Novel : Kampung Girl 17

22 July 2011  
Kategori: Novel

52,462 bacaan 78 ulasan

Oleh : Umi Kalsom

“AMBOI!!!” dengan hanya satu perkataan itu sudah berjaya mematikan senyuman di bibir Ainnur.

“Tak sudah-sudah lagi ke berangankan bakal suami yang sekejap lagi sudah nak jadi suami yang sah.” Usikan nakal dari bibir Salmi hanya membuatkan wajah Ainnur merona. Malu! Sejak dua minggu lalu, perasaannya sudah makin berbunga-bunga.

Sebaris pesanan ringkas itu bagaikan hembusan lembut yang mendamaikan hatinya. Sungguh dia tidak menyangka, sebaris pesanan itu sudah mampu membuatkan dia tersenyum gembira untuk tempoh dua minggu yang lalu.

“Amboilah!!! Pengantin ni… tak sudah-sudah lagi duk mengelamun pasal hero dia.” Mati sekali lagi senyuman yang tersungging di bibir Ainnur. Kacaulah Salmi ni! Muncung di mulut sudah kelihatan.

“Hodoh benarlah pengantin buat mulut macam tu. Gaya macam nak suruh orang cium. Apa kau ingat nak buat trend barat… habis akad nikah, and the bride may kiss the groom,” selamba Salmi mengusik. Makin merah wajah Ainnur, makin berani dia menghadiahkan usikan.

“Power betulkan ayat abang Ash kau, sampaikan orang tu tak berhenti tersengih untuk tempoh dua minggu. Dahsyat sungguh…” Salmi tersengih nakal. Jegilan tajam daripada Ainnur tidak dipedulikan.

Pintu bilik yang terkuak dari luar membuatkan keduanya mengalih pandang ke pintu. Terjengul wajah Latifah dengan anaknya, Aiman yang begitu setia mengekor belakang mamanya.

“Dah ready?” soal Latifah dengan senyuman cukup makna. Matanya sudah tertancap tepat ke dalam anak mata Ainnur. Ada sinaran yang berbeza di situ.

“Ain risau,” luah Ainnur dengan gugup. Entah apa yang merisaukan hatinya di saat ini. Dia cuba membayangkan kemungkinan kalau Ashraf cabut lari. Haish! Tak mungkin. Tak logik.

Takkan dia nak malukan diri sendiri sebagai seorang yang sudah menempah nama dalam dunia perniagaan. Headline berita: Ahli perniagaan berjaya, Ashraf Khairi melarikan diri pada hari pernikahannya. Laporan penuh, sila ikuti bersama wartawan kami di lokasi, Cik Ainnur Azmi yang juga merupakan mangsa yang ditinggalkan bakal suami. Hisy! Minta simpang malaikat 44. Minta dijauhkan perkara yang kedengaran agak luar alam ini.

“Don’t worry okay… everything will be fine.” Genggaman erat dari jemari Latifah seakan mengalirkan semangat buat Ainnur. Dia tersenyum nipis.

“Ash dah tahu… that you’re teacher?” soalan cepu emas itu membuatkan Ainnur menelan liur. Perlahan kepalanya digeleng.

“Ain… better cakap cepat, takut nanti lain pula fikirnya si Ash tu. Dah kahwin ni… tak elok rahsiakan benda yang sepatutnya Ash ada hak nak tahu.” Ainnur menelan liur lagi. Bukan dia tak nak cakap. Tapi, rasanya dia belum puas lagi untuk mengenakan encik pujaan hati.

Walaupun, pada hakikatnya… Ainnur dapat merasakan yang sebenarnya, dirinya sudah ‘tertangkap basah’ dengan Ashraf. Dan sebab itu jugalah, dia demam panas. Demam disebabkan rasa terkejut yang amat. Seakan terbayang semula dalam kepalanya…

Telefon yang berbunyi itu dirasakan terlalu membingitkan telinganya. Sudahlah dia terlalu letih. Lantas telefon yang sudah dicapai dan dilekapkan ke telinga. Dan apa yang dia dengar, seolah desiran angin saja. Dia tidak dapat menangkap sepatah pun yang diucapkan oleh si pemanggil itu.

Masih segar di mindanya, dia telah mengucapkan sesuatu seperti I’ll call you back later. Selepas itu, dia terus tak tersedar. Bila bangun saja pagi, tergerak hatinya untuk memeriksa senarai pemanggil dulu. Nampak saja nama Ashraf tersenarai sebagai pemanggil terakhir, jantungnya tersentap. Dia tergamam. Seram sejuk badannya. Terus saja suhu badan naik mendadak. Demam panas sampai pengsan.

Kalau hal sekecil itu pun dia sampai boleh kena demam dan pengsan, bagaimana pula Ashraf dapat tahu kebenaran ceritanya? Dalam pada berani-berani tahap singa yang ada dalam dirinya, masih terselit rasa takut-takut seperti tikus.

“Ain…” suara Latifah menyentakkan fikiran Ainnur. “Mengelamun?” soal Latifah.

“Dia ni memang kak… sejak dapat mesej ‘cinta’ dari abang Ash dia dua minggu lepas, asyik mengelamun saja tak henti. Sampai saya ni dah naik rimas tengok dia tersengih sorang-sorang… parah tahap kronik ni penyakit angaukan bakal suami.” Laju saja mulut Salmi mencicit memaklumkan perihal mesej yang diterima dua minggu lepas. Dan macam mana Salmi boleh tahu, sebabnya… dia asyik mengelamun dan tersengih seorang diri sampai ke hujung benua, itu yang si Salmi pun senang sangat dapat kesan ada benda yang tak berapa nak kena dengan dirinya.

Latifah tertawa kecil. Ashraf hantar mesej cinta?

“Kiranya Ash memang betul-betul dah sukakan Ain lah ya?” soal Latifah dengan perasaan yang teruja. Kalau begitu, baguslah. Tak ada apa yang nak dirisaukan. Fikirnya sendiri.

Ainnur sekadar tersenyum kecil. Jawapan untuk soalan itu, dia sendiri tidak dapat berikan sebarang pengesahan selagi belum face-to-face dengan Ashraf Khairi. Boleh jadi jawapannya ya dan dia juga tidak akan terkejut kalau jawapan sebenar adalah yang sebaliknya.

Sebuah ciuman yang mendarat di ubun kepala Ainnur membuatkan dia terkesima. “He loves you Ain… don’t worry okay.” Kata-kata dari bibir Latifah itu ditelan dalam-dalam kerana itu jugalah harapannya. Untuk memberi cinta dan menerima cinta daripada Ashraf Khairi.

PERSALINAN yang berwarna gabungan putih dan hijau pucuk pisang benar-benar membangkitkan seri pada wajah pengantin. Ainnur yang cantik berbaju renda putih bersulam hijau sudah didudukkan pada satu sudut dengan kaum wanita. Selendang dengan rona yang sepadan terletak elok di atas tudung Ariani. Untuk menaikkan lagi keistimewaan pengantin, kerongsang bercorak orkid telah disematkan di bahagian kanan kepala.

“Cantiknya anak hang pa ni Mak Ita…” pujian dari Mak cik Zaleha membuatkan wajah Ainnur disimbah darah. Sudah bermula kembali acara usik-mengusik pengantin. Ingatkan dah reda kerana semuanya seperti lebih tertumpu pada wajah pengantin lelaki yang kelihatan khusyuk mendengar taklimat dari tok kadi.

Cakap pasal pengantin lelaki, mata Ainnur sudah tidak lepas memandang Ashraf yang bersila depan tok kadi. Aduh! Makin lama memandang, makin segak pula bakal suaminya itu. Ainnur menjadi geram dengan mata sendiri. Walaupun perangai orang itu sangat menyakitkan hati tapi mudahnya hati ini menjadi cair sendiri. Tanpa perlu lelaki itu ucapkan kata-kata kasih pun Ainnur dah boleh cair. Penyakit tahap kronik, bak kata Salmi.

Buktinya, kiriman pesanan ringkas oleh Ashraf yang berjaya membuatkan dia tersenyum sendiri. Bukannya pak cik itu hantar sesuatu yang romantik pun. Setakat, semoga cepat sembuh. Namun aura mesej itu pun dah cukup kuat untuk membuatkan hatinya ditimpa perasaan. Wahai Ainnur Azmi… kau memanglah gila!

“Pengantin perempuan.”

Erk! Ainnur yang sedang leka berkhayal, tersentak. Bila dia sedar saja, semua mata tertumpu pada wajahnya dengan senyuman yang begitu… nakal sekali. Entah berapa baldi darah yang sudah menyimbah ke wajahnya pada saat ini.

Siapakah gerangan bertuah yang memanggil dirinya di saat ini? Matanya ditala ke depan dan pandangannya bertemu dengan pandangan tok kadi. Cis! Tok kadi ini pun, waktu begini juga nak mengacau lamunan aku. Ketika dia hendak menundukkan semula pandangan, sempat lagi matanya menangkap senyuman di bibir Ashraf. Kalau ditafsirkan dengan lebih terperinci, senyuman itu kelihatan sinis dan memerli. Cis! Sempat lagi si Ashraf itu menyakitkan hatinya dengan tindakan halus sebegini.

“Ashraf Khairi Bin Shahir…” tok kadi sudah menyebut nama penuh Ashraf. Serta merta Ainnur sudah kembali berdebar. Paluan jantung, dup dap dup dap… macam baru lepas marathon saja.

“Aku nikahkan dikau dengan Ainnur Binti Azmi, yang telah berwakil wali bapanya kepada aku dengan mas kahwin sebanyak seratus satu ringgit tunai.”

Ashraf gugup sendiri. Lidahnya terkelu.

Ainnur sudah makin tidak senang duduk. Lafaz pertama sangkut. Lafaz kedua hampir nak lancar, tapi tersekat juga. Sudah mula kedengaran suara hadirin di situ apabila pengantin lelaki tersangkut untuk menyempurnakan lafaz ijab dan qabul. Hati Ainnur sudah makin sayu. Sampai ke tahap tak mampu untuk lancarkan lafaz nikah, dia tahu hati Ashraf bukan lagi untuknya, si budak kampung yang tak punya apa-apa keistimewaan dari sudut lelaki itu.

Lafaz ketiga…

“Aku terima nikahnya, Ainnur Binti Azmi dengan mas kahwinnya sebanyak seratus satu ringgit tunai.” Akhirnya tenang dan lancar.

Ainnur yang mendengarnya tersenyum hambar. Bermula dari detik ini, dia telah sah menjadi isteri Ashraf Khairi.

“AINNUR rapat sikit dengan suami.” Entah suara mak cik mana yang menegurnya ketika Adam begitu beria untuk merakamkan detik bahagia ini dengan lensa kamera.

Matanya bertemu dengan pandangan Ashraf yang tidak menghadiahkan walau senyuman nipis sekalipun. Geram pula Ainnur berlakikan manusia yang macam ini. Sepertinya dia dipaksa keras untuk berkahwin, sedangkan semuanya berjalan setelah lelaki itu bersetuju.

“Kau ni Ash… tak romantik langsunglah! Cubalah pegang tangan isteri tu sikit.” Sindiran Adam membuatkan riak wajah Ashraf berubah. Dengan rasa berat hati, dicapai juga jemari Ainnur dan didekatkan dengan dirinya. Sejuk, itulah yang dirasakan pada saat ini. Tangan Ainnur sejuk sekali.

“Tak cukup erat tu.” Ashraf sudah bengang. Wajah Mak cik Zainab, adik kepada mummy sudah muncul di depan mata. Mak cik Zainab ini kalau bab nak komen apa-apa tentang hal Ashraf, laju saja. Sebabnya, Ashraf sangatlah kurang tahap ramahnya dengan Mak cik Zainab. Adam saja yang selalu melayan mulut mak cik itu.

Dengan selambernya Mak cik Zainab menolak bahu Ashraf untuk merapatkan posisi dengan Ainnur. Ashraf menjeling tidak puas hati. Ainnur hanya mampu terlopong. Selamba gila Mak cik Zainab dengan Ashraf ini.

“Kenapalah anak saudara aku yang seorang ni kayu sangat. Nak pegang isteri pun punya payah.” Bebel Mak cik Zainab lagi. Telinga Ainnur jelas menangkap dengusan dari bibir Ashraf. Dalam diam, dia tersenyum sendiri.

Ashraf panas hati. Geram pula dengan mulut adik mummy yang seorang ini. Disebabkan geram sangat, dicengkamnya bahu Ainnur kuat-kuat. Naik terbeliak mata orang itu. Hah! Suka hati saja cakap aku ini kayu.

“Ya Allah! Ashraf Khairi… apa ke dicengkamnya bahu isteri kamu tu kuat sangat. Tengok… dah berkerut-kerut dahi dia. Sakit sangat ke Ainnur?” Mak cik Zainab sudah ke sisi Ainnur. Ashraf geram lagi. Eee… sungguh dia menyampah! Ainnur relaks saja tak cakap apa, yang mak cik ini kecoh sangat kenapa?

Tapi, apabila matanya tertancap pada wajah Ainnur, nyata dahi gadis itu berkerut sedikit. Sakit sangat ke? Soalnya sendiri. Tak terasa hendak meluahkan soalan yang terpekup dalam hati. Akhirnya dia kaku saja tanpa sebarang reaksi. Kekok pula dalam keadaan sebegini. Dia dan Ainnur, suami dan isteri. Aduh… anehnya begitu menyengat hati!

ASHRAF mundar mandir di dalam bilik. Disangkanya mereka semua akan bertolak balik hari ini juga, rupanya tidak. Dan tak semena-mena, dia sudah dihumban masuk ke dalam bilik budak kampung itu yang sudah dirias seperti yang selayaknya untuk pasangan pengantin baru.

Matanya melilau pada ruang bilik yang sederhana itu. Walaupun ruangnya tidak besar seperti biliknya di banglo daddy, namun semuanya teratur dan kemas sekali. Pandai juga budak kampung ini memodenkan biliknya. Tapi diri dia sendiri tak moden-moden juga. Masih lagi kekal dalam takuk kain batik ala nenek kebayan dia.

“Nenek kebayan kau… lawa!” usikan Wan Shafie seakan bergema dalam telinga. Ketika itu belum bermula lagi majlis pernikahan. Pengantin perempuan diiringi untuk masuk ke dalam masjid. Entah kenapa pada saat itu, matanya tidak mahu sesekali melepaskan wajah Ainnur dari pandangannya. Makin hari… makin cantik pula. Perasaan Ashraf, dengan sendirinya menjadi celaru.

“Kalau dah suka tu… mengaku sajalah. Dah jadi isteri, halal segalanya.” Kata-kata Wan Shafie terngiang lagi. Dia sukakan Ainnur? Tidak! Bukan nak berlagak ego mania. Tapi itulah yang dirasakan pada ketika. Dia tak merasakan sesuatu yang istimewa pun buat diri Ainnur Azmi.

Keluhan keras meniti bibir. Bosan sudah dia berada dalam bilik ini. Nak keluar, lagilah dia bosan. Tak sudah-sudah nak kena tadah telinga untuk mendengar usikan dari bibir-bibir yang suka benar menyakitkan hatinya. Matanya kembali ralit memerhatikan setiap sudut dalam bilik Ainnur yang kemas dengan cat dinding berwarna biru laut. Sememangnya warna itu agak menenangkan jiwa. Dalam diam, dia memuji lagi diri budak kampung itu kerana bijak membuat pilihan warna.

Matanya spontan tertancap pada meja yang terletak di satu sudut bilik itu. Tersusun sebaris buku. Kakinya mula diatur mendekati ruang meja. Daripada bosan duduk dalam bilik, baik dia belek buku. Nak tahu juga, buku apa yang menjadi pembacaan budak kampung itu.

Seketika, dia sudah tergamam. Di atas meja ada beberapa buah saja. Namun disudut sebelah kanan meja itu, terdapat satu ruang yang agak tersorok. Terletak cantik sebuah rak yang menempatkan pelbagai koleksi buku. Yang lebih membuatkan Ashraf tergamam, hampir kesemua buku yang tersusun elok di rak itu adalah buku dalam bahasa Inggeris. Sebaris di bahagian atas rak, terdapat semua koleksi buku Sophie Kinsella. Di satu sudut lagi, semua koleksi J.K Rowling, siri Harry Potter. Sampaikan buku Mr. Midnight pun ada juga dalam koleksi budak kampung ini.

Pandangannya aneh. Dia berasa sangat pelik di saat ini. Ainnur… pandai berbahasa Inggeris? Rasanya sudah lebih daripada sepuluh tanda soal yang timbul di atas kepalanya. Kalau betul dia tahu?

Err… Ashraf kelu lidah. Maknanya, Ainnur faham apa yang diucapkannya pada hari pertunangan mereka? Jadi benarlah yang bercakap, I’ll call you back later itu budak kampung ini.

Ashraf pening. Macam-macam persoalan yang menyesakkan benaknya. Lantas dia sudah menarik kerusi yang terletak di situ dan melabuhkan punggungnya. Matanya juga sekejap-sekejap terhala ke arah pintu yang masih tidak terbuka-buka dari luar. Mana si budak kampung ini? Banyak yang dia hendak tanya. Banyak persoalan yang perlu dijawab oleh gadis itu.

“Kalau pandai berbahasa Inggeris… kenapa tak dicakap saja?” Ashraf merengus marah. Geram pula. Panas hati.

Jemarinya laju mengetuk meja belajar itu yang dilapisi oleh kaca jernih. Ashraf meliarkan pandangannya pada foto-foto yang disusun elok di bawah kaca jernih itu. Kali ini, seakan terhenti degupan jantungnya.

“With love from Victoria University of Wellington.” Bacanya perlahan barisan ayat yang terselit pada sekeping gambar.

“Ainnur… I’ll be missing you. Lots of love from Ivory, batch 2007, Victoria,Welly.” Hela nafas Ashraf makin laju. Cuaca makin sejuk, namun hatinya makin panas. Terasa dirinya diperbodohkan. Terasa dirinya dipermainkan. Terasa dirinya dijadikan bahan gurauan. Kenapa perlu disembunyikan perkara sebegini daripadanya? Dia rasa berang tanpa kawalan.

Dan perkara yang lebih memanaskan jiwa, sekeping foto yang merakamkan wajah si budak kampung ini dan si kacak Faisal yang segak dalam pakaian graduasi. Mesra dan gembira. Ashraf mengetap bibir geram.

Pintu yang terkuak dari luar pantas saja menggamit perhatian Ashraf. Wajah Ainnur yang tersenyum nipis menyapa matanya. Namun ia tidak memberi makna apa-apa. Betul ke tak memberi makna? Bukan ke senyuman itu mampu membuatkan dadanya bergetar laju. Tetapi bukan kali.

“Abang Ash…” sapa Ainnur perlahan, ingin memulakan bicara. Namun wajah Ashraf yang merah padam itu membuatkan Ainnur menjadi kecut tidak semena-mena.

“With love from Victoria University of Wellington,” sinis Ashraf bersuara. Ainnur sudah tergamam. Matanya ikut melurut ke mana jatuhnya pandangan Ashraf. Dan di saat itu, dia rasa hendak pitam saja. Macam mana dia boleh terlupa tentang mejanya yang terselit dengan semua kenangan zaman belajarnya di New Zealand.

“And what have you been thinking doing such thing to me? Nak bagi aku nampak macam orang bodoh…” suara Ashraf sudah meninggi, namun masih mampu dikawal. Ainnur terkelu lidah. Tak tahu nak jawab apa. Terkantoi secara terang-terangan yang membuatkan dia resah tak kena gaya. Perlukah dia kantoi di saat malam pertama mereka? Ah… memang padan dengan muka kau Ain.

______________
Dan apa yang akan terjadi selepas ini???
Terima kasih kepada semua yang menyokong Kampung Girl. :)

———————–
NOVEL INI DIJANGKA TERBIT PERTENGAHAN BULAN JANUARI 2012. NANTIKAN KEMUNCULAN INI DI PASARAN




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

78 ulasan untuk “Novel : Kampung Girl 17”
  1. eiyda says:

    alaaaaa belum lagi ada bab 18 ke??. .

  2. alia says:

    tolong la sambung bab 18 dan seterusnya.

  3. nur adini abdul rahman says:

    novel ni memang best…tapi kalau semua beb ada kat sini conform rating tinggi..kalau boleh cepat-cepatla upload bab18 and seterusnya

  4. hazman says:

    Alaa… mane sambungannye..best la cite ni. tolong sambungkan yer!

  5. isma says:

    ada blog x?

  6. aqilah says:

    best……………….tapi saye taip tak de pun kampung girl 18?

  7. NURUL ALIYANA says:

    best giler…….

  8. Orange says:

    tak sabar nak tengok cite ni malam ni…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"