Novel : Sebenarnya, Saya isteri dia! 10

6 October 2011  
Kategori: Novel

74,740 bacaan 80 ulasan

Oleh : Addy Rifqhiey

Bab 10

SETELAH HAMPIR lima minit meninjau-ninjau pelbagai lauk pauk serta hidangan yang berderet di meja bufet itu, Firash mengambil keputusan untuk mengambil daging masak lada hitam serta udang masak merah sebelum diletakkan ke dalam piring sederhana kecil. Beberapa ekor udang masak merah pula diletakkan ke dalam piring. Namun matanya masih lagi ralit memerhatikan desert iaitu puding karamel yang amat digemarinya. Tak apalah, kejap lagi aku datang ambil lagi. Ni pun dah tak cukup tangan dah nak dibawa, bisiknya dalam hati.

Perlahan-lahan dia berjalan ke arah Syaf yang masih menunggu di meja. Hmm, takkan tak nak ambil makanan pulak kut? Takkanlah nak makan nasi saja kut? Fikir Firash sebelum melabuhkan duduk di kerusi yang bersetentang dengan Syaf. Belum sempat dia membuka mulut untuk bertanya, tiba-tiba saja gadis itu bangun. Aku ingat dah tak nak ambil makanan tadi!

Dia hanya menjongketkan bahu dan membetulkan kedudukan piring-piring yang mengandungi lauk-pauk itu. Apabila teringatkan akan puding karamel yang amat digemarinya, dia lantas bangun menuju ke meja bufet untuk sekali lagi. Di kala itu Syaf sudah menapak menuju ke meja mereka kembali. Dia cuba mengintai apa yang gadis itu ambil namun kelihatan kerana langkahnya dihalang oleh salah seorang tetamu di situ. Tangannya pantas mengambil beberapa keping puding karamel itu sebelum diletakkan ke dalam piring kecil.Firash kembali di kerusi dengan piring yang dipenuhi dengan beberapa potong puding karamel. Dia cuba menjenguk ke arah lauk yang diambil oleh Syaf.

“Sikitnya ambil lauk.” Tegurnya apabila mendapati Syaf sekadar mengambil seketul ayam masak merah dengan ikan tenggiri masak masam manis. Kelihatan gadis itu memandangnya dengan penuh tanda tanya.

“Aku makan sikit je masa buka, takut sakit perut pulak nanti.” Balas Syaf bersahaja. Firash memandang lama ke arah Syaf sambil memikir kembali apa yang diperkatakan gadis itu. Ni macam nak sindir aku je ni! Aku tahu lah yang aku tak puasa sebab kena gastrik semalam, bebelnya dalam hati. Disebabkan terasa sedikit sebal dengan kata-kata Syaf tadi, tangannya laju mencapai air buah-buahan yang diletakkan di dalam gelas berkaki tinggi itu lantas dibawa ke mulut. Syaf yang sedang melihat kelakuan Firash itu sedikit membulatkan mata.

“Kalau tak puasa pun agak-agaklah kan kalau nak minum, hormatlah kat orang yang tengah puasa ni.” Firash tidak jadi meneguk air buah-buahan itu. Matanya ditalakan ke arah wajah Syaf yang sedang tersenyum sinis. Erk! Macam mana aku boleh lupa ni? Dia memandang ke sekeliling. Nasiblah tak ada orang yang terperasan akan tindakannya tadi. Dia berdeham.

“Aku tak sengaja lah.” Firash cuba menafikan. Walhal terasa tebal je kulit mukanya seketika tadi. Kalaulah dia tak tegur aku tadi, konfem malu aku setahun kat sini, bisiknya lagi dalam hati.

“Yelah. Ada 10 minit lagi sebelum buka. Lepas tu tak apa lah kalau nak minum dua tiga liter pun.” Kedengaran lagi suara gadis itu menyindirnya. Seketika dia mengerling gadis itu yang seperti sedang menyembunyi senyum. Firash mengetap gigi. Geram.

“Aku nak pergi toilet kejap.” Firash bangkit lalu menapak menuju ke pintu keluar. Haishh, buat malu je aku depan dia tadi. Jatuhlah saham aku macam ni! Dah tahu kau tu tak puasa, asal boleh buat perangai macam tu pulak? Kutuk hatinya seraya menyimpul sedikit senyum pada petugas yang menjaga pintu ruang makan itu.

***

USAI MAKAN tadi, Syaf dan Firash menunaikan solat Maghrib di surau di hotel tersebut sebelum menyambung kembali perjalanan mereka. Hari sudah mulai gelap. Kelihatan kilat sudah mula memancarkan cahayanya apabila Firash menawarkan diri untuk memandu kereta Syaf itu. Syaf yang merasa kelakuan Firash sedikit pelik hanya membiarkan saja. Mungkin juga lelaki itu kasihan kut dengan dirinya yang berpuasa tadi, fikirnya lagi sebelum membolos masuk ke perut kereta.

Masing-masing hanya terdiam sambil ditemani dengan celoteh deejay serta lagu-lagu yang berkumandang dari radio yang terpasang. Syaf membetulkan kedudukan tubuhnya untuk membolehkan kepalanya bersandar bersandar dengan selesa. Terasa sedikit penat pula apabila terlalu lama memandu tadi. Tambahan pula dengan perut yang sedikit kenyang, matanya mula terasa mengantuk.

“Kalau kau nak tidur, tidurlah. Nanti dah sampai nanti aku kejut.” Firash menegur Syaf yang sesekali memejamkan matanya. Beberapa kali tangannya menahan mulut yang menguap. Terkejut dengan teguran itu, cepat-cepat dia membuka kelopak matanya yang mula terpejam. Apasal tiba-tiba mamat ni baik semacam aje dengan aku hari ni? Dahlah tadi siap ajak aku makan kat hotel lagi walaupun dia cakap dapat jemputan tu secara percuma. Lepas tu offer nak drive kereta. Ni siap offer suruh tidur pulak, atau dia ada agenda tersendiri nanti? Fikir Syaf seraya menjeling ke arah Firash yang masih fokus memandu.

“Tak payah nak jeling-jeling, kalau mengantuk nanti tidur aje lah.” Balas Firash seolah-olah matanya dapat menangkap kerlingan mata dari Syaf. Syaf meneguk liur. Nampak ke aku jeling dia tadi? Bahaya betul ni, ada mata ketiga ke apa! Rungutnya sebelum menfokus pandangan ke depan.

“Yelah.” Putus Syaf akhirnya. Tak nak bertengkar pula disebabkan hal ini. Dia kembali memejamkan matanya. Cepat saja rasa mengantuk yang sudah lama datang tu kembali. Tak sampai sepuluh minit, dia sudah mula dibuai mimpi.

Firash memandu dengan kadar kelajuan sederhana. Hujan yang mulai lebat itu sedikit menyukarkan pemanduannya. Walaupun sesekali dia memasang lampu tinggi, jarak pemandangan di hadapan agak terlalu terhad sehinggakan dia terpaksa berhati-hati. Dia mengeluh perlahan. Mesti lambat lagi nak sampai kalau macam ni, getus hatinya sambil sekilas memerhatikan Syaf yang sedang lena. Entah kenapa terbit senyum kecil di bibirnya apabila mengenangkan perkara yang terjadi semalam. Rasanya gadis itu tidak sedar langsung akan apa yang dibuatnya semalam. Kalau sedar, sudah pasti gadis itu sudah menghalang akan kelakuannya ketika itu. Dia pasti gadis itu tidak suka dia cuba mengambil kesempatan walaupun kalau diikut hukum, dia berhak membuat apa saja terhadap gadis itu.

Akhirnya selepas hampir dua jam memandu, sampailah mereka ke kawasan rumah sewanya. Firash memberhentikan kereta sedikit jauh dari rumah sewanya itu. Dia tidak boleh memarkirkan kereta terlalu dekat kerana bimbang jika Fiqri atau Mie nampak yang Syaf menghantarnya. Sudah pasti jenuh pula untuk menjelaskan hal sebenar. Lagi pula dia tidak bersedia lagi untuk menceritakan rahsianya yang satu itu.

Setelah enjin kereta dimatikan. Dia menoleh ke sebelah. Kepala gadis itu yang sedikit terlentok ke cermin tingkap kereta diperhatikan lama. Terdengar dengkuran halus yang terbit dari gadis itu. Apa aku nak buat ni? Nak kejutkan dia saja atau biar saja dia tidur dulu? Firash menimbang-nimbang persoalan itu di dalam otaknya.

“Eh bangun lah, dah sampai ni.” Firash cuba merapatkan tubuhnya ke arah gadis itu dan cuba menggoyangkan sedikit bahu Syaf. Walau beberapa kali kali dikejutkan namun langsung tiada respons. Gadis itu seperti nyenyak saja tidur tanpa menyedari bahunya sedang digoyangkan. Firash mengeluh lemah. Lena sangat ke dia ni tidur sampai aku goyangkan bahu pun tak sedar? Dia cuba untuk menggerakkan sekali lagi. Dan akhirnya kepala gadis itu sedikit bergerak dan berdiri tegak. Namun keadaan itu hanya bertahan untuk dua saat sahaja sebelum kepala gadis itu kembali terlentok ke tepi. Tetapi kali ini bukan ke arah cermin tingkap namun terlentok elok di bahunya.

Firash sudah tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Nak mengalihkan bahunya yang sedang ditumpangi oleh kepala Syaf yang berbalut tudung itu, dia seperti tidak sampai hati. Akhirnya dia membiarkan saja kepala Syaf itu terlentok di bahunya walau terasa tubuhnya bahunya sedikit rasa sengal akibat kedudukannya yang agak tidak selesa. Sekilas dia mengerling jam di dashboard. Sudah menginjak pukul 9.30 malam. Dia memperlahankan sedikit air-cond kereta Myvi itu akibat hujan yang terlalu lebat di luar. Wiper kereta juga dimatikan. Dan cermin hadapan kereta itu terus saja kabur.

Entah kenapa di kala ini, tangannya tiba-tiba saja gatal untuk mengusapi kepala Syaf yang masih dilitupi tudung itu. Dia cuba menahan debaran di dada apabila tangannya pula mula menyentuh tangan Syaf. Sejuk sahaja tangan mulus itu. Dia menggenggam erat dan di bawanya ke riba. Cuba menyalurkan sedikit haba. Lama dia menggenggam tangan gadis itu dan dibawa ke bibir. Perlahan saja dia mengucup lembut tangan gadis itu sambil memejamkan mata. Seolah-olah membayangkan tangan gadis itu adalah orang yang amat disayanginya walau hakikat sebenar dia sendiri masih sangsi dengan perasaannya sendiri. Leka dengan tingkahnya itu tanpa sedar tangannya sebelah lagi cuba merangkul tubuh gadis itu rapat ke arahnya. Lama mereka di dalam keadaan begitu ditemani suasana yang agak dingin di dalam kereta.

***

SYAF MENCELIKKAN kelopak matanya untuk seketika apabila terasa seperti tubuhnya dipeluk seseorang. Dia cuba mengamati keadaan sekeliling yang sedikit gelap dan agak dingin. Kat mana aku ni? Apabila terasa tangannya digenggam oleh sesuatu dan terasa lehernya sedikit lenguh, dia cepat-cepat menegakkan tubuh. Wajah Firash yang sedang memandang ke hadapan itu direnung seketika. Eh macam mana aku boleh tertidur atas bahu dia ni pulak? Cepat-cepat tangannya yang digenggam oleh Firash itu dirungkaikan.

“Dah bangun? Penat aku tunggu.” Terdengar suara Firash seolah-olah berbisik perlahan. Cepat-cepat dia membetulkan kedudukan tubuh dan baju kurungnya. Ternyata lelaki itu seolah-olah langsung tidak memperkatakan tentang perbuatannya tadi. Lelaki itu sedang memandang ke arah luar pula. Syaf menggigit bibir perlahan. Hujan di luar masih lagi belum berhenti.

“Err…Sorrylah. Kenapa kau tak kejutkan aku?” Soal Syaf teragak-agak. Dia menggosok-gosok tangannya beberapa kali. Kesejukan mulai terasa apabila genggaman tangannya itu dileraikan.

“Aku dah kejut banyak kali tadi tapi kau yang tak sedar-sedar.” Balas Firash dengan riak bersahaja. Syaf sudah rasa sedikit bersalah. Lena sangat ke aku tidur tadi sampai orang kejutkan aku banyak kali pun aku tak sedar? Atau sebab aku tertidur atas bahu dia sampai boleh lena macam tu sekali? Hessy, tak mungkinlah!

“Lebat sangat hujan. Macam mana nak turun ni?” Syaf cuba mengalihkan topik perbualan apabila menyedari mereka sudah sampai di kawasan rumah sewa Firash.Timbul juga rasa segan apabila teringatkan yang dirinya selamba saja tertidur atas bahu Firash.

“Kau ada payung?”

“Ha? Err..Rasanya ada kut kat belakang.” Syaf cuba bergerak sedikit ke tengah. Kepalanya dipalingkan ke belakang sedikit. Tangan cuba dilhulurkan ke bawah seat di ruang belakang. Nasiblah ada payung yang biasa diletakkannya di situ kalau-kalau berguna untuk waktu kecemasan.

“Aku turun dulu, nanti aku ambil kau pulak.” Firash mencapai payung di tangan Syaf lalu membuka pintu kereta. Payung dikembangkan dan dia mula berlari-lari anak menuju ke pintu sebelah. Syaf yang sudah bersedia itu cepat sahaja menyelinap masuk ke bawah payung yang dipegang oleh Firash. Kini mereka masing-masing berada di bawah payung yang bersaiz sederhana itu.

Syaf memandang Firash dan Firash memberi isyarat supaya mereka sama-sama berjalan. Mereka berdua sama-sama melangkah dan menghampiri jalan kecil yang terdapat di hadapan rumah sewa Syaf itu. Apabila mendapati sudah tiada kenderaan yang melalui jalan itu, cepat-cepat mereka berdua melintas mengharungi hujan yang masih lebat.

Mungkin hujan yang agak lebat membuatkan kedua-duanya sedikit terkena tempias air hujan. Tambahan pula payung yang mereka kongsikan itu hanya muat-muat sahaja untuk berdua. Kain baju kurung milik Syaf sudah basah terkena air hujan. Manakala Firash pula, bahagian bahunya sudah mulai basah.

Sampai sahaja mereka ke bahagian tepi jalan, secara tiba-tiba saja datang satu kenderaan yang agak laju lalu menuju ke arah mereka. Firash yang terperasan akan hal itu, cepat-cepat menarik tubuh Syaf rapat ke tubuhnya. Takungan air hujan yang tempias akibat kenderaan itu terpercik kuat ke belakang tubuh Firash yang berbaju kemeja. Firash mengeluh geram. Bawak kereta macam pelesit! Rungutnya dalam hati.

Syaf masih lagi terkedu apabila mendapati dirinya seakan-akan hampir dipeluk oleh Firash. Terasa degup jantungnya mula berdetak laju apabila melihat tangan Firash yang selamba sahaja memeluk pinggangnya.

“Cepatlah jalan.” Tegur Firash apabila melihat Syaf yang kaku di situ. Sedikit tersentak dengan teguran Firash, laju saja dia menapak sehingga tubuhnya sedikit terkeluar dari bawah payung. Namun Firash cepat-cepat saja menarik tangan gadis itu supaya kembali ke arahnya.

“Kalau ya pun, tunggulah aku. Ni kan dah basah.” Tegur Firash lagi apabila melihat sedikit tudung yang membaluti kepala Syaf sudah sedikit basah. Dengan keadaan yang sedikit tidak selesa itu, Syaf mengikut saja jejak langkah Firash ke arah pintu pagar rumah sewa lelaki itu.

“Aku masuk dulu.” Tutur Firash lantas berlari laju ke pintu yang masih bertutup itu. Syaf hanya mengangguk perlahan sebelum beredar dari situ dengan perasaan tidak menentu. Tangannya mula memegang dadanya yang masih lagi berdebar kencang.

***

CHAD memandang lama kelibat Syaf yang sedang melangkah ke kereta sebelum gadis itu meloloskan diri ke perut kereta. Belum sempat dia cuba untuk mengetuk pintu rumah sewanya, terdengar bunyi pintu dibuka dari arah dalam. Terpacul wajah Mie yang sedang tersengih. Hatinya mula dilanda sedikit debaran. Mie nampak ke tadi?

“Awek hantar ke bro? Sampai terpacak depan pintu tak nak masuk?” Usik Mie dengan sengihan tak lekang dari bibir.

“Awek apa pulak ni?” Soal Chad lalu melangkah masuk melintasi Mie dengan mengibas-ngibaskan baju kemejanya yang agak basah di belakang. Terpacul pula Fiqri dari arah dapur sedang membawa satu mug di tangan.

“Ala, aku nampak ada awek yang hantar kau tadi kan? Siap berpeluk lagi kat tepi jalan tu.” Tambah Mie dengan ketawa kecil. Chad sudah membulatkan mata sambil melabuh duduk di sofa. Kemeja yang masih tersarung di tubuh itu dibuka butangnya dan ditanggalkan dari tubuh. Rimas dengan keadaan basah itu.

“Weyh, sejak bila Chad ni ada awek? Kenapa aku tak tahu langsung pun?” Soal Fiqri pula seakan berminat. Tadinya dia hanya memandang ke arah skrin tv yang sedang menyiarkan siaran bola namun bila mendengar perkataan awek yang keluar dari mulut Mie, terus saja fokusnya itu berubah. Masing-masing mula memandang tepat ke arah wajah Chad. Seolah-olah cuba untuk mendapatkan jawapan.

“Kau dengar aje lah cakap Mie tu. Aku ni mana ada awek.” Balas Chad bersahaja. Selamba saja dia menarik mug Fiqri yang sedang elok terletak di meja. Rakannya itu sudah menjegilkan mata.

“Air aku tu bro.” Tegur Fiqri.

“Eleh, air pun berkira.” Balas Chad lalu menghirup milo panas buatan Fiqri itu.

“Berbalik pada topik tadi. Betul ke Mie yang kawan kita ni ada awek? Kau pernah nampak ke?” Soal Fiqri masih tidak berpuas hati. Chad pula sudah tidak senang duduk. Haishh, dia orang ni, kacau betul!

“Aku cakap ni sebab aku tengok dengan mata kepala aku tadi lah. Kau tahu kawan kita ni siap berpeluk lagi kat tepi jalan. So sweet.” Tambah Mie lagi dengan sengihan nakal. Wajah Chad sudah mulai kelat. Kenapa aku rasa macam nak cucuk aje mata Mie sekarang! Semua pasal perempuan tu dia nampak!

“Biar betul kau ni? Weyh Chad. Advance betul kau eh? Takkan baru lagi couple dah berpeluk sakan? Aku dengan Zara yang dah lama bercinta pun tak pernah lagi berani pegang tangan dia tu.” Chad sudah menunjukkan riak bosan. Bila pulak aku ni couple? Tadi tu pun bukannya sengaja aku nak berpeluk dengan dia tapi sebab nak halang dia dari kena percikan air. Eh Chad, kenapa kau macam terlebih protect pulak si Syaf tu? Dah berangan nak jadi suami mithali ke? Erk!

“Woi kau orang ni. Suka-suka hati aje tuduh aku bukan-bukan. Tu bukan awek aku la tapi sedara aku. Dia yang tolong hantar aku tadi. Dah tu hujan pulak tu, aku just nak halang dia dari kena percikan air kat jalan aje tadi. Bukannya sengaja berpeluk pun.” Ulas Chad panjang lebar. Fiqri mengangguk tanda faham cuma Mie saja yang masih memandang dengan pandangan tidak berpuas hati.

“Sedara kau? Siapa? Aku kenal ke?” Soal Mie lagi. Chad mengeluh perlahan. Mie ni memanglah suka korek rahsia aku. Tapi kalau aku bagitahu yang datang hantar aku tu Syaf macam mana? Agak-agak dia jeles ke tak? Dia menahan senyum di dalam hati.

“Ala yang kita jumpa kat restoran dengan kat pasar malam hari tu. Takkan kau tak ingat kut?”

“Maksud kau? Syaf ke?”

“Hmm, dia lah tu.” Balas Chad bersahaja. Dia memusingkan pandangannya ke arah skrin tv. Sekilas dia memandang wajah Mie yang agak keruh. Aku dah agak dah. Si Mie ni memang ada hati dengan Syaf tu. Tapi elok jugak aku beritahu tadi, bolehlah nampak reaksi sebenar dia, getus hatinya dengan sedikit senyuman di bibir.

“Aku masuk dulu bilik dulu lah. Nak solat Isyak.” Mie pantas bersuara dan seraya melangkah ke bilik. Chad hanya tersenyum sinis melihat kelibat Mie dari belakang.

***

FIKIRAN SYAF masih jauh menerawang tentang kelakuan Firash yang agak pelik sejak dari rumah tadi. Bukannya dia tak perasan yang percakapan lelaki itu mulai bersahaja dan tidak lagi dengan nada kasar seperti sebelumnya. Dia berubah sebab aku jaga dia semalam ke? Fikir Syaf di dalam hatinya.

Hujan yang tadinya lebat sudah mulai reda. Namun keadaan jalan yang agak licin itu membuatkannya sedikit berhati-hati. Tidak mahu memperjudikan nyawa untuk memandu laju ketika ini walaupun hatinya sudah berkobar-kobar untuk pulang ke rumah. Dia kurang suka memandu pada waktu malam. Lebih-lebih lagi kalau seorang diri tanpa teman. Ini pun disebabkan kerana menghantar lelaki itu tadi. Kalau tidak, sudah pasti dia sampai ke rumah sewanya sebelum waktu berbuka lagi.

Kelibat sebuah kereta yang seperti mengekorinya dari simpang jalan keluar dari rumah Firash itu sedikit meresahkannya. Namun dia cuba untuk berbuat selamba sahaja walaupun hatinya sudah mula berfikir bukan-bukan. Ah, mungkin dia pun nak lalu jalan ni jugak, fikirnya lagi sebelum memberhentikan keretanya di lampu isyarat. Dari rear window, kereta hitam yang dia sendiri tidak pasti jenisnya itu berada sedikit jauh di belakang keretanya. Memang pelik!

Sebaik saja lampu isyarat itu bertukar hijau, cepat saja dia menukar gear dan menekan pedal minyak. Terasa seperti tidak sedap hati pula apabila terpandangkan kereta di belakangnya itu langsung tidak cuba memotong atau melalui jalan lain. Dia yang berada di lorong kiri yakni lorong untuk memandu perlahan sedikit terkejut apabila tiba-tiba datang sebuah kereta lain yang memasuki lorong kiri. Dan semua itu sudah pun terlambat.

Gedegang!!

Syaf hampir-hampir saja menutup matanya apabila mendengar bunyi yang sedikit kuat itu. Terasa keretanya sedikit bergegar walau hentaman itu sedikit sahaja. Jantungnya serta-merta mula berdegup kencang. Apabila melihatkan keadaan sudah sedikit reda, dia cuba memberhentikan keretanya di bahu jalan. Tangannya memeganga dada cuba untuk menenangkan keadaan diri yang masih lagi dilanda dengan perasaan terkejut. Panik pun ada juga ni.

Seketika, kedengaran cermin keretanya diketuk beberapa kali. Dia cuba melihat ke sisi. Kelibat lelaki yang berpakaian kemeja itu sedang berdiri di sisi keretanya. Lambat-lambat dia menurunkan cermin kereta selepas dia mengunci keretanya dahulu. Bimbang juga kalau-kalau lelaki itu mungkin penyangak atau kaki buli di jalan raya.

“Syaf, kau okey tak?” Dia terkejut apabila terasa namanya dipanggil. Hampir terbuntang matanya melihat wajah seorang lelaki yang sedang merenungnya itu. Dia?!

“Raimy?” Akhirnya terlepas juga nama lelaki yang sedang berdiri di sisi keretanya itu. Sekaligus membawa ingatannya kepada kejadian dua bulan yang lalu. Bibirnya digigit perlahan. Rasa sesak mula menimpa dadanya.

“Aku ni Raimy. Kau okay tak? Ada cedera kat mana-mana?” Prihatin saja lelaki itu bertanya sedangkan dia sudah hampir bergenang air matanya. Melihat Raimy seperti saja menggali kembali ingatannya pada arwah Farish. Mungkin lelaki itu tidak bersalah namun melihat lelaki itu sekaligus kenangan malam itu mula terlakar satu persatu di ruang matanya. Rasanya dia tidak sanggup lagi untuk bertentang mata dengan lelaki itu buat masa sekarang. Hatinya masih lagi terasa perit walaupun kadangkala dia cuba menyembunyikan kesedihan itu dengan senyuman. Namun luka di hati siapa yang tahu.

Dia mengeluh lemah. Kalaulah dia tidak pergi ke rumah Raimy malam itu sudah pasti hidupnya tidak menjadi sesulit begini. Kalaulah dia sanggup tunggu Farish malam itu, sudah pasti arwah masih lagi hidup. Kalaulah..Ya Allah, tabahkanlah hati aku untuk hadapi semua ini! Doanya dalam hati. Dia mengesat air mata yang mula mengalir ke pipi.

“Syaf, are you okay? Please say something! Kau jangan buat aku takutlah!” Gesa Raimy. Sedikit bimbang apabila gadis itu mulai menangis. Dia bimbang jika gadis itu tercedera di mana-mana walaupun perlanggaran tadi hanya sedikit sahaja. Hanya sedikit calar saja di bumper belakang.

“A-aku pergi dulu. Sorry sebab buat kau accident.” Balas Syaf sedikit tergagap lantas menaikkan cermin tingkap. Air mata yang masih mengalir itu dikesat dengan hujung lengan baju kurungnya. Dia menekan gear kereta dan laju sahaja menekan pedal minyak. Menderum laju keretanya ke tengah jalan raya.

Raimy yang masih tercengang ditinggalkan di situ mula mengukir senyuman tipis. Akhirnya kita jumpa lagi Syafa Aqira! Dia ketawa kecil lalu melangkah ke kereta Mazda Rx8 nya yang berwarna hitam itu. Bumper depan keretanya yang sedikit tercalar akibat perlanggaran itu dibelek cermat. Sikit saja ni kalau nak dibandingkan kebetulan berjumpa gadis itu tadi. Memang berbaloilah walau ikut dia dari jauh tadi!

p/s : to my luvly readers n followers ceta ni, tqvm cz sudi bace n komen…really2 appreciate it :D DD




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

80 ulasan untuk “Novel : Sebenarnya, Saya isteri dia! 10”
  1. Anisah says:

    Izzue Islam!!! cute boy…

  2. Bestnya ! Bestnya !!

  3. biru laut says:

    adegan berhujanan tak ada dalam slot drama. agak menghampakan sikit la..

  4. shahirah says:

    citer nim bst..tpi knape ad babak yg diptong??

  5. khairunnisaa says:

    KNP IZZUE DLM CITER NIE HENSOME DLM CITER BUNGA MERAH PUNYA X HENDSOME

  6. ida_norhan says:

    Tumpang tanya, anyone…. ini sama erk cam dlm novel… baru ingat nak beli novel, tp kalo dah sama, terus study kat sini jer la… x yah susah2 carik novel.. mmg best!!!

  7. a s y i q i n says:

    rindu nye cite ssid nyh………. :(

  8. zatul says:

    nak break solat dhuha dulu lah
    bagipeluang at adekk tersayang plk nak guna…

  9. zatul says:

    nak break solat dhuha dulu lah
    bagipeluang at adekk tersayang plk nak guna…hehe..

  10. Sumandak Sabah says:

    Romantik sangat crite nya,…skg nak balik umah da…hurmmmm ..!!esok baca lagi …tak sabar lak

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"