Novel : Sebenarnya, Saya isteri dia! 15

24 November 2011  
Kategori: Novel

81,037 bacaan 116 ulasan

Oleh : Addy Rifqhiey

“MACAM mana dengan lutut tu?” Soal Puan Farizah pada Syaf yang sudah duduk di kerusi di ruang dapur itu. Tok Wan sedang memegang mencari sesuatu di dalam laci.

Syaf tersenyum kecil. “Luka sikit aje ma. Masa jatuh tersembam tadi kut.” Balasnya sambil menyelak seluar panjang yang dipakainya itu ke paras lutut. Luka yang dialaminya tadi sudah mula mengeluarkan sedikit darah. Tak adalah teruk pun, cuma luka kecil saja.

Puan Farizah mengeluh panjang sebelum melabuhkan duduk berhampiran dengan gadis itu. “Mama tak tahu lah nak cakap apa pasal Firash tu. Kadang-kadang geram jugak dengan perangai dia yang kadang-kadang tu macam budak-budak sikit. Bila lah agaknya budak tu nak matang?” Bebel Puan Farizah.

Tok Wan mengeluarkan minyak gamat dan plaster dan diletakkan di atas meja. “Ni aje yang Tok Wan ada, gunalah.” Dia memberi isyarat kepada Syaf.

Syaf tersenyum kecil. ” Tak apa lah Tok Wan. Yang ni pun dah cukup. Bukannya teruk pun luka ni.” Balas Syaf lalu mengambil minyak gamat dan berhati-hati diletakkan di lukanya sebelum menampalnya dengan plaster.

Tok Wan bergerak menghampiri anaknya itu dan duduk di sebelah. “Matang ni bukan boleh dipaksa Zah oi. Karang dipaksa-paksa jadi lain pulak.” Nasihat Tok Wan.

“Tapi mak, kadang tu Zah sakit hati jugak. Sudahlah perangai dia tu ikut kepala dia aje. Tak nak dengar dah nasihat orang.” Sambung Puan Farizah lagi. Syaf hanya diam dan mendengar. Dia akui yang kadangkala perangai Firash itu memang menyakitkan hati. Tapi dia nak buat macam mana? Nak tegur kan, takut ada aje pula yang bergaduh.

“Perangai dia ikut siapa lagi kalau bukan ikut laki kamu tu? Nak buat apa-apa kadang tu tak fikir panjang. Nak ikut senang dia aje. Nasiblah dapat kau yang jenis lembut hati ni. Kalau boleh kat aku, memang dah lama agaknya kena hempuk sebab nak kahwin lain.” Bebel Tok Wan lagi.
Puan Farizah terdiam apabila hal mengenai suaminya itu diungkitkan.

“Dah takdir mak. Nak buat macam mana. Kalau dihalang-halang, nanti dia buat ikut cara lain pulak.” Sambung Puan Farizah lagi seakan pasrah.

“Ha, yelah tu. Tengok macam sekarang. Ada ke dia nak jenguk aku ni kat kampung? Entah-entah dengan kau sekali pun dia tak datang tengok.” Sambung Tok Wan lagi. Puan Farizah mengeluh berat. Memang betul kata-kata emaknya itu. Suaminya itu sudah lama tidak pulang ke kampung. Jenguk dia pun tak. Sibuk benar agaknya dengan bini muda dia tu!

“Biar lah mak. Dosa dia yang tanggung. Zah tak kisah pun.” Puan Farizah menjawab seakan-akan pasrah. Sungguh, dia malas lagi untuk berfikir tentang hal ini. Cukuplah dengan apa yang ada sekarang.

“Yang tu aje lah kau boleh cakap. Ha Qira! Nanti kalau kau dah kahwin nanti jangan jadi macam mama kau ni! Asyik redha aje biar hati sendiri yang sakit padahal kita perlu pertahankan hak kita sebagai orang perempuan.” Syaf tersenyum sumbing apabila mendengar kata-kata Tok Wan itu. Dia mengerling sekilas ke arah Puan Farizah sebelum mengangguk perlahan.

“BABE, malam ni kau tak nak menari ke?” Soal Fisya pada Raina yang hanya diam saja di kerusi tinggi di meja bar itu. Raina mengeluh perlahan. Minuman yang masih berbaki separuh gelas itu diteguk perlahan.

“Aku tak ada moodlah malam ni.” Balas Raina lemah. Dia memerhatikan pengunjung kelab itu yang semakin ligat menari di lantai tari. Kebiasaannya dialah yang ligat di situ. Setakat ini tak ada lagi gadis lain yang boleh menandingi kehandalan serta ketahanan dia menari sampai lewat pagi.

“Apasal? Kau ada masalah ke? Share lah dengan aku mana tahu aku boleh tolong.” Fisya cuba menawar diri pada kawan baiknya itu. Raina mengeluh kecil. Patutkah aku menceritakan hal berkaitan hati dengan perasaan aku pada si Fisya ni? Karang dia gelakkan aku macam mana?

“Boleh ke kau nak tolong aku? Masalah aku ni tak adalah besar tapi bila masuk bab hati dan perasaan ni boleh kacau jugak lah.” Jujur Raina meluahkan. Fisya yang pada mulanya sedikit terkejut mula hampir-hampir mneghamburkan ketawa. Namun segera ditahan. Bimbang kawan baiknya itu terasa.

Hmm, boleh tahan juga si Raina ni. Aku ingat dah tak ada perasaan kat lelaki. Stok-stok teman lelaki dia yang keliling pinggang tu pun nampak dah tak terjaga. Selalu aje kena kejar tak kira masa!

“Kau kan kawan baik aku. Kalau aku boleh tolong, aku tolonglah.” Balas Fisya prihatin. Cuba menyedapkan hati kawannya itu.

Raina mengukir sedikit senyum. “Tak tahulah nak cakap macam mana tapi aku rasa macam aku dah jatuh hati kat one guy ni.” Raina membuat pengakuan. Fisya hampir-hampir terlopong. Jatuh hati? Biar benar kawannya ini! Sepanjang dia orang berkawan, rasanya hanya sekali sahaja kawannya itu jatuh cinta. Itu pun pada mula-mula mereka masuk ke universiti dulu. Dia masih ingat lagi pada masa itu yang Raina jatuh cinta kat seorang senior mereka. Hampir dua bulan mereka sempat bercinta sebelum lelaki itu terpaksa pergi ke luar negara untuk menyambung pelajarannya. Dan lepas pada itu, hubungan mereka itu putus macam tu saja. Biasalah, percintaan jarak jauh. Memang banyak risiko. Raina pula betul-betul kecewa. Cinta pertama lah katakan. Memang susah nak lupa.

Selepas itu, sikap Raina mula berubah. Dari seorang perempuan yang biasa-biasa sudah mula bertukar sedikit demi sedikit. Dari seorang yang susah berkawan dengan lelaki, dia sudah mula berjinak-jinak dengan lelaki-lelaki terhangat di kampus mereka. Dan yang dipilih pula hanyalah orang-orang dari golongan berada dan ternama. Katanya sekadar mengisi masa lapang. Tak ada pun yang nak serius.

“Are you damn serius babe? Siapa tu? Aku kenal ke?” Soal Fisya dengan nada teruja. Ingin tahu juga lelaki mana yang dapat menambat hati batu milik Raina itu. Sudah pasti bukan calang-calang orangnya.

Raina hampir ketawa melihat riak teruja kawan baiknya itu. Macamlah dia yang bercinta. Raina berdeham sedikit. “Kau kenal tak Firash?” Soalnya pada Fisya. Fisya berkerut dahi cuba untuk mengingati sebaris nama itu. Macam pernah dengar tapi ingat-ingat lupa. Siapa pulak yang si Raina ni nak? Jangan-jangan lelaki biasa-biasa saja kut? Kalau betul, memang taste si Raina ni dah berubahlah!

“Aku macam pernah dengar nama tu tapi ingat-ingat lupa lah. Budak mana tu? Satu course dengan kita ke?” Soal Fisya lagi. Raina menghela nafas. Dah boleh diagak yang si Fisya ni tak berapa kenal sangat. Tak apa, nanti aku kenalkan satu hari nanti, bisik Raina dalam hati.

“Firash Arshad lah. Budak tahun akhir yang ambik course civil tu. Ala yang dapat menang atlit taekwando terbaik fakulti dia tu.” Raina memberi sedikit fakta tentang lelaki yang membuatnya tidak lena tidur.

“Firash Arshad? Budak taekwando tu ke? Wah! I’m so impressed! By the way memang gila handsome budak tu! Tapi dia tak layan sangat lah girl, sebab tu dia tak masuk top list kat uni ni.” Balas Fisya dengan nada teruja bercampur terkejut.

“Sebab dia tak layan girl sangatlah yang aku berkenan sangat kat dia tu. Sekurang-kurangnya tak adalah saingan aku nanti kalau dah dapat dia.” Luah Raina. Dia yakin jika dia bersama dengan Firash, hidupnya akan lebih terjamin. Tidak seperti lelaki yang bersamanya sekarang. Pantang nampak perempuan cantik sikit terus aje lupa diri.

“So apa strategi kau nak pikat dia?” Soal Fisya lagi. Dia memang berminat nak tahu bagaimana cara Raina nak pikat si Firash tu. Mana tahu kut-kut nanti dia boleh copy paste petua Raina tu nanti kat mana-mana lelaki yang dia berkenan.

“Actually aku dah pun mulakan strategi aku tiga bulan yang lepas tapi tak ada hasillah. Sebab tu lah yang buat aku pening ni.” Luah Raina lagi sebelum meneguk airnya. Kali ini Fisya betul-betul terkejut sakan. Macam mana dia boleh tak tahu ni? Haissh! Tak boleh jadi ni!

“Kau ni memanglah! Langsung tak cerita kat aku. Sedihlah macam ni!” Fisya buat muka. Raina mencebik. Ek eleh dia ni, lebih-lebih lah pulak!

“Tak payah lah nak sedih. Aku nak try dulu macam mana baru lah boleh cerita kat kau tapi dia tu langsung tak layan aku. Bengang betul lah!”
“Habis tu kau buat apa lagi?”

“Kau ingat tak masa bitrthday party aku dengan abang aku tu? Ala yang kau tak dapat datang sebab mak kau tak bagi tu. Masa tu lah aku jalankan strategi aku tapi memang aku gigit jari betul. Terlepas lah pulak!” Sambung Raina. Dia ingat lagi pada malam tu. Susah payah dia menyeludup masuk pil ke dalam minuman Firash. Memang Firash dah betul-betul khayal pada masa tu. Namun entah macam mana boleh terlepas pulak. Haishh! Geram betul kalau diingatkan perkara tu!

“Strategi apa tu? Lain macam aje bunyinya Raina. Kau jangan!” Fisya memberi amaran. Bukan dia tak tahu perangai si Raina ni macam mana. Kalau dia dah bertekad nak kan sesuatu, dia akan cuba habis-habisan. Tak kira lah dengan cara halus atau kasar janji dapat.

“Aku…” Raina menggamit Fisya agar kedudukan mereka sedikit rapat. Dia cuba berbisik sesuatu walaupun keadaan di situ agak bising. Disebabkan Fisya betul-betul nak tahu, cepat saja telinganya dapat menangkap apa yang diperkatakan oleh Raina.

“What?!” Fisya terjerit kecil sambil menekup mulut. Rasa macam tak percaya saja apa yang baru didengarinya. Raina membulatkan matanya. Haishh si Fisya ni. Agak-agaklah kalau nak menjerit pun! Nasib tempat ni agak bising, tak ada lah orang perasan!

“Kau ni agak-agaklah kalau nak jerit pun! Tapi aku memang betul-betul kusut lah sekarang. Confirm dia dah benci aku.” Luah Raina sedikit sedih. Fisya tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Memang dia agak terkejut sakan dengan tindakan keterlaluan si Raina itu

“So sekarang kau nak buat apa?” Soal Fisya. Nampaknya dia betul-betul tak boleh tolong kawannya itu. Sudah melebihi apa yang difikirkannya pula.

“That’s why yang aku pening ni.” Keluh Raina lemah. Fisya diam seketika dan cuba berfikir.

“Tapi si Firash tu tahu ke kau yang rancang hal tu?” Soal Fisya setelah beberapa minit berfikir. Raina memandang lama pada Fisya sebelum mengangguk perlahan.

“Hmm, pasal tu aku kurang pastilah. Sebab lepas pada aku hantar dia masuk bilik tu, aku terus turun bawah. Kira lepas sesi potong kek tu, lama jugaklah aku terpaksa bertahan dengan abang aku tu kat tingkat bawah. Sedar-sedar bila acara tu selesai, Firash dah tak ada kat atas. Aku pun tak tahu bila masa dia pergi.” Raina cuba mengingatkan kembali kejadian yang berlaku pada malam itu. Dia memang pasti yang dia betul-betul tidak nampak kelibat Firash selepas pada itu. Semasa dia naik ke tingkat atas tu, bilik yang dimasuki Firash sudah kosong. Langsung tiada tanda lelaki itu berada di situ.

Fisya mengangguk-angguk bila mendengar kata-kata dari Raina itu. Kemudian bibirnya mengukir senyum. “Maknanya Firash mesti tak tahu pasal ni sebab dia dah larikan diri dulu. Mungkin masa tu dia fikir kau cuma nak tolong dia aje kan? Ha! Kalau macam tu, kau mesti ada lagi peluang nak dekat dengan dia.” Fisya cuba memberi cadangan.
Raina mula berfikir akan cadangan dari Fisya itu. Betul jugak kata si Fisya ni!

“Ha’ah lah. Kenapa aku tak terfikir sejak dari awal. Susah-susah aje aku peningkan kepala fikir pasal ni.” Fisya tersenyum bila melihat rakannya itu mula ceria.

“Kau lah yang tak share dengan aku dari dulu. Konon nak try dulu lah apa lah. So sekarang macam mana?”

Raina tersenyum lebar. “Nampaknya aku kena cari jalan lain lah nak pikat si Firash tu balik. Untung-untung dapatlah nanti. Kalau tak dapat, aku pastikan supaya dapat jugak.” Raina memberi semangat pada dirinya sendiri.

Fisya sudah tersenyum sinis. Kan dah cakap tadi. Si Raina ni memang akan cuba dapatkan juga apa yang dia nak. Sebab tu dia boleh dapat gelaran pelajar terbaik fakulti walau kalau diikutkan dengan perangai dia yang agak sosial tu, memang susahlah nak dapat. Kuliah pun kadang-kadang tak pergi.

“Ikut kau lah Raina. Janji kau bahagia. Eh memang kau tak nak menari lah malam ni?” Soal Fisya lagi. Raina tersenyum sambil menghabiskan air di gelasnya.

“Kejap lagi lah. Aku tunggu si Haris datang dulu.” Fisya terus mencebik.

“Kau ni layan sangat si Haris tu. Dia kan playboy. Semalam baru aku jumpa dia dengan si Dhiya tu.” Rungut Fisya. Kadang tu dia pelik dengan perangai Raina yang satu ni.

“Aku pun just untuk suka-suka aje. Lantak dia lah nak jadi playboy ke apa ke. Janji aku happy.” Raina tersengih.

“Kau memang. Dahlah aku nak pergi ladies kejap ni.” Fisya bingkas bangun dari kerusi lalu menuju ke satu pintu belakang yang terdapat di kelab itu. Raina hanya menghantar pemergian Fisya dengan senyum lebar. Firash Arshad! Laung hatinya.

SYAF MENUTUP api dapur gas setelah rendang ayam yang dimasaknya itu betul-betul masak. Dia mencedok sedikit isi rendang ayam tersebut ke dalam piring kecil untuk merasa. Inilah kali pertama dia buat rendang tanpa bantuan sesiapa. Hanya Puan Farizah sahaja yang memberi tahu sedikit sebanyak nasihat.

Harap-harap semuanya menjadilah, fikirnya sebelum mencubit sedikit isi rendang itu ke dalam mulut. Setelah agak berpuas hati dengan rasa rendang itu, matanya mula tercari-cari akan bekas yang akan digunakan untuk meletak rendang ayam itu. Nak ditinggalkan di dalam kuali macam tak kena aje. Jadi sebaiknya dia mencari satu bekas untuk mengisi sebelum diletakkan ke dalam peti untuk dimakan esok.

Dia mula mencari-cari bekas yang sesuai yang ada di rak pinggan serta pelbagai cawan itu namun satu pun tiada bekas yang sesuai. Hendak bertanyakan pada Puan Farizah dan Tok Wan, dia sudah tidak sampai hati mengganggu tatkala mereka berdua sedang berehat. Tadi pun, sudah lama Puan Farizah menemaninya ketika dia sibuk menyediakan bahan-bahan untuk memasak rendang.

Langkah diatur sedikit perlahan apabila ternampak kabinet yang dipasang agak tinggi ke siling dapur. Syaf mengeluh perlahan. Nampaknya dia kena mencari sesuatu untuk memanjat. Kerusi di meja makan yang sudah agak berusia itu ditarik ke bawah kabinet.

Tangannya cuba untuk menggoyang-goyangkan kerusi tersebut untuk memastikan keadaan kerusi itu stabil. Bibirnya mengukir senyum. Harap-harap kat dalam kabinet tu adalah bekas yang sesuai untuk meletak rendang ayam itu.

Perlahan-lahan kakinya mula memanjat kerusi itu sambil dia cuba untuk menstabilkan dirinya. Apabila tangannya mula dapat membuka satu pintu kabinet itu, dia mula tersenyum lebar. Matanya tertancap pada susunan bekas-bekas yang agak mahal di situ. Sebaik sahaja bekas yang dicari ditemuinya, dia dengan berhati-hati mengambil mangkuk kaca yang disusun secara bertingkat yang berwarna coklat itu lalu menutup pintu kabinet.

Mangkuk kaca yang agak berat itu sedikit sebanyak membuatkan dirinya seperti hilang keseimbangan. Ditambah pula dengan keadaan lututnya yang sedikit pedih akibat terjatuh tadi. Dan entah kenapa di mana silapnya ketika dia cuba untuk turun dari kerusi itu, tubuhnya seolah-olah seperti hendak melayang. Dia tidak sempat untuk berpaut di mana-mana kerana kedua-dua tangannya erat memeluk bekas mangkuk kaca itu.

FIRASH berjalan masuk ke dalam rumah setelah hampir sejam dia menghilangkan diri kerana kejadian tadi. Hanya sekadar berjalan kaki di sekitar kampung untuk menenangkan perasaan sambil melihat suasana di malam raya.

Langkah diatur menuju ke bilik untuk menukar pakaian yang sesuai sebelum tidur. Namun kembali menuju ke dapur setelah merasakan tekaknya yang agak kering setelah agak lama berjalan tadi.
Saat kakinya turun ke tangga dapur. Matanya tertancap pada kelibat Syaf yang sedang berdiri di atas kerusi dengan memeluk mangkuk kaca.

“Hei Syaf!!” Jerit Firash sedikit kuat apabila ternampak tubuh gadis itu seolah-olah hampir jatuh dari kerusi. Kelam-kabut dia berlari menuju ke arah gadis itu sebelum terasa tubuhnya tertolak ke lantai dan sedikit tubuh Syaf menindih tubuhnya itu.

Syaf memejamkan mata dengan tangan yang masih memeluk mangkuk kaca itu di tangan. Jantungnya hampir-hampir melompat keluar apabila mula merasakan yang dia akan jatuh dengan mangkuk itu ke lantai.

“Apa dah jadi ni?!” Tegur Tok Wan yang tiba-tiba saja datang ke dapur. Bulat matanya apabila melihat apa yang sedang berlaku. Syaf yang mula tersedar itu cepat-cepat bangun berdiri dengan tangan masih memeluk mangkuk kaca itu. Manakala Firash pula duduk bersila sambil membetulkan sedikit kakinya yang terasa sengal akibat Syaf yang jatuh ke atasnya tadi.

“Jatuh masa nak ambil mangkuk ni Tok Wan.” Balas Syaf lalu meletakkan mangkuk itu ke meja makan. Jantungnya masih berdegup kencang akibat perkara tadi. Nasiblah Firash sempat datang. Kalau tak, habislah mangkuk kaca Tok Wan!

Tok Wan menjeling seketika ke arah Firash sebelum berpaling ke arah Syaf. “Oh yang pergi ambil mangkuk kaca kat kabinet atas tu kenapa? Tu ha yang ada dalam kabinet bawah tu banyak lagi.” Tok Wan menjuihkan bibirnya ke arah satu kabinet bawah yang tidak jauh dari situ.

“Qira tak tahu lah Tok Wan. Sebab tu Qira ambil yang kata atas tu. Manalah tahu lepas aje ambil tiba-tiba nak terjatuh pulak. Nasiblah Firash ada.” Syaf memberi alasan panjang lebar sambil mengerling ke arah Firash yang sudah berdiri. Kelihatan pergerakan lelaki itu agak perlahan dan kakinya seperti sedikit terhincut-hincut. Erk! Sakit ke?

“Hmm, lepas siap rendang tu, Qira tolong Tok Wan pasangkan dawai kat langsir eh? Banyak lagi yang tak buat tu.” Pinta Tok Wan sejurus Syaf meletakkan mangkuk kaca itu ke atas meja makan.

“Yelah Tok Wan. Kejap lagi Qira naik atas.” Balas Syaf lalu menapak menuju ke kuali. Ingin meletak isi rendang tersebut di dalam mangkuk kaca. Firash hanya memerhatikan Syaf tanpa riak. Huh! Tak ucap terima kasih pun kat aku! Agak-agaklah kalau tak nak perkara ni bocor pun!

Tok Wan mengikuti Firash dari belakang. Bahu cucunya itu ditepuk perlahan. Firash yang sedang berjalan itu berhenti. Dia berpaling menghadap Tok Wan sambil berkerut dahi. Bimbang juga kalau-kalau Tok Wan mula perasankan sesuatu antara mereka berdua.

“Tolong Tok Wan pasang langsir. Tak ada orang nak tolong panjat kerusi.” Pinta Tok Wan lembut.

Firash mengangguk sambil tersenyum kecil. “Yelah, nanti Firash pergi. Nak masuk bilik tukar baju kejap ni.” Firash terus berlalu ke biliknya. Fuh!! Selamat!

FIRASH BERHATI-HATI memanjat kerusi yang dibawa dari meja makan itu dengan berhati-hati. Langsir yang berwarna coklat muda yang telah dibubuh dawai itu dipegang dengan tangan kiri. Sudah bersedia untuk memasang ke tingkap. Kala itulah dia terdengar bunyi enjin motorsikal serta salam dari luar rumah.

Tok Wan serta Puan Farizah yang sedang menonton tv di ruang tamu itu memanjangkan lehernya ke pintu. Sementara Syaf yang sedang berdiri berhampiran dengan tingkap itu menjengukkan kepalanya. Kelibat seseorang yang sedang menaiki tangga itu membuatkan bibirnya sedikit melemparkan senyum. Dengan kain langsir di tangan dia menuju ke pintu.

“Qimy?” Soalnya pada Haqimy yang baru saja sampai di muka pintu. Haqimy yang masih berbaju Melayu biru muda serta berkain pelekat kotak-kotak kecil itu tersengih.

“Yelah. Aku lah ni. Takkan kau tak kenal pulak kut.” Balasnya sambil ketawa kecil. Syaf pula menjegilkan matanya.

“Aku tahu lah. Eh apa hal yang kau datang malam-malam macam ni? Tak buat persiapan kat rumah ke?” Soal Syaf lagi. Bukan biasanya kalau malam-malam raya masing-masing sibuk membuat persiapan? Macam apa yang tengah dia buat sekarang. Tengah sibuk memasang langsir.

“Alah kau ni Syaf. Aku memang macam ni. Malam-malam raya memang aku biasa datang sini. Kut-kut boleh tolong-tolong apa yang patut. Kat rumah aku tu, si Imah dah ada. Biar aje lah budak tu tolong mak aku.” Balas Haqimy lagi.

“Apa hal yang duk berbual kat muka pintu tu Qimy? Masuk berbual kat dalam lah.” Tegur Tok Wan yang berada di ruang tamu. Haqimy tersenyum dan sedikit menapak masuk ke dalam rumah.

“Yelah Tok Wan. Dah masuk lah ni.” Jawab Haqimy. Matanya sempat menangkap renungan tajam dari Firash yang sedang berdiri di kerusi itu. Namun dia hanya buat-buat tidak tahu dan melabuhkan duduk berhampiran dengan Syaf yang masih sibuk mencucuk dawai ke langsir itu. Entah apa lah si Firash tu? Ada aje yang tak kena kalau aku datang sini, keluh Haqimy dalam hati mengenangkan perangai adik sepupunya itu.

“Ha Qimy. Mak kamu tengah buat apa kat rumah tu?” Soal Puan Farizah yang lama berdiam sejak tadi. Matanya sesekali memandang ke arah anak saudaranya itu.

“Mak tengah rebus ketupat nasi. Sebab tu Qimy datang sini ni. Kut-kut ada yang boleh tolong.” Balasnya pada emak saudaranya itu. Dia tersenyum kecil.

“Banyak ke buat ketupat nasi tu? Si Firash dengan Syaf pun dah ada ni. Tak apa pun kalau kau tak datang menolong.” Balas Puan Farizah sambil bingkas bangun. Berura-ura endak ke dapur untuk mengambil minuman untuk semua yang berada di situ.

“Banyaklah jugak. Hmm, tak apa lah Mak Ngah. Nanti kejap lagi Qimy baliklah. Ingat nak jumpa si Syaf ni kejap.” Sambungnya lagi sebelum melirikkan mata ke arah Syaf yang tekun mencucuk dawai. Syaf mengangkat muka apabila terdengar namanya disebut-sebut.

“Yelah. Duduklah dulu. Mak Ngah nak pergi dapur kejap.” Sambung Puan Farizah lalu menghilang ke dapur. Hanya tinggal mereka bertiga saja di situ.

“Nak jumpa aku? Apa hal?” Soal Syaf berkerut dahi. Sekilas dia mengerling ke arah Firash yang sudah siap memasang langsir di satu tingkap. Lelaki itu kelihatan sudah duduk di kerusi sementara menunggu langsir di tangannya siap dicucuk dengan dawai.

“Tak adalah nak jumpa sangat pun. Petang tadi tak sempat nak sembang banyak. Eh kau kerja kat mana sekarang? Budak-budak satu geng dengan kita dulu dah tercampak kat mana? Aku lepas pergi US memang lost contact lah dengan dia orang semua tu.”

“Aku kerja kat syarikat biasa-biasa aje. Hmm, kalau Dira tu rasanya ikut husband dia pergi Dubai. Yang Eni pulak pergi Jepun hari tu. Memang aku pun lost contact jugaklah dengan dia orang.” Syaf cuba mengingati satu persatu nama kawan-kawan mereka yang agak rapat semasa sekolah dulu. Haqimy mengangguk-ngangguk perlahan.

“Eh Wafiz pulak macam mana? Sebelum dapat result dah fly kan?” Soal Haqimy lagi tentang rakannya yang agak cemerlang di dalam percubaab SPM itu.

“Entahlah. Aku dengar dia pergi Holland hari tu. Lepas tu balik sini dua tahun lepas. Dengar-dengar khabar dia dah kerja dengan ayah dia sekarang.” Balas Syaf lagi.

“Lupa pulak yang ayah dia tu ada company. Bestlah dia jadi anak orang kaya.” Ujar Haqimy sambil tersengih. Lama dia memandang gadis yang berada berhampiran dengannya itu. Memang dia betul-betul rindu dengan gadis itu setelah hampir bertahun-tahun berpisah.

Firash sempat menangkap mata Haqimy yang tidak berkelip memandang Syaf itu. Hatinya yang sudah tidak selesa dengan kehadiran Haqimy sejak tadi mula terasa panas. Dia bangun dari kerusi dan menuju ke arah Syaf.

“Bak sini langsir tu! Biar aku je yang buat.” Pinta Firash pada Syaf yang sedang memandang ke arah Haqimy. Syaf sedikit tersentak. Hissh dia ni!

“Err..Dah nak siap pun ni. Tunggulah kejap.” Balas Syaf sambil membetulkan keadaan langsir yang agak berlipat-lipat itu.

“Cepatlah! Dari tadi duk bersembang je! Kalau aku buat, dah lama pun siap!” Rungut Firash sebelum melabuhkan punggung tidak jauh dari situ. Haqimy dan Syaf masing-masing berpandangan. Haqimy mendekatkan kedudukannya pada Syaf.

“Dia memang macam tu. Kau sabar aje lah.” Haqimy bersuara perlahan pada Syaf. Syaf hanya tersenyum kecil mendengar kata-kata dari Haqimy itu.

“Tak apa. Aku dah biasa.” Balas Syaf lalu berdiri. Akhirnya siap juga dia mencucuk dawai langsir itu. Kelihatan Firash sesekali memandangnya dengan riak tidak puas hati.

“Ha Firash. Tadi nak cepat sangat. Tu Qira dah siap pun.” Tegur Tok Wan apabila melihat cucunya itu yang tidak berganjak dari sofa.

“Yelah, Nak cepatlah ni.” Gumam Firash perlahan lalu menapak mendekati Syaf. Kain langsir itu ditarik sedikit kuat sehingga terlepas. Syaf yang tercengang dengan tindakan lelaki itu hanya menggelengkan kepala.

RAIMY menapak keluar dari biliknya kerana mendengar bunyi bising-bising dari tingkat bawah. Laju saja kakinya menuruni tangga. Kelihatan Datin Aida, mamanya sedang bertengkar dengan ayah tirinya, Datuk Fakhrul di ruang tamu. Dia hanya memerhatikan tanpa berkata apa-apa. Malas hendak masuk campur apabila kedua-dua orang tuanya itu sedang bertekak. Nanti tak pasal-pasal dia pula yang kena. Langkah dituju ke dapur untuk mengambil segelas air bagi menghilangkan dahaga.

“Awak ada keluar dengan lelaki lain kan Aida? Pembantu saya nampak awak semalam kat The Mall.” Datuk Fakhrul mengutarakan soalan pada Datin Aida yang berpeluk tubuh di sofa mewah di ruang tamu. Datin Aida mencebik.

“Awak ni jangan suka-suka hati nak tuduh saya bukan-bukan. Dan saya nak bagitahu awak sesuatu, jangan percaya sangat dengan dengan pembantu awak tu. Awak tu ada bukti ke?” Berombak dada Datin Aida menafikan hal itu. sedangkan perkara sebenar memang dia ada keluar dengan lelaki lain. Kenalan lamanya yang baru saja pulang dari luar negara.

“Awak jangan nafikan benang yang basah Aida! Nanti kalau saya dapat bukti, awak jangan pulak nak menyesal!” Datuk Fakhrul seakan mengugut. Sakit hati betul dia dengan isteri mudanya yang baru dikahwini sejak setahun yang lepas. Selalu saja buat perangai. Kalau menghabiskan duitnya dia tidaklah kisah sangat kerana tidak akan habis hartanya yang boleh menyara tujuh keturunan itu. Tapi apa yang membuatkan darahnya menggelegak, pembantunya ada menceritakan yang dia terserempak dengan Datin Aida di shopping mall dua hari lepas. Siap berpegang tangan dan bertepuk tampar lagi. Itu dah lebih baginya. Sepatutnya Datin Aida mestilah menjaga maruahnya sebagai seorang isteri. Sudahlah namanya kian meniti di bibir dunia korporat kerana berjaya mengambil alih syarikat yang terbesar di Asia Tenggara baru-baru ini.

“Ikut suka hati awaklah. Saya nak naik tidur.” Balas Datin Aida seraya bangkit dari sofa. Malas melayan sikap cemburu suaminya itu yang tidak bertempat. Datuk Fakhrul menarik nafas panjang. Cuba bertenang dengan situasi ini. Di kala itulah pintu utama rumah banglo tiga tingkat itu ditolak dari luar. Kelihatan anak tirinya, Raina terjengket-jengket masuk dengan kasut di tangan.

‘Ni sorang lagi.’ Dia menggumam geram.

“Hah! Yang ni baru nak balik kenapa? Dah tak kenal rumah sendiri ke?!” Sindirnya tegas pada nak tirinya yang baru saja masuk ke dalam rumah itu. Hampir sahaja terlompat Raina di situ kerana terkejut. Terlepas kasut tumit tingginya dari tangan. Dia berpaling menghadap ayah tirinya yang sedang mencerun pandang kepadanya.

“Uncle bukan papa saya. So uncle tak berhak kawal hidup saya!” Balas Raina dengan berani. Sekilas dia merenung jam di dinding. Sudah hampir pukul 3 pagi.

Datuk Fakhrul menghela nafas. ” Memang aku bukan papa kau tapi kat rumah ni aku yang berkuasa so kau jangan nak pandai-pandai nak keluar rumah dengan ikut suka hati kau saja.” Bentaknya kasar. Raina hampir tersentak namun dia cuba untuk bertenang. Senyuman sinis dilemparkan.
“Saya tahu ni rumah uncle tapi uncle tak boleh nak halang kebebasan saya. Even mama saya sendiri pun tak kisah. Ni Uncle pulak yang tak ada kena mengena langsung dengan saya boleh ambil kisah. Uncle just jaga baik-baik aje syarikat Uncle tu.” Sambung Raina berpeluk tubuh.

Pantang betul dia kalau ada yang nak menghalang kebebasan dia selama ini. Sedangkan mama dia langsung tidak kisah dia keluar sehingga jauh malam. Apatah lagi nak marah-marah dengan tengking sebegini rupa!

“Kau jangan melampau Raina! Duit, kereta serta semua yang kau pakai tu duit aku. So selagi aku hidup, aku tak benarkan kau keluar rumah sesuka hati! Kau ingat tu!” Bentak Datuk Fakhrul kasar. Raina terus saja berlari menuju ke tangga. Hampir saja berlanggar dengan abangnya di situ.

“Kenapa ni dik?” Soal Raimy. Namun hanya gelengan saja yang keluar dari adiknya itu. Sengaja dia tidak mahu untuk masuk campur urusan adiknya dengan ayah tirinya itu. Silap-silap nanti dia pula akan dipersalahkan. Akhirnya dia membontoti langkah Raina ke tingkat atas.

Datuk Fakhrul terduduk di sofa. Dia menghela nafas lemah. Ingatkan dapatlah berbincang dengan isterinya itu memandangkan esok sudah hari raya. Kalau difikir saat ini, sudah pasti isterinya itu langsung tidak mahu bercakap dengannya. Saat itu terbit rasa menyesal di hatinya. Kalaulah dia tidak buat perangai dua tahun lepas, sudah pasti dia dengan isteri pertamanya dulu masih lagi bahagia. Tidak seperti sekarang.

TEPAT PUKUL 2.30 pagi Syaf terjaga dari lenanya. Merasakan sesuatu yang tidak selesa, dia cepat-cepat bingkas bangun. Suis lampu segera dipasang. Membulat matanya melihat cadar ungu muda yang bercorak bunga-bunga kecil itu sudah dibasahi dengan beberapa tompok warna merah. Dia tertelan liur. Habislah! Macam mana pulak boleh datang masa-masa macam ni pulak? Dia menggagau tangan mencari telefon bimbit untuk melihat kalendar.

Memang betul dah dua bulan lebih dia tidak datang period. Masa Firash tanya pagi tadi pun dia sekadar menjawab teragak-agak. Tapi setelah disahkan Doktor Fatimah tadi yang dia tidak mengandung, dan punca periodnya tidak teratur tadi dia sedikit lega. Bimbang juga andai dirinya mempunyai masalah lain. Memang dia akui yang dua bulan ini dia agak stress dan agak sibuk dengan kerja.

Nafas dihela lemah dan menuju ke beg pakaian untuk mencari pad yang rasanya tersimpan di situ. Setelah beberapa minit mencari, langsung tidak terjumpa. Dia mula gelisah. Macam mana ni? Dah pagi benar ni, mana ada kedai yang buka masa-masa macam ni? Getus hatinya sambil ligat berfikir. Takkanlah aku nak tunggu sampai pagi esok?

Teringatkan sesuatu dia segera menuju ke bilik Puan Farizah. Mana tahu jika ibu mertuanya itu ada mempunyai stok simpanan walau dia sendiri tidak pasti. Ketukan beberapa kali mengejutkan Puan Farizah yang sedang lena.

“Kenapa ni Syaf?” Soal Puan Farizah sambil menutup mulut menahan kuap. Dikerlingnya wajah Syaf yang agak gelisah. Takkan tak tidur lagi masa ni?

“Err…Ma..Ada pad tak?” Soal Syaf teragak-agak. Puan Farizah sedikit berkerut dahi bila mendengar pertanyaan gadis itu. Beberapa saat kemudian barulah otaknya dapat menangkap maksud di sebalik pertanyaan itu.

“Oh..Pad..Erm, kamu ni. Mama mana pakai dah benda tu. Kenapa? Syaf tak bawak ke?” Soal Puan Farizah lagi. Syaf mengeluh lemah. Aku dah agak dah! Macam mana ni? Takkan nak biar sampai ke pagi esok dengan keadaan macam ni? Dah tak selesa sangat dah ni!

“Tak ma. Tak tahu pulak dia nak datang time-time macam ni. Biasanya awal bulan.” Rungut Syaf lemah. Terasa geram pula dengan keadaan dirinya sekarang. Namun untuk apa dimarahi dengan diri sendiri. Hari tu dia juga yang bimbang dengan keadaan diri dia itu.

“Hmm, dah pukul 2 lebih ni. Rasanya kalau kedai-kedai kat area sini dah tutuplah. Lainlah kat bandar tu, ada kedai yang buka 24 jam.” Luah Puan Farizah sambil berfikir. Kasihan pula melihat Syaf yang mengeluh panjang. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu dan pantas bibirnya mengukir senyum.

“Kejutkan Firash lah. Suruh dia tolong belikan. Lagipun tak ada lah jauh sangat bandar tu dengan kampung ni. Tak sampai setengah jam pun.” Cadang Puan Farizah sambil menepuk bahu Syaf yang tersandar di pintu biliknya. Hampir membulat mata Syaf bila mendengar cadangan itu. Biar betul mama ni?! Tadi pun aku dah seram tengok muka dia yang dah berubah dingin tu masa Haiqmy datang! Karang aku ketuk bilik dia pag-pagi buta macam ni, tak pasal-pasal pulak kena marah. Fikir Syaf di dalam hati.

“Tapi ma. Syaf…” Dia tidak sanggup menghabiskan ayat yanng seterusnya. Puan Farizah tersenyum.

“Pergi ajelah. Nak malukan apa lagi? Syaf kan dah jadi tanggungjawab dia.” Provok Puan Farizah menolak Syaf ke arah bilik Firash yang tidak jauh dari situ. Syaf kematian kata. Mungkin Puan Farizah belum tahu akan keadaan sebenarnya. Firash dah tak bercakap sangat dengan dia sejak kejadian malam tadi. Nak tengok dia pun macam tak sudi aje!

Dengan langkah lemah dia menapak menuju ke arah bilik Firash itu. Nafas ditarik panjang. Dah darurat sangat pun ni. Bukan sengaja pun, bisiknya dalam hati.

Hampir seminit jugalah dia terpacak di situ sebelum Puan Farizah berdeham tanda menyuruhnya membuat sesuatu.. Syaf kembali menarik nafas dan bersedia untuk mengetuk pintu. Namun ketukan demi ketukan langsung tidak membuahkan hasil. Senyap dan sunyi saja. Syaf mengeluh perlahan dan mencapai tombol pintu. Nasiblah tak berkunci.

Perlahan-lahan dia menapak ke dalam bilik Firash yang agak besar sedikit ruangannya dari biliknya itu. Keadaan bilik itu sedikit gelap dan hanya disimbahi dengan lampu jalan yang berdekatan dengan rumah Tok Wan itu. Sesusuk tubuh Firash kelihatan lena tidur di dalam keadaan berselimut sehingga ke dada. Syaf menelan liur. Macam mana nak kejutkan dia ni? Rasanya kali terkahir dia mengejutkan lelaki itu, tak pasal-pasal dirinya dipeluk kemas. Nasiblah masa tu tak terjadi apa-apa walaupun jika dibiarkan tindakan lelaki itu memang sudah ke arah itu.

“Firash…” Panggilnya perlahan. Nak panggil kuat-kuat takut Tok Wan terdengar pula. Namun tubuh itu langsung tidak bergerak.

“Firash!” Syaf meninggikan sedikit suara. Kali ni berserta tolakan di bahu. Tubuh itu bergerak-gerak sedikit namun tidak terjaga. Firash kembali diam sambil menarik selimut yang terleret. Syaf mengeluh lemah. Inilah masalah terbesar jika dia terpaksa mengejutkan lelaki itu. Memang betul-betul tidur mati!

Syaf betul-betul rasa sebak. Inilah rasanya orang terakhir yang dia boleh minta pertolongan. Rasa betul-betul tak selesa dengan keadaan dirinya sekarang. Nak duduk pun tak kena. Dia hanya berdiri sahaja di tepi katil Firash dan hanya membongkokkan sedikit tubuhnya.

“Firash….” Dengan nada lirih Syaf memanggil nama itu. Dia sudah hampir-hampir berputus asa. Entah mengapa dengan nada lirihnya itu membuatkan lelaki yang sedang tidur itu membuka matanya. Syaf yang belum sedar itu hanya menunduk memandang lantai.

“Apa hal ni?” Kedengaran suara serak-serak tanda lelaki itu baru saja terjaga dari tidur. Syaf sedikit tersentak melihat Firash yang sedang menggenyeh matanya dengan tangan. Pasti lelaki itu terkejut dengan kemunculannya secara tiba-tiba di bilik itu.

“Err..Aku..Aku…” Tergagap-gagap Syaf memulakan bicara. Terasa tajam pandangan lelaki itu padanya walau keadaan bilik itu hanya samar-samar sahaja.

“Apa dia ni? Aku nak tidur pun tak senang.” Rungut Firash seraya bingkas bersila. Lampu tidur yang berada di meja kecil itu dibuka. Serta-merta bilik itu bercahaya walaupun cahaya lampu tidur itu tidaklah seterang lampu pendafluor yang terlekat di siling rumah.

“Aku nak mintak tolong ni.” Luah Syaf perlahan. Itu pun dia hanya menunduk memandang lantai. Firash bangun dari katil dan menuju ke arah gadis itu yang berada sedikit jauh darinya. Entah mengapa hatinya merasakan ada sesuatu yang terjadi namun dia tidak dapat menekanya.

“Nak mintak tolong apa pagi-pagi macam ni? Nak suruh aku teman pergi tandas ke?” Soal Firash memandang tepat ke arah gadis yang berada di hadapannya itu. Syaf cepat-cepat menggeleng menambahkan kerutan di dahi Firash. Dia nak mintak tolong apa sebenarnya pagi-pagi buta macam ni?

“Nak suruh kau pergi kedai.” Luah Syaf akhirnya dengan wajah kelat. Firash tersentak. Pergi kedai? Apa kes dengan dia ni sampai suruh aku pergi segala pagi-pagi buta macam ni? Dah tak sempat nak tunggu esok ke?

“Jangan nak mengarut boleh tak? Tahu tak sekarang dah pukul berapa? Orang lain sedap membuta kau boleh suruh aku pergi kedai? Kalau lapar sangat pun, pergi lah kat dapur tu, berlambak makanan!” Rungut Firash kasar sebelum kembali ke katil. Dia menghela nafas lemah. Tak relevan betul permintaan gadis yang berada di hadapannya itu. Ada ke patut suruh aku pergi kedai masa macam ni? Dah hilang akal ke?!

Syaf diam dan menggigit bibir. Entah kenapa hatinya sedikit tergores dengan kata-kata Firash itu. Selama ini dia boleh cool aje tapi sekarang rasa macam sebak aje. Mungkin tengah period kut. Jadi emosi tidak berapa nak stabil.

Lama Syaf terdiam di situ memandang lantai. “Tak apalah. Sorry ganggu.” Syaf bersuara sedikit sebak.

Akhirnya dia berpaling dan melangkah menuju ke pintu. Tidak sanggup lagi untuk berlama-lama di situ. Dia bimbang jika air matanya tidak dapat bertahan lagi. Biarlah! Gunalah apa-apa pun untuk malam ni, fikirnya lalu melintasi pintu bilik Firash.

Firash hanya mengatur pandangan ke arah Syaf yang sudah keluar dari biliknya. Dia berkerut dahi. Gadis itu terasa ke dengan kata-kata dia tadi? Entah kenapa dia merasakan suara gadis itu seperti sayu saja.

Dia berjalan laju menuju ke bilik Syaf yang belum tertutup itu. Kelihatan Syaf tengah berusaha menanggalkan cadar yang membaluti tilamnya itu. Dahinya berkerut melihat perbuatan gadis itu. Otaknya mula ligat berfikir. Takkanlah kecing atas tilam pulak kut?

Dia bersandar di pintu sambil melihat Syaf melakukan aktiviti menanggalkan cadar itu sebelum matanya tertancap pada cadar yang yang berada di tangan gadis itu.

“Stop kejap.” Arah Firash tiba-tiba. Syaf yang tengah melipat cadar itu terhenti. Terkejut dengan suara Firash membuatkan cadarnya hampir jatuh ke lantai. Dia kaku di situ. Langsung tak berpaling.

“Kau period ke?” Soal Firash sedikit perlahan. Hampir-hampir sayup kedengaran di telinga gadis itu. Syaf merasakan pipinya berbahang. Dia menggigit bibir menahan malu.

“Err..Aku..”

“Hmm, aku dah tahu.” Potong Firash seraya merentap cadar di tangan gadis itu. Di beleknya seketika sebelum memandang tajam ke arah Syaf. Syaf menelan liur.

“Kenapa kau tak cakap dengan aku tadi?!” Soal Firash lagi dengan nada sedikit tinggi. Syaf tidak sanggup rasanya untuk berpaling melihat wajah lelaki itu. Dia menarik nafas panjang supaya dirinya bertenang.

“Aku tak sempat nak bagitahu tadi.” Balasnya perlahan. Gerun pula mendengar lelaki itu meninggikan suara. Firash mengetap gigi dan seraya memusing tubuh gadis itu supaya berhadapan dengannya.

“Apa-apa hal pun kau kena bagitahu aku. Kan aku dah cakap petang tadi yang kau tu bawah tanggungjawab aku. Apa lagi yang tak faham ni?” Ungkit Firash seraya memandang tajam gadis itu. Syaf menggigit bibir. Sumpah, dia benar-benar takut dengan lelaki itu sekarang.

“Aku….”

“Rasanya kau memang tak nak faham kan apa yang aku cakap petang tadi? Okay fine. So lepas ni jangan harap lagi aku akan tolong kau!” Ungkap Firash seraya menuju ke pintu. Sungguh, dia letih dengan gadis itu. Macam tak hormat langsung dia sebagai seorang suami! Dia mengeluh kasar dan menutup pintu bilik gadis itu kasar dan menuju ke biliknya.

Syaf hampir-hampir terduduk di lantai kayu itu. Terasa air matanya yang tertahan dari tubir matanya menitik ke pipi.

FIRASH mengeluh lemah dan bersandar di kepala katil. Dia meraup berkali-kali rambutnya ke belakang. Entah kenapa dia sedikit geram dengan tingkah gadis itu tadi. Sungguh, dia tidak lah marah jika gadis itu mengejutkannya dari tidur jika berkaitan dengan hal-hal kecemasan. Yang paling membuatkan dia marah, gadis itu diam sahaja ketika dia bertanya. Sudahlah masa tu dia lagi mamai kerana terjaga secara mengejut. Terasa sedikit pening pun ada. Kang tak pasal-pasal dah kena marah!

Jam di meja dikerling. Sudah hampir menunjukkan pukul 2.30 pagi. Dia menghala ke almari pakaian untuk mengambil sweater lalu menyarungkan ke tubuhnya. Seketika kunci kereta dicapai dari atas meja dan menuju ke pintu bilik.

Suasana agak sunyi apabila dia melewati pintu bilik gadis itu sebelum dia meneruskan langkah menuju ke pintu utama. Setelah mengunci pintu rumah Tok Wan dengan betul, dia menuju ke tangga.

Alarm kereta ditekan sebelum dia memboloskan diri ke perut kereta. Suasana yang agak dingin itu membuatkan dirinya sedikit menggigil. Namun ditabahkan juga hatinya untuk memandu. Risau dengan keadaan gadis itu sekarang.

Perjalanan yang ditemani dengan kabus sedikit tebal itu akhirnya sampai ke destinasi. Kedai yang beroperasi 24 jam itu direnung seketika. Berharap yang apa yang dicarinya itu akan ditemui di situ.

Keadaan agak sunyi tanpa sebarang pelanggan. Hanya dia dan jurujual saja yang berada di dalam kedai itu. Dia menuju ke arah barangan peribadi. Bersusun pelbagai jenama dan bentuk di situ membuatkannya sedikit keliru. Tidak tahu untuk mengambil yang mana satu, dia hanya menyambar Intimate Maxi serta Intimate Maxi Wings. Masing-masing di dalam peket berkembar.

Jurujual perempuan itu sedikit tersenyum-senyum apabila dia membawa peket-peket itu ke kanuter. Namun Firash langsung tidak mengambil tahu dan terus saja menjelaskan bayaran. Tidak mahu berlengah-lengah kerana dia tahu keadaan gadis itu sekarang.

KETUKAN berkali-kali di pintu membuatkan Syaf yang hampir lena itu sedikit terkejut. Dia bingkas bangun dan menuju ke pintu bilik. Alangkah terkejutnya apabila melihat Firash yang sedang bersweater itu sedang menjinjit sesuatu di tangan kanannya.

“Ni ha aku beli empat peket. Kalau tak cukup bagitahu aku.” Tutur Firash seraya menghulurkan plastik yang mengandungi peket-peket tuala wanita itu. Syaf sedikit teragak-agak untuk mengambil. Namun bila difikirkan yang dirinya betul-betul terdesak, dia tetap menyambut juga huluran Firash itu dengan wajah yang berbahang.

“Err..Thanks.” Balas Syaf sedikit segan. Agak terharu juga sebenarnya dengan keprihatinan lelaki itu padanya.

“Hmm..Lain kali simpan banyak-banyak buat stok. Kalau tak cukup duit, aku boleh tolong beli.” Sambung Firash lagi. Syaf hanya mengangguk perlahan bila mata lelaki itu memandang lama ke arahnya.

“Dahlah, aku nak sambung tidur.” Sambung Firash lagi sambil menahan kuap. Kalau diikutkan hatinya memang dia betul-betul letih. Macam-macam kerja dia buat dari pagi tadi sampailah ke malam tadi.

“Emm, thanks Firash.” Ucap Syaf perlahan kala lelaki itu sudah pun keluar dari biliknya. Syaf mengeluh perlahan. Sebenarnya dia agak terharu dengan tindakan lelaki tersebut. Lelaki itu memang baik cuma sikapnya saja yang kadangkala membuat orang sakit hati dengannya. Dan dia memang tidak pernah tahu kenapa lelaki itu bersikap sedemikian dengannya.

p/s : thanks for all ur support..hope enjoy this entry :D




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

116 ulasan untuk “Novel : Sebenarnya, Saya isteri dia! 15”
  1. sara zarra says:

    sweet gileer Firash … sanggup redah kegelapan malam demi Syaf…

  2. trisyia says:

    ni yg origanal punya citer ke awak yg reka???best sgt

  3. siti aisyah says:

    perhghhh! terbaeklah. sejuk sejuk dgn keadaan pepagi bute sanggup redah demi Syaf. sooo sweet couple :D

  4. Raina Syafika says:

    Bukan nama die Rania keerr???came boleh keluar nama laen lak??

  5. syamimi says:

    sweetnya firash..kan bagus kalau semua lelaki yng ada se’sweet firash tu, wlpun ianya ni hnya sebuah cerita.. :)

  6. Sumandak Sabah says:

    BAB yang paling sweet sangat….. . tak sabar nak baca lg

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"