Novel : Jodoh itu Milik Kita 7

12 July 2011  
Kategori: Novel

27,751 bacaan 24 ulasan

Oleh : sara aisha

BAB 7

“Aariz, thanks. Saya gembira sangat dapat jumpa Redza dengan Teja.” Ucap Dahlia sambil memandang Redza, Teja dan Joshua yang semakin jauh daripada pandangan matanya.

Ikhlas suara Dahlia menyuarakan rasa gembiranya kerana Aariz membenarkannya mengadakan majlis itu. Aariz tidak menjawab. Hanya matanya sahaja yang tertancap pada wajah manis Dahlia. Sejujurnya, dia masih teringatkan kata-kata yang diucapkan Redza tadi.

“Mungkin jodoh dia adalah awak. Dan jodoh awak adalah Dahlia.”

Kata-kata itu seperti terngiang-ngiang di telinganya.

Dahlia tidak mempedulikan suaminya yang tidak membalas kata-katanya dan berpaling masuk ke dalam rumah. Hatinya benar-benar riang.

Tiba-tiba telefon di ruang tamu berbunyi. Dahlia yang berdiri berdekatan terus sahaja mengangkat gagang telefon.

Aariz memerhati dari jauh. Hatinya diserbu rasa aneh apabila melihat wajah Dahlia yang tiba-tiba berubah. Wajah riang tadi kelihatan terkejut. Hampir sahaja Dahlia terjelepuk ke atas permaidani namun sempat dia menyambut tubuh kecil isterinya itu.

Tangan Dahlia terketar-ketar, wajahnya pucat dan dadanya turun naik dengan laju, seakan-akan sukar untuk bernafas.

“Lia, Dahlia…are you okay?” Aariz menyoal dengan penuh rasa ambil berat.

Dahlia mengangkat wajah sebelum merenung tepat ke dalam mata Aariz.

“U…u..umi….” Tersekat-sekat suara yang keluar dari kerongkong Dahlia.

Aariz terpempan. Umi?

**********************

Dahlia menyelimutkan umi dengan penuh hati-hati. Wajah tua itu disentuh dengan lembut sebelum Dahlia menunduk dan mencium dahinya. Aariz di sebelah hanya melihat tanpa kata.

“Jom, keluar. Kita bagi umi rehat.” Ujar Dahlia pada Aariz seraya berpaling.

Aariz tetap tidak berganjak. Hatinya berat untuk meninggalkan ibunya di dalam bilik itu seorang diri. Hatinya juga sakit kerana tiada apa yang dapat dia lakukan untuk meringankan penderitaan umi. Perlahan Aariz menarik nafas panjang dan menggenggam tangan. Dalam hati, dia mengutuk diri sendiri kerana tidak dapat menjaga dan melindungi umi dengan baik.

Dahlia yang perasan bahawa Aariz tidak menurutinya keluar, menoleh kembali. Wajah tegang suaminya ditatap. Timbul rasa kasihan pada lelaki itu. Perlahan dia merapati Aariz dan mengambil kedua tangan lelaki itu. Digenggam tangan itu sambil bibirnya mengukirkan senyuman. Senyuman yang Dahlia pasti kelihatan canggung memandangkan senyuman itu jelas dibuat-buat. Namun Dahlia tidak tahu apa lagi yang boleh dilakukannya bagi menenangkan perasaan suaminya itu.

Aariz memandang wajah Dahlia tanpa kata. Tiada juga senyuman yang biasanya diukirkan buat isterinya. Hanya pandangan kosong yang mampu lahir dari hatinya yang gundah gulana.

“Jom. Kita tengok abah pula.” Dahlia bersuara dengan lembut sambil tangannya menarik Aariz keluar.

Aariz membuntuti tanpa sebarang kata. Dia hanya mengikut langkah Dahlia.

Tuan Haikal memandang anak dan menantunya yang semakin merapati. Wajah sugul Aariz meruntun jiwanya. Dia tahu Aariz terlalu menyayangi ibunya. Bagi Aariz, ibunya bukan sahaja seorang wanita yang telah menghadiahkannya dengan kasih sayang seorang ibu, malah ibunya adalah seorang penyelamat yang telah menariknya keluar dari sebuah kehidupan yang penuh kegelapan. Dan kerana itulah Aariz sanggup berbuat apa sahaja demi ibunya.

“Abah, abah macam mana? Okay? ” Soal Dahlia sebaik sahaja berdepan dengan bapa mertuanya.

Tuan Haikal mengangguk sambil tersenyum lemah.

“I’m fine. Tapi, abah bimbangkan umi kamu tu. Semalam keadaan dia tu tak adalah teruk sangat. Cuma pagi tadi tiba-tiba je dia asyik muntah-muntah, sampai pengsan.” Terang Tuan Haikal perlahan.

“Apa dah jadi sebenarnya, bah? Aariz ingat lepas surgery, keadaan umi akan jadi lebih elok.”

Kali ini Aariz bersuara setelah sejak tadi hanya mendiamkan diri. Suaranya kedengaran tenang, tapi Dahlia dapat merasakan getaran pada suara itu. Dahlia sedar masih ada kerisauan dalam diri Aariz.

Tuan Haikal hanya menjungkitkan bahu, tanda tidak pasti dan tersenyum pahit. Mungkin cuba menyembunyikan rasa sedih dalam hati.

Dahlia memandang wajah tua di hadapannya itu dengan rasa yang sangat kasih. Wajah itu kelihatan cukup tenang, namun Dahlia dapat melihat dengan jelas kebimbangan dan kerisauan yang cuba disembunyikan abah.

Dahlia menghela nafas panjang.

“Abah, Lia tengok abah macam letih sangat. Abah balik rumah, ya. Rehat kat rumah. Pasal umi, abah jangan risau. Lia akan jaga umi.” Ujar Dahlia pada Tuan Haikal.

“Aariz, awak bawa abah balik, boleh? Biar saya stay sini jaga umi. Awak jaga abah kat rumah, ya.” Sambung Dahlia lagi. Kali ini suaranya ditujukan pada Aariz pula.

Aariz membuka mulutnya sedikit, ingin membantah rancangan itu. Niat di hatinya mahu tinggal di hospital dan menjaga umi. Dahlia seakan dapat meneka apa yang ada dalam fikirannya kerana gadis itu tiba-tiba sahaja merenungnya tajam. Jelas isterinya itu mahu menunjukkan ketegasan, juga mahu membuatkan Aariz mengerti bahawa dia tidak akan berkompromi mengenai hal itu.

“Saya akan stay sini, jaga umi. Awak jaga abah dan juga balik rehat. You both need rest.” Tegas suara Dahlia kedengaran di hujung telinganya.

Aariz hanya memandang isterinya tanpa kata. Tercuit rasa tidak berpuas hati dalam dirinya. Bukan dia tidak mahu menjaga abah di rumah, tapi dia tidak tegar meninggalkan umi di hospital sendiri. Dia sebenarnya berkira-kira mahu menghantar abah dan Dahlia ke rumah. Dan biar dia sahaja yang menjaga umi di hospital.

“Awak jangan bimbang, okay? I’ll take care of her. Awak rehat dulu kat rumah. Tenangkan diri. Believe me, semuanya akan tambah baik.” Dahlia menyambung lagi. Kali ini ketegasan yang ditunjukkan tadi sudah hilang entah ke mana, yang tinggal kini hanyalah kelembutan dan rasa mengambil berat yang cukup tinggi buat kedua-dua lelaki di hadapannya.

Aariz menghela nafas panjang. Matanya dilirik ke arah wajah abah yang jelas nampak keletihan.

“Okay. But if anything happened…”

“To umi, I’ll call you. Don’t worry.” Dahlia memotong kata-kata Aariz.

Aariz tersenyum pahit dan menggelengkan kepalanya.

“I know. Tapi saya nak cakap, if anything happened to both umi and you.” Balas Aariz sambil menekankan suara pada perkataan ‘you’.

Dahlia mengerutkan dahi.

“Me? Kenapa pula dengan saya?”

“Saya tahu awak pun letih. Penat uruskan majlis tadi pun belum habis, sekarang kena stay kat hospital pula.” Jawab Aariz sambil merenung Dahlia.

Senyuman terus sahaja terukir pada wajah Dahlia tatkala mendengarkan jawapan Aariz. Dahlia berasa terharu kerana Aariz sempat memikirkan tentang dirinya walaupun dalam keadaan genting begitu.

“Tak apa. Saya kan superwoman.” Dahlia memberikan jawapan selamba.

Aariz tergelak kecil. Isterinya memang suka membuat lawak dalam keadaan runcing.

“Yes, madam. You’re a superwoman. My superwoman.” Jawab Aariz sambil menarik hidung Dahlia.

Dahlia terjerit kecil seraya menggosok hidungnya beberapa kali. Dahinya dikerutkan. Aariz tertawa lagi. Sedikit demi sedikit rasa gelisah dalam hatinya terbang pergi. Abah yang menonton juga tergelak.

Dahlia yang melihat berasa lega. Sekurang-kurangnya Aariz dan abah kelihatan lebih tenang berbanding tadi. Wajah sugul dan sedih mereka, walaupun masih jelas kelihatan, tidaklah seteruk tadi.

“Rasanya abah dengan Aariz boleh balik sekarang. Saya kena masuk tengok umi.” Ujar Dahlia setelah ketawa Aariz dan abah makin reda.

Tuan Haikal mengangguk dan menghulurkan kedua tangannya kepada Dahlia yang kemudiannya menyambut dan tunduk mencium tangan itu.

“Lia jaga umi, ya.” Pesan Tuan Haikal pada Dahlia, menantunya.

Dahlia tidak menjawab sebaliknya hanya menganggukkan kepala. Kemudian dia berpaling pada Aariz dan merapati lelaki itu. Entah apa yang merasuk dirinya, Dahlia tiba-tiba sahaja mengjungkitkan kaki dan memeluk suaminya erat. Aariz tergamam. Dia terkaku dalam pelukan yang langsung tidak disangka-sangka itu.

“Awak jangan bimbang. Saya akan jaga umi elok-elok.” Dahlia berbisik lembut pada telinga suaminya.

Aariz dapat merasakan perasaan terharu menjengah masuk dalam dirinya. Perlahan dia mengangkat tangan, membalas pelukan isterinya itu.

“Thanks, Lia. Thanks.” Balas Aariz perlahan.

**********************************

Dahlia menggeliat beberapa kali, cuba membetulkan urat-urat yang terasa kebas. Mungkin kerana tidur di atas sofa yang kurang selesa. Lambat-lambat Dahlia bangun dan menapak ke arah umi yang masih tidur dengan lena. Ditenungnya wajah tua itu dengan teliti. Walaupun wajah umi dibaluti dengan seribu kedutan dan kelihatan pucat dek kerana penyakit yang dihidapinya, wajah itu penuh dengan ketenangan dan rahsianya sendiri.

Dahlia mengambil tangan kanan umi dan memegangnya dengan kemas.

“Umi, Lia merayu…umi bertahanlah.” Dahlia bersuara separuh berbisik.

Tangan umi dilepaskan dan diletakkan kembali ke bawah selimut. Perlahan Dahlia berpaling dan berjalan manuju bilik air. Niat di hati mahu membersihkan diri dan kemudian solat Subuh.

“Ya Allah, Ya Tuhanku. Aku memohon pada-Mu, berikanlah kekuatan dan ketenangan kepada umi dalam menghadapi penyakitnya. Ringankanlah penderitaannya. Juga berikanlah kekuatan buat abah dan Aariz. Sesungguhnya mereka terlalu menyayangi umi. Penderitaan umi tidak ubah seperti penderitaan mereka sendiri. Tidak lebih dan tidak kurang.” Dahlia berdoa seusai solat Subuh.

“Ya Allah, aku juga memohon pada-Mu, berikanlah aku kekuatan untuk menjaga mereka semua. Berikanlah aku ketabahan untuk menjadi kuat di hadapan mereka. Aku…aku tidak boleh menjadi lemah kerana kelemahan aku cuma akan membuatkan mereka tambah menderita. Aku mahu menjadi kuat demi umi, abah dan juga Aariz, suamiku. Amin, Ya Rabbalalamin…” Doa Dahlia penuh syahdu. Perlahan air mata Dahlia menitis.

Dahlia menyeka air mata itu dan menarik nafas panjang seakan-akan mencari kekuatan dalam nafas yang memasuki rongga udaranya. Seketika kemudian Dahlia bangun dan menuju ke arah rak kecil yang terletak di sebelah katil umi. Dikeluarkan sebuah Al-Quran dan Dahlia mula membaca kitab suci itu.

Puan Marina cuba membuka matanya dengan perlahan-lahan. Cahaya lampu yang terang membuatkan dia menutup kembali sepasang matanya. Sekali lagi, Puan Marina cuba membuka kelopak mata dan cuba menyesuaikan diri dengan cahaya di sekelilingnya. Percubaannya kali ini berjaya. Matanya terbuka luas dan mula memandang sekeliling.

Dari jauh, Puan Marina dapat mendengar suara seseorang yang sedang mengaji Al-Quran. Dia cuba mengamati suara itu dengan lebih jelas. Suara yang kedengaran lembut dan membuai perasaan.

“Dahlia….” Bisik hatinya perlahan.

Puan Dahlia menggigit bibir. Setiap kali terkenangkan Dahlia, dia pasti akan rasa bersalah. Dahlia baginya seorang gadis yang amat baik, yang datang dari keluarga yang baik-baik dan dididik dengan cukup sempurna oleh keluarganya. Walaupun Dahlia adalah seorang wanita moden yang cukup berdikari dengan karier yang memberangsangkan, gadis itu tidak pernah sekali pun membangga diri atau pun merasakan dirinya terlalu hebat. Dahlia sentiasa bersifat rendah diri dan sentiasa juga menghormati dirinya walhal Puan Marina bukanlah ibunya sendiri. Sifat periang Dahlia juga amat memikat hatinya.

Namun kini Puan Marina merasakan bahawa dia seperti telah mengambil kesempatan di atas kebaikan gadis itu. Tindakannya yang meminta Dahlia menerima Aariz sebagai suaminya sebagai ganti kepada Syafiq dirasakan terlalu mementingkan diri. Dalam hati, Puan Marina sedar bahawa dia bertindak sedemikian kerana dia tidak mahu melepaskan Dahlia kepada sesiapa pun. Dia mahu Dahlia sebagai menantunya, tidak kira sebagai isteri kepada Syafiq atau pun Aariz.

Pada awalnya memang Puan Marina telah merancang mahu menjodohkan Dahlia dengan Syafiq kerana dia merasakan Dahlia amat sesuai untuk anak lelakinya itu. Sifat tegas yang ada dalam diri Dahlia dirasakan akan dapat mengawal sifat keanak-anakan dan terlampau manja yang ada dalam diri Syafiq. Tidak pernah sekalipun dia terfikir untuk menggandingkan Dahlia dengan Aariz kerana dia tahu bahawa Aariz merupakan seorang yang tidak akan pernah berkahwin. Sudah acap kali Aariz memberitahunya mengenai sumpah hidupnya itu. Kerana itulah Puan Marina agak terperanjat apabila Aariz dengan tenang sahaja bersetuju untuk mengahwini Dahlia pada hari itu. Hari yang sepatutnya merupakan hari pernikahan Dahlia dengan Syafiq. Hari yang tiba-tiba bertukar menjadi hari pernikahan Dahlia dengan Aariz Danial.

Dahlia menyudahkan bacaannya dan kemudian mengucup Al-Quran di tangannya. Perlahan dia bangun untuk meletakkan kembali kitab suci itu di dalam laci. Pandangan jatuh pada wajah umi yang hanya terkebil-kebil memandangnya.

“Oh, umi dah bangun? Dah lama ke umi bangun? Kenapa tak panggil Lia?” Terus sahaja Dahlia menyoal sambil tangannya memegang tangan umi.

Puan Marina tersenyum lemah.

“Umi tak nak kacau Lia baca Al-Quran. Sedap suara Lia baca Yasin.” Jawab Puan Marina.

Dahlia melemparkan senyuman sambil tangannya ligat menanggalkan kain telekung dan melipatnya dengan elok.

“Umi rasa macam mana sekarang? Lia panggil doktor, ya.” Ujar Dahlia seraya menekan butang di sebelah katil.

Puan Marina tidak menjawab pertanyaan Dahlia tadi, sebaliknya dia terus sahaja menyoal Dahlia.

“Lia okey tak?”

Dahlia mengerutkan dahi.

“Kenapa, umi?” Dahlia menjawab pertanyaan ibu mertuanya dengan persoalan juga.

Puan Marina menarik nafas dan mengeluh lemah.

“Aariz….Aariz layan Lia dengan baik tak?”

Dahlia sedikit tergamam. Dipandangnya wajah tua di hadapannya. Dahlia dapat melihat dengan jelas rasa bersalah yang menyelubungi wajah itu.

“Umi…”

“Dulu waktu kat rumah umi hari tu, memang umi tengok dia layan Lia dengan baik. Tapi sekarang kamu berdua tinggal sendiri kat rumah Aariz. Apa-apa pun boleh jadi.” Puan Marina menyambung lagi tanpa sempat Dahlia berkata-kata.

Rasa terharu mula bertamu dalam hati Dahlia. Teringat pula kata-kata ibu beberapa hari lalu yang turut menyuarakan rasa yang sama.

“Umi, Aariz layan Lia dengan baik. Baik sangat-sangat. Umi janganlah risau.” Dahlia bersuara dengan tegas. Mahu menghilangkan rasa risau yang ada dalam diri umi. Juga mahu melenyapkan rasa bersalah dalam diri wanita itu.

Puan Marina memandang wajah tenang Dahlia, seakan mahu mencari jawapan dari wajah itu.

“Umi, percayalah. Aariz layan Lia dengan cukup baik. In fact, mungkin Lia yang tak cukup baik untuk dia.” Jauh nada suara Dahlia. Seakan ada rasa terkilan dalam suara itu.

Dahlia sedar bahawa Aariz, suaminya memang seorang yang cukup sempurna dalam melayan karenahnya. Lelaki itu sentiasa menjaga dan melindunginya, hinggakan kadang kala Dahlia berasa serba-salah kerana tidak pernah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.

Bukan sekali dua Dahlia perasaan pandangan penuh makna daripada suaminya, terutama sekali tatkala dia keluar dari bilik air dengan rambut yang basah atau tatkala dia dengan selamba sahaja menyarungkan baju tidur paras lutut yang jelas menampakkan bentuk tubuhnya. Dia bukan bodoh atau terlalu naïf untuk memahami maksud pandangan itu, namun setiap kali itu jugalah dia hanya berpura-pura tidak mengerti.

Tanpa sedar, Dahlia melepaskan nafas yang berat.

Puan Marina yang melihat berasa aneh. Nalurinya kuat mengatakan bahawa Dahlia dan Aariz bukan seperti pasangan suami isteri yang lain. Walaupun wajah Dahlia menunjukkan ketenangan yang jitu, Puan Marina tetap dapat melihat rasa yang berat di wajah itu.

“Puan dah sedar? Saya check, ya.” Tiba-tiba mereka diganggu oleh suara asing.

Dahlia berpaling dan tersenyum melihat seorang doktor muda yang semakin merapati.

“Hmmmm….saya tunggu kat luar. Kalau ada apa-apa, doktor panggil saya, ya.” Ujar Dahlia sambil melangkah keluar.

Puan Marina hanya memandang tanpa kata.

***********************************

Aariz berjalan dengan agak laju menuju ke bilik yang menempatkan ibunya. Tadi ketika dia mendapat panggilan daripada Dahlia yang mengatakan umi sudah sedar, hatinya berlagu gembira. Terasa sangat lega.

Dari kejauhan dia dapat melihat Dahlia yang sedang duduk di luar bilik umi. Langkahnya dipanjangkan lagi agar dapat tiba dengan lebih cepat.

“Lia…umi….dia…” Suara Aariz tersekat-sekat dalam mengahnya tatkala tiba di hadapan Dahlia.

Dahlia bangun dari duduknya dan menepuk belakang Aariz dengan lembut.

“Isy, awak ni. Jangan cakap dalam keadaan termengah-mengah macam ni. Macam hilang nafas…” Bebel Dahlia. Tangannya masih terletak elok di belakang tubuh Aariz.

Aariz membiarkan sahaja perlakuan Dahlia. Dia menarik nafas berkali-kali.

“Doktor tengah check umi. Rasanya tak ada apa-apa kot. Tadi masa umi sedar, saya tengok umi macam dah makin elok. Tak macam semalam.” Jelas Dahlia panjang lebar.

“Betul?” Soal Aariz pada Dahlia setelah mengahnya hilang.

Dahlia mengangguk perlahan.

Sedang mereka berdiri di situ, pintu bilik umi dibuka dari dalam. Doktor muda yang memeriksa umi tadi melangkah keluar. Laju sahaja Aariz dan Dahlia mendekatinya.

“Doc, how’s my mother?” Tanpa berlengah-lengah Aariz menyoal.

Doktor menarik nafas.

“We’ll talk in my room.” Hanya jawapan pendek itu yang lahir dari mulutnya.

Dahlia dan Aariz berpandangan. Entah kenapa, jawapan itu dirasakan terlalu menakutkan bagi mereka. Jawapan itu seakan menyimpan rahsia yang bakal menghancurkan perasaan mereka.

Perlahan mereka mengikut langkah doktor muda itu.

“Ermmm….your father, suami Puan Marina tak datang ke?” Soal doktor itu setelah mereka semua mengambil tempat masing-masing di dalam bilik yang sederhana besar itu.

“Oh, saya minta abah rehat kat rumah. Apa-apa pun yang doktor nak cakap, doktor boleh cakap pada saya dan isteri saya.” Jawab Aariz.

“Okay, then.”

Dengan itu, doktor berbangsa Cina dengan tag nama Eric itu mula menjelaskan keadaan umi pada Aariz dan Dahlia. Katanya, colon cancer yang dihidapi umi sudah sampai ke stage IIIA.

“The cancer has spread to the muscle layer of the colon wall.” Sambungnya lagi.

Dahlia dan Aariz mengerutkan dahi.

“But….she already had the surgery. Supposedly, the entire tumor has been removed.” Sampuk Dahlia tiba-tiba, menyuarakan rasa hairannya.

Teringat Dahlia pada pembedahan yang dijalani oleh umi sebelum hari pernikahannya. Kerana itulah umi terlalu lemah untuk menghadiri majlisnya itu. Selama berberapa hari selepas pembedahannya, umi cuma mampu ke mana-mana dengan menggunakan kerusi roda. Namun keadaan umi semakin baik sejak kebelakangan ini. Kerusi roda sudah tidak diperlukan lagi dan umi juga sudah mampu untuk melakukan aktiviti hariannya seperti biasa.

“Yes, and the surgery was a success. Tapi macam yang saya pernah inform dulu, for stage 3 cancer, surgery alone is usually not enough to get rid of all the cancer cells.” Jelas doktor itu lagi.

Berubah wajah Aariz dan Dahlia. Wajah mereka bertambah risau.

“So, are you telling me that my mum might….” Kata-kata Aariz terhenti.

Dia menarik nafas panjang sebelum menyambung kembali.

“Might not survive?” Akhirnya terkeluar juga soalan itu dari kerongkongnya.

Doktor Eric mendiamkan diri seketika. Mungkin berfikir jawapan yang paling sesuai untuk dikhabarkan.

“I won’t conclude it that way. Sebenarnya, bagi pesakit colon cancer stage 3, selain surgery and chemotherapy, pesakit itu juga need to go through drug theraphy. And by receiving all treatments, the survival rate can be 49% and up to 89%.” Terang doktor itu panjang lebar.

Aariz dan Dahlia yang mendengar berasa sedikit lega.

“Bagi seseorang pesakit, keinginan mereka untuk hidup dan terus berjuang adalah yang paling penting. So for Puan Marina, I think it’s really important for you to stay by her side and support her.” Doktor Eric menyambung lagi, diselitkan juga dengan nasihat untuk Aariz dan Dahlia.

“Thanks, doc. We will.” Aariz menjawab.

“Yes, we will fight till the end.” Sambung Dahlia pula.

*************************

Aariz membawa masuk beg pakaiannya dan Dahlia ke dalam biliknya. Beg itu diletakkan di atas sofa. Dahlia hanya membuntuti dari belakang. Mereka baru sahaja kembali dari hospital. Umi sudah pun dibawa pulang setelah beberapa hari berada di dalam wad.

“Awak tak kisah ke kalau kita stay kat sini sementara menunggu keadaan umi elok sikit?” Soal Aariz pada Dahlia yang telah pun duduk di atas birai katil. Tudung di kepalanya sudah pun ditanggalkan.

Dahlia memandangnya sekilas sebelum mengangkat kedua kakinya dan duduk bersandar pada katil. Tubuhnya terasa lenguh.

“Tak. Lagipun rumah umi ni lagi dekat dengan office. Tapi, awaklah….office awak jadi makin jauh.”

Tempat kerja Dahlia yang terletak di Seksyen 2, Shah Alam memang dekat sahaja dengan Bukit Jelutong. Namun tempat kerja Aariz terletak di Subang, agak jauh dari rumah umi.

“Tak adalah jauh sangat. Kalau awak boleh berulang alik everyday from Subang Avenue pergi office, takkanlah saya tak boleh berulang alik dari Bukit Jelutong ke Subang. Tak jauh pun.” Balas Aariz pula sambil tangannya mengeluarkan beberapa keperluannya dan meletakkannya di atas meja solek yang turut menempatkan barang-barang milik Dahlia.

Dahlia tidak menjawab. Matanya terasa berat dan perlahan-lahan terkatup.

Aariz berpaling ke arah Dahlia apabila menyedari bahawa isterinya itu tidak memberikan reaksi terhadap kata-katanya. Bibirnya membentuk suatu senyuman. Jelas di matanya Dahlia yang telah pun tertidur dengan bersandar pada katil. Kepalanya senget ke sebelah kiri dengan sebahagian rambut menutupi sebelah kanan wajahnya.

Perlahan dia merapati Dahlia dan menjatuhkan Dahlia ke pembaringan. Dahlia memusingkan tubuh ke sebelah kiri dan memeluk bantal.

“Thanks, Aariz…”

Aariz seperti dapat mendengar Dahlia menuturkan ucapan terima kasih. Dipandangnya wajah Dahlia yang seakan-akan tersenyum. Lembut dia mengusap kepala Dahlia dan mengalihkan helaian rambut yang menutupi sebahagian wajah isterinya.

Aariz tersenyum sendiri.

Selesai membaringkan Dahlia, Aariz berdiri dan berjalan keluar dari bilik. Pintu bilik ditutup dengan perlahan agar bunyinya tidak mengejutkan Dahlia yang lena tidur.

“Dahlia mana?” Tegur Tuan Haikal pada Aariz apabila melihat anak lelakinya itu turun seorang diri.

“Oh, dia tidur. Letih jaga umi agaknya. Umi pula mana, bah?” Jawab Aariz sambil diseliitkan soalan mengenai ibunya. Dia mengambil tempat duduk di sebelah bapanya.

“Kat dalam bilik. Entah apa yang dibuatnya, abah pun tak pasti.” Tuan Haikal menjawab sambil tangannya mengambil surat khabar. Niat di hati mahu membaca berita-berita yang disiarkan dalam surat khabar itu.

Aariz menilik ke arah pintu bilik umi. Bilik itu asalnya bilik tetamu, tetapi diubah kepada bilik umi bagi memudahkan pergerakan umi. Bilik asal yang terletak di tingkat atas cuma akan lebih menyusahkan umi untuk bergerak. Lagipun agak berbahaya untuk umi menaiki tangga dalam keadaannya yang agak lemah.

“Abah, Aariz pergi tengok umi kejap, ya.” Aariz meminta keizinan bapanya untuk menjenguk umi.

Tuan Haikal memandang sekilas pada Aariz sebelum mengangguk.

Aariz bangun dan menapak pergi.

“Umi, boleh Aariz masuk?” Aariz menolak pintu bilik sambil meminta izin untuk memasuki bilik itu.

Puan Marina menoleh ke arah pintu dan hanya menggerakkan tangannya, memberikan isyarat untuk anaknya masuk. Senyuman terukir pada wajahnya.

“So, how’s my mum?” Soal Aariz sebaik sahaja melabuhkan punggung di sebelah umi.

“Still strong as ever.” Jawab Puan Marina pula.

Aariz tergelak kecil. Ibunya selalu sahaja menjawab begitu apabila jatuh sakit.

“Then, lega Aariz dengar tu.” Balas Aariz pula.

“Umi tahu kan? Aariz tak nak apa-apa jadi pada umi.” Sambungnya lagi.

Puan Marina memandang anaknya itu. Dia tahu Aariz amat menyayanginya. Aariz terlalu berbeza jika dibandingkan dengan Syafiq. Dari kecil lagi, Aariz selalu mendengar kata, berlainan sekali dengan Syafiq yang suka melawan kata. Juga suka bergaduh dengan abangnya. Setiap kali mereka bergaduh, selalu sahaja Aariz yang akan mengalah.

“Tapi, Aariz kena terima kalau ditakdirkan apa-apa jadi pada umi suatu hari nanti.” Akhirnya Puan Marina bersuara.

Jelas kerutan pada dahi Aariz, menunjukkan perasaan tidak senang hati terhadap kenyataan yang baru sahaja keluar dari mulut ibunya.

“Aariz sekarang bukan macam Aariz dulu lagi. Aariz dah kahwin. Aariz kena jadi kuat sebab Aariz ada tanggungjawab untuk jaga Dahlia dan melindungi perkahwinan kamu berdua.” Puan Marina menyambung lagi kata-katanya.

Aariz mengetap bibir. Dia sedar akan hakikat itu. Tapi dia juga sedar bahawa pada asalnya Dahlia bukan untuk dia. Selama perkahwinan mereka, Aariz sering sahaja merasakan bahawa dia telah merampas hak Syafiq. Kerana itulah dia sering mengingatkan dirinya bahawa Dahlia bukan untuknya dan dia bukan untuk Dahlia. Selain itu, Aariz tahu seandainya Dahlia sedar siapa dia sebenarnya, mungkin sahaja isterinya itu akan berasa jijik terhadapnya.

“Tapi kan, umi…perkahwinan ni sebenarnya untuk Syafiq, kan? Dahlia untuk Syafiq, bukan untuk Aariz.” Lemah jawapan yang terbit dari mulut Aariz.

Puan Marina tersentak. Agak terkejut dengan jawapan Aariz itu.

“Apa maksud Aariz? Sekarang Lia dah jadi isteri Aariz. Yang dah lepas tu, biarkan lepas. Memang umi merancang Dahlia untuk Syafiq, tapi Allah dah pun tetapkan Dahlia itu untuk Aariz Danial.” Tegas suara Puan Marina.

Aariz tersenyum pahit.

“Tapi, kalaulah dia tahu siapa Aariz yang sebenarnya…..” Aariz menghentikan kata-katanya tiba-tiba dan memandang wajah umi.

Puan Marina terpempan. Siapa Aariz sebenarnya? Sungguh dia tidak pernah terfikir tentang itu kerana soal itu tidak pernah ditimbulkan sejak Aariz hadir ke dalam keluarganya. Lagipun bagi Puan Marina, Aariz Danial adalah anaknya. Soal siapa dia yang sebenarnya sudah tidak dipedulikan lagi.

Puan Marina menarik nafas panjang.

“Kalau macam tu, Aariz kena bagitahu dia. Biarlah Dahlia yang decide sendiri.” Perlahan Puan Marina bersuara, memberikan cadangan yang difikirkan paling sesuai.

Aariz tersentak. Memberitahu Dahlia tentang siapa dirinya tidak ubah seperti membuka rahsia hitam dalam dirinya, juga seakan membawanya kembali ke saat-saat itu. Saat-saat kegelapan yang sentiasa menghantui dirinya.

Perlahan Aariz meggelengkan kepala.

“Tidak, umi. I won’t tell her. Just…not now.” Aariz menjawab dengan tegas.

Puan Marina cuba membuka mulut untuk membantah. Namun dia menghentikan niatnya tatkala terpandang wajah Aariz yang kelihatan tenang menatapnya. Ketenangan itu penuh dengan kepura-puraan kerana Puan Marina dapat melihat dengan jelas perasaan sedih dan terluka yang dalam pada sepasang mata bundar milik Aariz.

“Umi pun janji dengan Aariz, ya. Jangan sekali-kali bagitahu Dahlia. Kalau suatu hari nanti, tiba masa untuk dia tahu, biarlah ia datang dari mulut Aariz sendiri.” Sambung Aariz lagi.

Puan Marina memandang Aariz tanpa kata dan dengan berat hati, dia mengangguk perlahan.

****************************

Aariz memandang wajah Dahlia yang masih lena di atas katil. Perlahan dia mengeluh. Mengingatkan permintaan umi tadi, hatinya berbelah bahagi.

“Umi tahu umi tak patut minta ini daripada Aariz. Tapi, umi tak tahu pada siapa lagi umi boleh minta tolong. Boleh tak….boleh tak Aariz cari Syafiq? Umi teringin nak jumpa dia…..”

Aariz menundukkan kepala dan memegang kepalanya dalam kedua tangan. Sungguh dia buntu. Sebahagian dirinya mahu mengikut kata umi dan mencari Syafiq, namun jauh di sudut hatinya, dia berasa berat hati. Kepulangan Syafiq mungkin akan mengubah perhubungan antara dia dan Dahlia. Walaupun dia tidak mahu mengakui hakikat itu, Aariz sedar antara dia dan Dahlia, sentiasa ada Syafiq, adik lelakinya. Lelaki yang pernah menjadi tunangan Dahlia. Juga lelaki yang sepatutnya berada di tempatnya, sebagai suami kepada Dahlia Darius.

“Dahlia bukan untuk aku. Dia bukan untuk aku….” Aariz berbisik perlahan, mengingatkan dirinya buat sekalian kalinya.

Perlahan Aariz memejamkan matanya, menarik nafas dalam-dalam dan membuka matanya kembali.

“Aku…aku harus cari Syafiq.” Aariz berbisik lagi.

“Syafiq……”




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

24 ulasan untuk “Novel : Jodoh itu Milik Kita 7”
  1. teresa says:

    bestle..nak lagi..cepat3…

  2. kayshilla says:

    bes…bes…bes…x tau nk ckp pe dah!….mmg bes la…:)…
    waiting for the next bab…

  3. orange gurlz says:

    bestnya…nak sambungannya cepat…

  4. rosmpkmn says:

    x kisah la sapepun Aariz tu, janji bahagia

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"