Cerpen : Mencari Nur

14 August 2011  
Kategori: Cerpen

8,158 bacaan 34 ulasan

Oleh : Ryu Han

TUBUHKU menggigil menahan amarah yang sudah naik ke kepala. Hayunan kaki terhenti. Aku cengkam erat tiang lampu di sisi tatkala melihat kelibat bekas teman wanitaku, Fatin berlalu di depan mata dengan seorang lelaki. Aku dibakar marah. Jika hendak dibandingkan, aku tidak langsung kalah dengan jantan keparat itu. Dari paras dan fizikal aku tidak tewas. Fatin berpaling ke arahku dengan melemparkan senyuman yang penuh sinis. Tertusuk tepat ke hati lelakiku. Aku tidak tewas dan aku tidak mahu itu. Hidup aku tidak pernah kenal erti kalah.

“Aduh!!” Belakang kepala aku gosok kasar. Kusut rambut jadinya. Sebiji bola sesat telah singgah di kepalaku sebentar tadi dalam pada aku leka melayan amukan jiwa bila sengihan sumbing Fatin bagaikan menghantar ejekan kekalahan yang perit buatku.

“Kurang ajar punya budak!!” teriakku lantang kepada sekumpulan kanak-kanak yang bermain bola berhampiran denganku. Marah yang tadi tertahan, membuak sudah.

“Wei, bahlol. Kalau tak reti main bola, jangan main!!” tambahku lagi.

“Maaf bang,” pinta salah kumpulan kanak-kanak itu hampir serentak.

“Maaf kepala otak kau. Nak tendang bola tu tak fikir dulu. Ikut suka kaki kau je, kan?” Aku terus melengking.

Sikap baran ini bagaikan sudah sebati di dalam diriku. Apatah lagi dengan status anak tunggal seorang yang berada, menambahkan lagi ego dan bongkak dalam diriku apabila aku dianugerahkan wajah dan fizikal yang sempurna. Tiada tercela. Hanya sifat sahaja yang sering menjadi cerca masyarakat sekeliling. Namun, tidak kurang juga yang mengikut telunjukku demi wang ringgit yang aku tebarkan di wajah mereka hingga aku sering sirnakan kesilapanku begitu sahaja.

Termasuklah Fatin, perempuan yang dipayungiku selama ini kerana kecantikannya hinggalah dia bertindak meninggalkanku demi lelaki yang ku rasakan langsung tidak terbanding denganku. Seiingatku, antara ramai gadis yang menggilaiku, ada juga seorang gadis yang santun dan baik sikapnya yang turut menyintaiku. Itupun setelah Wali memberitahuku. Tidak pernah aku melihat wajah itu kerana bagiku, dia langsung tidak layak menjadi pendampingku.

Aku kepal penumbuk menahan amarah yang mahu meletus. Mengingatkan wajah sinis Fatin sebentar tadi membuatkan aku hampir hilang sabar. Mahu saja dihempuk kepala budak yang menyepak bola tadi. Biar lepas marahku pada betina itu. Argh!! Tidak sanggup lagi meneruskan larianku. Taman yang indah menghijau ini tidak lagi dapat menenangkanku.

********

Malamnya, aku tidak keruan. Mundar-mandir di tengah rumah sewa teman baikku, Wali. Bukan kerana kecewa kerana perbuatan Fatin yang semudah itu mencari penggantiku tapi aku perlu segera membalas setiap perbuatannya padaku.

“Aku nak kau menyesal lahir ke dunia ni!” gumamku bersama hasutan syaitan. Aku menggariskan senyuman sinis. Benar, perpisahan itu langsung tidak terkesan padaku tapi aku rasa tercabar bila dia terlebih dahulu mencari pengganti.

“Apa yang sesal menyesal ni, Han?” tanya Wali tiba-tiba. Entah bila dia dekat padaku.

“Kau jangan nak dajalkan anak dara orang pulak, Han. Biarkan jelah Fatin tu. Kau pun tahu kan yang dia tu bukan baik pun. Semua lelaki dah pernah angkut dia. Mana yang boleh support dia lebih, kat situlah dia bertenggek,” sambung Wali.

“Aku tak boleh, Li. Sepatutnya aku yang tinggalkan dia dulu tapi ni dia yang tinggalkan aku. Lebih pedih lagi dia dah ada pengganti siap-siap. Nak kata handsome, huh, jauh panggang dari api nak dibandingkan dengan aku. Memanglah dasar betina tak ada harga diri!”

Wali menggeleng melihatkan aku yang bagaikan cacing kepanasan. Ya, aku memang tak senang duduk selagi tidak dapat membalas perbuatan Fatin padaku. Dia belum kenal siapa Farhan Haniff. Bentak hatiku.

“Han, sampai bila kau nak buat naya kat perempuan-perempuan ni semua? Kau tak kasihan ke kat mereka tu? Kau buat mereka jatuh cinta tahap leleh dekat kau, lepas tu kau selamba je blah cari lain. Sejak dari zaman belajar sampai sekarang dah kerja, aku tengok kau makin ligat,” ucap Wali tenang. Aku melabuhkan duduk di sebelahnya bersama sengihan tidak bersalah.

“Han… Han…, aku bukan apa. Aku takut satu hari nanti kau sendiri yang tersungkur, Han! Naya kau nanti. Sebagai kawan, aku nak tengok kau bahagia tapi bukan dengan cara ni!” Nasihat Wali aku biarkan di angin lalu. Benar katanya namun kehendak hatiku sukar untuk ku biarkan. Aku mahu dilihat berkuasa. Seperti mana aku sentiasa berjaya meletakkan syarikat papa menguasai pasaran perniagaan biarpun disiplin kerjaku teruk. Dalam beribu teman, hanya Wali yang benar-benar ikhlas menjadi temanku.

“Bagilah aku enjoy dulu, Li. Aku tak puas lagi ni. Tambah pula kes Si Fatin ni. Selagi aku tak balas dendam pada dia selagi itulah aku tak tenang!” tekanku sedikit kuat bila terbayang wajah Fatin yang sedang bermesra dengan lelaki itu.

“Mencari ketenangan melalui cara ni akan merosakkan kau, Han! Lupakan semua tu. Cari yang steady. Kenal-kenal jap lepas tu kahwin je. Kita bukannya muda lagi. Dah 27 tahun.” Aku jungkit kening pada Wali yang kembali terpaku pada skrin TV.

“Cari yang steady macam kau dengan Acik?” selaku berbaur sinis. Wali bantai gelak. Padahal aku tidak tahu mana yang kelakar.

“Acik tu memang awek hidup mati aku. Kau bukan tak tahu, we all memang serius. Dah bertunang pun, kan?”

Aku akui kesetiaan Wali pada tunangannya Acik atau Halimaton Saadiah sejak dari alam kampus lagi tapi perkataan setia tidak pernah terjilid dalam kamus hidupku. Bagiku wanita hanya barang mainan. Papa dan mama sendiri tidak pernah menegur setiap kali aku bertukar wanita dan setiap kali aku membawa teman wanitaku ke rumah.

“Jangan terlalu bergelumang dalam maksiat, Han. Allah dah berpesan, janganlah sesekali kamu mendekati zina apatah lagi melakukannya!” Wali menepuk bahuku lembut lantas berlalu ke biliknya. Aku diam tidak berkutik. Terkedu dengan kata-kata sahabatku itu.

“Malam ni tidur je sini. Esok pagi senang, kita berjemaah Subuh. Nak pergi kerja pakai je baju aku,” sambung Wali kuat sebelum hilang di balik pintu.

Aku diam lagi. Menimbang-nimbang nasihat Wali. Ada rasa sesal yang mengetuk pintu hati tapi kenapa hatiku bagaikan tidak mahu terbuka pintunya?

*******

Suasana Mc’Donald benar-benar menyemakkan mataku. Andai tidak diingatkan ajakan Wali dan Acik, tidak mahu aku mengisi perut di sini. Bukan tempatku. Sudahnya, aku hanya menjamah sedikit kentang dan segelas coke. Berlainan pula dengan pasangan sejoli ini, enak saja menikmati burger sambil menunggu kedatangan sepupu Acik.

“Li, kau makan-makan jugak. Cuba bagi idea macam mana aku nak kenakan Si Fatin ni? Dah seminggu, tau. I should come out with some ideas,” gesaku pada Wali. Acik jungkit kening padaku. Aku sengih tayang gigi.

“Han, kau jangan memandai nak hasut bakal suami aku ni jadi jahat, ya! Baru aku dengar kau dah sentuh sejadah tapi ni nak buat jahat lagi. Kali ni kau nak balas dendam kat siapa pulak?” tekan Acik keras.

“Fatin,” jawabku pendek.

“Kau nak balas dendam pada bekas awek kau tu? Then, tell me, what reason now?”

“She dumbed me and it’s not supposed to be. Bukan dia yang patut tinggalkan aku tapi aku yang tinggalkan dia. So, bila dia tinggalkan aku, upahnya senang jelah. Revenge!” Acik mengeluh mendengar butir bicaraku. Aku tahu dia tidak puas hati.

“Han, dah berapa ramai anak gadis yang kau rosakkan? Rosakkan masa depan, rosakkan perasaan mereka tu. Kau tak takut balasan ke, Han?” Suara Acik tegang. Wali senyum tipis padaku. Emm…memang padanlah kamu berdua ni. Seorang Ustaz, seorang Ustazah. Ejek hatiku namun tanpa ku duga rasa sesal hadir lagi mengetuk tapi pintu hatiku bagai sudah berkarat. Tidak dapat dikuak.

“Please la guys, parent aku pun tak tegur, okey!” Nah, sudahnya itulah jawapan yang terkeluar. Aku dengar keluhan yang terbit dari celah bibir kedua teman baikku ini.

“Ikut suka kau lah, Han. Tapi satu hari nanti kalau kau tersungkur kat kaki mana-mana perempuan, kau tahulah langit ni tinggi ke tidak. Kau tahulah hidup kita ni berpaksi atau tidak! You need someone to guide you before you doom,” tekan Acik lagi.

Aku sekadar menerima kata-kata Acik tenang. Egoku terlalu tebal untukku kikis. Terlalu dalam untuk aku timba.

“Yang cousin kau ni mana, Acik. Nak tunggu sampai berjanggut ke baru nak sampai?” marahku pada Acik. Ubah topik. Acik sudah memanjangkan lehernya melilau dari segenap arah.

“Alaaa… sabar la, Han. Kejap lagi sampai la tu. Atau dia dah blah lepas nampak kau. Dia tu pemalu sikit. Aku tak ada pulak cakap kau ada. Aku cakap aku dengan Wali je,” beritahu Acik padaku. Aku tepuk dahi, Wali ketawa mengekek melihat mulutku yang sudah terkumat-kamit membaca mentera serapah kepada tunangnya. Hampir 2 jam menanti, sudahnya, wajah sepupu Acik tidak juga kelihatan dan akulah yang paling marah dalam hal ini. Buang masa aku! Aku terus meninggalkan dua ekor itu terkulat-kulat di situ.

*******

Dentuman muzik rancak kelab malam tidak langsung mengganggu telingaku. Aku diam mendengar cadangan Benjy dengan penuh minat. Teman yang sentiasa mengikut telunjukku selama ini. Tidak pernah membantah malah ideanya juga amat bernas.

“Boleh ke macam tu, Ben?” tanyaku sedikit gusar.

“Eh, mestilah boleh. Aku tahu sangat yang Fatin tu memang tangkap cintan kat kau. Dia sengaja buat macam tu nak tengok kau jealous ke tak. Sebab selama ni dia je terhegeh dekat kau kan? Kau bukan melayan sangat pun. Janji dapat puaskan kehendak kau je kan?”

“Eh bukan ke spesis Fatin tu semua jantan dah angkut dia? Tak kan betina macam tu pun boleh tangkap cintan pulak?” Sengihku melebar. Ada rasa lucu yang sedang menggeletek tangkai hati. Padahal tidaklah sehebat mana idea Benjy kali ni. Sekadar mencadangkan agar aku mendera perasaan Fatin sahaja.

“Eh kau jangan cakap, Han. Perempuan macam tu pun ada hati perasaan tau. Percayalah cakap aku ni. Orang perempuan ni, mereka semua tu lagi takut dengan penderaan mental tau kalau nak dibandingkan dengan penderaan fizikal,” ujar Benjy bersungguh.

Aku mengangguk berkali-kali. Gelas berisi air masam pahit itu aku capai lalu aku teguk sehingga separuh gelas. Bila difikirkan, benar juga kata-kata Benjy. Untuk apa diusik maruah perempuan seperti Fatin lagi sedang dia tidak menjaga maruah yang satu itu. Betapa jahat pun diri ini, andai satu hari aku harus memilih, aku akan pilih wanita yang menjaga maruah. Tidak sedar betapa jahatnya diri ini.

*********

Selepas berpisah dengan Benjy di parking kelab, aku terus memandu membelah lebuhraya persekutuan untuk pulang. Fikiranku kosong tiba-tiba. Sekosong jalan raya dinihari ini. Entah apa yang bermain di fikiranku. Suara Acik dan Wali silih berganti berdengung di dalam kepalaku bagaikan pita perakam yang sedari tadi diulang main. Adakah pintu taubat untukku? Kenapa sukar untuk hatiku menguak pintu bila satu perasaan halus itu mengetuknya? Terlalu hitamkan hati ini untuk kembali ke jalan yang benar? Benarkah aku perlukan seorang wanita untuk membimbingku?

Aku tiba di rumah bila Azan Subuh berkumandang. Aku sangap beberapa kali. “Emm… nampaknya hari ni kena cuti lagi la,” gumamku sendiri sambil melangkah ke tingkat atas menuju ke bilikku bila tiba-tiba mama dan papa tegap berdiri di depanku.

“Where the hell have you been nowadays, Farhan?” Tanya papa meninggi.

“Han ada je kat rumah. Kalau tak ada Han ke kelab, tak pun rumah Wali,” jawabku malas. Aku sangap lagi. Pedih mataku menahan rasa mengantuk. Sejak bila papa dan mama sedar akan kewujudan dan kehilanganku di dalam rumah ini? Hatiku ketawa sendiri.

“Han kenapa dah banyak hari tak masuk pejabat? Han ingat tak yang Han ada meeting dengan client besar semalam?” Suara mama pula lembut menyoalku. Aku diam bila sedar akan kesilapan diri tidak hadir ke pejabat beberapa hari sudah. Hatiku menelah, pastinya isu besar yang berbangkit. Andai tidak, papa tidak akan pernah menghiraukan sikapku selama ni.

“Farhan, papa tahu kamu memang berbakat tapi sayang bila kamu selalu ambil mudah dalam semua hal. Jangan ingat kami tak tegur, kami suka dengan sikap kamu selama ni, Han. Usung anak dara orang ke sana sini. Bawak balik ke rumah. Minum arak segala. Bersosial tak ingat dunia. Hidup macam tak ada Tuhan,” ucap papa senafas. Amarahku membakar sudah. Rasa menipis cuping telinga.

“Sejak bila papa dengan mama nak ambil tahu semua pasal Han? Bukankah selama ni papa dan mama tak pernah ambil kisah? Han dah besar la ma, pa. Han dah 27 tahun. Kalau dulu mama dengan papa tak pernah nak hiraukan hidup Han, kenapa sekarang pulak?” Aku mendengus. Meramas rambut kuat. Marah dengan serang hendap papa dan mama di Subuh hari.

“Ya, Han. Kalau kami tegur sikap kamu dari dulu, tak manjakan kamu dengan wang ringgit, tak butakan mata kami dengan sikap kamu tu, pasti kita tak berada di sini sekarang. Papa tak kisah kamu nak buat rumah ni macam hotel Farhan tapi bila kamu buat syarikat tu macam entah tak endah, hinggakan papa kerugian beratus ribu, rasanya sampailah masanya kamu hidup sendiri, Farhan. Sikap kamu makin keterlaluan Farhan. Kamu tukar perempuan macam tukar baju. Rosakkan mereka,” keluh papa seraya berpaling membelakangiku.

“Sebab kamu dah besar, kamu boleh keluar dari rumah ni. Datanglah ke pejabat untuk ambil gaji terakhir kamu. Kereta tu, kereta papa jadi itu dikira bukan hak kamu. Jadi, pandai-pandailah kamu cari kawan-kawan kamu dan lagi satu, sebab kamu dah 27 tahunlah, kami nak kamu belajar erti tanggungjawab. Silap kami kerana membiarkan kamu hanyut dengan sikap kamu tu, Farhan! Carilah seseorang yang boleh membimbing kamu, Farhan Haniff,” sambung papa dan terus berlalu selepas selepas menjatuhkan hukuman padaku dengan tiba-tiba. Mama dekat padaku, bahuku digosok beberapa kali. Aku hanya mampu meraup wajah, melepaskan keluhan yang berpanjang.

“Apa semua ni, mama? Han ni bukan anak mama papa ke sampai papa sanggup halau Han macam ni,” bentakku.

“Sebab Han anak kamilah, kami nak Han keluar hidup sendiri! Han berkelulusan, carilah kerja yang halal untuk sara hidup Han. Kali ni mama tak dapat nak sebelahkan Han lagi. Moga Han lebih kenal apa itu tanggungjawab dan kedewasaan,” tokok mama pula. Argh… Mama tidak langsung mahu membantu.

*******

“Tinggi benar ego kau, Han!” Wali selamba membuat simpulan tentangku saat kami sama-sama menonton TV di rumahnya. Selepas dihalau papa, aku sekadar keluar dengan beberapa helai pakaian sahaja dan terpaksa mengambil teksi. Saat itu, hanya wajah Wali dan Acik bermain di minda. Tidak Benjy atau koleksi teman wanitaku semua.

“Memang tak terjangkau dek akal egoistik yang ada dalam diri kau, Han. Sampai sanggup keluar rumah macam tu je tanpa mohon ampun dengan mama dan papa kau. Lepas tu, gaji pun tak nak ambil!” Wali tawa sinis. Aku ketap gigi, menahan marah. Andai tidak difikirkan lelaki di sebelah ini adalah teman terbaikku, mahu saja aku tumbuk biar patah giginya yang tersusun rapi itu.

“Dah tu, kau nak aku buat apa? Aku boleh cari kerja la, Li. Aku ada kelulusan. Aku boleh cari kerja, okey,” balasku membentak.

“Han, tunduklah penuh tawadhuk walaupun sekali. Tak salah kau rendahkan ego kau tu, Han. Pergilah ambil gaji akhir kau tu. Hak kau tu. Even your papa knew that. Boleh buat bekal sementara nak cari kerja baru ni. Bukan sikit tu, Han. RM5 ribu.”

“Argh, aku tak akan ambil duit tu, Li. Lepas papa buat keputusan nak halau aku, aku juga buat keputusan tak akan bergantung langsung pada dia. Aku boleh berdiri atas kaki sendiri la!” Aku terus bangkit usai mengucapkan ayat itu. Berlalu ke bilik dengan hati yang mendongkol geram.

Lewat malam itu, aku menelefon Benjy demi secubit pertolongan yang langsung tidak setimpal dengan pemberianku padanya selama ini dan sudahnya handphone blackberry bold itu aku hempas ke dinding bila Benjy mencipta pelbagai alasan. Berita aku dihalau dari rumah dan syarikat cepat benar tersebar. Kini, tahulah aku yang semuanya hanya kawan ketawa semata-mata. Hanya Walilah teman menangisku.

******

Sudah berminggu aku menjejaki temuduga dari sebuah syarikat ke syarikat yang lain, namun hasilnya hampa. Hampa sehampa-hampanya. Mujur sahaja Wali sudi meminjamkan motosikalnya kerana keretanya berada di bengkel. Andai tidak, tidak dapat ku bayangkan keadaan kaki yang bakal tempang. Saat itu, hatiku terdetik dengan satu perkataan. Alhamdulillah. Ya, itulah yang ditukas hati.

Aku duduk meraup wajah di dalam hujan lebat di tepi bangunan Menara Maju. Temuduga ke -10 juga aku tewas. Menitis airmataku tatkala mendengarkan perkhabaran yang ku dengar daripada beberapa orang penemuduga secara tidak sengaja. Aku tidak sangka papa sanggup menyenaraikan hitamkan namaku di semua syarikat yang sedang mengiklankan jawatan kosong. Terasa hina diri ini tiba-tiba bila kerja sebagai despatch juga dikatakan tidak layak buatku. Hari ini, saat ini aku tertewas. Pertama kali dalam hidupku, aku sebut perkataan tewas itu bila mengadu nasib kepada Wali.

“Assalamualaikum, saudara!” Aku angkat wajah mencari suara pemberi salam. Dalam kelam mendung dan hujan yang mencurah, wajah yang dilindungi payung itu kelihatan bercahaya di mataku. Senyuman yang tergaris di bibir kemerahan itu bagaikan menghantar pertolongan padaku yang kebasahan. Aku bangkit dan dia menapak ke belakang beberapa langkah. Menjauhiku.

“Kalau saudara sudi, kita boleh berkongsi payung ni,” ucapnya lagi dengan suara yang terlalu lembut menyapa peluput telinga. Ya Allah, siapakah yang kau hantar padaku? Andai dialah bidadari syurga, aku ingin menjadi salah seorang penghuni syurga-Mu biarpun diri ini penuh terpalit noda dan dosa.

“Errr… bo…. Boleh ke?” tanyaku gugup. Manahan debar di hati. Debar yang tidak pernah hadir selama ini. Aku lupa segalanya. Lupa masalah, lupa dendamku pada Fatin. Diganti pula dengan ingatan pada Allah yang Agung.

“InsyaAllah boleh. Lagipun kita semua memang berkongsi di dunia ini?”

“Berkongsi?” Keningku hampir bertaut cuba mencerna kenyataannya. Dia senyum lagi. Hati lelakiku meleleh kecairan.

“Berkongsi bumi yang kita pijak, berkongsi langit yang kita junjung!” jawabnya tenang. Subhanallah. Aku meraup wajah lagi. Hikmah apakah ini, Ya Allah? Selama ini aku fikirkan pintu hatiku sudah berkarat benar hingga sukar untuk dikuak oleh rasa sesal tapi saat ini, setelah dugaan menghimpit diri, muncul hikmah dalam pada waktu yang tidak ku sangka.

“Terima kasih hadir saat saya memerlukan,” ucapku tiba-tiba. Wajah mulus bertudung itu senyum lagi. Mengertikah dikau akan kepayahan hidupku sekarang, wahai Nur? Ya, Nur. Nur itu cahaya dan aku nampak cahaya dalam dirinya. Terang bersuluh di wajahnya.

“Hikmah itu datang saat kita tak terduga, kan, saudara. Saya nampak saudara bagaikan ditimpa masalah, andai tidak mesti saudara tidak berhujan begini sekiranya saudara waras. Anggap sajalah saya ni saudara seagama yang datang membantu. Niat saya sekadar di situ. Membantu pada yang memerlukan,” ucapnya saat kami sama-sama melangkah ke kaki lima bangunan untuk berteduh. Hatiku dipagut pilu mengingatkan belas ihsan Allah padaku yang selama ini melupakan-Nya. Hatiku menangis sendiri apatah lagi wanita yang tidak ku kenali ini, ikhlas memayungiku hinggakan separuh dari tubuhnya basah lencun bila dia menjarakkan tubuh kami.

“Kenapa begini nasib saya,” keluhku memandang ke langit yang kelam.

“Jangan mengeluh saudara. Dugaan datang pada yang mampu mengharunginya. Jangan mengeluh kerana itu adalah sikap orang yang putus asa dan Allah tak suka hamba yang putus asa. Selagi saudara bernyawa di muka bumi ini, selagi itulah pintu taubat lebar terbuka. Ingatlah, bila Allah menutup satu pintu itu buat kita, Dia akan buka banyak lagi pintu yang lain. Tinggal kita saja nak mencari dan memilih pintu-pintu yang boleh membawa kita ke arah-Nya.”

Aku terkedu. Bisu. Diam seribu bahasa. Tiada lagi mulut petahku menghina, megherdik, membentak. Aku terima bulat-bulat kebenaran kata-katanya. Aku merenung wajah di depanku itu lama. Terasa bagaikan hanya ada dia saja di dunia ini. Dia sekadar melirik sekilas dan tersenyum lalu melemparkan pandangan kepada titisan hujan. Sungguh kau menjaga pandanganmu, wahai Nur.

“Hujan sudah hampir reda. Saya tinggalkan payung ni untuk memayungi saudara agar tak terkena hujan tapi hati yang paling penting, perlu juga dipayungi dengan nama Allah dan rahmat-Nya. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum,” ujarnya lantas melangkah selepas meletakkan payung yang masih terbuka lebar di sisiku.

“Err… tunggu,” jeritku tiba-tiba. Langkahnya mati lalu dia kalih dan tersenyum lagi. Kali ini, hati ini terpaut pada seorang wanita kerana Allah. Aku yakin itu.

“Saya minta izin nak tahu nama saudari,” pintaku tergagap-gagap.

“Nur,” jawabnya ringkas dan terus melangkah mengharungi hujan yang kembali lebat.

*******

Payung berwarna hijau muda itu aku renung lama hinggakan tidak sedar bila Wali mendekat. Bahuku dipaut. Ditepuknya berkali-kali.

“Kalau benar dia adalah jodoh yang Allah titipkan buat kau, kau akan jumpa dia juga, Han. Banyak-banyaklah berdoa, bersujud, mohon keampunan dan dipermudahkan jalan hidup kau.” Nasihat Wali aku terima dengan hati yang terbuka. Hampir dua bulan sejak peristiwa di dalam hujan itu, aku tidak putus asa menjejakinya. Aku tidak lagi menjadi Farhan Haniff yang dulu.

Kini, dahiku sudah mencecah sejadah. Mensucikan diri dengan wudhuk agar hilang sisa air haram yang selama ini bercampur dengan darahku. Membersihkan nafsu dan rohani daripada dosa-dosa maksiat yang aku lakukan selama ni. Aku bersyukur bila Wali dan Acik banyak membantuku. Menyediakan kemudahan buatku dari pakaian hinggalah kepada makan. Betapa malu aku dengan keadaan diri. Sekelip mata Allah membalikkan kesenanganku. Besarnya kekuasaan-Mu, Ya Allah. Bisik hatiku penuh tawadhuk. Segala dendam pada Fatin juga sudah terlerai. Dia berhak memilih.

“Inilah hikmahnya, Han.” Begitulah pesanan Wali dan Acik padaku bila aku menyampaikan khabar akan niatku untuk sebuah penghijrahan.

“Aku nak sangat jumpa dia, Li. Tidak dapat aku nafikan, dialah salah satu sebab yang membawa aku pada perubahan ni. Dia pesan agar aku payungi hati aku ni dengan nama Allah dan rahmat-Nya. Aku terkedu. Dia bagaikan mengerti akan kesusahan yang sedang aku lalui. Dia juga macam tahu siapa Farhan Haniff sebelum ni. Banyak yang aku ingin tanyakan pada dia tapi aku kelu,” aduku pada Wali.

“Satu hari nanti kau akan temui dia jugak, Han andai itu ketentuan Allah,” pujuk Wali. Aku mengukir senyum paksa. Hati ini pagut rindu. Rindu pada Ilahi, rindu pada ibupabaku dan rindu pada dia yang membawa nur dalam diriku yang selama ini kelam. Gelap gelita tiada bercahaya.

‘Akan ku jejaki kamu biarpun hingga ke pintu syurga.’ Hatiku bermonolog sendiri.

******

Pagi itu, aku beranikan diri untuk bertemu papa di pejabatnya kerana dahagakan sebuah kemaafkan darinya demi sikap burukku selama ni. Papa mengalirkan airmata melihatkan perubahan dalam diriku. Tubuhku dipaut kemas ke dalam pelukannya.

“Alhamdullillah, Han. Papa bersyukur dengan perubahan, Han. Kalau mama tahu, mesti dialah yang paling bersyukur. Maafkan kami juga, Han. Kamilah yang silap mendidik kamu selama ni,” ucap papa lirih. Aku menggeleng menidakkannya.

“Tak pa, papa dan mama dah bagi secukupnya pendidikan buat Han tapi sayang selama ni Han yang tak pernah nak apply semua itu dalam kehidupan Han. Hanyut dengan arus dunia hingga tertinggal jauh dalam mencari ilmu akhirat. Saat tak terduga, ada nur yang datang pada Han, papa. Kata Wali itulah hikmah.”

“Ya, memang itulah hikmah!” Papa angguk mengiyakan.

“So, bila nak ambil balik post lama Han tu. Masih kosong tak pernah terisi?”

“Bila-bila masa papa perlukan khidmat Han,” jawabku jujur. Aku langsung tidak terkejut kerana Wali telah khabarkan kebenarannya di sebalik pemecatanku. Di sebalik rancangan papa yang menyenarai hitamkan namaku selama ini. Tak ku sangka, papa nekad bertindak demikian untuk melihat perubahan dalam diriku dan syukur bila dia hadir kala itu.

“Han balik tinggal dengan kami, ya? Kereta Han kat rumah tu tersadai je,” ujar papa lagi. Aku menggeleng.

“Han selesa tinggal dengan Wali papa. Dia banyak mengajar Han. Han nak menyewa dengan dia selagi dia belum kahwin ni. Pasal kereta tu, Han bukan tak nak tapi Han rasa lebih elok kalau Han beli dengan hasil titik peluh sendiri. Lagipun, Han boleh datang kerja dengan Wali je. Nanti Han balik ziarah mama.” Aku menolak cadangan papa dengan baik. Bimbang dia berkecil hati.

“Inilah yang dikatakan anak jantan. Nanti balik bawa kemenangan tau!”

“Kemenangan?” tanyaku pelik.

“Menantu kamilah,” jawab papa bersama tawa yang berdekah-dekah. Aku garu kepala dan papa ketawa lagi.

******

Selepas turun dari pejabat papa, aku terus melangkah menuju ke arah parking motosikal bila tiba-tiba mataku terpaku pada seraut wajah. Tidak perlu aku amati lama kerana itulah wajah yang penuh cahaya itu. Saat itu, aku merasakan hanya aku dan dia di muka bumi ini. Tiada yang lain hinggakan aku langsung berlari mengejarnya yang sedang memasuki Pustaka Mukmin, Jalan Tar.

“Assalamualaikum,” ucapku dengan nafas yang mendesah. Penat berlari.

“Waalaikummussalam,” jawabnya tenang. Langsung tiada riak terkejut dengan kehadiranku. Jemari runcing itu ligat menyelak beberapa buah buku di rak dengan senyuman yang tersungging di bibir.

“Takdir atau kebetulan kita berjumpa di sini, ya?” tanyanya.

“Takdir…. mungkin,” jawabku pula seraya turut membelek buku juga. Namun, lirikan mataku tetap padanya.

“Perhaps?” soalnya kembali bagaikan tidak berpuas hati dengan jawapanku.

“Nope, definitely fate!” tukasku kali ini lebih yakin. Dia senyum.

“Saya dah lama cari Nur.” Jujur sahaja aku menuturkannya. Tidak sanggup rasanya menahan gelora rindu ini. Aku mahu dia tahu akan hakikat hati ini yang telah dia curi satu waktu dulu.

“Rasanya saudara dah jumpa apa yang saudara cari selama ni. Anggaplah saja saya sebagai kompas untuk menjadi penunjuk arah pada saudara!” Kata-katanya membuatkan aku keliru sendiri. Kenapa terlalu banyak kiasan dalam dunia ni? Payah sangatkah andai berterus terang sahaja?

“Maksud, Nur?” tanyaku. Dia tidak menjawab sebaliknya terus ke kaunter membuat pembayaran. Buku dijilid tebal berwarna pink itu dipilihnya.

“Anggap sajalah saya hadir untuk berkongsi nur dengan saudara. Kini, tanggungjawab saya sebagai saudara seagama lunas bila saudara sudah berubah kembali ke jalan Allah. Tidak sia-sia saya menanti selama ini,” tukasnya sambil menghulurkan beg plastik berisi buku tadi padaku. Aku gamam. Hanya tangan saja yang menyambut hulurannya. Dia lantas berlalu.

*******

Hari itu, selepas pulang dari pejabat aku sekadar duduk menyandarkan kepala ke sofa. Wali masih belum tiba kerana berjumpa dengan Acik. Baru saja aku mahu melelapkan mata, aku dikejutkan dengan suara wanita terjerit-jerit namaku di luar pagar. Aku bingkas bangun. Wajah Fatin jelas di mataku. Aku buka grill dan terus dekat ke pagar yang berkunci.

“I come for you, Han. I menyesal sangat sebab tinggalkan you dulu. I tak berniat pun. Bila Benjy cakap you nak balas dendam pada I, I yakin yang you memang cintakan I!”

Aku menggeleng kesal bila nama Benjy meniti di bibir Fatin. Kawan yang telah lama tidak ku temui.

“You wrong, Fatin. Memang ada niat aku nak balas dendam tapi kini tak lagi. And you definitely wrong. I don’t love you at all. From the beginning. Dendam aku tu kerana aku rasa tewas. Itu saja. Cinta tak pernah hadir dalam diri aku untuk kau. Bila cinta itu hadir bukan juga untuk kau, tapi untuk Dia. Dia yang menciptakan kita,” jawabku tenang.

“So, betullah I dengar you dah berubah segalanya lepas kena halau papa you dulu?” tebak Fatin. Aku menggeleng lagi.

“You wrong once again. Aku berubah sebab ada nur yang datang dalam diri aku tiba-tiba saat aku tiada tempat bergantung. Kita perlu berubah andai itu adalah untuk kebaikan. So, you better leave now. Tak manis kau datang rumah orang bujang,” jawabku lagi.

“Oh, tak manis? Dulu selamba you angkut I, angkut anak dara orang lain sekarang tak manis pulak?” Suara Fatin melengking. Mujur sahaja jiran-jiran masih belum pulang. Kalau tidak, akulah yang akan menjadi lelaki hulk pertama di Malaysia ni.

“Maafkan aku, Fatin. Kerana telah bersikap buruk pada kau selama ni,” pintaku telus lalu kembali ke dalam rumah untuk menunaikan solat Asar. Malas hendak mendengar rayuan dan titisan airmata palsu wanita itu.

Usai Asar, aku belek cermat buku pemberian Nur tempoh hari. Menghayati bait-bait yang terlakar di dada buku yang bertajuk Indahnya Cinta itu. Cinta sepenuhnya pada Yang Esa. Siapakah kamu, Nur? Izinkanlah aku menjejakinya, Ya Allah. Betapa diri ini mendambakan cinta sepertinya. Cinta yang membawa aku ke pintu syurga. Tidak sudah-sudah aku memanjatkan doa buat Yang Satu hingga dan tanpa aku sedar, sisipan kertas di celah helaian jatuh ke ribaku. Aku capai alalu membawa tinta tangan itu.

Farhan Haniff, cinta itu indah. Cinta Nur pada Farhan juga indah tapi keindahan cinta sebenarnya adalah pada Allah s.w.t – Nur.

Sekali lagi gadis misteri bernama Nur itu membuatkan aku terkedu sendiri. Jenuh aku mencari jawapan. Siapakah dia? Benarkah cintanya buatku? Tapi sejak bila? Ya Allah, tunjukilah aku jalan yang sebenar-benarnya. Penat merungkai persoalan, akhirnya aku terlena di atas sejadah dengan memeluk buku pemberian Nur.

******

Hujung minggu itu, mama dan papa datang ke rumah sewaku. Mengajak aku dan Wali ke satu tempat dalam keadaan tergesa-gesa. Tidak sempat aku menukar Baju Melayu hijau muda yang aku pakai untuk berjemaah Subuh di surau dinihari tadi.

Hatiku bimbang andai sesuatu telah berlaku tapi pada siapa? Sedangkan mama dan papa adalah anak tunggal juga. Adakah teman rapat mereka tapi siapa? Wali sedari tadi tersenyum simpul padaku bagaikan sedang menyembunyikan sesuatu. Bila aku bertanya, dia sekarang diam. Aku beralih pada mama dan papa, mereka juga tidak mahu berkompromi. Argh… apakah lagi permainan mereka ni?

“Turunlah, dah sampai ni,” ajak mama dan papa bila kami sudah tiba di sebuah rumah kampung di Sabak Bernam. Keindahan padi yang menghijau menyamankan pandangan tapi detak hatiku jelas bergendang irama rindu pada dia. Tidak dapat bertahan rasanya.

“Baju ni kemas sikit,” ujar Wali tersengih-sengih. Jemarinya lantas menggosok bahagian bahuku bagai membersihkan sesuatu yang hinggap di situ.

“Kita datang melawat orang sakit ke, Li?” tanyaku mula gundah.

“Mana ada. Orang sakit aku tak senyum macam nilah, bai!” protes Wali ceria kemudian dia melambaikan tangannya ke arah seseorang. Acik! Rasanya ini bukan rumah Acik tapi kenapa dia ada di sini? Dengan suasana meriah segala. Aku pening memikirkan pelbagai andaian.

“Handsome kau berbaju Melayu, Han. Tapi, rasa kurang lengkap sikit sebab tak ada sampin. Tapi tak apa. Aku dah sediakan sampinnya,” ucap Acik seraya berlalu masuk ke dalam rumah.

“Apa semua ni, Li? Cuba kau jangan sorok dari aku. Otak aku ni dah tepu. Tak boleh nak cerna dah persoalan ni segala,” marahku pada Wali. Dia sengih lagi. Aku mencari wajah mama dan papa dan tidak ku sangka, sudah ada beberapa orang yang duduk bersembang dengan papa. Bila pulak makhluk Allah semua ni muncul? Getus hatiku. Ajaib. Benar-benar ajaib.

Acik dekat padaku dan Wali lalu menghulurkan songkok dan sepasang sampin. Wali menyambutnya dan Acik berlalu bersama sengihan penuh makna. Wali terus memakaikan aku dengan sampin lengkap dengan songkok segala. Bila diperhatikan, semua berbaju Melayu dan mama pula kemain elegen. Macam kenduri kahwin pulak. Aku ketawa halus tapi mati tiba-tiba. Entah-entah, aku kena…..

“Wali, this thing is not going to happen. Aku tak nak!” bentakku bila dapat menangkap tujuan sebenar mereka.

“Apa kau cakap ni, Han?” bisik Wali.

“Kamu semua pakat nak nikahkan aku, kan?” tebakku. Aku tidak percaya dengan semua ini. Sehingga ke tahap ini mereka ingin mempermainkanku. Aku menggeleng kesal.

“Haa… betullah tu. Kenapa tak nak pulak. Dah sampai masanya untuk kau settle down,” ujar Wali selamba. Langsung tidak berbelas kasihan.

“Kau tahukan aku cintakan siapa dan aku dapat tahu dia cintakan aku jugak. Please, Li. Save me from all this rubbish,” rayuku.

“Tak ada yang rubbish, Han. Sabar dulu. Redhakan hati kau terima kehendak takdir. Di sini jodoh kau, dengan sepupu Acik. Bersaudara la kita nanti!”

Erk… boleh pulak Si Wali ni bergurau. Sepupu Acik pulak? Aduhai. Siapa tu? Tak kan sepupu yang kami semua tunggu di Mc’Donald dulu tu?

“Yang mana? Aku tak kenallah!” Amarah sudah hadir menguasai diri.

“Yang kita tunggu kat Mc’D dulu tu!” Nah, memang benar telahanku. Oh, Nur. Hadirlah Nur. Han cintakan Nur. Jerit hatiku lirih.

“Dan kau memang kenal dia,” sambung Wali.

Serentak itu mama sudah menarik aku ke dalam rumah. Aku pandang Wali dan papa mohon belas kasihan dalam diam tapi sayang, mereka hanya menguntum senyum.

*******

“Tahniah sebab pulang dengan kemenangan. Walaupun pada awalnya terpengsan,” ucap papa berseloroh. Aku melebarkan senyum. Malu. Mama mencium dahiku lama sebelum aku melangkah ke bilik selepas penat melayani tetamu sempena majlis menyambut di rumahku petang tadi.

Tubuh isteri yang diselimuti telekung putih bersih itu aku dekati. Dia yang baru saja mengaminkan doa tersenyum memandangku. Wajah yang penuh bercahaya itu adalah anugerah tak ternilai dari Allah padaku.

“Terima kasih sebab sudi cinta, tunggu, bimbing dan terima abang,” ucapku ikhlas.

“Sama-sama,” balasnya sambil memaut jemariku ke dalam genggamannya.

“Maafkan abang sebab tak pernah nak kenal Nur zaman kampus dulu. Bila Wali cerita ada gadis yang baik jatuh cinta pada abang, abang tak ambil peduli. Benarlah kata Acik, Nur nampak abang masa dekat Mc’D dulu, sebab tu Nur tak datang. Terima kasih sebab sudi memimpin dan memayungi abang bila abang tersesat dan tercari-cari jalan pulang. Ketika abang mencari sinar. Abang berterima kasih pada semua yang berpakat nak pulihkan hidup abang. Papa, mama, Wali dan Acik. Abang tak sangka, pertemuan kita telah diaturkan tapi abang tak marah sebab semua itu takdir kita. Bila Allah mengizinkan semuanya boleh terjadi.” Nur diam. Tersenyum saja merenungku yang meluahkan rasa hati.

“Terima kasih sebab sudi tunggu dan menyintai abang dari kejauhan bertahun-tahun ini. Allah maha Kaya bila Dia kurniakan cahaya ini buat abang yang penuh dosa ni!” Suaraku lirih kali ini. Penyesalan atas masa lalul masih menghambat diri. Nur menekup mulutku lembut. Dia menggeleng.

“Jangan cakap macam tu. Abang berpeluang mendapat yang terbaik daripada Allah bila abang ikhlas bertaubat. Nur tidak sebaik mana. Sama-samalah kita membimbing antara satu sama lain. Nur kurang, abang pelangkapnya. Abang lemah, Nur akan jadi kekuatan abang!”

Wajah bertelekung itu cantik. Terlalu terang nurnya. Aku paut tubuh isteriku erat ke dalam pelukan. Kini aku tenang setelah ku temui nur yang aku cari selama ini.

“Nur Fatihah pelengkap hidup abang. Bagaikan Al-Fatihan yang diwajibkan bacaannya di dalam setiap rakaat solat fardhu. Tiada bacaan Al-Fatihah, maka tidak sahlah solat itu,” gumamku ke telinganya. Nur menganguk di bahuku. Aku pula mula menyumbangkan lagu nyanyian UNIC, Sebuah Pertemuan di telinga si isteri.

Ketika diri mencari sinar
Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar
Tersungkur di lembah kegelapan
Bagaikan terdengar bisikan rindu
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan
Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan, tika aku
Diuji dengan dugaan?
Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala
Menitis airmataku keharuan
Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan
Hati yang dahulu keresahan
Cinta yang semakin kesamaran
Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasih-Mu, oh Tuhan
Titisan air mata menyubur cinta
Dan rindu pun berbunga
Mekar tidak pernah layu
Damainya hati
Yang dulu resah keliru
Cintaku takkan pudar diuji dugaan
Mengharum dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina
Syukur sungguh di hati ini
Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekati-Nya
Tika diri dalam kebuntuan
Betapa aku menghargai
Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti
Cinta hakiki yang abadi
Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasih-Mu Tuhan
Yang terbias pada ketulusan
Sekeping hati seorang insan
Bernama teman

*********

Usai menjawab nikah dengan sepupu Acik, Nur Fatihah binti Fakri, lemah longlai segala sendi bila mama meminta aku ke bilik si isteri untuk membatalkan air sembahyang. Wajah yang tunduk itu aku paut dagunya. Saat mata bertentangan, pandanganku pula tiba-tiba kelam. Terkejut benar dengan wajah bercahaya di depanku yang telah sah menjadi suri dihati. Cincin telepas dari tangan. Berdenting jatuh ke lantai serentak dengan aku yang turut tumbang.

“Han… Farhan Haniff!” Aku tahu itu suara papa dan Wali menjerit namaku hampir serentak sebelum pandanganku kelam. Lelaki segagahku pengsan demi pahanan sinar mata isteri.

*****TAMAT****

P/S Thanks to REHAN MAKTHAR J




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

34 ulasan untuk “Cerpen : Mencari Nur”
  1. ara says:

    saye sukew~~

  2. nabilah azima says:

    lawak betul laa….lagi2 part yg farhan pengsan time nak sarung cincin kat nur….adoi…biasanya pengantin pompuan yg pengsan niii….terbalik pulak! :D
    best! :D

  3. [: SmileY :] says:

    w0w….

    crpen yg hebat…

    pngantin laki ley pngsan lak tuh!!

    :)

  4. yattfitri says:

    cita penuh nsht..
    x kisah sape pengsn tp nsht tetp ad

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"