Cerpen : Isteri Cinta Monyet

21 August 2011  
Kategori: Cerpen

28,770 bacaan 66 ulasan

Oleh : Tyona

Azim menghempaskan tubuhnya ke katil. Terkulai segala urat sendinya. Lehernya diurut perlahan kerana tekaknya terasa kelat selepas memuntahkan segala isi perutnya di bilik air tadi.

Bilik terasa sunyi. Azim memandang sekeliling biliknya. Tiada apa yang berubah, segalanya seperti biasa. Dia ingatkan Mila, isteri yang baru dinikahi tiga bulan lalu selepas hampir lima belas tahun menyulam cinta itu akan mengubah beberapa tempat letak perhiasan bilik ini. Almaklumlah, perempuan bila mengandung mungkin ada morningsickness atau peel yang pelik-pelik tapi dari pengamatan Azim. Isterinya itu baik-baik sahaja. Tidak muntah atau meminta yang pelik-pelik. Tetapi segalanya terbalik kepada dia. Pagi tadi seusai sahaja menunaikan solat subuh, tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba tekaknya hendak makan ayam goreng McDonald!

Jenuh dia tidak mahu melayan keinginannya tetapi gelodak perasaannya yang maha hebat tidak mampu dia menolak. Terpaksalah Mila memandu membawanya ke McDonald untuk makan sarapan gara-gara dia tak larat hendak memegang stereng.

“Mila!” panggil Azim. Kelibat isterinya itu langsung tidak kelihatan.

“Mila!”

“Ye, bang! Mila kat bawah!” jerit Mila dari bawah.

Azim mencari isterinya selepas perlahan-lahan menuruni tangga. Di ruang tamu tiada. Rumah teres satu tingkat yang dibelinya bersama Mila itu tidaklah sebesar mana, pelik juga ke mana isterinya menyorok.

“Mila kat dapurlah,bang!” Kuat Mila memanggil dari arah dapur. Kedengaran bunyi periuk berlaga. Mungkin Mila tengah masak. Fikir Azim.

“Sayang buat apa?” Azim melabuhkan punggungnya di kerusi meja makan. Melihat isterinya yang sedang aktif ke kiri dan kanan sambil mengocak senduk di kuali.

“Entahlah bang. Mila rasa macam nak makan meggi kari.” Kata mila pendek.

“Meggi?” Soal Azim pendek. Pelik juga dengan isterinya itu. Masakan hendak makan megi perlu dimasak dalam kuali. Kan boleh guna air panas saja.

“Kenapa masak dalam kuali pulak?kan boleh rendam je.”

Mila ketawa geli hati. Orang lelaki ni kalau boleh semuanya nak senang. Kalau hendak makan meggi mesti mereka fikir masukkan sahaja dalam mangkuk dan rendam dalam air panas. Dia tidak suka begitu. Dia lebih suka jika rempah meggi digorengkan dahulu dengan bawang. Barulah umph!

“Abang ni. Kalau tumiskan dulu dengan bawangkan lagi sedap.” Kata Mila lalu mengangkat telur goreng yang siap dimasak ke dalam pinggan. ” Abang nak?” Soal Mila.

“Mila masak meggi letak telur ek? Nampak macam sedap jer. Nak jugaklah.” Azim merapati isterinya itu dari belakang.

Mila tersenyum. Tangannya tangkas mengangkat bawang-bawang yang siap dipotong lalu dicampakkan ke dalam kuali. Meletup-letup minyak di dalam kuali diselangi dengan asap kecil berkepul-kepul.

Tiba-tiba Azim menekup mulutnya. Bau tumisan bawang kuat menunjah-nunjah hidungnya. Tekaknya pula bagaikan air paip bomba yang hendak menerobos keluar dari corongnya. Cepat dia berlari ke tandas berdekatan lalu memuntahkan segala isi perut.

“Uwekk!”

“Abang okey ke?” soal Mila yang membontoti dari belakang selepas mengecilkan api dapur selepas memasukkan air ke dalam kuali. Dia mengurut belakang Azim yang tertunduk ke lubang tandas.

“Uwekk!”

“Teruknya abang ni. Nak pergi klinik tak?” soal Mila. Dia risaukan suaminya yang dikahwini selepas menjalin cinta sejak di bangku sekolah. Masih dia ingat majlis perkahwinan mereka tiga bulan lepas. Ramai rakan-rakan sekolah yang hadir terkejut yang mereka akhirnya berkahwin. Mana tidaknya. Selalu cinta monyet hanya berakhir di tingkatan lima. Mana tahu, sehingga lima belas tahun lamanya jodoh mereka masih kuat.

“Abang tak nak…” kata Azim perlahan.

“Apa dia?”

“Abang tak nak meggi dengan bawang.” Pendek Azim berkata lalu memuntahkan lagi segala isi perutnya yang sememangnya kosong.

“Hah?”

Mila menyedut meggi yang siap dimasak dengan enak sambil menonton televisyen. Rancangan melodi pada setiap tengah hari Ahad menjadi kegemarannya. Dapatlah dia berkongsi dunia hiburan sekali sekala selepas sibuk bekerja lima hari seminggu. Kerjayanya sebagai akauntan syarikat kadang-kala mengasingkan dirinya daripada dunia luar.

Azim memandang lesu meggi yang siap direndam dalam air panas di hadapannya. Televisyen yang menayangkan rona-rona kehidupan artis langsung tidak menarik minatnya.

Perutnya yang kosong diusap beberapa kali. Kalau tadi dia hendak makan megi tanpa bawang. Sekarang dia memandang Mila sambil menelan air liur. Meggi Mila nampak lebih sedap daripada megginya yang kosong.

“Mila. Abang nak sikit.” Minta Azim pada Mila yang leka menonton tv. Mulutnya masih tidak henti-henti menyedut meggi.

“Abang nak…”ulang Azim lagi.

“Mila punya? Abang punya kan ada. Abang makanlah tu.” Mata Mila masih menyoroti cerita-cerita hangat di melodi.

“Tapi abang nak yang tu..” rengek Azim manja. Dia mengesotkan tubuhnya ke arah Mila. Sengaja membuat muka kesian dengan harapan Mila akan memahami.

“Ala abang ni. Ngada-ngada tau.” Mila menghulurkan mangkuknya. Azim hanya tersengih.

Mila memuncungkan mulut. Geram dengan Azim yang sejak akhir-akhir ini mengada-ngada bukan main.

Sampul surat yang di hantar posmen pagi tadi dicapai. Satu persatu sampul surat di telek. Ada satu sampul dengan logo di sebelah kiri sampul itu menarik minat Mila. Macam pernah tengok je lago ni tapi kat mana erk? Mila perhatikan betul-betul. Ada tiga tulisan di dalam bendera logo yang berlipat-lipat. SMK Taman Maluri? Eh, ni bukan ke sekolah menengah aku?

Mila membuka sampul lalu membaca setiap isi di dalam surat.

“Abang!” tersentak Azim yang sedang menyedut meggi ke mulut dengan jeritan Mila.

“Apa Mila ni? Terkejut abang.”

“Abang! Abang tengok ni surat ni. Jemputan menghadiri perjumpaan semula bekas pelajar tahun 1995!” Mila teruja. Pertama kali dia menerima jemputan ini.

Azim hanya memandang lesu. Dia tiada mood untuk menghadiri perjumpaan seperti itu. Lebih-lebih lagi dengan situasi dirinya yang tidak begitu baik. Bila-bila masa dia akan muntah. Apatah lagi dengan badannya juga lemah. Lebih baik duduk sahaja di rumah.

“Abang dengar tak ni?”

“Dengar..” jawab Azim sepatah.

“Kita pergi ek? Dah lama tak jumpa Ain, Syidah, Timah, Kamarul, Aiman…” satu persatu Mila menyebut nama rakan-rakan sekolahnya dahulu. Entah bagaimana mereka sekarang? Buncitkah? Botakkah? Gemuk ke kurus? Mila tersenyum sendirian.

“Bila?” tanya Azim. Meggi Mila yang dimakannya tadi abis ditelannya. Kata sedikit tapi habis satu mangkuk.

“Minggu depan. 25 Julai. Kita pergi ye bang? Lama tak jumpa kawan-kawan kita dulu.”

“Em..tak naklah. Abang tak laratlah.” Bantah Azim.

“Ala..bukan selalu pun. Kita pergi sekejap je. Yeh?” pujuk Mila lagi.

“Taknak! Abang tak laratlah Mila. Mila pun nampakkan? Abang 24 jam keluar masuk bilik air. Macam mana nak pergi? Mila lainlah. Mila yang mengandung tapi abang yang kena morning sickness.” Azim baring di atas sofa. Kepalanya diletakkan diatas paha Mila.

“Macam merungut je ni? Tak suka ke?” Mila memuncungkan mulutnya. Terasa hati dengan kata-kata Azim.

Azim mengalihkan matanya dari televisyen ke wajah Mila yang cencurut. Merajuklah tu bini aku ni.

“Sayang. Bukan merungut tapi abang betul-betul tak larat. Sampai naik lembik dah tulang-tulang abang ni sebab asyik muntah. Macam mana nak pergi? Sayang fahamkan..” Kata Azim perlahan.

Sememangnya dia tidak larat. Tambahan lagi mungkin nanti akan ramai orang diperjumpaan itu nanti. Sejak Mila mengandung Azim begitu rimaskan suasana bising dan menyesakkan. Naik loya tekaknya kalau terlalu ramai orang yang lalu lalang dihadapannya. Malah bau minyak wangi juga menjadi haram di rumahnya sejak Mila mengandung. Kalau tidak kepalanya pasti mamai sepanjang hari.

Kalau tidak kerana morning sickness yang dihadapinya. Awal-awal lagi dia sudah ke Kedai Kasut Ikhsan di Ampang Point membeli kasut yang sudah lama diingini. Ini hendak ke sekolah yang mungkin akan dipenuhi orang ramai. Mana mungkin!

“Abang memang. Kalau Mila ajak ke mana-mana ada aja alasan. Kalau pergi kedai kasut abang tu. Tak payah suruh.” Bentak Mila.

Azim duduk. Menghadap isterinya. Perlahan-lahan dia mencapai tangan Mila hendak memujuk.

“Sayang..bukan macam tulah. Abang tak larat. Betul! Tengok masa sayang masak tadi. Baru bau tumis abang dah muntah-muntah. Kalau pergi perjumpaan nanti mesti macam-macam bau yang masuk dalam hidung abang ni padahal minyak wangi abang pun abang tak boleh nak bau. Boleh pengsan jadinya.”

“Tapi abang jugak yang habiskan meggi Mila.”

Azim tersengih.

Mila menarik tangannya kasar. Rajuknya semakin menjadi-jadi. Segera dia bangun untuk menuju ke atas. Panggilan Azim yang berkali-kali juga langsung tidak disahut. Hatinya pedih.

Menjejakkan kaki semula ke sekolah lama begitu menyeronokkan Mila. Beberapa kali juga dia menegur orang-orang yang masih ingat diingatannya. Sungguh dia gembira bertemu Wani, sahabat baiknya masa di tingkatan 5. Sejak Wani melanjutkan pelajarannya diluar negara dia sudah terputus hubungan. Barulah dia tahu yang Wani sudah berkahwin dan menetap di luar negara. Baru-baru ini saja dia pulang untuk tinggal di Malaysia setelah lama meninggalkan bumi kelahiran.

“Mana suami kau? Perut nampak macam dah ada isi jer. Tak kan tak kahwin lagi kut.”

“Dia tak datang!mana maunya kalau aku ajak ke mana-mana. Geram aku. Kau tahu jelahkan si Azim tu.” Mila memuncung panjang.

“What? Azim your boyfriend masa tingkatan empat tu ke?fuyoo…menjadi jugak ye korang rupanya!” Wani bertepuk tangan. Sungguh dia tidak sangka yang Mila akan menamatkan zaman bujangnya dengan Azim. Cinta pertamanya sejak zaman tingkatan empat.

Mila tersenyum malu. Walaupun sudah berkali-kali dia mendengar ucapan yang sama keluar dari mulut rakan-rakan yang terkejut dengan berita itu dia masih segan dan gembira. Namun sekejap, rajuknya semakin bertambah-tambah bila dia teringatkan kejadian pagi tadi. Azim berkeras tidak mahu mengikutnya. Akhirnya dengan perasaan sakit hati, Mila mencapai kunci keretanya lalu meluncur laju meninggalkan rumah menuju ke sekolah.

“tak nak lah cakap pasal dia lagi. aku tengah marah ni.” Bentak Mila perlahan. Mulutnya panjang memuncung.

“Marah-marah pun sayang jugak. Teringat aku masa sekolah dulu. Kau berdua ni agak terkenallah jugak. Sampai cikgu-cikgu pun kalau nak ingat kau orang mesti cakap Mila awek Azim! Tak pun, Azim si pakwe Mila..” Wani ketawa seronok.

Mila hanya tersenyum segan. Dia akui dengan kata-kata Wani. Dulu mereka agak di kenali kerana sering di usik guru-guru. Mungkin kerana doa mereka semua jodohnya dengan Azim masih kekal hingga kini.

“ish..Jumlah. Aku nampak Ain dengan Syidah tadi. Dah gemuk-gemuk mereka sekarang. Seronok betul aku tengok.” Mila mencapai tangan Wani. Mereka berjalan melepasi kantin sekolah yang menghadap gelanggang bola keranjang, tenis dan sepak takraw menuju ke dewan tempat berkumpul.

“Bukan tu je. Tadi aku nampak Ihsan. Kau ingat lagi? first love aku? Dia tayang anak dia. Kembar! Comel betul aku tengok tadi.” Kata Wani pula seronok.

“Haip. Ingat-ingat sikit kat abang kau..” Mila sekadar bergurau. Wani tertawa kecil.

“Aku ingatlah. Rugi dia tak dapat ikut. Dia kena fly pergi Paris pulak sebab bussiness kat sana tengah problem.”

“Untung dapat laki mat saleh..” Mila dan wani ketawa.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Azim mengelap peluhnya. Perut yang terasa loya di cekam kuat. Puas dia cuba menghubungi Mila namun Mila tidak mengangkat panggilannya. Teragak-agak dia hendak turun daripada kereta. Ramai sungguh orang mengerumuni sekeliling kawasan parkir sejak dia masuk tadi.

Dia menutup mata sekejap. Tengok kereta sahaja dia sudah pening masa hendak mencari parkir tadi. Inikan pula hendak mencari Mila. Mila pun satu. Degil betul! Kan abang dah cakap abang tak larat. Kenapa Mila tak nak dengar.. sebab sayang, dia gagahkan juga memandu hingga ke sekolah selepas Mila menjerit di rumah tadi sebelum keluar meninggalkannya.

“Bukan abang tak sayang Mila….” kata Azim perlahan.

“Mila tahu abang tak sayang Mila macam dulu! Mila tahu sebab Mila ni dah lapuk. Tak cantik macam masa kita mula-mula kenal dulu. Sebab tu abang dah tak kisah apa yang Mila nak. Kalau dulu apa Mila nak semua abang bagi. Kalau Mila tak nak pun abang tetap nak beri. Sekarang? Abang jahat!”

Azim menarik nafas dalam. Terngiang-ngiang jeritan Mila semasa di rumah tadi.

“Apalah yang Mila merepek.. Mila tetap sayang abang selamanya sampai abang mati.”

Azim mengunci kereta. Dia menuju ke arah kantin yang penuh sesak dengan orang ramai. Tiada seorang pun yang singgah di ingatannya. Mungkin kerana semuanya sudah dimamah usia. Tiba-tiba namanya dipanggil beberapa kali. Azim mencari dan kemudian dia ternampak seseorang melambai ke arahnya di dalam kantin.

Azim merapati sekumpulan lelaki yang yang sedang duduk beramai-ramai. Dia cuba mengingati satu persatu wajah lelaki yang berada dihadapannya.

Lelaki yang memanggil Azim tadi menghulurkan tangan. Azim menyambut mesra walaupun dia sendiri tidak pasti siapa yang sedang dijabatnya itu.

“tak ingat?akulah. Jamal!”

“Oh..Jamal! aku ingat siapa tadi. Lain betul kau sekarang ek.perut ni.. dah macam sembilan bulan.” Azim ketawa. Jamal juga begitu. Dia mengusap perutnya beberapa kali.

“Bini pandai jaga. Macam nilah..” lagi mereka ketawa.

“Kau datang seorang?” tanya lelaki yang lain. Azim tersenyum. Dia ni pun aku tak ingat siapa.

“Akulah. Amir!” kata lelaki itu.

“Hai..kawan-kawan..nampaknya kita kena buat sesi berkenalan sebab kawan kita sorang ni dah hilang ingatan..” kata Jamal. Semua ketawa. Kemudian Jamal memperkenalkan satu persatu lelaki yang berada dihadapannya. Barulah dia tahu siapa mereka. Bagaimanalah dia boleh tidak ingat. Kesemuanya rakan sekelasnya dahulu.

“Sorrylah. Aku blurlah. Kau orang semua pun nampak lain. Aku betul-betul tak ingat.”

“It”s ok. Kita orang faham. Kau pun blur-blur macam orang hilang bini je. Kurus kering macam ni. Sakit ke apa?”kata Pian. Ketua kelasnya dulu.

“Aku sakit morning sickness..” kata Azim pendek. Dia menceritakan segalanya. Seperti orang lain. Rakan-rakannya juga terkejut yang Azim mengahwini Mila, cinta monyetnya baru tiga bulan lepas. Sekarang Mila mengandung namun mereka tidak seperti pasangan yang lain. Mila sihat seperti biasa tetapi dia pula yang terseksa menanggung sensara orang mengandung.

“Okeylah tu. Sekurang-kurangnya dapatlah jugak kau rasa macam mana perasaan Mila dan mak kau masa mengandung. Orang tua-tua kata. Kalau suami yang terkena morning sickness isteri maksudnya suami tu memang jodoh kuat si isteri. Sampai segala rasa sakit tu suami sanggup tanggung.” Kata Mail pula.

Azim ketawa perlahan.

“Tapi aku penat tahu. Dengan kerja lagi. aku ni kena handle projek kat site. Dengan muntah-muntah macam ni macam mana nak buat kerja. Lemah segala badan aku.” Rungut Azim. Bukan niatnya hendak mengungkit namun sejak dua menjak ni dia rasa macam lecehnya menanggung rasa loya.

“Patutnya kau bersyukur. Mila tu mengandungkan anak kau. Memang kau rasa penat tapi cuba bayangkan Mila yang sakit loya. Kau kata dia pun kerja kan? Sudahlah mengandung,sakit loya semua dia nak tanggung, dengan kerja nak jaga rumah tangga lagi, kat pejabat lagi. Akauntan tu. Aku yang kerja kuli kerani pun dah pening kepala nak handle daily account.”

Azim terdiam. Rasa terpukul dengan kata-kata Jamal. Dia mula rasa bersalah kerana tak mahu menurut kehendak Mila. Mila sedang mengandung jadi perasaannya akan cepat sensitif.

“Tapi tak sangkalah. Menjadi juga kau berdua ya. Aku ingatkan macam akulah. Bercinta bagai nak rak dengan Kamilah. Tup-tup dia kahwin dengan orang lain. Frust menonggeng aku!” Leman menepuk dahi. Mereka semua ketawa dengan kata-kata Leman. “Tapi aku bersyukur. Kalau tak aku berpisah dengan Kamilah. Aku tak jumpa bini aku sekarang ni. Segala serbi dia tahu. Masak pun pandai. Kalau jaga aku jangan cakaplah. Memang terbaik!” Leman mengangkat ibu jarinya. Sayang benar dengan isteri yang dikahwini atas pilihan ibunya.

“yelahkan. Kalau dulu tu kau dengan Kamilah macam belangkas. Mana pergi nak sama-sama. Kadang-kadang tu aku tengok muka kau dulu macam dah tertulis ‘Mak!Leman nak kahwin!” kat dahi tu.”Usik Azim.

“Kau jangan cakap aku. Kau lagilah. Aku teringat masa malam solat hajat untuk pelajar Spm. Kau orang ingat tak apa yang Azim kata?” soal Leman pada semua.

“Aku ingat! Dia cakap. Lawanya awek aku pakai baju kurung. Jatuh cinta aku buat ke dua kali!” Pian menepuk bahu Azim sambil ketawa. Masih dia ingat malam itu. Azim memakai baju melayu merah hati. Mila juga memakai warna sedondon. Konon sehati sejiwa. Baju kurung berwarna lembut begitu mempersonakan Mila dimata Azim. Al maklumlah, kalau dah sayang. Kentut pun bau wangi kata orang.

“Betul betul betul. Masa tu aku ingat lagi Azim ni tak lekang langsung pandang Mila. Macam nak terkam pun ada. Kau lagi nampak tak sabar tau dulu. Tapi antara kita semua yang paling lama bercinta kaulah. Dekat lima belas tahun! Kalau akulah, lepas sekolah je aku dah masuk meminang. Tak sanggup aku tunggu. “Jamal ketawa.

Azim hanya tersengih. Kepala yang tak gatal digaru-garu. Segan.

Dia masih ingat lagi malam tu. Memang Mila nampak manis sekali. Bukan selalu dia dapat melihat Mila dalam berbaju kurung. Sekali dah pakai memang susah nak tengok lagi lepas tu. Kalau baju kurung sekolah itu sudah biasa sangat.

Oleh kerana Mila memakai baju kurung jugaklah dia dapat penumbuk percuma malam itu gara-gara mengekori Mila pulang ke rumah secara sembunyi. Walaupun dia tahu Mila jaguh taekwando, mana mungkin dia akan membiarkan Mila pulang seorang diri lebih-lebih lagi dia kelihatan manis berbaju kurung. Mesti ramai yang akan mengusiknya nanti. Semuanya gara-gara cemburu tak bersebab. Azim tersenyum.

“Eh, kau orang ingat lagi tak cikgu Qausar?” Habib bersuara.

“Cikgu Qausar? Cikgu disiplin yang suka rotan orang tu? Tak pernah aku lupa dia. Aku ingat lagi kebas punggung aku kena libas dengan rotan buluh kesayangan dia tu. Sebab kau semualah, dengan aku-aku sekali kena libas!” Pian bentak geram.

Semua mereka ketawa. Masing-masing menyalahkan yang lain. Seronok mengusik antara mereka. Kenangan semasa dirotan Cikgu Qausar menerjah ingatan Azim.

“Kenapa awak semua ada kat situ?” Soal Cikgu Qausar kasar.

Azim, Pian, Jamal Habib, Meon dan beberapa lagi rakan mereka tunduk ke lantai. Takut memandang guru disiplin sekolah mereka. Mereka semua dibawa ke bilik disiplin selepas ditangkap melepak di kawasan dewan semasa latihan pelatih teakwando yang akan menyertai pertandingan keesokkan hari.

Pian menyiku lengan Azim. Semuanya salah Azim. Dia yang memberi cadangan untuk lepak di situ. Gara-gara tak mahu masuk ke kelas fizik,kesemua mereka mengikut sahaja cadangan Azim. Azim tunduk ke lantai. Tak berani dia melawan singa lapar di hadapan mereka itu. Silap hari bulan memang makan penampar.

Tujuan dia sebenarnya hendak memberi sokongan pada Mila yang akan menyertai pertandingan teakwando. Konon-kononnya nak jadi boyfirend supportive. Tapi malang tak berbau, Cikgu Qausar kebetulan lalu berhampiran dewan dan ternampak mereka semua sedang leka menonton latihan teakwando. Lepas kena rotan dengan cikgu Qausar, mati-matian dia ingat Mila akan kesiankannya tapi Mila boleh gelakkan dia sampai terduduk.

Seminggu dia tak bertegus sapa dengan Mila gara-gara merajuk. Puas Mila memujuk namun tiada satu pun yang menjadi. Sengaja dia hendak menguji Mila, sejauh mana Mila sayangkannya.

Hari pertama Mila belikannya coklat. Hari kedua gula-gula. Hari ketiga biskut pula. Namun lama-kelamaan dia rasa seronok pula dipujuk. Sehingga satu hari tu Mila belikannya kasut. Sanggup Mila berhabis duit untuknya. Itu yang melarat sampai seminggu padahal hatinya sudah lama sejuk. Tak pernah dia beritahu pada Mila. Kalau tidak habis kena ganyang. Azim tersenyum seorang.

“Hah.. ni senyum sorang ni mesti teringat kenangan masa kau kemalangan dulukan?” sampuk Habib tiba-tiba.

“Kemalangan? Kenapa dengan kemalangan tu?” Pian mencelah. Dia juga masih ingat.

Azim pernah kemalangan di hadapan sekolah gara-gara tak berhati-hati hendak melintas. Kereta yang melanggar Azim pula menyalahkan Azim kerana terus melintas tanpa melihat kiri dan kanan padahal selepas dia melanggar Azim, telinganya masih melekap telefon tangan.

Jamal yang berbadan sasa hampir sahaja menumpuk pemandu itu yang tak mahu mengaku salah.

Hendak tak hendak pemandu itu terpaksa mengaku salah kerana terlalu ramai yang menyaksikan kemalangan itu.

Hampir dua bulan Azim terlantar di hospital. Nasib baik dia tidak cedera teruk. Namun hampir setiap hari jugalah Mila akan datang menjenguknya di hospital. Hatinya di kala itu bagaikan disirami air hujan selepas di tanam benih cinta yang semakin berbunga di taman hati. Mila betul-betul membuatkan hati lelakinya cair seperti ais.

Layanan dan keprihatinan Mila padanya membuatkan kasihnya pada gadis itu semakin hari semkain bercambah. Saban malam Mila akan menghubunginya untuk bertanyakan kesihatannya walaupun Mila sudah datang melawat pada sebelah petang.

Kerana peristiwa itulah, dia yakin. Kasih dan cintanya buat Mila bukan cinta biasa atau orang kata cinta monyet. Dia lebih suka untuk menyatakan yang cintanya pada Mila adalah cinta sejati. Azim tersenyum. Mana mungkin dia akan melupakan kenangan itu.

“Bini kau mana? Tak kan kau datang seorang? Nak jugak aku tengok Mila yang dah berisi tu. Dulu tengok bukan main cantik. Sampai ada orang tu langsung tak mahu bagi lepas. Nak jugak tahu sekarang macam mana?” pecah Pian yang sememang bermulut tanpa insurans kalau bercakap.

Azim ketawa kerana sudah faham benar dengan perangai Pian. Tiada langsung kesan di hati.

“Sayang aku ada je kat sini. Dia tengah jumpa kawan-kawan lama dia. Pian, sungguh pun dulu aku tak nak lepaskan dia sebab dia cantik. Sekarang pun tak mungkin aku lepaskan dia sebab dia walaupun dia tak cantik. Kasih aku untuk dia tetap tidak berkurang malah makin bertambah.” Kata Azim sambil tersenyum.

Rakan-rakan yang lain semuanya bersorak perlahan. Taksub dengan pengakuan Azim yang sememangnya berani dengan kata-katanya sejak dulu.

“Tulah kau Pian. Nak bercakap tak guna akal. Kalau kau nak tahu macam mana perasaan orang dah kahwin ni. Kau kenalah cepat-cepat kahwin biar kau rasa sendiri..sayang kerana rupa atas kerana kasihnya…” Pian menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dalam usianya begitu dia masih belum menemui cinta hatinya.

“Mila!!” jerit Ain. Dia berlari mendapatkan Mila yang sedang duduk bersama Syidah dan Wani.

“Mila, rindunya dekat kau!” Mila dan Ain lantas berpelukan.

“Ai, rindu Mila je ke? Ni yang aku sentap ni!” Syidah menepuk dada. Mulutnya sengaja dimunjungkan.

“Alaa…Aku rindu kau jugak! Kau semua tahu! Lama betul kita tak jumpa kan?” Ain mengambil tempat duduk berdekatan.

“Yelah. Lama betul. Dekat 15 tahun. Macam mana kau sekarang? Dah kahwin ke belum? Badan cantik molek lagi ni? Belum kahwin ke?” Syidah menyoal bertalu-talu.

“Mestilah dah kahwin. Umur macam sekarang ni dah wajib ada anak tahu!” Ain menggoyangkan bahunya.

“Ewa.. bukan main lagi. berapa dah anak kau?”

“Aku dah ada tiga..”

“Tiga? Biar betul? Badan kau ni tak macam anak tiga lah!” Syidah seakan tidak percaya. Masakan badan perempuan beranak tiga masih langsing seperti anak gadis. Dia baru mempunyai dua orang cahaya mata , badan sudah mengalahkan yang beranak lima.

“Hah tulah. Kita sebagai perempuan ni kena pandai jaga badan tahu. Makan jamu. Banyakan bersenam. Badan sihat, cantik, cergas. Suami pun sayang!” Ain tersenyum bangga.

Sayang?Mila menarik muka. Teringat peristiwa pagi tadi. Semakin membengkak hatinya.

“Lah..ni pahal buat muka sememeh je ni…” tegur Ain. Wani hanya ketawa.

“Dia tengah sakit hati pasal laki dia. Si Azim tu.. tak nak teman dia sekali datang sini..”sindir wani.

“Lah..tak nak teman je. Bukannya dia cari perempuan lain!.”

“Choi! Mulut jangan celupar!” Mila membentak.

Ain ketawa. Sengaja dia berkata begitu. “Apalah kau ni Mila. Dari dulu sampai sekarang. Tak habis-habis drama rajuk merajuk kau orang ni kan? Haish, kalau akulah, dah tua-tua macam ni tak larat aku nak pujuk-pujuk.”

“Mana taknya. Dia orang nikan pengantin baru lagi. mestilah baru nak rasa asam garam manis masin daripada kau. Kau tu pengantin lapuk. Jangan banyak cakap!” Wani menyampuk. Semua ketawa.

“Haha..biar pengantin lapuk. Jangan kasih sayang berkurang sudah.”Sambung Ain lagi.

“yelah. Suami kau sayang kau. Aku ni mana ada makin bertambah. Kita orang dah lama bercinta. Baru sekarang mendirikan rumah tangga. Aku dapat rasa yang hubungan kami tak sebahang dulu-dulu.”Luah Mila menahan sebak. Hati sensitifnya semakin menjadi-jadi.

“Siapa kata? Kau je yang rasa macam tu. Biasalah pembawa budak. Kau jangan ambil hati sangat. Lelaki kalau dia tak nak ikut mesti bersebab. Kalau tidak dia tak menolak. Lebih-lebih lagi kalau yang tengah mengandung macam kau ni. Tak akan dia nak bagi kau lepas keluar rumah seorang macam ni. Sakit pening muntah kau nanti siapa nak jaga?” Wani membantah.

Mila diam. Tiba-tiba hatinya terusik. Bukan dia yang rasa sakit pening tetapi Azim.

“Aku still ingat lagi masa aku mula mengandung anak pertama. Bayangkan, suami aku takut betul nak bagi aku keluar rumah. Pantang mak dia kononya. Katanya anak pertama ni susah nak lekat. Kalau banyak bergerak takut tak tahan pula. lagipun, masa tu memang aku tak dapat keluar berjalan sebab aku tak larat langsung. Dengan pening, loya segala. Memang aku tak larat nak berjalan sampai suami aku dulu siap bagi warning lagi. kalau nak pergi mana-mana pastikan dia ada.” Ain menggeleng mengenangkan kisahnya. Kemudian dia teringat.

“Eh, kau tak rasa morning sickness ke?”

Mila menggeleng dengan pertanyaan Ain. ” Tapi Azim yang kena..”

“Laaa…memang patutlah dia tak mahu ikut. Sakit orang perempuan ni, orang perempuan je yang faham. Walaupun kita yang rasa, sekurang-kurangnya kita memang dah secara lahiriah mampu menanggung rasa sakitnya mengandung. Tapi lelaki ni mereka tak lahirkan dengan kekuatan seperti ibu. Mungkin Azim tak nak ikut sebab tak larat nak tanggung rasa pening loya tu.”

Hati Mila terusik lagi. Betul juga dengan kata-kata Ain. Azim sendiri sudah katakan padanya yang dia tidak larat untuk kemana-mana kerana sakit yang ditanggungnya itu. Salahnya sebab terlalu sensitif.

Mila membuka ber tangannya. Niat untuk menghubungi Azim. Namun dia terkejut apabila melihat skrin telefon yan gmemaparkan hampir 50 panggilan tidak berjawab daripada Azim. Mila diburu rasa kesal. Dia cuba hendak menelefon Azim semula, namun niatnya terbantut apabila Wani menarik tangannya dan mengajak mereka semua ke kantin untuk makan selepas satu pengumuman di buat bagi menjemput kesemua para jemputan untuk menjamu selera.

Mila mengikut langkah Wani. Matanya tidak lekang dari skrin telefon. Dia membuka peti pesanan dan membuat satu pesanan kepada Azim. Dia cuba menyusun ayat-ayat yang hendak di hantar namun kepalanya buntu.

Wani menarik lengan Mila bila langkahnya semakin perlahan. Cepat sahja mereka sudah sampai di kantin. Orang ramai sudah mengerumuni kawasan kantin. Bunyi kanak-kanak menangis dan orang ramai bergurau senda begitu gamat di dalamnya. Kemudian Mila terfikir. Nasib baik Azim tidak mengikutnya, kalau tidak mesti Azim sudah muntah-muntah.

Tiba-tiba seorang lelaki gopoh berlari sehingga terlanggar Mila. Belum sempat Mila menegur, lelaki itu sudah menjauh. Mila terkebil-kebil. Matanya seperti kenal dengan lelaki yang melanggarnya itu. Hatinya terdetik.

Tanpa sedar kaki Mila melangkah membontoti lelaki yang berlari ke belakang kantin mencari sinki. Panggilan Wani langsung tidak dipedulikannya.

“Uwek!” suara muntah yang sayup-sayup kedengaran singgah di telinga Mila. Mungkinkah?

Perlahan-lahan Mila mendekati lelaki yang sedang menundukkan kepalanya ke dalam sinki. Raut telinga dan bentuk tubuh lelaki yang berada di hadapannya itu bagaikan tidak asing padanya. Mata Mila mula membentuk kekaca jernih dari kelopak matanya. Hampir gugur tatkala lelaki itu mengakat mukanya yang pucat.

“Abang…”

Azim tersentak. Dia tidak sangka Mila akan menemuinya di situ. “Mila! Penat abang cari Mila!” Azim mencapai tangan Mila laju namun air mata Mila mula berguguran.

Azim kaget. Mengapa Mila menangis? Hati menjadi sayu melihat air mata isteri yang sangat dicintainya itu. Dia hendak mengelap air mata yang jatuh namun Mila tiba-tiba mendakapnya kuat.

“Abang..Mila mintak maaf..sebab Mila abang sanggup datang sini walaupun abang tak sihat.. Mila jahat..”

Azim tersenyum. Tiada apa yang perlu dimaafkan. Dia faham dengan situasi Mila yang sedang mengandung. Perasaannya mudah terganggu. Azim membalas pelukan Mila. Rasa kasih pada isteri yang dicintai sejak enam belas tahun lalu menjalar disegenap urat nadinya.

“Abang tak marah pun.. Mila kan isteri abang. Mana Mila pergi mestilah abang kena ikut. Abang pun nak mintak mmaaf sebab tak nak ikut Mila datang sini sampai Mila merajuk dengan abang.” Azim mencium ubun-ubun isterinya.

“Abang tak merajuk dengan Mila?” soal Mila. Matanya tepat memandang ke anak mata Azim. Azim hanya tersenyum. Dia membetulkan anak rambut yang jatuh di dahi isterinya. Kemudian tangannya mengulus lembut ke pipi Mila.

“Abang dah tualah. Tak larat nk merajuk-rajuk macam dulu. Dulu bolehlah. Mila kuat nak pujuk abang. Sekarang ni, abang yang kene selalu pujuk Mila..” Azim menyentuh perut Mila yang sudah sedikit membuncit.

“Mesti anak papa ni yang suruh ibu merajuk kuat-kuat dengan papa, kan?” Azim tersenyum.

Mila tersenyum geli hati. ” Apalah. Anak papa ni baik. Dia tak suruh pun ibu buat bukan-bukan. Ibu yang asyik nak merajuk jer.”

Azim mencuit hidung Mila lantas menarik Mila ke dalam pelukannya.

“Terima kasih..”

Mila mengangkat muka memandang Azim. “Kenapa?” soal Mila pelik denga kata-kata Azim.

“Kalau Mila tak merajuk dan datang sini tanpa abang dan kalau abang tak datang cari Mila mesti abang tak akan ingat semua yang berlaku kat kita dulu. Kenangan-kenangan yang Mila wujudkan untuk abang dekat sekolah ni bermain-main kat kepala abang. Kasih yang Mila curahkan buat abang dulu sampai sekarang.. abang betu-betul hargainya. Milalah cinta abang dunia dan akhirat.”

Mila tersentuh dengan kata-kata Azim. Dia turut akui. Bila dia mulai melangkah masuk ke sekolah ini tadi dia sedar yang dia sebenarnya sedang menarik semula kenangan cintanya dahulu dengan Azim. Sebenarnya dia ingin menjadikan kenangan dulu sebagai memori indah yang akan dikenang bersama Azim. Sangkanya dia tidak mungkin akan mendapat peluang seperti itu namun siapa sangka, suaminya a.k.a cinta monyetnya dahulu datang mencarinya di sini.

“Abang janji, Shamila Binti Abdul Manan a.k.a isteri dan gadis cinta monyet abang.. akan sentiasa menjadi isteri cinta monyet abang sampai bil-bila…” lembut Azim menuturkan kata-katanya di telinga Mila.

Mila tersenyum bahagia. Dia menatap penuh kasih anak mata suaminya itu. Merasai seluruh kehebatan cinta yang dicurahkan si suami. Mila janji, Mohd Azim a.k.a suami malah lelaki pertama yang menjadi cinta Mila ini akan selalu menjadi raja di dalam hati Mila. Sehingga ke nafas terakhir.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

66 ulasan untuk “Cerpen : Isteri Cinta Monyet”
  1. surayah bte hashim says:

    sweet betul cerpen ni hihih

  2. ana says:

    best…
    sweet giler cite nie..
    keep it up ok…
    :) :) :)

  3. mimieza says:

    sweet gile cerpen nie ..
    haha ..best sgt .. :)

  4. bella says:

    sweeeeeeeeeeeeeeeeeet sngt…. hehe lucu pon ada

  5. ieydah says:

    sweet sngt2…hehehehe

  6. nurul says:

    sweet :D

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"