Novel : Mr Pai Epal 1

26 September 2011  
Kategori: Novel

5,764 bacaan 14 ulasan

Oleh : Hana Raiyan

Hujan.

Ia memberikan banyak rasa dalam jiwaku. Hujan yang kata cikgu Adila, adalah memberi rezeki. Memberi nikmat kepada semua manusia, alam dan tumbuh-tumbuhan. Hujan makin melebat dan kaki seluarku sudah kebasahan akibat hujan. Aku berlari-lari anak menuju ke sebuah perhentian bas. Tiga orang pemuda dan dua orang gadis turut sama berteduh dari hujan. Kami berpandang-pandangan. Meraikan kedatangan aku bersama mereka dalam hujan yang kian melebat.

Tapi hujan hari ini bukan memberikan nikmat kepada aku. Bukan juga memberikan rezeki untuk aku, ibu dan Fatin adikku! Aku pantas duduk perlahan di atas kerusi berwarna coklat. Mengawal pernafasan selepas berlari di dalam hujan. Memang penat ! Aku mengetap bibir dan fail berisi kertas-kertas penting di tangan aku peluk melekap ke dada. Helmet separuh milikku aku letakkan perlahan di sisi. Kunci skuterku yang aku tinggalkan turut aku simpan dengan hati-hati di dalam beg galas. Mulutku terherot ke kiri dan ke kanan. Mataku terkelip-kelip. Berkali-kali! Cis – kerana dialah, aku basah dalam hujan! Encik Pai Epal yang bodoh sombong! Berlagak lebih!

Aku ketap lagi bibir kerana kegeraman. Lantas episod beberapa jam yang lepas berlagu dan bermain-main di layar mataku.

Aku termengah-mengah berlari. Memang kerja aku setiap hari adalah berlari-lari anak. Entah kenapa silapnya ? Jam di dalam bilik yang rosakkah atau mataku yang tak mahu buka. Fatin sudah berkali-kali mengejutkan aku supaya bangun.

” Kak, bangunlah kak! Nanti akak lewat lagi untuk temuduga. Ibu dah buatkan sarapan. Bangunlah kak!” ketukan pintu oleh Fatin tidak mematahkan impianku untuk meneruskan misi membawa mimpi ke alam kenyataan. Aku tarik lagi selimut dan bermimpi lagi! Seronok sungguh bermimpi berkahwin dengan anak raja? Oh, bukan? Anak peniaga pasar malam? Hoi, anak peniaga pasar malam pun kaya raya okey? Aku mendengus lagi. Cepat-cepat menolak selimut dan melihat jam di dinding? Memang jika aku datang bulan, maka aku akan lewat bangun dari tidur. Tetapi kali ini, lewatnya akan membuatkan ibu marah dan temuduga hari ini bagaimana? Ah!

Aku pantas meloncat!

Pantas menolak pintu bilik air dengan terhoyong hayang dan terpisat-pisat! Mimpi tadi benar berbekas di jiwaku.
Pantas memberus gigi. Membuka baju dan mandi secara ala kadar! Ah, tak akan sesiapa tahu aku mandi secara mandi P. Ramlee hari ini.
Menyiram air ke tubuh badan sambil mata terkebil-kebil mengingatkan yang aku ada temuduga kali ke 13. Gila kentang betul! Ibu sudah menggelengkan kepala kerana sudah banyak temuduga yang aku harungi dan masih belum berjaya juga aku perolehi. Selesai mandi, aku bergegas mencari baju yang sudah diiron oleh Fatin malam tadi. Balik dari stesen minyak malam tadi sudahlah lewat, maka Fatin juga yang menjadi mangsa menggosok baju milikku.

” Kak long, cepatlah! Ibu dah panggil tu! Lambat betullah. Kak long kan akan temuduga lagi hari ini?” Fatin menjerit lagi. Bunyi dia mendengus dan hentakan kakinya turun dari tangga membingitkan telinga.

” Okey, lima minit!” aku pantas mencari beg galas, fail yang enak di atas kerusi aku ambil dan tangan kiriku pantas mengambil lipice di atas meja solek dan aku calitkan sedikit di bibir.

” Cepat sikit Alya. Ibu rasa hari akan hujan sekejap lagi. Alya kan akan temuduga lagi hari ini ? Ibu doakan Alya tenang ya ! ” Ibu mengusap lembut ubun-ubunku. Lantas mengucup perlahan dahiku. Mata ibu yang ‘gelap ‘ semenjak kemalangan beberapa tahun dahulu aku tenung. Sungguh, dalam keadaan mata ibu yang buta ibu masih mampu membuat kerja rumah dibantu oleh Kak Hamidah yang akan datang ke rumah setiap hari. Gaji menjadi cashier setiap bulan di stesen minyak setiap malam, yang aku buat secara sampingan cukup untuk membayar gaji Kak Hamidah yang banyak membantu. Untuk ibu aku rela bersusah payah. Untuk Fatin pula aku sanggup bergadai nyawa! Aku harus mencari rezeki yang lebih untuk keperluan rumah kami. Aku anak sulung yang bertanggungjawab menjaga setiap keperluan.

Fatin memandang aku.
“Good Luck, Kak long!” Fatin mengenyit matanya. Kami ketawa mesra. Roti yang ibu bekalkan aku sumbat ke dalam beg galasku. Kaki pantas berjalan. Helmet aku sambar dan aku berpaling memandang Fatin, “Study elok-elok. Jangan nakal-nakal ya!”
Senyuman Fatin sudah cukup membuatkan aku bahagia. Aku pandang ibu yang dibawa perlahan Fatin di anjung pintu.

Pantas, aku menyarung kasut sarung dan memakai helmet. Skuter berwarna merah jambu dan ungu lantas menderu perlahan di atas jalan raya. Aku tinggalkan ibu dan Fatin yang setia melambai-lambai.

***

Aku lantas memarkir skuter di deretan motorsikal yang setia ada. Mata lantas memerhati bangunan berwarna kuning air yang kawanku, Lily katakan tempoh hari.

“Kau pergi ke bangunan berwarna kuning air. Kedai kedua dari kanan, Nampak tangga, terus naik ke atas! Syarikat itu ada di atas! Bawa semua sijil-sijil penting kau! Datang tau. Jangan lambat!”

Aku masih berdiri di depan bangunan berkenaan. Mata masih terkelip-kelip dan aku memerhati kawasan sekitar. Harap-harap aku akan berjaya untuk temuduga kali ini. Aku pandang jam di tangan. Sudah ! Mampukah aku ditemuduga dengan jam sekarang sudah melewati 10.00 pagi ? Ahh- sengal ! Hari malang lagi untuk aku ! Mata kemudian menangkap sebuah kedai berwarna hijau epal. Kedai hujung yang menarik minat seleraku dan jiwaku. Bukan kedai kedua dari kanan seperti yang Lily pesankan.

Aku memandang dan membaca nama kedai berkenaan dengan perlahan, ‘Pai Epal Café’ ! Menarik signboardnya. Berbentuk epal berwarna hijau dan tulisannya berwarna putih dan digabungkan hitam dengan tulisan dari berbagai bahasa. Epal bulat yang disusun atur dengan tulisan jawi, cina, india dan bahasa inggeris. Memukau! Meja-meja di hadapannya turut sama cantik teratur. Aku terpaku lama. Kemudian aku melihat seorang pemuda yang mengetap-ngetap bibirnya sedang memarahi pekerjanya. Dari gerak bibirnya aku amati. Pekerjanya dimarahi kerana datang lewat ke café berkenaan. Aduh- aku juga lewat!

Kaki aku pantas melangkah ke Pai Epal Café. Pemuda tersebut aku letakkan ke tepi. Biarpun dia memang kacak dan rambutnya yang sedikit beralun itu memang buat aku juga terpesona! Aku pantas berlari mengejar café cantik yang mengundang minat tersendiri. Kejadian marah-memarahi tadi bubar selepas aku sampai ke depan muka pintu.

Pemuda berkemeja berwarna ungu muda tiba-tiba terpacul di depan pintu kaca tempat aku berdiri. Aku terpaku tiba-tiba ! Kacaknya. Lengan bajunya dilipat sederhana dan walau kami dibatasi dengan pintu kaca cafe ini, aroma dan harum minyak wanginya menusuk betuel-betul ke jiwaku. Ahh – berangankah aku ?

Apa kau rasa, jika seorang lelaki tiba-tiba memandang engkau dan matanya tak berkelip-kelip ? Suara Lily lantas kedengaran di mindaku kali ini. Sudah – aku berangankah lagi kali ini ?

” Ni apesal tercegat depan pintu? Saya sedang marah ni ! Saya tengah marah ni ! ” Izz Amir mengetap lagi bibirnya. Pintu cafe lantas dibukanya.
Aku terpaku lagi. Kemudian aku dapat melihat dia dan aku berlari-lari anak berkejaran di tepi pantai sambil bergurau-gurauan ! Mata bertentang mata dan cubit bercubitan bersama ! Ahh – seronoknya. Alya – jangan berangan ya ! Adakah aku berangan lagi ? Ohh –tidak, tidak !

Aku mengetap bibir. “Amboi minah ni, orang dah bukakan pintu. Masuklah. Berangan saja ya orang perempuan ni ! ”

Aku tersedar cepat. Mujur ! Jika tak, aku pasti akan memeluknya ! Alya – haram hukumnya. Mataku terkelip-kelip lagi. Berangan lagi..memang aku kuat berangan! Isk!
“Err…err…err…” aku terpaku apabila kaki melangkah masuk ke dalam Pai Epal Café. Wah! Hebatnya susun atur café ini. Bau pai epal yang sama dengan yang arwah ayah buat menusuk masuk ke dalam hidungku.

Izz Amir memandang wanita yang masuk ke dalam cafenya. Memang dia acapkali melihat, tetamu yang pertama kali datang ke café miliknya akan berkata sesuatu. Wow, wah! Hebatnya, cantiknya! So cute! Dia sudah lali dan tahu kerana cafenya adalah yang terbaik di sini!

Aku menggaru kepala yang tak gatal! Sudahnya apa yang akan aku buat di dalam café ini ya? Mataku lantas melihat beberapa orang pekerja yang sedang mengelap meja dan membersihkan lantai. Ada lima buah epal besar yang di lubangkan tengahnya dan diletakkan di dalamnya meja unik bersama kerusi kayu berbentuk pokok dan akar untuk bersantai. Epal berwarna merah yang memikat! Meja dan kerusi berwarna kuning yang mempesonakan. Hiasan dalaman kedai ini yang bergred A. Lihat dindingnya yang ditampal kertas dinding dengan paduan berbagai-bagai warna epal yang comel! Memang so cute!

Meja lain yang bukan di dalam gelungan epal besar turut sama diintonasikan dengan paduan kerusi senada kayu yang sama warnanya. Ruangan cashier yang cantik dan menarik. Kakinya lantas melangkah lagi. Café dua tingkat yang menangkap citarasanya!

Aku lantas berpaling. Melihat pasu-pasu yang semuanya berbentuk epal disusun dengan cantik dan kemas! Berkilat-kilat!

“Apa ya yang ada dan dijual di dalam café ini?” aku memandang lelaki berkenaan.

Izz Amir melihat jam di tangannya. Mukanya berkerut-kerut melihat telatah gadis di depan matanya itu.
Izz Amir menahan geram. Haryati sepatutnya sudah sampai sekarang. Sepatutnya tugas sebagai cashier dan penyambut tetamu dilakukan Haryati hari ini.

“Basikal dan tayar kereta. Cik adik mahu order yang mana?” Izz Amir menyegih macam kerang busuk.

Aku terkesima. Basikal dan tayar kereta? Gila sungguh lelaki ini. Sombongnya ! Lihat matanya yang berpusing-pusing!
“Encik berlagak bin encik sombong betul!” aku mencebik dan memandangnya lagi. Malas melayan karenah lelaki sombong seperti ini. Adakah patut kedai ini menjual basikal dan tayar kereta? Gila! Memang gila!
“Awak pelanggan dalam café ini ya?” mata aku melilau melihat pekerja Pai Epal Cafe yang memakai kemeja berlengan panjang dan apron panjang berwarna hijau epal. Apron café ini pun cantik ! Lelaki di hadapan aku hanya berkemeja yang dilipat lengannya bersama seluar slack. Bermakna dia bukan pekerja di dalam cafe ini. Sah, memang sah !
“Pelanggan ? ” Izz Amir memandang para pekerjanya yang tersenyum geli hati. Adnan yang sedang mengelap meja cepat-cepat mengambil alih tugas bosnya ! Tubuh Izz Amir ditolak perlahan. Izz Amir panas hati ! Dia kata aku encik berlagak ! Gadis ini memang banyak songeh dan banyak soal ! Ada yang kena sebiji dengan aku !

Aku terkedu seribu bahasa melihat tolak menolak berlaku di depan mata. Adnan mengesat-ngesat tangannya yang basah dengan apronnya. Matanya memandang gadis di hadapan mata. Sudahlah bosnya berangin hari ini. Adakah gadis ini akan turut sama menjadi tempias angin, ribut dan taufan Izz Amir ? Dia memandang gadis kecil molek itu lagi. Itu bukan encik berlagak bin sombonglah ! Dia bos besar Pai Epal Cafelah ! Suara Adnan bagai tersekat-sekat di kerongkongnya.

“Nama kedai ini adalah Pai Epal Cafe tapi jual basikal dan tayar kereta ? Eh, betul ke? Dia tipu ya ?”aku memandang lelaki yang bernama ‘Adnan’. Mudah mengenali kakitangan di café ini kerana tag nama mereka sudah melekat di baju. Izz Amir yang berjalan ke arah pintu terkaku lagi. Eh… eh budak ni! Loyar buruk betul!

“Err..err.. dia bergurau! Hmmm…cik mahu makan apa? Kami ada pai epal lazat, kopi menyelerakan dan kek. Juga makanan bergoreng yang sadurannya makanan berkhasiat.” Menu tiba-tiba bertukar tangan. Aku sudah duduk di kerusi bersama meja yang menarik di dalam Pai Epal Café. Adnan tersengih-sengih lagi.

“Pai Epal satu!” tanpa melihat menu dan kerana aroma pai epal yang melazatkan aku terus memesan pai epal berkenaan. Adnan mengangguk-angguk lantas segera ke ruang dapur. Aku terus lupa ingatan mengenai temuduga yang bakal mencorakkan lagi kehidupan aku. Beg galas lantas aku letakkan perlahan. Pemuda itu aku lihat masih mundar-mandir seperti menantikan seseorang. Aku perhatikan dia agak lama. Beberapa minit kemudian , pai epal yang aku pesan sampai. Adnan tunduk hormat. Ah – sudahlah café ini indah, ditambah pekerjanya ramah tamah! Tapi bukan macam encik berlagak bin sombong itu! Huh!

Kali pertama aku menggigit pai epal, kedengaran, “Haryati, awak tahu tak sekarang sudah jam berapa?” aku menoleh memandang pemuda berkenaan. Encik berlagak bin encik sombong sedang marah-marah! Telefonnya digenggam kemas. Gulp! Aku telan air liur. Kesedapan pai epal ini merencatkan mindaku kerana suara tegas pemuda berkenaan. Kemudian aku segera teringatkan yang aku sepatutnya sedang ditemuduga dan bukannya duduk di dalam Pai Epal Café ini! Alamak! Aku pantas bangun mengambil beg galasku. Helmet juga aku sambar dengan cepat.
Kemudian kedengaran lagi, “Apa? Suka hati mak ayah tiri awak mahu berhenti kerja ya?Sudahlah selalu datang lambat ! Hari ini mahu MC. Awak tahu siapa saya ? ”

Aku berjalan perlahan. Aku sudah habiskan masa yang tidak relevan di dalam café ini. Oh, tidak !
Baru sahaja aku mahu melangkah ke meja cashier, suara Encik berlagak bin encik sombong kedengaran lagi. “Ya, saya memang bos Pai Epal Cafe. So, what ? ”

Apa ? What ? Bos Pai Epal Cafe ? ”
Gulp!
Jantung bergerak laju! Aku mahu lari lagi hari ini.

Aku melangkahkan kaki lagi. Tangan membuka beg galas untuk mengambil wang membayar pai epal berkenaan. Pasu berbentul epal berwarna merah di atas meja cashier tiba-tiba berderai!
Kami berpandangan semula. Tangan aku menggeletar lagi.
“Itu pasu kesayangan saya, awak tahu tak, budak pasu pecah!” jeritan Izz Amir memecah keheningan.

Ya ataupun tidak. Yes ataupun no. Manis ataupun pahit. Hidup ataupun mati. Aku tak mampu membayar harga pasu cantik yang berkecai itu! Akhirnya aku berlari sekuat hati. Melanggar tubuh bos Pai Epal Café yang akhirnya aku lihat dia terjatuh tersembam akibat tolakan kuat diriku. Bersama dengan hujan melebat, guruh berdentum dan akhirnya aku terlupa membayar harga pai epal yang aku nikmati tadi. Haramkah sudah kerana aku terlupa membayarnya? Ibu – tolong!

Muka aku kelat sudah! Hujan masih menemani. Perhentian bas semakin dipenuhi dengan manusia untuk menumpang dari hujan lebat. Pai epal semakin terasa bergelodak di dalam perutku ini. Aku pejam mata lagi. Aku membuat haru biru sendiri untuk hari ini! Skuterku sedang bermandi hujan lagi !

Wajah encik berlagak bin encik sombong menerpa lagi. Bola mataku terkebil-kebil entah untuk ke berapa juta kali !




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

14 ulasan untuk “Novel : Mr Pai Epal 1”
  1. Budak_Baik says:

    wah..sangat best cerita nie..cepat kak hana tidak sabar mahu menunggu ang seterusnya..hihi

  2. anyidea? says:

    wahh bestlah cerita ni….tp sbb masa xberapa nk ada…br abis Mr. Pai Epal 1
    …ni nk sambung bace…heheh

  3. hana raiyan says:

    terima kasih budakbaik, terima kasih anyidea? senyum comel-comel untuk awak semua sebab sudi berikan komen! fighting!

  4. Aida Syuhaidah says:

    Best cite ni..membuai perasaan…erm…diiron?

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"