Novel : Jodoh itu Milik Kita 11

11 August 2011  
Kategori: Novel

29,288 bacaan 40 ulasan

Oleh : sara aisha

BAB 11

“Fiq!!!”

Aariz cepat-cepat memanggil Syafiq yang dilihatnya sudah pun memalingkan tubuh dan berjalan meninggalkannya. Langkahnya dilajukan untuk mengejar adiknya itu.

Syafiq terus sahaja menapak pergi tanpa menghiraukan Aariz yang tidak henti-henti memanggilnya. Hatinya terasa sebal kerana terserempak dengan orang yang paling tidak mahu ditemuinya.

“Syafiq, stop!!” Aariz sedikit menjerit seraya menarik bahu Syafiq, memaksa lelaki itu berhadapan dengannya.

“Apa abang nak?” Dingin suara Syafiq. Matanya merenung Aariz tajam.

Aariz tidak terus menjawab. Sebaliknya dia membalas renungan tajam adiknya itu. Dia cuba mencari sebarang perasaan yang mungkin terpampang pada wajah itu. Perasaan yang berupa kekesalan atau rasa bersalah, mungkin. Tetapi yang jelas pada wajah itu hanyalah kekosongan, tiada langsung bayang-bayang kekesalan, jauh sekali rasa bersalah!

“Kenapa Fiq buat macam tu?”

Syafiq tersenyum sinis. Dia tahu apa yang dimaksudkan oleh abangnya itu.

“Buat apa?” Sengaja Syafiq menjawab begitu.

Membuntang mata Aariz. Perasaan geram segera menjengah masuk dalam dirinya. Sedarkah Syafiq apa yang telah dikatakannya itu? Ingatkah Syafiq apa yang telah dilakukannya pada umi, abah dan….Dahlia?

“Don’t pretend like you don’t know what I’m saying, Fiq.”

“Well, I don’t. What have I done?”

Berombak dada Aariz. Perasaan geramnya tadi kini berubah menjadi amarah. Wajah selamba Syafiq benar-benar mencabar hatinya.

“Fiq tinggalkan Dahlia on your own wedding day, malukan keluarga kita, jatuhkan maruah keluarga kita. And now you’re asking me…what have you done?” Keras jawapan Aariz.

“Perkahwinan Fiq, suka hati Fiqlah nak buat apa pun. Apa abang peduli?” Bersahaja pula jawapan yang terpacul keluar dari mulut Syafiq. Wajahnya tetap tenang, langsung tidak menunjukkan sebarang perasaan.

Aariz terkejut. Jawapan yang diberikan adiknya itu langsung tidak pernah terjangkau dek akal fikirannya. Selama ini dia berusaha memikirkan perkara yang baik-baik sahaja tentang tindakan adiknya itu. Walaupun Aariz akui dia sering sahaja gagal dalam memikirkan sebab munasabah yang membuatkan Syafiq mengambil tindakan gila itu, namun di suatu sudut hatinya dia tetap berharap agar Syafiq bukan sengaja berbuat demikian. Dia benar-benar berharap agar Syafiq punya sebab yang boleh diterima akal, yang boleh dimaafkan.

Perkahwinan sendiri.

Suka hati nak buat apa.

Alasan gila apakah itu???

“Fiq sedar tak apa yang Fiq cakapkan ni?” Suara Aariz bergetar dengan rasa hati yang sudah mula mendidih.

Syafiq sengaja mendiamkan diri. Dia sedar Aariz sudah mula marah. Aariz Danial yang terkenal dengan ketenangan dan sifat penyabarnya boleh marah-marah begitu? Huh, puas hatinya!

“Mulut Fiq yang cakap. Takkan Fiq tak sedar kot,” jawab Syafiq diselangi dengan sindiran yang tajam. Sengaja dia menjawab begitu kerana dia mahu terus-terusan membuat Aariz marah.

“Kenapa Fiq ni melampau sangat? Fiq tahu kan umi sakit? Tapi Fiq boleh pula buat macam tu pada umi, pada keluarga kita!” tempelak Aariz pada adiknya itu. Wajahnya tegang. Tangannya pula dikepal. Kemas sekali! Aariz cuba menahan amarah yang semakin lama semakin menggebu dalam dirinya.

“Keluarga kita? Keluarga sape? Umi, abah tu keluarga Fiq. Bukan keluarga abang!” balas Syafiq kasar.

Tersentap perasaan Aariz tatkala Syafiq mula mengungkit tentang itu. Matanya merah mengggambarkan betapa marahnya dia pada adiknya yang seorang itu. Syafiq memang seperti itu. Dari dahulu lagi, Syafiq memang tidak pernah mahu menerima kehadiran Aariz dalam keluarga Tuan Haikal.

“Kalau Fiq betul-betul anggap keluarga Fiq tu, keluarga Fiq…lagilah Fiq tak patut buat macam tu! Hancurkan hati umi, hati abah, hati Dahlia!” Lantang nada suara Aariz menuturkan kata-kata.

Syafiq mengetap bibir sambil matanya tidak lepas daripada merenung Aariz tajam.

“Abang jangan sibuk, boleh tak? Apa pun yang Fiq nak buat, tak ada kena mengena dengan abang.” Keras jawapan Syafiq.

“Mana boleh abang biarkan? Apa yang Fiq dah buat tu betul-betul melampau!”

Kali ini Syafiq tidak menjawab. Hanya dadanya yang berombak, menandakan emosinya yang benar-benar hangat. Marah! Benci! Semuanya bercampur gaur dalam hatinya. Apa hak Aariz untuk menentukan apa yang dia boleh dan tidak boleh lakukan?

Aariz menarik nafas panjang, berusaha menenangkan hatinya yang semakin panas. Jika tidak difikirkan mereka kini berada di khalayak ramai, mahu sahaja dia melayangkan penumbuknya pada Syafiq atas kata-kata dan reaksinya yang langsung tidak merasa bersalah atas apa yang telah berlaku.

“Kenapa Fiq sanggup buat macam tu pada umi? Pada Dahlia?” Kali ini suara Aariz mula kendur. Tidak lagi kasar dan membentak seperti tadi.

“Kenapa pula Fiq perlu bagitahu abang?” Lagi jawapan keras yang dihadiahkan buat Aariz.

Aariz terdiam sejenak. Ya, betul kata Syafiq. Tidak ada sebab untuk dia memberitahunya tentang rahsia di sebalik tindakan gilanya itu. Tidak ada sebab juga untuk Syafiq memberikan penjelasan padanya. Mereka bukannya rapat untuk membolehkan Syafiq berkongsi rasa dengannya.

“Macam nilah, bang. Abang anggap aje apa yang Fiq buat tu just for my own pleasure.” Syafiq menyambung kata-katanya lagi dengan lagak bersahaja.

Aariz sedikit tercengang. Agak terkejut dengan kata-kata selamba dan tidak berperasaan yang baru sahaja diucapkan Syafiq. Just for my own pleasure? Gila! Syafiq memang sudah betul-betul gila! Hanya orang gila sahaja yang sanggup meninggalkan ibu yang menderita sakit, meninggalkan tunangan pada hari perkahwinan sendiri dan menghancurkan hati semua orang hanya semata-mata untuk suka-suka.

“Oh, for my own pleasure? So I guess Fiq saje-saje tinggalkan majlis perkahwinan Fiq sendiri, sebab nak pergi bercuti kat Wellington, macam tu?” balas Aariz akhirnya bersama rasa geram yang terbit dalam setiap patah katanya.

Syafiq terpana buat seketika. Hatinya dipagut rasa hairan. Bagaimana abangnya itu tahu bahawa dia berada di Wellington? Apakah selama ini Aariz memang menjejakinya?

Teringat Syafiq pada lokasi mereka sekarang. KLIA! Tidak mungkin Aariz sengaja menunggu kepulangannya di sini. Tapi, kalau bukan….apa yang Aariz buat di lapangan terbang?

“Ma…macam..mana abang tahu selama ni Fiq kat Wellington?”

“Macam mana abang tahu, itu tak penting. Apa yang penting sekarang…Fiq kena balik jumpa umi. Minta ampun dengan umi, dengan abah. Dan juga Fiq kena minta maaf dengan Dahlia.”

“Kalau Fiq tak nak balik, apa yang abang akan buat? Paksa Fiq? Just like umi paksa Fiq untuk kahwin dengan Dahlia, macam tu? Huh, kalau Dahlia tu cantik sangat tak apalah. Ini tak, muka biasa-biasa je!” bentak Syafiq tiba-tiba.

Lagi menyirap darah panas ke wajah Aariz. Kata-kata Syafiq sebentar tadi benar-benar mencabar kesabarannya. Berani Syafiq menghina isterinya!

“Fiq jangan cuba pandang rendah pada Dahlia.” Terketar-ketar suara Aariz sambil matanya merenung Syafiq dengan tajam. Wajahnya benar-benar menyinga.

Syafiq tersentak sejenak. Langsung tidak menyangka bahawa Aariz akan memberikan reaksi begitu.

“Abang ni daripada tadi tak habis-habis dengan Dahlia, Dahlia, Dahlia! Apa yang jadi antara Fiq dengan Dahlia tak ada kena mengena langsung dengan abang!” balas Syafiq akhirnya, lantang.

“Sape cakap tak ada kena mengena? She’s my…” balas Aariz spontan sebelum dia cepat-cepat mengunci mulut.

Dalam hati Aariz mengutuk dirinya yang hampir-hampir sahaja terlepas cakap tentang hubungannya dengan Dahlia. Bukan dia tidak mahu memberitahu Syafiq tentang perkahwinannya dengan Dahlia, namun fikirnya sekarang bukan masa yang sesuai. Mustahil bagi Aariz mengkhabarkan berita itu dalam keadaan yang tegang begitu. Nanti apa pula reaksi Syafiq?

“Abang kahwin dengan Lia? Tahniah!”

“Terima kasih, bang…sebab selamatkan maruah keluarga kita.”

“Abang jagalah Dahlia baik-baik.”

Ah! Tidak mungkin reaksi sebegitu yang bakal diberikan Syafiq. Hanya orang yang tidak siuman sahaja boleh bergembira begitu jika tunangan berkahwin dengan abang sendiri.

Syafiq memandang Aariz dengan pandangan yang penuh curiga. Hatinya kuat mengatakan bahawa ada sesuatu yang telah terjadi sepeninggalannya ke Wellington. Sesuatu yang pasti ada kaitan dengan Aariz dan juga Dahlia. Jika tidak, masakan Aariz beriya benar bercakap tentang Dahlia.

Kalau hanya isu dia menghancurkan hati umi yang dibangkitkan oleh Aariz, mungkin dia tidak akan berasa pelik begitu. Tetapi daripada awal pertembungan dan pertelingkahan mereka, Aariz seperti tidak habis-habis mengaitkan semuanya dengan Dahlia. Sebentar tadi pula Aariz tiba-tiba sahaja membela Dahlia dengan lagak yang sangat tegas dan penuh amarah.

“Apa yang abang dah buat? Apa kaitan Dahlia dengan abang?” soal Syafiq akhirnya. Tegas.

Aariz mengerutkan dahi. Ternyata pertanyaan Syafiq itu lebih berupa suatu tuduhan berbanding satu soalan yang tidak memberikan apa-apa makna.

“Isunya sekarang bukan apa yang abang dah buat. Tapi, apa yang Fiq dah buat.” Tegas juga balasan yang diberikan Aariz. Langsung dia tidak menjawab soalan Syafiq tadi. Malah, dia tidak punya sekelumit hasrat pun untuk menjawabnya.

Syafiq mendengus geram.

“Daripada tadi abang asyik cakap pasal apa yang Fiq dah buat, abang tak bosan ke? Kalau abang tak bosan, Fiq yang bosan!” jawab Syafiq seraya berpaling. Niat di hati mahu meninggalkan abangnya itu. Dia letih mahu melayan karenah Aariz yang tidak habis-habis mahu mempersoalkan tindakannya dan menyoalnya tidak ubah seperti tahanan di lokap.

Kali ini Aariz tidak menghalang tindakan Syafiq. Dia sudah malas mahu bertekak dengan adiknya itu. Lagipun semakin lama dia di situ bersama Syafiq, semakin membara pula rasa berang dalam hatinya. Aariz akui dia bukanlah jenis yang mudah marah-marah, tetapi saat itu setiap patah kata yang terbit daripada mulut Syafiq pasti membuatkannya merasa mendidih.

“Fiq kena balik rumah jumpa umi. Kalau Fiq tak balik, abang yang akan bawa Fiq balik,” ujar Aariz perlahan, penuh keazaman sambil matanya memerhatikan gerak langkah Syafiq yang kelihatan sedikit angkuh.

Namun sesaat kemudian Aariz seperti teringatkan sesuatu.

“Tapi….macam mana dengan Dahlia nanti?”

***********************************

Aariz berjalan ulang-alik di dalam bilik sambil tangannya diletakkan ke belakang tubuh. Sesekali dia mengeluh. Dahinya berkerut seribu menggambarkan rasa hati yang diselubungi kerisauan.

‘Ya Allah! Apa aku patut buat sekarang?’

Aariz merasakan dirinya tidak ubah seperti ditelan mati emak, diluah mati bapa. Dia benar-benar terhimpit antara kerinduan umi terhadap Syafiq dan kedukaan Dahlia jika Syafiq muncul kembali. Sebelum ini sewaktu dia beriya-iya benar mencari Syafiq, dia betul-betul yakin akan tindakannya mengikut kata umi. Tetapi kini bila Syafiq sudah muncul kembali, keyakinan itu seperti terbang pergi dan hanya meninggalkan rasa ragu-ragu yang tebal dalam dirinya.

Perlahan tangisan dan wajah terluka Dahlia pada hari pernikahan mereka muncul dalam ingatan Aariz. Seakan-akan jelas di telinganya sendu Dahlia, juga kata-kata Dahlia yang merasakan dirinya tidah ubah seperti barang yang boleh diambil dan dibuang begitu sahaja. Terbayang di matanya wajah penuh amarah dan duka Dahlia tatkala berbicara tentang maruahnya yang telah dipijak-pijak oleh Syafiq, bersama air mata yang tidak henti-henti mengalir.

Aariz mengambil tempat duduk di birai katil dan memejamkan mata. Memori malam perkahwinannya itu benar-benar merobek hatinya. Kesedihan dan kedukaan Dahlia seperti membuatkan hatinya luluh.

“Apa aku patut buat sekarang? Umi betul-betul nak jumpa Syafiq. Tapi Lia…macam mana pula dengan dia nanti?” keluh Aariz perlahan seraya membuka matanya kembali.

Sedang Aariz berkeluh-kesah tentang tindakan yang patut diambilnya, tiba-tiba telinganya menangkap suatu lagu yang berkumandang merdu. Aariz mengerutkan dahi. Truly by Lionel Richie?

Cepat-cepat mata Aariz meliar, mencari mana datangnya lagu itu. Seketika kemudian pandangannya tertancap pada Samsung Galaxy miliknya yang elok terletak di atas meja kerja.

“Aik, ringtone aku ke? Sejak bila aku tukar?” soal Aariz perlahan pada dirinya sendiri, seraya mengangkat punggung menghampiri meja kerja itu.

“Oh, ni mesti kerja Dahlia!” Aariz menjawab sendiri. Faham sangat dia dengan minat Dahlia terhadap lagu-lagu oldies.

Teringat dia pada Dahlia yang tidak henti-henti mengejeknya kerana menggunakan ringtone yang membosankan.

“Apalah awak ni guna ‘kring, kring’! Macam zaman monotone dulu je.”

Mengingati Dahlia, bibir Aariz automatik menguntum senyuman. Isterinya yang sentiasa ceria dan innocent itu selalu sahaja menggembirakannya. Namun sayang, senyuman itu sekejap cuma! Wajah Syafiq yang tiba-tiba menyusul di matanya, mematikan terus senyuman yang baru sahaja terukir.

Aariz mengambil telefon bimbitnya dan menjatuhkan pandangan pada skrin telefon. Dahlia! Perasaan Aariz tambah bercelaru tatkala melihat nama isterinya itu.

Perlahan Aariz menarik nafas panjang.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam, Aariz.” Suara Dahlia kedengaran ceria di hujung telinga Aariz.

“Dah sampai sana?”

“Dah, pukul lima lebih tadi. Now tengah rehat kat hotel. Esok pagi nak pergi site visit,” jelas Dahlia panjang lebar.

“Hmmm, okey..” Pendek jawapan Aariz.

Dahlia yang sedang bermalas-malasan di bilik hotel kehairanan. Biasanya Aariz akan menyoal dengan pelbagai soalan setiap kali mereka berborak di telefon. Atau pun mengusiknya dengan pelbagai gurauan yang kadang-kala membuatkan Dahlia geram sendiri.

“Awak….awak okey ke?” Penuh rasa ambil berat Dahlia menyoal.

Aariz sedikit tergamam. Apakah Dahlia dapat merasakan sesuatu? Mungkin ada apa-apa perubahan pada dirinya yang dikesan isterinya itu. Lagipun kata orang, wanita punya gerak hati yang sangat kuat.

“Kenapa awak tanya? Do I sounds…weird?”

“A’ah.” Laju jawapan Dahlia.

“Apa yang peliknya?”

“Awak tak banyak tanya. Awak tak usik saya.”

Tercetus ketawa Aariz. Namun ketawa itu kedengaran hambar di telinga Dahlia. Sekali lagi hati Dahlia diulit rasa aneh. Tengah hari tadi sewaktu menghantarnya ke lapangan terbang, suaminya itu kelihatan ceria seperti selalu. Tetapi kini, jelas di telinganya ketawa Aariz yang dibuat-buat.

“So awak sukalah bila saya usik awak?” sakat Aariz, sebenarnya cuba melindungi perasaan bercelarunya yang mungkin sudah mula dirasai Dahlia.

Dahlia yang mendengar serta-merta menggigit bibirnya. Kenapalah mulutnya ini laju sahaja menjawab begitu tadi? Malu!

“Dahlia….” Panggil Aariz setelah Dahlia tidak menjawab.

“Hmmm…”

“Suka, ya? ” Aariz masih mengusik.

“Tak jawab, boleh?” Dahlia cuba mengelak daripada menjawab. Takkanlah dia mahu mengaku bahawa usikan dan gurauan Aariz sering sahaja membahagiakannya?

“Boleh, sebab awak tak jawab pun saya dah tahu jawapannya. Awak suka, kan?”

“Mana ada!” Dahlia sudah terjerit kecil.

Aariz tersenyum tawar. Telatah Dahlia yang mencuit hati makin membuatkan dirinya keliru dan dipagut rasa resah yang semakin lama semakin mendalam. Dia benar-benar bingung. Buntu!

Patutkah dia menghancurkan keceriaan Dahlia itu dengan berita kepulangan Syafiq? Bagaimana harus dia memberitahu Dahlia tentang Syafiq? Tegarkah dia menyampaikan berita itu buat isterinya? Apa agaknya perasaan Dahlia nanti?

Bertalu-talu soalan seumpama itu bermain di fikirannya, menghadirkan rasa sesak dan resah dalam diri Aariz. Tanpa sedar dia melepaskan keluhan berat.

Ternyata keluhan Aariz menambahkan lagi kerisauan dalam hati Dahlia. Suatu sudut hatinya mengatakan bahawa Aariz kini menghadapi masalah. Tiba-tiba teringat Dahlia pada perlakuan Aariz yang sedikit aneh sejak kebelakangan ini. Perbualan rahsia antara Aariz dan umi juga mula berlegar-legar di fikirannya. Mungkinkan sesuatu telah terjadi kepada umi?

“Aariz, is something wrong?” Pantas Dahlia menyoal, menunjukkan rasa bimbangnya.

Aariz terpana buat seketika. Pertanyaan Dahlia membuatkannya diserbu rasa hairan. Adakah dia seorang yang terlalu mudah dibaca sehinggakan Dahlia boleh menyoalnya begitu sebanyak dua kali? Atau mungkin juga Dahlia memang mempunyai intuisi yang sangat kuat.

“No, nothing.”

“Betul? Macam mana pula dengan umi?” Dahlia menyoal lagi, tanda tidak berpuas hati dengan jawapan Aariz.

“Betul. Umi pun sihat je. Macam yang awak tengok masa awak tinggalkan rumah tadi.” Aariz cuba menjelaskan sebaik mungkin sambil berusaha menyembunyikan rasa gelisahnya.

Dahlia mendiamkan diri sejenak. Dia tahu Aariz tidak cukup berterus terang dengannya. Namun dia juga tahu tidak ada gunanya mendesak lelaki itu untuk memberitahunya apa-apa. Bukan dia tidak kenal perangai Aariz yang agak gemar berahsia. Usia perkahwinan mereka yang menjejak tiga bulan sudah cukup untuk membuatkan Dahlia arif benar tentang perangai suaminya yang satu itu.

“Okay, then. Tapi kalau ada apa-apa, please don’t hesitate to call me,” pesan Dahlia dengan lembut. Dia sedar hanya itu yang mampu dilakukannya saat itu. Berpesan dan berharap agar Aariz tidak akan membelakangkannya jika terjadi sesuatu.

Perlahan rasa terharu menyerbu masuk dalam hati Aariz.

“I will. Insya’ Allah. Tapi kan, Lia…”

“Tapi apa?” Laju Dahlia menyoal.

“Cara awak cakap ni, macamlah awak pergi sana lama sangat. Lima hari je kot,” ujar Aariz, separuh menyakat.

Tercetus ketawa kecil Dahlia.

“Yalah, yalah…saya tahu. Lima hari tu kejap sangat. Tak sempat pun awak teringatkan saya, alih-alih saya dah balik and then tercegat depan mata awak, kan?” balas Dahlia kembali, juga separuh mengusik.

Dahlia sedikit tertawa dengan kata-katanya sendiri. Namun tiada sebarang balasan yang diberikan Aariz. Suaminya itu tiba-tiba sahaja mendiamkan diri tanpa suara. Dari hujung telefon bimbit, Dahlia hanya dapat mendengar desah nafas Aariz. Lembut dan beralun.

1 saat…

2 saat…

3 saat…

Aariz diam.

Dahlia juga diam. Dan tiba-tiba….

“I think I’ve missed you already.”

Nada suara Aariz yang serius membuatkan hati Dahlia agak tersentak. Terkedu tanpa kata.

“Tengok! Belum beberapa jam, saya dah pun rindukan awak. So sape cakap lima hari tu tak cukup untuk buat saya teringatkan awak?” sambung Aariz lagi.

Dahlia tidak menjawab. Nada suara ceria Aariz yang penuh kepura-puraan jelas kedengaran di telinga Dahlia.

“Okeylah, Lia. Awak pergilah rehat. Esok nak kena pergi site visit pula. Saya hang up dulu, ya. Good night! Assalamualaikum…”

Klik! Aariz mematikan talian sebelum sempat Dahlia berkata apa-apa.

“Waalaikumussalam…” Perlahan suara Dahlia sambil terpinga-pinga memandang skrin telefon bimbitnya.

‘Apa dah jadi pada Aariz?’ bisik kata hati Dahlia, penuh kerisauan.

************************

Puan Marina memerhatikan gerak-geri Aariz yang sekejap-kejap memandang langit hitam. Tadi sewaktu ternampak Aariz melangkah ke arah taman di luar rumah, hatinya bagaikan tertarik-tarik untuk mengikut sama. Terkenang Puan Marina pada perangai Aariz yang kelihatan sedikit canggung sejak tiga hari yang lalu. Anaknya itu tidak seperti selalu. Sepatah disoal, sepatah juga yang dijawabnya. Senyumannya juga hambar tanpa seri.

“Aariz buat apa tu?” soal Puan Marina pada anaknya itu yang sedang mendongakkan kepala.

Aariz tersentak. Langsung dia tidak perasan akan kehadiran ibunya itu. Perlahan dia melemparkan senyuman tawar sambil matanya memandang umi yang sudah pun mengambil tempat duduk bertentangan dengannya.

“Tengok langit, umi.”

“Kenapa?” soal Puan Marina, sedikit kehairanan.

“Lia pernah cakap pada Aariz….kat sini tak ada bintang, sebab ada banyak sangat lampu. Lampu yang buat bintang hilang gemerlapannya.” Syahdu nada suara Aariz. Kepalanya didongakkan lagi, memandang langit hitam yang langsung tidak menampakkan seri sebutir bintang.

Puan Marina terdiam. Kata-kata anaknya yang bernada sendu membuatkan dia hilang kudrat untuk bersuara. Gerak hati seorang ibu tegar mengatakan bahawa Aariz dalam kesedihan. Ya, anaknya itu dalam kedukaan! Serta-merta hatinya terasa pedih.

Aariz yang perasan akan reaksi ibunya terus sahaja berpaling dan menghalakan pandangan ke arah Puan Marina. Dia sedikit tersentak tatkala melihat wajah umi yang kelihatan mendung. Mungkin kata-katanya tadi yang menyebabkan umi menjadi begitu. Perlahan rasa bersalah menyerbu masuk ke dalam hati. Sungguh! Dia tidak berniat mahu melukakan hati umi.

“Apalah yang Lia mengarut kan, umi? Macam orang yang tengah bermadah puisi pula. Cakap pasal bintang, gemerlapan semua. Agak-agaknya dulu Lia nak jadi sasterawati kot!” ujar Aariz tanpa henti. Entah apa yang dia cakapkan, dia sendiri sudah tidak pasti. Baginya, yang penting sekarang dia perlu menutup kembali rasa sendu yang dia pamerkan di hadapan umi sebentar tadi.

Puan Marina tersenyum kelat. Bukan dia tidak tahu apa yang cuba dilakukan Aariz. Anaknya yang seorang itu cuba menyembunyikan rasa hati. Aariz selalu begitu, sering merahsiakan perasaan yang tersimpan dalam sanubari. Puan Marina sedar, Aariz bukannya jenis yang akan berkongsi segalanya dengan sesiapa, terutama sekali dengan orang yang disayanginya. Bagi Aariz, tidak akan sekali-kali dia menghancurkan hati orang tersayang dengan masalah atau kedukaan yang menimpanya. Dia lebih rela menghadapi segala masalah itu seorang diri daripada mengakibatkan orang yang penting baginya menitiskan setitik air mata kerana dirinya.

“Yalah, kot. Tak sangka Lia suka bermadah macam tu. Tengok rupa orangnya, tak macam tu,” balas Puan Marina, sekadar melayan kata-kata dan perbuatan Aariz.

Aariz tidak menjawab, hanya bibirnya yang menguntum senyum yang kelihatan amat janggal di mata Puan Marina. Senyuman yang nampak sangat terlalu dipaksa-paksa.

Seketika suasana penuh kejanggalan menghimpit kedua anak-beranak ini. Masing-masing diam tanpa kata, seakan-akan tidak tahu bagaimana harus mereka menyambung perbualan itu lagi.

Setelah beberapa minit berkeadaan begitu, Aariz akhirnyamembuka mulut. Niat di hati mahu menyampaikan apa yang bermain-main di fikirannya sejak beberapa hari lalu.

“Umi….Aariz rasa…erm…Aariz nak balik ke rumah Aariz.” Penuh teragak-agak Aariz bersuara.

Sejak kemunculan Syafiq, memang itu yang menjadi perancangan Aariz. Dia mahu membawa Dahlia keluar dari rumah umi. Jika ditakdirkan Syafiq benar-benar kembali ke rumah itu, bukankah pelik lagi canggung jika mereka masih di situ. Ah, mana mungkin mereka tinggal serumah! Aariz percaya bukan sahaja Dahlia yang akan berasa tidak selesa, malah dia juga akan berasa begitu.

Puan Marina mendengar tanpa reaksi. Ternyata dia tidak terkejut dengan kenyataan yang baru sahaja terluncur keluar dari mulut Aariz. Lagipun memang itu yang dia mahu daripada anaknya itu. Ya, dia mahu Aariz dan Dahlia kembali ke rumah mereka sendiri. Dia mahu mereka kembali kepada keadaan di mana anak menantunya itu boleh berdua-duaan tanpa perlu memikirkan soal orang lain. Juga, dia mahu mereka meninggalkan rumah itu yang punya terlalu banyak kaitan dengan Syafiq.

Bukan Puan Marina tidak perasan wajah Dahlia yang penuh ketidakselesaan tatkala gadis itu terpandang potret yang memaparkan wajah Syafiq. Bukan juga dia tidak nampak betapa susahnya Dahlia mahu menyembunyikan rasa terluka tatkala mereka sesekali tersasul menyebut nama Syafiq.

“Baliklah. Lagipun keadaan umi pun dah makin baik. Korang dah tak perlu stay sini untuk jaga umi,” jawab Puan Marina, penuh kelembutan seorang ibu.

“Aariz minta maaf ya, umi. Tak dapat lama kat sini, untuk jaga umi.”

Walaupun Aariz mahu membawa Dahlia kembali ke rumahnya, tetap juga dia berasa terkilan dan bersalah kerana tidak dapat terus menjaga ibunya. Dia merasakan seperti telah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang anak memandangkan keadaan umi yang sekejap stabil dan sekejap lagi kembali sakit.

“Isy, Aariz ni…tak apalah. Umi pun tak nak kamu lama-lama kat sini,” balas Puan Marina kembali.

Aariz yang mendengar sengaja membeliakkan mata. Niat di hati mahu menyakat ibunya yang seorang ini.

“Hah? Umi tak nak Aariz kat sini? Sampai hati umi!”

Puan Marina tergelak. Dia sedar Aariz hanya bergurau.

“A’ah, memang umi tak nak. Yalah, kita sedar…kita ni sebenarnya mengacau dia nak bermanja-manja dengan isteri. Tak gitu?” Puan Marina membalas gurauan anaknya dengan usikan juga.

Tercetus ketawa Aariz. Kali ini ketawanya ikhlas dari hati, bukan lagi bersalutkan kepura-puraan.

“Isy, tak kacaulah. Bukannya umi ada dalam bilik Aariz pun. Kalau umi nak tahu….dalam bilik tu, bukan setakat bermanja-manja, lebih dari tu pun boleh,” jawab Aariz selamba.

Terlopong mulut Puan Marina.

“Amboi, tak cover nampak! Kalau Lia ada ni, mahunya diketuk-ketuk kepala kamu, Aariz,” tempelak Puan Marina sambil tangannya menampar lembut bahu Aariz.

Aariz ketawa lagi. Puan Marina turut tertawa bahagia.

“So, bila mahu balik rumah Aariz?” soal Puan Marina setelah tawanya mati.

Aariz terdiam sejenak sebelum bersuara dengan perlahan.

“Esok.”

Puan Marina sedikit tersentak. Jawapan Aariz langsung tidak dijangkakan. Sangkanya Aariz akan berpindah keluar dari rumah itu sekembalinya Dahlia dari Tawau.

“Kenapa tak tunggu Lia balik dulu?” Terus Puan Marina menyoal, menyuarakan rasa pelik di hatinya.

Aariz tidak terus menjawab. Hanya bibirnya yang diketap, seakan-akan tidak tahu apa yang patut disuarakan.

Puan Marina merenung anaknya dengan penuh curiga. Perlakuan Aariz kelihatan amat pelik di matanya. Aariz jarang sekali teragak-agak untuk menjawab begitu.

“Apa dah jadi sebenarnya ni, Aariz?” tanya Puan Marina dengan lembut, tidak mahu terlalu mendesak anaknya walaupun hatinya membuak-buak dengan rasa ingin tahu.

Aariz menarik nafas dalam-dalam. Dia tahu tidak ada gunanya dia menyembunyikan hal itu lagi daripada pengetahuan umi. Selama tiga hari ini, dia cukup teragak-agak untuk memberitahu umi tentang kepulangan Syafiq. Semuanya gara-gara perasaannya yang sudah tidak pasti jika tindakannya cuba membawa Syafiq pulang adalah tindakan yang benar-benar terbaik untuk semua. Untuk umi, abah dan juga untuk Dahlia.

“Syafiq….”

Tersentak Puan Marina tatkala mendengarkan nama yang baru sahaja disebut oleh Aariz.

“Huh?”

“Syafiq is back, umi.” Perlahan suara Aariz.

“Bila? Kenapa Aariz tak bagitahu awal-awal? Dia sihat? Bila dia nak balik rumah?” Bertalu-talu soalan yang meluncur laju dari mulut Puan Marina. Wajahnya kelihatan berseri dengan rasa girang yang bertamu dalam hati.

Melihatkan reaksi umi, hati Aariz terasa pedih. Nampaknya umi benar-benar merindui Syafiq, merindui adiknya yang tegar melukakan sekeping hati milik ibunya tanpa langsung rasa bersalah.

“Aariz? Kenapa tak jawab soalan umi ni?” Tanpa sedar, Puan Marina mula mendesak. Tangannya memegang kedua bahu Aariz.

“Syafiq…dia sihat, bu. Dia sampai dari Wellington tiga hari lepas. Aariz terse….”

“Kenapa Aariz tak bagitahu umi tiga hari lepas? Kenapa sekarang baru bagitahu?” sampuk Puan Marina. Ada nada tidak puas hati pada suaranya.

Aariz mendiamkan diri. Hanya matanya yang memandang wajah penuh harapan Puan Marina. Ibunya itu benar-benar berharap dapat menemui Syafiq.

‘Macam mana Aariz nak bagitahu? Syafiq tak nak balik rumah pun, umi. Dia tak nak pun jumpa umi, abah dan….dia langsung tak rasa bersalah atas apa yang dia dah buat,’ getus hati Aariz, penuh rasa hiba.

“Aariz, Aariz dengar tak ni?” desak Puan Marina lagi.

Aariz menarik nafas dalam-dalam dan tersenyum tawar.

“Syafiq…dia..dia pesan Aariz jangan bagitahu dulu. Dia…erm..dia takut nak balik rumah. Dia takut umi dengan abah marahkan dia,” bohong Aariz. Dia terpaksa berbuat begitu demi menjaga hati ibunya. Mana mungkin dia memberitahu perkara sebenar kepada umi dan menghancurkan hatinya.

“Marahkan apa ni?” Tiba-tiba ada suara lain yang menyampuk perbualan mereka.

Aariz dan Puan Marina tersentak. Serta-merta mereka bangun dari duduk dan saling berpandangan. Masing-masing sudah berwajah pucat lesi. Ya, sepanjang usaha mereka untuk mencari Syafiq, Tuan Haikal langsung tidak dimaklumkan tentang itu. Puan Marina berpesan pada Aariz agar merahsiakan segalanya daripada pengetahuan suaminya sehingga masa yang sesuai. Semuanya kerana perasaan berang dalam hati Tuan Haikal yang masih lagi membara terhadap anaknya yang seorang itu. Berang kerana Syafiq sanggup menjatuhkan maruah keluarga. Menconteng arang ke wajah Tuan Haikal!

“Ina, Aariz….apa yang kamu berdua sembunyikan daripada abah selama ni?” tanya Tuan Haikal lagi. Soalannya berbaur rasa curiga yang mendalam.

Aariz membatu. Puan Marina diam tidak berkutik. Hanya kepala masing-masing yang menunduk memandang lantai. Tidak tahu apa yang patut dikatakan.

“Aariz, pandang abah.” Tegas nada suara Tuan Haikal.

Automatik Aariz mendongakkan kepala, memandang wajah ayahnya yang tampak tenang. Namun Aariz tahu ketenangan itu bila-bila masa sahaja akan berubah wajah.

“Erm…apa…apa..yang abah nak tahu?” Aariz cuba bersuara dengan setenang yang mungkin.

“Apa yang kamu dan umi kamu cuba buat di belakang abah?” soal Tuan Haikal, sedikit menuduh.

Bukan Tuan Haikal tidak perasan perubahan tingkah laku isteri dan anak sulungnya sejak kebelakangan ini. Sering kali berbicara secara sembunyi-sembunyi dan juga berbisik, seolah-olah dalam misi rahsia. Kalau tidak difikirkan bahawa mungkin ada isu serius di sebalik gerak-geri mencurigakan itu, mahu sahaja Tuan Haikal mengusik mengatakan mereka tidak ubah seperti dalam filem James Bond.

“Abang, Ina dengan Aariz tak ada buat benda yang salah,” Puan Marina menyampuk dengan nada yang agak takut-takut.

“Abang tak ada cakap yang kamu berdua buat benda salah, kan?” tegas jawapan Tuan Haikal.

Puan Marina terdiam. Ketegasan suaminya menggetarkan hatinya. Bukan dia tidak mengenali suami yang telah dikahwini hampir tiga puluh tahun lamanya itu. Pantang bagi suaminya jika dia berahsia apa-apa daripadanya!

“Abang cuma nak tahu apa yang kamu sembunyikan daripada abang? Apa yang kamu cuba buat di belakang abang?” Sekali lagi Tuan Haikal mengulangi soalannya tadi.

Aariz memandang wajah ibunya yang sudah diselubungi rasa bersalah dan takut-takut. Perlahan dia menarik nafas dalam-dalam.

“Abah, kalau Aariz cakap ni…Aariz harap abah akan bertenang,” ujar Aariz penuh keyakinan.

“Aariz?” Puan Marina memandang dengan penuh tanda tanya. Adakah anaknya itu akan berterus-terang?

Tuan Haikal tidak menjawab. Hanya wajahnya yang mempamerkan rasa ingin tahu.

“Aariz….Aariz cuba cari Syafiq.” Lambat-lambat Aariz bersuara, memberitahu hal sebenar. Namun tidak pula dia mengkhabarkan bahawa dia sebenarnya mencari Syafiq kerana permintaan umi.

Wajah Tuan Haikal terus sahaja berubah. Merah padam dengan api kemarahan.

“Kenapa Aariz cuba cari dia lagi? Dia dah pergi, dah tinggalkan keluarga kita…”

“Tapi, bah….Syafiq tetap adik saya.” Aariz membantah.

Tuan Haikal mendengus kasar. Permainan apa yang cuba dimainkan oleh Aariz dan isterinya? Kenapa mereka tidak mahu memahami bahawa Syafiq tidak perlu dipedulikan lagi? Anaknya yang seorang itu cuma tahu memalukan keluarga, menjatuhkan maruahnya!

“Aariz dah lupa ke apa yang dia buat pada keluarga kita? Dia malukan keluarga kita, keluarga Cikgu Darius!!” Tinggi nada suara Tuan Haikal.

Aariz terdiam. Memang betul apa yang dikatakan oleh ayahnya itu. Malah jika diturutkan rasa hati, dia juga berperasaan begitu. Marah dan benci pada tindakan gila Syafiq, ditambah pula dengan pertemuannya dengan adiknya itu tempoh hari. Pertemuan yang sangat menjengkelkan hatinya. Tetapi setiap kali terpandangkan wajah umi yang begitu mengharapkan Syafiq, perasaan marah dan jengkel itu seakan-akan lenyap begitu sahaja.

“Aariz tahu tak betapa malunya abah waktu dia tiba-tiba hilang macam tu je masa hari perkahwinan dia sendiri? Mana abah nak letak muka abah masa tu?” sambung Tuan Haikal lagi.

“Tapi, bah…itu semua kan dah lepas…” Aariz cuba menjawab.

“Apa yang lepasnya, Aariz? Setiap kali abah terfikirkan adik kamu tu, apa yang abah rasa cuma rasa malu, sakit hati, marah, kecewa….” Ujar Tuan Haikal lagi, penuh emosi. Dadanya berombak dengan rasa marah, tetapi matanya seakan-akan berkaca-kaca dengan rasa kecewa.

Puan Marina yang melihat segalanya sudah mula menangis. Hatinya remuk tatkala menyaksikan anak-beranak itu bertikam lidah. Dan semuanya gara-gara dia. Kalau tidak kerana permintaannya agar Aariz mencari Syafiq, suami dan anaknya itu tidak mungkin akan berkelahi begitu. Ah, kenapalah dia terlalu mementingkan diri? Kenapalah dia terlalu merindui Syafiq? Kenapalah dia tidak boleh kekal marah pada anak bongsunya itu?

‘Semuanya akan jadi lebih senang kalau aku terus marahkan Syafiq. Kalau aku terus buang dia daripada keluarga ni. Tapi aku….aku sayangkan dia…’ rintih Puan Marina dalam hati.

“Dan kerana dia jugak, Aariz yang terpaksa berkorban. Aariz terpaksa kahwin dengan Dahlia!” sambung Tuan Haikal lagi. Langsung dia tidak perasan akan keadaan isterinya yang sudah pun menangis di sisi Aariz.

“Tapi Aariz tak pernah menyesal kahwin dengan Dahlia, bah!” Spontan Aariz menjawab, penuh ketegasan.

Tuan Haikal tersentak. Puan Marina turut terlopong. Aariz juga tergamam dengan katanya-katanya sendiri. Langsung tidak menyangka bahawa itu yang akan terluah daripada mulutnya. Atau mungkin juga itu sebenarnya terluah dari sudut hatinya yang paling dalam.

Mendengarkan pengakuan Aariz, riak wajah Tuan Haikal bertukar sedikit lembut. Entah kenapa pengakuan itu seakan melembutkan hatinya.

“Tapi setahu abah, Aariz tak pernah teringin untuk kahwin. Takkan tak terlintas langsung rasa menyesal Aariz sebab terpaksa kahwin dengan Dahlia?” Kali ini lembut kata-kata Tuan Haikal. Tidak lagi nyaring, lantang dan membentak seperti tadi.

“Abah bukannya apa, kalau betul Aariz tak rasa menyesal, abah bersyukur sangat-sangat. Tapi kalau ada, kasihan Dahlia nanti….” Sambung Tuan Haikal lagi.

Aariz mengetap bibir, sedar akan dirinya yang sudah terlepas cakap. Kini bukan lagi soal Syafiq yang akan menjadi isu perbualan mereka, tetapi tentang dirinya dan Dahlia. Dan sesungguhnya dia tidak mahu berbicara tentang itu kerana dia sendiri masih lagi bingung akan perasaannya terhadap isterinya sendiri. Lebih-lebih lagi dengan kemunculan semula Syafiq yang pasti akan membuatkan keadaan menjadi lebih rumit.

“Aariz?” Tuan Haikal menyoal tatkala melihat anaknya tidak memberikan sebarang reaksi.

Puan Marina menjatuhkan pandangannya pada wajah Aariz yang jelas menampakkan rasa tidak selesa. Dia sedar anaknya itu tidak mahu membicarakan soal itu, soal perkahwinannya yang mungkin juga akan menjurus ke arah soal hati dan perasaan. Dalam hati Puan Marina sedar dia harus berbuat sesuatu sebelum suaminya terus-terusan mendesak Aariz.

Perlahan Puan Marina menyeka air mata yang masih bersisa di pipi dan menghampiri suaminya. Penuh kelembutan dia mengambil kedua tangan Tuan Haikal dan mencium tangan itu penuh syahdu. Air matanya menitis lagi.

Tuan Haikal sedikit tergamam, agak terpinga-pinga dengan tindakan isterinya yang tiba-tiba.

“Eh, Ina…kenapa ni?” pantas Tuan Haikal menyoal.

Aariz pula hanya memandang dengan terkebil-kebil. Apa pula yang cuba dilakukan umi?

“Ina minta maaf, bang. Sebenarnya….Ina yang minta Aariz cari Syafiq,” jelas Puan Marina.

Tuan Haikal mengerutkan dahi.

“Ya, Ina tahu…Ina tahu abang masih marahkan dia. Abang tak mahu anggap dia macam anak abang lagi. Tapi bang….Ina…Ina…rindukan Syafiq.” Bergetar suara Puan Marina dalam percubaannya menahan rasa yang semakin menyesakkan emosi.

Tuan Haikal terkesima. Hatinya pedih tatkala melihat isterinya yang sedang merintih hiba.

“Abang tahu tak, Ina…Ina benar-benar harap yang Ina boleh terus marah pada dia. Mungkin lebih senang kalau dia tak ada dalam hidup kita. Tapi, bang…Syafiq tu anak Ina, anak kita…”

Tuan Haikal diam tidak berkutik. Hatinya dihambat rasa bersalah kerana membuatkan isterinya terhimpit begitu. Ya, terhimpit antara rasa hormat pada suami sendiri dan rasa kasih buat anak kandung.

“Walau apa pun yang dia dah buat, walaupun dia dah malukan keluarga kita…Ina…Ina tak boleh nak buang Syafiq. Kalau…kalau Ina buang dia, Ina akan rasa macam…macam dah buang separuh nyawa Ina sendiri….” Tersekat-sekat Puan Marina menyambung kata-katanya bersama linangan air mata yang bercucuran di kedua pipinya.

Aariz yang melihat sedaya upaya cuba menahan sebak di dada. Jantungnya dihimpit rasa hiba. Terlalu pedih dan terlalu menyakitkan. Perlahan dia mengundurkan tubuh ke belakang, mahu meninggalkan ibu dan ayahnya sendirian. Biarlah abah memujuk umi.

Sebelum melangkah pergi, sempat juga Aariz mengerling ke arah kedua ibu bapanya. Abah sudah pun menarik umi ke dalam pelukannya sambil memujuk beberapa kali. Telinga Aariz juga seperti dapat menangkap kata-kata maaf yang terluncur keluar dari mulut Tuan Haikal.

“Shhhh….abang faham..abang faham…maafkan abang…”

**************************

Aariz merebahkan tubuhnya ke atas katil. Dadanya masih lagi sesak dengan apa yang telah terjadi sebentar tadi antara dia, umi dan abah. Masih tergambar di matanya wajah hiba umi, juga wajah sedih abah. Sungguh! Hatinya benar-benar luluh, seperti disiat-siat dengan kejamnya.

Aariz mengeluh perlahan seraya meletakkan tangannya ke atas kepala dan memejamkan mata. Saat itu juga wajah Dahlia muncul. Wajah yang tersenyum manis padanya. Serta-merta Aariz membuka matanya kembali dan berpaling menghadap bingkai gambar yang terletak elok di sebelah katil. Wajah ceria Dahlia ditatapnya.

“Lia, he’s back. Agak-agaknya kalau awak tahu dia dah kembali, awak still akan senyum macam tu ke?” soal Aariz perlahan, seolah-olah gambar itu mampu bersuara kembali.

“Atau….awak pun akan jadi macam umi, macam abah?”




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

40 ulasan untuk “Novel : Jodoh itu Milik Kita 11”
  1. vivee says:

    cepat2 la tulis sambungn seterusnyew..x sabar nie…….

  2. y@tt says:

    lama jgk menanti akhirnye….
    best tp nape aariz x yakin ngan diri die sdiri??

  3. Afiqah says:

    bila nk smbung nie….tk blh sabr dh nie nk tnggu kisah seterusnya….

  4. didi kruz says:

    mana sambungannya nie…dah lama saya tg..hari2 check….jgnlah ariz nie tinggalkan lia….

  5. nad says:

    setiap kali online, mesti cari dulu sambungan novel ni…tp frust…mane dia???lama dah tunggu ni….setia menanti…

  6. tiha says:

    betul2…saye pon tggu cite nie…bg saye best la…

  7. nafzans says:

    x sbar nk tngu smbngan citer ni…

  8. mika says:

    kenapa x sambung2 lagi citer ni…lama dah tunggu

  9. rosmpkmn says:

    kesian aariz

  10. PEMINAT NOVEL DAN CERPEN says:

    best sangat sangat citer..sweet sangat sangat..saya harap writer writer boleh buat novel yang lagi best…peace or smile.. :D

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"