Cerpen : Cinta Si Batu Seremban

25 September 2011  
Kategori: Cerpen

7,197 bacaan 25 ulasan

Oleh : Laila Qaisara

“King! Hah, cepat pilih!” gesa Suria. Ain mengerutkan dahi, mencari buah yang paling sukar untuk diambil oleh Suria. Suria sudah tergedik-gedik suka.

“Yang mana satu yea?” kata Ain sendirian.

“Cepatlah kak!” gesa Suria lagi.

“Sabarlah! Hesh, kau ni tak reti nak menyabar ke?” marah Ain. Kemudian dia menunjukkan buah yang bertindih. Jarinya dihalakan ke kepada buah yang ditindih.

“Alah akak ni! Dah tentulah ‘garib’ kalau macam ni!” Suria sudah memuncungkan muka. Ain sudah tersengih. Kalau buah yang dipilih oleh Ain berjaya diambil oleh Suria tanpa menggerakkan buah yang lain, maka Suria sudah lulus dalam ujian pertama. Kalau tak, maknanya ‘garib’, dan Suria sudah kalah dalam pusingan itu dan giliran bermain menjadi milik Ain.

Suria mula memasang strategi. Dia tidak mahu gagal kali ini. Kali ini dia dapat menyaingi Ain. Dia takkan mengalah! Jarinya bergerak perlahan mengambil buah yang dipilih Ain.

“Hoi!”

Suria terkejut. Lain buah yang dipilih, lain pula yang diambil. Tindakan reflex! Suria memuncungkan mukanya. Suraya yang berada di muka pintu dipandangnya geram. Ain sudah tergelak suka.

“Garib!”

“Kak Long ni kacaulah. Orang dah kalah,” marah Suria.

“Banyak la kau punya kalah. Sekarang dah pukul berapa? Kau dah solat Asar ke belum?” tegur Suraya. Ain tersengih lagi.

“Aku cuti,” jawab Ain selamba. Suria sudah berlari masuk ke dalam rumah. Takut dilibas oleh kakak sulungnya itu. Garang!

Suraya terus duduk bersimpuh di serambi, di hadapan Ain yang tersengih dari tadi. Dah macam kerang busuk dah Suraya tengok! Tanpa mempedulikan Ain, dia terus mengumpulkan buah-buah batu seremban tadi dan menimbangnya.

“Kita lawan nak? 0-0,” ajak Ain.

“Yang kau layan budak sengal tu kenapa?” kalau tak ditanya pun Suraya tahu. Ain anak sulung dan anak perempuan tunggal dalam keluarga. Jadi peluang bersama dengan Suria, adik Suraya tidak akan disia-siakan begitu sahaja.

“Hobi,” Ain masih lagi tersengih.

“Banyak la kau punya hobi. Takde pun aku tengok dalam borang pendaftaran kau; hobi: melayan adik Suraya Misman,” permainan Suraya sudah memasuki ‘Batu 4’

“Hboi baru, selepas kenal dengan kau, heheee,” Ain ketawa kecil. Perkenalannya dengan Suraya dua tahun lalu, ketika mereka menginap di bilik asrama yang sama. Susah senang di UiTM Melaka, mereka tempuhi bersama. Suraya sering membawa Ain pulang ke kampungnya tidak jauh dari kolej setiap dua minggu sekali. Dari situ Ain mengenali keluarga Suraya. Rumah Ain di Kuala Lumpur juga ada Suraya kunjungi. Namun tidak kerap kerana jarak dan kos perjalanan.

“Hobi mengarut. Budak tu makin dilayan, makin menjadi-jadi. Kau tengoklah tadi. Hampir terbabas solat Asar,” permainan Suraya sudah memasuki ‘Batu 6’.

“Salah aku,”Ain merendahkan suaranya. “Kalau aku tegur tadi mesti dia masuk awal sikit.”

“Takde maknanya. Kalau si Eddy yang melayan pun camtu gak. Sampai berkampung budak tu kat sini,” balas Suraya selamba. Ain sedia maklum. Eddy, sepupu mereka. Dia dikatakan sering datang ke rumah mereka ini. Namun Ain tidak pernah menemui lelaki itu.

“King!”

Ain terkejut. “Tadi kata tak mau lawan,”

“Aku ada kata ke?” Suraya menguntum senyum. “Cepat! Pilih!”

“Mana aci! Kau start dulu!” Ain pura-pura marah. Tapi dia pilih juga buah yang paling sukar. Namun Suraya berjaya mengambilnya dengan wajah selamba. Ain bertambah geram. Laju Suraya melambung dan cepat-cepat dia mengambil kesemua buah yang tinggal di lantai dan……

“One Game!”

“Opocot!”

Berterabur semua buah batu seremban yang ada di tangan Suraya. Suraya mengurut dada, terkejut apabila disergah dari belakang. Ain juga terkejut, namun dia tidak nampak siapa yang punya angkara.

“Eddy!”

Ain ternampak seorang lelaki yang berlari keluar dari belakang pokok rambutan berhampiran dengan rumah Suraya. Sempat dia menoleh ke belakang dan mata mereka bertaut. Boleh tahan! Sempat Ain memuji dalam diam.

“Panjang umur,” ujar Suraya selepas debar di hatinya reda.

“Siapa tu?” tanya Ain.

“Itulah Eddy. Suka sangat mengacau orang,” jelas Suraya. Tangannya ligat mengambil buah-buah yang terjatuh tadi.

“Nah, giliran kau,”

“Tak mau la. Dah nak masuk maghrib,” Ain bingkas bangun.

“Tadi dia yang ajak,” Suraya bangun, turut mengikut gerak langkah Ain.

Dari jauh, kelihatan seorang lelaki memandang ke arah mereka berdua. Namun pandangannya lebih terarah kepada Ain. Lepas gadis itu masuk ke dalam rumah, dia terus berjalan pulang ke rumahnya.

******

Ain memandang ke langit yang gelapsambil memeluk bantal. Tiada awan, hanya bintang terang menerangi malam ini. Dia berasa tenang berada di kampung Suraya yang masih belum tercemar dari segala macam pembangunan yang menghancurkan. Waktu-waktu begini, biasanya Suraya sekeluarga akan ke surau untuk solat berjemaah. Dan oleh kerana dia masih bercuti, dia hanya duduk di rumah.

“Hui, tengok apa tu?” sapa Suraya. Ain menoleh. Suraya datang dekat padanya dengan telekung masih di tangan.

“Bila kau balik dari surau? Aku tak dengar pun,” tanya Ain. Matanya kembali melekat pada bintang-bintang di langit.

“Mana nak dengar kalau kau asyik kira bintang,” kutuk Suraya. Dia duduk di sebelah Ain. Turut mendongak melihat bintang-bintang di langit.

“Susah nak buat macam ni kalau kat kampus,” kata Ain.

“Ya,” Suraya hanya mengiakan. Mereka berdua terus tenggelam, melayani angan masing-masing sambil menghirup angin malam.

“Kak Long!” suara nyaring Suria memecahkan lamunan mereka berdua. Ain pandang Suraya, Suraya pandang Ain. Kemudian mereka menoleh. Suria sudah mencekak pinggang di belakang mereka.

“Kak Long, batu seremban mana? Ada orang nak pinjam,” kata Suria.

“Siapa yang nak pinjam? Tak reti nak buat sendiri?” tanya Suraya kembali.

“Ada tak? Orang tu nak pinjam,”

“Orang tu yang nak pinjam ke kau yang nak pinjam?”

“Orang tu la!” Suria sudah menghentak kaki. Suraya mendengus.

“Pergi ambik atas meja tu! Huish, dia ni macam budak-budak!” arah Suraya. Laju sahaja Suria berlari ke dalam bilik Suraya, mengambil batu seremban yang ada di atas meja belajar Suraya.

“Thanks, Kak Long!”

“Pesan kat ‘orang tu’, jangan bagi hilang!” pesan Suraya. Suria sudah menghilang ke dapur. “Entah dengar, entah tidak tu,” rungutnya.

“Kau ni, jaga batu seremban macam jaga barang kemas,” luah Ain.

“Dah adik aku kata, kalau tak guna, benda tu kena bayar zakat. Kena la jaga betul-betul. Heheee,” Ain mengerut dahi. Mazhab mana pulak yang cakap macam tu? Tapi apabila dia melihat Suraya tersengih, dia mula faham.

“Nanti kalau adik tu buat sengal, kau marah. Tapi kau dengan dia dua kali lima je,”

“Dah adik aku, kalau adik kau yang buat macam tu aku tau la bakanya turun dari mana,” sahut Suraya selamba.

“Kau!” terus melayang bantal yang dipeluk Ain dari tadi. Suraya pantas menyambut sambil ketawa.

*****

“Ain, siap!”

Ain yang sedang menyiapkan tugasannya menoleh. “Apa yang siap?”

“Heh, kau juga yang minta tolong aku buatkan batu seremban. Boleh lupa pulak?” balas Suraya. Ain tersengih.

“Sorrylah beb, aku tengah sibuk ni,” tapi kelajuan tangannya untuk menaip tugasan mula perlahan dan kemudian berhenti. Terus dia bangun dan melihat batu seremban yang telah disiapkan oleh Suraya. Suraya hanya tersenyum melihat tingkah Ain.

“Cantik la,” puji Ain.

“Ala, biasa-biasa je tu,” Suraya merendah diri. “Tapi aku nak tanya la, kenapa kau beria-ia nak suruh aku buatkan batu seremban ni sedangkan kau boleh buat sendiri?”

“Kau buat, cantik. Kemas je. Aku buat karang ada je yang kurang,” jawab Ain tanpa memandang Suraya. Dia asyik melihat kekemasan batu seremban itu.

“Wah, Ain! Kau dah ada batu seremban! Jom main! Kita lawan, siapa yang menang!” ajak Natasha yang baru balik dari study group. Ain tersengih.

“Kasi aku habiskan assignment aku dulu ye. Karang main benda alah ni sampai tak mandi pun takpe,” tutur Ain. Suraya menggeleng perlahan melihat telatah mereka berdua.

“Kau tak nak main ke, Su?”

“Kalau aku main karang, aku takut korang yang kalah,” gurau Suraya. Ain dan Natasha sudah terkikik-kikik ketawa.

*****

‘HARI ini merupakan hari yang paling bahagia buat diriku kerana Suraya Misman telah menyiapkan batu seremban yang paling cantik! Terima kasih kawanku….’

Usai menaip statusnya di Twitter miliknya, Ain terus meniarap di atas katil sambil mengulangkaji pelajaran. Gaya itulah yang menjadi kegemarannya selama ini. Walaupun Suraya ada mengatakan yang cara itu kurang berkesan kerana dikhuatiri tertidur semasa ulangkaji, situasi sedemikian tidak pernah terjadi kepada Ain.

Ain masih leka membaca apabila Blackberrynya berbunyi. Tanda ada tweet yang ditujukan kepadanya. Lambat-lambat dia membuka mesej yang terpapar.

‘Wow, bestnya! Saya masih belum mahir bermain. Harap dapat bermain dengan awak suatu hari nanti – AdiBukanFashla’

Ain mengerut dahi. Siapa ni? Nampak sangat la lelakinya sebab username macam tu. Tapi, anything can happened, kan? Dan, dia follow aku? Siapa dia ni? Profile AdiBukanFashla dicari. Namun yang ada hanyalah namanya. Sejurus, Ain membaca tweet yang pernah dihantar oleh ‘peminat misteri’nya. Er, boleh kira peminat misteri ke? Hahaaa….

‘Hari ini sangat penat. Skill bermain batu seremban harus ditajamkan sebelum ku mencabar dia. Memang tak masuk akal kan? Lelaki bermain batu seremban. Nasib baik ada yang sudi membantu. Thank you my love.’

Oh, dah ada awek rupanya. Eh, kejap! Lelaki? Lelaki bermain batu seremban? Menarik! Lantas, dia mengklik butang ‘follow’ di atas profile AdiBukanFashla. Dia tersenyum sendiri. Peduli apa dia dah ada awek! Janji minat aku dengan dia sama. Boleh berkongsi pengalaman.

“Hoi! Berangan yek?” jerkah Suraya. Ain tersentak. Dia memandang ke atas, di katil Suraya. Mereka berkongsi katil dua tingkat. Ain di bawah, Suraya di atas.

“Kau nak apa?”

“Kau tu yang mental. Ada ke patut ambil gambar batu seremban. Tak senonoh. Entah-entah lepas ni kau nak postkan kat FB ke, Twitter ke. Kau tu bukannya betul sangat,” laju saja Suraya menjawab. Wajah Ain memerah. Dia ni, tau je aku dah buat semua tu….

“Bukannya lawa sangat pun yang aku buat….,”

“Siapa kata? Cantik apa!” potong Ain. Dibelek-belek batu seremban di tangan. “Siap ada yang suka lagi batu seremban ni kat Twitter,”

“Aku dah agak dah……..,” Suraya dah macam orang meroyan. Kelakar pula Ain tengok.

“Kalau kau tak percaya, tengok ni,” Ain menunjukkan tweet yang dihantar oleh AdiBukanFashla sebentar tadi. Wajah Suraya berkerut. Ini bukan ke…..

“Aku dah kata, dia suka dengan batu seremban kau,” kata Ain sambil peluk Blackberrynya. Gaya macam budak kecik peluk anak patung.

“Suka batu seremban ke suka tuannya?” Ain tersentak. Tuan?

“Mana aku kenal dia! Aku kenal pun dalam Twitter je la!”

“Apa-apa je la…. Kalau dia cabar kau betul-betul macam mana?”

“Mesti best tu! Jarang aku dengar orang lelaki main batu seremban. Diorang kan dah cop ini permainan orang perempuan. Padahal sesiapa je boleh main!” semangat Ain berkata-kata. Suraya mencebik.

“Kalau dia menang, macam mana?”

“Kalau dia menang, dah tentu aku kalah! Adui!” Ain mengaduh apabila bantal Suraya tepat mengenai kepalanya. Eleh, bukan sakit sangat!

“Kalau dia menang, dah tentulah kau kalah, ngok! Kalau kau kalah, kau nak bagi hadiah apa dengan dia?”

“Kalau dia menang, aku kahwin la dengan dia!” laju Ain menjawab. Namun sebentar kemudian dia tersentak. Erk, kahwin?

“Aku pegang kata-kata kau tu,” terus Suraya menarik selimut. Dah malas nak layan loyar buruk Ain lagi. Matanya seperti telah digam. Namun bibirnya sempat mengukir senyuman.

*****

“Assalamualaikum….,” laung Suraya. Ain yang ada di sebelah hanya menutup telinga. Suara minah ni, macam baru cas bateri. Kuat sangat!

“Waalaikumsalam….,” terdengar suara garau lelaki dari dalam rumah. Suraya dan Ain tersentak. Laju Suraya naik ke atas rumah.

“Oh, kau rupanya Eddy! Aku ingatkan siapa tadi,” Suraya mengeluh lega. Ingatkan perompak manalah yang datang rumah aku ni. Eh, perompak jawab salam ke?

Ain terus naik apabila nama Eddy disebut. Berdebar-debar hatinya apabila melihat wajah Eddy. Tidak terlalu kacak namun sedap mata memandang. Okey la tu, kacak sangat kang ramai pulak peminatnya. Aku jugak yang merana. Eh, berangan! Ain tersenyum sendiri.

“Tadi Suria ada dengan aku, dia pergi tandas jap nak memerut katanya,” kata Eddy. Suraya tersenyum. Sangkaannya benar belaka. Wajah Ain dipandang sekilas.

“Aku nak bawak masuk beg ni kejap. Kau Ain, berboraklah dengan Eddy dulu. Aku ada hal sikit,” laju sahaja Suraya masuk membawa beg-begnya ke dalam rumah. Tidak sempat Ain berkata apa-apa, Suraya sudah hilang di dalam rumah. Terkulat-kulat Ain ditinggalkan dengan Eddy di beranda rumah.

“Er, duduklah,” pelawa Eddy. Lambat-lambat Ain duduk. Terkedu seketika Ain apabila melihat Eddy memegang batu seremban.

“Awak nak main?” tanya Eddy. Ain memandang wajahnya. Hairan. Eddy menghulurkan batu seremban kepada Ain. “Kita lawan, nak?”

“Awak reti main ke?” spontan Ain bertanya. Eddy tergelak kecil.

“Baru nak belajar main,” ujarnya jujur.

“Kalau macam tu, kita lawan, nak? 0-0,” laju Ain mengajak. Eddy mengangguk laju. Ain memulakan langkah. Batu-batu seremban itu ditimbang terlebih dahulu. Setelah itu, barulah permainan sebenar dimulakan. Ain bermain dengan penuh bersemangat. Eddy pula masih takut-takut. Sesekali, Eddy tersalah langkah. Ain menegur mana yang patut, walaupun sepatutnya dia tidak dibenarkan berbuat begitu. Kenapa? Mereka kan tengah berlawan!

Di dalam rumah, Suraya dan Suria mengintai permainan mereka di balik pintu. Suraya yang menegah Suria daripada mengganggu mereka berdua. Dia yakin rancangannya akan berjaya.

“Sejak bila Kak Long tau yang Eddy ‘stalk’ Kak Ain?” tanya Suria. Dia terkejut apabila mendapat tahu yang mereka berdua sebenarnya telah saling berhubung melalaui alam maya tanpa disedari oleh Ain. Suraya tersengih. Sebenarnya, pada malam dia mencabar Ain, dia sebenarnya sudah tahu yang AdiBukanFashla itu adalah Eddy, sepupunya. Sebab itu dia dengan beraninya mencabar Ain.

“Itu sebab Kak Long cakap, jadi macam Salih Yaakob. I follow….,” Suraya meniru gaya penyampai Sinar Fm itu. Suria tergelak kecil.

“Tak samalah!”

“Shhh! Kita tengok tu. Macam dah nak habis je,” perhatian kembali ditumpukan kepada Ain dan Eddy yang berada di beranda rumah. Kelihatan Eddy tidak dapat menandingi kehebatan Ain dalam bermain batu seremban.

“Awak, saya mengaku kalah la. Awak ni terer sangat,” keluh Eddy. Ain sudah bersorak suka.

“Yeah, saya menang! Selamat aku….,”

“Hah, selamat? Kenapa?” tanya Eddy, bingung. Ain menekup mulut. Sah, dia sudah terlepas kata.

“Err… Err….,” apa aku nak cakap ni?

“Tapi saya rasa saya tau,” potong Eddy. “Awak pernah cakap, kalau awak kalah dalam game batu seremban dengan mana-mana lelaki, awak kena kahwin dengan dia,” Ain tersentak. Mana dia tau ni? Suraya! Nanti kau! Suraya yang berada di belakang pintu terkikik ketawa mendengar kata-kata Eddy.

“Tapi, kan saya menang game ni,” tingkah Ain. Cuba melawan satu perasaan aneh yang hadir. Eh, kenapa ni?

“Kalau saya kata, saya menangkan awak sebab saya nak kahwin dengan awak, awak nak cakap apa?”

“Hah?” buntang mata Ain mendengar kata-kata Eddy.

“Yess! Inilah kemuncak cerita ni!” Suria dan Suraya bersorak riang. Terus mereka keluar dari tempat persembunyian mereka. Ain memandang mereka dengan perasaan geram. Korang!

“Ain….,” mata Ain kini tertumpu kepada Eddy yang telah mengeluarkan satu kotak kecil. Erk, adakah….

“Sudikah awak menjadi lawan dalam permainan batu seremban saya setiap masa, sekaligus menjadi teman hidup saya?” Suraya dan Suria sudah tergelak besar. Muka Ain memerah. Mak, Ain nak balik sekarang! Eh, mak? Aha!

“Kita orang Melayu, ada adat. Kalau betul awak nakkan kita, buatlah cara betul-betul,” Eddy menggaru kepala. Lantas Suria meluku kepala abang sepupunya itu.

“Lembab! Orang tu suruh masuk meminang la!”

****

“Lepas tu, apa jadi?” tanya Iqa, tidak sabar.

“Dia tak masuk meminang pun,” jawab Ain selamba. Terdengar keluhan dari Anna dan Zura. Iqa berkerut dahi tanda tidak puas hati.

“Tapi, setiap kali aku balik kampung Suraya, setiap kali itu kitorang akan berjumpa. Bukan dating macam orang lain. Kitorang lawan batu seremban!” bersungguh Ain bercerita. Dia tersenyum. Raut wajah Eddy terbayang di ruang matanya. Berkecai apabila Zura menepuk perlahan bahunya. Dia tersenyum lagi.

“Selagi dia tak menang main batu seremban, selagi itu dia tak boleh pinang aku. Tapi bulan lepas, entah macam mana, kalah pulak aku dengan dia. Apa lagi, bersoraklah dia. Dua minggu lepas, dia hantar rombongan meminang,” ceritanya lagi. Wajahnya ceria. Terburai tawa Zura, Iqa dan Anna. Mereka terus berborak mengenai perihal diri masing-masing. Perihal Iqa yang sentiasa pening dengan bosnya, perihal Zura yang kini bekerja di Korea, perihal Anna yang kini berbadan dua….. sehinggalah Iqa terjerit membuatkan semua mata memandang ke arahnya.

“Syasya jadi bidan!!!! Pagi tadi kakak dia bersalin! Dia yang sambut baby tu!” seluruh restoran bergema dengan ucapan hamdalah oleh pengunjung yang beragama Islam, tanda bersykur dengan kelahiran tersebut. Zura memandang sekeliling. Kelibat Shafiq tiada. Tadi semasa dia memasuki restoran itu, dia nampak Shafiq dengan seorang gadis. Tunangnya barangkali. Diorang dah keluar kot, fikirnya.

“Dia kat mana sekarang?” tanya Anna.

“Kat hospital,”

“Jom la kita pergi jenguk dia,” ajak Anna.

“Heh, Ain! Kau jangan nak berangan pulak! Jom pergi hospital!” ajak Zura sambil tarik tangan Ain. Ain tersentak. Hilang sudah lamunannya tentang Eddy.

Mereka terus melangkah ke kereta Iqa yang terletak tidak jauh dari restoran itu. Sebaik keluar, Zura merasa mereka diperhatikan. Apabila dia menoleh, dia terkejut apabila melihat kelibat seseorang yang dikenalinya.

“Kenapa, Zura?” tanya Ain.

“Ira….,” Ain terkedu.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

25 ulasan untuk “Cerpen : Cinta Si Batu Seremban”
  1. nabilah azima says:

    siapa ira ???

  2. iman brutal says:

    x phm~apa yg terjadi?????

  3. kemar fika says:

    hey , ape ni .. bestbest bace trus habis mcm tu jer !

  4. syafiqahmarlee says:

    serabuttt !

  5. nabila says:

    apa ni???

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"