Novel : Cik Bunga Dan Encik Sombong 7

5 October 2011  
Kategori: Novel

16,107 bacaan 60 ulasan

Oleh : AIRISZ

Bab 7

“LA, kesiannya, bakal adik ipaq Kak Imah yang kena siang ikan. Hang Intan, awat dera Harris sampai macam ni sekali? Awat tak panggil kak!” ujar Kak Imah sebaik saja datang dekat aku. Kak Imah cuit bahu aku sebelum dia sendiri duduk sebelah aku.

“Ingat Kak Imah sibuk tadi! Tu malas nak panggil. Ni kebetulan kak Imah dah mai, nak tanya Mak Cik Ros sihat lagi?” Aku tanya.

“Sihat, kenapa? Intan nak tempah kuih bahulu?’ soal Kak Imah lagi.

“Ingat nak tempah jugak!”

“Itu Intan jangan risaulah. Kak Imah tempahkan nanti.”

“Intan nak bentuk ikan haruan. Sepasang. Mak dengan pak. Anak Intan nak Sembilan ketul!”

“Amboi, Intan nak anak sembilan ka?” soal Kak Imah.

“Daklah!” Aku cakap dan aku nampak bibir Harris sudah mengukir senyuman. Perasan kut aku nak lahirkan sembilan anak dia. Tak tau hujung pangkal pun boleh senyum. Macam faham saja apa yang aku cakap pada Kak Imah.

“Ikan ni Intan nak masak apa?” Kak Imah tanya sambil mula siang ikan.

“Intan ingat nak masak ikan puyu tu dengan keman air. Rumah sapa ada keman air?”

“Parit depan rumah Tok Su Sani belambak keman air tumbuh. Pi lah Intan mintak!”

“Rumah Tok Su Sani? Rumah orang lain tak dak ka?” Aku tanya.

“Parit depan rumah dia saja yang ada. Lain mana ada. Pi lah naik motor Kak Imah sat. Bukannya jauh Parit Lima tu!”

“Masalahnya…” Aku pandang muka Kak Imah, kakak aku yang paling cantik di mataku dan kakak palling lembut berbanding kakak-kakak yang lain.

“Jangan kisahkan mak long tu. Dah pesen depa eksen lagu tu, kita nak buat macam mana lagi! Buruk-buruk pun mak saudara kita jugak. Ada sebab kenapa Intan tak jadi dengan Fahmi hari tu. Yang datang kemudian ni jauh lebih segak. Lebih bersopan santun. Tak dak sombong langsung!” kata Kak Imah. Kak Imah cakap macam hanya kami berdua saja yang ada. Terlupakah Kak Imah, depan dia ada seorang lagi lelaki yang sedang pasang telinga? Orang itulah yang Kak Imah puji sakan. Mahu tak menang orang tu nak kembang!

Aku pandang wajah Harris. Dia seperti tidak mengendahkan perbualan kami. Tapi aku pasti, Harris mesti terpanggil untuk bertanya siapa Fahmi.

“Bukan pasal tu, kak…”

“Habis tu?”

“Payah nak ceritalah!” Aku buat muka dan aku nampak Harris pandang aku. Mungkin dia nak menyampuk, tapi dia tak tahu punca cerita.

“Kalau payah jangan cerita. Intan pi start motor. Intan tu tengah darah manis. Bukan boleh silap sikit. Takut kempunan nanti. Biaq Kak Imah habiskan siang ikan ni!” arah Kak Imah. Aku berbelah bahagi lagi. Nak pergi ke tidak. Kerana mendengar nasihat Kak Imah, aku terus bangun dan pergi ke bilik mandi yang terletak bersebelahan dinding dapur. Aku basuh tangan sebersihnya walau bau hanyir ikan masih kuat melekat di tangan.

“Tolong!” Harris hulurkan tangannya minta aku curahkan air. Aku curahkan air ke tangan Harris.

“Encik pergi petik buah limau nipis kejap. Cuci tangan tu dengan limau nipis, kalau tidak bau hanyir ikan mau ikut encik sampai KL!”

“Nak petik limau nipis kat mana?” Harris tanya.

“Kat rumah perdana menteri kut!” Aku jawab selamba. Masa tulah Harris percikkan air ke mukaku. “Skema betul jawapan!” kata Harris sambil tergelak kecil. Gelak yang mengundang mesra. Mesra sangat-sangat!

“Mestilah kat pokok!” jawabku selepas itu.

“Yalah sayang, pokoknya kat mana. Macamlah saya ni tahu!” balas Harris. Huh! Sayang lagi. Aduhai… Bilalah aku nak mandi bawah tangga ni!

“Belakang rumah!” jawabku. Harris bergerak tinggalkan bilik mandi. Lepas tu aku rasa susah hati. Manalah dia kenal dengan pokok limau nipis. Jadi aku nak tengok apa yang berlaku. Waktu aku sampai belakang rumah, Harris sedang berdiri berhampiran pokok buah kedondong yang berbuah lebat. Terlentok-lentok buahnya hingga ada mencecah tanah. Kan dah cakap. Mesti tak kenal punya.

“Helo sayang, tu bukan pokok limau nipis. Tu buah kedondong!”

“Saya kenallah pokok limau nipis!” jawab Harris sambil jeling aku.

“Habis tu berdiri tepi pokok buah kedondong kenapa? Mengidam? Kalau mengidam makan ajelah!” usikku. Cepat saja tangan Harris petik sebiji buah kedondong lalu dicampak ke arahku. Kelam kabut aku sambut. Lepas lap kat baju aku sumbat ke mulut. Huh! Masam gila! Aku luah balik. Tak lalu nak makan. Aku campak buah kedondong tersebut ke arah pokok lengkuas.

“Nak petik berapa biji?” soal Harris ketika dia sudah berdiri di tepi pokok limau nipis yang juga sedang berbuah lebat.

“Dua bijik cukuplah. Nak cuci tangan encik aje!” balasku. Kemudian aku bergerak semula ke tempat siang ikan. Nak ambil pisau. Kemudian aku kembali mendapatkan Harris.

“Encik cuci sendirilah. Saya nak pergi rumah Tok Su Sani!” Aku hulurkan pisau kepada Harris. Biar dia uruskan sendiri. Tak kan nak potong limau pun tak tahu!

“Nak ikut” kata Harris.

“Tak payah! Tak payah!” Aku bantah. Pantang aku bergerak sikit. Mulalah nak ikut. Tak faham aku dengan lelaki seorang ni! Aku terus jalan tinggalkan Harris.

“Eh! Saya nak ikut jugak!” Harris letak pisau dan buah limau dekat lesung padi. Kemudian kejar aku.

“Encik, janganlah ikut. Buat malu saja nanti!” Aku bantah.

“Bawak ajelah Intan. Nak malu apa lagi. Dah nak jadi laki!” sokong Kak Imah. Harris sambut dengan senyum. Seronok gamaknya ada orang sokong dia.

“Nanti singgah sat rumah mak mertua Kak Imah. Ambik jantung pisang dengan pucuk ubi. Kita buat ulam tengahari nanti. Kalau tak dak sapa-sapa kat rumah tu, ambik aje,” pesan Kak Imah lagi.
Aku tak cakap apa-apa sebab masa tu aku dah sedia nak gerakkan motorsikal Kak Imah. Harris pula siap bertenggek kat belakang.

“Encik bawaklah kalau macam ni!” Aku merungut.

“Saya tak tahu bawak motorsikal, ” jawab Harris memaksa aku toleh ke belakang dan pandang muka dia. “Betul, saya tak pernah tunggang motorsikal!” jelas Harris lagi. Kali ini lebih bersungguh.

“Boleh percaya ke? Muka macam mat rempit saja!”

“Banyaklah awak punya mat rempit,” katanya sambil tolak kepalaku perlahan. Cepat-cepat aku betulkan tudungku. Manja saja aku dengar suara Harris. Aku dah senyum. Hmm, lain betul Encik Sombong ni. Dah jadi Encik Tak Berapa Sombong!

Aku terus bawa motorsikal. Tak berani bawa laju sebab takut dia peluk aku. Jadi kes pulak nanti. Mulut orang-orang kampung aku boleh tahan. Ini nasib baik minggu depan nak bertunang, kalau saja-saja datang, memang habislah kena kutuk.

Sampai rumah Tok Su Sani, aku terus bagi salam. Rupanya Tok Su Sani ada bawah rumah sambil kupas buah pinang dengan kacip. Banyak buah pinang yang Tok Su Sani kupas. “Orang sekarang mana makan buah pinang dah!” Aku cakap sambil duduk di atas pangkin mengadap Tok Su Sani.

“Bukan buat makan. Orang buat bunga gubahan. Tu buah pinang ada harga la ni!” jawab Tok Su Sani.

“Lagu tu ka?” Aku tanya sambil pandang parit depan rumah Tok Su Sani. Memang banyak keman air. Buah teratai pun ada.

“Mailah duduk sini!” ajak Tok Su Sani kepada Harris. Harris datang dekat dan hulurkan tangannya kepada Tok Su Sani. Hmm, bagus bertuah ni. Tau ambik hati! Aku rasa cukup lega dengan sikap sederhana Harris.

“Tok Su Siah mana?” Aku tanya pula isteri Tok Su Sani.

“Mana lagi. Parlimen tengah bersidang!” jawab Tok Su Sani. Hmm, fahamlah aku. Tu mesti ada yang kutuk aku. Mana boleh tak kutuk. Naknya ahli parlimennya mak long dan mak ngah, Mesti kecoh punya. Tapi tak apalah. Mulut tempayan boleh ditutup-tutup, mulut orang mana boleh buat macam tu. Lagipun, kutuklah aku berbakul-bakul, aku tak luak apapun.

“Ni nak mintak sikit keman air boleh?” Aku tanya.

“Hang pi lah ambik sendiri. Tok tak mau main ayaq!” jawab Tok Su Sani. Aku mula selak kaki seluar sampai paras lutut. Nak randuk air lagi. Sekali sekala balik kampung kalau tak makan keman air memang tak sah.

Aku bergerak ke arah parit. Harris juga ikut. Dia juga selak kaki seluarnya. “Encik duduk situ. Jangan gatal nak turun!” arahku. Rimas aku dengan dia ni. Pantang ada peluang.

“Kenapa pulak?” Harris macam membantah.

“Encik masuklah kalau berani. Kat sini banyak belut liar. Kalau belut tu dapat masuk seluar encik, mahu putus ehem encik kena gigit. Kalau putus satu sen tak guna!” Aku bantai gelak lepas tu sebab tak sangka aku berani sebut pasal ehem orang tu. Bukannya apa. Dia ni macam gian nak berkubang. Karang satu hari pulak dalam parit ni kalau tak cakap macam tu.

“Intan, awak mainkan saya?” soal Harris.

“Encik berani turunlah! Kalau putus saya tak jamin. Upah satu juta pun saya tak nak kahwin dengan encik!” Aku cakap lagi. Gelakku makin menjadi.

“Siap awak nanti!” Harris tercegat berdiri di tepi parit. Aku nampak dia macam senyum saja. Tahu takut! Mustahillah nak percaya cakap aku. Terang-terang mengarut! Tapi mungkin dia fikir untuk keselamatan kut!

Aku kutip keman air sebanyak yang aku nak. Kemudian aku petik juga buah teratai yang sedang elok dimakan. Nak ajar Harris makan buah teratai.
Selesai kutip keman air, aku terus balik. Masa balik aku ada juga pandang rumah mak long. Macam sunyi sepi saja. Kat manalah ahli parlimen ni bersidang. Kemudian aku singgah kejap rumah mak mertua Kak Imah. Memang tak ada orang. Hmm, bersidang juga ke mak mertua Kak Imah ni? Mungkin jugaklah sebab rasanya mak mertua Kak Imah inipun satu parti dengan mak long dengan mak ngah. Parti murai dot com!

Aku kutip pucuk ubi yang tumbuh tepi jalan depan rumah mak mertua Kak Imah. Kemudian aku cari pokok pisang. Mana pulak pokok pisangnya. Malaslah aku nak redah rumah orang. Kutip pucuk ubi sudahlah. Lepas tu aku terus balik rumah.

“EH! BERTUAH, hang giling sat rempah. Tu Kak Peah hang teringin nak makan gulai atas darat!” kata mak sebaik sahaja aku letak pucuk ubi atas meja makan. Mak pulak masih sibuk bungkus kuih koci labu. Tahu aku suka makan koci labu. Kuih itulah mak buat sampai tak turun tolong aku siang ikan.

“La, pasai apa dia tak giling sendiri?” Aku tanya mak, kemudian pandang batu giling yang tersandar tepi pintu dapur.

“Hisy, mana boleh. Kak Peah hang tu berisi lagi. Baru dua bulan. Mana larat nak giling apa!”

“La, depa ni tak dak kerja lain ka? Asyik buat anak saja…!” Aku merungut. Sepatutnya aku ni diberi layanan kelas lima bintang. Bukannya selalu aku balik. Ini tidak akulah bibik taraf antara bangsa. Semua kerja aku yang buat. Sikit masa lagi, mau aku jugak yang kena panjat pokok kelapa!

“Mulut…! Dengaq Kak Peah hang, mau masa tu jugak dia balik!” Mak marah aku. Aku ni lagi marah. Dari subuh tadi buat kerja. Masak nasi lemak aku. Buat sambal tumis ikan bilis aku. Siang ikan aku. pergi kutip pucuk-pucuk bagai semua aku. Tu belum lagi kerja sebagai tourist guide orang tu! Rasa penat sangat. Ni nak suruh aku giling rempah pulak. Mulalah aku nak menyumpah. Tapi tak kan aku nak biar mak pulak yang giling. Sementara aku ada ni, kenalah buat jugak.

Mak terus sambung bungkus kuih koci labu.

“Tak sangka awak pandai giling rempah ya!” Harris datang dekat aku sambil lumurkan tangannya dengan limau nipis. Dia berdiri saja di muka pintu dapur.

“Encik, saya bukan setakat pandai giling rempah. Giling orang pun saya boleh!” Aku jawab. Terus Harris gelak dengan kuat.

“Awak kalau marah tambah comel!”
Aku hentak batu penggiling. “Encik nak kena giling sekarang?”

“Awak ni. Cepat sangat naik angin. Benda kecik-kecik pun nak naik angin.”

“Kecik encik kata? Orang lain yang mengandung saya yang kena buat kerja!” bebelku sambil sambung giling rempah.

“Tak apalah awak. Nanti kalau awak yang mengandung, saya jamin awak tak akan buat satu apa kerja pun. Dan harap awak bersedia untuk mengandungkan anak-anak saya!”
Geramnya aku. Tak memahami keadaan betul! Aku cakap benda lain, dia faham lain. Aku cakap aku penat! Bukannya sebut pasal mengandung!
Aku jeling Harris selepas itu. Dia senyum dan senyuman Harris nampak sangat lain. Separuh marahku jadi hilang bila lihat senyumannya. Nampak dia macam sedang dilamun bahagia. Dan aku terus tak ingat aku nak cakap apa sebenarnya. Semua jadi hilang!

SERUPA sarapan tadi, masa makan tengahari inipun aku menantikan kritikan daripada ayah. Tapi mujur ayah tak banyak bunyi. Mungkin sebab ada Kak Peah dan juga Kak Imah. Aku perhatikan pula cara Harris makan. Harris tak berapa sentuh lauk lain. Terutama sayur keman air tu. Tapi dia lebih banyak makan sambal tumis ikan bilis pagi tadi. Jadi aku mula tahu selera dia. Dia suka makan sambal tumis. Kalau macam ni senanglah aku. Masak sambal tumis saja setiap hari.

“Kenapa tak makan lauk lain? Tak sedap ka?” Ayah tegur. Mungkin nampak Harris tak berapa sentuh lauk lain. Aku pandang Harris sambil kunyah nasi. Menanti jawapan daripada Harris.

“Saya masih tak biasa dengan makanan kampung ni,” jawab Harris.

“Hang awat tak cakap kat ayah. Boleh ayah beli ayam!” Ayah tampar bahu aku tiba-tiba. Huh! Aku jugak yang kena.

“Mana tau!” Aku jawab ringkas.

“Habis berkasih dah setahun, tak kan tak tau Harris suka makan apa!”
Aku rasa nak tercekik bila ayah sebut berkasih dah setahun. Kalau lagu ni, mahu mati tecekik aku. Masa makanlah aku kena basuh dengan ayah. Masa lain tak pulak nak cerita apa-apa.

“Lain kali ambik tau pasal selera Harris. Jangan fikir selera hang saja!” tegur ayah lagi.

“Tak apa pak cik. Intan memang sedang berusaha. Saya faham!” kata Harris tenang. Terus aku pandang dia. Awak, kenapa awak macam ni? Kita lebih selesa kalau awak jadi Encik Sombong. Kalau awak jadi Encik Sombong, kita tak rasa apa-apa terhadap awak. Tapi bila awak macam ni kita akan terasa-rasa. Awak buat kita bimbang saja!

Aku letak terung gulai atas darat dalam pinggan Harris. Kemudian sayur keman air. “Belajar makan makanan jenis ni. Kalau jamu makaroni untuk makan tengahari, mau ayah demam sebulan!” kataku perlahan.

“Tok sah paksalah kalau tak biasa. Nanti sakit perut baru ya.” Mak tumpang cakap.

“Tak biasa tulah nak biasakan. Intan mana tau masak makaroni!” sindirku. Terus pandang wajah Harris. Ada satu perkataan yang sangat sesuai untuk menggambarkan wajah Harris ketika itu. Perkataan itu adalah, TAKUT! Betul-betul aku nampak Harris takut nak makan. Macamlah aku dah bubuh racun tikus dalam semua makanan tu.
Perlahan demi perlahan aku nampak Harris sumbat sayur keman dalam mulutnya. Risau takut dia luah, tapi bila nampak dia terus kunyah rasa sikit lega.

“Hmm, boleh tahan!” kata Harris perlahan.

“Sebab itulah, apa-apa hal kita kena cuba. Kalau kita tak cuba, kita tahu apa keputusannya!” balasku.

“Ya, betul tu. Apa-apaun kita harus mencuba, kalau tidak kita tidak tahu kita suka atau tidak!” kata Harris sambil jeling aku. Aku faham maksud jelingannya. Tak perlu nak jelaskan. Bukankah sekarang ini juga aku sedang mencuba? Mencuba untuk menerima dia seadanya. Harap dia faham dan mengerti, aku benar-benar sedang mencuba.

AKU siap-siap nak balik waktu jam tunjuk pukul 2.00 petang. Masa aku turun dari atas rumah, Harris masih berdiri memandang arah sawah. Aku perasaankan dia suka melihat sawah padi. Mungkin ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Ataupun seumur hidup dia memang tak pernah tengok pokok padi.

Aku duduk atas tangga. Perhatikan dia. Macam-macam aku nampak pada diri Harris. Aku nampak seperti dia baru kenal dunia, walaupun aku tahu dia lebih arif tentang dunia. Dunia yang baru dia kenal ini mungkin dunia yang dia cari selama ini. Aku nampak juga dia seperti kesepian dan hidup bersendiri selama ini. Entah kenapa aku boleh nampak semua itu dalam diri Harris.

Kemudian Harris atur langkah menghampiriku. “Dah siap?” Dia tanya.

“Hmm,” jawabku. Aku memang sudah sedia. Semua barang aku dah sumbat dalam kereta. “Kita bertolak sekarang?” Aku tanya bila nampak macam Harris tak nak balik saja.

“Hmm…” jawabnya.
Aku dapatkan emak. Peluk cium emak bersama kasih sayang. Kemudian ayah. Emak dengan ayah perangai memang semacam. Kalau anak-anak nak bertolak, masing-masing tak banyak cakap. Aku tahu mak dan ayah sedih tapi tak tunjuk. Sebab aku tahu jugak, kalau mak dengan ayah tunjuk sedih, dulu-dulu aku menangis.

“Ini apa lagi?” soal ayah. Aku nampak macam Harris hulurkan sesuatu kepada ayah. Harris tak cakap apa-apa. Lepas cium tangan ayah, Harris peluk ayah dengan erat. Kali ini sangat berbeza. Dia pula yang beriya peluk ayah. Wajah Harris sudah berubah. Sungguh, aku mula sayu melihat keadaan itu.. Seperti sudah ada rasa kasih pada ayah.

“Tolong jaga Intan baik-baik. Dia tu macam kambing lupa kandang kalau dibiaq tak tentu arah,” pesan ayah pula. Aduhai, aku sudah disamakan dengan kambing. Macamlah tak ada binatang lain!

“Insya Allah, pak cik. Intan dah jadi sebahagian daripada tanggungjawab saya. Saya akan jaga Intan dengan baik!” jawab Harris. Hmm, betul ke tu awak? Awak nak jaga kita dengan baik? Baik-baiklah jaga kita ya. Kita pun akan jaga awak dengan baik!

“Senang hati perut pak cik dengaq macam tu,” jawab ayah. Lepas peluk ayah, Harris dapatkan emak pulak. Seperti ayah, mak jugak dapat ‘imbuhan’. Aku rasalah sebab Harris hulurkan juga sesuatu untuk emak.

“Apa lagi ni, dah sudi nak kahwin dengan Intan pun mak cik dah bersyukur sangat-sangat.” Sekali lagi emak macam nak ambil hati Harris. Harris senyum saja dan cium tangan mak selepas itu.

“Kami balik dulu mak cik,” kata Harris perlahan. Ada nada sebak yang tertangguh. Susah untuk aku faham.

“Hati-hati…!” kata mak. Ayah pun sebut perkataan sama.

“Kenapa Intan pulak yang bawak kereta?” Ayah tanya. Mungkin hairan sebab aku jugak yang pandu kereta. Masa datang hari tu pun aku juga yang pandu kereta.
Aku tak boleh jawab dengan jawapan jujur sebab itu dikira bakal menjatuhkan air muka Harris. Sebagai bakal seorang isteri, aku wajib mempelajari bagaimana cara-cara hendak menjaga maruah bakal suami. Jadi aku pilih jawapan begini. ” Lepas gian, ayah!” Lepas tu aku toleh pandang muka Harris. Dia juga pandang aku. Muka dia manis dan berseri, tandanya dia senang dengan jawapan yang aku berikan. Tentu saja aku dah ‘cover’ malu dia.

“Banyaklah hang punya gian, Intan. Bukan ayah tak tau hang tu. kalau dapat pegang stering kereta, macam dapat stering kapal terbang. Jalan tu hang buat macam tok nenek moyang hang punya!” Ayah tak buat lawak. Tapi ayah macam ingatkan aku.

Aku diam. Tak berani nak sambung buat lawak. Kalau sudah tok nenek moyang terkeluar daripada mulut ayah, tu maknanya bukan acara lawak lagi. Ayah memang serius. Awalnya nak juga aku tanya, kapal terbang ada stering ke, tapi tak berani.

“Balik dulu mak ayah.” Aku cakap dan mula hidupkan enjin kereta.

“Bertuah oi, bawak kereta pelan-pelan!” Mak laung sebelum aku bergerak tinggalkan halaman rumah. Aku cuma angkat tangan dan pandu kereta perlahan. Harris toleh belakang dan lambai tangan.

“Encik jangan sedihlah. Minggu depan encik datang lagi,” Aku cakap bila nampak wajah Harris macam sayu sangat. Pelik sungguh dengan lelaki bernama Harris ini. Nampak macam tak ada perasaan, tetapi terlebih berperasaan pula. Aku pun tak macam tu.
Harris diam tak jawab apa-apa.

Aku terus pandu kereta. Menyusuri semula jalan sempit. Ketika hampir dengan rumah arwah Haji Yusof, aku nampak kereta Myvi warna putih. Itulah kereta milik Fahmi. Jadi aku masuk halaman rumah arwah Haji Yusof untuk memberi laluan kepada juruteknik salah sebuah kilang elektronik di Seberang Jaya untuk lalu.

Tapi yang peliknya, rumah mak long di Parit Lima. Kenapa ikut Parit Empat? Saja nak tayang Myvi baru dia ke? Atau sudah ada yang sampaikan berita aku ada di Parit Empat? Apapun, suka hati dialah.

Masa kami selisih, Fahmi pandang aku. Aku pun pandang dia. Dia tak senyum, jadi dia harap aku akan senyum? Hilang ingatan agaknya kalau aku senyum kat dia. Minta maaf! Aku dendam sampai mati walau perasaan aku terhadap dia tak berubah.

“Tunggu apa lagi?” Harris ingatkan aku. Kereta Fahmi sudah melepasi kawasan rumah arwah Haji Yusof. Aku sambung pandu kereta. Tiba-tiba saja hati jadi sakit. Tapi kenapa nak sakit hati bagai? Benda dah lepaskan? Ah! Kadang-kadang, manusia sendiri yang suka cari penyakit. Rasanya manusia tu termasuklah aku.

“Kenapa ni?” Harris tanya aku. Cepatnya dia perasan. Aku tak jawab. Terus pandu kereta.

“Intan…!”

“Oh! Ya, ini sekolah saya.” Aku tunjuk Sekolah Muzaffar Shah yang tersergam indah di tepi jalan.

“Intan, saya bukan nak tahu sekolah awak, tapi saya nak tahu apa yang menganggu perasaan awak sekarang ni!”

“Tiada apa yang menganggu perasaan saya, encik. Saya biasa saja,” jawabku.

“Memang betul saya baru kenal awak dan saya tidak begitu memahami awak. Tetapi saya boleh nampak kalau ada sesuatu yang tak kena dengan awak. Awak jangan nak sembunyikan apa-apa daripada saya!”

Aku tergamam. Tak tahu untuk bercakap lagi. Seperti berhentinya kereta di Simpang Empat kerana aturan lampu isyarat, seperti itu juga fikiranku berhenti untuk berfikir. Namun aku betul-betul tidak tahu untuk memberi jawapan yang bagaimana.

“Boleh saya tahu siapa Fahmi?”

“Seseorang yang saya tak ingin nak ingat!”

“Jadi awak kena beritahu saya siapa Fahmi!”

“Sepupu!” Aku jawab dan terus pecut. Jangan tanya aku apa-apa lagi sebab aku tak suka nak cerita apa-apa!




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

60 ulasan untuk “Novel : Cik Bunga Dan Encik Sombong 7”
  1. Applejuice says:

    Best ;D

  2. Addeen says:

    damn best…

  3. cool girlz says:

    cerita niiiiii best??????????????????????????????????????????//

  4. Lovely says:

    hehe bermulanya konflik..

  5. fiera musri says:

    again…again…

  6. Che Gilerr Novel says:

    huhu…bez bez…
    jeles larrr che kalau gini :D
    bleh wat novel ni :)
    hehe

  7. qistinaraihanah says:

    best cite ni. tapi ada banyak perkataan yang sy xfhm… keman air tu ape ek?

  8. ain says:

    cite nie watkan aku sengih x henti2…hehehe

  9. secret says:

    best sesangattttt!

  10. LeeyaAsyikin says:

    sy baru beli buku ne smlm dan habis bc ari ne…ya allah best yg amat2 citer ne…buat sy gelak sorg2 x henti.citer sblm kawin mmg sgt2 mghiburkn..penat mulut gelak..terima kasih kpd penulis yg bjaya mghasilkn novel paling menghiburkn sebegini..smoga penulis terus bjaya menghasilkn yg terbaik lg slps ne…novel cik blur n encik ikhlas pun best jugak..tahniah :-)

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"