Cerpen : Sebuah Amanah

10 December 2011  
Kategori: Cerpen

8,521 bacaan 13 ulasan

Oleh : Noor Azihan Sulaiman

Aku seorang guru. Bukan cita-citaku tetapi takdir telah meletakkan aku di sini. Bukan aku tidak bersyukur dengan kerjayaku ini tetapi terkadang jiwa terseksa dan paras amarah melambung semaksimanya apabila terpaksa memikul bebanan tugasan yang bertimpa-timpa.

Aku meneliti setiap maklumat guru yang perlu diperbetul. Ada perubahan untuk tarikh naik pangkat, tarikh pergerakan gaji serta tangga gaji. Sudah ramai guru sekolah ini yang telah dinaikkan pangkat ke gred DGA32, ada yang hakiki dan ada juga yang Khas Untuk Penyandang (KUP).
Ini bermakna aku sebagai guru data EMIS perlu bertindak pantas, mengemaskinikan maklumat peribadi mereka secepat mungkin kerana mereka perlu didaftarkan untuk menduduki peperiksaan PTK bulan Ogos nanti.

Mataku semakin berpinar-pinar apabila terlalu lama menghadap skrin komputer. Kepala pun sudah mula berdenyut-denyut. Selepas ini aku perlu pula menyemak data SMM kerana seorang daripada murid sekolah ini telah bertukar ke sekolah lain.

******************************

Hari ini merupakan hari terakhir Peperiksaan Kendalian Sekolah Rendah Semester Pertama. Aku sedang tekun menanda kertas Bahasa Melayu Penulisan Tahun Enam. Penyemakan kertas ini perlu disegerakan kerana markahnya akan dikumpulkan sebelum cuti pertengahan semester satu oleh guru kelas Tahun Enam untuk dianalisa bersama-sama mata pelajaran lain.

Aku perlu pastikan semua tugasanku beres sebelum pulang untuk bercuti. Menanda kertas penulisan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Terkadang, rasa sakit hati membaca karangan murid yang tunggang-langgang. Tulisan yang buruk, ejaan yang salah. Kosa kata dan tanda baca jangan cakaplah, lingkup….

“Sudah Tahun Enam tetapi masih belum dapat membezakan huruf ‘b’ dan ‘d’,” gerutu hatiku tatkala membaca karangan hasil tulisan Aiman.

Entahlah, UPSR semakin hampir, perkara seremeh ini masih terus berlaku. Perlukah seorang guru Bahasa Melayu Tahun Enam mengajar muridnya membaca dan menulis ? Bagaimana dengan murid-murid yang lain ? Sekarang ini sedang berlangsung Program Gerak Gempur UPSR. Murid-murid didedahkan dengan pelbagai teknik menjawab soalan bukannya program pemulihan membaca dan menulis.

Sebelum PKSR, aku memanggil Hafiz ke mejaku. Kuhulurkan sehelai kertas dan kupinta dia membaca petikan itu. Tergagap-gagap dia membaca sambil mengeja dan akhirnya dia terhenti pada perkataan ‘perempuan’ yang terdapat dalam petikan tersebut. Sehingga ke akhir waktu mata pelajaran Bahasa Melayu, Hafiz masih belum dapat menyebut perkataan itu.

“Ya, Allah. Sabarkanlah hatiku ini….” Ikutkan hati, mahu sahaja aku bagi penampar muka Si Hafiz ni. Nasib baik anak orang, kalau anak aku, dah lama makan pasir budak ni.

Selesai menanda kertas penulisan, aku beralih pula ke Matematik Tahun Lima. Semua ini mesti kuselesaikan segera agar tiada kerja yang tertangguh.

Bahasa Melayu sudah, Matematik sudah, Sivik dan Muzik pun sudah. Aku bergegas menyelak fail untuk mencari senarai nama murid Tahun Lima. Sebagai guru kelas, aku perlu memungut markah daripada setiap orang guru mata pelajaran untuk kelasku.

Ha, di sini masalah akan timbul lagi. Memungut markah peperiksaan memang satu masalah yang besar.

“Cikgu-cikgu ni pun satu. Tak pernah nak faham-faham. Bukannya tahu nak hantar keputusan periksa. Selagi tak diminta, selagi itulah diperamkan sahaja.” Mulutku membebel sendirian.

“Cikgu, ini ada jadual ganti. Tolong gantikan Cikgu Murssyid yang tak datang,” Pelayan pejabat datang menghulurkan ‘surat cinta’.

(Dalam hati)”Masya Allah, tengah tenat-tenat cam gini pun nak kena gantikan kelas orang lagi.” Hati yang telah tersedia panas semakin menggelegak. Sambil mulut mengukirkan senyuman pahit, tangan terus jua menurunkan tandatangan.

Jangan banyak komen, nanti lain pula ceritanya.

Aku segera mengemaskan meja kerjaku yang berselerak. Senarai nama murid kelas 5B kuselitkan di celah buku ringkasan. Aku ke kelas 3B untuk menggantikan Cikgu Murssyid. Dalam perjalanan ke sana, sempat aku menggamit Faiz, murid Tahun 4A yang sedang berdiri di koridor kelasnya.

“Tolong saya, berikan kertas ini kepada Cikgu Nelly. Minta dia isikan markah Sains 5B.” Faiz tersenyum sambil menyambut huluran senarai nama murid 5B.

Untuk dapatkan kesemua markah peperiksaan ini, paling kurang, masa satu minggu diperlukan. Pihak atasan sudah mula meminta keputusan daripada guru-guru kelas. Ini lagi satu, tak faham-faham. Macam mana guru kelas nak kemukakan keputusan kalau markah pun belum diperoleh daripada guru-guru lain.

“Cikgu, saya dapat nombor berapa ?” tersengih-sengih Masyitah di sisi mejaku.

“Kamu tak nampakkah saya banyak kerja ni ? Yang kamu sibuk-sibuk nak tahu pasal keputusan periksa kamu ni kenapa ?” Nyalang mataku memandang Masyitah.

“Dah, pergi duduk di tempat kamu. Jangan ganggu saya, saya sibuk ni. Kamu tak faham ke ?” Terkedip-kedip mata Masyitah menerima herdikanku.

Seminggu kemudian, barulah aku boleh duduk di hadapan skrin komputer. Mengisi markah menggunakan aplikasi SAPR16HC. Masa rehat yang diperuntukkan tidak sempat digunakan untuk berehat. Ada tugasan yang lebih penting perlu diutamakan.

Kerja-kerja yang menimbun perlu dibawa pulang ke rumah untuk diselesaikan. Pada masa ini, anak-anak pun dilarang mengganggu. Jika ada yang menghampiri, paling koman pun, pasti anak patung pooh akan melayang ke kepala.

“Mama banyak kerja. Jangan ganggu. Nak makan, pergi ke dapur. Ambil sendiri. Mama dah sediakan kat atas meja tu.”

Fuh, selesai satu masalah apabila markah siap diisi! Markah murid berdasarkan gred, analisis mata pelajaran serta markah murid Hikmah dicetak. Selesai mencetak slip keputusan individu, aku menurunkan tandatangan untuk 30 orang murid 5B.

“Ketua-ketua Panitia diminta mengadakan mesyuarat kali ketiga untuk membincangkan keputusan PKSR 1. Sila isikan markah Headcount dan buat analisis bagi setiap mata pelajaran. Sila serahkan minit mesyuarat kepada saya secepat mungkin”. Arahan lagi.

Aku ? Biasalah. Orang gila kerja. Guru Kelas – aku, Ketua Panitia pun – aku. Panggil guru-guru untuk menghadiri mesyuarat panitia, taipkan minit mesyuarat, buat analisis keputusan peperiksaan…. Fuh, apa lagi kerja yang menanti ?

“Guru-guru Tahun Enam, sila buat analisis keputusan peperiksaan bagi mata pelajaran masing-masing. Kenal pasti kelemahan calon dan perancangan untuk mengatasinya. Gunakan borang yang disediakan ini.”

Ah, belum sempat aku membetulkan urat belikat, dah tiba kerja baru. Hai, kalaulah suami aku orang kaya, dah lama aku berhen……… Ahhhhh. Tensionnya….

*****************************************

Ketukan di pintu utama mengejutkan lamunanku. Aku mencapai selendang dan bergegas membukanya. Seorang pemuda tampan berkaca mata, tegak berdiri di hadapanku sambil tersenyum.

“Cikgu…”

Aku masih terpinga-pinga. Siapa ya ?

“Cikgu, saya Johari.”

Oppss! Baru aku ingat. Johari anak muridku dua belas tahun yang lalu. Waktu itu usianya dua belas tahun, kini dua belas tahun berlalu, dia sudah berusia dua puluh empat tahun. Sudah menjadi seorang pemuda yang kacak.

Suamiku menjengah lalu menjemput dia masuk.

“Saya datang nak jemput cikgu sekeluarga ke majlis perkahwinan saya.”

Berbual dengan Johari membangkitkan nostalgiaku ke beberapa belas tahun yang lalu. Sewaktu aku mula-mula menjadi seorang pendidik. Bermula daripada hanya seorang murid yang berkebolehan sederhana malahan pernah menjadi penghuni kelas pemulihan, Johari kini sudah beroleh pekerjaan yang baik dan berjaya dalam hidupnya.

Sedikit rasa bangga menyelinap ke dalam sanubariku.

Sebelum berangkat pulang, Johari sempat meluahkan kata-kata ini buatku, “Cikgu, saya nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada cikgu. Dulu saya seorang murid yang lemah dan nakal tetapi cikgu tak pernah jemu-jemu mendidik saya.”

Kelu lidahku mendengar kata-kata Johari.

“Nasib baiklah cikgu mengajar saya dengan bersungguh-sungguh sehingga saya menjadi orang yang berguna seperti sekarang.”

Kata-kata Johari bagaikan azimat buatku. Malam ini, aku tidak dapat melelapkan mata. Kata-kata itu terlalu bermakna buatku. Sedikit demi sedikit, pelbagai kenangan indah semasa bergelar pendidik ini kujelajahi.

Satu demi satu wajah anak-anak didikku silih berganti mengunjungi benak ini. Terasa sayu dan sesungguhnya aku merindui wajah-wajah itu…. Wajah yang tulus dan suci. Wajah yang penuh pengharapan. Wajah yang perlu dibelai dan dikasihi.

Teringat aku akan Mazni, rakan sekelas Johari. Gadis kecil serba kekurangan. Datang ke sekolah dengan muka comot dan pakaian yang kotor. Kemahiran membaca dan menulis masih tidak mampu dikuasai meskipun telah berada di tahun tiga namun bercita-cita tinggi, pramugari.

Saat kuajukan pertanyaan kepada teman-temannya, kenapa suka mengejek nama kawan-kawan terutamanya Mazni, kata mereka, nama itu tidak ‘sedap’. Kenapa? Kerana Mazni tak pandai, ya? Berlumba-lumba mereka mengangguk-anggukkan kepala.

Akhirnya, kupinta mereka keluarkan sehelai kertas. Tuliskan nama masing-masing di penjuru kiri sebelah atas kertas berkenaan. Kemudian, tuliskan nama pilihan masing-masing jika diberi peluang untuk menukar nama dan nama yang tidak disukai. Lipat kertas itu baik-baik dan serahkan kepadaku.

Mula-mula, mereka agak malu-malu. Tapi, kuperjelaskan. Itu semua rahsia. Rahsia antara aku dengan si penulis. Tak akan kubocorkan nama idaman mereka dan keputusannya, hanya seorang murid yang menulis nama sendiri sebagai nama idaman. Murid itu adalah seorang murid lelaki yang agak bijak dalam kalangan teman-teman.

Beberapa orang teman turut menulis nama murid tersebut sebagai nama idaman mereka. Murid perempuan pula lebih suka memilih nama artis….hmm Ning Baizura…rasa-rasanya Siti Nurhaliza belum begitu popular sekitar awal tahun 90an. Mungkin sebab itulah tiada yang memilih namanya.

Ada juga anak lelaki yang memilih nama guru kesukaan mereka seperti Shahruddin, Nazif dan sebagainya. Aku tersenyum sendiri tatkala menatap catatan mereka…

“Cikgu dah janji aaa… tak akan bocor rahsia kami,” senyumku semakin melebar mendengar peringatan itu.

“Tak…cikgu tak akan bocorkan,” dan sesungguhnya, aku memang pemegang amanah yang amanah kerana sehingga ke hari ini, aku tidak pernah membocorkan rahsia sebenar mereka.

“Zulkarnain, kenapa tak suka nama Zulkarnain?” Zulkarnain hanya menyengih.

“Sedap kan , nama Zulkarnain tu,” akhirnya, kuceritakan serba sedikit tentang sejarah seorang tokoh bernama Iskandar Zulkarnain. Selepas itu, Zulkarnain cepat-cepat menukar balik nama idamannya kepada nama asalnya.
Saat kutanyakan mereka tentang nama yang paling dibenci, hampir seluruh kelas menyebut serentak…Mazni. Mazni lagi. Kasihan Mazni. Dia tak ambil kisah apa orang nak cakap kerana dalam ramai-ramai yang menyebut bencikan nama Mazni itu adalah Mazni sendiri.

“Mazni, kenapa kamu pun tak suka nama kamu?” Mazni tersengih, kerang busuk.

“Kan sedap nama tu. Mazni adalah nama heroin dalam novel Badai Semalam. Nanti kamu cari novel tu. Kamu boleh baca. Lagipun, nama yang diberi oleh emak dan ayah kamu adalah nama yang terbaik buat kamu. Cari maksud nama kamu. Nanti kamu akan suka dengan nama itu.”

“Sekarang ni memang la kamu tak suka Mazni. Tengoklah satu hari nanti, bila Mazni dah besar, dah pandai bergaya, mesti ramai yang jatuh cinta dengan Mazni,” satu kelas mengaum dengan irama
“booo”.
Kali terakhir aku bertemu Mazni di pasar malam kira-kira lima tahun yang lalu, dia menggendong seorang anak kecil. Tersentak bahuku saat disentuh seorang wanita muda yang cantik saat aku sedang memilih bawang besar.

“Emmm…siapa ya?”

“Cikgu, cikgu tak kenal saya ke? Saya la…Mazni,”

“Mazni? Ya, Allah,” aku terkejut. Kupeluk Mazni dan kuraih bayi di dukungannya ke pangkuanku.

“Mazni datang dengan siapa? Suami mana?”

“Abang ada kat sana,” kata Mazni menunjuk ke satu arah yang suram dalam keriuhan pasar malam. Aku tak nampak dengan jelas tapi aku tahu, dia menunjuk ke arah suaminya.
Seingatku, Mazni kawin awal. Paling awal berbanding dengan rakan sekelasnya yang lain. Saat teman-temannya bergelumang dengan buku-buku pelajaran di sekolah menengah, Mazni telah dipinang orang. Sebaik sahaja mendapat perkhabaran dia akan berkahwin, aku menangis.
Mazni tidak tahu aku menangis. Aku menangis kerana aku bimbang Mazni akan disakiti. Aku bimbang Mazni akan didera dan macam-macam lagi prasangka negatif yang timbul lebih-lebih lagi setelah kutahu, bakal suaminya hampir sebaya ayahnya sendiri.
Alhamdulillah, pertemuan ini menamatkan prasangka burukku. Mazni bahagia dan sentiasa kudoakan agar Mazni tetap bahagia sehingga ke penghujung usianya.

Hatiku melonjak-lonjak untuk kembali ke sekolah esok hari. Semangatku untuk mengajar berkobar-kobar. Aku ingin kembali menjadi guru yang disayangi oleh anak-anak didikku. Aku ingin menjadi seorang guru yang baik. Aku ingin menjadi seorang pekerja yang bertanggungjawab.Aku ingin berbakti kepada anak bangsa dan tanahairku dengan seikhlasnya.

Hari, cepatlah siang. Ya, Allah, aku ingin mengasuh amanahMu ini dengan sebaik-baiknya. Aku ingin melahirkan lebih ramai Johari dan Mazni. Aku ingin segera memohon maaf daripada Masyitah. Oh, Tuhan! Kabulkanlah permintaan hambaMu ini.

Kesimpulannya, bukan aku seorang yang buat kerja banyak, cikgu-cikgu lainpun macam itu juga….. Dedikasi buat guru-guru di seluruh daerah Hulu Perak yang telah mengajar dengan bersungguh-sungguh dan guru-guru di seluruh Malaysia. Terima kasih, cikgu.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

13 ulasan untuk “Cerpen : Sebuah Amanah”
  1. Knisa_hanizs says:

    bagus, lain dari yg lain. citer berdasarkan pengalaman ker? Teringat kembali amanah yg perlu dipikul di bahu.

  2. illa_balqis says:

    cerita dr pengalaman sendiri……
    mmg seronok dikongsi bersama….
    utk kita jadikn renungan n panduan….

  3. alia_kartina says:

    SELAMAT HARI GURU, BUAT DIRIKU…
    DAN SELURUH GURU DI MALAYSIA..
    TERUTAMANYA GURU-GURU KU DAHULU DI TERENGGANU..

    AKU…AKU SAYANG KAMU GURU.

    TANPA KALIAN..AKU ENTAH DI MANA.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"