Novel : Bukan Aku Tak Cinta 31, 32

17 November 2011  
Kategori: Novel

7,647 bacaan 9 ulasan

Oleh : jeje / Qash Irdina

31

TENGKU DANIA mengemas barang-barangnya dan dimasukkan ke dalam beg. Riang sungguh hatinya apabila doktor telah membenarkannya untuk pulang pada hari ini. Pada masa yang sama juga dia sudah tidak sabar-sabar untuk pulang ke rumah. Jam di tangannya dibelek. Baru pukul 11.30 pagi. Zaharul Ashriq akan mengambilnya sewaktu rehat untuk makan tengahari. Tengku Dania melabuhkan punggungnya di sofa. Televisyen yang menayangkan drama bersiri Grey’s Anatomy ditonton dengan khusyuk.

“Assalamualaikum,”

Tengku Dania mencari wajah yang memberikan salam kepadanya.

“Wa’alaikum salam. Ya, ada apa?” soal Tengku Dania apabila melihat seorang lelaki yang berpakaian serba coklat sedang memandangnya.

“Boleh tak Cik Nia turunkan tandatangan pada baju ni. Cik Nia dah nak keluar dari hospital ni kan?”

“Awak nak tandatangan saya? Saya bukannya artis popular pun. Siapa awak ni? Macam mana awak tahu nama saya?”

Lelaki yang sedikit tempang itu tersenyum sambil menggaru-garu kepalanya.

“Saya cleaner kat sini. Saya tahu nama Cik Nia dari kawan saya kerja kat kaunter depan. Semua pekerja kat sini puji Cik Nia. Cik Nia baik dengan semua orang. Cik Nia tak sombong langsung. Masa Cik Nia sakit, semua orang risaukan Cik Nia. Mesti Cik Nia baik sangat. Sebab tu semua orang sayangkan Cik Nia,” puji lelaki tersebut.

Tengku Dania tersentuh mendengar kata-kata lelaki yang tidak dikenali tersebut. Tidak sampai hati untuk menolak hajat lelaki itu. Apalah sangat permintaan dia. Cuma menginginkan tandatangannya sebagai tanda kenang-kenangan.

“Siapa nama awak ya?” soal Tengku Dania. Dia mula membuka sebatang marker berwarna hitam.

“Umar. Umar Azli.”

Tengku Dania menulis sesuatu di atas T-shirt berwarna biru milik Umar Azli. Selesai menulis dia menghulurkan T-shirt tersebut kembali kepada Umar Azli.

“Sedap nama awak, Umar Azli.” puji Tengku Dania ikhlas. Satu senyuman dihulurkan kepada Umar Azli.

Umar Azli menggaru kepalanya lagi. Dia malu apabila dipuji oleh Tengku Dania.

Mata Tengku Dania jatuh pada kaki Umar Azli yang sedikit tempang itu. Kasihan dia melihat lelaki di hadapannya. Walaupun tidak sempurna, namun masih berusaha mencari rezeki sebagai tukang cuci di hospital ini. Tidak seperti kebanyakan insan lain yang sempurna tapi malas dan tidak mahu bekerja. Malah ada yang mencari jalan mudah dengan mencuri, merompak dan sanggup membunuh untuk mendapatkan kesenangan.

“Kenapa dengan kaki awak, Umar Azli?” soal Tengku Dania prihatin.

Umar Azli menggaru-garu kepalanya lagi.

“Saya terlibat dalam kemalangan dulu. Sebab tu jadi macam ni. Saya pergi dulu, Cik Nia. Saya nak sambung kerja saya,” ujar Umar Azli dan cepat-cepat keluar dari Presidential Suite yang diduduki oleh Tengku Dania.

Tengku Dania tidak sempat mahu bertanya lebih lanjut apabila Umar Azli kelihatan tergesa-gesa untuk keluar biliknya. Pelik. Ah, suka hati dialah. Tengku Dania menyambung menonton televisyen.

UMAR AZLI menutup pintu bilik Tengku Dania. Dia bersandar di muka pintu. Baju di tangannya dibelek-belek. Dia membaca tulisan Tengku Dania pada T-shirt tersebut.

Umar Azli,

Salam kenal. Jaga diri!!!

Dania

Umar Azli mencium T-shirt tersebut. Bukan sekali. Malah berkali-kali. Ah, akhirnya dapat juga dia mendekati Tengku Dania. Manisnya dia bila tersenyum. Gadis itu tetap baik dan comel seperti dahulu. Sedikit pun tidak berubah.

Terdengkot-dengkot Umar Azli berjalan. Baju di tangannya dicium lagi. Dia langsung tidak mempedulikan jururawat dan beberapa orang yang lalu lalang di sisinya. Tiba-tiba dia terlanggar seseorang dan baju di tangannya terjatuh ke atas lantai. Umar Azli cepat-cepat mengangkat baju kesayangannya. Baju tersebut ditepuk-tepuk sedikit.

“Maafkan saya.” ujar Zaharul Ashriq.

Umar Azli langsung tidak mempedulikan ucapan maaf dari lelaki yang melanggarnya. Dia terus berjalan sambil memegang erat baju berwarna biru itu.

Zaharul Ashriq mengangkat bahunya. Pelik. Ah, pedulikan saja. Tak betul agaknya. Dia melangkah laju. Tidak sabar untuk bertemu dengan Tengku Dania yang telah dibenarkan untuk keluar dari hospital hari ini.

ZAHARUL ASHRIQ mengikut saja kehendak Tengku Dania. Dia seharusnya menghantar Tengku Dania terus pulang ke rumah sebaik sahaja keluar dari hospital. Namun permintaan Tengku Dania yang mahu singgah sebentar di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR). Dari kedai ke kedai sudah mereka jelajahi. Namun, Tengku Dania masih belum memperoleh apa yang dicarinya.

Zaharul Ashriq menyentuh lembut bahu Tengku Dania.

“Nia cari apa? Cuba bagitahu kat Zarul. Kita cari sama-sama sampai dapat,” pujuk Zaharul Ashriq apabila dia melihat Tengku Dania yang sedikit muram setiap kali meninggalkan kedai yang mereka singgahi.

Tengku Dania berpaling dan merenung wajah kekasihnya. Tiba-tiba dia terpandang sesuatu yang bergantungan di belakang Zaharul Ashriq. Semakin lama dilihatnya, semakin jelas. Tengku Dania mendapatkan sehelai selendang berwarna krim susu yang tergantung di sebuah kedai.

Selendang berwarna krim susu itu disentuhnya. Lembut. Warnanya yang lembut cukup menarik hati Tengku Dania.

“Selendang baru sampai ni kak. Design baru ni. Murah saja kak. Sehelai RM28. Dari jauh datang ni kak,” riuh mulut wanita yang cuba mempromosi tudung yang dijual di kedainya.

“Cantik selendang ni, Nia. Sesuai dengan warna kulit Nia. Nia cari selendang ye?” tegur Zaharul Ashriq sambil tersenyum. Selendang itu disentuhnya perlahan. Jikalau Tengku Dania berniat untuk memakai selendang. Sudah tentu, dialah insan yang paling bahagia dengan keputusan ini. Tidak mungkin dia akan menghalang niat suci gadis kesayangannya itu.

Tengku Dania mengangguk. Dia kelu tidak mampu berkata-kata. Inilah selendang yang dilihatnya dalam mimpinya beberapa malam yang lalu. Mimpi yang cukup menganggu dirinya beberapa hari kebelakangan ini. Dia bermimpi berpakaian kebaya berwarna putih dan sedang menunggu kedatangan Zaharul Ashriq. Apabila Zaharul Ashriq tiba, alangkah terkejutnya dia melihat wanita yang berada di sisi Zaharul Ashriq. Wanita itu adalah dirinya sendiri. Persis wajah dan lenggok tubuh seperti dirinya dan yang membezakan dirinya dengan wanita itu adalah selendang yang dipakai oleh wanita tersebut. Wanita itu memakai selendang berwarna krim susu dan tersenyum bahagia di samping Zaharul Ashriq.

Tanpa sedar air matanya mengalir perlahan di pipinya.

“Nia, kenapa ni sayang? Kenapa Nia menangis? Are you okay?” soal Zaharul Ashriq perlahan.

Tengku Dania merenung anak mata Zaharul Ashriq. Cuba mencari kekuatan dirinya. Di mana dia berada di persimpangan hidupnya. Saat yang paling penting dalam hidupnya. Satu titik perubahan yang akan dipilihnya dan bakal mengubah perjalanan hidupnya sebelum ini.

“Saya nak pakai tudung. Tapi saya tak tahu macam mana nak pakai selendang ni. Saya cuma tutup rambut saya bila saya sembahyang. Tapi lepas sembahyang, saya tak tutup rambut saya lagi. Saya cuma pakai tudung masa pergi sekolah dulu. Tapi lepas balik dari sekolah, saya dah tak pakai tudung lagi. Saya cuma pakai tudung bila ada keperluan. Bila tak perlu, saya tinggalkan tudung ni. Saya hipokrit. Saya tak jujur dengan tuhan selama ni. Saya pentingkan diri sendiri. Tuhan dah beri saya peluang untuk hidup sekali lagi. Saya harap tuhan berikan saya peluang untuk berubah demi Dia sekali lagi kerana saya tahu peluang sebegini takkan muncul berkali-kali. Apatah lagi untuk orang seperti saya.” ujar Tengku Dania sambil menangis teresak-esak. Dia cuba mengesat air matanya. Namun, air matanya terus mengalir tidak henti-henti. Sebak hatinya. Terlalu sebak.

“Syyyh, Nia, jangan cakap macam tu. Peluang dan keampunan dari Allah itu sentiasa terbuka buat hambaNya yang sabar. Nia harus bersyukur. Peluang itu sentiasa ada untuk Nia. Selagi kita masih hidup dan bernafas di muka bumi ini, peluang dan keampunan Allah itu milik kita. Tiada sesiapa yang berhak untuk menghalang dan mempertikaikannya.”

Tengku Dania menangis teresak-esak. Cuba untuk menahan sendu yang masih berbaki.

“Saya boleh ajar akak pakai selendang ni. Macam-macam gaya saya boleh ajar akak. Senang aje kak,” sampuk wanita muda yang setia menemani mereka berdua sejak dari tadi. Dia juga terharu mendengar pengakuan ikhlas dari Tengku Dania sebentar tadi. Dia seharusnya membantu muslimah seperti Tengku Dania yang berhasrat untuk bertudung. Bukan memperlekeh apatah lagi memandang sinis hasrat suci wanita tersebut. Bukan mentertawakan atau mengejek mereka yang ingin berubah.

Tengku Dania tersenyum. Air mata di pipinya dikesat. Dia merenung wajah Zaharul Ashriq yang berada di sisinya. Selendang berwarna krim susu yang berada di tangannya kini mula disarungkan di kepalanya dengan perlahan-lahan. Dia melihat wajahnya di cermin. Semoga perubahan ini akan menjadikannya insan yang lebih baik dari sebelum ini. Bantulah hambaMu ini, Ya Allah.

32

TENGKU ROZANA mencium dahi anaknya berkali-kali. Rasa macam tidak percaya melihat gadis yang berada di hadapannya kini. Lain sekali penampilan Tengku Dania. Anak gadisnya sudah berhijab. Cantik sekali.

“Mama.. janganlah cium Nia macam ni depan orang. Malulah,” beritahu Tengku Dania. Sempat dia mengerling ke arah Zaharul Ashriq. Pemuda itu tersenyum melihat ke arahnya.

“Sejuk mata ayah tengok Nia bertudung begini. Cantik sangat.” puji Tengku Mikael.

“Sebelum ni, Nia tak cantik ke?”

“Nia memang cantik selama ni. Cuma bila Nia pakai tudung, Nia semakin cantik.” tambah Tengku Rozana.

“Bila Nia dah pakai tudung, bidadari pun menangis kalau tengok. Sebab diorang bukan yang paling cantik lagi,” usik Zaharul Ashriq.

Tengku Dania melirik manja ke arah Zaharul Ashriq.

“Tolong kurangkan gula atau madu dalam berbicara, Encik Zarul. Tambah-tambah lagi di depan mak dan ayah saya. Nanti saya kena turun pangkat jadi anak tiri pulak,” balas Tengku Dania sambil menjongketkan keningnya.

“Memang tak lama lagi Nia turun pangkat jadi anak tiri nampaknya. Tunggu sign kontrak dengan pak imam saja tak lama lagi,” usik Tengku Mikael lalu ketawanya meletus. Tengku Rozana dan Zaharul Ashriq turut mentertawakan Tengku Dania.

Wajah Tengku Dania sudah kemerah-merahan.

“Mana aci. Semua orang nak back up Zarul. Kalau macam tu, Nia nak balik rumah bakal mak mertua lah,” gurau Tengku Dania sambil membuat muka tak puas hati.

Tengku Rozana memeluk anak perempuannya.

“Alahai, tuan puteri intan payung. Dah nak kahwin pun. Janganlah nak tarik muncung panjang-panjang. Nanti tak boleh kahwin dengan Zarul. Nia kena kahwin dengan Ahmed Khan yang jual karpet kat Astana Moda. Baru padan muka,”

Tengku Dania memeluk ibunya. Dia tersenyum membalas renungan Zaharul Ashriq.

“Hi, Nia. Akhirnya Nia pulang juga ke rumah. Nia dah sihat?” sapa Farah Diana. Sempat juga dia bersalam dan berlaga pipi dengan Tengku Dania. Dia duduk di sebelah Zaharul Ashriq dan menghadiahkan senyuman paling manis buat lelaki kacak itu.

Tengku Dania tersenyum saja. Perempuan gedik ni lagi.

“Sihat. Belum nak mati lagi.” balas Tengku Dania.

“Nia…” tegur Tengku Rozana.

“Sihat Alhamdulillah. Diana sihat? Tak kerja ke hari ni?” soal Tengku Dania.

Farah Diana tersenyum bangga. Entah apa yang nak dibanggakan agaknya. Mungkin sebab mak back up dia sebentar tadi kut. Eei, menyampah betul tengok muka Farah Diana yang memang fake gila tu.

“Oh, Diana minta half day dengan kak long. Sebab Nia keluar hospital hari ni. Jadi Diana nak temankan Nia. Lama sangat dah tak jumpa Nia,” Farah Diana tersenyum manis. Dia minta half day hari semata-mata nak jumpa Zaharul Ashriq. Bukan sebab nak sambut kepulangan Tengku Dania yang baru pulang dari hospital. Ah, please. Nak sambut kepulangan perempuan ni? Kalau dia mati masa kat ICU pun tak apa. Lagi bagus!

Tengku Dania teringat gaya yang menjadi ikutan hasil ciptaan pelawak mana entah. Tatkala mendengar Farah Diana berkata begitu, rasa macam nak letak tangan di dada dan mata ke atas. Lepas tu nak jelirkan sikit lidah. Boleh tak? Silap-silap kena cubit dengan mak pula nanti. Hehe.

“Ah, baiknya Diana. Terharu sangat Nia dengar. Tak sangka Diana baik sangat selama ni. Apa kata tolong picitkan lengan Nia. Rasa macam lenguh kat situ,” Tengku Dania terus beralih ke sebelah Farah Diana.

Saat itu dia dapat melihat wajah Farah Diana. Gaya macam orang nak terberak mendengar permintaan Tengku Dania. Padan muka kau. Tadi nak tunjuk baik sangat kan? Haa, meh sini. Tolong picit badan Tuan Puteri Mayang Mengurai.

Farah Diana mulai memicit tubuh Tengku Dania. Sabar. Sabar jelah.

“Aik, kuat sangat Diana picit tu. Macam orang marah saja. Tak apalah kalau macam tu,” sindir Tengku Dania lagi. Dalam hatinya tuhan saja yang tahu. Macam disko saja hatinya berlagu riang dapat mengenakan Farah Diana.

“Eh, tak baik Nia cakap macam tu. Diana ikhlas tau. Nia kan sakit. Jadi Diana nak spend time dengan Nia. Jaga Nia. Kita kan satu keluarga,” balas Farah Diana. Senyumannya dimaniskan lagi apabila melihat Zaharul Ashriq.

Tengku Dania cuba menahan tawanya yang ingin meletus.

“So sweet of you, Diana. Kalau macam tu, tolong picitkan kaki Nia. Rasa lenguh pula kat kaki ni,”

Farah Diana mengetap bibirnya mendengar satu lagi permintaan bodoh Tengku Dania. Kurang ajar betul perempuan ni. Dia suruh aku picit kaki dia?? Oh my god. Memang tak patut. Sangat kurang ajar!

Tengku Dania melihat saja muka Farah Diana yang memang tak rela untuk memicit kakinya. Kali ini, dia memang nak gelak berguling-guling. Nak tunjuk baik sangat kan. Sukanya aku dapat kenakan kau, Farah Diana.

Zaharul Ashriq menggeleng saja melihat perangai Tengku Dania. Suka sangat mengenakan orang. Perangai yang satu ni memang tak boleh nak ubah. Dania.. Dania…

“Tolong picit kat kaki. Kat hujung jari tu. Haa, pandai betul Diana picit. Teror sungguh. Lepas ni boleh kerja kat kedai urut pulak,” sindir Tengku Dania lagi. Seronok benar dia mengenakan Farah Diana kali ini. Mungkin dia silap apabila melayan amarahnya sewaktu Farah Diana mengenakannya dulu. Lagilah Farah Diana bertepuk tangan apabila dia dimarahi kak long, ayah dan mak. Kalau nak kenakan dia, kena guna psikologi. Psiko dia balik.

“Nia, tak baik cakap macam tu,” tegur Tengku Rozana. Nak dimarah karang merajuk pulak.

Farah Diana merenung tajam wajah Tengku Dania.

“Saya memang pandai mengurut. Sebab sebelum ni, dah merata tempat saya bekerja demi mencari rezeki. Maklumlah, saya bukan anak orang senang macam Tengku Dania,”

“Saya harap awak tak fikir semua anak orang senang akan bersenang lenang menghabiskan harta keluarga macam tu saja. Ada yang awak tak nampak dan tak tahu apa yang mereka lakukan dan lalui selama ni. Nasib manusia itu berbeza. Semua itu mengikut aturan tuhan. Setiap perkara yang berlaku itu ada hikmahnya,”

“Tapi awak tak pernah hidup susah kan?”

Tengku Dania menarik nafasnya dan menghembuskannya perlahan-lahan. Kesusahan hidupkah yang menjadikan Farah Diana sedemikian rupa? Ramai saja kawan-kawannya yang tiadak datang dari keluarga yang senang, tapi tidaklah begitu terdesak seperti Farah Diana. Bukanlah susah sangat sehingga perlu merempat di kaki lima dan tidur di sebalik kotak. Apatah lagi semenjak arwah Pakcik Fauzi pergi meninggalkan Farid Iskandar dan Farah Diana, ayahnya tidak pernah membiarkan mereka dua beradik dalam kesusahan. Mereka dibantu dan dilindungi. Dasar manusia tak pernah cukup dengan apa yang ada.

“Sudahlah tu. Mak ada buat Mee Sup kat dapur. Ajak Zarul makan sekali,” Tengku Rozana dan Tengku Mikael sudah berlalu ke dapur.

Tengku Dania dan Zaharul Ashriq berlalu ke dapur mengikut Tengku Mikael dan Tengku Rozana. Farah Diana memandang sebal saja pasangan kekasih di hadapannya. Geram melihat layanan Zaharul Ashriq terhadap Tengku Dania. Huh.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

9 ulasan untuk “Novel : Bukan Aku Tak Cinta 31, 32”
  1. fatim says:

    geram ngan farah diana ni,,

  2. gilagila says:

    best2,,,,,,,,sambung lg ya..

  3. asma says:

    xska la gn farah diana 2 ^_^

  4. sara nadia says:

    benci ngan farah diana…dah la nama dekat dekat je….cuba jgn nak kacau tenku diana tu….

  5. jiao xiu says:

    kenakan farah diana tu cukup2 ya. hahaha. la igt ari tu kat sebelah zarul dlm mimpi, diana. rupanya dania pki tudung.

  6. ciku says:

    eeeiii apsal si diana tu.gediks siot! ok cpt smbg…

  7. rieda says:

    pdn muka dgn farah!cpt2lah dania tu kawen…

  8. green apple says:

    ngada-ngada taik kuda tol la farah diana nihh…
    sape umar azli?? suspen2, mggangu btol

  9. bkj says:

    hahaha..cam penulis nak wat sekarang adalah masanye tuk membals…hahah

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"