Novel : NamaKu Bukan Flora! 5

23 November 2011  
Kategori: Novel

1,244 bacaan 3 ulasan

Oleh : Permata Nilam

BAB 5

Aku sibuk mencatat bahan – bahan stok yang terdiri daripada chemical, sabun, softener, bakul, tali, plastik, hanger, alat tulis yang baru saja sampai hari ini. Aku menghitung dua kali bagi setiap sejenis barang agar bilangan yang kucatat tidak silap. Risau kalau yang ditulis dan jumlah yang ada tidak sama. Tidak pasal – pasal nanti Puan Rosie tuduh pekerja yang curi. Paling malang gaji aku yang kena potong kerana aku yang bertugas mengemaskini stok barang yang keluar masuk.

“Dah ok ke mesin basuh MAYTAG tu Reduan?” sapaku kepada rakan sekerja di Bahagian Teknikal yang kebetulan mematikan langkah di depan bilik ini lalu menjengukkan kepala meninjau – ninjau tugas yang sedang aku lakukan. Lagak seperti Puan Rosie yang sedang mengawasi setiap pekerja di premis ini. Dia mengangguk sambil tersenyum.

“Yang ada problem sekarang automatik booster pump dan high presure cleaner tu” keluhnya. Aku faham perasaannya. Tentu Puan Rosie tidak sudah – sudah mengarahnya memulihkan peralatan – peralatan itu tanpa sebarang pertimbangan waras.

“Kejap lagi ok ler tu, tak payah risau” tuturku cuba menyenangkan hatinya.

Reduan kembali senyum. Ditunjukkan telinganya dengan wajah berkerut seribu. Aku cukup faham dengan maksud di sebalik reaksi yang ditunjukkannya. Aku tersenyum. Aku cukup sedar kalau tidak kerana kontrak yang kami tandatangan dengan Clean N Friendly Laundry sebelum bekerja di sini, pasti sudah ramai yang cabut lari kerana tidak tahan dengan perangai Puan Rosie.

Menurut Auntie Moi dan Auntie Mala yang merupakan pekerja yang paing senior di sini, pada awalnya Clean N Friendly Laundry tidak mengenakan sebarang syarat, namun hampir setiap bulan ada saja pekerja yang berhenti kerana tidak tahan dengan kerenah Puan Rosie.

Situasi ini menjadi masalah kepada kelancaran proses kerja – kerja dobi sehingga menjejaskan pendapatan yang Clean N Friendly Laundry. Maka, otak bijak Puan Rosie telah mewujudkan polisi yang mewajibkan pekerja mengikat kontrak dengan Clean N Friendly Laundry selama lima tahun.

Selepas lima tahun kontrak boleh diperbaharui mengikut budi bicara pemilik premis dan pilihan pekerja sama ada terus berkhidmat di Clean N Friendly Laundry atau menamatkannya saja. Walau bagaimanapun, Puan Rosie tidak pernah mengambil ikhtibar daripada masalah yang wujud. Perangainya langsung tidak berubah. Reduan meninggalkan aku dengan lambaian tangannya.

“Lia mana?” kedengaran suara Puan Rosie berkumandang memenuhi segenap ruang premis ini sedikit menggusarkanku.

Aku masih berhutang dengan Puan Rosie. Hutang yang belum dibayar dengan kemarahannya. Agaknya hari ini baru dia sedar sekaligus menjadikan dirinya yang sebenar.

“Lia kat stor tengah check dan rekod barang” kedengaran suara Nana menyahut pertanyaan Puan Rosie.

Aku mendengar bunyi derap langkahnya yang semakin dekat. Terpancul wajahnya lengkap dengan senyuman di sebalik pintu.

“Dah siap kerja awak?” suaranya cukup lembut bertanya.

“Sikit je lagi, puan” balasku sedikit tergamam dengan kemunculan Puan Rosie yang mengundang pelbagai persoalan dalam diriku. Hairan dengan perubahan sikap Puan Rosie. Dari semalam dia murah senyuman denganku. Jangan – jangan dia tersalah makan ubat.

“Lepas habis kerja tu, jumpa saya kat bilik saya” arahnya masih dalam senyuman.

Perlahan – lahan aku mengangguk. Sekejap lagi habislah aku. Mahu saja aku lambat – lambatkan kerja ini bagi mengelakkan pertemuanku dengan Puan Rosie kerana aku tahu tinggal sejam lagi dia akan keluar makan. Beberapa minit kemudian kedengaran suaranya tinggi menegur pekerja di Bahagian Penghantaran. Mesti ada yang tidak berkenan dihatinya, tidak kisahlah perkara kecil atau sebaliknya. Tapi setahu aku kalau perkara serius pasti kemarahan Puan Rosie bukan alang – alang, berdesing juga telinga mendengarnya. Silap hari bulan kalau sudah tidak tahan sabar boleh meletus Perang Dunia ke tiga. Itulah sikap Puan Rosie yang kukenali pandai sangat menguji benteng kesabaran orang.

Mahu tidak mahu, aku melangkah juga mendekati biliknya. Tidak tega aku menjadi mangsa kemarahan Puan Rosie seterusnya. Kuketuk daun pintu. Kedengaran suara tingginya mengarahkan aku masuk. Terpancul saja mukaku di ambang pintu, senyuman Puan Rosie terlebih dahulu menyambut kedatanganku.

“Duduk Lia” nada suaranya tidak setinggi tadi.

Mesranya nampak berlebih – lebih pula. Lama juga aku memikirkan layanan baiknya terhadapku sejak sehari dua ini. Seingat aku tiada jampi serapah, mahupun ilmu pelembut hati yang aku tiup – tiup ke arahnya. He… he… sempat pula aku mengarut di depan Puan Rosie. Apapun aku bersyukur sangat atas perubahan positif sikapnya ini. Harap – harap perubahannya ini akan berkekalan bukannya sementara waktu.

“Puan Rosie nak bincang apa dengan saya?” soalku memulakan bicara sambil memerhatikan gelagatnya yang nampak sibuk mencari sesuatu di meja ini.

Puan Rosie tersenyum setelah menemui benda yang dihajatinya. Sekeping kertas disuakan kepadaku. Aku menatap jadual yang terpamer di dada kertas ini. Ada perubahan sedikit daripada jadual yang ada sekarang. Sempat juga mataku membaca tajuk jadual yang tertera di atas sekali. Peliknya namaku ada tercatat di beberapa bahagian jadual.

” Mulai esok, awak ada tugas baru. Enam hari waktu bekerja, hanya sehari je awak perlu datang ke sini untuk saya menyemak rekod – rekod yang awak buat. Selebihnya, awak akan bekerja di Syarikat Kejora Di Ufuk Timur” ujar Puan Rosie membuatkan aku terdiam panjang.

Fikiranku ligat berputar. Sudah terbayang bangunan kaca itu di ruang mataku.

“Ada masanya awak terpaksa menunggu sehingga sesuatu penggambaran ataupun sesi fotograpi selesai bagi mempastikan pakaian – pakaian kompeni yang mahal – mahal itu selamat sampai ke dobi kita. Awak yang ambik pakaian –pakaian di sana dan awak juga yang akan menghantarnya. Ringkasnya segala urusan penyelenggaraan dan pengendalian pakaian – pakaian di sana Clean N Friendly Laundry yang buat” panjang Puan Rosie panjang lebar.

Aku masih terdiam memikirkan arahan Puan Rosie. Sejak bila pula Clean N Friendly Laundry mengendalikan kerja – kerja sedemikian. Bahkan bila masa pula kerjasama perniagaan ini termeterai. Kalut! Kalut!

“Maksud Puan Rosie saya yang perlu jaga keselamatan pakaian – pakaian di sana?” ulangku meminta kepastian. Puan Rosie mengangguk.

Biar betul. Syarikat Kejora Di Ufuk Timur itu sudah memiliki ramai pengawal keselamatan. Tidak cukupkah tenaga mereka mengawasi keadaan di sana? Agaknya betullah kat sana ramai pencuri.

“Pakaian – pakaian kat sana mahal – mahal. Mereka perlukan pekerja yang berkebolehan dan pakar dalam menguruskan pakaian – pakaian itu. Saya rasa awaklah yang paling sesuai dihantar ke sana. Jangan risau saya akan naikkan gaji awak. Kerjasama Clean N Friendly Laundry dengan Syarikat Kejora Di Ufuk Timur ini akan mengguntungkan kedai dobi ni” tutur Puan Rosie penuh bersemangat.

“Jangan risau Lia, awak diberi kuasa sepenuhnya menguruskan pakaian – pakaian di sana. Bahagian ini baru saja diwujudkan memandangkan penyelenggaraan pakaian di sana agak kucar kacir tak sesuai dengan statusnya sebagai sebuah syarikat besar yang bertapak kukuh di persada urusniaga” tambah Puan Rosie lagi cuba memancing persetujuanku.

“Kerja awak takkan terikat dengan kompeni tu. Awak hanya mempastikan keselamatan pakaian – pakaian di situ. Selamat dihantar ke sini, selamat semasa proses pencucinya dan selamat dihantar ke sana semula. Mudahkan” senang – senang saja Puan Rosie berbicara.

“Maksudnya Clean N Friendly Laundry bekerjasama dengan Syarikat Kejora Di Ufuk Timur di bahagian dobi je ?” Puan Rosie mengangguk.

“Pekej lengkap dengan pengambilan dan penghantaran pakaian. Hanya awak seorang saja yang saya lantik bagi mengendalikan urusan ni sebagai wakil Clean N Friendly Laundry” tegas Puan Rosie.

Tercetus keluhan hatiku. Aku muram memikirkan perkara malang yang bertindih – tindih mendatangiku. Sebetulnya satu cabaran untukku bekerja di persekitaran yang baru. Apatah lagi setelah berlakunya peristiwa itu. Pasti kehadiranku di situ tidak dialu – alukan oleh mereka.

“Anggap saja ini sebagai timbal balik atas kecuaian yang awak lakukan tempoh hari” terus terang Puan Rosie.

Kali ini baru nampak dirinya yang sebenar. Tipulah kalau Puan Rosie boleh melupakan sesuatu kesalahan itu begitu saja. Aku cukup kenal dengan Puan Rosie. Pekerja – pekerja di sini cukup jelas dengan perwatakan Puan Rosie. Di sebalik kebaikan yang ditunjukkannya kepadaku, rupanya inilah rencananya.

“Sepasang pakaian yang awak hantar hari itu harganya RM 5000. Bayangkanlah jumlah semuanya. Biarpun awak mampu bayar ganti ruginya, tapi kedai dobi ni boleh gulung tikar kalau syarikat tu dakwa kita cuai di mahkamah. Semua yang bekerja di sini akan menerima kesannya. Sanggup ke awak tengok kawan – kawan awak tak de kerja, Lia?” bicara Puan Rosie cuba mengancamku.

Logikkah sebab pakaian dari sebuah kedai dobi hilang menjadi kes di mahkamah? Puan Rosie kalau hendak berbohong biarlah kena pada tempatnya. Aku berfikir semula. Pakaian – pakaian itu melibatkan kos yang tinggi. Kebetulan pula berlambak – lambak peguam yang ada sekarang saling bersaing dan tercari – cari masalah yang hendak dijadikan kes. Perkara kecil yang dianggap remeh boleh menjadi perkara serius bila sudah kebijaksanaan peguam mencampurinya. Apatah lagi jika peguam itu bijak memutar belitkannya.

“Beri saya masa fikirkan perkara ni, Puan Rosie. Esok saya beritahu keputusan saya” ujarku meminta pertimbangannya.

“Sebenarnya awak tiada pilihan sebab ini adalah arahan. Mujur saya masih ada pertimbangan. Jadi saya bagi awak peluang berfikir sebelum memutuskannya. Jangan lupa juga perkara yang saya katakan tadi semuanya bergantung pada keputusan yang awak buat” ujar Puan Rosie mengangkat diri sekaligus mengancamku.

Kutinggalkan bilik pejabat Puan Rosie dengan langkah longlai. Di rumah aku masih memikirkan bicara Puan Rosie. Terbayang di mataku wajah Auntie Moi dan Auntie Mala. Mereka adalah satu – satunya tempat anak – anak mereka bergantung nasib. Mereka tiada pilihan lain selain bergantung nasib sepenuhnya kepada Clean N Friendly Laundry ini. Kalau tidak masakan mereka masih mampu bertahan dengan sikap Puan Rosie. Menyusul pula wajah Tanti dan Tutie. Mereka terpaksa meninggalkan keluarga tercinta dan merantau jauh semata – mata untuk mencari sesuap rezeki yang halal.

Terbayang wajah muram Nana sahabat baikku yang seringkali berusaha melangsaikan setiap masalah yang mendatangiku. Begitu juga dengan Encik Mukhtahir dan Puan Rosie. Biarpun sikap Puan Rosie kurang menyenangkan, namun pasangan itu tetap berjasa kepadaku dan pekerja – pekerja yang lain. Perniagaan mereka adalah sumber rezeki kami. Tidak sanggup rasanya aku mengorbankan nasib mereka. Kalau aku tidak cuai semua ini tidak akan terjadi. Huu…huu….huu..! Malangnya nasibku!




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

3 ulasan untuk “Novel : NamaKu Bukan Flora! 5”
  1. i.k.h.l.a.s says:

    siannya lia!
    betul ke?

  2. khadijah says:

    :)

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"