Novel : Sebenarnya, Saya isteri dia! 6

14 September 2011  
Kategori: Novel

76,614 bacaan 71 ulasan

Oleh : Addy Rifqhiey

Bab 6

‘MANA SYAF dengan Firash ni? Takkan tak turun-turun lagi? Nanti tak sempat pulak nak bersahur.’ Gumam Puan Farizah sambil mengacau teh panas di dalam teko. Cadangnya sebagai minuman untuk bersahur nanti. Meja yang dipenuhi dengan pelbagai lauk itu dipandang sekilas. Kalau diikutkan rasa hatinya memang dia nak masak banyak lagi lauk tetapi bila diingatkan masa bersahur tak seperti waktu berbuka, niatnya itu dimatikan. Petang karang sajalah masak banyak sikit, lagi pula berbuka petang nanti meriah sedikit sebab Syaf dan Firash ada.

Dia mengambil beberapa biji cawan dan mula mengaturnya di meja makan. Sekilas dia melihat jam di dinding. Dah masuk pukul 5.15 pagi pun. Matanya menyorot ke anak tangga, namun kelibat Syaf dan Firash masih belum kelihatan.

Takkan Syaf tidur balik kut? Tak logik rasanya, fikir Puan Farizah. Tapi sebelum turun tadi, elok saja Syaf tu pergi kejutkan Firash. Atau mungkin dia orang sudah bergaduh kat atas? Bermacam-macam andaian yang mula difikirkan oleh Puan Farizah. Dia tahu anaknya itu tidak berapa menyukai Syaf sejak dulu lagi. Namun dia perlu berbuat sesuatu untuk merapatkan mereka. Dan sebagai langkah pertamanya ialah menyuruh Syaf mengejutkan Firash. Dan dia berharap moga-moga rancangannya itu berjalan lancar.

Tunggu sajalah, sekejap lagi dia orang turunlah tu agaknya tu fikir Puan Farizah lalu melabuhkan punggungnya di kerusi. Beberapa ketika kemudian, suasana masih lagi sunyi dan sepi.

“Eh tak boleh jadi ni.”

Puan Farizah sudah mula hilang sabar apabila melihat jam yang ada di dinding. Dia bingkas bangun dan menapak menuju ke tangga.

Sesampainya di tingkat atas, laju saja dia menuju ke bilik Firash. Pintu yang terbuka sedikit itu ditolaknya dari luar.

“Fir…..” Nama Firash tidak sempat habis dipanggil kerana matanya telah menangkap sesuatu. Dia terpempan seketika di situ.

“Eh ma…” Suara Firash tiba-tiba kedengaran.

Tangannya yang sedang memegang belakang baju tidur Syaf itu terhenti. Dan serentak dengan itu dia menolak sedikit tubuh Syaf yang berada di dalam pelukannya itu ke tepi. Syaf yang terpinga-pinga akibat tolakan dari Firash itu berpaling ke belakang. Eh mama? Gulp! Dia menelan liur.

“Tak nak sahur?”

Soal Puan Farizah dengan senyuman meleret di pinggir bibir. Entah kenapa terasa sedikit sejuk hatinya bila melihat Syaf dan Firash di dalam keadaan begitu. Dia orang dah berbaik ke? Fikir Puan Farizah dalam hati. Kalau dah mula berbaik, baguslah. Satu permulaan yang bagus buat hubungan mereka. Sebagai seorang ibu, dia tetap mahukan hidup anaknya itu sentiasa aman dan bahagia walaupun perkahwinan mereka pada mulanya tidak dipersetujui sepenuhnya oleh Firash.

“Nak sahurlah ni.”

Balas Firash lalu bingkas bangun dari katil. Dia mencapai tuala di penyidai lalu menapak ke bilik air. Dia menggeleng sedikit kepalanya. Kenapa aku boleh peluk Syaf tadi? Tangannya memegang dadanya yang masih berombak kencang.

Manakala Syaf yang masih tidak bergerak dia katil terasa mukanya sedikit membahang. Malu apabila Puan Farizah melihat dirinya berada di dalam pelukan Firash tadi. Laju saja dia bangun dari katil dan menuju ke pintu.

“Ingat dah tak nak sahur tadi.” Sebaris lagi ayat dari Puan Farizah yang membuatkan Syaf yang melintasinya itu laju-laju sahaja melangkah ke luar. Puan Farizah tersenyum sendiri bila mengingatkan kejadian tadi.

***

“TAMBAHLAH LAGI Syaf sup daging tu. Kenapa ambil sikit sangat?”

Puan Farizah menegur Syaf yang tengah menyuap nasi ke mulut. Syaf hanya mengunyah nasi sambil menunduk. Rasa malu akan teringatkan kejadian di bilik tadi membuatkannya terasa sedikit segan untuk bertentang dengan Puan Farizah. Sudahlah Firash pula duduk bertentangan dengannya di meja makan ni. Memang bertambah lagi segannya dengan mereka berdua ni.

“Ha? Err…Yelah.”

Syaf menceduk sup daging yang berada di dalam mangkuk tu ke pinggannya. Dari ekor matanya dia dapat melihat Firash menjelingnya sekilas. Aku tahulah sup daging tu kegemaran dia tapi takkanlah kalau aku ambil satu senduk pun tak boleh? Kedekut betul!

“Petang karang mama ingat nak masak special sikit tapi barang dapur pulak dah habis. Firash tolong belikan eh?” Pinta Puan Farizah.

“Ala ma, Firash mana reti nak beli barang-barang dapur ni semua. Tu kan kerja orang perempuan.” Firash merungut. Syaf pula hanya mendengar saja perbualan mereka anak-beranak tanpa ada niat untuk mencelah.

“Syaf kan ada, boleh aje temankan Firash tu.” Sambung Puan Farizah lagi. Syaf yang tengah ralit mengunyah nasi tu tiba-tiba saja tersedak. Cepat-cepat tangannya mencapai cawan yang berisi air teh itu.

“Auchh…panasnya.” Syaf merungut lalu meletak kembali cawan berisi air teh ke meja.

Kebas dan pedih mula terasa di lidahnya. Sudahlah tadi tekaknya terasa perit akibat tersedak nasi. Dia mengibas-ngibas dengan tangan akan lidahnya yang masih terasa akan kepanasan air teh tadi.

“Kalut.”

Terdengar sebaris perkataan yang keluar dari bibir Firash yang membuatkan Syaf berani mengangkat mukanya memandang Firash. Firash pula tersenyum sinis seolah-olah gembira saja melihat keadaan Syaf ketika ini.

“Apa ni cakap macam tu kat Syaf.”

Puan Farizah menepuk perlahan lengan Firash. Firash mencebik lalu mengunyah nasi laju-laju. Macam tak puas hati saja bila Puan Farizah menegurnya.

“Nak air lain ke nanti mama ambilkan?” Soal Puan Farizah pada Syaf.

“Tak apa ma, dah okey ni.” Syaf cuba untuk menelan nasi namun lidahya itu seperti sudah kehilangan deria rasa akibat air teh panas tadi.

“Eh dah siap makan ke?” Soal Puan Farizah kepada Firash yang sudah mula berdiri.

“Taklah, nak tambah sup daging. Dah habis.” Ujar Firash lalu menapak menuju ke dapur. Syaf melihat mangkuk yang berisi sup daging tadi tu sudah pun kosong dan hanya tinggal kuah saja. Rasanya tadi ada lagi separuh. Dia ni makan ke melantak?

“Nanti mama bagi senarai barang tu.” Sambung Puan Farizah dan Syaf hanya mengangguk.

***

“NI HA senarainya.” Puan Farizah menghulur sekeping kertas kepada Firash. Mereka berdua masing-masing berada di ruang tamu. Hanya Syaf saja yang tiada di situ.

“Nak beli kat mana ni ma?” Soal Firash. Matanya merenung kertas di tangannya. Banyak jugak ni nak beli. Nak buat stok sebulan ke? Firash berfikir sambil berkerut dahi.

“Kat Carrefour aje lah. Kejap mama nak ambil duit.”

Puan Farizah berkata lalu menuju ke biliknya. Firash masih meneliti senarai barang-barang yang akan dibeli. Mahu penuh satu bonet kereta ni kalau tengok list yang panjang ni.

“Nah. Eh mana pulak si Syaf ni?” Puan Farizah menghulurkan beberapa keping not berwarna biru itu kepada Firash. Seraya itu dia menjenguk sedikit kepalanya ke anak tangga.

“Entah.” Sepatah Firash membalas sedikit mencebik. Aku paling pantang kalau orang lambat bersiap. Padahal nak pergi beli barang dapur saja bukannya nak pergi masuk pertandingan ratu cantik sampai kena mekap-mekap bagai!

“Pergilah tengok, kut-kut dia tertidur ke? Tadi mama nampak macam mengantuk aje masa solat Zohor tadi.” Pinta Puan Farizah.

“Takkan tidur pulak kut? Padahal pagi-pagi tadi dah pesan nak pergi beli barang.” Rungut Firash. Tak aci betul kalau dia dapat tidur, aku pula dari tadi tolong mama kemas stor belakang.

“Manalah tahu. Pergilah jenguk kejap.” Pinta Puan Farizah lagi.
Firash mengeluh lalu bangun dari sofa. Baru saja dia hendak melangkah, matanya tertancap kelibat Syaf yang sudah terjegul di depan matanya.

“Ha, mama ingat Syaf tidur tadi.” Tegur Puan Farizah.

“Taklah ma, lambat sikit sebab buat kerja ofis sikit tadi.” Jawab Syaf sambil tersenyum memandang Puan Farizah.

Dari ekor matanya dia mendapati Firash sedang merenungnya tajam. Kenapa pulak ni pandang aku macam nak telan? Rasanya aku pakai okey saja, fikir Syaf sendiri. Dia memandang ke arah tubuhnya yang hanya tersarung t-shirt berlengan panjang warna hitam dengan seluar jeans hitam.

“Oh. Cepatlah pergi, karang takut sangkut dengan orang balik kerja pulak.” Sambung Puan Farizah.

“Yelah ma, Firash pergi dulu lah.” Pamit Firash lantas menapak ke muka pintu sementara Syaf mengekorinya dari belakang.

***

“KAU TAK ADA baju lain ke nak pakai?”

Soalan pertama dari Firash pada Syaf setelah mereka berdua mula memasuki ruangan barangan basah di pasaraya Carrefour tu. Semasa dalam kereta tadi, Firash hanya mendiamkan diri dan Syaf pun lagi suka dengan keadaan macam tu. Lagi pula seakan janggal saja berada berdua-duaan di dalam kereta bersama Firash.

“Ha?”

Syaf yang sedang menolak troli tu sedikit tersentak. Disebabkan Firash berjalan jauh sedikit daripadanya, soalan dari Firash itu tidak berapa kedengaran di telinganya.

“Aku tanya kau tak ada baju lain ke nak pakai?”

Soal Firash lagi dengan nada sedikit kuat dari tadi. Syaf yang tengah menolak troli tu terhenti melangkah. Dia memandang kembali tubuhnya dengan kening bertaut tanda tidak faham dengan soalan dari Firash itu.

“Ada, kenapa?”

“Aku rasa dah macam berjalan dengan budak gothik aje. Serba serbi hitam.”

Tutur Firash selamba. Kedua-dua tangannya menyeluk poket seluar. Bajet cool la tu, tapi memang nampak cool pun! Hissh, apa aku ni boleh puji-puji dia pulak?

“Gothik?”

“Ha, gothik. Kau tak tahu ke apa tu gothik?”

“Aku tahulah.” Jawab Syaf sedikit geram. Pakai baju hitam, seluar hitam, tudung hitam tak boleh ke? Kira okeylah sebab aku masih tutup aurat. Lagipun memang warna tu warna kegemaran aku nak buat macam mana. Takkan nak pakai serba pink pulak? Tak sesuai langsung!

“Kalau tahu, tak payahlah pakai warna hitam. Dah macam berkabung je.”

Sebaris ayat dari Firash membuat Syaf yang mula menolak troli tu mengetap bibir. Suka-suka hati dia saja cakap aku macam tu. Macamlah dia tu bagus sangat dengan rambut pacak-macak macam kulit durian tu!

Firash berjalan sedikit ke depan dengan senarai yang berada di tangannya. Laju saja tangannya mencapai apa saja dan diletakkan dalam troli yang sedang Syaf tolak itu. Tak tanya langsung pendapat Syaf. Padahal tadi siap cakap lagi kat Puan Farizah yang tak pandai beli barang. Sekarang ni apa cerita? Kalau tengok gaya berbelanja macam ni, memang tak cukup gaji aku sebulan, gumam Syaf sedikit geram.

***

Selepas dekat sejam mereka berdua berada di ruang basah di Carrefour, troli yang ditolak oleh Syaf sudah mula sarat dengan barang-barang. Memang nampak macam stok nak makan sebulan saja. Dah rasa seperti semua barang yang perlu ada kat dapur tu Firash letak sampai Syaf dah tak larat nak tolak. Berat semacam saja!

“Kau tak makan nasi ke?”

“Ha?”

“Hissh, pekak betul.”

Syaf menjeling Firash tajam setelah menangkap kata-katanya itu. Suka-suka hati dia saja kata aku pekak. Dahlah suasana dalam Carrefour ni bising, cakap perlahan macam tu memanglah tak dengar!

“Mari sini aku tolak.” Pinta Firash yang dah menghampiri Syaf.
Ditolaknya tangan Syaf yang masih memegang tangan troli tu. Syaf pula sudah mengeluh kelegaan. Dari tadi aku tolak troli tu, tangan pun dah mula lenguh. Dahlah berat pulak tu. Dia pula hanya melenggang kangkung saja!

“Eh?” Tiba-tiba nada terkejut dari Firash.

Syaf yang sedang membelek sayur sawi itu melihat Firash merenung ke arah sesuatu di depan. Kenapa pulak ni? Syaf juga turut menghalakan pandangan ke arah sudut yang sama dengan penglihatan Firash. Matanya terus saja membulat.

“Fara?”

Laju saja mulut Syaf menyebut nama Fara. Macam mana dia boleh berada di sini pulak? Kan jauh juga kalau kira jarak rumah sewanya dengan Carrefour ni.

“Ha, Fara lah tu.” Balas Firash dengan tanpa nada. Sedangkan Syaf tidak tahu untuk bereaksi macam mana. Masih lagi dengan riak terkejut dan mula rasa panik.

Syaf sudah mula rasa tak selesa. Sudahlah kedudukan Fara tak sampai dua meter saja jaraknya. Kalau Fara berpaling kat sini, konfem dia akan perasan. Dan kalau Fara perasan, dia mesti datang menyapa. Nak buat apa ni? Sebab Fara memang tak tahu lagi hubungan sebenar dia dan Firash. Dan memang tak ada siapa pun yang tahu hubungan mereka berdua kecuali ahli keluarganya saja. Lagi pula Firash yang beria-ia tak nak kecohkan hubungan ni pada umum. Tak sampai masanya lagi.

“Aku rasa kau kena menyorok.”

Tutur Firash memberi cadangan. Buat pertama kalinya, Syaf bersetuju dengan cadangan Firash tadi. Dia mula mengalihkan pandangan ke kiri dan ke kanan. Nak menyorok kat mana ni? Dahlah tempat yang dia dengan Firash berada ni tak ada rak-rak tinggi untuk berselindung. Hanya terdapat rak sayur dan rak buah-buahan saja. Takkanlah nak menyorok kat bawah rak sayur yang hanya separa pinggang pulak tu? Tak logik langsung kalau difikirkan.

“Dia dah dekat tu.” Sambung Firash lagi apabila melihat Syaf yang masih tak bergerak tu. Syaf memang perasan yang Fara sudah mulai dekat namun dia tidak tahu untuk menyorok di mana.

“Aku tahulah.” Syaf membalas dengan sedikit geram.

Dengan keadaan yang semakin genting tu, terasa ada tangan mendarat di kedua-dua belah bahunya. Syaf sudah pun merasa sedikit terkejut apabila melihat tangan Firash memegang bahunya. Renungan dari redup matanya itu membuatkan jantungnya sedikit berkocak. Kenapa Firash pegang bahu dia dan pandangnya macam tu?

“Syaf….” Firash memanggil namanya perlahan sebelum mendekatkan wajahnya ke arah Syaf.

“Hmmm?” Syaf menjongket kening tanda tidak faham dengan panggilan dari Firash itu.

Dengan tidak semena-mena tiba-tiba saja terasa tubuhnya dipeluk oleh Firash. Syaf sudah kaku di situ. Terasa menggeletar seluruh tubuhnya apabila wajahnya hampir saja melekat di dada Firash.

p/s : enjoy bab 6 ni..sorry kalau pendek…hope dpt bg komen2 :D




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

71 ulasan untuk “Novel : Sebenarnya, Saya isteri dia! 6”
  1. Sumandak Sabah says:

    Best sangat ne cerita..nak bace lagi..mkin sweet lak cite nya….OMG …apa pun SSID paling Terbaik Bah !! hehe

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"