Kerana itulah, mereka tidak menghadiri majlis perkahwinannya. Teringat Dahlia pada saat-saat dia merajuk dengan mereka berdua yang merancang untuk berbulan madu pada waktu dia akan menamatkan zaman bujangnya.

“Korang ni memang saja, kan? Tak nak datang majlis saya!” Dahlia membentak.

Sungguh! Dahlia berasa ralat kerana sahabat baiknya itu sanggup berbuat demikian terhadapnya, sedangkan dia amat berharap mereka berdua boleh bersamanya pada hari yang paling penting dalam hidupnya.

“Ala, Lia. Kitorang tak plan pun semua ni. Redza…bos dia hantar dia outstation kat Thailand. Honeymoon ni kira cam kebetulan je.” Pujuk Teja berulang-kali.

Dahlia tetap seperti tadi. Membungkam tanpa kata sambil memeluk tubuh. Wajahnya sengaja dimasamkan.

“Ala, Lia sayang..please, jangan marah. Please…” Suara Teja sudah mula tersekat-sekat. Seakan menahan sebak.

“Lia pun tahu kan, Redza ni bukan senang nak dapat cuti. Kalau bukan sekarang, tak tahu bila lagi kitorang dapat pergi…”

Dahlia mengerling ke arah wajah Teja. Jelas kelihatan mata sahabatnya yang sudah berkaca-kaca. Dahlia mula kaget. Rasa bersalah mula bersarang. Terasa seperti dia terlalu mementingkan diri.

Dahlia menarik nafas dan menghampiri Teja.

“Eh, nape nak nangis pula ni, Teja? Bukan ke awak ni ganas orangnya?” Tanya Dahlia, sempat pula mengusik gadis itu di akhir kata.

Teja menampar lembut bahu Dahlia.

“Awak ni….saya dah emo macam ni, sempat pula buat lawak.” Tempelak Teja pada sahabatnya.

Dahlia tergelak kecil. Sesaat kemudian, dia menarik Teja ke dalam pelukannya.

“Enjoy your honeymoon, dear.” Dahlia berbisik lembut di telinga Teja sambil matanya memandang Redza yang sejak tadi hanya memerhatikan perilaku mereka.

Lelaki itu tersenyum dan menggerakkan mulutnya, namun tiada suara yang keluar.

“Terima kasih, Lia.”

Dahlia tersenyum sendiri mengingatkan kejadian dua bulan lepas. Dia memang tidak boleh terlalu lama marah, terutama sekali pada Redza dan Teja, sahabat yang telah sekian lama menghiasi hidupnya.

“Lia, Dahlia…” Tiba-tiba satu suara mengejutkan Dahlia dari lamunannya.

Dahlia tersentak.

“Eh, budak ni. Termenung pula dia. Ingatkan husband ek?” Usik Kak Nora sambil tersengih.

Dahlia termalu sendiri.

“Isy, akak ni. Mana ada!” Balas Dahlia.

Kak Nora hanya melemparkan senyuman, seperti tidak mempercayai kata-katanya tadi. Dahlia membiarkan sahaja. Biarlah apa pun yang difikirkan seniornya itu. Yang penting sekarang, Dahlia mahu bertemu dengan Teja.

“Housewarming party…” Bisik Dahlia dalam hati, teringat kata-kata Aariz yang memintanya mengajak Redza dan Teja ke rumah mereka beberapa hari yang lepas.

*********************

“Lia!!! Oh, Lia, Lia, Lia!!! Rindunya kat awak!!!!”

Teja menjerit kegirangan dan memeluk Dahlia yang kelihatan terkaku dengan pelukan yang tiba-tiba itu. Langsung tidak dipedulikan Aariz, suami kepada sahabat baiknya yang jelas tercengang dengan reaksinya yang terlalu teruja.

Redza hanya tersengih dan memandang wajah Aariz yang masih terkulat-kulat melihat perbuatan isterinya. Teja memang seperti itu. Seorang yang terlampau selamba, sehingga kadang-kala tidak kena pada tempatnya.

“Sorry for that. Dia memang macam tu.” Jelas Redza pada Aariz. Tangannya dihulurkan pada lelaki di hadapannya.

“It’s okay. Now I know kenapa Dahlia pun kadang-kadang macam tu.” Jawab Aariz sambil menyambut salam daripada Redza.

Redza mengangkat kening. Aariz tersengih.

“Childish!!” Serentak itu juga kedua-dua lelaki bersuara.

Meledak ketawa mereka.

“Apalah nasib kita dapat isteri macam tu, kan?” Ujar Redza pada Aariz dalam sisa ketawanya.

Aariz hanya mengangguk dengan senyuman yang masih terpamer di wajahnya.

“Korang jangan nak mengumpat kitorang!!”

Dari kejauhan kedengaran jeritan Dahlia.

Aariz berpaling pada Redza.

“Opps, handal betul telinga dia. Boleh dengar sampai sini.” Ucap Aariz, sedikit bergurau.

“Well, it’s Dahlia.” Jawab Redza lagi.

Jawapan Redza membuatkan Aariz sedikit terdiam. Jawapan itu menggambarkan betapa dia mengenali Dahlia. Timbul perasaan cemburu dalam hati Aariz kerana Redza lebih mengenali isterinya berbanding dirinya sendiri.

“Aariz, kenapa tak jemput Redza masuk? Takkan nak borak depan pintu je.”

Dahlia muncul kembali setelah menghilang ke ruang tamu sebentar tadi.

“Oh, yelah. Sorry. Jemputlah masuk.” Aariz mengajak Redza memasuki rumahnya dan membawa lelaki itu ke ruang tamu.

Kelihatan Dahlia yang sudah pun duduk di atas sofa bersama Teja. Aariz memberikan senyuman kepada Teja dan menundukkan kepalanya sedikit sebagai tanda menyapa wanita itu.

Teja bangun dari duduknya dan kemudian berjalan mengelilingi Aariz. Redza yang berdiri di sebelah Aariz ditolaknya ke tepi. Aariz hanya membatu. Sedikit tertanya-tanya kenapa sahabat isterinya itu bertindak sedemikian. Dia merasakan dirinya seolah-olah patung lilin di Madame Tussauds yang dikelilingi oleh pengunjung yang mahu meneliti sama ada patungnya benar-benar sama dengan tubuhnya yang asal.

“So, this is the famous Aariz Danial. Banyak yang saya dah dengar pasal awak. Well, tak adalah banyak sangat sebenarnya. Tapi hari ni saya nak tambahkan informasi yang ada. ” Komen Teja dengan wajah yang serius. Dia berhenti betul-betul di depan Aariz dan memeluk tubuh.

Tatkala mendengarkan komen daripada Teja itu, terus sahaja Dahlia menoleh ke arah Redza. Matanya dijegilkan pada lelaki itu yang hanya membalas dengan wajah yang menyeringai. Dahlia tahu mesti Redza sudah menceritakan sesuatu pada isterinya itu.

“Hmm, Teja. That one is my husband. Yours is there. Jangan tengok dia macam tu lagi.” Selamba sahaja Dahlia bertutur sambil tangannya ditunjukkan pada Redza yang sudahpun melabuhkan punggung di atas sofa. Niat di hati mahu menghentikan perbuatan Teja yang tidak habis-habis memandang dan meniliti Aariz sehingga membuatkan lelaki itu nampak tidak selesa.

Semua yang ada di ruang tamu itu tertawa.

“Oh, Dahlia. Takkan awak jealous dengan saya kot. My beloved hubby is here. Tak ada kuasa saya nak kacau your Aariz Danial.” Jawab Teja sambil melangkah ke arah Redza dan memeluk lengan lelaki itu.

Dahlia mencebik.

“Oh, Teja. Tak ada maknanya saya nak jealous dengan awak.” Balas Dahlia.

“My Aariz Danial lagi handsome daripada Redza ni, tau.” Sambungnya lagi. Kali ini Dahlia pula yang bertindak bangun dari duduknya lantas memeluk lengan Aariz.

Aariz sedikit terpinga-pinga lantas menjatuhkan pandangan pada wajah selamba isterinya yang kini berdiri di sebelahnya. Kemas sahaja pelukan Dahlia pada lengannya yang tegap. Tiba-tiba timbul rasa ingin mengusik isterinya.

“And my Dahlia is the most beautiful girl in this world.”

Aariz bersuara setelah sedari tadi hanya mendiamkan diri. Tangannya yang dipeluk Dahlia tadi ditarik. Tangan itu kemudiannya memeluk bahu Dahlia kemas.

Dahlia membeliakkan mata, tanda terkejut dengan tindakan drastik suaminya itu. Langsung dia tidak menyangka Aariz berani bertindak sedemikian di hadapan sahabat-sahabatnya.

Redza dan Teja yang memerhati berpandangan satu sama lain. Dan kemudian…

“Ewwwwwwwww….” Serentak mereka bersuara.

Ketawa Aariz meledak. Pantas sahaja Dahlia mencubit tangan kanan suaminya yang terletak elok di atas bahunya.

“Believe me, Aariz. Awak takkan cakap macam tu kalau awak tengok dia pakai t-shirt dan seluar trek dengan muka comot, lepas tu panjat pokok.” Balas Redza sambil matanya memandang Dahlia yang sudah menarik muka masam.

Aariz berpaling pada Dahlia yang masih lagi berada dalam pelukannya.

“Oh, awak suka panjat pokok ek? Sampai ke kaki awak nak panjat?” Gurau Aariz.

“Oooo, awak nak cakap saya pendek lah, kan? Jahat!!” Dahlia menjerit kecil. Tangannya menolak tubuh Aariz, melapaskan diri dari pelukan lelaki itu.

Aariz menyeringai.

“Huh, tak nak layan awak lagi. Saya nak masuk dapur.” Ujar Dahlia seraya memulakan langkah. Namun langkah itu terhenti tidak jauh dari situ. Dahlia berpaling.

“Teja, awak tak payah nak peluk-peluk Redza kat sini. You. Me. Dapur. Now!” Dahlia bersuara pada Teja, sedikit mengarah.

Teja tergelak dan mengikut langkah Dahlia. Sempat matanya dilirik ke arah suaminya, seakan-akan meminta sesuatu. Redza mengangguk, tanda mengerti. Niat di hati mahu menyoal siasat Aariz, lelaki yang tiba-tiba mengahwini sahabat baiknya.

Sebagai teman rapat Dahlia yang telah mengenali gadis itu sejak di bangku sekolah, Redza sudah menganggap Dahlia seperti adiknya sendiri. Kerana itu, Redza agak protective terhadap Dahlia. Sungguh Redza tidak rela seandainya Dahlia dilukai atau terluka.

Redza masih ingat akan perasaan amarah dan panas hati yang dirasakan ketika Dahlia memberitahunya bahawa dia ditinggalkan Syafiq pada hari pernikahan mereka. Kalaulah Syafiq berada di hadapannya ketika itu, sudah pasti Redza akan membelasah lelaki itu.

Rasa amarah yang ada dalam dirinya bertambah pula tatkala menerima berita Dahlia terpaksa mengahwini abang kepada Syafiq, lelaki yang sepatutnya dia nikahi. Redza benar-benar geram. Apakah mereka semua fikir Dahlia cuma seperti barang, atau patung yang boleh diambil dan dibuang sesuka hati? Yang tidak punya sekelumit perasaan?

Aariz berpaling pada Redza. Tidak tahu apa yang patut dibualkan dengan sahabat isterinya itu. Matanya mengerling ke arah jam dinding.

“Mana pula dia ni? Cakap nak datang.” Aariz mengomel sendiri.

Tiba-tiba kedengaran bunyi loceng di pintu. Aariz bingkas bangun dan menuju ke pintu. Dia tahu siapa yang datang. Redza hanya memerhati dengan rasa hairan. Dia beranggapan majlis itu hanya dihadiri oleh dia dan isterinya.

“Hola!! Bonjour!! I’m here!!!”

Tersembul wajah Joshua yang tersenyum lebar sambil menggoyang-goyangkan sejambak bunga daisi yang elok terpegang di tangan kanannya.

“Aku ingat kau tak jadi datang tadi.” Balas Aariz. Pintu rumah dibuka luas sedikit tanda menjemput lelaki itu masuk.

Joshua tersengih.

“Jadilah. Mestilah jadi. I’m here to see my sister-in-law, remember?” Jawab Joshua sambil matanya melilau ke sekeliling rumah.

Aariz menghela nafas. Sahabatnya itu seperti tidak sabar-sabar mahu menemui isterinya, Dahlia.

“Kalau ya pun, masuklah dulu. She’s in the kitchen.”

Aariz menjawab sambil berpaling membelakangi Joshua yang kemudiannya mengekori dari belakang.

“Kenalkan, ini Redza and this is Joshua.”

Aariz memperkenalkan sahabat baiknya kepada Redza yang sedari tadi memerhatikan mereka berdua. Kedua-dua lelaki itu berjabat tangan dengan senyuman yang terserlah pada wajah masing-masing. Mungkin gembira dapat berkenalan dengan teman baru.

“Korang duduk kejap, ya. Nak panggil Dahlia.” Ucap Aariz sambil menapak ke arah dapur.

Joshua dan Redza hanya memandang tanpa kata.

“Lia, Joshua is here.” Aariz memberitahu Dahlia yang ketika itu sedang menyusun gelas ke atas dulang.

Dahlia mendongakkan kepala dan terus menghentikan perbuatannya.

“Oh, dah sampai? Kejap ya.”

Dua hari lepas, ketika Dahlia memberitahu niatnya untuk mengadakan majlis itu, Aariz menyoalnya kalau-kalau dia boleh menjemput Joshua, sahabatnya. Waktu itu agak berkerut dahi Dahlia memikirkan sebab Aariz seperti meminta keizinannya. Dalam sesebuah perkahwinan, biasanya yang meminta izin adalah isteri dan yang memberi keizinan adalah suami, bukan?

“Can I tell him about us? Itu juga niat awak nak jumpa Redza and his wife, right? Joshua…he’s my best friend. Saya rasa macam tak selesa bila berahsia dengan dia.”

Itulah yang lahir dari mulut Aariz apabila melihat Dahlia seakan terpinga-pinga bila dia meminta keizinan untuk menjemput Joshua.

“I haven’t told him anything. Well, I just thought that…saya tak boleh bagitahu dia apa-apa tanpa persetujuan awak. Sebab ini melibatkan maruah awak. And this whole thing lebih penting bagi awak, berbanding saya.” Sambung lelaki itu lagi.

Penjelasan Aariz membuatkan Dahlia berasa terharu. Ternyata Aariz merupakan seorang yang sangat bertimbang rasa. Dan selalu melindunginya. Kerana itu, terus sahaja Dahlia bersetuju. Tambahan pula, sepanjang mengenali Aariz, tidak pernah sekali pun lelaki itu meminta apa-apa daripadanya. Kadang kala Dahlia merasakan seperti dia yang lebih banyak menerima dan tidak pernah memberi dalam perhubungan mereka.

Dahlia memandang Aariz yang masih menunggunya keluar dari dapur. Bergegas dia menanggalkan apron, dan memandang sekilas ke arah Teja yang kelihatan bingung. Ditariknya tangan sahabatnya itu.

“Jom, jumpa kawan Aariz.”

Teja mengerutkan dahi namun tetap juga menuruti Dahlia.

Aariz memerhatikan isterinya yang semakin merapati kemudian dia menghulurkan tangan kanannya pada Dahlia.

Dahlia memandang tanpa reaksi.

“Kenapa?” Tercetus soalan itu dari mulut Dahlia. Tanda tidak memahami kenapa suaminya tiba-tiba mahu memegang tangannya.

Aariz tergelak kecil mendengar soalan yang dikira naif itu.

“Let me escourt you, my lady.” Jawapan penuh romantis diberikan pada Dahlia.

Terus sahaja Teja menyiku Dahlia.

“Suami awak ni romantik betul.” Bisiknya pada Dahlia yang hanya tergelak kecil.

Teringat pula Dahlia pada kejadian beberapa hari lalu. Waktu Aariz tiba-tiba memeluknya dari belakang dan mencium dahi serta pipinya. Darah panas menyirap ke wajahnya. Malu!

“Yup, dia memang romantik.” Jawab Dahlia. Namun jawapan itu hanya pada fikirannya. Tidak pula diluahkan.

Dahlia tersenyum sendiri dan kemudian menyambut tangan Aariz dengan lembut. Aariz menguntum senyum sambil mengemaskan pegangan tangannya. Teja di sebelah hanya tersengih.

“So, Joshua Francis. Let me present you….Dahlia, my wife!!!” Teriak Aariz sebaik sahaja mereka tiba di ruang tamu, seolah-olah membuat pengumuman.

Dahlia terus sahaja mencubit lengan suaminya.

“Awak ni, macamlah saya ni barang yang nak kena lelong. Dahlia one, Dahlia two, Dahlia three…sold!” Marah Dahlia, diselitkan juga dengan gurauan selambanya.

Semua yang ada tergelak. Joshua menjatuhkan pandangannya pada gadis manis yang berdiri di sebelah Aariz. Wajah itu kelihatan biasa-biasa sahaja jika dibandingkan dengan wajah-wajah gadis pan-asia yang sering mengelilinginya. Akan tetapi ada sesuatu yang istimewa tentang gadis itu. Pandangan matanya ikhlas dan penuh kelembutan. Namun terserlah juga keyakinan dan ketegasan di wajah itu.

“Come, Lia. Meet Joshua. My buddy.” Ucap Aariz sambil menarik tangan Dahlia dan mendekati Joshua.

Dahlia tersenyum pada Joshua dan menundukkan kepalanya sebagai tanda menyapanya. Joshua membalas senyuman manis itu dan menghulurkan jambangan bunga daisi yang dibelinya tadi ketika dalam perjalanan ke situ.

“For my sister-in-law.” Pendek sahaja kata-kata Joshua.

“Thanks.” Jawab Dahlia sambil jari-jemarinya membelek bunga itu dengan asyik. Dia gembira dengan pemberian itu. Matanya dijeling ke arah Aariz yang hanya memerhati.

“Ni mesti nak cakap saya tak pernah beli bunga untuk awak, kan?” Soal Aariz pada Dahlia tatkala melihat jelingan manja isterinya tadi. Dia seakan-akan dapat meneka apa yang ada di fikiran Dahlia.

Dahlia tertawa dan tanpa sedar laju sahaja dia memeluk lengan Aariz.

Redza, Teja dan Joshua yang melihat tersenyum senang. Di hati masing-masing terselit rasa aneh dengan kemesraan pasangan suami isteri itu. Menurut Aariz dan Dahlia, perkahwinan itu bukanlah perkahwinan yang datang dari hati, yang dirancang dengan perasaan teruja, sebaliknya perkahwinan itu berlangsung atas dasar terpaksa. Akan tetapi di hadapan mereka, pasangan itu kelihatan intim dan bahagia.

Dalam hati, Redza dan Teja berasa lega. Mungkin inilah hikmah di sebalik tindakan Syafiq meninggalkan Dahlia di hari pernikahan mereka. Ternyata Allah menghadiahkan Dahlia dengan seorang lelaki yang baik. Jauh lebih baik berbanding Syafiq, mungkin.

“Oklah, tak nak main-main lagi. Jom makan. Sejuk pula makanan tu nanti.” Ujar Dahlia dengan senyuman yang masih lebar di wajahnya.

“Yelah, perut I dah berkeroncong ni.” Ujar Joshua sambil memegang perutnya.

“Kau ni, Josh…lapar je kerjanya!” Ejek Aariz pada sahabat baiknya.

Mereka semua tertawa.

***********************

Dahlia meletakkan buah-buahan di atas meja di ruang tamu. Matanya tertancap pada tetamu-tetamunya yang sudah pun mengambil tempat masing-masing di sofa. Teja mengambil tempat di sebelah suaminya, Redza. Joshua pula elok sahaja duduk bertentangan dengan Aariz. Penuh sopan santun Dahlia bangun dan melabuhkan punggung di sebelah Aariz.

“Makanlah buah ni. Sorry tak sempat nak buat dessert lain.” Ucap Dahlia sambil membetulkan duduknya.

“Itulah awak, Lia. Ingatkan tadi bolehlah makan your famous caramel pudding.” Gurau Teja seraya mengambil sepotong betik.

Dahlia tertawa. Aariz pula mengerutkan dahi. Dahlia pandai masak caramel pudding?

“Kalau awak nak tahu, Aariz…Dahlia ni memang pandai masak caramel pudding. Memang ada ummmmphhh..” Balas Redza pula seakan mengerti persoalan yang ada dalam fikiran Aariz. Ibu jarinya diangkat tanda bagus.

“Lucky you, bro. That’s your favourite, right?” Joshua pula menyampuk. Aariz hanya tersenyum, tanda mengiyakan.

“Tak adalah, Aariz. Jangan dengar sangat cakap diorang ni. Bukannya sedap sangat pun. Biasa-biasa je.” Ucap Dahlia pula penuh rasa rendah diri.

“Ye ke? Diorang semua dah puji ni, mesti sedap kan?” Aariz menyoal isteri di sebelahnya. Dahlia menoleh ke arah suaminya dan tersenyum.

“Nanti masak untuk saya, tau.” Sambung Aariz lagi. Kali ini dia berbisik pula di telinga Dahlia.

Dahlia mengerling ke arah tetamu-tetamunya yang memerhati. Timbul rasa malu dan segan dengan tindakan Aariz itu.

“Lega saya tengok korang berdua ni. Lepas apa yang jadi, saya ingat Lia….” Tiba-tiba Teja bersuara sebelum tiba-tiba dia menghentikan kata-katanya.

Semua yang ada berpaling pada Teja.

“Ops, sorry. Maybe saya tak patut…” Sambung Teja lagi. Nada serba-salah jelas kedengaran dalam suaranya. Mungkin menyesali apa yang baru sahaja dituturkannya.

Joshua yang melihat mengerutkan dahi. Apa yang telah terjadi sebenarnya? Teringat pula dia pada kata-kata Aariz bahawa perkahwinan itu tidak pernah dirancangnya.

Dahlia tersenyum pahit dan menghela nafas panjang. Aariz yang memandang pantas sahaja mengambil tangannya dan memegang tangan itu seerat mungkin.

“Pardon me kalau aku tak patut tanya. Tapi, hmmmm…what actually happened?” Joshua tiba-tiba menyoal, menyuarakan rasa ingin tahu yang telah lama bertamu di hatinya. Sejak hari pertama dia mendapat berita Aariz telah berkahwin.

Aariz menoleh ke sebelah kiri dan menatap wajah Dahlia. Tanpa sebarang kata, matanya menyoal sama ada Dahlia tidak kisah jika dia menceritakan semuanya?

Dahlia mengangguk lemah seolah-olah mengerti maksud pandangan itu. Senyuman tawar masih terukir di wajahnya.

Aariz menarik nafas panjang sebelum menceritakan apa yang telah terjadi. Bermula dari saat-saat dia membawa nota yang ditinggalkan Syafiq ke majlis akad nikah di masjid, waktu umi merayu Dahlia agar mengahwini Aariz hinggalah saat-saat mereka akhirnya selamat diijabkabulkan.

Semua yang ada hanya mendiamkan diri dan mendengar dengan teliti. Dahlia turut membungkam. Dibiarkan sahaja Aariz bercerita. Tangannya kemas dalam genggaman suaminya. Entah kenapa, Dahlia berasa selamat. Pada awalnya, dia menduga bahawa dia akan berasa terluka bila terpaksa mendengar dan mengingati peristiwa itu lagi, namun yang dirasakan kini hanyalah perasaan yang cukup tenang. Dalam hati, Dahlia akui ketenangan itu sebenarnya berpunca daripada Aariz. Sejak dari hari pertama pernikahan mereka, Aariz telah pun menghadiahkan dia dengan suatu ketenangan dan mungkin juga kekuatan dalam hati dan jiwanya.

“Jahat betul budak Syafiq tu! Kalau dia depan saya, dah lama kena belasah!” Bentak Teja kasar setelah Aariz menamatkan ceritanya. Tangannya digenggam kemas, membentuk penumbuk.

“Isy, awak ni. Behave sikit. Saya tahulah awak tu handal bersilat tapi, agak-agaklah nak cakap macam tu.” Tegur Redza pada isterinya.

Teja tersengih dan menggaru kepalanya. Dia memandang Dahlia dan Aariz.

“Sorry. Ter’emo’ sikit tadi.” Teja memohon maaf sambil mengangkat tangan kanannya tidak ubah seperti tabik seorang polis.

Dahlia dan Aariz hanya tersenyum. Langsung tidak mengambil hati atas kata-kata Teja tadi. Masing-masing hanya menganggap tutur kata itu sekadar gurauan semata-mata. Tidak lebih dari itu.

“I guess your name is Teja sebab you pandai silat? Just like…hmmmm…sape? That heroin zaman dulu-dulu…” Joshua pula menyampuk. Wajahnya menunjukkan rasa ingin tahu.

“Tun Teja.” Kali ini Aariz pula menjawab.

Redza dan Dahlia tergelak.

“Yup, so true!! Biasanya nama glamour bagi Khatijah is Khaty, but for this special lady, we call her Teja as in Tun Teja.” Terang Redza mengenai asal-usul nama gelaran isterinya.

“Awak ni, janganlah nak cerita lebih-lebih.” Marah Teja pada Redza sambil tangannya laju sahaja mencubit tangan suaminya.

Dahlia yang melihat makin kuat tertawa. Tanpa disedari, Aariz begitu asyik memerhatikannya. Terukir senyuman di wajah lelaki itu. Rasa senang menjengah dalam hati tatkala melihat isterinya yang kelihatan gembira.

Joshua memerhatikan perilaku Aariz dengan teliti. Wajah sahabatnya itu kelihatan berseri. Nampak bahagia. Saat itu, Joshua sedar Aariz menyayangi Dahlia, isterinya. Tidak pernah sekalipun Joshua melihat Aariz memberikan perhatian kepada seorang wanita sebelum ini. Aariz yang dikenalinya langsung tidak pernah peduli tentang mana-mana wanita. Namun kini, Aariz seakan telah membuka pintu hatinya kepada seseorang. Dan seseorang itu adalah Dahlia, isteri yang dikahwininya secara tiba-tiba.

Teringat Joshua pada kata-kata yang sering didengarinya daripada sahabat-sahabatnya yang berbangsa Melayu.

“Relationship ni sebenarnya bergantung pada jodoh. Kalau someone tu dah jodoh you, takkan ada apa-apa yang boleh ubah.”

Joshua memandang Aariz dan Dahlia lagi.

“Mungkinkah ini yang dinamakan jodoh?” Joshua menyoal dirinya sendiri.

******************

“Take care, tau Lia. Kalau ada apa-apa, call je. I’m always here for you.” Pesan Teja panjang lebar pada Dahlia. Dipeluknya sahabatnya seerat mungkin.

“Semua yang jadi pasti ada hikmah. Awak sabar, ya.” Sambung Teja lagi. Suaranya berbisik pada telinga Dahlia.

Rasa terharu bersarang dalam hati Dahlia. Teja memang seorang sahabat sejati. Gadis itu tidak pernah meninggalkannya sewaktu dia punya masalah. Dahlia mengeratkan pelukannya dan mengangguk perlahan.

“I will, Teja. Insya’ Allah, saya boleh tempuhi semua ni. Lagipun, Aariz tu baik.” Balas Dahlia pula.

Teja terus sahaja meleraikan pelukan dan tersenyum. Senyuman yang kelihatan aneh di mata Dahlia. Kelihatan seakan nakal dan mencurigakan.

“Aariz tu baik.” Teja mengajuk kata-katanya tadi sambil menganggukkan kepala beberapa kali. Dahlia mengerutkan dahi.

“Ok, that’s ok. Awak….awak dah suka kat dia, kan?” Terus sahaja Teja meneka.

Dahlia tersentak. Suka? Apakah maksud ‘suka’ yang dikatakan Teja? Kalau ‘suka’ yang ‘suka’, memang Dahlia akui dia sukakan Aariz. Ya, memang itu yang dirasakannya terhadap Aariz. Tapi, kalau ‘suka’ yang bermaksud ‘sayang’ atau ‘cinta’, Dahlia sendiri kurang pasti. Matanya dilirik pada Aariz yang sedang berborak dengan Redza dan Joshua.

“Sayangkah aku pada dia? Cintakah aku pada dia?” Tanya Dahlia pada diri sendiri.

Dahlia tersenyum lemah dan hanya memandang wajah Teja. Persoalan itu dibiarkan sendiri, terbang begitu sahaja kerana Dahlia sendiri tidak punya sebarang jawapan.

Aariz menyambut huluran tangan Redza.

“Thanks sebab datang. Dahlia…she’s really happy that you both came.” Ikhlas kata-kata yang lahir dari mulut Aariz.

Redza hanya mengangguk sambil matanya mengerling ke arah Dahlia yang sedang berbual dengan Teja.

“Saya nak minta daripada awak, Aariz…tolong jaga dia baik-baik. Maybe perkahwinan ini bukan keinginan awak, tapi cubalah untuk terima dia, untuk terima perkahwinan ini. ” Ujar Redza, seakan-akan menasihati Aariz.

Aariz yang mendengar hanya mendiamkan diri.

“Mungkin jodoh dia adalah awak. Dan jodoh awak adalah Dahlia.” Sambung Redza lagi.

Aariz sedikit tergamam. Dan kemudian berpaling ke arah Dahlia. Dia memandang wajah Dahlia yang sedang tersenyum manis. Wajah itu sentiasa kelihatan cantik di matanya.

Perlahan Aariz mengeluh. Benarkah Dahlia adalah jodohnya? Dan dia adalah jodoh yang ditakdirkan Allah untuk Dahlia?

Dalam hati, Aariz menyoal diri sendiri seandainya Dahlia memang jodohnya, mampukah dia menolak jodoh itu?




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

29 ulasan untuk “Novel : Jodoh itu Milik Kita 6”
  1. sara aisha says:

    thx sume!!!
    mengikut plan citer ni maybe dlm 20 bab. of course lah itu tertakluk kpd perubahan lagi..hehe

  2. nurwateeqa says:

    uuuuuuuuuu. sara.. abc here.. ala.. nak lagi.. cepat3

  3. fillmore says:

    bestnyer citer nhh….congrats sara!

  4. nurul says:

    sara…plz nak bab 7…ari2 duk terfikir dah

  5. teresa says:

    cepatlah sara.tak sabar nak baca nie.

  6. trisha says:

    cepatlah sara tulis bab 7

  7. seri seroja says:

    i tertarik dgn tajuk “jodoh itu milik kita….kalau jodoh itu dah tertulis di loh mahfuz…siapa kite nak menolak takdirkan…..bercinta lama2 pun…kalau dia bukan untuk kita..tetap bukan untuk kite….hopefully..happy ending my dear…with “twin”…mesti comel..heheh….gud luck

  8. sara aisha says:

    seri seroja, yup sy setuju sgt!!! mmg sbg manusia kt blh bercinta dgn sape2 yg kite nk, tp klu dh tertulis yg org 2 bkn jodoh kite, xde ape yg kt blh buat. klu ad org yg kt x knl yg dh ditakdirkn sbg jodoh kite, nk x nk kite kn terima…

    insya’ Allah, sy akn buat happy ending sbb sy pn x suke sad ending, cume nk dptkn happy ending 2, kn lar ad onak duri skit supaya aariz dan dahlia akn lbh m’hargai satu sm lain…=)

  9. rosmpkmn says:

    sekiranya org tu baik sudah tentu jodohnyapun seorang yg baik. Aariz adalah jodoh yg terbaik utk dahlia

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"