Novel : Sebenarnya, Saya isteri dia! 14

11 November 2011  
Kategori: Novel

104,058 bacaan 195 ulasan

Oleh : Addy Rifqhiey

BAB 14

“YA ALLAH, Firash! Syaf!!”

Firash mencelikkan sedikit kelopak matanya apabila telinganya menangkap bunyi suara yang seakan menjerit. Dia merengus perlahan dan cuba menutup mata kembali kerana merasakan kepalanya yang sedikit pening. Namun suara yang memanggil namanya sedikit kuat dari tadi itu terus saja menyegarkan matanya.

Perkara pertama yang menyapa pandangan matanya ialah seraut wajah yang amat dia kenali. Syaf?! Macam mana Syaf boleh ada dengan aku ni? Mindanya cuba memproses apa yang sedang berlaku. Dia bingkas bangun dan cuba duduk bersila di katil. Selimut yang menutup tubuhnya yang tidak berbaju itu melurut jatuh.

“Tak guna punya adik! Kekasih aku sendiri pun kau nak rembat!” Teriakan seseorang serta tumbukan kuat terasa di pipinya. Berdengung rasa telinganya akibat tumbukan itu. Serta merta dia memalingkan wajah ke arah seseorang menumbuknya dengan pandangan tajam.

“Farish?! Kau kenapa?!” Soalnya geram. Terasa cecair hangat mengalir melalui celah bibirnya. Farish merenungnya dengan tajam. Masing-masing berlawan pandangan.

“Kau boleh tanya aku kenapa? Cuba kau tengok apa yang dah kau buat?!!” Farish menuding jari ke arah Syaf yang masih lena tidak berkutik di sebelah Firash. Firash terpana. Air liurnya ditelan kesat. Macam mana boleh jadi macam ni?

“Err…Aku….Aku tak tahu.” Hampir tergagap-gagap Firash bersuara apabila menyedari apa yang sudah terjadi. Dia mengerling ke arah tubuhnya yang sudah tidak berpakaian.

“Aku tak sangka perangai kau seteruk ni.” Sambung Farish lagi dengan nada sedikit mengendur. Hancur luluh hatinya bila melihat apa yang sepatutnya tidak berlaku. Tubuh Syaf yang sudah mula bergerak-gerak sedikit itu dipandangnya dengan sayu. Ya Allah, sakitnya hati aku tengok dia orang berdua ni!

“Ada apa ni?” Syaf menggosok-gosok mata dengan suara sedikit serak. Terganggu tidurnya dengan suara berbalas jeritan. Matanya menangkap kelibat Farish yang merenungnya tajam.

“Jangan buat tak tahu dengan apa yang dah berlaku.” Sinis Farish pada Syaf. Syaf yang mula menyedari sesuatu itu memandang Firash yang sedang terkocoh-kocoh memakai pakaian. Serentak itu dia memandang ke arah tubuhnya yang dibaluti dengan selimut. Apa sebenarnya yang telah terjadi?

“Sumpah Rish! Syaf tak tahu dengan apa yang berlaku ni.” Syaf mula menangis. Gaun labuh yang tersingkap ke atas tubuhnya itu dibetulkan. Seketika matanya tertancap pada cadar berwarna lembut itu. Hampir terbeliak matanya melihat beberapa tompokan cecair berwarna di situ. Ya Allah, betulkah semua ini realiti?

Farish mendekati Syaf. Matanya juga menghala ke arah pandangan Syaf.

“Tak tahu apa yang dah berlaku? Kalau tak ni apa?” Farish menuding jari ke arah cadar itu. Syaf terdiam tanpa kata. Menggigil terasa tubuhnya di situ. Firash yang baru saja siap mengenakan pakaian di tubuhnya juga tersentak.

“Kita putus!” Bentak Farish dan laju menapak ke luar bilik.Tidak sanggup untuk melihat apa yang dah berlaku di depan matanya itu.

“Farish.” Panggil Syaf dalam tangisan. Hampir terjelepok tubuhnya itu ke lantai. Firash yang melihat tubuh Syaf yang jatuh ke lantai itu sedikit tergamam. Dia tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Otaknya kosong.

“Kau tak nak turun ke?” Tegur Firash pada Syaf yang seperti termenung di dalam kereta walaupun enjin kereta sudah dimatikan. Syaf sedikit tersentak. Hilang terus lakaran ingatannya tadi. Cepat-cepat dia membuka pintu kereta.

“Macam mana result?” Laju sahaja Puan Farizah bertanya apabila melihat Syaf dan Firash yang baru turun dari kereta. Syaf hanya tersenyum tawar. Kata-kata Firash yang menyakitkan hatinya tadi seakan terngiang-ngiang di telinga. Moodnya untuk menjawab pertanyaan Puan Farizah sudah hilang. Dia hanya menggeleng sahaja.

“Tak apa lah. Tak ada rezeki lah tu.” Puan Farizah menepuk bahu Syaf dan menariknya ke beranda. Rezeki jugak ke ma kalau dalam situasi macam ni? Fikir Syaf sendiri sebelum mengikuti Puan Farizah tanpa sebarang kata.

Firash memerhatikan gelagat gadis itu dengan dahi berkerut. Dia ni betul-betul kecewa ke dengan result tadi? Jangan kata dia berharap sangat untuk mengandung pulak! Aku sendiri pun kusut bila fikir hal ni! Firash berfikir-fikir sendiri lalu menutup pintu kereta.

Wajah Tok Wan yang baru muncul dari muka pintu itu menarik minatnya untuk bertanyakan sesuatu. “Tok Wan, macam mana tahun ni? Nak buat lemang jugak ke?” Soal Firash seraya memanjat tangga ke beranda. Dia melabuhkan duduk di kerusi rotan sambil mengerling Syaf yang hanya diam sahaja di sebelah Puan Farizah. Bercakap tentang lemang pun sudah membuatkan dia kecur liur. Apatah lagi kalau lemang itu dimakan bersama rendang. Satu batang lemang pun belum tentu cukup. Tapi kena pastikanlah rendang itu buatan Tok Wan atau mamanya. Memang mereka berdua pakar dalam membuat rendang. Terutamanya rendang ayam. Memang terbaik!

“Kalau kamu nak makan, buat aje lah. Tok Wan tak kisah.” Balas Tok Wan melunjurkan kaki di lantai. Terasa lenguh pula kerana terbongkok-bongkok menyapu di dapur tadi.

“Oh memang nak makan pun. So kita buat aje lah.” Sambungnya lagi sambil tersenyum lebar.

“Nak buat boleh tapi kamu kena cari buluh lemang lah. Pak Long Isman kamu tu dah terlalu sibuk sekarang dengan ikan dia tu.” Firash sedikit mengeluh. Cari buluh lemang sendiri? Ala susahlah macam ni! Kalau temankan Pak Long Isman tu cari buluh tu biasa jugaklah.

“Sibuk sangat ke dia tu?” Firash berkerut dahi. Tok Wan mengangguk. Hmm, macam mana ni? Eh buat-buat pandai aje lah, kau bukannya tak pernah tengok pun buluh lemang macam mana, bisik hatinya cuba memberi semangat.

“Tak apa lah. Nanti kejap lagi Firash pergi cari.” Dia bingkas bangun dan masuk ke dalam rumah. Ingin menukar pakaian yang lebih sesuai.

***

TOK WAN berjalan menuju ke perkarangan laman rumah dengan tangannya memgang sesuatu. Dia mengesat peluh di dahi dengan hujung lengan baju kurung Kedahnya. Bibirnya mengukir senyum apabila melihat Puan Farizah tengah duduk di pangkin bawah pokok jambu. Seketika dia juga melabuhkan punggungnya di situ. Matanya mencari kelibat seseorang.

“Firash mana?”Tok Wan menyoal. Di tangannya ada dua ekor ayam kampung yang baru ditangkapnya di reban yang terletak di belakang rumah. Ayam-ayam itu sedikit menggelupur apabila kakinya dipegang ke atas dan kepalanya ke bawah.

“Ada tadi. Kenapa mak?” Puan Farizah yang tengah membersihkan daun lerek itu berpaling. Daun yang biasa digunakan untuk membuat alas dalam buluh lemang.

“Nak suruh sembelih ayam kampung ni. Esok ingat nak buat gulai ayam kampung untuk lauk nasi minyak esok.” Balas Tok Wan.

“Ada tadi rasanya lepas cari buluh lemang, tapi sekarang tak tahu pulak dah pergi mana. Dalam rumah agaknya.” Balas Puan Farizah lalu meletakkan daun lerek yang dibersihkannya ke sebelah. Matanya diliarkan ke sekeliling laman. Buluh-bulung lemang yang siap dibersihkan ada terkumpul di satu sudut. Tapi tuan yang beria-ia nak bakar lemang dari semalam sudah lagi tidak kelihatan.

“Zah masuk kejap nak cari Firash.” Tutur Puan Farizah lalu melangkah masuk ke rumah. Tok Wan hanya mengangguk. Ayam-ayam di tangannya diperhatikan. Nanti lepas sembelih, nak kena rebus pulak ayam ni untuk buang bulu-bulu. Banyak lagi kerja yang tak dibuat. Tok Wan mengeluh seketika.

“Eh mana budak Qira ni?” Gumamnya perlahan. Mata mencari kelibat gadis itu di sekeliling rumah.

***

“ASTAGFIRULLAH AL ‘AZIM!! Boleh dia membuta pulak kat sini!” Bebel Puan Farizah apabila kakinya menapak masuk ke ruang tamu sederhana luas itu. Firash tergolek tidur di depan tv yang terpasang. Kusyen kecil dilapik di kepala untuk menambahkan keselesaan. Mungkin terlalu penat dengan pelbagai kerja yang dilakukan sejak pagi tadi.

“Firash…” Puan Farizah menggoyang-goyang bahu Firash yang sedang enak tidur. Tak berkutik langsung walau kena gerak berkali-kali. Siap boleh berdengkur lagi di situ walau hanya berlapikkan permaidani tipis.

“Firash!!” Sedikit terjerit Puan Farizah memanggil. Namun hanya sia-sia saja. Anaknya itu betul-betul tidur mati. Namun derapan langkah yang menuju ke arahnya membuatkan Puan Farizah kembali tersenyum.

“Kenapa ni ma?” Soal Syaf sedikit mengah. Dia yang berada di dapur sedikit terkejut apabila terdengar jeritan Puan Farizah. Berlari-lari anak dia ke ruang tamu untuk melihat apa yang sedang berlaku. Sampai tangannya yang penuh dengan hampas kelapa itu pun tak sempat dibasuh.

“Ni ha! Tak nak bangun langsung! Dah beberapa kali mama kejutkan. Tok Wan nak suruh sembelih ayam tu.” Puan Farizah membebel. Sementara mata Syaf memerhatikan wajah Firash yang tengah enak tidur.

“Oh, jadi Firash memang tahu lah sembelih ayam ni?” Soal Syaf pula.

“Ha, memang dia tahu. Biasa dia aje yang Tok Wan suruh.” Balas Puan Farizah lagi. Mungkin Syaf tak pernah lagi tengok orang sembelih ayam kut, fikirnya.

“Tolong kejutkan Firash. Mama ada banyak lagi kerja nak buat ni kat luar.” Pinta Puan Farizah lalu bergerak ke luar. Ditinggalkan Syaf di situ bersama Firash yang masih enak tidur. Tidak berkutik langsung walau ada orang berbual sakan berhampiran dengannya.

Syaf menelan liur. Kalau Puan Farizah yang kejutkan pun, Firash tak nak bangun. Apatah lagi dia. Entah-entah sekejap lagi Firash memarahinya pula kerana menganggunya tidur. Namun dia tetap menundukkan tubuhnya. Bersedia untuk mengejutkan Firash.

Baru saja tangannya hendak mendarat di bahu Firash, tiba-tiba terasa kakinya digesel sesuatu yang berbulu. Disebabkan terasa geli dan terkejut, dia tidak sempat menyeimbangkan tubuhnya lalu jatuh ke atas tubuh Firash yang sedang tidur itu.

Suasana hening buat seketika. Syaf memejamkan mata. Terasa degup jantungnya dua kali laju dari normal. Kedua-dua tangannya refleks terpeluk tubuh Firash. Erk!

“Aduhh.” Kedengaran suara mengaduh panjang. Syaf cepat-cepat membuka matanya. Mata Firash yang telah terbuka itu sedang merenungnya tajam. Alamak!

“Meow.” Terdengar suara mengiau dari tepi telinga mereka. Tompok kucing kesayangan Tok Wan berada di sisinya. Namun apabila terasa tangannya memeluk tubuh Firash, cepat-cepat dia mengalihkan tangannya.

“Kau ingat aku tilam ke suka-suka hati nak landing?!” Firash merungut geram lalu duduk bersila. Tangannya mengurut-ngurut tubuhnya yang terasa sedikit sengal akibat dihempap oleh tubuh Syaf tadi. Nampak macam kurus je tapi berat jugak! Ni berat tulang ke berat dosa?!

Syaf mengetap bibir. Bukan dia sengaja nak jatuh atas Firash tadi. Tapi disebabkan terkejut oleh Tompok yang tiba-tiba datang menggesel di kakinya. Mungkin kucing itu lapar agaknya. Sebab itu yang datang menggesel-gesel di kakinya.

“Err…Tok Wan suruh sembelih ayam.” Tutur Syaf lalu bergerak laju-laju ke dapur. Tak nak tunggu lama-lama kat situ lagi. Baik lari sebelum kena marah.

“Eh apa benda ni?” Soal Firash apabila terasa sesuatu yang melekit di tshirtnya. Hampas kelapa? Firash dah mengetap bibir menahan geram. Hee! Nak kena dia ni!

***

“QIRA, nanti tolong pergi stor kat belakang tu kejap. Tolong ambilkan Tok Wan periuk yang paling besar kat situ nak rebus ketupat ni.” Arah Tok Wan pada Syaf yang baru saja siap membasuh tangan di singki.
Syaf berpaling. Tangannya dikesat pada kain pengelap yang berada di situ.
” Oh okay nanti Qira pergi ambil.” Dia bersetuju.

“Hmm..Yelah nanti jangan lupa cuci dulu periuk tu.” Sambung Tok Wan lagi sebelum melangkah menuju ke luar rumah. Syaf membetulkan tuala bersaiz sederhana itu di kepalanya dan mula mengekori jejak langkah Tok Wan ke luar rumah. Rasanya tadi dia terperasan ada satu bilik stor kecil yang terletak di hujung ruang dapur rumah itu. Namun pintu bilik stor itu hanya boleh dibuka dari luar.

Beberapa langkah dihala, bilik stor itu dihampiri. Pintu itu hanya diselak dari luar sahaja dan tidak berkunci. Mungkin tidak mengandungi barang-barang yang tidak berharga fikirnya lagi. Tangannya mula membuka selak dengan sedikit kuat apabila terasa selak itu agak sedikit ketat kerana sudah berkarat.

Daun pintu itu ditolak dari luar. Suasana agak gelap di situ. Bauan yang terhidu pun agak kurang menyenangkan. Di dalam keadaan yang agak gelap dan hampir samar-samar saja lantaran hanya sedikit cahaya matahari saja yang menerobos masuk, dia hampir saja teragak-agak untuk berjalan di situ takut-takut terpijak sesuatu yang tidak dijangkakan.

Seketika kemudian barulah dia ternampak ada satu suis lampu yang berada di dinding. Dia mengeluh kelegaan lalu memetik suis itu. Serentak itu keadaan mulai cerah. Dia memerhatikan sekeliling. Tidak banyak pun periuk yang ada di situ. Hanya ada dua biji periuk yang berada di situ. Dan sebuah kawah yang agak besar. Mungkin untuk mengacau dodol atau memasak gulai, fikirnya.

Dua buah periuk yang diletak di tempat tinggi itu agak sukar untuknya mencapai. Matanya mencari jika ada kerusi atau apa saja yang boleh dibuat tempat untuk berpijak. Matanya tertancap pada satu bangku kayu kecil yang berada di hujung bilik. Lantas segera kaki dihalakan untuk mengambil bangku itu.

Nasiblah ringan aje, bisik hatinya lalu mengangkat bangku kayu kecil itu ke rak yang meletakkan periuk itu. Belum sempat kakinya hendak memanjat bangku kayu itu, terdengar derapan langkah yang menuju ke situ. Bibirnya mengukir sedikit senyum. Mungkin Tok Wan yang datang, fikirnya tanpa sebarang rasa curiga.

“Tok Wan, Qira dah…” Terhenti ayatnya di situ apabila terpandang kelibat Firash yang sedang membolos masuk ke situ. Dan entah kenapa perasaan tidak enak mula bertandang di hatinya. Seperti dapat menjangkakan ada sesuatu yang akan berlaku.

Firash memandang Syaf yang sudah kaku tanpa sebarang riak. Kelihatan gadis itu sedang tidak berkelip memandangnya. Mungkin terkejut akan kedatangannya yang tiba-tiba muncul di situ kut. Dia tersenyum sinis lalu sekilas menutup pintu stor itu dari dalam. Selak yang berada di bahagian atas dan bahagian bawah pintu itu dikunci.

Syaf sudah menelan liur melihat kelakuan Firash itu. Peluh mula memercik di dahi. Ditambah pula dengan keadaan yang sedikit panas di situ walau bahagian dinding atas stor itu dipasang dengan kepingan jaring kecil yang berpetak-petak.

“Aku nak cakap sikit ni.” Tuturnya pada Syaf yang sedang memandangnya tidak berkelip. Dia mendekatkan sedikit tubuhnya ke arah gadis itu yang berada berhampiran dengan rak tinggi yang menempatkan periuk serta kawah itu.

“Err..Kau nak cakap apa ni?” Soal Syaf gugup.

“Pasal hal semalam.” Firash berpeluk tubuh. Matanya memandang tepat paras Syaf yang sedang menutup kepalanya dengan tuala bersaiz sederhana. Dia akui yang gadis itu amat menjaga auratnya ketika di luar rumah. Di dalam rumah Tok Wan pun gadis itu tetap menutup rambutnya sebagai syarat rahsia yang disimpan mereka itu tidak terbongkar.

Syaf menelan liur. Ah sudah! Mati lah aku macam ni! Mesti dia nak marah aku pasal hal tu tapi aku bukannya sengaja pun! Luah Syaf dalam hati. Dia hanya berdiam diri dan menunduk. Menanti apa saja yang bakal diperkatakan oleh lelaki itu nanti.

“Kau masih sayangkan dia?” Soal Firash memandang tepat wajah Syaf yang menunduk ke tanah. Mengundang rasa tidak puas hati di hatinya. Dia mendekatkan dirinya rapat ke gadis itu. Syaf cuba untuk berundur namun tersekat di rak tinggi tersebut. Terasa bulunya meremang dengan pandangan Firash itu. Ya Allah! Janganlah Firash buat apa-apa pada dirinya. Sungguh, dia tidak sanggup untuk membayangkan apa yang terjadi.

“Erm..Err..Tak…Aku tak sayang dah. Lagipun hal tu dah berlalu. Buat apa nak ingat lagi.” Syaf sedikit ketawa kecil. Cuba untuk menutup keresahan di hatinya kala itu.

“Tak sayang tapi novel dia kau simpan. Siap gambar lagi ada.” Sinis Firash tajam. Syaf tertelan liur berkali-kali. Entah mengapa kata-kata Firash itu sedikit sebanyak menusuk ke hatinya.

“Err..Novel tu aku tak sengaja bawak. Ada dalam beg. Semalam pun aku tengah mengemas, sebab tu lah aku letak atas katil dulu.” Syaf cuba memberi alasan yang logik awal pada hakikatnya alasan itu seperti tidak langsung diterima oleh lelaki itu.

“Tak sengaja atau sengaja?” Soal Firash lagi seraya merapatkan lagi jaraknya dengan gadis itu. Sehingga tidak beberapa inci saja bezanya. Syaf sudah resah gelisah. Hatinya mula berfikir bukan-bukan walaupun dia tahu yang mungkin Firash takkan buat apa-apa yang pelik. Tambahan pula kini masih bulan puasa.

“Betul aku tak sengaja!” Syaf mnenjawab bersungguh-sungguh. Peluh mula membasahi belakang baju tshirtnya itu.

“Kalau ikutkan hati aku, memang kau dah ‘selamat’semalam.” Ujar Firash dengan seyuman yang tidak boleh ditafsirkan. Ya benar. Mungkin kalau diikut hatinya yang tiba-tiba naik angin semalam, mungkin gadis itu tidak akan lepas darinya. Cuma bila memikirkan yang mereka sekarang berada di rumah Tok Wan dan dia juga sedang cuba mengawal perasaannya kala itu, dia cuba untuk bersabar. Itupun ada benda juga yang tercampak ke arah gadis itu.

“Nasiblah Tok Wan datang, kalau tak aku pun tak boleh jamin apa yang akan berlaku.” Sambungnya lagi sehingga nampak wajah itu mula memerah. Syaf mengalihkan pandang ke lantai yang berdebu. Tidak sanggup rasanya bertentang mata dengan lelaki itu sekarang. Betul-betul menyeramkan!

“Syafa Aqira, kau dengar baik-baik ye apa yang aku nak cakap ni. Mungkin kau agak leka dengan sikap caring aku tu. Okay fine, aku memang ambil berat akan apa yang ada bawah tanggungjawab aku tapi kau jangan tak tahu yang aku ni bukan seperti arwah Farish. Dia mungkin terlalu baik tapi aku bukan macam dia. Malah langsung tak sama dengan dia. So makesure kau jangan buat aku naik angin atau kau mungkin akan terkejut dengan apa yang aku buat nanti. Aku ni jenis unpreditable. Susah orang nak faham aku nak-nak lagi kau yang baru lagi kenal aku. So aku harap kau ingat kata-kata aku ni.”

Firash cuba memberi amaran. Dia terpaksa berbuat begitu kerana dia tahu perasaannya kadangkala sukar dikawal. Dan dia juga tahu yang dia mungkin akan bertindak di luar kawalan andainya perkara sebegitu berlaku lagi.

Syaf hanya diam dan menggigit bibir perlahan. Agak gerun mendengar ayat-ayat akhir lelaki itu. Firash makin merapati gadis itu yang terdiam. Tanpa sebarang kata jarinya mengusap lembut pipi gebu Syaf sebelum menapak menuju ke pintu. Syaf menghela nafas lega dan tersandar lemah di rak tinggi itu. Cuba menenangkan jantung yang masih berdegup laju.

***

“TOK WAN.” Panggil seseorang dari muka pintu dapur. Tok Wan memalingkan mukanya apabila terasa namanya dipanggil. Kelibat seseorang di muka pintu itu membuatkan bibirnya mengukir senyum.

“Qimy. Masuklah.” Pelawa Tok Wan pada Haqimy yang sedang menjinjit dua bungkusan plastik itu. Lelaki itu segera menapak menuju ke arah Tok Wan yang berada di meja dapur.

“Yelah. Ni Qimy bawakan biskut raya sikit untuk Tok Wan.” Ujarnya lalu meletakan bungkusan plastik itu ke atas meja dapur. Tok Wan menjenguk sedikit kepalanya untuk mengintai.

“Kuih batang buruk dengan semprit pun ada?” Soal Tok Wan. Tangannya laju mencapai bungkusan plastik yang mengandungi hampir 1kg kuih batang buruk itu. Haqimy tersenyum lalu melabuhkan duduk berhampiran Tok Wan.

“Ha’ah. Kuih batang buruk tu mak yang buat. Semprit tu Imah pulak yang buat.” Balasnya berterus terang. Seronok rasanya apabila pemberian mereka sekeluarga dapat membantu Tok Wan mempersiapkan sambutan hari raya.

“Oh Imah yang buat. Budak tu tak ada kerja sekarang. Eloklah tolong mak kau tu. Kau tu pulak bila balik sini? Lama cuti?”

“Balik petang semalam. Dapatlah cuti seminggu kali ni.” Balas Haqimy jujur. Dia meliarkan mata ke sekeliling seolah-olah mencari kelibat sesuatu. Tadi nampak macam kereta Mak Ngah Izah tadi kat laman, mesti Firash ada sekali ni.

“Lama jugak tu tak macam tahun lepas. Firash pun macam tu jugak. Kalau tak susah mereka hendak duduk kat kampung ni lama-lama.” Balas Tok Wan lagi. Dia menjengah ke arah tangga batu yang menghubungkan ruang dapur dengan ruang atas rumah.

“Mak Ngah Izah kamu tu bawak anak angkat dia balik kali ni. Mana lah pulak dia ni?” Rungut Tok Wan seraya berdiri. Tadi Qira naik ke biliknya untuk menunaikan solat Asar. Takkan tak keluar lagi dari bilik kut?

“Siapa tu Tok Wan?” Soal Haqimy dengan nada teruja. Mana tahu kut-kut boleh dibuat geng. Sudahlah ada adik sepupu sendiri macam Firash tu macam tak ada je. Asyik ada aje yang tak kena kalau berjumpa.

“Adalah. Nanti Tok Wan panggil dia.” Balas Tok wan seraya bangkit dari kerusi. Syaf yang baru saja keluar dari biliknya dan menuju ke ruang dapur. Terpempan dia di situ apabila melihat Haqimy. Masing-masing berpandangan pelik sebelum Haqimy mengukir senyum manis.

“Qimy!”

“Syaf!”

“Ya Allah Syaf! Macam mana boleh jumpa kat sini ni?!” Soal Haqimy ceria. Walau sudah hampir 9 tahun mereka tidak berjumpa, dia masih lagi tidak lupa akan gadis itu.

“Aku pun tak sangka boleh jumpa kau kat sini. Lamanya tak jumpa.” Balas Syaf sedikit sebak. Dia segera mendapatkan kerusi yang bertentangan dengan Haqimy. Kalau dulu, lelaki inilah yang selalu menyelamatkannya dari dibuli semasa mereka bersekolah di Sekolah Teknik dulu. Dia dan Haqimy berbeza setahun dan Haqimy adalah senior dia ketika itu.

Tok Wan memandang mereka berdua dengan pandangan pelik. Belipat-lipat dahinya apabila Haqimy dengan Qira saling berbual sakan. Seolah sudah lama mengenali antara satu sama lain.

“Qira! Kamu kenal ke dengan Qimy ni?” Celah Tok Wan apabila kedua-duanya sudah riuh bersembang. Seperti dia pula yang dipinggirkan di situ. Syaf berpaling dan tersenyum.

“Kenal Tok Wan. Qimy ni satu sekolah dulu dengan Qira.” Balasnya dengan tersenyum lebar. Sedangkan Haqimy sudah tertawa kecil.

“Qira? Tok Wan panggil kau Qira eh? Ayu gila!” Haqimy mencelah. Syaf membulatkan mata. Hampir-hampir saja bawang yang sedang dikupas oleh Tok Wan itu dibaling ke arah Haqimy.

“Biarlah Tok Wan nak panggil aku apa pun.” Balas Syaf dengan sedikit mencebik. Haqimy memandang tepat gadis yang berada di hadapannya itu. Semakin dewasa, gadis itu semakin manis dipandang!

“Alolo merajuk ke? Syaf yang aku kenal dulu tak main tau merajuk macam ni.” Usik Haqimy. Syaf mencebik. Haqimy masih belum pernah berubah perangainya. Sama saja seperti sembilan tahun lepas.

“Mana ada aku merajuk? Kau ni pandai-pandai aje lah. Tok Wan tengoklah Qimy ni.” Syaf cuba menarik perhatian wanita tua itu. Tok Wan hanya tersenyum. Macam-macam hal lah budak berdua ni!

“Eh Firash mana Qira?” Soal Tok Wan apabila kelibat cucunya yang seorang itu tidak kelihatan. Dah tidur gamaknya dalam bilik. Katanya tadi letih lepas kena cari buluh lemang tadi.

“Ada kut Tok Wan dalam bilik dia. Kenapa Tok Wan? Nak suruh Qira panggilkan ke?” Soal Syaf sedikit pelik. Haqimy terdiam apabila gadis itu menyebut nama Firash. Hatinya tertanya-tanya sendiri. Jadi Syaf dan Firash ni jadi adik beradik angkat lah? Hendak bertanya Tok Wan pula ada di situ. Akhirnya dia berdiam diri sahaja.

“Tok Wan, Qimy balik dulu lah. Takut mak tercari-cari pulak nanti.”
“Yelah. Esok tu jangan lupa datang raya ke sini dulu.” Pesan Tok Wan seraya menemani Haqimy ke muka pintu. Syaf hanya mengekori dari belakang sambil tersenyum.

“Kenapa? Tok Wan nak bagi duit raya ke?” Usik Haqimy. Tok Wan menampar lembut lengan Haqimy.

“Nak duit raya lagi ke Qimy? Kamu tu kan dah kerja. Patutnya kamu yang kena bagi duit raya ke Tok Wan.” Syaf sedikit tertawa melihat gelagat Haqimy itu.

“Ha’ah. Patutnya kau yang kena bagi duit raya kat Tok Wan. Kat aku jangan lupa jugak tu.” Celah Syaf tersenyum lebar. Haqimy sedikit mencebik.

“Esoklah kalau nak duit raya pun. Eh, aku balik dululah. Karang mak aku tercari-cari pulak.” Haqimy meminta diri dan berlalu ke muka pintu. Bibirnya mengukir senyum lebar melihat telatah Syaf yang tidak habis-habis mengusik dirinya.

“Yelah. Ha, kau dah cakap tu jangan esok tak bagi pulak” Sambung Syaf sambil tergelak kecil. Dia turut sama menghantar Haqimy ke muka pintu.

“Yelah- yelah. Esok aku datang, kau jangan tak ada kat rumah pulak tu.” Sambung Haqimy lagi sambil menyarung seliparnya. Dia berjalan menuju ke arah motorsikalnya yang terparkir di laman. Manakala Syaf pula menuju ke arah Puan Farizah yang berada di bangsal.

***

FIRASH mendongak kepalanya memandang ke arah pokok kelapa yang tak berapa tinggi itu. Dia mengeluh perlahan. Bukan tak pernah panjat tapi pokok kelapa ni ada kerengga kerana berdekatan dengan pokok mempelam. Itu yang menjadi masalahnya sekarang. Malas betul kalau kena berperang dengan kerengga, bisik hatinya. Kalau sikit tak apalah, ni macam banyak aje kat batang pokok tu. Mahu habis merah tubuh aku kalau kena gigit! Kalau kena muka macam mana? Dahlah esok pulak dah nak raya!

“Hah! Yang tak panjat lagi tu kenapa? Nanti lambat pulak siap ketupat nasi tu.” Tegur Puan Farizah ke arah Firash yang masih terpacak di bawah pokok kelapa itu.

“Ada ramai kerengga lah ma. Macam mana nak naik ni?” Rungut Firash sambil mencebik. Mula membayangkan kerengga menggigir leher dengan wajahnya. Aduh! Habis lah tak hensem muka ni esok! Konfem naik merah-merah nanti! Hessy!

“Macam lah selama ni kamu tak pernah kene gigit kerengga?! Dah! Jangan nak mengada-ngada. Nanti lambat pulak siap ketupat tu. Nak anyam lagi, nak kena basuh beras lagi.” Puan Farizah mula membebel. Hesyy mama ni! Kalau beli aje yang dah siap kan ada, ni nak guna yang tradisional jugak! Bebel hati Firash sambil tergaru-garu kepala. Memikir cara untuk mengelakkan dari digigit kerengga.

Akhirnya dia mengambil tangga yang terdapat di belakang rumah Tok Wan selepas dijegil Puan Farizah dari jauh. Berhati-hati dia menyandarkan tangga bersaiz sederhana itu ke batang pokok kelapa. Dengan dimulakan dengan lafaz Basmallah, kakinya perlahan-lahan mendaki anak tangga tersebut. Matanya ke kiri ke kanan untuk berwaspada dengan kehadiran kerengga dari pokok mempelam di sebelah.

Apabila kakinya sampai ke hujung tangga, tangannya cepat-cepat berpaut pada kelepah daun kelapa yang bersusun itu sebelum cuba memperkemaskan lagi kedudukannya di situ. Sebilah golok pendek yang terselit di pinggangnya dikeluarkan dari sarung untuk mencantas hujung pelepah kelapa muda yang belum berkembang itu.

Sebaik saja pelepah pucuk kelapa muda itu dicampak ke tanah, Firash terasa belakangnya pedih-pedih. Golok itu kembali diletak kembali ke dalam sarungnya dan disisip ke pinggang. Dia memang dah tak fikir lain dah sekarang ni. Pasti serangga kecil itu dah mula masuk ke dalam bajunya. Cepat-cepat dia berusaha untuk turun dari pokok kelapa itu sebelum semua kerengga dari pokok mempelam sebelah menyerang. Dengan hanya berbaju tshirt putih dan seluar bermuda yang longgar memang kena sangatlah keadaannya ketika ini. Memang senang kalau serangga kecil itu mahu menyelinap masuk.

Sebaik sahaja kakinya cuba menjejak tangga yang disandarkan, tiba-tiba tangga itu meleret jatuh dan terbalik ke tanah kerana tersentuh kakinya. Saat itu Firash dah hampir menyumpah-nyumpah dalam hati. Dia mengetap gigi menahan geram sambil tangannya cuba menepis beberapa ekor kerengga yang mula memasuki ke dalam bajunya.

Hendak tak hendak dia terpaksa turun melalui takok yang telah dibuat di batang pokok kelapa itu untuk senang dipanjat. Sesi turun dari pokok itu memang agak lambat kerana dia sudah lama tidak memanjat dan kadangkala teragak-agak untuk menapak turun. Walaupun pokok itu tidak terlalu tinggi namun langkah keselamatan perlulah dititikberatkan juga. Bimbang kalau-kalau terjatuh, memang raya kat hospital lah esok gamaknya!

Terasa hampir menjerit kala ia sampai ke tanah itu. Beberapa ekor kerengga yang sempat menyelinap masuk ke tubuhnya itu merayap masuk ke dalam seluar bermudanya. Terlompat-lompat dia di situ cuba untuk membuang kerengga di dalam seluarnya. Kala itu dia cuba untuk memandang ke sekeliling. Harap-harap tak adalah sesiapa yang nampak namun lompatannya terhenti apabila melihat kelibat Syaf dengan Haqimy yang sedang merenung pelik ke arahnya.

“Kau kenapa?” Tegur Haqimy dengan berkerut dahi apabila melihat wajah Firash yang mula kemerah-merahan dan berpeluh-peluh. Syaf yang baru saja tiba dari belakang pula memerhatikan pelepah daun kelapa muda yang sudah tersadai ke tanah. Di situ penuh kerengga yang sedang berkerumun. Kepalanya mula terfikir sesuatu.

“Kena gigit kerenggalah tu.” Sindir Haqimy sambil tersenyum sinis. Bukannya dia tidak nampak beberapa ekor kerengga yang ditepis oleh adik sepupunya itu. Terasa mahu saja mengetawakan Firash namun dia cuba untuk bertahan.

Syaf menutup mulut menahan ketawa apabila terdengar kata-kata dari Haqimy itu. Kena gigit kerengga pun sampai terlompat-lompat ke? Soalnya pada diri sendiri.

“Kau diamlah!” Marah Firash cuba menahan pedih di peha. Haqimy tersenyum lebar. Tu lah, lama sangat tak panjat pokok! Baru lah tahu macam mana pedih kena gigit kerengga!

“Hati-hati sikit, nanti dia gigit kat tempat ‘tut’ tu barulah kau meraung.” Usik Haqimy lalu mula ketawa besar. Syaf yang tadinya cuba menahan ketawa dari keluar, ketawa juga akhirnya. Firash menjeling tajam dan cuba pergi dari situ dengan keadaan tak selesa. Namun terdetik juga di hatinya akan kemesraan antara Syaf dengan Haqimy itu. Macam dah kenal lama aje!

***

“KECILKAN API sikit, nanti hangus pulak lemang tu.” Arah Tok Wan pada Firash yang tengah membalik-balikkan batang lemang yang tersusun itu. Syaf hanya memerhatikan tanpa kata. Dilihatnya Firash sudah berpeluh-peluh kerana duduk berhampiran dengan api.

“Ha, Syaf tahu tak anyam ketupat ni?” Tegur Puan Farizah pada Syaf yang ralit memerhatikan Firash. Syaf berpaling dan melihat daun kelapa muda yang dah berada di tangan Puan Farizah.

“Erm…Tahu jugak sikit-sikit tapi lambatlah nak buat.” Luah Syaf berterus terang. Dia tahu unuk menganyam ketupat kerana pernah belajar dengan arwah emaknya dulu. Tapi mungkin dah lupa sebab lama dah tak praktis. Biasa raya pun beli yang dah siap saja.

“Mama pun macam tu jugak. Sebab raya pun setahun sekali jadi mungkin lupa jugak sikit-sikit.” Puan Farizah tergelak kecil. Dia menghulurkan daun kelapa yang dah diurai menjadi dua helai kepada Syaf.

“Nanti tak jadi tak tahu.”Ujar Syaf lambat-lambat. Tangannya mencapai daun kelapa lalu mula menganyamnya. Ralit mata Puan Farizah memandang.

“Tak jadi lah ma. Jadi ketupat sate pulak.” Syaf tergelak kecil dan menunjukkan ketupat sate di tangannya itu. Nampak macam ketupat biasa tapi betul-betul segi empat tepat. Langsung tiada bentuk ketupat biasa.

“Mula-mula memang jadi macam tu, nanti yang daun yang lebih ni boleh pusingkan balik. Silap langkah aje tu.” Puan Farizah mengambil ketupat sate di tangan Syaf lalu membetulkan. Khusyuk Syaf melihat.

“Auchh!” Firash tiba-tiba terjerit kecil. Syaf dan Puan Farizah sudah berhenti menganyam ketupat. Masing-masing melarikan mata ke arah Firash yang sudah terlompat-lompat di tepi tempat pembakar lemang.

“Kenapa ni?” Tok Wan yang baru muncul dari dapur menegur. Dia yang tengah mencabut bulu ayam kampung yang sudah direndam dengan air panas itu sedikit terkejut.

“Kena api.” Firash membalas. Tangannya membelek sikunya yang sudah memerah tu. Masa dia tengah mengalihkan kayu-kayu api tu, percikan api terkena bahagian sikunya.

“Letak ubatlah.” Tok Wan menegur. Entah kenapa tiba-tiba Syaf memberanikan diri untuk pergi melihat keadaan Firash.

“Tak apa lah Tok Wan, sikit aje ni.” Firash kembali membetulkan lemang yang sudah separuh masak itu. Syaf tidak jadi untuk melihat dengan lebih dekat lagi disebabkan Firash kembali menyambung kerjanya. Namun matanya masih lagi melihat siku Firash yang sudah memerah. Mesti pedih tu!

Firash membelek sikunya sebelum menapak menuju ke dalam rumah. Tak jadi untuk menyambung kerja apabila terasa sikunya makin pedih. Syaf yang sedang ralit melihat Firash itu dicuit oleh Puan Farizah. Dilihatnya Puan Farizah sedang tersenyum dan mengangguk perlahan.

Syaf menuju ke tangga sebelum menuju ke dalam rumah. Dia mencari-cari kelibat Firash di ruang tamu namun tiada. Dia berfikir sejenak di situ. Sudah pasti Firash berada di dalam bilik agaknya. Dengan langkah perlahan Syaf mengatur langkah ke arah bilik Firash. Dia menarik nafas panjang sebelum masuk ke bilik yang tidak tertutup pintunya itu.

Pandangannya tertancap pada Firash yang sedang duduk di birai katil. Kelihatan sikunya dibengkokkan untuk melihat kesan terkena percikan api tadi. Di sisinya itu ada kelihatan sebotol minyak gamat dan beberapa putik kapas. Syaf bergerak merapati Firash. Kala itu Firash mengangkat mukanya. Di wajahnya terpamer kerutan mungkin menahan kepedihan akibat luka itu.

“Biar aku tolong.” Tutur Syaf seraya melabuhkan punggung di sisi Firash. Diambilnya botol minyak gamat itu lalu penutupnya dibuka perlahan. Bimbang juga jika tumpah pula atas cadar. Firash hanya berdiam diri sahaja tanpa berkata apa-apa. Hanya ralit memerhatikan gadis itu tekun membuat kerjanya. Di dalam hatinya mula ada rasa sedikit terharu dengan keprihatinan gadis itu melayannya walau tadi dia berkata kasar pada gadis itu.

Syaf menarik perlahan lengan Firash dan dibawa ke ribanya. Walaupun di dalam hatinya turut merasa debaran di dada, namun dia cuba untuk bertahan. Putik kapas yang berada di tangan dicelup ke dalam botol gamat itu dan berhati-hati dia mencalitkan titik-titik minyak gamat itu ke siku Firash. Firash yang ralit memandang wajah Syaf itu sesekali berkerut menahan pedih.

“Auchh! Sakitlah! Perlahanlah sikit.” Firash mengetap gigi menahan pedih. Syaf memberhentikan segala perbuatannya itu.

“Sikit aje ni. Tahan aje lah.” Tukas Syaf. Manja betul! Kutuk hatinya. Firash menarik nafas panjang.

“Pedihlah! Kalau kau yang kena baru kau tahu sakit ke tak!” Firash membalas. Panas pula hatinya bila gadis itu seakan-akan tidak memahami kepedihan yang tertanggung akibat luka terpercik api. Syaf mengeluh perlahan. Lengan Firash yang diletakkan di ribanya itu dialihkan.

“Kau buat sendiri lah. Aku dah malas nak tolong.” Syaf bingkas bangun dan menapak ke pintu. Firash yang ditinggalkan keseorangan itu sedikit tercengang.

“Okay fine. Aku memang boleh buat sendiri pun.” Gumamnya geram dan cuba meletak kembali minyak gamat di kawasan lukanya itu walau agak susah dia mencapainya. Bersusah-payah dia cuba meletakkan minyak gamat itu.

***

FIRASH menghulurkan dua keping not RM20 kepada budak lelaki yang berumur anggaran 11 tahun itu. Bibirnya mengoyak senyum lebar apabila terpandangkan sebungkus mercun lebah yang dipesannya ketika dia pergi mencari buluh lemang tadi. Agak bernasib baik kerana terjumpa budak-budak lelaki yang sibuk mencari buluh untuk membuat meriam buluh.

“Banyak ni bang? Mercun tu tak sampai pun dua puluh ringgit.” Berkerut dahi budak lelaki yang memakai cap biru itu. Firash hanya tersengih lalu menepuk bahu budak lelaki itu. Kepalanya sedikit ditundukkan.

“Yang lebih tu simpan. Ni jangan bagitahu kat Tok Wan aku nanti.” Pesan Firash. Budak lelaki itu mengangguk-angguk faham.

“Okay. Terima kasih bang, saya pergi dulu.” Balas budak lelaki itu dan berlalu. Firash memandang bungkusan mercun di tangannya. Huh! Dah hampir setahun tak main mercun! Sesekali lepas gian apa salahnya! Janji jangan Tok Wan dapat tahu. Kalau tak, mesti kena kejar dengan penyapu! Dia tersenyum-senyum apabila mengingatkan akan kenangan bermain mercun ketika raya beberapa tahun lepas.

Dia menghala ke arah laman rumah Tok Wan sambil bersiul-siul kecil. Bungkusan mercun itu dimasukkan ke dalam poket seluar bermudanya. Kala itu dia terlihat Puan Farizah bersama dengan Syaf sudah selesai sesi menganyam ketupat nasi di atas pangkin. Tok Wan pula tak kelihatan di mana-mana.

“Ma. Rendang ayam tak buat ke?” Soal Firash lalu melabuhkan punggung di sebelah Syaf itu. Gadis itu sedikit terkejut dan cuba untuk menjarakkan diri. Puan Farizah hanya tersenyum kecil melihat keadaan itu.

“Malam nanti lah buat. Ni baru aje nak rest sikit lepas menganyam ketupat.” Balas Puan Farizah. Syaf hanya diam tak menyampuk apa-apa.

“Oh, buat banyak sikit pun tak pe.” Balas Firash sambil tersengih menayang gigi.

“Memang mama kena buat banyak pun. Karang kamu jugak yang habiskan semua tu.”

“Ala ma. Sekali sekala, tak salahkan? Lagipun benda sedap. Rugilah tak makan banyak-banyak.” Firash cuba merapatkan tubuhnya ke arah Syaf hingga membuatkan gadis itu memandangnya pelik. Syaf cuba untuk menjauh namun tubuhnya tersekat pada Puan Farizah. Dia ternampak senyuman sinis yang terbit di bibir lelaki itu. Apa kes ni? Tadi beria-ia je warning aku! Ni duduk menempel dekat-dekat kenapa pulak? Karang Tok Wan nampak kan susah! Bisik hatinya perlahan.

“Hmm, memang tak salah pun. Tapi mama ingat tahun ni nak suruh Syaf je yang buatkan rendang tu.” Cadang Puan Farizah sambil tersenyum kecil. Syaf yang sedang mengerling Firash di sebelah tiba-tiba rasa pehanya ditepuk perlahan. Dia memandang ke arah Puan Farizah dengan menaikkan kening. Tak sempat nak dengar betul-betul apa yang Puan Farizah katakan.

“Mama cakap apa tadi? Syaf tak dengarlah.” Soalnya. Nak dengar macam mana kalau mata tu asyik melekat aje kat Firash di sebelah! Erk! Memang dah tak boleh dinafikan lagi!

“Mama cakap nak suruh kamu buatkan rendang nanti. Boleh kan?” Firash yang tiba-tiba tersenyum lebar bila bercakap dengan mamanya tadi mati terus senyumannya. Dia menjeling ke arah Syaf di sebelah. Dia ni reti ke buat rendang? Kut-kut nak masak gulai ayam pun tak lepas!

“Err….Boleh kut..Dulu pernah tolong arwah mak buat tapi sebab dah lama so maybe tak ingat lah.” Syaf memberi alasan. Tapi apa yang diperkatakannya itu betul. Memang dah lama dia tak masak rendang. Dulu pun arwah maknya yang tolong ajar sikit-sikit.

“Tak pandai cakap aje lah tak pandai. Alasan konon!” Tukas Firash di sebelah. Syaf menaikkan sedikit kening. Budak ni apahal lagi ni yang tak puas hati dengan aku?

“Firash! Apa ni duk cakap macam tu kat Syaf? Kira dah okay lah tu yang dia boleh jugak masak. Tengok perempuan zaman sekarang ada langsung yang tak tahu masak. Harap kat orang gaji aje. Kira kamu ni beruntunglah dapat Syaf ni.” Puan Farizah menyampuk. Syaf tersenyum nipis bila Firash dah mencebik. Huh! Padan muka! Tapi betulkah lelaki itu beruntung sebab dapat dia?!

“Okay. Takpe. Esok Firash nak try rasa tahap kepandaian orang tu masak rendang. Manalah tahu kut-kut boleh lawan kesedapan yang mama dengan Tok Wan punya. Masa tu mama dengan Tok Wan boleh bersara lah dari buat rendang.”

Firash tersenyum nipis kala mengeluarkan kata-kata seakan cabaran itu. Syaf dah menelan air liur. Ala, mana aci macam ni! Mama dengan Tok Wan memang dah tahap terer! Aku ni baru aje nak mula belajar!

“Dengar tu Syaf. Ada orang nak jadi juri esok. So berusahalah sungguh-sungguh untuk esok.” Puan Farizah memberi sokongan dan menepuk bahu Syaf yang sedang menjeling Firash itu. Firash hanya tersenyum-senyum saja ketika itu.

***

“MAMA masuk dalam kejap. Nanti mama turun balik.” Tutur Puan Farizah lalu menuju ke tangga batu yang menghubungkan ruang dapur dengan ruang atas rumah.

“Okay.” Balas Syaf sambil melabuhkan duduk di kerusi. Matanya memerhatikan satu persatu bahan yang perlu digunakan untuk membuat rendang. Tiba-tiba otaknya teingatkan sesuatu.

“Ala, daun pandan pulak lupa nak ambil.” Gumam Syaf lalu bingkas bangun dari kerusi. Dia menjenguk kepalanya ke luar. Tak adalah gelap sangat. Macam manalah aku boleh lupa benda penting ni! Bebel Syaf dalam hati dan menuju ke pintu dapur.

Selipar jepun disarung ke kaki dan dia mula melangkah ke luar rumah. Cahaya lampu pelita yang terpasang sana sini memudahkan pergerakannya itu. Di dalam hatinya dia merungut-rungut kerana lupa untuk mengambil daun pandan itu. Memanglah tak jauh sangat dari rumah tapi bimbang juga kalau terjumpa dengan haiwan yang merayap-rayap kat tanah itu.

Kakinya terhenti melangkah apabila terdengar bunyi sesuatu yang pelik berhampiran dengan bilik mandi. Jantungnya yang sedang berdegup normal mula memainkan irama tak menentu. Jangan kata malam ni ada benda lain pulak sudahlah! Bisik hatinya cuba memujuk.

Dia merapatkan diri ke dinding luar bilik air. Kala itu matanya sempat melihat kelibat seseorang yang sedang menunduk berhampiran dengan bilik mandi itu. Siapa pulak tu? Bisik hatinya sebelum cuba untuk mengintai.

Dan matanya sedikit membulat tatkala insan yang tidak dikenali itu menoleh ke arahnya dengan memegang sesuatu. Firash! Dia tengah buat apa tu?

***

FIRASH perlahan-lahan menuju ke beranda. Mercun lebah yang diletakkan di dalam seluar bermudanya itu dikerling sekilas sambil bibirnya mengukir senyum lebar. Laju sahaja kakinya menuruni tangga dan menuju ke laman rumah sebelum menghilang di sebalik bilik mandi yang terletak di hujung laman.

Pelita yang elok tersangkut di dinding luar bilik mandi itu dicapai. Perlahan-lahan dia meletakkan ke tanah. Dia duduk mencangkung di situ sambil tangannya mengeluarkan mercun yang ada di dalam poket seluarnya.

“Dua biji dulu cukuplah kut.” Gumamnya perlahan sambil meletakkan mercun itu ke tanah. Berhati-hati dia mencucuh sumbu muncung lebah itu sebelum memegangnya sekejap sebelum dilemparkan cepat-cepat ke arah depan. Dia cepat-cepat berlari untuk menjauhkan diri dari bunyi yang kuat itu.

“Makkk!!” Tiba-tiba kedengaran seseorang menjerit kuat. Firash yang sedang cuba bersembunyi di sebalik pokok kelapa itu membulatkan matanya apabila terpandangkan sesusuk tubuh sedang berlari lintang pukang ke arah laman.

“Syaf?!” Gumamnya sedikit terkejut. Macam mana dia boleh ada kat situ pulak? Dan macam mana mercun tu boleh kena kejar dia ni? Seingatnya tadi gadis itu berada di dapur. Sibuk menyediakan bahan-bahan untuk membuat rendang.

Syaf merasakan wajahnya pucat tak berdarah kala itu. Selipar jepun yang tersarung di kakinya sudah tercabut entah ke mana. Nasiblah ketika itu dia sedang memakai seluar panjang. Kalau tak, memang harulah kalau nak berlari menggunakan kain batik.

Otaknya tidak boleh terfikir akan apa yang sedang dialaminya sekarang. Yang dia tahu ada satu benda yang sedang mengejarnya dari arah belakang. Dan dia pasti benda itu ada kaitan dengan apa yang dilihatnya bersama Firash tadi. Seketika dia terasa seperti hendak menangis.

Puan Farizah dan Tok Wan masing-masing bergegas ke luar rumah apabila terdengar jeritan yang kuat dari Syaf itu.

“Mama!” Jerit Syaf termengah-mengah lalu kakinya tersadung sesuatu dan jatuh tersembam di atas tanah. Seketika bunyi mercun yang agak kuat kedengaran di situ. Syaf memejamkan mata sambil mengucap panjang. Berharap yang dirinya takkan apa-apa.

“Firash!!!” Jerit Puan Farizah sambil bercekak pinggang. Tok Wan menggelengkan kepalanya. Perlahan-lahan Firash keluar dari tempat persembunyiannya dengan mempamerkan sengihan tak bersalah. Sedangkan kala itu Syaf mula mencelikkan matanya dengan nafas yang tertahan. Dia mendongakkan kepala serta membetulkan kedudukan tubuhnya yang jatuh tadi. Agak perit juga lututnya kala tersembam tadi. Janganlah luka pulak nanti!

“Qira okay ke?” Soal Tok Wan lalu menarik tangan Syaf supaya berdiri. Syaf terkial-kial untuk bangun membuatkan Puan Farizah segera dilanda bimbang.

“Sakit kat lutut sikit.” Luah Syaf lalu mengerling sekilas ke arah seluarnya yang sudah sedikit koyak di lutut. Firash menelan liur. Habislah aku kena marah dengan mama!

“Mama rasa bila umur kamu dah cecah dua puluh satu tahun, perangai akan jadi matang sikit! Ni tak. Cuba tengok apa yang dah jadi kat Syaf tu?! Tak habis-habis nak main mercun walau orang dah larang! Kalau Syaf kena mercun tadi macam mana? Tak pasal-pasak pulak ada yang kena masuk ICU malam ni! Tak pun ada yang terputus jari atau melecur kat mana-mana lagi lah teruk!” Puan Farizah meluahkan kemarahan terhadap anak bongsunya itu. Tok Wan sudah malas untuk memarahi Firash dah hanya menarik gadis itu masuk ke ruang dapur.

“Firash tak sengajalah ma.” Balas Firash dengan nada sedikit bersalah. Memang dia tak ada niat pun nak takutkan gadis itu tadi. Dia main mercun pun untuk kepuasan diri sendiri aje. Bukannya nak usik orang pun. Manalah tahu benda macam ni akan jadi.

“Kan dah tiap-tiap tahun Tok Wan larang main mercun! Tak ingat ke dulu yang arwah abang kamu hampir-hampir masuk hospital sebab terkena mercun kat kaki? Takkan kamu dah lupa kut?!” Sambung Puan Farizah menahan sabar. Mengingatkan kenangan bersama arwah Farish, hatinya tiba-tiba terusik. Segala kenangan bersama arwah mula berlayar di ingatan.

“Sorry ma.” Luah Firash pendek apabila terpandang kesedihan yang bertamu di wajah mamanya itu sebelum Puan Farizah melangkah masuk ke ruang dapur. Mungkin untuk melihat keadaan Syaf tadi yang katanya sedikit luka di lututnya.

Firash mengeluh lemah. Memang salah dia sekarang ni tapi salah gadis itu jugak yang tiba-tiba muncul entah dari mana. Melihatkan Tok Wan dan mamanya yang terlalu mengambil berat akan gadis itu membuatkan hatinya dijentik rasa cemburu. Sekarang siapa anak dan siapa yang cucu sebenarnya ni? Bisik hatinya perlahan sebelum beredar dari situ.

p/s : sy cuba berikan yg terbaik utk followers yg ikut ceta ni..hope terhibur n tgalkn sedikit komen tuk menaikkan smgt sy..thank you very much :D




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

195 ulasan untuk “Novel : Sebenarnya, Saya isteri dia! 14”
  1. sara zarra says:

    tgk at tv lain cita … tp bila da dapat baca novel, lagi bez

  2. noor says:

    citer ni mmg best.relax je bace.biler bace 2 mmg ssh nok berenti.

  3. iyrazuhairah says:

    best giler lah citer ni. bla dh bca ssh btl nk brhnti.tahniah kpd pnls krna tlh mncpta sbuah novel yg indah buat sye mmbcnya.

  4. Firash says:

    Aku x bersalaH. Mama ni pehal? Mcm la si Syaf tu anak dia???? Ahh

  5. syamimi says:

    hasil yang sangat2 menarik.. =)

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"