Novel : Cik Bunga Dan Encik Sombong 2

22 August 2011  
Kategori: Novel

17,798 bacaan 71 ulasan

Oleh : AIRISZ

Bab 2

KAK YAN dan Olin hanya pandang saja semua barang yang pekerja anak Datin Nora letak dalam kedai bunga tadi. Keduanya seperti tersampuk sawan senyap melihat barang hantaran yang disusun di tengah-tengah Yanz Florist. Sehingga pekerja tersebut minta diri, Kak Yan dan Olin masih begitu. Mula tadi aku rasa mereka memang dah terkejut sebab tengok aku pakai baju semacam saja. Pergi sah-sah pakai jeans dengan t-shirt rasmi Yanz Florist. Balik dah ala-ala orang baru lepas balik dari acara pakaian beragam.

“Pengumuman, pengumuman. Aku dah bertunang kejap tadi!” Aku goyangkan tangan sambil tunjuk cincin di jari manisku ke muka Olin. Terpaksalah aku yang mulakan dulu bercakap. Karang sampai malam pulak mereka macam tu.

“Hah?” Olin pamer wajah terperanjat. Kak Yan juga. Cuma wajah Kak Yan lebih tenang berbanding wajah Olin.

“Aku bertunang dengan anak Datin Nora sekejap tadi!” Aku beritahu lagi.

“Jangan buat lawak boleh? Kau ni kalau bab merepek memang tak ingat dunia!” Baru betul-betul aku dengar suara Olin. Tapi Kak Yan masih tak bercakap lagi. Dia macam takut-takut nak tanya. Ke dia masih tak percaya yang berdiri dekat dia ni Intan Asnidar? Yalah. Masa aku pandang cermin tadi pun aku tak percaya yang itu aku. Cantik gila beb!

“Betul, aku jadi bidan terjun menggantikan bakal tunang anak Datin Nora. Sebab perempuan tu dah lari. Habis kau ingat aku bodoh sangat nak pakai macam ni tengah-tengah panas terik ni?” Aku bulatkan mata sambil tarik-tarik baju yang berselerak dengan labuci. Warna merah jambu lagi. Sama dengan warna baju Harris AKA Encik Sombong.

“Betul Intan?” soal Kak Yan. Wajahnya masih penuh dengan tanda ragu. Seperti tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku sekarang. Inilah padahnya kalau suka buat lawak. Memang susah orang nak percaya kalau kita cakap benda betul.

“Betul kak, Intan tak main-main. Ini buktinya.” Aku goyangkan lagi tanganku. “Ini koman-koman empat lima ribu!” kataku lagi.

“Eh! Perempuan, kau ni betul ke tidak? Kalau iya pun nak buat lawak, agak-agaklah!” kata Olin lagi. Rasa aku, Olin memang tak percaya dengan apa aku cakap ni. “Apa pasal senang-senang nak bertunang? Kau ingat bertunang tu macam cerita Spongebob Squrepants?” Olin tak sudah lagi. Dia ni memang, susah sikit nak percaya cakap orang. Lebih-lebih lagi cakap aku. Mungkin dalam 100, cuma 10 saja yang boleh pakai. Yang lain semua aku kelentong aje yang lebih. Tu yang buat Olin fikir 10 kali jugak nak percaya.

“Dia bayar aku lima puluh ribu untuk jadi tunang dia!”

“Hah?” serentak Kak Yan dan Olin cakap dengan wajah masing-masing yang payah untuk aku cerita. Masa aku cakap aku dah bertunang, taklah teruk sangat muka mereka, tapi bila aku sebut lima puluh ribu, masing-masing berubah habis. Sungguhlah, kalau sebut pasal duit, semuanya akan jadi orang lain. Mata duitan betul!
Cepat-cepat aku keluarkan cek. “Ini untuk bunga.” Aku serahkan sekeping untuk Kak Yan. “Dan ini buktiknya…” Aku tunjuk lagi sekeping cek kepada Olin.

“Mak ai…” kata Olin, terus Kak Yan tumpang sama tengok.

“Apa pasal kau tak panggil aku saja tadi!” Olin melompat kecil selepas itu. “Kalau dibayar lima puluh ribu siapa yang tak nak!” tokok Olin lagi.

“Kau rasa tindakan aku ni bodoh ke tidak?” Aku tanya Olin dan sebenarnya aku mahukan jawapan daripada Kak Yan juga selaku orang paling tua diantara kami dan paling berakal.

“Tidak sama sekali tapi macam kartunlah!” jawab Olin selepas itu. “Tak logik pun ya,” tokok Olin lagi. Kalau Olin fikir benda ni tak logik, aku lebih merasakannya. Memang tak logik.

“Datin Nora setuju?” soal Kak Yan. Aku rasa Kak Yan seperti memahami keadaan. Ya, semua sudah sedia maklum akan perangai Datin Nora jadi tidak hairanlah Kak Yan bertanya begitu.

“Dia menetang habis!” jawabku.

“Habis tu macam mana boleh lepas?” soal Kak Yan. Nampak macam Kak Yan bimbangkan sesuatu.

“Anak dia terdesak sangat. Masa tu Intan nak masuk ambil cek, masa tu le mereka tengah bincang masalah tu. Terus anak dia paksa Intan jadi tunang dia. Main ugut-ugut lagi!” jawabku lagi.

“Habis setakat bertunang sajakan? Tak sampai kahwin?” soal Olin pula.

“Kahwin, bulan depan!” jawabku sambil pilih duduk di atas kerusi Olin. Sudah penat sangat.

“Kahwin? Kau serius ni?”

“Emm, aku serius!”

“Kau ni dah hilang ingatan ke Intan? kau ingat kahwin tu macam main pondok-pondok? Hari kahwin esok cerai?”

“Tapi rasanya ramai yang macam tu bukan? Bercinta bagai nak rak, tapi kahwin tidak jugak. Dah hidup bagai suami isteri, tapi nikah tidak? Dan aku fikir, inilah satu-satunya jodoh untuk aku. Kalau aku tolak, maknanya tak akan ada jodoh lain. Aku sudah tolak jodoh yang Tuhan berikan kepadaku.” Cepatnya aku buat keputusan.

“Sebab aku percaya, jodoh tu datang dengan pelbagai cara, dan inilah cara jodoh aku. Aku kena terima dan harus bersyukur.”

“Kalau kau tak bahagia?”

“Itu bukan kehendak aku!”
Suasana senyap sekejap. Saling berpandangan antara Kak Yan dengan Olin. Mungkin nak cakap aku bodoh, tapi tak sampai hati.

“Kau tak bimbang ke kalau majlis pertunangan kau tu tersiar kat surat khabar?” soal Olin tiba-tiba.

“Alah, orang kampung kita mana baca surat khabar!”

“Lantak hanglah Intan, jadi apa lagi. Bila nak kerjakan kek tu?’ kata Olin.

“Err.. Akak balik dululah. Ingat nanti kunci kedai,” pesan Kak Yan.

“Kak Yan ambiklah apa yang patut. Banyak ni…” kataku.

“Simpan saja dalam peti sejuk kalau tak habis. Boleh jugak kita makan nanti,” kata Kak Yan sebelum ambil kunci keretanya.
Aku dan Olin berlari anak ke tempat kek diletakkan selepas itu. Aku terlupa sekejap masalah yang melanda. Yang penting mesti menikmati kek yang nampak menghairahkan anak tekakku.

“Emm, anak Datin Nora tu handsome?” soal Olin sambil makan kek.

“Bolehlah,”

“Ada macam pelakon Korea?”

“Agak-agaklah. Kalau Datuk Zahari tu keturunan belah-belah sana, bolehlah nak tanya soalan tu.”

“Eh! Manalah tahu!”

“Tapi bolehlah. Ada rupa rugaklah!”

“Yalah, kau tengoklah Datin Nora macam mana!” kata Olin selepas itu. Dan kami sama-sama nikmati kek yang cukup menyelerakan.

MALAM masa aku sedang sedap-sedap menonton TV dengan Olin di bilik yang Kak Yan sediakan untuk kami di belakang kedai sambil menikmati coklat hantaran siang tadi, aku dikejutkan dengan satu panggilan.

“Helo,” suara lelaki.

“Helo, tatau-tatau. Kira sama bos esok pagi. Sekarang sudah malam, semua orang mau tidur ma…” Aku terus cakap. Kacau betul tokeh bunga ni. Tak tahu law betul. Suka hati nak telefon orang.

“Helo,” lelaki itu sebut helo lagi.

“Helo, helo, line tarak clear. Sana luar negeri ada gempa bunyi!” Kali ni aku tiru cara gaya Ali Gulam Khan bercakap. Mamat Bangla yang kerja kedai mamak selang tiga buah kedai dari Yanz Florist.

“Helo cik adik sayang!” Kuat suara lelaki di talian.

“Siapa ni?” Aku tanya dalam bahasa Malaysia tulin sebab agak pelik juga. Siapa yang telefon aku. Siap panggil cik adik sayang. Calang-calang orang, memang tak berani nak panggil aku macam tu.

“Saya ni…”

“Taulah. Tapi saya ni tu siapa?”

“Tunang awak siapa nama?”
Aku tampar dahi. Aku dah bertunang rupanya. Tapi aku tak ingat nama dia. Blur sekejap. Siapa pulak nama bertuah ni. Siang tadi aku memang siap hafal. Tapi bila lama sikit aku dah lupa.

“Err…” jenuh aku fikir tapi betul-betul tak ingat.

“Siapa nama tunang awak?” soal orang di sana. Macam bengang saja. Kalau aku duduk tempat dia pun, mesti bengang sama. Yalah, kalau tunang sendiri tak ingat nama kita, mahu tak bengang. Tapi aku memang benar-benar lupa.

“Allah hu akbar. Saya lupa!” Aku jawab bila betul-betul tak ingat nama dia.

“Ingat balik, saya kira sampai tiga, kalau awak masih tak ingat, saya datang rumah awak sekarang jugak!”

“Kejaplah!” Aku cakap sedikit kuat. Aku mana boleh orang main ugut-ugut. Tak boleh fikir apa-apa.

“Satu!” Orang sana dah mula kira.

“Ris, Deris,”

“Siapa?” Dia menjerit lagi. Mahu tercabut jugak telinga aku kalau macam ni! Sikit-sikit menjerit, sikit-sikit menjerit.

“Bukan, tu nama ketua kampung saya!” Cepat aje aku beritahu, takut dia mencarut pulak karang. Dan aku seperti terdengar orang sana gelak sekali. Dia gelak? Dia boleh gelak ke? Wah! Macam itu percaya saja itu orang akan gelak.

“Harris!” Aku menjerit kuat sebaik saja teringat nama dia. Susahnya nak ingat nama dia. Mujurlah aku tak tersebut keris tadi. Kalau tidak aku memang habis!

“Maaf, Encik Harris,” kataku bila teringat pangkal nama Harris wajib didahului dengan Encik.

“Kenapa awak ni? Muda-muda lagi dah jadi pelupa!”

“Dulu kecik-kecik saya rajin makan semut dan kari kepala ikan!” Aku jawab selamba.

“Yalah tu, banyaklah awak punya semut!”

“Err…Kenapa encik telefon saya?” soalku terus. Pelik jugalah sebab dia nak telefon aku. Tengok muka, bukan jenis yang nak telefon orang sembarangan.

“Selalunya kalau orang dah bertunang memang tak boleh call tunang ya?”
Hampeh! Kalau tak kenakan aku tak sah! Saja nak buat tak boleh nak cakap apa.

“Saya cuma nak ingatkan awak sekali lagi, majlis bertunang kita di kampung awak berlangsung dua minggu dari sekarang. Saya nak awak beritahu keluarga awak.”

“Encik, kampung saya jauh.” Aku masih berusaha mencari alasan. Mana tahu akan berjaya mengubah keputusan Harris. Tentu orang macam Harris tu takut kampung sebab mesti dia fikir kampung banyak nyamuk. Orang kaya macam Harris tu mesti takut nyamuk. Aku harap jugak dia fikir kampung aku ada harimau sama.

“Jauh?” Harris tanya. Bunyi macam takut saja.

“Ya jauh!” Aku cakap dengan bersungguh.

“Kat Uganda ke?”
Ceh! Terkena lagi! Aku ingatkan dah takut tadi, tapi rupanya saja nak mainkan aku. Hampeh betul! “Taklah sampai Uganda!” balasku. Perasaan dah rasa satu macam. Angin aje bercakap dengan dia ni. Boleh lagi cakap kampung aku kat Uganda. Tak boleh ke dia sedapkan hati aku sikit. Paling-paling pun cakaplah kat Hollywood ke, Hawaii ke. Ini Uganda. Tahulah warna kulit aku sama dengan orang belah-belah sana.

“Masih dalam Malaysia lagi bukan? Jadi jangan beri saya alasan yang bodoh!”
Mana ada aku beri alasan bodoh. Aku cuma cakap kampung aku jauh. Itu saja. Kalau sebut kampung saya jauh, semuanya dipanggil bodoh, aku rasa ramai yang bodoh sebab bukan aku seorang saja yang kampung jauh.

Huh! Tak faham bahasa betul!

“Adik beradik awak berapa orang?” soalnya lagi.
Lah, banyaknya nak tahu. Ni sesi edisi siasat ke?

“Sembilan!” Aku jawab.

“Berapa?” Dia tanya dengan kuat. Aku dah terkejut. Aku tersilap cakap ke tadi? Aku dah tersebut sembilan puluh ke?

“Sembilan orang. Adik beradik saya ramai encik. Payah encik nanti. Kakak saya ada tiga. Abang ada seorang. Adik lelaki ada tiga. Adik perempuan seorang. Tak payahlah encik pilih saya. Adik beradik saya ramai. Lagi pun saya ni orang susah. Rumah saya buruk. Memang tak sesuailah dengan encik!” Aku cuba jadi tukang hasut.

“Tu belum lagi campur dengan anak buah. Saya pun tak ingat dah berapa anak buah saya. Ramai sangat!”

“Berapa anak buah awak?”

“Saya cakap encik tolong kira. Saya matematik memang failed. Tak pernah lulus. Anak kak long sembilan. Anak kak ngah tujuh orang. Anak abang lapan orang. Anak kak chik enam orang. Encik kira ada berapa?”

“Tiga puluh orang?”

“Yalah kut. Saya tak pernah kira! Adik beradik saya memang beranak ramai. Malu kalau beranak sorang aje. Encik tak payahlah kahwin dengan saya. Saya tak mau beranak sorang saja. Nanti kena kutuk!” Aku saja cakap macam tu sebab nak perli dia. Mak diakan anak seorang saja.

Masa itulah aku dengar Harris tergelak dengan kuat. Lah, tadi aku buat lawak ke? Kira cerita beranak ramai ni cerita lawaklah bagi dia? Menyesal cerita.
“Awak ni luculah. Saya tak pernah jumpa gadis yang kelakar macam awak!”

Ceh! Bila masa aku buat kelakar. Aku cerita benda yang betul. “Encik, saya tak buat lawak. Saya cerita perkara sebenar. Encik kena fikir masak-masak kalau nak kahwin dengan saya. Betul pada encik perkahwinan tu tak lebih dari satu ikatan. Tapi ayah saya, mak saya, kakak-kakak saya, abang saya, pak-pak menakan saya, mak-mak menakan saya, tak akan fikir macam tu. Kalau encik kahwin dengan saya, encik kena terima macam mana keadaan keluarga saya. Encik tak boleh jadi kera sumbang!” Hah ambik hang. Dapat dah kera sumbang.

“Awak fikir dengan semua alasan tu saya akan batalkan semua rancangan saya?”

“Encik, tu semua bukan alasan. Tu semua adalah kenyataan. Encik dah biasa hidup senang. Dah biasa mewah. Encik tak pernah masuk kampung macam mana. Saya tak naklah setiap kali balik kampung saya, kita kena pergi sewa hotel. Macam bajet bagus sangat!” Aku cakap lagi. Ambil kesempatan perli dia. Tapi sebenarnya aku teringat seorang kakak sepupu aku yang kahwin dengan orang KL. Mana pernah tidur rumah pak long aku. Manjang sewa hotel kat Taiping setiap kali balik kampung.

“Saya tak nak awak merepek yang bukan-bukan lagi. Saya nak awak telefon keluarga awak sekarang. Beritahu kita bertunang lagi dua minggu dari sekarang!”

“Yalah, esok-esoklah saya telefon, Buatnya encik cakap tak jadi, habis saya nanti!”

“Telefon sekarang!” arahnya.

“Yalah, yalah. Nak telefonlah ni…”

“Hah! Apa lagi. Telefonlah!”

“Habis encik tu masih lagi nak bercakap. Encik ingat telefon saya macam telefon encik ke boleh cakap dengan tiga empat orang lain?”

“Okeylah. Kalau tak nak bercakap dengan saya cakap ajelah!” Aku dengar seperti suara Harris macam merajuk saja. Apalah dia ni. Aku pun tak faham.

“Tahu tak apa!” balasku geram.

“Yalah… Apapun terima kasih sebab sudi tolong saya. Saya tak akan lupa sampai saya mati.”

“Apalah encik ni cakap macam tu. Hari ni hari encik. Mana tahu esok-esok hari saya. Hidup kita ni tak semestinya kat atas saja. Ada masanya kita duduk bawah sesekali,”

“Terima kasih!” katanya lagi. Kali ini lebih perlahan dan mendalam. Aku tahu perasaan Harris ketika ini. Dia sudah terhutang budi.

“Sama-sama!”

“Selamat malam, jangan lupa telefon keluarga awak!”

“Yalah, yalah… Saya telefon nanti.”
Suara dia hilang begitu saja selepas itu. Seperti mudahnya dia muncul dalam hidupku dan semudah itu dia hilang. Siapalah dia agaknya. Andai dialah jodohku yang sudah tertulis sejak azali, aku harus panjatkan rasa syukur kerana masih dikurniakan dengan satu jodoh. Susah orang lain menantikan jodoh tiba, sedang aku begitu mudah. Semoga semuanya dalam keberkatan Ilahi dan andai aku hendak diuji, ujilah aku dibatas mampuku, selayaknya seperti insan biasa yang tidak punya apa-apa keistimewaan.

Aku tarik nafas panjang dalam-dalam. Bimbang juga aku buat silap, namun sesungguhnya kesilapan itu ibarat jiran tetangga dalam kehidupan. Siapa saja akan buat silap. Siapa saja tak akan terlepas dari membuat sebarang kesilapan. Jadi aku memilih untuk mencuba. Mencuba lebih baik dari tidak melakukan apa-apa. Kelak apapun yang akan terjadi, aku tidak akan salahkan diriku sendiri kerana semua keputusan datang daripada diriku sendiri.

Banyak-banyak soalan yang dia tanya tadi, dia langsung tidak bertanyakan tentang perasaanku. Tentang kerelaanku. Langsung tidak disebut tentang kesudianku untuk menjadi isterinya. Seolah-olah aku ini manusia yang tidak dibekalkan dengan perasaan. Hanya perlu patuh dengan arahannya. Mungkin dia fikir aku sudah dibeli dengan harga lima puluh ribu, jadi perasaanku tidak begitu penting buat dirinya. Hmm tak mengapalah, mungkin esok-esok dia akan tanyakan juga. Aku pasti nanti dia akan tanya juga.
Terpaksalah aku telefon rumah. Nak khabarkan berita yang aku kurang pasti buat mak dan ayah gembira atau tidak. Rasanya mereka akan gembira. Dah lama mak dan ayah bising-bising pasal kahwin, tapi selalu-selalunya aku buat mereka seperti bercakap dengan dinding saja. Buat pekak. Pernah mak cakap, malu sebab dah umur 25 tahun pun belum ada apa-apa. Sedang yang sebaya denganku dah ada anak dua tiga.

“Mak, kalau Intan nak bertunang dua minggu lagi boleh tak?” Ayat yang aku tanya selepas aku tanya mak masak apa siang tadi.

“Apa dia? Mak tak dengaq!” soal mak. Macam perli saja soalan mak tu. Aku tahu mak dengar tapi saja nak tanya dua kali.

“Kalau Intan bertunang dua minggu lagi boleh tak?”

“Hang mengarut apa ni Intan? Nak mak mati terkejut ka? Punyalah jenuh mak perasab kemenyan, tak jugak sapa-sapa pinang hang. Tup-tup cakap nak bertunang. Hang janganlah buat lawak dengan mak.” Mak ‘basuh’ aku bertalu-talu. Aku dah agak, mak akan cakap macam tu.

“Betul mak. Kawan Intan tu dah ajak bertunang.”

“Kawan? Hang dah ada kawan? Kerja apa? Gaji berapa sebulan?”
Tu dia soalan. Langsung tak tanya dia dah khatam Qur’an ke tidak. Pandai baca doa qunut ke tidak. Masuk-masuk terus tanya pasal kerja dan gaji berapa. Bagus betul bakal mak mertua sekarang. Solat ke tidak itu soal kedua. Yang tanya pun bukan mak orang lain, mak aku jugak. Nasiblah!

“Kerja biasa saja mak. Cukup kut nak bagi Intan makan tiga kali sehari!” Malas nak sebut dia tu kerja CEO. Silap dengar nanti mahu mak fahamkan GRO. Kecoh pulak satu kampung nanti. Sebab kerja GRO tu orang kampung aku memang tahu sangat.

“Kalau betui, minggu depan hang bawak dia balik rumah. Mak nak tengok orangnya macam mana,” kata mak. Aku dah cemas. Kalau bawak balik orang tu, memang habislah.

“Kena bawak balik jugak ka?”

“Kena. Takut Intan main-main.”
Aduh, ni yang payahnya. Bab-bab nak bawak orang tu balik kampung yang buat aku malas. Orang tu sudahlah jenis kera sumbang. Tak reti nak campur dengan orang. Aduhai, pening kepala!
Selepas aku bercakap dengan emak terus aku telefon Harris. Ingat Intan, nama dia Harris, bukan Deris!

“Encik…”

“Yes, dear!” Dia jawab perlahan. Fuh! Boleh tahan Encik Sombong ni.

“Ada masalah ni…”

“Apa masalahnya?”

“Mak suruh saya bawa encik balik kampung!”

“Okeylah tu. Saya boleh saja. Tak ada masalah!”

“Encik, kita bukan nak pergi Milan atau Paris!” tegasku bila dengar orang sana macam teruja saja.

“Saya pun tak teringin nak pergi sana. Bukannya best. Saya nak pergi kampung awak. Jadi sabtu depan kita akan pergi kampung awak! Muktamad!”

“Hah?”

“Sabtu depan kita pergi kampung awak. Saya nak kenal ayah dan mak awak serta kaum keluarga awak!”

“Kalau macam tu tak apalah!” kataku selepas itu. Aku tak nak komen apa-apa. Hmm, berlagaknya Encik Sombong ni. Dia ingat masuk kampung aku tu macam masuk Kampung Baru kut. Tahulah awak nanti. Kita ajar awak cukup-cukup.

Rasa tak sabar pulak nak bawa dia ni balik kampung. Semangat! Semangat!




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

71 ulasan untuk “Novel : Cik Bunga Dan Encik Sombong 2”
  1. diana@ajim says:

    best giler !! nice sangat even perempuan tuh agak clumsy skit..cayalahh kak..teruskan penulisan akak ea..tak sabar nk baca ..:)

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"