Novel : Love You Mr. Arrogant! 24

13 August 2011  
Kategori: Novel

105,841 bacaan 34 ulasan

Oleh : Aliesha Kirana

Irham terjaga apabila terik mentari mula menerobos ke dalam ruang biliknya itu. Bingkas dia bangun apabila merasakan dadanya berat seperti dihempap sesuatu.

Mata Irham membulat saat melihat Zaara sedang asyik terlena dalam rangkulannya, kepalanya elok terlentok di atas dada Irham seperti tempat itu adalah bantalnya. Irham keliru, berusaha untuk cuba mengingati apa yang telah terjadi semalam sehingga membuatkan mereka berada di atas katil yang sama hari itu.

Irham mula mengingati, saat Zaara mengigau semalam dan dia cuba mengejutkan Zaara, namun akhirnya Zaara terlena dalam pelukannya pula dan enggan melepaskan rangkulannya pada Irham menyebabkan Irham turut sama berbaring di sebelah Zaara semalam. Mungkin tanpa sedar, dia telah terlena di sisi Zaara.

‘Ish, macam mana aku boleh terlena dengan dia ni?’ Irham mengomel sendiri sambil cuba meletakkan kepala Zaara ke bantal secara perlahan-lahan, berharap Zaara tidak tersedar dan menyedari yang mereka telah tidur sekatil malam tadi. Zaara menggeliat kecil dan beralih membuatkan nadi Irham seakan berhenti berdenyut, Irham kembali lega kerana Zaara tidak terjaga, sebaliknya mengiring ke kanan sambil memeluk bantal di sisi.

Irham tergamam apabila melihat tangan Zaara yang berbalut t-shirt berlengan panjang itu terdedah hingga ke lengan, menampakkan kulitnya yang putih mulus, namun di pergelangan tangannya kemerahan, tidak seperti warna kulitnya. Irham menyentuh pergelangan tangan Zaara dan kedengaran Zaara mengaduh kecil namun masih tidak tersedar dari lena.

‘Lebam?’ Irham menyoal sendiri, sambil membelek-belek tangan Zaara. Seketika kemudian Irham bangun dengan perasaan ingin tahu yang mula menyesak dadanya.

Tuala yang tersangkut di penyidai segera digapai sebelum dia memboloskan diri ke dalam bilik air. Ada perkara yang ingin diselesaikannya, dan dia tidak boleh berlengah lagi.

———————————————————–

Irham memandang bangunan yang menempatkan pejabat Zaara itu dengan satu perasaan ingin tahu yang maha dasyat. Kaca mata hitam yang dipakainya segera ditanggalkan sebelum dia melangkah keluar dari kereta BMW Putihnya itu.

‘Kalau harapkan dia nak bukak mulut, sampai kiamat pun dia nak rahsiakan aku rasa. Baik aku sendiri yang siasat…’ Irham melangkah laju ingin mengetahui hal yang sebenarnya, dia sudah tidak punya keinginan untuk masuk ke pejabatnya hari ni. Selagi dia tidak mengetahui hal yang sebenar, selagi itulah jiwanya tidak tenteram.

————————————————————-

“Apa, kau kena tolak?” Fiz menjerit di hujung talian membuatkan telinga Zaara terasa berdesing.

“Ish kau ni! Janganlah cakap kuat sangat!” Zaara berpesan, risau kalau-kalau kata-kata Fiz itu didengari rakan sepejabatnya yang lain.

“Siapa tolak kau Zaara? Baik kau beritahu aku, kalau tak! Tak nak kawan.”

Zaara berjeda seketika, berkira-kira hendak memberitahu atau tidak, risau andainya Fiz terlepas cakap pada orang lain. Si Fiz ni suka bercakap tanpa berfikir, kang tiba-tiba dia terlepas cakap, Zaara jugak yang serba salah. Kalau boleh dia tidak mahu teman sepejabatnya memandang serong pada Faisal seolah-olah lelaki itu melakukan jenayah berat. Zaara tidak menyalahkan Faisal dalam soal ini, cuma untuk bertentang mata dengan lelaki itu semula, mustahil untuk dia lakukan lagi. Tidak sanggup!

“Zaara, kau ada kat sana lagi ke?” Fiz yang menunggu jawapan dari Zaara segera menyoal, membuatkan Zaara terhenti berfikir.

“Kalau aku beritahu kau, tolong jangan sesekali beritahu orang lain. Sesiapa pun tak boleh. Faham!” Zaara memberi amaran. Matanya beralih ke arah kakinya yang berbalut itu, serentak dengan itu juga ingatannya terhadap kejadian semalam berputar kembali dalam ingatan.

“Ok aku janji!”

“Sebenarnya…. Faisal yang tolak. Eh maksud aku tertolak… dia tak sengaja.”

“Hah! Faisal! Budak programmer tu, memang dia gilakan kau kan, siap bagi kad besar gabak masa birthday kau dulu… tapi bukan dia dah tak kacau kau ke? Macam mana pulak…” Fiz tidak menyudahkan ayatnya, berharap Zaara faham dengan apa yang sedang dia maksudkan.

Zaara mengeluh, tidak menyangka ada hati yang terluka, yang masih tidak boleh menerima bahawa dia sudah menjadi milik orang lain. Faisal, Faisal…

“Aku pun ingat dia dah tak kisah pasal aku, sampailah semalam, tiba-tiba dia mengamuk lepas nampak aku keluar dengan Hadry.”

“Oh yang kau lunch dengan dia tu?” Fiz meneka kerana Zaara ada memberitahu hendak keluar makan dengan Hadry semasa rehat semalam.

“Aah yang tu. Dia fikir aku curang, sebab tu dia melenting. Dia anggap aku tak setia, dan aku lebih rela pergi kepada Hadry dari datang ke pangkuan dia. Padahal kau pun tahu semua tu tak betul. Aku takkan sanggup menduakan suami aku Fiz!” Zaara menegaskan.

“Patutlah Faisal tak datang hari ni…”

Zaara terkedu, entah bagaimana hendak memberi tindakbalas pada pernyataan yang satu ini. Entah dia gembira ataupun tidak. Hatinya dipagut rasa bersalah.

“Kesian dia Fiz. Dia tak sengaja, mesti dia rasa bersalah dan tak sanggup nak berhadapan dengan semua orang dah.”

“Ish kau ni Zaara! Orang tu dah tolak kau pun kau masih fikir dari sebelah dia. Cuba kau fikir sikit apa yang dia dah buat tu. Dia dah bahayakan nyawa kau tahu tak? Mujur kau ok, dibuatnya kau tempang seumur hidup, siapa nak jawab?”

“Nauzubillah Fiz! Janganlah cakap macam tu. Aku bukan sebelahkan dia, tapi dia memang tak bersalah, dia tak sengaja.”

“Ah sudahlah Zaara. Jangan fikir lagi pasal dia. Yang penting kau jaga diri kau, dan berehat sepuasnya sampai kau sembuh. Aku nak datang jenguk pun, aku tak sanggup nak menghadap muka mak mertua kau yang lagi masam dari mangga muda tu. Kalau aku terbuka hati nak menjenguk kau nanti aku beritahu ya.”

“Ok, tak apa Fiz. Aku pun tak apa-apa. Cedera sikit je, kau tak perlu risau ya.”

“Ok jaga diri ya. Assalammualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Zaara mengeluh panjang saat telefonnya diletak kembali di sisi meja. Ada kekesalan dalam dirinya atas apa yang telah terjadi. Jika dia tidak keluar dengan Hadry, pasti Faisal tidak curiga, kalau Faisal tak curiga, pasti dia takkan tertolak Zaara di tangga, kalau Faisal tak tertolak Zaara pasti dia tidak akan cedera begitu, dan Faisal juga tidak akan menanggung rasa bersalah seperti sekarang.

Ah! Walaupun hatinya masih takut pada Faisal, namun ada sebahagian dari dirinya merasa kasihan pada lelaki itu.

—————————————————————

“Kaki Zaara terseliuh, dia ada kat atas tu. Nanti awak jenguk-jengukkanlah dia sama. Kesian dia duduk sorang-sorang kat atas tu.” pesanan Tan Sri Zahir sebelum suaminya itu keluar untuk ke pejabat masing terngiang di telinga Puan Sri Maryam. Dia tersenyum sinis, gembira dengan perkhabaran itu.

“Eh kamu nak ke mana tu?” Puan Sri Maryam menyoal saat Siti ingin menaiki tangga bersama sedulang makanan.

“Err naik ke atas, hantarkan sarapan Puan Zaara, Puan Sri. Encik Irham dah pesan pada saya tadi.”

“Dah-dah tak payah susah-susah. Kalau dia nak makan, pandai-pandailah dia turun sendiri nanti,” Puan Sri Maryam menunjukkan isyarat menyuruh Siti turun.

“Tapi Puan Sri…”

“Dah-dah, jangan nak melawan cakap saya. Jangan dok kisahkan pasal dia, sediakan sarapan untuk saya cepat.”

Siti akhirnya akur dan kembali membawa dulang hidangan itu ke dapur, diekori Puan Sri Maryam di belakang.

—————————————————————

Irham keluar dari bilik pengurusan bangunan yang menempatkan pejabat RT Agency itu dengan perasaan marah. Marah dengan lelaki yang telah menolak isterinya itu dan marah dengan Zaara kerana tidak berterus-terang padanya tentang kejadian itu. Hasil usahanya untuk mendapatkan kebenaran pada pengawal bangunan tersebut bagi menonton rakaman CCTV pada hari kejadian, menemukan dia dengan kebenaran yang masih disembunyikan Zaara.

“Siapa lelaki yang tolak Zaara tu? aku macam kenal dia aja…” Irham memikir sendiri, cuba berfikir dengan tenang sambil berjalan di koridor.

“Hah! Mamat psiko!” Irham akhirnya mengingat kembali lelaki itu, yang pernah menganggu Zaara saat Zaara sudah menjadi tunangannya.

Pantas Irham menekan butang lif, untuk naik ke pejabat RT Agency, ingin berdepan dengan lelaki yang digelarnya mamat psiko itu.

—————————————————

“Kalau macam tu, tak apalah Mr. Raymond. Thanks again ya.” Irham bersalam dengan bos Zaara yang berkepala botak itu seraya keluar dari biliknya.

Usahanya untuk mencari lelaki psiko itu tidak berhasil kerana kelibatnya langsung tidak kelihatan di pejabat RT Agency. Sudahnya, Irham datang menemui Mr. Raymond dan berbicara dengan lelaki berbangsa Tionghua itu, menjelaskan ketidakhadiran Zaara dan memohon cuti beberapa hari untuk Zaara hingga Zaara pulih, serta pada masa yang sama, ingin mendapatkan sedikit maklumat tentang lelaki yang menolak Zaara itu.

‘Faisal…’ nama dan alamat lelaki yang digelarnya lelaki psiko itu kini sudah berada di dalam genggamannya, cuma dia saja belum merancang tindakan yang seterusnya.

—————————————————————-

Fiz sedang khusyuk bekerja saat pintu bilik Mr. Raymond terbuka, Irham keluar dengan wajah serius berjalan melintasi meja Fiz tanpa berpaling pada sesiapa. Fiz kehairanan kerana tidak sedar, bila masa Irham datang ke RT Agency dan berjumpa Mr. Raymond. Mungkin Irham muncul saat dia sedang sibuk di bilik fotostat tadi.

Saat Irham melintasi bilik Hadry, Fiz dapat melihat Hadry keluar dari bilik dan menegur sepupunya itu dan berbual seketika, sebelum Irham berlalu dan Hadry pula tiba-tiba melepaskan pandangannya pada Fiz, membuatkan Fiz cepat-cepat berpura-pura tidak memandang mereka dan kembali khusyuk membuat tugasnya.

————————————————————

“Farizah! Farizah!” Fiz terkejut apabila ada orang yang memanggilnya dengan nama penuhnya sebegitu saat dia sedang berjalan untuk keluar rehat. Memang tak pernah orang memanggilnya Farizah selama ini. Cepat-cepat Fiz menoleh dan terkejut apabila Hadry, sepupu suami sahabatnya itu sedang menggamitnya dari jauh.

“Eh ada apa Encik Hadry?” Fiz segera menyoal sebaik Hadry berhenti betul-betul di hadapannya.

“Tak payah panggil saya Encik, call me Hadry je. Sebab awak kawan Zaara, so automatik, awak kawan saya juga.” Hadry tersenyum lebar. Fiz mengangguk seraya membalas senyuman itu.

“Saya dengar Zaara MC hari ni, jatuh tangga. Betul ke Farizah?”

“Err… err…” Fiz serba salah hendak memberitahu.

“Irham yang beritahu saya tadi. Dia cakap Zaara kena rehat beberapa hari di rumah.”

“Hmm. Kalau Encik Irham cakap macam tu, betullah tu.”

Hadry merasa pelik, apabila melihat tingkah Farizah yang kegelisahan apabila diajukan soalan berkaitan Zaara seolah ada perkara yang cuba disembunyikannya.

“Awak macam takut je nak cakap dengan saya, Farizah, macam ada perkara yang awak cuba sembunyikan. Cerita ajelah pada saya, jangan risau, saya bukannya mulut lepas, saya tak cerita la pada orang lain.”

“Bukan macam tu Encik Hadry, tapi Zaara… Zaara suruh rahsiakan dari semua orang yang dia jatuh tangga sebab… oppss…” Fiz menekup mulutnya, enggan meneruskan bicaranya lagi.

“Sebab apa Farizah?” Hadry berkerut meminta kepastian.

“Err.. err.. saya tak boleh ceritalah Encik Hadry. Saya minta maaf. Saya mintak diri dulu ya.” Fiz cepat-cepat berlalu, membuatkan Hadry bertambah pelik.

‘Mesti ada sesuatu yang tak kena ni.’ Hadry berkata sendiri di dalam hati.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

34 ulasan untuk “Novel : Love You Mr. Arrogant! 24”
  1. nadia says:

    best….nk bli novel nie. tp sllu xjumpe!

  2. fazira abd halim says:

    mcm pnah baca jln cerita novel ni….

  3. tasha says:

    bestttt…dah cari novel ni tp xjumpe la kat mane nak beli ni

  4. farhana says:

    kenapa novel ini tidak dijual di aneka bahau negeri sembilan……. saya berharap supaya novel ini terdapat di aneka tersebut…saya teringin sangat untuk membeli novel ini(love u mr arrogant).

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"