Novel : Kerana Terpaksa…Aku Relakan 1

1 August 2011  
Kategori: Novel

97,121 bacaan 25 ulasan

Oleh : Umie Nadzimah

BAB 1

INDAH Halina panik ! Dia tidak sangka Zawati sanggup meninggalkannya begitu sahaja . Sampai hati Zawati. Dia yang beriya-iya untuk menjemput Indah dari Shah Alam untuk pulang ke kampung , tetapi begini pula kesudahannya. Zawati yangbersungguh-sungguh berjanji pada ayah untuk menguruskan kepulangan Indah Halina dengan selamat untuk majlis malam nanti.

Macam mana ni ? Apa yang harus Indah buat sekarang ? Air mata tidak berhenti-henti bergenang di tubir mata. Indah tidak tahu apa yang harus dilakukan sekarang. Akalnya buntu. Beberapa jam sudah berlalu, Indah masih tidak nampak jalan keluar untuk dia dapat pulang ke rumah ayah di Sungai Petani tepat pada waktunya.

Sepatutnya pada waktu ini Indah telah sampai ke rumah. Dan telah mula bersiap sedia dengan persiapan terakhir untuk majlis yang akan berlansung sebaik sahaja selepas solat maghrib nanti. Tetapi bagaimana majlis itu akan berlansung tanpa kehadiran pengantin perempuannya ? Kesian ayah!

Entah bagaimana perasaan ayah bila Indah belum sampai-sampai lagi. Mungkin ayah ingat Indah sengaja melarikan diri dari majlis itu, dengan tujuan tidak mahu dikahwinkan dengan Saiful Azam. Maklumlah, Saiful Azam pilihan ayah dan keluarga, bukan pilihan Indah sendiri.

Tidak ayah! Walau hati Indah berat menerima Abang Saiful, tetapi demi ayah, Indah sanggup melakukan apa sahaja. Indah tidak akan membantah. Hanya ayah sahaja yang Indah ada dalam dunia ini. Indah akan gembira dan bahagia jika ayah merasakan demikian. Demi ayah…. Indah akan mengorbankan segala-galanya. Perasaan Indah, hati Indah tidak penting. Yang penting kegembiraan ayah!

Indah terisak-isak di satu sudut di surau perempuan di kawasan rehat tersebut. Dia sudah hilang usaha dan berputus asa untuk sampai secepat yang mungkin ke pangkuan ayah, dan menceritakan segala apa yang berlaku….

**********

EMPAT jam sebelum itu, kereta yang dinaiki Indah , bersama kakak tirinya Zawati dan dipandu oleh Yazid, kawan Zawati berhenti di Kawasan Rehat Perhentian Tapah, di lebuhraya menuju ke utara tanah air.

Memandangkan Zawati dan Yazid masing-masingnya mengunci mulut dan bermuka tegang, Indah mengambil keputusan untuk membuat halnya sendiri. Dari Shah Alam lagi, sepatahpun mereka tidak bercakap dengan Indah. Umpama Indah tidak wujud di dalam kereta tersebut.

Dua hari lepas, Zawati yang memaksanya untuk pulang sekali. Dia yang merayu-rayu Indah , apabila didapati Indah seperti keberatan. Memang Indah keberatanpun untuk menumpang pulang bersama Zawati dan kawannya. Jika tidak kerana panggilan telefon ayah semalam ,memintanya balik bersama Zawati, sudah tentu dia sudah berada di dalam perut bas ekspress sekarang ini. Indah telahpun membeli tiket bas tersebut seminggu yang lalu.

“Indah, kau nak keluar ke tidak ? Yazid nak hentikan enjin kereta ni, nak bagi sejuk sikit. Kalau kau tak nak keluar, duduklah dalam kereta panas . Bukannya tuan puteri nak di beri aircond 24 jam. Lagipun kau sikitpun tak sumbangkan duit minyak kan? ”

Lamunan Indah dikejutkan dengan suara nyaring Zawati. Diiringi dengan mata bulat dan wajah masam. Gerun melihatnya..

“Err…Indah nak ke surau Kak Za. Nak sembahyang”.

“Habis tu , kenapa tak keluar lagi ? Cepatlah sikit! Terhegeh-hegeh” Zawati menjerit.

Kelam kabut Indah mencapai beg kecil yang berisi kain telekung disebelanhya dan segera keluar dari kereta .

Usai sembahyang jamak qasar Zohor dan Asar, Indah ke gerai minuman

untuk membasahkan tekak yang sudah kering .Tidak berniat sedikitpun untuk membeli makanan kerana sesungguhnya dia tidak ada selera lansung.

Saat dia tercari-cari dompet duit untuk membuat pembayaran, baru tersedar dompet duit dan telefon bimbitnya telah dimasukkak ke satu beg kecil lain dan telah disumbatkan ke dalam beg besar yang berada dalam bonet kereta. Aahh….lengainya dia. Kenapa tidak terfikir pasal benda penting itu semasa mengemas tadi ?

“Maaf kak. Beg duit saya tertinggal dalam kereta”

Nasib baik kakak yang menjaga kaunter bayaran tersebut tidak melenting marah kerana air yang sudah siap tidak berbayar. Tetapi kakak tersebutpun kasihan melihat gadis manis itu tercari-cari beg duitnya di dalam beg yang dibawa. Bukan dia sengaja . Nampak jujur dan baik sahaja.

“Tak apalah dik. Kak belanja…”

“Eh….tak perlu kak, saya pergi ambil dalam kereta”.

” Okey…ambil dulu air tu, nanti kalau ada, adalah. Kalau tak, kira kak belanjalah”.

“Oohh….terimakasih banyak kak, nanti pasti saya datang balik”.

Indah berlari-lari anak menuju ke kereta. Dia juga sudah tidak sedap hati kerana telah mengambil masa yang agak lama. Ditakuti Zawati marah . Perempuan tu tak habis-habis menyinga . Mampus dia! Terpaksa menahan telinga dan perasaan lagi.

Seksa sungguh rasanya dengan perjalanan yang terpaksa ini….

Mata Indah tercari-cari kereta Yazid . Dia amat pasti kereta tersebut di parkir di kawasan itu. Walaupun tergesa-gesa keluar tadi, dia sempat perasan restoran KFC dan Baskin & Robin di hadapan .

Setelah hampir sepuluh minit tercatuk di situ , memerhati setiap inci kawasan parkir dengan kereta yang datang dan pergi, Indah baru tersedar yang sebenarnya dia telah ditinggalkan! Zawati dan kawannya Yazid telah pergi , dan meninggalkannya dengan hanya sepasang kain telekung dan sepersalinan baju yang ada di dalam beg sandangnya. Tanpa sesenpun duit, pengenalan diri , maupun telefon bimbit!

Indah terasa mahu rebah sahaja di tepi jalan. Lemah lutut dan segala sendinya. Di paksa kaki untuk melangkah semula ke surau berdekatan. Di situ dia terduduk meratapi nasib. Tidak dihiraukan lagi kepada beberapa pasang mata yang memerhati. Dia lemah, panik dan ketakutan. Dan di dalam kepalanya hanya terbayang-bayang wajah sugul ayah yang sedang menanti kepulangan anak yang tidak mungkin terjadi dalam masa terdekat ini. Apa yang harus dilakukan dalam keadaan begini ?

**********

INDAH terjaga dari tidur dek kerana bunyi telefon bimbit yang tidak henti-henti berdering. Telefon siapa pula ni? Diturunkan malaikat kepadanya ke ? Kalau itu terjadi, Indah sungguh-sungguh bersyukur kepada Tuhan. Indah memandang ke kiri, ke kanan, ke hadapan dan belakang, tiada sesiapupun di dalam surau tersebut melainkan dirinya seorang. Beberapa minit kemudian baru datang beberapa orang untuk bersembahyang.

Indah memandang jam di tangan. Sudah hampir pukul sebelas malam. Bermakna sudah beberapa jam dia terlelap di surau tersebut. Ya Tuhan , Indah! Di dalam keadaan getir macam ni pun boleh terlelap lagi ? Memang dasar kuat tidur! Habis apa lagi yang boleh dia lakukan ? Indah panik ! Tak ada jalan lansung untuk dia bergerak dari situ. Tidur sahaja jalannya….

Mata Indah tertancap pada telefon bimbit di sebelahnya. Canggih! I-phone, model terkini. Nampak berkilat, baru dan cantik! Terdetik niat jahat untuk menggunakannya . Dia benar-benar terdesak! Dapat menghubungi ayah sekalipun jadilah. Namun, hatinya yang sudah sedia baik melarang niat itu. Walau apapun, dia mesti meminta kebenaran tuannya terlebih dahulu.

Tiba-tiba alat canggih tersebut berbunyi lagi.

“Ssyy…. ganggu orang lain sembahyanglah. Sepatutnya kena offkan”

Seorang wanita menegur Indah, sambil tangannya menunjukkan gambar telefon bimbit yang di pangkah di dinding.

Indah terus mencapai telefon tersebut, memperlahankan nada bunyi lalu terus memasukkan ke dalam kocek baju kurungnya. Dia keluar dari surau untuk mencari tuan punya telefon mahal itu . Harap-harap orangnya masih berada di sekitar kawasan ini.

Di dalam kepala Indah, jika dia tidak menyelamatkan telefon tersebut, mungkin juga akan diambil oleh orang lain, yang sudah tentu berniat tidak jujur. Sekurang-kurangnya dengan Indah, telefon tersebut akan dipulangkan semula kepada tuannya, jika mereka mencarinya nanti.

Sekalipun dalam keadaan amat terdesak, tidak terniat di hati Indah untuk mempunyai niat tidak baik . Dia amat memegang prinsip hidup perbuatan yang baik akan sentiasa dibalas baik oleh Tuhan.

Indah membelek-belek telefon tersebut untuk mencari daftar nama yang mungkin mempunyai kaitan dengan pemiliknya. Namun deringannya yang datang dengan tiba-tiba, membuatkan dia yakin orang itu tengah mengesan telefon yang hilang itu, segera dia menekan butang jawab.

“Hello…”

“Hello….hello, siapa ni ?”

Suara lelaki parau dan garang di pendengaran Indah. Membuatkan Indah tiba-tiba hilang keyakinan untuk berlaku jujur. Dikuatkan hati saat itu juga.

“Hello…siapa ni ? Awak curi telefon tu kan? Baik pulangkan segera sebelum saya buat laporan polis”

Indah tersentap! Pantang dirinya dituduh sebagai pencuri. Sepanjang umur dia hidup, jangankan mencuri, memasang niatpun dia tidak berani. Lantang suara garang ini membuat tuduhan.

“Eh… Encik, saya bukan pencurilah! Saya terjumpa di surau sekejap tadi. Jika ianya hak encik, saya ada di sekitar tempat makan di sini , sila datang ambil sekarang, sebelum niat baik saya untuk memulangkannya ditarik balik disebabkan bahasa encik yang cukup baik itu”.

Lelaki garang di sebelah sana terdiam sebentar. Indah juga tidak menyangka yang mulutnya boleh laju dan petah bercakap tanpa titik. Biasanya tidak begitu. Dia cukup berhati-hati dan bersopan santun jika berkata-kata.

“Okey….okey, awak di mana ? Saya pergi cari sekarang” Walaupun lebih lembut sedikit tetapi masih tegas dan garang suara itu.

“Saya di gerai makan nombor satu dan dimeja yang pertama”.

“Okey, tunggu situ, saya datang sekarang”.

Tidak berapa lama kemudian, Indah terpandang dua orang berjalan mengarah kepadanya. Seorang wanita yang sudah boleh dipanggil makcik, tetapi masih bergaya dan cantik, walaupun di malam-malam buta begini, di pimpin seorang lelaki tegap, sangat segak walaupun cuma berpakaian santai berbaju T dipadankan dengan seluar jean .

Mata hitam lelaki itu tajam meratah wajah Indah. Kemudian, mulutnya seolah-olah ingin menyembur Indah sebaik sahaja terpandang telefon bimbit yang di cari berada di tangan gadis itu. Tetapi niat itu sempat ditahan oleh wanita disebelahnya.

“Sshh…..Zen, bawa bersabar. Mama yang cuai”.

Indah terdengar si wanita berbisik perlahan menyabarkan pemuda segak bersuara garang itu.

“Telefon puan ke ni ?”

Wanita tersebut memandang Indah . Riak wajahnya memberitahu yang dia amat tertarik dengan gadis tersebut. Seperti ada kuasa lain menarik untuk terus memandang dan memandang lagi. Dia menganggukkan kepala . Bibir tersenyum manis.

Indah menghulurkan telefon tersebut padanya.

“Saya terjumpa di surau tadi. Saya tolong simpan, sebab takut orang yang tidak bertanggungjawab mengambilnya. Tidak ada niatpun untuk menjadikannya hak saya”.

Indah Halina terperasan lelaki segak itu mencebikkan bibir. Aahh…lantaklah apa tanggapannya. Masalahnya yang lagi satu lagi berat untuk difikirkan, berbanding muka cemberut lelaki ini.

“Ooh….Anak yang lena nyenyak tapi ada air mata tadi ya ? Auntie nak kejutkan, serba salah pula. Tak sangka pula auntie tertinggal telefon di situ. Puas cari merata tempat. Telefon ni tak ada masalah kalau hilang, tapi isi di dalamnya yang penting. Semua contact no auntie ada di sini. Kalau hilang….macam hilang separuh nyawa pula”

Ada tawa halus dan lembut di hujung kata wanita tersebut.

“Puan, saya tidak ada niat jahat pada telefon tersebut. Betul saya jumpa di surau tadi”.

Wanita itu menganguk-angguk mengiyakan . Bibirnya senyum ikhlas. Seperti mempercayai seratus peratus.

“Auntie yang cuai. Nasib baik anak yang jumpa. Terimakasih banyak. Siapa nama ?”

“Err…Indah”

“Indah ? Hhmm…Seindah orangnya”

Indah diam sahaja. Dia rasa pujian ini ikhlas, walaupun Indah selalu dengar ayat itu dari mulut orang lain. Nak dikata apa lagi, memang namanya Indah pun, tetapi rupa dia tak tahu indah ke tidak. Takut perasan sendiri pula. Tetapi wanita itu seakan-akan terkejut pula dengan namanya. Biarlah!

“Terimakasih sekali lagi. Nasib baik Indah jumpa, jika tak, tidak tahulah auntie macam mana”.

“Sama-sama. Itu tanggungjawab saya sesama manusia puan”.

Wanita tersebut mengambil beberapa keping duit dari tas tangan dan dihulurkan kepada Indah .

Indah terkesima. Serentak dengan itu juga Indah mendengar suara garang lelaki itu lagi.

“Mama ? Apa ni ? Takkan semua orang nak dikasi duit ? Kita tak tahupun niatnya yang sebenar. Entah-entah dia sengaja ambil”

Berdesing telinga Indah.

Dia juga ada maruah. Tak ingin dia mengambil wang yang dihulurkan. Tetapi jika tanpa wang, bagaimana dia hendak pergi dari sini. Bagaimana dia akan menyelesaikan masalahnya ? Apa jalan dia untuk segera sampai ke rumah dan bertemu ayah? Takkan dengan meminta sedekah pula ?

Hendak tak hendak , Indah terpaksa menghulur tangann menerima pemberian wanita tersebut.

“Shhhy….Zen, duit banyak ini tak ada maknanya , berbanding dengan apa yang mama dah dapat semula”.

“Itulah mama, suka sangat memandang baik pada semua orang”. Mata lelaki itu mencerlung memandang Indah. Wajahnya penuh rasa tidak puas hati.

“Sekarang mama tengok. Jika dia tak ada apa-apa niat, kenapa dia terima pemberian mama” Si anak mengungkit lagi.

“Sshh…..control yourself Zen”

Saat itu Indah ingin sahaja mencampakkan duit yang di genggamnya pada muka lelaki sombong itu. Apa? Dia ingat Indah kebulur sangat ke ? Jika dia bukan dalam darurat, sesekali dia tidak menadah tangan menerima. Agaknya , beginilah perangai orang kaya. Makin banyak duit, semakin berkira dan kedekut!

Lelaki itu nampak tidak puas hati lagi, tetapi wanita yang membahasakan dirinya mama, terus menariknya untuk pergi.

“Terimakasih Indah. Auntie pergi dulu”

“Err… puan ?”

“Ya …ada apa-apa lagi Indah ?”

“Err….saya mengaku yang saya ni tengah terdesak. Tetapi jujur saya cakap, saya memang tidak berniat jahat lansung semasa menyimpan barang puan. Saya memang perlukan duit sekarang, jadi saya anggap saya pinjam duit yang puan beri ini. Suatu hari nanti saya akan bayar. Nanti bagaimana saya nak pulangkan ?”.

Mendengar apa yang dikatakan Indah, lelaki tersebut kembali menyinga.

“Kan mama ? Zen dah cakap mama tak percaya. Belum beberapa langkah mama pergi, dia sudah menyediakan strategi baru. Mama ni cepat sangat kesian orang.

Dah…kau ambil sahaja duit tu, tak perlu bayar balik. Anggap sahaja sedekah! Dan jangan cuba-cuba ganggu lagi. Jika aku nampak muka kau lagi , siap engkau. Dasar perempuan ambil kesempatan! ”

“Zen !”

Bukan sahaja Indah yang terkejut dengan bahasa lelaki tersebut, tetapi mama dia juga seperti terperanjat sangat.

“Auntie minta maaf ….”

Lalu tangan anaknya terus ditarik untuk pergi. Jika berlama lagi di situ, makin banyak ragamnya. Faham benar dengan perangai anak sulungnya yang tidak menentu itu. Sepatutnya, orang sudah berbudi, biarlah kita berbahasa. Ini sebaliknya pula. Si mama amat idak berpuas hati dengan sikap si anak.

Dalam kepala berserabut dengan masalah yang ada, Indah tetap merasakan setiap perkataan yang dikeluarkan lelaki tersebut. Pedih dan menusuk kalbu. Dia juga punya maruah! Selama ini Indah cukup menjaga maruahnya. Malah dia tidak pernah meminjam dari orang lain walau satu sen! Walaupun dia terpaksa berjimat habis di saat-saat kekeringan.

Tetapi tak mengapa….hanya pada saat ini sahaja dia membiarkan maruahnya diejek-ejek orang. Di saat-saat dia dalam kesulitan yang amat sangat!

Esok-esok , dia akan menjaga maruah diri dengan sebaik-baiknya. Iyakah? Dengan apa yang berlaku hari ini, masihkah dia mempunyai harga diri selepas ini ? Walaupun pada pandangan orang yang paling dikasihi , iaitu ayah yang menjadi nadi nyawanya selama ini? Aaahhh…..apa kemungkinana yang akan Indah akan hadapi bila matahari menjengah esok hari ?




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

25 ulasan untuk “Novel : Kerana Terpaksa…Aku Relakan 1”
  1. saripah najwa ishak says:

    saya suka tgk cerita ini..x sabar2 nak tgk episode akhir indah dan zin…..sy x suka tgk org berlakon jahat geram rasa…..mcm nak dtg tampar je…

  2. liyzz says:

    Bgs,,,srnk dn romantik,,sya sngt ska,,trskn cri crta yg ada kna

Trackbacks

Check out what others are saying about this post...
  1. [...] drama menerusi slot Akasia TV3 dengan judul yang sama.Baca Novel Kerana Terpaksa Aku Relakan OnlineBab 1Bab 2Bab 3Bab 4Bab 5Bab 6Bab 7Bab 8Bab 9Bab 10Bab 11Bab 12Bab 13Bab 14Bab 15Bab 16Bab 17Bab 18Bab 19 [...]

  2. [...] drama menerusi slot Akasia TV3 dengan judul yang sama.Baca Novel Kerana Terpaksa Aku Relakan OnlineBab 1Bab 2Bab 3Bab 4Bab 5Bab 6Bab 7Bab 8Bab 9Bab 10Bab 11Bab 12Bab 13Bab 14Bab 15Bab 16Bab 17Bab 18Bab [...]



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"