Novel : Bukan Aku Tak Cinta 27

15 October 2011  
Kategori: Novel

7,363 bacaan 24 ulasan

Oleh : jeje / Qash Irdina

27

Pada hari Sabtu yang berikutnya, seisi keluarga Zaharul Ashriq menuju ke Pantai Sri Purnama di Teluk Kemang. Aktiviti percutian tersebut adalah suatu kejutan sempena Hari Ulangtahun Perkahwinan Tan Sri Izuddin dan Puan Sri Armilawani. Mereka sekeluarga akan berseronok sepuas-puasnya di Pantai Sri Purnama dan sementara itu, sebuah majlis yang meriah sedang diatur di rumah mereka. Zaharul Ashriq mahu mengejutkan mama dan papanya sebaik saja pulang bercuti dari Teluk Kemang.

“Rugi alang tak ikut,” rungut Hafiz. Pantai yang luas terbentang dipandang.

“Alang exam la. Mana boleh ikut,” jawab Zamir sambil menepuk bangku yang ada di bawah pokok yang rimbun. Matanya masih mengantuk. Bukankah hari ini hari Sabtu. Seharusnya hari Sabtu dihabiskan di atas katil. Melayan matanya yang berjaga semalaman kerana bermain game yang baru dimilikinya. Zamir memulakan aktiviti wajibnya iaitu tidur.

“Alah, angah ni. Orang datang sini nak main air. Angah datang sini tidur pulak,” marah si kecil Hafiz.

“Angah mengantuklah. Hafiz jangan kacau papa dengan mama. Bagi chance papa dengan mama nak dating hari ini,”

“Habis tu Hafiz nak main dengan siapa? Baik tak payah datang. Boring betullah,”

Zamir sudah separuh terlelap. Bebelan Hafiz hampir tidak didengarinya.

“Mainlah dengan kak Senah…” itu saja yang mampu dijawab oleh Zamir sebelum dia mula membuta dengan senang hati.

“Macam mana Cik Maria tu boleh ada kat sini pulak?” soal Tengku Dania serius. Baru dia mahu melepak dengan Zaharul Ashriq. Tiba-tiba saja kelibat Elinawati Maria muncul di hadapan mereka.

“Mana saya tahu. Mungkin mama yang bagitahu dia agaknya,” ucap Zaharul Ashriq perlahan. Tidak mahu Elinawati Maria yang semakin mendekati terdengar perbualan mereka.

Tengku Dania mendengus.

“Malas nak layan awak. Awak layan ajelah perempuan tu. Baik saya pergi layan Hafiz,” Tengku Dania mula menarik muncung empat belas. Sakit hatinya dengan Zaharul Ashriq. Susah sangatkah nak berterus terang dengan mama dan papanya? Sampai bila Zaharul Ashriq nak biarkan hubungan mereka macam ni?

Zaharul Ashriq membiarkan saja Tengku Dania berlalu pergi. Sebenarnya dia sengaja mahu membuatkan Tengku Dania sakit hati. Sekali sekala tengok Tengku Dania naik cemburu apa salahnya. Dia yang membuat temujanji untuk bertemu dengan Elinawati Maria di sini. Dia mahu berterus terang dengan Elinawati Maria tentang perhubungannya dengan Tengku Dania. Dia tidak mahu Elinawati Maria berterusan mengharapkan sesuatu yang tidak mungkin dari dirinya.

“Dah lama sampai?”soal Elinawati Maria manja.

“Baru saja. So, jom kita jalan sepanjang pantai ni. Saya ada sesuatu nak beritahu kat awak,” beritahu Zaharul Ashriq.

“Jom,” Elinawati Maria mengerling manja lelaki di hadapannya.

Tengku Dania mula mendidih. Zaharul Ashriq dengan selamba boleh berjalan dengan perempuan tu dan meninggalkan dia yang sedang merajuk. Eeei, geramnya!!

“Kak Senah, cepatlah. Cepatlah terbangkan layang-layang ni,” Hafiz bersuara. Nasib baik Kak Senah ada untuk dijadikan kawan bermain.

Tengku Dania cepat-cepat mendapatkan Hafiz. Rasa macam tak percaya saja aku datang kat pantai yang cantik lagi indah ini untuk bermain layang-layang dengan Hafiz. Memang tak ada masalah pun baginya. Tapi kalau dia yang terpaksa melakukan semua ni dan Zaharul Ashriq pula bersenang lenang dengan perempuan lain. Itu memang tak patut!

Tengku Dania sedaya upaya menghilangkan kegusaran di hatinya dengan melayan Hafiz. Berkali-kali mereka mencuba untuk menaikkan layang-layang. Akhirnya berjaya juga.

“First of all, saya nak minta maaf banyak-banyak dengan awak,”

“Hei, kenapa tiba-tiba serius sangat ni? And why do you want to apologize?”

Zaharul Ashriq sedaya upaya menyusun kata-kata yang terbaik untuk diucapkannya kepada Elinawati Maria. Dia tidak mahu hati Elinawati Maria terguris.

“Err, saya sebenarnya dah ada pilihan hidup saya sebelum saya bertemu dengan awak. Cuma saya belum terangkan lagi kat mama dan papa saya dan saya tak dapat terangkan kat mama dan papa saya sebab…”

“Sebab saya kan?” Elinawati Maria terus menyambung kata-kata Zaharul Ashriq.

Zaharul Ashriq mengeluh perlahan.

“Awak cantik dan baik. Saya pasti ada lelaki yang lebih baik untuk awak, Cik Maria. Mungkin kalau kita bertemu lebih awal, mungkin kita masih berjodoh untuk bersama,”

Elinawati Maria tersenyum. Ombak yang tidak henti-henti menghempas pantai menjadi latar suara bagi mereka berdua.

“Saya pasti adalah manusia yang paling rugi kerana saya terlepas untuk memiliki lelaki sebaik awak. Kalaulah saya hadir dalam hidup awak lebih awal…”

“Tak. Awak tak rugi apa-apa, Cik Maria. Walaupun kita tiada jodoh untuk disatukan, tapi kita masih boleh jadi kawan bukan? Saya tak mahu hubungan keluarga kita berlalu begitu sahaja. Kita masih boleh berkawan sampai bila-bila. Tidak bererti jika awak dan saya sememangnya ditakdirkan tidak mempunyai jodoh antara satu sama lain, maka hubungan keluarga kita akan terputus.”

Elinawati Maria mengesat air matanya yang mengalir di pipi. Entah mengapa sebak hatinya dengan pengakuan dari Zaharul Ashriq. Lelaki yang pertama kali berjaya berjaya bertahkta di hatinya. Dia harus menerima ketentuan ini. Sekurang-kurangnya lelaki ini jujur dan ikhlas menyatakan hal yang sebenarnya. Sangkanya Zaharul Ashriq turut mempunyai rasa yang sama seperti mana yang dirasainya selama ini. Rupa-rupanya sangkaannya meleset.

Zaharul Ashriq mengeluarkan sehelai sapu tangan dari poketnya. Air matanya Elinawati Maria dikesatnya. Kemudian sapu tangannya diletakkan ke dalam tangan Elinawati Maria.

“Jangan bazirkan air mata awak untuk saya. Simpan sedikit untuk lelaki bertuah dan lebih baik dari saya.” Ujar Zaharul Ashriq sambil tersenyum manis.

Elinawati Maria turut tersenyum. Ah, tak seharusnya dia menangis di hadapan lelaki hebat ini. Buat malu saja. Dia mengesat air mata di pipinya dengan sapu tangan milik Zaharul Ashriq.

“Siapa wanita yang begitu bertuah tu? Tak nak kenalkan dengan saya?”

Zaharul Ashriq tersenyum malu.

“Tonight. I will show her tonight,” ucap Zaharul Ashriq bersungguh. Majlis malam ini bukan sahaja akan mengejutkan mama dan papa. Malah, dia mahu mengejutkan Tengku Dania dan sekaligus memperkenalkan Tengku Dania kepada keluarganya dan semua yang mengenali.

Tengku Dania mengetap bibirnya. Sakit hatinya berganda melihat kemesraan kekasih hati dengan wanita pilihan Puan Sri Armilawani. Air matanya yang mahu melimpah sedaya upaya ditahannya. Dasar lelaki. Semua sama saja. Lamunan Tengku Dania berhenti apabila Hafiz yang sedang membina istana pasir menjerit memanggil namanya.

“Kak Senah!!”

“Ya, Hafiz sayang. Wah, pandai Hafiz buat istana pasir ya.”

“Buat istana pasir ni lagi senang dari main layang-layang. Kak Senah, Hafiz nak aiskrim…” rayu Hafiz perlahan. Terliur dia melihat kanak-kanak yang berlari-lari di hadapannya dengan membawa aiskrim.

Tengku Dania tersentuh. Kasihan. Dia memandang sekelilingnya. Pada waktu yang diperlukan, tak nampak pula motosikal yang biasanya membawa tong aiskrim.

“Kejap lagi kak Senah belikan. Jauh kat hujung sana pakcik yang jual aiskrim tu. Nanti bila dia dah dekat dengan kita, kak Senah belikan ya,”

Hafiz mula mencebik.

“Alaa, Hafiz nak sekarang juga. Cepatlah. Hafiz nak makan aiskrim sekarang juga,”

Tengku Dania tidak sampai hati mendengar rayuan kanak-kanak kecil tersebut.

“Okaylah. Jom, kita pergi beli,”

“Kak Senah jelah yang pergi beli. Kalau Hafiz pergi siapa nak jaga istana dengan rumah Hafiz ni,” rungut Hafiz. Dia kembali menyambung membina istana pasir miliknya.

Ish, budak ni. Karang aku debik jugak baru tau.

“Hafiz duduk sini diam-diam. Jangan pergi mana-mana.” Pesan Tengku Dania. Dia berlari mendapatkan ke arah motosikal yang membawa tong aiskrim.

Hafiz terus leka mencedok pasir dengan bekas yang berwarna biru. Dia mahu membuat benteng pula di sekitar istananya. Baru selamat. Orang jahat pun tak boleh masuk.

Tiba-tiba dia mendengar seorang kanak-kanak perempuan yang lebih kecil darinya menangis teresak-esak. Ah, ada awek yang memerlukan pertolongan. Hafiz membetulkan rambutnya. Dia berjalan dan menghampiri kanak-kanak perempuan tersebut.

“Awak, kenapa menangis ni? Ada apa-apa yang boleh saya tolong ke?”

Kanak-kanak perempuan yang sudah merah mata, pipi dan hidungnya menoleh.

“Bola saya. Bola saya…” ujar kanak-kanak tersebut teresak-esak. Tangisnya tidak mampu dibendung. Hanya jari telunjuknya saja yang menunjukkan bola miliknya yang berada di laut dan semakin lama semakin jauh ke tengah laut.

Hafiz menggaru-garu kepalanya. Alaa, kesiannya. Bola dia tercampak kat laut. Rasa-rasanya dia boleh ambilkan bola tersebut. Dia pun bukannya tak biasa berenang di kolam kat rumah sebelum ni. Hafiz melipat kaki seluarnya. Dia melangkah ke dalam air. Semakin lama, dia semakin dekat dengan bola tersebut. Namun, bola itu pula yang semakin menjauh. Kakinya sudah tidak mencecah air lagi. Dia cuba untuk berenang. Namun, ombak terlalu kuat buat tubuhnya yang kecil. Dia semakin tenggelam. Dia cuba untuk timbul di permukaan air. Tetapi sekejap sahaja dan tubuhnya tenggelam semula. Tolong…

Tengku Dania yang masih tercungap-cungap berlari dari hujung pantai ke tempat Hafiz membina istana pasir. Mana Hafiz? Berpusing tubuhnya ke kiri dan kanan mencari kelibat Hafiz. Nafasnya yang tidak stabil itu mula mengeluarkan bunyi. Penyakit lelahnya sudah kembali. Dia mencari Hafiz di laut. Satu tempat yang langsung tidak dijangkakan. Dia melihat Hafiz terkapai-kapai di tengah laut. Ya Allah. Tengku Dania tidak berfikir dua kali lagi. Dia terus berlari ke arah laut dan berenang ke arah Hafiz.

Bersungguh-sungguh Tengku Dania cuba menarik tubuh Hafiz yang semakin lemah. Dadanya terasa begitu sempit sekali. Ya Allah. Hafiz. Selamatkan dia, Ya Allah.

Tengku Dania menekan perut Hafiz beberapa kali. Satu, dua dan tiga. Hafiz mulai terbatuk-batuk.

Tengku Dania terduduk. Orang ramai mulai mengerumuni mereka berdua.

“Kak. Ya Allah, Hafiz!” jerit Zamir sambil memangku adik bongsunya. Hafiz masih terbatuk-batuk kecil dan mengesat mukanya yang basah. Dia sendiri terpinga-pinga melihat orang ramai mengerumuni mereka.

“Hafiz, akak dah pesan duduk sini diam-diam kan? Macam mana Hafiz boleh pergi berenang kat laut pulak?” soal Tengku Dania. Nafasnya masih tidak stabil.

“Hafiz nak tolong budak perempuan tu. Bola dia hanyut kat laut.” Jawab Hafiz takut-takut.

Tengku Dania menekan-nekan dadanya. Dia cuba bernafas sedalam mungkin. Namun, ruang pernafasannya semakin sempit.

“Kak, are you okay?” soal Zamir. Risau dia melihat Tengku Dania yang semakin pucat.

“Akak okay. Dahlah, jom kita bangun. Akak dengan Hafiz nak tukar baju yang basah ni,”

Zamir mengangguk. Tangan Hafiz dipimpin menuju ke tempat letak kereta.

“Mir, kenapa ni?” soal Zaharul Ashriq. Dari jauh dia dapat melihat orang ramai yang sedang mengerumuni sesuatu. Oleh itu, dia dan Elinawati Maria berpatah balik. Belum pun sampai ke tempat kejadian, orang ramai sudah beransur pergi. Apabila dia bertanya dengan seorang wanita yang kebetulan berselisih dengan mereka, wanita itu memberitahu ada seorang budak kecil lemas dan mujurlah sempat diselamatkan. Hatinya berdetik kanak-kanak yang dimaksudkan Hafiz. Namun, sedaya upaya ditepis rasa hati, kerana Tengku Dania ada menemani adik bongsunya.

Zamir serba salah. Dia memandang Tengku Dania dan adiknya silih berganti.

“Apiz yang hampir lemas tadi. Tapi dia tak apa-apa. Nasib baik kak Senah ada tadi.” Beritahu Zamir sambil memeluk bahu Hafiz.

“Macam mana Hafiz boleh lemas? Macam mana korang jaga Hafiz?” jerkah Zaharul Ashriq lalu mendukung Hafiz. Wajah Hafiz diusap perlahan. Sejuk sungguh pipi adik bongsunya itu.

Zamir menggaru-garu belakang kepalanya. Tengku Dania memandang ke arah lain. Dadanya yang masih sakit diurut perlahan. Malas mahu mendengar Zaharul Ashriq membebel dan yang membuatkan dia bertambah malas adalah kerana wanita yang berada bersebelahan dengan Zaharul Ashriq.

“Saya yang jaga dia tadi. Bukan Zamir. Saya yang cuai sebab tak jaga Hafiz betul-betul.” Beritahu Tengku Dania sambil terbatuk-batuk.

“Mana awak jaga dia? Jaga budak kecil seorang pun tak boleh ke? Susah sangat ke?”

“Dahlah tu. Hafiz pun dah selamat kan? Awak tak payahlah marah-marah dia,” lembut sahaja Elinawati Maria memujuk Zaharul Ashriq. Wajah Hafiz diusap perlahan.

Zaharul Ashriq merenung tajam Tengku Dania. Turun naik nafasnya melihat wajah Tengku Dania yang langsung tidak menunjukkan riak bersalah. Tengoklah muka dia tu. Siap menjeling lagi. Ikutkan sangat cemburu buta tu. Sampai jaga Hafiz pun boleh cuai sebegini rupa.

“Awak tengoklah dia ni. Ego. Langsung tak ada rasa bersalah. Kalau terjadi apa-apa kat Hafiz tadi macam mana? Tak ada rasa tanggungjawab langsung!”

“Encik Zaharul, tak ada apa-apa pun yang jadi kat Hafiz kan? Tak payahlah nak kecoh sangat. Sepatutnya Hafiz ni bawah tanggungjawab abang-abang dia. Tapi tengoklah apa yang abang-abang dia buat? Seorang membuta kat bawah pokok. Seorang lagi…” Tengku Dania tidak menghabiskan ayatnya. Geram dengan kata-kata yang dilemparkan oleh Zaharul Ashriq.

“Apa fungsi awak jadi orang gaji kat rumah saya? Sepatutnya awak yang ambil alih tanggungjawab tu bila kami tiada. Awak tak amanah dengan tanggungjawab yang diberikan. Saya tak boleh bayangkan macam mana awak jaga anak-anak awak suatu hari nanti. Saya tak tahu lelaki mana yang nak jadikan awak sebagai isteri sebab awak seorang yang sangat tidak bertanggungjawab!”

Zamir menepuk perlahan bahu abangnya.

“Abang, jangan lupa yang kak Senah tu..”

“Ah, sudahlah. Abang nak pergi salinkan baju Hafiz,” ujar Zaharul Ashriq. Sempat juga dia menjeling tajam Tengku Dania. Dia berlalu meninggalkan Zamir dan Tengku Dania. Elinawati Maria hanya mengikut tubuh Zaharul Ashriq dari belakang.

Tengku Dania mengetap bibirnya. Tidak berkelip matanya merenung Zaharul Ashriq yang berlalu pergi dengan Elinawati Maria.

“Saya tak tahu lelaki mana yang nak jadikan awak sebagai isteri sebab awak seorang yang sangat tidak bertanggungjawab!”

Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinganya. Kata-kata yang amat mengguris hati dan perasaannya sebagai seorang wanita. Apatah lagi sebagai seorang kekasih. Kata-kata yang amat keterlaluan buat dirinya.

Entah mengapa air matanya mengalir perlahan di pipi. Hatinya begitu terusik dengan kata-kata yang dilemparkan oleh Zaharul Ashriq.

“Kak.. janganlah menangis. Nanti Mir akan cakap dengan abang. Akak tak salah apa-apa pun,” pujuk Zamir. Dia kalut. Tengku Dania menangis teresak-esak.

Tengku Dania mengesat air matanya. Bodoh punya lelaki. Dia yang beria-ria nak kahwin dengan aku sebelum ni. Boleh pulak dia cakap macam tu. Dia bencikan Zaharul Ashriq. Dia bencikan lelaki kejam itu. Kenapa aku nak menangis sebab dia? Kau jangan jadi bodohlah, Dania.

Tengku Dania mengesat lagi sisa-sisa air mata yang masih ada. Aku tak patut menangis sebab dia. Tak berbaloi langsung. Mungkin dah sampai masanya dia meninggalkan rumah Zaharul Ashriq. Mungkin keputusannya untuk mengahwini lelaki itu terlalu cepat. Ya, aku akan tinggalkan rumah dia malam ini juga. Itupun setelah tamat majlis ulang tahun perkahwinan Puan Sri dan Tan Sri.

Zamir menggenggam penumbuk di tangannya. Bengang dengan Zaharul Ashriq. Kenapa perlu memarahi Tengku Dania sebegitu rupa? Kenapa harus mengeluarkan kata-kata yang begitu menyakitkan hati kekasihnya sendiri? Sudah berubah hati terhadap Elinawati Maria kah? Ah, rasa bersalah menggunung di hatinya. Kalaulah dia tidak tidur sebentar tadi.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

24 ulasan untuk “Novel : Bukan Aku Tak Cinta 27”
  1. green apple says:

    ape bengom la zaharul nie,,, lari dania lariiiiii kasi ajar sikit kat jantan nehhhhh,….. adoiiii cpat la smbungg cite
    plzzzzz

  2. kriss says:

    tinggalkan je bior padan muka dia,senang2 je nak sakitkan hati orang .

  3. anonymous says:

    sambung la cpat …. bab 28 … x sbar nie … huhu . saspen2

  4. bkj says:

    kesian lak kat dania nie..ish..ish..kalo nak marah pun cube ar senyum dulu….good to penulis..olahan yang baik….

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"