Novel : Calon Isteri Jutawan 1

31 October 2011  
Kategori: Novel

16,031 bacaan 6 ulasan

Oleh : Afifah Yusof

Bab 1

Ajal maut jodoh pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Aku sedar itu. Jenazah arwah walid dan umiku sudah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Batu 8 di kampungku. Aku mengesat air mata yang mengalir. Sudah diseka tapi air mataku tetap degil. Mengalir aje kerjanya!

“Yanie,kita balik ye dik. Hari pun dah senja ni,” ujar satu-satunya kakakku. Namanya Nurul Iftitah. Aku panggil dia Kak Ifti. Ooh.. lupa pula nak kenalkan diriku. Aku Nurul Izyanie. Orang panggil aku Yanie. Aku anak bongsu. Anak yang paling degil dan yang paling manja. Sebab tu aku agak shock mendengar berita kemalangan walid dan umi. Kakakku memang seorang yang tabah. Almaklumlah,anak sulung. Tanggungjawab anak sulung memang berat.

“Yanie….” Suara Kak Ifti kedengaran lagi. Aku mengangkat muka. Jauh betul aku termenung. Perlahan aku bangun dan melipat tikar untuk dibawa pulang.

‘Nanti Yanie dan kak Ifti akan datang lagi,’ bisikku di dalam hati.

Jarak rumah kami dengan tanah perkuburan tidaklah jauh mana. Sekangkang kera orang kata. Tidak sampai lima minit berjalan kaki. Rumah kami rumah yang paling hujung. Sebab itulah aku takut kalau keluar malam. Jenguk luar tingkap pun sudah nampak kawasan perkuburan ini. Macam manalah kehidupan aku dengan kak Ifti lepas ni. Dua anak dara yang hanya tinggal berdua di hujung kampung. Nak harapkan keluarga yang lain macam tak ada harapan aje.

Arwah walid anak sulung dari tiga adik beradik. Pak Ngah duduk di Seremban dan Mak Ucu ada di Perak. Jauh bebenor dari Pahang ni. Taknak aku pindah! Nanti,siapa nak tengok pusara walid dan umi. Arwah umi pula anak tunggal. Nenek dan datuk kedua-dua belah pihak juga sudah lama pergi menghadap Ilahi.

“Yanie okey ke?” suara kak Ifti sekali lagi mencantaskan lamunan panjangku. Aku hanya tersenyum tawar. Tidak mahu kak Ifti risau.

“Kita kena redha. Allah lebih sayangkan walid dan umi,” nasihat kak Ifti. Aku hanya mendengar.

“Masuklah. Kenapa tercegat dekat luar tu,” suara Mak Ngah isteri kepada Pak Ngah melaung memanggil kami berdua. Aku membuka selipar dan membontoti kak Ifti masuk ke dalam. Semua adik beradik arwah walid bertandang ke rumah kami. Malam ini nak dibuat kenduri tahlil.

“Korang pergi masuk berehat dulu. Malam ni masa tahlil biar ada tenaga,”arah Mak Ngah. Aku memandang kak Ifti yang turut memandangku.

“Tak apalah Mak Ngah. Kami nak tolong siapkan persiapan untuk malam ni,”jawab kak Ifti.

“Ikut suka koranglah. Mak Ngah ke dapur dulu. Apa-apa hal panggil Mak Ngah.” Wanita hujung 40an itu melangkah ke dapur. Aku dan kak Ifti duduk bersila di lantai ruang tamu. Mengemas apa yang patut.

“Yanie…” panggil kak Ifti perlahan. Aku mengangkat muka.

“Akak rasa macam nak putuskan pertunangan dengan abang Malik.” Beritahu kak Ifti perlahan. Aku terlopong. Kenapa?

“Kenapa pula kak?”

“Kalau akak kahwin nanti,siapa yang nak jaga Yanie? Akak tak nak Yanie terbiar. Yanie tanggungjawab akak sekarang. Akak sanggup tak kahwin sehingga ada orang yang boleh jaga Yanie. Akak nak putus sebab tak nak abang Malik tunggu terlalu lama. Dia berhak kahwin dengan perempuan lain.” Aku tersenyum mendengar bicara kak Ifti. Tangan kak Ifti ku genggam.

“Yanie dah besarlah,kak. Dah 26 tahun pun. Kak Ifti dengan abang Malikkan dah lama rancang tentang perkahwinan ni. Takkanlah sebab Yanie kak Ifti nak batalkan semua. Yanie pandai jaga diri. Kak Ifti tak payahlah nak batalkan ye.”

“Tapi….” Kak Ifti mahu membalas tapi cepat sahaja aku memotong.

“Lagipun, besar harapan arwah walid dan umi yang nak tengok kak Ifti naik pelamin. Yanie tak apa-apa. Kak Ifti jangan risau ye.” Aku meyakinkan kak Ifti.

“Betul ni?” kak Ifti nak main duga-duga pula. Aku senyum lebar. Nak menunjukkan yang aku benar-benar yakin dan tidak kisah jika kakakku itu berkahwin dengan abang Malik. Padahal,aku tak suka pun dengan abang Malik tu. Muka macam jahat. Tapi,dah kak Ifti suka dan cinta separuh mati,takkanlah aku nak halang. Aku pun bukan pasti sangat yang abang Malik tu jahat. Pakai bedal je.

“Terima kasih Yanie.” Kak Ifti memelukku erat. Aku tahu kak Ifti memang dah lama menunggu untuk diijabkabulkan dengan abang Malik. Mereka pun dah bertunang hampir setahun. Cuma,terkilan kerana arwah walid dan umi tidak sempat mahu melihat anak-anak gadisnya berkahwin.

“Tapi….kak Ifti kena janji yang takkan lupakan Yanie. Janji?” aku mengangkat jari kelingking.

“Apa Yanie cakap ni. Akak takkan sesekali lupakan Yanie.” Sekali lagi kak Ifti memelukku. Aku tersenyum hiba.

“Dahlah. Mari kita sedekahkan Yassin untuk arwah walid dan umi. Semoga arwah walid dan umi ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. InsyaAllah.” Selepas keadaan kembali tenang,kak Ifti bersuara. Aku mengangguk setuju. Kami berdua dan beberapa orang jiran yang bertandang memulakan bacaan Yassin. Sesekali air mataku mengalir dan cepat sahaja aku seka. Sebak. Ingatlah,setiap yang hidup pasti akan mati. Itu pasti.

…………

Aku mengangkat dulang makanan untuk dibawa ke dapur. Jemaah masjid yang datang untuk bacaan tahlil baru sahaja pulang. Beberapa orang jiran juga sudah meminta diri untuk pulang memandangkan jarum jam sudah menunjuk ke angka 10 malam.

“Biar saya bawa,” ujar sepupuku Qairil sambil cuba mengambil dulang dari tanganku. Aku hanya membiar. Dah orang nak tolong. Qairil ni anak tunggal Pak Ngah dan Mak Ngah. Umur sebaya denganku. Sekarang sedang bekerja di salah sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Orang pandai,jadilah doktor. Macam aku ni masih tanam anggur lagi.

“Saya harap awak tabah,” suara Qairil membuatkan aku tersedar. Mengelamun lagi. Aku hanya tersenyum kecil.

“InsyaAllah. Thanks,Ril.” Aku memandang sekilas muka Qairil. Dia juga sedang memandangku.

“Kenapa awak pandang saya macam tu?” soalku sambil bercekak pinggang. Tidak selesa dipandang begitu.

“Err..tak ada apa-apa.” Kelam kabut juga Qairil nak menjawab. Dia terus beredar. Aku hanya menggeleng. Pelik melihat tingkah sepupuku itu.

“Yanie pergilah berehat. Barang-barang ni kita kemas esok ajelah.” Tiba-tiba suara kak Ifti pula kedengaran. Aku hanya mengangguk. Badanku benar-benar keletihan.

“Kak Ifti pun berehatlah.” Aku memegang tangan kak Ifti. Kakakku itu hanya mengangguk.

“Abang Malik dengan keluarga dia dah balik ke?” soalku sambil menjengah ke ruang tamu. Hanya tinggal anak-anak Mak Ucu yang sedang menonton.

“Hmm… abang Malik kirim salam pada Yanie.” Kak Ifti tersenyum sahaja. Aku hanya mengangkat kening. Tak pernah-pernah bakal abang iparku itu berkirim salam. Nak ambil hati akulah tu.

“Waalaikummusalam…..” jawabku malas. Entah apa masalahku. Tak suka betul dengan abang Malik tu. Mungkin sebab dia suka merenungku kot. Tapi,kata kak Ifti abang Maliknya memang begitu. Cara pandangan dia memang macam merenung. Sebab itu kak Ifti kata jangan salah faham. Okey…aku percayalah.

“Dahlah. Pergi masuk bilik. Kejap lagi akak masuk.” Kak Ifti melangkah ke mana entah. Aku berjalan untuk ke bilik. Memang sejak dulu aku berkongsi bilik dengan kak Ifti memandangkan rumah kami ini hanya ada dua bilik.

“Nak masuk bilik dah ke?” tegur Qairil. Aku hanya mengangguk. Lelaki itu kulihat seperti ingin berkata sesuatu.

“Awak berehatlah. Awak nampak penat.” Qairil tersenyum manis. Aku membalas senyumannya. Apa kena dengan sepupuku ini sebenarnya?

“Saya masuk bilik dulu ye. Good night Ril.”

“Good night Yanie.”

Aku memulas tombol pintu bilik dan terus melangkah masuk. Badan dan fikiranku benar-benar memerlukan rehat. Ya Allah,Kau tempatkanlah arwah walid dan umi dalam golongan orang-orang yang beramal soleh. Aminn……..

~bersambung..




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

6 ulasan untuk “Novel : Calon Isteri Jutawan 1”
  1. irda says:

    awal yang bagus…tak sabar tunggu next citer…cptla sambung

  2. fatim says:

    best

  3. ana says:

    best… tpi bab nie m’datar jew…

  4. didi yaww says:

    bestbest.. cpt snbung

  5. Bluescarf says:

    Baru bab 1….@bluescarf

  6. nono70 says:

    baru stat baca…so…terlalu awal utk comment…so far…not bad

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"