Novel : Cinta Masam Manis 1

8 August 2011  
Kategori: Novel

12,110 bacaan 8 ulasan

Oleh : Wardina Aisyah

**1**

NAMA saya Qisya Nur Alifa Binti Zahiddin. Berusia dua puluh empat tahun. Berstatus bujang dan masih solo. Jantina mestilah perempuan. Takkan jantan pulak! Anak sulung daripada tiga beradik. Biarpun menjawat jawatan sebagai anak sulung merangkap ketua kontinjen anak-anak Haji Zahiddin Bin Haji Nawawi dan Hajah Azyan Binti Haji Sulaiman, namun saya merupakan anak kesayangan. Ini kerana saya merupakan satu-satunya anak perempuan babah dan umi. Disebabkan itulah saya telah diiktiraf sebagai anak kesayangan mereka. Hehehe… seronoknya! Rasa macam menang anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian je.

Saya memang anak manja. Maklumlah, sepuluh tahun sebelum Qayyum dan Qayyim lahir, saya merupakan anak tunggal. Jadi pada saya yang cute lagi comel inilah tertumpah segala kasih sayang. Saya sangat dimanjakan oleh babah dan umi, juga Tok Ling dan Nek Tee. Mana tidaknya, saya ni juga merupakan satu-satunya cucu perempuan Tok Ling dan Nek Tee. Keadaan tetap sama walaupun setelah Qayyum dan Qayyim dilahirkan. Saya tetap jadi anak manja dan kesayangan ramai. Terutama anak manja kepada lelaki yang paling saya sayangi iaitu Haji Zahiddin. Malah babah lebih manjakan saya berbanding dua adik lelaki saya tu. Sebab tu saya digelar anak bapak. Alahai… macam cerita P.Ramlee pulak dah. Hehehe…

Qisya bermonolog. Wajahnya dibelek lagi. Rasanya ini sudah kali yang ke-99 dia membelek-belek wajahnya di hadapan cermin. Dah cantik sangatlah kononnya tu. Kalaulah cermin di hadapannya itu boleh berkata-kata, tentu cermin tu akan kata “Tolonglah Cik Qisya Nur Alifa… aku dah tak larat asik duk mengadap muka kau berhari-hari. Kasi la aku masa untuk berehat.” Huhuhu!

Qisya melebarkan senyumannya. Rasa bangga pula dia melihat penampilan dirinya ketika ini. Tampak anggun dan manis. Ala-ala wanita muslimah melayu terakhir gitu. Cewah! Anak dara kesayangan Haji Zahiddin dah mula perasan sendiri. Hidungnya sudah kembang kempis menahan rasa perasan yang melanda sanubari kewanitaannya. Apatah lagi bila terkenang pujian Tok Ling dan Nek Tee tentang penampilan terbaharunya itu sewaktu dia balik ke kampung halaman terchenta.

Kata Tok Ling, “CUCU TOK LING NI BERTAMBAH CANTIK BILA DAH BERTUDUNG. INI BARULAH YANG DIKATAKAN SEBAGAI GADIS MELAYU SEJATI.” Hehehe… lebar senyuman Qisya sewaktu Tok Ling memujinya. Pujian yang ikhlas tu. Mana tahu ikhlas? Ala… tahulah! Tok Ling tu mana pernah bohong bila bab puji-puji ni.

Kata Nek Tee pulak, “LAWA CUCU PEREMPUAN NEK TEE NI. MANIS AJE BERTUDUNG. SEJUK MATA DAN HATI SESIAPA YANG MEMANDANG. BANGGA NEK TEE TENGOK CUCU NEK TEE YANG CANTIK NI. SIKIT HARI LAGI MESTI KENA PINANG DENGAN PUTERA RAJA.” Aduh… semakin kembang lubang hidung Qisya dibuatnya. Mengalahkan hidung seladang betina sahaja. Pantang betul dia bila ada yang memuji dia cantik. Mulalah dia tersenyum bagai tak ingat dunia. Qisya! Qisya! Memang spesis tak boleh dipuji langsung.

Qisya tersenyum lagi. Lesung pipit di pipi kiri dan kanannya menyerlah dengan dalam. Kata Afiq, lesung pipit Qisya sama dengan lesung pipit milik Preity Zinta. Cantik dan menarik! Hmmm… iyalah tu. Macamlah Qisya tak tahu yang si Afiq tu saja nak mengurat. Pasal tu cakap begitu. Main puji-puji! Main ayat-ayat cinta! Siap nak samakan Qisya dengan Preity Zinta lagi. Lawa tu!

Alahai Afiq Bin Alif… kalau iye pun awak nak mengurat, cubalah guna taktik yang canggih sikit. Ini tidak… guna pun taktik zaman purba. Zaman babah Qisya nak mengurat umi Qisya. Hisy… tak menusuk kalbu sungguh! Buat Qisya tak ada hati nak melayan ayat-ayat cinta si Afiq tu.

Alamatnya, Afiq kena terima hakikat bahawa dia dan Qisya hanya boleh menjadi sekadar kawan biasa sahaja. Tidak lebih daripada itu. Jika Afiq masih berdegil dan meneruskan niatnya untuk menjadikan Qisya teman wanita istimewanya, Qisya tak akan layan Afiq lagi. Cukuplah hubungan persahabatan mereka setakat disitu sahaja. Itulah ugutan Qisya sebaik sahaja Afiq selesai meluahkan ayat-ayat cintanya pada Qisya buat kali yang kedua. Kali yang pertama gagal segagal gagalnya!

Tapi itu cerita dua tahun lalu. Waktu mereka sama-sama menuntut di UiTM, Shah Alam. Tamat saja pengajian, Qisya dan Afiq terputus hubungan. Dia sendiri tak tahu ke mana hilangnya lelaki yang pernah menjadi peminat setianya sewaktu di Kampus itu. Rindu juga rasanya hendak bertemu dengan Afiq poyo, nama glamor Afiq sewaktu di Kampus. Apa Qisya kata tadi? Rindu?! Opss… dia rindu bukan sebab dalam hati ada cinta, ya. Jangan pulak ada yang salah tafsir. Dia rindu sebab dah lama tak menyakat temannya itu. Walaupun kehadiran Afiq sewaktu di Universiti sesuatu yang merimaskan Qisya, sebab Afiq ni suka sangat berjiwang-jiwang. Namun Afiq merupakan satu-satunya kawan lelaki yang cukup tahan dengan perangai Qisya yang gila-gila itu. Hehehe…

Sekali lagi Qisya membelek-belek wajahnya. Manalah tahu kalau ada jerawat batu yang memusnahkan penampilan anggunnya hari itu. Tak jadilah dia nak berlagak depan Nisya dan Casabelle. Seminggu dia bercuti di kampung halaman, rasa rindu pula dia pada dua sahabat baiknya itu. Sepanjang beristirehat di kampung, Nisya dan Casabelle langsung tidak menelefonnya. Dia pun dua kali lima juga. Langsung tak bertanyakan khabar dua sahabat sehati sejiwannya itu. Kata sahabat baik. Tidur sebantal, makan sepinggan! Tapi jejak saja kaki ke kampung halaman, Qisya terus lupa pada Nisya dan Casabelle.

Kerinduan yang membuak-buak pada babah, umi, Qayyum dan Qayyim, menyebabkan Qisya lupa pada kawan-kawan di Kuala Lumpur. Keseronokan menikmati buah-buahan di dusun milik Tok Ling, membuatkan ingatan Qisya pada Nisya dan Casabelle terus lenyap entah ke mana. Huhuhu… kejam juga Qisya ni. Kalaulah Nisya dan Casabelle tahu… sah merajuk selama dua tahun dua sahabat itu.
Hmmm… boleh tahan cantik jugak aku ni, ya! Tambah-tambah bila dah bertudung macam ni. Bertambah cantik aku dibuatnya. Kalah Yuna! Hehehe… Qisya sudah masuk bakul angkat sendiri. Tudung bawal hitam yang tersarung dikepala diperkemaskan. Balik ke KL setelah seminggu bercuti di kampung kenalah nampak cantik. Mana boleh nampak sememeh depan Nisya dan Casabelle. Kenalah berlagak sikit depan dua minah kerek tu. Hehehe…

Kalau aku tahu macam ini punya cun aku bertudung, umur 7 tahun lagi aku dah jadi muslimah solehah. Tak payah nak tadah telinga dengar bebelan umi yang asyik menyuruh aku bertudung.

“INGAT CANTIK SANGATKAH BILA TAYANG RAMBUT MACAM TU? KAN ELOK KALAU KAK LONG BERTUDUNG. MANIS AJE. INI TIDAK… DAH MACAM PONTIANAK HARUM SUNDAL MALAM AJE UMI TENGOK. MENAKUTKAN SUNGGUH!”

Itulah bait-bait bebelan Hajah Azyan bila anak gadisnya masih belum bersedia untuk bertudung dulu. Mahu cair juga tahi telinga Qisya sebaik sahaja mendengar bebelan umi yang tak henti-henti itu. Macam burung kakak tua. Hehehe…

Qisya dan adik-adiknya memang tak pernah nak tahan mendengar bebelan Hajah Azyan yang tak ada warna merah tanda nak berhenti itu. Mulalah masing-masing sibuk nak buat sesuatu. Sedangkan tak ada apa pun yang nak disibukkan. Saja nak larikan diri. Mana tidaknya, jika umi dah start membebel pukul 6.00 pagi, pukul 10.00 malam baru bebelan umi akan berhenti. Itupun sebab umi dah masuk tidur. Kihkihkih… Namun sejak Qisya bekerja dan tinggal menyewa di KL, dia sudah jarang mendengar bebelan umi. Paling-paling yang membebel macam mak nenek pun cuma si Nisya anak pakcik Darsani.
Entah macam manalah babah boleh bertahan mendengar bebelan umi yang tak berkesudahan itu? Mungkin disebabkan rasa cinta babah pada umi, menyebabkan babah sanggup mendengar bebelan isterinya itu. Opsss… bukan mungkin la! Memang betul pun babah sayangkan umi. Jika tidak, masakan babah masih bertahan dengan umi walaupun mulut umi tak pernah berhenti mengomel dan bentuk badan umi dah tak seramping dulu. Hehehe… Qisya memang cukup kagum melihat cinta babah dan uminya. Persis cinta Adam dan Hawa. Cayalah!

STREETTT…………..
Qisya tersentak. Sepenuh hati dia menekan brek kereta sampai berdecit bunyinya. Hampir melayang semangatnya. Kursss… semangat! Nasib baik roh Qisya tak cabut lari meninggalkan tuannya sendirian. Jika tidak, alamat tinggal arwahlah dia jadinya. Terkejut kambing gurun betul dia bila dengan tiba-tiba sahaja sebuah kereta BMW 6 series warna hitam berkilat meluncur dengan laju masuk ke simpang jalan. Nyaris melanggar keretanya yang baru hendak keluar daripada simpang. Mujur dia sempat menekan brek.

Pantas Qisya meluru keluar. Debaran di dadanya berdegup kencang. Macam orang baru menamatkan larian pecut 100 meter sahaja. Wajahnya juga kelihatan pucat. Jika ditoreh dengan pisau, tentu tiada setitis darah merah yang mengalir keluar. Macam cerita Mahsuri la pulak.

Bahagian depan kereta Perodua Vivanya dibelek-belek. Manalah tahu kalau-kalau ada kecederaan parah yang dialami oleh Viva La Diva kesayangannya itu. Senang juga dia nak mintak gantirugi. Dia baru saja pakai Viva tu dalam tempoh tiga bulan. Tup-tup ada pulak makhluk ALLAH yang berhati mulia hampir melanggar keretanya. Mujur tak ada kemalangan serius yang berlaku. Qisya memanjatkan rasa syukur. Viva La Diva kesayangannya tidak mengalami sebarang kesan calar atau kemek. Alhamdulillah…

“Hoi… Awak ni tak tahu memandu ke, hah?!” sergah seseorang.
Sepantas kilat Qisya memusingkan badannya. Terkejut blue hypoo betina dia bila mendengar ‘kelembutan’ bahasa yang digunakan oleh seorang hamba ALLAH. Sehingga melopong mulutnya. Nasib baik lalat tak masuk ke dalam. Tanpa bagi salam terlebih dahulu, lelaki itu terus sahaja menyergah dia dengan panggilan ‘hoi’. Tak beradat sungguh! Dressing punyalah smart, tapi bahasa hancor!!
Bukankah budi bahasa, budaya kita? Mana perginya budi bahasa mamat ni? Buat sayang duit Kerajaan saja buat iklan ‘budi bahasa, budaya kita’. Susah payah Datuk Siti Nurhaliza melagukan iklan itu, tapi mamat sewel ni langsung tak tahu nak gunakan kempen Kerajaan dengan sebaiknya. Cubalah bagi salam dulu. Kan elok…

“Hoi… cik! Awak dengar ke tak? Yang awak pergi tenung muka saya tu, kenapa? Saya cakap dengan awak ni! Bukannya nak suruh awak tenung muka saya begitu. Awak tak tahu memandu ke?” sekali lagi lelaki berwajah kacukan Melayu-Inggeris-Korea itu bersuara. Wajahnya masam mencuka. Tak ubah macam tomyam basi. Ingat hensem sangatlah buat muka macam tu. Aku sekeh kang kepala tu!
Amboi… sedapnya bahasa dia! Berhoi-hoi! Ini sudah tahap terlampau kurang ajar. Dia yang hampir nak melanggar kereta aku, dia pulak yang terlebih marah tak tentu pasal. Tiga suku agaknya mamat ni. Entah-entah kat otak dia tu ada banyak wayar yang dah tercabut. Sebab tu tak betul! Rungut hati Qisya.

“Excuse me? Apa awak cakap? Saya tak tahu memandu? Hello encik… jangan nak tuduh sembarangan tau! Saya yang tak tahu memandu atau awak yang tak pandu dengan cermat? Kalau dah rasa diri tu bersalah, jangan nak tunding jari pada orang lain pulak. Mentang-mentang awak pakai kereta besar, jangan ingat awak tu hebat sangat.” Giliran Qisya pula menyerang. Kalau kau keturunan harimau, hah… aku ni pulak keturunan singa jadian! Marilah bertarung mulut siapa paling laser. Setakat ni, aku belum pernah kalah kalau bab-bab mulut laser ni. Dengan lelaki berlagak tahap maksimum seperti mamat ni, tak payah nak tunjuk alim. Tak guna nak lembut-lembut. Buang masa saja. Dah dia mulakan dengan kasar, aku pun ikut aje la rentaknya tu. Baru kena buku dengan ruas.

Qisya mencebik. Meluat tahap loya dia melihat muka lelaki yang sedang berdiri sambil berpeluk tubuh di hadapannya itu. Nampak saja hensem, tapi bila tiba bab tata susila, hancur! Gagal! Markah 0.00 peratus! Pangkat F! Aku memang pantang Tok Janggut bila terjumpa dengan makhluk ALLAH yang berlagak seperti dia ni. Rasa tergugat kesabaranku. Hilang sifat-sifat muslimah sejati yang tertanam dalam jiwaku selama ini. Rasa macam nak bagi makan penampar free of charge aje. Orang-orang kaya memang seperti ini, tak? Berlagak dan sombong tahap dewa. Ingat mereka tu dah hebat sangat agaknya?! Sebab tu tak peduli hati dan perasaan orang lain. Tapi mereka lupa, mereka juga hamba yang dicipta oleh ALLAH. Tak ada beza dengan orang-orang biasa seperti kami ni. Qisya bersoal jawab dengan dirinya sendiri.

“Hei… cik! Awak ni tak tahu undang-undang ke? Sepatutnya bila awak berada di simpang jalan nak keluar, awak kena berhentikan kereta awak tu dan pandang kiri kanan sebelum nak keluar. Bukan main rempuh macam lembu melintas jalan. Lesen apa yang awak pakai? Sampaikan undang-undang jalan raya yang simple macam tu pun awak boleh tak tahu. Awak guna lesen terbang, ya?” spontan lelaki itu mengenakan Qisya.

Bulat mata Qisya mendengar kata-kata lelaki itu. celupar betul! Rasa macam nak tampar saja mulut dia tu. Salah aku sorang saja yang dia nampak. Sedangkan dia pun bersalah jugak. Adakah undang-undang jalan raya yang menyebut kita perlu lajukan kenderaan bila masuk ke simpang? Tak ada, kan? Jadi maknanya dia pun salah jugak! Bukan aku sorang je.

“Hei… encik! Cakap tu baik-baik sikit, ya?! Saya yang guna lesen terbang atau awak yang memandu tanpa lesen. Dah tahu nak masuk simpang, perlahankanlah sikit kelajuan kereta awak tu. Tak payah nak laju-laju. Ini tidak! Laju mengalahkan Michael Schumacher. Ingat jalan raya ni dikhaskan untuk awak seorang saja ke?” balas Qisya. Intonasi suaranya sudah menggunakan key tinggi ala-ala Ziana Zain mendendangkan lagu popularnya, Madah Berhelah.

Sakit benar hatinya bila dengan selamba lelaki sewel itu menuduh dia menggunakan lesen terbang. Begitu bersusah payah dia mendapatkan lesen dengan jayanya, ada pulak manusia tak siuman yang mengatakan lesennya itu adalah lesen terbang. Bukan senang dia nak berdepan dengan Pegawai JPJ yang bermisai tebal sewaktu menghadiri ujian memandu dulu. Terketar-ketar juga segala tulang belulangnya. Mujurlah dia terror dan lulus dengan muka yang cukup bangga. Walaupun dalam hati bukan main takut lagi dia bila berdepan dengan tok misai yang garang tu. Kini, ada pula spesis lelaki yang menyakitkan hati menuduh dia guna lesen terbang.

“Kalau awak dah kepingin sangat nak pandu kereta macam pelesit kota, saya cadangkan awak pergi litar lumba. Kat sana tak ada sesiapa nak larang awak pandu laju. Biarpun awak pandu macam nak bunuh diri aje. Ingat sikit encik, sini jalan raya! J.A.L.A.N R.A.Y.A, jalan raya! Bukannya litar lumba untuk awak pandu kereta pada had laju melebihi 210 kilometer sejam. Kalau iye pun dah kemaruk sangat, bukan kat sini tempatnya. Sini jalan raya yang digunakan oleh orang ramai. Bukan untuk awak seorang. Ada faham?!” dengan lancar dan berani Qisya menyambung kembali kata-katanya. Siap dengan mengeja perkataan JALAN RAYA lagi agar lelaki itu faham dengan lebih jelas. Kalau tak faham juga, tak tahulah. Pinggangnya juga sudah dicekak ala-ala ibu tiri bawang putih. Nak tunjuk garang la kononnya tu.

Lelaki berbaju T-Shirt putih jenama Polo dan berseluar jeans hitam itu mendengus. Geram dengan kelancangan mulut gadis di hadapannya itu. Tak padan kecik! Tapi mulut pedas macam cili padi.
Belum pun sempat lelaki itu hendak membalas kembali kelancangan ayat super power gadis berkemeja T merah menyala itu, telefon bimbitnya mula mengeluarkan alunan suara Jason Mraz mendendangkan lagu I’m Yours. Segera skrin telefon bimbitnya dipandang. Pantas jarinya menekan butang hijau.

“Yes, Bad… kejap lagi aku sampai. Ada emergency sikit. Kereta aku nyaris terlanggar dengan kereta perempuan gila. Tak pe, aku masih boleh handle perempuan gila ni. Nanti aku cerita. Jumpa kau kat sana.” Sindir lelaki itu. Kemudian handphonenya dimasukkan semula ke dalam poket seluar jeans yang dipakai.

Bulat mata Qisya mendengar kutukan lelaki itu. Giginya diketap. Geram sungguh. Tak guna! Suka-suka hati saja dia panggil aku perempuan gila. Yang dia tu sewel, tak sedar pulak. Dia ni betul-betul cabar tahap kesabaran aku.

“Kalau layan perempuan gila macam awak ni, lama-lama saya pulak yang jadi tak betul. Menyakitkan hati!” kutuk lelaki itu dengan sombong dan lagaknya. Dia terus menuju ke keretanya. Sebelum masuk ke dalam perut kereta, dia sempat mengutip plat nombor keretanya yang terpatah dua akibat pelanggaran tersebut. Hairan juga kerana kereta gadis itu langsung tidak mengalami sebarang kesan calar. Manakala plat kereta BMW 6 seriesnya pulak yang terpatah dua. Jika dibandingkan, keretanya dengan kereta gadis itu, kereta dia lagi mahal. Tapi kenapa hanya keretanya yang mengalami sedikit kecederaan? Takkan BMW cetak rompak pulak?

Ketika keretanya melintasi Qisya, lelaki itu sempat membuang pandangan tajam ke arah Qisya yang masih berdiri di tepi jalan. Qisya pantas membalas pandangan tajam lelaki itu dengan menjelirkan lidahnya. Lelaki itu mendengus. Lantas dia menekan minyak kereta dengan kuat dan laju meninggalkan tempat tersebut dengan muka yang cukup mencuka. Hatinya tidak henti-henti mengutuk perempuan yang membuat moodnya tiba-tiba membara kepanasan.

“Pandulah laju-laju! Kali ni biar bertembung dengan pokok getah. Baru padan dengan muka tu!” teriak Qisya. Walaupun dia sedar bahawa jeritannya itu tidak akan didengari oleh lelaki sombong itu. Pantas, dia menghampiri keretanya.

“Eiii… kalau ikutkan rasa hati, nak aje aku debik-debik kepala mamat sewel tu. Biar dia tahu berbahasa sikit. Menyaktikan hati betul! Pagi-pagi lagi dah rosakkan mood ceria aku. Malang betul!” luah Qisya masih tidak berpuas hati. Sempat juga dia menyepak seketul batu di tepi jalan. Bayangkan saja batu itu adalah lelaki sombong tadi. Perangai buruk seperti bapak jin. Bapak jin?! Hmmm… sedap jugak nama tu. Sesuai sangat diberikan pada lelaki sewel tadi. Bapak Jin!!!




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

8 ulasan untuk “Novel : Cinta Masam Manis 1”
  1. Fiqah says:

    jln cite dia bgus cuma dialog tu kurang sgt la..
    apepom teruskan usaha.. chaiyok.. haha..

  2. VivaSakura says:

    best.. menarik..
    mesti laki tu hensem kan..kacukan melayu inggeris korea plak tu..
    wah suka la..
    tajuk pom dah menarik..

  3. Mimie says:

    hehe..memang best..dah baca smpi abis crita nie..lawak..xrugi baca..

  4. teady says:

    ~~ hurm,
    macam penah baca je permulaan dya…
    apa pown boleh buat lebih baik lagi… :)

  5. nono70 says:

    saya baru start baca …sedikit boring krn terlalu byk bermonolog

  6. Azma says:

    Baru mula bace jgk,jalan cerita nmpak bagus…best jgk,truskan membaca lg..

  7. comel says:

    baru mula baca…..mcm menarik aje….

  8. diya says:

    cm mnarik jew… de blog x???

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"