Novel : Cik Bunga Dan Encik Sombong 1

15 August 2011  
Kategori: Novel

24,572 bacaan 65 ulasan

Oleh : AIRISZ

PROLOG.

DULU, masa zaman sekolah rendah, aku fahamkan makna bidan terjun itu adalah bidan kampung yang terjun dalam sungai. Kemudian masuk sekolah menengah baru aku faham bidan terjun mengikut makna dalam buku dan hari ini, aku faham betul-betul makna bidan terjun tu dengan erti kata sebenar. Sebabnya, aku sendiri yang ‘TERJADI’ bidan terjun tersebut dengan tidak SENGAJANYA.

Aku: Olin, tolong aku… Aku rasa aku nak kena bunuh dengan ayah aku tak lama lagi!

Olin: wah bagusnya. Tak sabar nak tunggu. Agak-agak bila?

Aku: Wei minah, aku cakap betul-betul ni…

Olin: Kalau betul lagi bagus!

Cis, cis, double cheese punya kawan! Tak boleh harap langsung!

———————–

Bab 1

“KAK YAN, bunga semua dah siap. Err… boleh balik sekarang?” Aku hubungi Kak Yan sebaik sahaja selesai susun bunga terakhir. Sambil tu aku perhatikan dewan yang bakal berlangsungnya sebuah majlis pertunangan. Cukup indah dan cukup menarik. Kalaulah majlis bertunang aku juga macam ini alangkah bahagianya. Tentu aku manusia paling gembira. Wei Intan, apa merepek tu. Sedarlah diri sikit. Awak tu siapa! Ada orang ajak bertunang pun kira dah cukup bagus. Aku dengar macam ada suara kutuk aku. Tapi bukan suara orang lain, suara hati aku jugak. Suara yang menyuruh aku cepat sedar diri. Sesungguhnya, orang tua-tua ada cakap, lagi besar periok tu, lagi besarlah keraknya. Jadi bersyukurlah dengan apa yang ada.

“Okey, tapi jangan lupa minta cek dengan Datin Nora. Kalau tak minta terus, nanti dia lupa. Nak minta lain kali dah tentu malu,” pesan Kak Yan sekaligus sedarkan diriku yang tiba-tiba saja boleh jadi tak sedar. Sudah dua tiga kali aku dengar pesanan yang sama, jadi aku akan ingat. Sebelum balik, mesti dapatkan cek terlebih dahulu!

“Okey,” balasku. Aku mula cari Datin Nora selepas itu. Mana pulaklah mak datin ni. Tentu dia sibuk menguruskan semuanya sebab ini adalah majlis bertunang anak tunggalnya. Majlis yang berlangsung disalah sebuah dewan hotel terkemuka ini seperti sedang mempamerkan betapa gahnya Datin Nora. Gaya bertunang pun sudah tidak serupa gaya orang Melayu. Tapi tak kisahlah. Itu hak dia. Dia banyak duit. Dia boleh buat apa saja. Kalau dia nak buat majlis atas langit sekalipun, orang lain tak boleh kata apa!

“Nampak Datin Nora?” Aku tanya kepada salah seorang pekerja yang sedang atur garpu dan sudu di atas meja.

“Tadi nampak dia masuk ke bilik persalinan. Cuba cari kat sana!” Pekerja lelaki yang sama rendah dengan aku tunjuk ke arah hujung dewan. “Terima kasih!” ujarku sebelum atur langkah laju menuju bilik persalinan yang dimaksudkan.
Sebaik tiba, aku terus ketuk pintu, Tapi tak ada yang jawab. Aku ketuk sekali lagi pun masih sama. Tak ada siapa yang jawab juga. Ada orang ke tidak ni? Kalau tak ada, kat mana pulak aku nak cari Datin Nora?

Kali ketiga aku ketuk dengan kuat. Barulah pintu dibuka. Datuk Zahari yang buka. “Ada apa?” soalnya dengan tegas.

“Saya nak jumpa dengan Datin Nora,” ujarku dengan perasaan takut. Inilah julung-julung kalinya aku bercakap dengan Datuk Zahari. Selalunya aku pandang dari jauh saja.

“Apa urusan?” soal Datuk Zahari lagi. Huh! Tanya macam pengawal peribadi Datin Nora saja. Macamlah aku nak buat kacau majlis mereka. “Err, saya nak minta cek untuk bunga!” jawabku.

“Masuk!” Aku dengar suara Datin Nora panggil aku. Terus Datuk Zahari buka pintu dengan luas.

“Saya nak ambil cek saya,” kataku sedikit terketar bila melihat wajah garang Datin Nora. Melihatkan raut wajah begitu, memang sah aku tak dapat cek. Padanlah dalam bab minta cek, saling bertolak Olin dan Neha. Rupanya memang menggerunkan.

“Berapa?” soal Datin Nora lagi. Wajahnya tambah garang.

“Tiga ribu dua ratus tujuh puluh lima!” jawabku lancar sambil pandang wajah lelaki segak yang memakai baju Melayu warna merah jambu. Dia pandang saja wajahku. Maaf sayang, kita tak tergoda pun dengan awak. Saja suka tengok awak pakai baju Melayu tu sebab warna merah jambu. Kalau warna lain kita pun tak pandang!

“Nah!” Datin Nora serahkan cek tersebut kepadaku dengan agak kasar. Geram saja aku dengan sikap angkuh mak datin seorang ini. Tahulah kaya tapi jangan buat orang macam pengemis. Aku ni bekerja sebenarnya, bukannya minta derma. Sabar ajalah perasaan. Gamaknya adat orang kaya memang sudah begini.

“Terima kasih datin. Saya minta diri dulu!” kataku sambil atur langkah menuju pintu.

“Sekejap!” seperti lelaki berbaju merah jambu yang bersuara. Jadi terpaksa aku hentikan langkah dan toleh belakang. Si baju merah jambu atur langkah laju mendapatkan aku. Maaf sayang, kita tak pandang awak tadi. Kita pandang baju awak saja, sebab ingat raya tahun ni nak buat warna yang sama, jadi janganlah saman kita.

“Saya nak minta tolong daripada awak!” kata lelaki baju merah jambu dengan wajah serius. Suara pun saling tak tumpah macam suara ketua kawat pasukan bomba. Tak merdu langsung! Kalau bayi umur dua atau tiga bulan dengar mahu tersampuk terus. Ingat hantu mana yang jerkah.

“Ya encik, tolong apa?” soalku dengan sopan, walaupun sesungguhnya aku dah tak larat nak tunjuk sopan santun dengan orang-orang begini.

“Saya nak awak jadi tunang saya!” katanya.

“Hah?” Aku melompat sekali sebab terkejut sangat. Kalau ya pun nak beri tawaran agak-agak jugaklah. Jangan sampai tak masuk akal langsung. Mahu mati terkejut aku kat sini.

“Jadi tunang saya dan saya akan bayar awak!”
Mak ai sedapnya bercakap. Jadi tunang dia dan dia bayar. Ingat aku ni ada tertulis dengan papan tanda untuk disewa ke? Agak-agak jugalah kalau ya dah kaya raya! Jangan ingat boleh beli orang sesuka hati keturunan dia!

“Jadi tunang saya dan saya akan bayar berapa yang awak nak,” ulang lelaki itu lagi dengan wajah yang bersungguh.

“Harris!” Serentak Datuk Zahari dan Datin Nora menjerit. Nampak keduanya seperti tersampuk sawan terkejut. Lebih teruk daripada aku rupanya. Yalah, mana tak terkejut kalau tawaran yang diberikan itu kepada aku si tukang gubah bunga. Tentu saja kedua suami isteri itu tidak setuju. Tak apa, aku pun tak nak anak mereka. Tak hairan pun.
Aku pandang saja si baju merah jambu. Oh! Harris rupanya nama lelaki tak cukup ni. Hmm, sedap namanya. Rasanya kena juga dengan rupa paras dia tapi sayang, akalnya tersangatlah kurang.

“Kalau pertunangan ini dibatalkan, di mana saya nak letak muka saya ni mama? Apa tanggapan orang lain nanti? CEO kumpulan HD tak jadi bertunang kerana bakal tunangnya lari ikut lelaki lain! Macam mana saya nak berhadapan dengan semua orang?” soal si baju merah jambu dengan tegas. Wajahnya yang putih bertukar kemerahan. Sudah marah mungkin.

“Erny tak lari dengan lelaki lain. Dia cuma merajuk dengan Harris saja!” balas Datin Nora.

“Oh merajuk saja? Merajuk sebab saya tak boleh temankan dia pergi shopping, pergi tengok wayang dan dia balas dengan cara bangsat ni?”
Terkejut aku dengar bila dia sebut perkataan bangsat dengan kuat. Rasa macam darah sudah naik ke kepala. Aku mana pernah tengok orang lelaki marah-marah. Memang aku biasa tengok ayah aku marah-marah, tapi ayah aku marah tak pernah sebut perkataan bangsat. Paling-paling dahsyat pun ayah cakap tengkorak ayam saja. Itulah paling maksima perkataan yang tak elok ayah pernah sebut. Lebih-lebih ayah tak pernah sebut.

“Saya sudah cukup bersabar dengan semua ni. Keputusan saya ada muktamad. Apa pun alasan Erny, saya tidak akan maafkan dia sama sekali. Sampai mati saya tak akan maafkan dia! Mama ingat tu!” Aku rasa Harris sedang memberi amaran kepada Datin Nora. Sebab itu Datin Nora tidak bersuara selepas itu.

“Berapa awak nak?” Dia soal aku semula tapi suaranya dia agak perlahan.

“Tak apalah encik!” balasku dengan perlahan juga. Tak nak aku jadi tunang terkejut dia. Tak nak cari penyakit.

“Saya cakap berapa?” Dia menjerit dengan kuat. Serentak dengan itu, aku, Datuk Zahari dan Datin Nora terperanjat dan aku nampak seperti Datuk Zahari buat muka. Maknanya suruh aku letak harga.

“Seratus!” Terus aku cakap sebab aku pun takut sangat. Lepas tu baru aku sedar, kenapa cakap seratus saja? Kenapa tak cakap sepuluh atau dua puluh ribu. Tidak pun setengah juta. Aiseyman, salah sebut hargalah pulak.

“Mama, tulis lima puluh ribu!” Dia arah dan aku rasa mulutku sudah terbuka. Lima puluh ribu? Biar betul ni. Macam tak percaya saja dia sebut lima puluh ribu.

“Saya nak awak jadi tunang saya dan bulan depan majlis kahwin kita!” kata Harris lagi.
Aku tergamam. Tak tahu nak cakap apa lagi. Seperti sedang mengikut satu arahan yang tak boleh langsung diengkar sedangkan aku punya kuasa untuk menghalang.

“Harris, jangan ambil keputusan terburu-buru. Erny masih sayangkan Harris dan dia buat semua ni sebab tak puas hati saja. Bukan masalah lain.” Datin Nora pujuk Harris.

“Sekali lagi saya ulang dan saya tidak akan cakap lagi benda yang sama. Keputusan saya muktamad. Hari ini majlis pertunangan saya dan bulan hadapan majlis perkahwinan saya. Tiada siapa yang boleh halang. Kalau mama tak nak saya upah orang bunuh Erny, baik mama setuju saja dengan keputusan saya. Kalau tidak, Erny hilang dari muka bumi ni. Kalau setakat dia lari ke Australia saja, kejap ini saja Erny boleh jadi mayat!” tegas Harris lagi.

Aku sudah kecut. Cara si baju merah jambu ini bercakap betul-betul seperti kepala samseng. Nampak jahatnya semacam. Ke memang dia ni pun ketua kongsi gelap yang dirahsiakan identitinya? Habislah aku kalau macam ni. Sah tajuk besar sekarang, tunangku ketua kongsi gelap! Jadi kalau aku tak setuju ikut cakap dia, maknanya ayah dan mak bakal terima mayat aku nanti? Tak nak aku!
Harris ambil buku cek di tangan Datin Nora sebaik sahaja Datin Nora selesai menulis. Lalu dikoyak sekeping dan dihulurkan kepadaku. Terpaksalah aku ambil untuk tidak membuatkan Harris menjerit lagi.
“Terima kasih,” kataku perlahan sambil melihat perkataan yang tertulis di dalam cek tersebut. Memang betul lima puluh ribu ringgit. Sekejap saja aku sudah jadi orang kaya. Mak dengan ayah mesti bangga kalau aku cakap aku ada lima puluh ribu. Lepas tu mak dan ayah terus menggila bila dapat tahu cara aku dapat duit tu. Wah! Hidup ini sebenarnya susah untuk diramalkan.

“Tak apalah kalau macam tu. Bertunang untuk satu hari saja tapi layak ke saya? Saya tak nak buka tudung!” tegasku.

“Tak mengapa. Itu tak jadi masalah. Kita guna fesyen bertudung,” kata Harris sambil ke muka pintu. Kemudian aku dengar dia melaung mak andam. “Tolong siapkan bakal tunang saya!” tegas Harris sebelum tinggalkan bilik persalinan. Aku lihat Datuk Zahari dan Datin Nora juga turut bergerak mengekori Harris. Mungkin nak usahakan pujuk memujuk buat kali terakhir dan aku berharap keputusannya nanti akan berubah. Biarlah aku tak jadi bertunang.
Terus aku hubungi Olin. “Lin, kau balik dulu. Aku balik kemudian nanti. Ada hal sikit dengan Datin Nora,” arahku pada Olin. Tak mahu Olin tunggu dalam van lebih lama.

“Cek problem ke?”

“Taklah, Datin Nora ajak aku makan, dia cakap aku kuat makan. Boleh habiskan makanan yang tak habis!” Aku cuba buat lawak bodoh sambil cuba tenangkan perasaan.

“Wei beb, agak-agaklah keluar statement. Karang kena saman dengan Datin Nora baru tau. Dia tu kalau makanan berlambak tak habis pun belum tentu ajak kita sama ke majlis dia. Dah tahu sangat,” balas Olin. Memang betul kata Olin tu. Datin Nora sangat mementingkan kedudukkannya. Jangan haraplah orang macam kami dapat turut serta majlis-majlis yang melibatkan Datin Nora. Jijik agaknya.

“Tak adalah. Ada hal lain. Kau baliklah dulu!”

“Okey, aku balik dulu. Ingat ambik cek. Nanti tak ada pulak gaji kita!”

“Okey!” balasku.

“TOLONG solek saya cantik-cantik ya, saya dahlah tak cantik. Kalau boleh saya nak macam Maya Karin.” Aku buat lawak. Cuba nak tenangkan perasaan. Sejak tadi juga aku masih tidak tahu apakah tindakanku ini betul atau tidak. Tapi aku terdesak sebenarnya. Terdesak pada keadaan.

“Siapa kata Intan tak cantik? Intan cantik sangat,” balas mak andam yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Rozie sahaja. “Ingat senang ke nak jadi menantu pilihan Datin Nora? Kalau setakat biasa-biasa saja, tentu tak akan dipilihnya. Siapa yang tak kenal dengan Datin Nora yang serba cerewet tu!” Kak Rozie bisik ke telinga.

Nak saja aku cakap terus terang yang aku ini bidan terjun tapi tak elok benar. Mana boleh aku jatuhkan maruah Harris. Ini adalah rahsia antara aku, Harris, Datuk Zahari dan Datin Nora, jadi orang lain tak perlu tahu.

Sedang aku berkira-kira dengan perasaan sendiri, waktu itulah pintu bilik persalinan ditolak orang. “Dah siap?” soal Datin Nora dengan wajah garangnya.

“Hampir siap!” jawab Kak Rozie sambil betulkan tudungku.

“Kalau dah siap tinggalkan kami berdua!” arah Datin Nora.

“Baik datin,” jawab Kak Rozie. Selepas kemaskan tudungku, Kak Rozie tinggalkan bilik persalinan.

“Saya nak awak dengar baik-baik!” Datin Nora mula bercakap. Aku dah tangkap terkejut. Garang saja kedengaran suara Datin Nora. “Saya nak awak lakukan sesuatu agar perkahwinan antara awak dengan Harris tidak akan berlangsung!” kata Datin Nora lagi.

“Baik datin,” balasku perlahan. Aku pun ingat macam tu jugak. Aku kena rancangkan sesuatu agar majlis perkahwinan kami tidak berlangsung. Mana boleh merak kayangan berkawan dengan gagak di rimba. Tak boleh woo, gaduh nanti!

“Awak jangan mimpi nak jadi menantu saya. Awak kena ingat tu!” kata Datin Nora lagi.
Lah, ini cerita Antara Dua Darjat atau Ibu Mertuaku? Sedangkan aku baru saja terlibat dalam adegan ni. Tiba-tiba saja Datin Nora boleh keluarkan arahan begitu. Macamlah aku ni tergilakan anak dia. Kurang wajar betul!

“Ya, saya tahu datin. Lagipun saya dibayar untuk semua ni. Bukan saja-saja saya dan anak datin bercinta. Saya cuma bidan terjun yang tersalah masa!’ Aku jawab dengan berani. “Saya pun tak ada hati nak jadi menantu datin. Memang tak layak!” Aku jawab lagi.

“Awak ni memang pandai menjawab ya!” Nampaknya Datin Nora seperti tidak senang mendengar jawapanku. Jadi aku harus menjawab dengan jawapan yang bagaimana? Mungkin Datin Nora nak aku tundukkan kepala dan cakap perkataan ya saja. Aku bukan burung kakak tua yang diajar untuk mengajuk dua tiga perkataan. Aku ada hak untuk bersuara pada perkara yang aku kira aku berhak.

“Saya kenalah jawab. Nanti tak pasal-pasal datin cakap saya syok kat anak datin pulak. Sedangkan saya tak tahu apa-apa. Saya cuma datang mintak cek, Alih-alih kena paksa jadi tunang anak datin,” jawabku lagi. “Macamlah saya nak sangat benda-benda ni semua!” balasku.

“Awak ni memang kurang ajar betul!” marah Datin Nora dan masa itulah Harris muncul.

“Dah siap?” soalnya sambil menghampiriku. Dia betulkan sedikit tudungku kemudian dia belek pula wajahku. “Tolong jangan sentuh saya, kita bukan muhrim!’ tegasku. Kemudian aku pandang wajah Datin Nora. Nampak dia mencebik. Kenapa mencebik begitu? Aku dah salah cakap? Ke bukan muhrim tu ertinya mari kita pegang tangan?

“Maaf, tak sengaja,” pantas Harris mohon maaf dan aku kira itu sajalah sifat terpujinya.

“Mama cakap apa dengan dia?” Aku dengar Harris tanya dengan tegas selepas itu kepada Datin Nora. Mungkin Harris tahu Datin Nora sudah beritahu aku sesuatu. Atau mungkin Harris lebih maklum akan perangai Datin Nora memandangkan mereka anak beranak.
Datin Nora sekadar membatukan diri.

“Mama jangan nak ugut apa-apa, buruk padahnya nanti. Saya bukan saja sanggup buat perkara tak baik, bahkan saya boleh letak jawatan saya. Jadi tolong jangan cakap apa-apa pada dia ni. Err…siapa nama awak?”

Huh! Kantoi. Baru nak tahu nama bakal tunang? Aku rasa Mr Bean pun tak perangai macam ni! Sakitnya jiwa.

“Intan Asnidar!” jawabku.

“Nak panggil apa? Intan atau Asnidar?”

“Intan!”

“Okey Intan, mulai sekarang, awak adalah tunang dan bakal isteri saya. Sekiranya ada sesiapa kacau awak, tolong jangan berahsia dengan saya sebab kita bakal suami isteri. Suami isteri tidak boleh ada sebarang rahsia. Tak gitu mama?” Harris pegang bahuku dan aku perasankan wajah Datin Nora bertukar merah.

Sekejap, sebenarnya aku tak faham apa yang berlaku. Seperti ada sedikit permusuhan antara Harris dengan Datin Nora. Macam kedua beranak ni tak berapa ngam! Tapi perlukah aku campur tangan sedang aku hanyalah kambing hitam?

Satu lagi, suami isteri? Kenapa sebut suami isteri? Aku tak nak kahwin dengan dia. Aku tak nak terus-terusan jadi kambing hitam. Tiba-tiba saja aku rasa aku dah tak cukup oksigen. Rasa sesak nafas.

“Apa lagi tu, majlis dah nak mula. Tetamu semua dah hadir!” Datuk Zahari ingatkan kami dari muka pintu bilik.

“Sedia sayang, ini hari kita. Jangan lupa senyum!” kata Harris sambil ajak aku melangkah sama. Datin Nora terus tarik muka masam. Takutnya tengok muka Datin Nora.
Sayang? Belum apa-apa dah panggil sayang? Serius aku cakap, aku memang tak cukup oksigen sekarang ni.

KETIKA tiba di pintu dewan, Datin Nora arahkan aku berhenti seketika untuk mendengar pengumuman daripada pengacara majlis akan kehadiran kami. Perasaanku tambah berdebar. Hanya Tuhan saja yang tahu. Betul-betul aku tidak sangka aku bakal menjadi sebahagian dari majlis yang aku kira agak gemilang. Awalnya aku hanya tukang susun bunga dan sekarang keadaanku sama sekali berbeza. Awalnya juga aku ada berangan hendak miliki majlis pertunangan begini, akhirnya menjadi kenyataan. Namun pada hujung-hujung kenyataan itu baru aku sedar, pertunangan ini hanyalah sekadar satu pembohongan yang mahu menutup mata semua tetamu yang hadir. Dan akhirnya ia tetap juga kosong. Tak ada apa-apa makna langsung buatku.
Selepas pengacara majlis umumkan kehadiran aku dan Harris, aku melangkah semula. Waktu itulah aku rasa mata sedang memerhatikan aku bergerak. Aku hanya mampu melihat lantai dan tidak berani hendak angkat muka.

“Senyum sayang,” Harris bisik ke telinga dan aku terus senyum. Entah kepada siapalah aku senyum. Rasa macam tak betul saja!
Datin Nora hantar aku ke tempat duduk yang disediakan khas dan aku tersimpuh di situ. Aku tahu Datin Nora terpaksa dan aku pula dipaksa. Keadaan kami tak ada bezanya. Sama saja. Dua-dua tak ikhlas.

Aku tak berani nak angkat muka langsung selepas itu. Perasaan malu sangat menebal dalam diri. Kalaulah mak dan ayah tahu, memang habis aku.
Aku hanya berani angkat muka bila salah seorang juru gambar meminta aku melihat ke arahnya. Akur dengan arahan, aku ukirkan senyuman yang serba tak menjadi. Kemudian aku pandang ke arah tempat duduk ahli keluarga Datin Nora. Masa itulah aku terpandang Harris. Rupanya dia juga sedang melihat ke arahku dengan pandangan yang cukup serius. Ah! Tak senang nak pandang muka bajet sombong tu. Egois! Ingat aku nak sangat bertunang dengan dia? Kirim salamlah aku nak suka! Tapi Intan, kau harus ingat. Dia tu kepala samseng. Barang harus diingat, kalau kau buat perangai, ayah dan mak kau bakal terima mayat kau! Masa itu juga aku rasa takut. Jadi aku senyum pada Harris dan tunjuk tanda peace. Harris tak balas senyumanku, tapi dia buat juga tanda peace. Maknanya dia nak berdamailah tu. Bagus!

Selepas itu ada beberapa acara. Kalau ikut itu adat bertunang. Tapi aku rasa macam atur cara yang sudah siap disusun. Biarlah, itu urusan mereka. Aku cuma tolong jadi patung saja. Selesai nanti aku terus balik. Habis cerita.

Datin Nora datang menghampiriku. Mungkin sudah tiba acara menyarung cincin. Bermakna kejap lagi acara akan selesai. Rasanya separuh sudah aku selesaikan. Tinggal lagi separuh.
Datin Nora sarung sebentuk cincin ke jari manis tangan kanan dengan wajah yang masam. Kurang senang agaknya. Cara dia sarung cincin pun kelam kabut sangat. Masa aku cium tangan dia, cepat-cepat dia tarik. Kemudian tak peluk aku langsung. Tak apalah.

Selesai acara sarung cincin, acara bergambar pula. Beriya Harris bergambar denganku. Macam sudah disahkan sebagai suami isteri. Namun tidak ternampak segaris senyuman di bibirnya. Ke dia ni memang ada penyakit? Penyakit tak boleh senyum. Kalau dia senyum mahu dia tak cukup sifat seminggu dua. Gasak dialah!

“Ini semua wartawan dari majalah bisnes,” bisiknya perlahan.

“Jadi muka saya masuk majalah nanti?” soalku takut. Takut kalau ada orang kampung yang cam muka aku. Tapi rasanya, tak siapa yang akan baca majalah bisnes. Jadi aku beritahu perasaan aku, tak perlu risau tentang itu.

“Ya, sebab itu majlis ni perlu diteruskan. Kalau tidak saya memang habis!” bisiknya lagi.

“Oh…” Padanlah dia bersungguh minta aku jadi tunang dia.

“Maruah saya sangat penting,” katanya lagi. Jadi maknanya maruah aku tidak pentinglah? Senangnya dia bercakap.

“Tapi saya tak pandai, saya SPM pun tak lepas. Atas pagar saja!” beritahuku jujur.

“Itu tak penting. Awak jangan bimbang. Saya akan lindungi awak!”

Entah kenapa aku rasa sedikit lega. Ayat saya akan lindungi awak itu, buat aku rasa selamat. Jadi aku boleh beri tangggapan selain egois, sombong, aku tahu juga lelaki baju merah jambu ini seorang yang penuh dengan rasa tanggungjawab. Kerana tanggungjawab itulah dia sanggup lakukan apa saja termasuk kerja bodoh ini.
Selepas majlis, Harris sendiri yang menghantarku. Semua barangan hantaran dia minta pekerja-pekerjanya hantar ke kedai bunga Yanz Florist. Kata Harris, semua itu miliku. Sebagai hadiah iringan kerana aku sudi tolong dia dan hendaklah digunakan masa bertunang di rumah keluargaku nanti.

“Selepas ini, kita akan berbincang dengan keluarga awak pulak. Saya cuma mahu perkara ini jadi saja. Lain-lain saya tidak mahu dengar!” kata Harris dengan tegas ketika dia mula memandu tinggalkan perkarangan hotel.

“Encik…” Aku pandang wajah Harris.

“Ya…”

“Tidakkah tindakan encik ini seperti terburu-buru? Saya bimbang encik akan menyesal nanti. Perkahwinan bukanlah sesuatu yang boleh kita buat main.”

“Saya tidak percaya dengan perkahwinan. Jadi tidak ada sebab kenapa saya harus rasa menyesal. Perkahwinan bagi saya hanyalah satu ikatan, dan tak lebih dari itu. Saya mahu tegaskan di sini, saya tidak pernah ada perasaan dengan mana-mana gadis. Saya juga tidak mahu awak ada perasaan untuk saya. Awak juga yang bakal kecewa nanti. Saya sudah berterus terang dengan awak, jadi awak harus ingat. Perkahwinan kita nanti tidak lebih dari satu ikatan saja!”

Huh! Sombongnya dia. Tak teragak-agak langsung untuk bercakap. Buatnya esok-esok tergilakan aku, barulah tahu langit tu tinggi atau rendah. Tapi aku sikit pun tak kisah. Aku pun bukan suka juga nak jatuh cinta dengan sebarang orang. Lainlah kalau Jack Sparrow. Dengan lanun seorang itu aku memang lemah.

Aku diam selepas itu. Tak cakap apa-apa lagi. Kemudian aku pandang langit yang seolah-olah bergerak sama denganku. Sesungguhnya, hidup ini diluar lingkungan kehendak kita. Namun perjalanannya tetap sama. Setiap yang datang itu, buruk atau baik ada hikmahnya yang tersembunyi dan Tuhan maha mengetauhi akan sesuatu.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

65 ulasan untuk “Novel : Cik Bunga Dan Encik Sombong 1”
  1. nur fauziana mohd yunus says:

    best giler,,,,,,nk tanya kt pesta buku antarabangsa nt adae x…..n karya seni ngn kaki novel n fajar pakeer akn join skali ker,,,,bab klo blh nk dptkan sume novel kt sana nt,,,,,,help,,,

  2. fatin96 says:

    cerita ney best sangat,, saya dh jatuh cnta dengan watak HARRIS ISQANDAR,,

  3. ZANA8881 says:

    cerita ni mmg best saya suka sangat..saya baca novel ni berkali2 rasa x bosan ..jalan crta mmg terbaik yang pernah saya baca..

  4. fatin nur afiqah bt abu bakar says:

    saya suka sngt novel ni….walaupun x ramai yg tahu pasal novel nih…tp saya boleh habiskan 1 novel ni dlm mase 1 hari je….sbb mmg best giler …..saya harap lepas ni cik airisz akn keluarkan novel yg mnarik mcm nih lagi….

  5. fairuz says:

    nk blog cik Airisz…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"