Novel : Kampung Girl 15, 16

8 July 2011  
Kategori: Novel

26,239 bacaan 18 ulasan

Oleh : Umi Kalsom

Bab 15

“KOMPANG dipalu, pengantin baru… duduk bersanding, tersipu malu.” Ainnur mengetap bibir geram. Tak sudah-sudah lagi si Salmi itu hendak mengusiknya. Sejak balik dari kampung, itu sajalah modal Salmi yang begitu gigih mengusiknya. Lagu pengantin baru kadang-kadang disilih gantikan bersama lagu Bunga Rampai nyanyian Zaleha Hamid.

“Sal… baik kau diam sebelum aku sumbat tepung ni dalam mulut kau yang macam murai tu!” marah Ainnur. Tangannya sudah mengacau laju tepung yang sedang dibancuh untuk dibuat lempeng kurma. Sudah tidak tahan diusik sebenarnya. Malu bertimpa-timpa. Kalau diusik perihal perkahwinan saja, boleh tahan lagi. Tapi, kadang terlebih-lebih pula usikan Salmi ini kalau diberi peluang. Melarat-larat sampai kewajipan isteri yang satu itu pun nak disentuh juga.

“Aku ada kurang dari tiga minggu saja lagi nak usik kau macam ni… lepas ni dah tak boleh,” lirih saja suara Salmi. Ainnur menjeling kecil. Aik, nak buat drama melodrama pula mak cik seorang ini!

“Iya… aku nak bernikah kurang dari tiga minggu lagi. Tapi lepas tu aku tinggal sini juga.”

“Iya ke?” Salmi terkejut. “Kenapa? Kau dengan abang Ash kau ni, jangan nak buat benda bukan-bukan macam ala-ala kahwin kontrak pula. Berdosa tau.” Ainnur melopong, sampai ke situ pula fikirnya.

Bebelan dari bibir Salmi terus berlagu tanpa henti. Habis dikeluarkan hujah tentang nikah mut’ah dan hukum yang disandarkan ke atasnya.

“Nikah mut’ah ni haram dan bathil tau. Tak boleh. Berdosa kalau tetapkan syarat-syarat dalam perhubungan suami isteri. Hubungan yang halal ni tak boleh disekat-sekat…” bebel Salmi lagi.

Ainnur sudah mengukir senyum segaris.

“Iya Ustazah Salmi. Orang faham dan takkan buat pun benda-benda yang dilarang macam tu. Buat apalah susah-susah kahwin kalau nak tetapkan macam-macam syarat tu…” balasan dari Ainnur seolah tidak memuaskan jiwa Salmi. Dia masih dengan pandangan yang tajam menikam wajah Ainnur.

“Habis, kenapa kau nak tinggal dekat sini lepas nikah?” soal Salmi yang masih meragui jawapan Ainnur.

“Aku kan masih mengajar dekat sini… terpaksalah buat PJJ dulu.”

“Betul ni?” Salmi seakan tidak percaya lagi. Ainnur sudah melepaskan tawanya.

“Betullah. Buang masa aku sukakan dia dari dulu kalau setakat nak main kahwin kontrak pula… baik tak usah kahwin macam tu!” jawab Ainnur yakin. Namun Salmi masih dengan pandangan yang mencurigakan.

“Ya Allah… Sal! Aku takkan buat benda yang haram macam tulah… jangan risau. InsyaAllah,” ucap Ainnur dengan nada yang tegas. Selepas itu baru dia nampak, Salmi sudah menarik senyuman puas. Sebuah kucupan dihadiahkan di pipi Ainnur. Ainnur terkesima.

“Aku cuma nak pastikan kawan aku bahagia.” Salmi sudah melemparkan senyuman yang manis sekali.

“Aku terharu Sal…” tiba-tiba saja dia menjadi sebak. Fikir nak kahwin. Fikir nak tinggalkan kawan. Fikir nak tinggalkan Salmi. “Aku nak peluk kau boleh?” pintanya. Matanya sudah panas. Tunggu nak pecah saja empangan air matanya. Ainnur sudah bergerak setapak hendak meraih Salmi dalam pelukan.

“Stop!” dahi Ainnur berkerut. Kenapa?

“Kau busuk! Tak mandi lagi…” selamba saja Salmi berkata macam itu. Ainnur yang baru nak ambil perasaan melodrama, terus mendengus kasar. Cis! Potong mood saja. Air mata yang nak keluar, terus tak jadi. Beku dan statik.

“Kau ni jahatlah Sal!!!” jerit Ainnur apabila Salmi sudah mengkekek ketawa dan bergerak ke ruang tamu.

“Jahat-jahat pun… aku sayang kau jugak!” jerit Salmi senada dengan Ainnur.

Ainnur menghadiahkan jelingan manja apabila Salmi mengintai semula di pintu dapur. Malas dia nak melayan. Baik dia teruskan membuat lempeng kurmanya. Lagi bagus. Makan pun sedap. Perut pun nanti kenyang. Hati pun bakal jadi senang.

“Ainnur sayang… telefon awak melalak la…” Salmi menjerit lagi sekali.

“Awak tolong jawabkan… tak boleh ke?” sesi jerit-menjerit di pangsapuri Blok A, Taman Bukit Jambul.

“Tak boleh! Saya tak kenallah siapa yang call awak.”

Ah, gedik sungguh aku mendengar nada itu! Ainnur terus saja ke singki mencuci tangannya. Talian sudah pun berhenti sebaik saja tangannya mencecah telefon bimbit. Sejurus selepas itu, jelingan tajam dihadiahkan buat Salmi yang sudah tersengih meleret. Sengaja!

Tanpa menunggu lama, telefon Ainnur berbunyi lagi. Melihatkan nombor di skrin, keningnya bertaut. Namun ditekan juga butang menjawab panggilan.

“Assalamualaikum.” Suara di sebelah sana memberi salam. Ainnur menjadi gugup. Dia kenal siapa itu. Suara itu… Alunan itu… hanya milik seorang. Hanya milik dia.

“Waalaikumsalam,” lambat-lambat saja dia menjawab.

“Sihat ke?” kaki Ainnur sudah melangkah membawa diri ke dalam bilik.

“Sihat. Abang Faisal?”

“Tak sihat.”

“Kenapa?” riaknya risau. Risau dari sudut seorang adik kepada abang, tak salahkan?

“Demam. Rindu.”

Aduh! Ainnur sudah rasa macam nak pengsan saja. Kenapa dengan abang Faisal hari ini. Tiba-tiba saja. Namun hilai tawa dari talian sebelah sana membuatkan Ainnur termangu sendiri. Kenapa pula? Ketawa sendiri.

“Ain…” panggil Faisal dengan nada yang lembut sekali. Ainnur mengeratkan genggaman pada telefon bimbit. Nada itu hanya membuatkan dia terasa sayu. Pilu. Kenapa abang Faisal perlu melayannya sebaik ini? Dia makin terasa bersalah.

“Tahniah…” suara itu mengendur.

“Abang Faisal…” Ainnur sudah kehilangan kata-kata. Memang dia ada mengirimkan SMS pada Faisal menyatakan pertunangannya dengan Ashraf. Namun, pada ketika itu dia tidak mendapat sebarang maklum balas dari Faisal. Dia hampir saja menyangka, Faisal tidak akan lagi menghubungi dirinya kerana dia hanya menyebabkan lelaki itu kecewa.

“Ain… I’ll pray the best for you… don’t worry, I’m just fine. I’m just fine as five years ago.” Ainnur mengetap bibir mendengar kata-kata Faisal. Dia menjadi sebak. Kenapa akhir-akhir ini dia cepat sangat hendak beremosi. Sindrom pra-perkahwinan ke?

“Tapi… abang harap Ain takkan putuskan pertalian kita. I’m still your abang right?” suara itu seakan meminta padanya. Sayu Ainnur pada ketika ini.

“You will be my abang… forever.”

“Thank you very much. Abang cuma nak tengok Ain bahagia… walaupun bahagia Ain tu bukan dengan abang, tapi abang akan rasa bahagia juga.” Ainnur sudah memejamkan matanya yang sudah panas. Tanpa dapat ditahan, gugur juga satu persatu air mata membasahi pipinya pada ketika itu.

“Ain… please, don’t cry,” suara Faisal lembut saja. Ainnur menahan esakannya. Tapi dia tidak mampu.

“Ain… please. Kalau Ain menangis macam ni, abang akan lagi terluka.”

“Abang Faisal…” suara Ainnur sudah serak. “Promise me one thing… promise me that you’ll find your soulmate,” jelas sekali kedengaran keluhan dari bibir Faisal. Ainnur tahu, pasti saja lelaki itu hendak mengelak dari soalan ini.

“Tolong abang Faisal… janji dengan Ain. Kalau abang betul sayangkan Ain… tolong janji yang abang akan cari kebahagiaan untuk diri abang.” Ainnur seakan merayu. Dia perlu mendesak Faisal untuk berjanji. Perlu! Supaya dia tidak akan dibebani dengan resah dan gelisah yang membuatkan dia rasa bersalah.

“InsyaAllah… kalau ada jodoh abang.” Akhirnya Ainnur berjaya juga mengukir senyuman di bibirnya. Walaupun tidak dapat nak dikesan keikhlasan pada nada Faisal, tetapi sekurang-kurangnya Ainnur berasa lega.

Seketika mereka berbual itu dan ini. Sekejap kemudian Ainnur tertawa sendiri. Pandai sungguh Faisal menghiburkan hatinya walaupun hati orang itu terluka. Pandai sungguh dia menutup lara di hati. Namun tidak sukar bagi Ainnur mengesan akan perkara itu.

Talian sudah dimatikan. Jam di dinding dikerling sekilas. Membulat biji mata Ainnur. Biar betul! Disangkanya beberapa minit rupanya sudah hampir sejam dia berbual dengan Faisal. Telefon bimbit di tangan digenggam erat. Panas. Fuhhh!!! Telefon pun sudah panas begini apatah lagi gegendang telinganya.

Teringat pula artikel yang dibacanya tentang kesan radiasi telefon bimbit. Ujikaji yang dijalankan menggunakan sebiji telur. Bermula dari minit ke-25, telur sudah mula panas. Kemudian pada minit ke-45 telur tersebut sudah panas dan pada minit ke-65, telur itu sudah masak. Dengan radiasi telefon, telur sudah masak. Bayangkan apa kesan radiasi pada otak yang terletak elok dalam kepala ini. Masak? Lebur? Aduh… bahaya sungguh teknologi zaman kini.

***

“LAMA berbual semalam. Siapa? Abang Ash ke?” soal Salmi pada paginya. Ainnur terpinga. Memang lama dia berbual sampaikan tidak jadi untuk meneruskan usaha pembuatan lempeng kurma. Jadinya, sekarang hendak jawab apa. Bercakap dengan abang Faisal. Mahunya kena dengar kuliah pagi dari mulut ustazah seorang ini.

“Abang Faisal.” Hati kata hendak mengelak, namun mulut hendak berlaku jujur juga.

“Ain…” reaksi Salmi sememangnya sudah dapat diagak. “Dia masih harapkan kau ke?” soal Salmi serius. Ainnur hanya menggeleng. InsyaAllah, itu juga harapannya. Dia tidak mahu Faisal terus mengharapkan dirinya yang tidak mampu membalas apa-apa.

Atas sebab itulah, selepas pertemuan di LCCT, Ainnur terus saja menjelaskan keadaan yang sebenar pada Faisal. Bimbang jika lelaki itu akan kembali mengharap kasih. Memang salahnya ketika menafikan fakta yang keluar dari bibir Ashraf, namun, dia tidak betah untuk mempergunakan Faisal untuk kepentingan diri sendiri.

Walaupun wajah Faisal kelihatan kecewa pada waktu itu, tetapi nyata dia telah mempamerkan wataknya sebagai seorang lelaki yang matang dan memahami. Faisal akan doakan kebahagiaan Ainnur, itulah janji yang telah diberikan buat dirinya. InsyaAllah, dia pun akan berbuat demikian juga.

“Dia dah tahu aku bertunang dengan abang Ash… dia dah tahu yang abang Ash tu bakal suami aku dari hari kami berjumpa semula.”

“Dia tak kata apa-apa?” Salmi pula yang kelihatan risau. Mungkin kasihan juga apabila dikisahkan tentang Faisal.

“Dia seorang lelaki yang matang, dia dapat terima yang aku bukan untuk dia…” tangan Ainnur yang sedang mengoyakkan lempeng untuk disuap ke dalam mulut terhenti sendiri.

“Aku harapkan sangat, ada perempuan yang sesuai dengan abang Faisal akan dapat bahagiakan dia lebih daripada apa yang dia harapkan pada aku.” Ikhlas ucapan itu lahir dari hati Ainnur. Sememangnya Faisal layak mendapatkan seorang gadis yang jauh lebih menyayangi lelaki itu dengan ikhlas.

“InsyaAllah… jodoh tu kan dari Allah, kita banyakkan berdoa dan berusaha. Pasti akan bertemu juga.” Salmi sudah tersenyum memberikan semangat buat Ainnur.

“Kau tak nak dengan dia?” soalan Ainnur yang berubah rentak terus saja menyentakkan Salmi. Sudah masuk jin mengusik dalam diri Ainnur.

“Kau diam!” laju saja tangan Salmi menyumbatkan lempeng ke dalam mulut Ainnur yang sudah tertawa mengusiknya. Bikin muka aku panas saja.

***

PINTU kereta MYVInya dibuka. Barang-barang yang dijinjit di tangan dimasukkan ke tempat duduk belakang. Sibuk dengan tugasan mengajar. Sibuk dengan permohonan pertukaran yang dia tahu bukan sesenang kacang soya nak dapat. Semua itu membuatkan Ainnur letih. Ditambah pula dengan sikap tunang yang macam hantu saja, lagi perasaannya bertambah.

Kut iya pun tak suka, salah ke kalau dia hantar mesej sepatah dua tanya khabar aku dekat sini. Satu habuk pun tak ada. Misscall… dalam mimpi Ainnur sajalah. Risau pula Ainnur memikirkan kehidupannya selepas perkahwinan nanti. Dia memang akan berusaha untuk ambil hati Ashraf… tapi, dia risau, naik darah tingginya nanti kalau Ashraf asyik menyakitkan hatinya. Tak apa Ainnur… you can do it girl! Tekadnya dengan penuh semangat.

Baru saja dia hendak memboloskan diri dalam kereta, pintunya ditahan. Dia terkejut. Pantas dikalih wajahnya.

“Abang Faisal.” Ainnur sudah tersenyum. “Abang buat apa dekat sini?” soal Ainnur teruja. Tak sangka pula dapat jumpa Faisal di sini.

“Nak jumpa Ain.” Kelu lidah Ainnur mendengar jawapan itu. Tak boleh ke Faisal menyembunyikan sedikit perasaannya.

Faisal tersenyum kecil. Wajah gugup Ainnur jelas di ruang matanya. Dia tahu si pujaan hatinya itu serba salah.

“Ain… abang nak jumpa adik abang, boleh?” soal Faisal dengan senyuman yang ceria. Sedaya yang boleh, dia hendak menghilangkan kegusaran yang bersarang di jiwa Ainnur.

“Ain dah jadi tunang orang… Ain tak boleh nak keluar macam tu saja, berdua dengan abang. Harap abang faham.” Sopan Ainnur menolak. Wajah Faisal masih tenang. Tidak berubah langsung riak di wajahnya.

“Call tunang Ain… mintalah izin. Sekali ni saja… esok abang nak bertolak dah. Lepas ni tak tahu bila lagi boleh jumpa.” Ainnur tersentak.

“Abang nak pergi mana?” soalnya tak sabar.

“Balik NZ… ada hal nak kena settle.”

“Lama ke?” entah kenapa Ainnur rasa kecewa. Maknanya Faisal takkan dapat hadir ke majlis pernikahannya yang akan berlangsung dalam masa dua minggu lagi.

“Mungkin untuk beberapa bulan lagi.” Ainnur tersenyum hambar. Ikutkan hati, dia hendak duduk berbual dengan Faisal, lama. Tapi fikirkan tak elok pula. Sudahlah Ashraf tu terlalu cemburukan Faisal. Entah sebab apa.

“Boleh tak Ain?” Faisal masih menanti jawapan Ainnur.

“Ain ajak kawan boleh… kita keluar dinner?”

Tanpa teragak-agak, Faisal bersetuju.

“Abang datang ambil Ain nanti… dekat Taman Bukit Jambul kan?” Ainnur mengangguk bersetuju saja. Ini nak kena maklumkan pada Encik Ashraf Khairi. Jangan nanti dituduhnya aku ambil kesempatan pula keluar sesuka hati dengan mana-mana lelaki.

Sebaik saja Faisal beredar, pantas Ainnur mencari-cari nombor Ashraf yang dah lama berkepuk dalam telefon bimbitnya. Iyalah, mereka bukannya selalu berbual mesra. Bukan selalu apanya… tapi tak pernah langsung. Butang dail ditekan, dia menunggu talian disambungkan.

Deringan pertama… deringan kedua… deringan ketiga… putus!

Kali kedua mendail, begitu juga. Dan kali ketiga, sama juga. Dan kali keempat, Ainnur sudah tidak mampu mengepung rasa marah di dalam hati.

Ainnur merenung skrin telefon bimbit dengan rasa tak percaya. Hantu itu matikan taliannya. Ini yang aku nak marah ni. Orang tak cari pasal dengan dia, tapi dia nak buat aku naik darah pula. Bikin panas hati saja…

Laju jemarinya berlari di atas kekunci telefon bimbit. Menaip pesanan ringkas dengan rasa hati yang geram.

Ain nak keluar dengan abang Faisal. Harap maklum!

Mesej dihantar. Dengusan kasar dilepaskan. Pelik yang teramat dengan perangai pak cik pelik itu. Dia tak suka dengan aku. Tapi, kalau nama Faisal yang jadi isu berbangkit, dia pasti saja akan cemburu. Beberapa saat berlalu dan telefon bimbit Ainnur sudah menjerit minta dijawab. Bila dilihat nama yang tertera di skrin, dia tersenyum sinis. Memang betul peliklah bakal suamimu ini Ainnur…

Nak jawab telefon? Kirim salam sajalah. Dia ingat aku ini apa agaknya. Kalau aku call, dia tak reti jawab, maknanya dia call pun aku takkan jawab. Biar adil dan saksama. Wahai anak muridku, Ashraf Khairi, sesi pembelajaran dengan Teacher Ainnur Azmi bakal bermula dalam sedikit masa lagi. Dan ini akan menjadi pembelajaran pertama untuknya…

Bunyi beep menandakan mesej masuk. Dengan senyuman sinis, Ainnur menekan butang untuk membaca mesej yang dikirimkan jejaka idamannya itu.

Kau jangan nak keluar dengan dia!!! Aku saman kau nanti budak kampung… x-(

Dan untuk mesej yang penuh emosi itu, siap ada emotion angry dekat hujung ayat, Ainnur hanya mampu ketawa terbahak-bahak. Pandai juga anak muridnya itu beremosi kan. Sangkanya manusia yang tak ada perasaan macam Ashraf itu tak pandai nak beremosi macam ini. Rupanya, dia tersalah target.

___________________

Bab 16

DERINGAN telefon yang tidak putus-putus sejak tadi agak mengganggu tidurnya. Mata pun dah rasa macam malas sangat nak buka. Tangannya merayap-rayap pada permukaan katil. Cuba mencari kedudukan telefon bimbit.

Dalam keadaan yang mamai itu, entah punat apa yang ditekannya. Dengan rasa mengantuk yang menguasai diri, telefon bimbit dilekapkan di telinga. Kedengaran seperti angin berdesiran di hujung sana. Angin ke? Rasanya orang tengah bercakap…

Ainnur masih mengantuk. Dia tak faham apa-apa. Dia tak dengar apa-apa. Dan dia hanya lebih berminat untuk tidur di kala ini.

“I’ll call you back later.” Dengan rasa mamai yang menguasai diri, hanya ucapan itu yang dirasakan terbaik buat waktu ini. Tidak sampai sesaat selepas itu, dia terus padam semula.

Pagi itu di meja makan, wajah Ainnur pucat sekali. Demam?

“Kenapa ni? Pucat sangat…” Salmi sudah risau. Tangannya dilekapkan pada dahi Ainnur yang bersih itu. Panas! Matanya terhenti pada bibir Ainnur yang bergetar kecil.

“Kau demam ni… jom, aku bawa pergi klinik.” Ainnur menggeleng laju. Namun, seram dan sejuk yang dirasakan pada tika ini hanya membuatkan badannya terasa lemah.

Salmi mengerutkan dahi. Rasanya semalam budak Ainnur ini kelihatan sihat wal’afiat saja. Ceria wajah itu sepanjang pertemuan mereka dengan Faisal. Kali pertama juga Salmi diperkenalkan dengan jejaka bernama Faisal itu. Walaupun mereka tidak pernah bertemu sebelum ini, namun Faisal kelihatan ramah sekali. Tidak kekok langsung mereka berbual semalam. Ainnurlah paling becok sekali. Bercakap itu dan ini. Mungkin sebab takut tak berpeluang untuk bertemu dengan Faisal lagi. Dan hari ini, dia demam pula. Keliru Salmi dibuatnya.

“Ain… jangan degil. Badan kau panas sangat ni. Kau nak mengajar macam mana? Ambil MC sajalah. Jom… aku bawa ke klinik.” Pujukan Salmi nyata sia-sia. Ainnur kembali menggelengkan kepala.

“Ainnur Azmi!!!” naik suara Salmi. Geram pula melayan perangai degil Ainnur ini. Demam tu… buatlah cara demam. Jangan nak berlagak sihat sangat.

“Jom!!!” dengan panahan mata yang cukup tajam Salmi mengeluarkan arahan. Wajah Ainnur yang pucat itu, bertambah-tambah pucat pada pandangannya.

“Aku okey.” Suara Ainnur yang sudah berubah ala-ala rock kapak itu membuatkan Salmi tersenyum sinis.

“Okey… okeylah sangatkan!” perlinya. “Muka dah pucat. Okey lagi? Bibir tu vibrating. Okey lagi? Badan kau panas gila. Okey lagi ke ni?” marah Salmi. Seketika dia sudah mula melancarkan bebelan tanpa henti. Ainnur yang kelihatan lemah itu hanya menadah telinga tanpa sebarang balasan.

Pandangan Salmi tertancap semula pada wajah pucat Ainnur. Spontan bebelannya bernoktah. Air mata Ainnur membasahi pipi.

“Eh… kenapa menangis pulak dah? Aku bukan nak marah kau la…” cemas saja suara Salmi. Iyalah, siapa yang tak cemas, kalau wajah manusia yang dibebelkan itu sudah dibanjiri air mata. Pantas tangannya mencapai tisu di atas meja dan mengesat air mata Ainnur perlahan. Sedih pula dia tengok anak manja seorang ini bila diserang demam.

Ainnur tertawa kecil.

“Aku bukan menangislah… mata rasa panas. Itu yang sampai keluar air mata.”

Salmi mendengus kecil. Cis! Aku ingatkan dia menangis sebab tak tahan dibebel rupanya tak tahan panas. Sekali lagi dia rasa macam nak naik angin.

“Aku dah ajak pergi klinik… nak berdegil lagi. Bukan jauh mana pun klinik! Hah… dekat bawah blok D saja pun. Kalau malas nak naik kereta, naik jejantas, lintas jalan… jalan sikit, dah sampai! Kalau kau masih berdegil juga… aku malas nak layan!”

Masih sama seperti tadi, tiada langsung balasan dari bibir Ainnur. Salmi mendengus lagi, pandangan dihala pada wajah Ainnur. Membulat matanya dek kerana terkejut. Ainnur dah pengsan. Sikit lagi badannya hendak jatuh rebah di atas lantai. Pantas tangan Salmi menahan.

***

WAJAH Ainnur yang sedang lena itu dielus perlahan. Tangannya dilekapkan pada dahi gadis itu, sudah beransur kebah demam panas tadi. Perlahan dia bangun sambil mengangkat bekas berisi air sejuk yang digunakan untuk mengelap badan Ainnur. Kesian pula dia tengok wajah Ainnur yang dari tadi menggigil-gigil seperti kesejukan sedangkan badannya panas membahang.

Baru saja dia hendak melangkah keluar dari bilik, telefon bimbit Ainnur berbunyi lantang. Tanpa berfikir panjang, tangannya sudah mencapai telefon bimbit gadis itu.

“Assalamualaikum.” Seperti biasa, Salmi memulakan bicaranya dengan ucapan salam yang dituntut. Namun balasan dari sebelah sana membuatkan dia tersentak. Dipandang semula ke skrin telefon. Terpapar dengan jelas… FIANCE. Erk! Inikah abang Ash yang Ainnur tergila-gilakan itu. Pantas dilekapkan semula telefon ke telinga.

“Kau ni kenapa, aku tanya dari tadi… tak reti nak jawab?” suara Ashraf yang sedikit tinggi menjengkelkan Salmi. Keluhan kecil dilepaskan. Dan dipastikan jelas pada pendengaran Ashraf.

“Mengeluh pula… kenapa? Menjaga anak ayam depan rumah pun boleh penat macam bina bangunan ke?” sindir Ashraf lagi. Membulat mata Salmi. Nasib engkaulah Ainnur, dapat bakal suami dengan mulut yang tak disyorkan untuk membeli insurans langsung.

“Encik Ashraf.” Pantas Salmi sudah memotong. Kalau dibiarkan lama-lama, entah apa lagi yang akan dilalutkan oleh Ashraf, tunang kesayangan Ainnur ini.

“Saya bukan Ain.” Sambung Salmi lagi. Jelas sekali telingannya menangkap suara Ashraf yang tergagap. Malulah tu! Huh!

“Mana dia?”

“Dia tidur…” belum sempat Salmi hendak menyudahkan ayat, Ashraf dah memotong.

“Matahari dah terpacak tinggi dan dia tengah tidur lagi. Tolong kejutkan dia, saya ada hal penting nak kena cakap dengan dia.” Bebelan Ashraf kedengaran lagi. Tetapi Salmi menjadi hairan. Nada yang digunakan Ashraf sudah tidak sekasar awal tadi. Ataupun telinganya yang punya masalah. Entahlah…

“Ain demam panas. Dia tengah tidur…” maklum Salmi. Malas sudah dia hendak mendengar bebelan tunang Ainnur ini.

“Demam?” suara di sebelah sana sudah berubah rentak. “Teruk sangat ke?” soal Ashraf lagi. Ada riak risau di situ. Spontan Salmi tersenyum kecil. Oh… tahu juga nak risau.

“Demam panas… teruk! Dah ajak pergi klinik, tapi dia degil… tak nak ikut. Tak sempat nak ajak pergi klinik pun, dia dah pengsan tadi.”

“Pengsan???” pantas Salmi menjarakkan telefon dari telinganya. Huh! Suara macam pakai mikrofon. Tinggi sangat pitch.

“Iya… pengsan. Sekarang dia tengah tidur. Kalau Encik Ashraf nak… telefonlah dia petang nanti.” Cadang Salmi.

“Dia sebenarnya ada dekat mana sekarang?”

“Pulau Pinang.” Terus saja Salmi membalas soalan Ashraf tanpa sebarang rasa curiga.

“Buat apa dekat sana?”

“Menga…” batuk kecil dari Ainnur pantas menyedarkan Salmi. Matanya tertala pada Ainnur yang masih terlena.

“Menga… apa?” soal Ashraf tidak sabar.

“Menganyam… belajar menganyam.” Ah! Bedal sajalah Salmi. Asalkan Ainnur tak terkantoi lagi.

“Menganyam?” Salmi mengetap bibir. Banyak pula persoalan tunang kau ni Ain… aku dah tak boleh nak jawab.

“Encik Ashraf… saya ada kerja ni. Petang nanti encik call Ain.” Salmi sudah mahu memboloskan diri dari talian telefon ini.

“Suruh dia jaga diri. Assalamualaikum.” Talian sudah dimatikan.

“Waalaikumsalam…” Salmi merenung skrin telefon bimbit Ainnur dengan rasa tidak percaya.

Suruh dia jaga diri. Ayat itu tak diucapkan dengan nada romantis. Ayat itu tak kedengaran cheesy. Ayat itu juga tak berapa mengetarkan jiwa yang mendengarnya. Tapi rasa Salmi, ayat itu bakal membungakan senyuman lebar di wajah Ainnur.

“Caring juga abang Ash kau ni Ain.” Ucapnya sambil tersenyum dan terus meninggalkan bilik itu.

***

SUDU yang terletak di meja makan sedari tadi diketuk-ketuk pada permukaan pinggan. Bising sudah ruang makan itu dengan bunyi yang bingit. Jegilan dari Puan Mazlin tidak diendahkannya. Jasadnya seolah tiada di situ. Fikirannya menerawang. Banyak sungguh perkara yang berselirat dalam kepalanya. Jam di dinding dikerling sekilas. Sudah pukul lapan malam. Agaknya… err… entah apa yang sedang terjadi dalam dirinya pada tika ini.

Kepalanya yang tidak gatal digaru berkali-kali. Bermula dari malam semalam, hinggalah ke malam ini. Entah perubahan monsun barat daya ataupun monsun timur laut yang melanda diri. Dia pun tidak berapa nak pasti.

“Ash ni kenapa? Dari tadi mummy tengok macam kucing hilang anak saja… duduknya macam resah tak kena gaya.” Spontan tangan Ashraf yang sedang mengetuk pinggan terhenti. Wajah mummy yang sedang berdiri bertentangannya dipandang lama. Entah dari mana yang harus dia mulakan pertanyaan ini. Seperti sukar saja.

“Err…” tersangkut Ashraf di permulaan ayat. Puan Mazlin menjungkitkan kening, bertanya.

“Mummy tak call budak kampung tu?” perlahan saja suara Ashraf. Namun dia dapat merasakan soalan itu sangat jelas pada pendengaran Puan Mazlin. Mata Puan Mazlin yang sedikit membulat menjawab segala persoalan dalam minda. Dia tahu mummy terkejut tapi dia sendiri lebih dari terkejut bila hatinya tidak henti-henti untuk mengetahui keadaan terkini budak kampung itu. Sudah baik ke demam dia? Sudah kembali bertenaga seperti biasa ke? Sudah bersedia untuk mencari pasal dengan dirinya ke?

Rasanya itulah sebab utama dia sedang resah di saat ini. Dia terpaksa tangguhkan matlamat dirinya untuk menaikkan angin budak kampung itu. Sebabnya… argh!!! Ini merupakan lagi satu fakta yang terlalu sukar untuk dia akui. Dia cemburu bila Ainnur memaklumkan bahawa dia akan keluar dengan Faisal. Dan dia juga tahu, sekalipun dia telah melarang, Ainnur tetap keluar juga.

Buktinya, gadis itu telah mengirimkan pesanan ringkas yang menyatakan mereka akan lama sikit berada di luar. Walaupun dia tidak membalas pesanan tersebut kerana hendak mempamerkan dirinya seolah tidak kisah dengan kisah yang menyakitkan hatinya itu. Namun pada hakikatnya, dia tak mampu hendak menepis rasa cemburu yang sedang meluap-luap di kala itu. Disebabkan rasa cemburu yang tak dapat dibendung jugalah, tengah-tengah malam dia telah mendail nombor Ainnur dan apa yang dia dengar hanya membuatkan dirinya tergamam terus.

“I’ll call you back later.” Siapa yang cakap itu? Budak kampung itu ke? Takkan… yang dia tahu, Ainnur dengan bahasa Inggeris bukanlah satu gandingan yang sepadan. Sama juga seperti dirinya dan Ainnur. Mereka bukanlah padanan yang hebat. Tidak akan sepadan dari sudut apa pun.

“Ashraf Khairi!!!” suara Puan Mazlin yang bernada tinggi itu menyentakkan lamunan Ashraf. Baru dia tersedar masih ada sepasang mata di situ yang sedang merenungnya dengan pandangan yang sangat tajam. Pandangan menagih jawapan, itu yang lebih tepat.

“Mummy… sekejap lagi, call lah… cakap dengan budak kampung tu. Dia demam.” Sebaik saja mengucapkan ayat itu, dia terus bangkit dan melangkah ke tangga. Baru saja dia hendak membuka langkah untuk mendaki anak tangga. Suara Puan Mazlin kembali membantutkan langkahnya.

“Kenapa tak Ash yang call sendiri? Ain kan tunang kamu… sesekali, cubalah bawa berbual dengan dia,” lembut saja Puan Mazlin berkata. Mana tahu boleh lembutkan hati Ashraf yang kerasnya mengalahkan batu dalam hal Ainnur ini.

“Ash tak suka.” Dengan jawapan yang penuh keegoan itu, dia terus menoktahkan bibir Puan Mazlin dari terus bertanya.

“Pelik betullah dengan budak seorang ni… nak kata tak sayang, ada juga rasa risau. Tapi nak tunjuk kata dia sayang, tak mahu juga. Hisy!” gumam Puan Mazlin sendirian.

Ashraf sudah menutup pintu biliknya rapat. Badannya disandarkan pada pintu berwarna coklat itu seolah melepaskan lelah. Dia bukan penat dengan aktiviti fizikal tetapi dia penat dengan aktiviti hati. Sering saja mempermainkan perasaannya begini. Perasaan keliru ditambah dengan cemburu berintikan secebis rindu.

Kenapa perlu rindu kalau tak suka? Kenapa perlu rindu kalau tak sayang? Dia pelik. Ainnur Azmi bukanlah gadis idamannya. Tak ada sedetik pun dia terfikirkan akan penyatuan mereka berdua. Tak pernah sekali pun dia merasakan gadis kampung itu istimewa. Tapi apa yang tengah berlaku sekarang seolah mempalitkan segala kutukan yang dihadiahkan pada Ainnur kembali semula pada dirinya.

Telefon bimbit dari kocek seluar dikeluarkan. Separuh hatinya meronta dan separuh pula seakan menghasutnya untuk mengabaikan segala yang menggoyahkan hatinya.

‘This is what we call… fated. And your faith is with your kampung girl.’ Seakan terdengar ada suara yang berbisik dengannya. Hanya keluhan kasar berlagu di bibir bagi menafikan segalanya.

“Ain… why and why did you left me in such situation. Kalau Ash tahu, I’ll have to marry a girl, the worst… she is a kampung girl that I hate the most… I wouldn’t had left you go.” Wajahnya diraup pedih. Bayangan Ain Airina seakan menari-nari di pinggir mata. Kenapa di saat ini juga bayangan gadis kacukan Arab itu harus menyapa mindanya. Di saat dia akan dinikahkan dengan Ainnur dalam masa dua minggu lagi.

‘Ain Airina…’ seru hatinya dengan rasa pedih.

Dengan langkah yang lemah, kakinya menghampiri katil dan badannya direbahkan. Kekunci telefon bimbit dimain-main. Ditaip sebaris mesej, dipadam semula. Dia taip dan padam. Berkali-kali. Akhirnya dia nekad, untuk sekali ini saja. Lantas tangannya laju saja menekan butang OK bagi menghantar kiriman pesanan kepada orang ‘sana’.

BERSAMBUNG…
Sudi-sudi tinggalkan komen anda. TERIMA KASIH.
p/s: minggu ni post dua bab sekali sebab last week tak sempat nak hantar. SEMOGA TERHIBUR. :)




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

18 ulasan untuk “Novel : Kampung Girl 15, 16”
  1. wanny says:

    cpat la smbung…..ta sabo ny,,,=)

  2. Muzalifah says:

    Menarik.. Tak sabar nk tunggu mcm mana ash akan tahu kebenaran siapa ain sebenarnya.. Harap2 dalam suasana dan olahan yang menarik.

  3. KaKi NoVeL says:

    waaaaaaaaa sbar nak tunggu keluaran akan datang.. cepat la

  4. ratu anna says:

    this is besh bro…!!! sambung cepat2 ye

  5. HaNny says:

    yah!!!

    stu2 rhsia ain hmpir terkantoi…
    Ash ash… ish3,…

    h3h3

  6. bellring says:

    tlg la smbg citer ni cepat2!!!!betul2 x sabar dah ni….

  7. Balqis says:

    Ni yang sakit hati ni…bila ada watak ketiga,harap2 ain airina tu takkan muncul.

  8. lisly says:

    kalo terlepas cakap “KANTOI la si ain tu

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"